Category: Luar Negara

  • [VIDEO]Lebih 40 maut dalam kebakaran di penjara di Tangerang, Indonesia

    [VIDEO]Lebih 40 maut dalam kebakaran di penjara di Tangerang, Indonesia

    LEBIH 40 banduan dilaporkan terkorban dalam kejadian kebakaran sebuah penjara di Tangerang, di Jawa Timur, Indonesia.

    “Kejadian kebakaran yang terjadi di Lembaga Pemasyarakatan Kelas 1 Tangerang Blok C2 (penjara di Tangerang) pada Rabu, jam 1.45 waktu Indonesia Barat. Punca kebakaran dipercayai akibat litar pintas,” kata Ketua Lapas (Penjara) Kelas 1 Tangerang, Victor Teguh Prihartono dalam satu kenyataan di sini.

    Setakat pukul 9 pagi ini, sebanyak 41 banduan yang sedang menjalani hukuman akibat kesalahan berkaitan dadah disahkan maut.

    Blok kelas 1 itu menempatkan 122 banduan.

    Pihak bomba, polis dan tentera Indonesia masih melakukan kerja-kerja membawa banduan yang cedera ke hospital, dan memindahkan banduan-banduan blok lain, ke tempat yang selamat.- BERNAMA

  • Kes positif Covid-19 global lebih 222.7 juta, korban 4.59 juta

    Kes positif Covid-19 global lebih 222.7 juta, korban 4.59 juta

    Susunan ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    DATA terkini Johns Hopkins University (JHU) memaklumkan, kumulatif kes positif Covid-19 di seluruh dunia ketika ini melebihi 222.7 juta.

    Jelas JHU, ini berikutan lebih 400,000 kes baharu dikesan dalam tempoh 24 jam lepas.

    Menurut data terbaharu itu, Amerika Syarikat (AS) kekal negara paling terjejas dengan 40 juta kes.

    Ini diikuti India dengan lebih 33 juta kes dan Brazil dengan lebih 20.8 juta kes.

    United kingdom antara negara yang mencatatkan lebih tujuh juta kes selain Perancis, Rusia, dan Turki yang mencatat angka melebihi enam juta kes.

    Argentina mencatat kes melebihi lima juta, manakala Colombia dan Sepanyol pula catat kes melebihi empat juta.

    Bagi Asia Tenggara, Indonesia mendominasi angka tertinggi kes Covid-19 dengan mencatat angka melebihi 4.1 juta kes.

    Ini diikuti Filipina dengan lebih 2.1 juta, Malaysia 1.8 juta kes, Thailand dengan 1.3 juta kes, manakala Singapura merekodkan lebih 68 ribu kes.

  • Jet Israel bedil Gaza selepas belon api Palestin cetus kebakaran

    Jet Israel bedil Gaza selepas belon api Palestin cetus kebakaran

    JET tempur pengganas Israel melancarkan serangan udara ke atas Gaza, malam tadi sebagai tindak balas terhadap pelepasan belon api dari semenanjung terkepung itu yang mengakibatkan kebakaran.

    Memetik AFP, Israel yang menyalahkan Hamas susulan pelancaran belon api itu mendakwa telah menyasarkan beberapa sasaran milik pergerakan terbabit yang menguasai Genting Gaza.

    “Semalaman jet tempur Israel menyerang bengkel membuat roket Hamas serta kubu pejuang Hamas di Khan Yunis.

    “Serangan itu adalah sebagai tindak balas terhadap pelancaran belon api ke kawasan Israel,” kata tentera Israel dalam satu kenyataan.

    Pada masa sama, saksi berkata, tentera Israel turut melepaskan tembakan meriam ke utara Gaza.

    Menurut sumber perubatan di semenanjung terkepung itu, tiada penduduk yang terbunuh dalam serangan berkenaan.

    Terdahulu, bomba Israel berkata, belon api itu mengakibatkan tiga kebakaran belukar di kawasan berdekatan Genting Gaza.

    Israel biasanya akan membalas pelepasan belon api itu dengan serangan udara.

    Serangan udara pada Isnin itu berlaku selepas enam rakyat Palestin lolos dari penjara Israel mellaui terowong yang digali mereka dan mencetuskan pemburuan besar-besaran.

  • Pendirian Malaysia mengenai kerajaan Taliban di Afghanistan Jumaat ini

    Pendirian Malaysia mengenai kerajaan Taliban di Afghanistan Jumaat ini

    PENDIRIAN rasmi Malaysia mengenai pengambilalihan Afghanistan oleh Taliban akan diputuskan pada mesyuarat Kabinet Jumaat ini, kata Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah.

    Saifuddin berkata Malaysia berhubung dengan semua pihak berkepentingan termasuk Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan kumpulan kemanusiaan di Afghanistan untuk mendapatkan pandangan dan maklum balas mengenai isu itu.

    Beliau berkata Malaysia buat masa ini mengambil pendekatan berhati-hati dalam menentukan pendirian rasminya mengenai perkara berkenaan, dan ia akan dibincangkan serta mendapatkan nasihat Kabinet bagi membolehkan keputusan konkrit dibuat.

    “Petang ini, saya akan menghubungi Menteri Luar Qatar (Sheikh Mohammed bin Abdulrahman Al-Thani) dan setiausaha agung OIC (Yousef Al-Othaimeen) untuk mendapatkan pandangan dan nasihat mengenai urusan (hal-ehwal) di Afghanistan,” katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan kerja ke Pusat Serantau Asia Tenggara Bagi Mencegah Keganasan (SEARCCT) di sini, hari ini.

    Kumpulan Taliban menawan Kabul pada 15 Ogos sekali gus menguasai Afghanistan buat pertama kali selepas hampir 20 tahun susulan pengunduran tentera Amerika Syarikat dari negara itu. Berikutan itu, presiden Mohammad Ashraf Ghani turut meninggalkan negara berkenaan.

    Saifuddin berkata, Malaysia memantau keadaan di Afghanistan menerusi pelbagai saluran termasuk melalui Suruhanjaya Tinggi Malaysia di New Delhi, India yang ditauliah serentak ke Kabul, selain perwakilan di Pakistan.

    Mengenai status duta Afghanistan di Malaysia Dr Moheb Rahman Spin Ghar, Saifuddin berkata, diplomat itu dilantik oleh kerajaan Afghanistan terdahulu dan beliau tidak dipanggil pulang ke negaranya. 

    Katanya, Suruhanjaya Tinggi Malaysia di New Delhi sentiasa berhubung dengan dua rakyat Malaysia di Afganistan yang bekerja untuk pertubuhan kemanusiaan antarabangsa di Kabul.- BERNAMA

  • Pemandu kereta di Paris bantah had laju 30 km/j

    Pemandu kereta di Paris bantah had laju 30 km/j

    SEMINGGU selepas had kelajuan 30 kilometer sejam berkuat kuasa di Paris, tunjuk perasaan oleh pemandu kereta semakin meningkat.

    Menurut laporan Agensi Berita Itali (ANSA), disebabkan pemandu berdepan dasar yang menyebabkan lalu lintas semakin sukar di bandar raya, dan mereka mendakwa langkah itu mengakibatkan keadaan semakin parah.

    “Pejalan kaki lebih pantas berbanding kereta” antara slogan yang dilaungkan penunjuk perasaan. 

    Sejak undang-undang baharu itu dikuat kuasa pada awal minggu lalu, pertengkaran antara pemandu sering dilaporkan berlaku apabila ada pemandu mematuhi had laju dan ada yang ingkar dengan membunyikan hon kepada pemandu lain, lapor ANSA.

    Pemandu teksi menyuarakan kebimbangan, yang pelanggan sering meminta mereka memandu melebihi had laju. “

    “Perjalanan yang sepatutnya mengambil masa hanya 20 minit kini bertambah 33 minit menyebabkan kos pelanggan meningkat.” kata jurucakap pertubuhan yang mewakili pemandu teksi.- BERNAMA 

  • Rampasan kuasa tentera:Semua rakyat Malaysia di Guinea selamat

    Rampasan kuasa tentera:Semua rakyat Malaysia di Guinea selamat

    SEMUA rakyat Malaysia di Guinea dilaporkan selamat susulan ketidakstabilan politik di negara itu akibat rampasan kuasa tentera, pada Ahad.

    Kedutaan Malaysia di Conakry, Guinea, memaklumkan buat masa ini terdapat 12 rakyat Malaysia yang berdaftar dengan kedutaan, termasuk pegawai kedutaan dan anggota keluarga mereka.

    “Sebelas daripada 12 rakyat Malaysia yang berdaftar kini berada di Guinea, sementara seorang telah pulang untuk bercuti di Malaysia dua minggu lalu.

    “Semua dilaporkan selamat,” menurut kedutaan menerusi satu kenyataan kepada Bernama.

    Pemimpin sebuah unit tentera yang menggulingkan dan menahan Presiden Alpha Condé, Kolonel Mamady Doumbouya, dilaporkan berkata isu “kemiskinan dan endemik rasuah” menjadi antara punca pasukannya bertindak menyingkirkan Condé.

    Menerusi televisyen negara, unit tentera itu mengumumkan bahawa mereka telah membubarkan kerajaan dan parlimen, manakala unit yang lain belum memberikan komen secara terbuka.

    Mengulas mengenai keadaan semasa di Guinea, kedutaan memaklumkan keadaan masih tenang dan terkawal, setakat berita ini ditulis.

    “Pasukan peralihan dikenali National Rally and Development Committee (CNRD) kini sedang mengadakan mesyuarat dengan menteri kerajaan, dan beberapa ahli politik.

    “Setakat ini, tidak ada protes dilaporkan berlaku,” tambahnya.

    Ditanya mengenai akses terhadap keperluan asas di Guinea, menurut kedutaan semua rakyat Malaysia mempunyai keperluan asas mencukupi di kediaman masing-masing.

    Menurut kenyataan itu lagi pasar raya, bank dan pasar terpaksa menutup perniagaan mereka pada Ahad dan mungkin sehingga Isnin.

    Bagaimanapun, kebanyakan peniaga jalanan dan kedai runcit di kawasan sekitar beroperasi seperti biasa.

    Buat masa ini, perjalanan rentas sempadan keluar masuk dari Guinea melalui udara telah disambung semula manakala untuk sempadan darat masih ditutup.

    Orang ramai dinasihatkan untuk mengikuti sebarang perkembangan terkini di akaun Twitter dan Facebook Kedutaan

    Guinea, bekas jajahan Perancis, mencapai kemerdekaannya pada 1958. Ia mempunyai penduduk sekitar 13.5 juta orang serta kaya dengan sumber mineral tetapi masih menjadi satu daripada negara termiskin dunia.- BERNAMA

  • Lelaki degil sebar Covid-19 dipenjara lima tahun

    Lelaki degil sebar Covid-19 dipenjara lima tahun

    Susunan ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    AKIBAT terlalu degil dan pentingkan diri, seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara lima tahun kerana melanggar peraturan kuarantin Covid-19 yang ketat di Vietnam dan menyebarkan virus kepada orang lain.

    Le Van Tri, 28 tahun, didapati bersalah oleh Mahkamah Rakyat wilayah Ca Mau kerana ‘menyebarkan penyakit berjangkit berbahaya’, lapor Vietnam News Agency (VNA).

    Vietnam adalah antara negara yang berjaya menangani wabak Covid-19 melalui saringan besar-besaran bersasar, pengesanan kontak yang agresif, sekatan di sempadan dan kuarantin ketat.

    Namun, kluster-kluster baharu jangkitan sejak lewat April telah mencemarkan rekod baiknya.

    “Tung kembali ke Ca Mau dari Bandar Ho Chi Minh … dan melanggar peraturan kuarantin 21 hari,” kata agensi berita itu, menurut laporan Reuters.

    Akibatnya, lapan orang dijangkiti dan salah seorangnya meninggal dunia setelah sebulan dirawat.

    Ca Mau, wilayah paling selatan Vietnam hanya melaporkan 191 kes dan dua kematian sejak wabak mula melanda, jauh lebih rendah daripada hampir 260,000 kes dan 10,685 kematian di Bandar Ho Chi Minh.

    Vietnam sedang memerangi wabak Covid-19 yang semakin buruk dengan lebih 536,000 orang dijangkiti dan 13,385 terkorban, sebahagian besarnya dalam beberapa bulan kebelakangan ini.

    Dua individu lain telah dijatuhi hukuman penjara tertangguh masing-masing selama 18 bulan dan dua tahun atas tuduhan yang sama.

  • Anak lelaki Muammar Gaddafi dibebaskan dari penjara

    Anak lelaki Muammar Gaddafi dibebaskan dari penjara

    ANAK pemimpin Libya yang digulingkan Muammar Gaddafi telah dibebaskan dari penjara di Tripoli, kata sumber keselamatan pada Ahad.

    Al-Saadi Gaddafi, 48, dibebaskan melalui keputusan oleh Ketua Pendakwaraya Libya dan persetujuan Perdana Menteri Abdul Hamid Dbeibeh.

    Beliau kemudian meninggalkan negara itu untuk berpindah ke Turki, lapor Agensi Anadolu.

    Al-Saadi, yang pernah menyandang jawatan dalam pengurusan aktiviti sukan negara itu semasa tempoh Gaddafi, dan bermain dengan pasukan bola sepak kebangsaan Libya.

    Beliau melarikan diri ke Niger selepas kejatuhan rejim Gaddafi pada 2011 namun dibawa kembali ke Libya untuk dibicarakan pada 2014 atas tuduhan penyelewengan semasa menerajui Persekutuan Bola Sepak Libya.-BERNAMA

  • Kes positif Covid-19 global 221.3 juta, kematian 4.57 juta

    Kes positif Covid-19 global 221.3 juta, kematian 4.57 juta

    KUMULATIF kes positif Covid-19 di seluruh dunia pada masa ini melebihi angka 221.3 juta setelah lebih 400,000 kes baharu dikesan dalam tempoh 24 jam lalu.

    Menurut data terkini Johns Hopkins University, Amerika Syarikat (AS) merupakan negara paling terjejas teruk dengan 39.9 juta kes diikuti India (32.9 juta kes) dan Brazil (20.8 juta kes).

    United Kingdom, Perancis, Rusia dan Turki merupakan negara yang merekodkan lebih 6 juta kes manakala Argentina dengan 5 juta kes diikuti Colombia dan Sepanyol masing-masing melebihi 4 juta kes.

    Selain itu, Indonesia mendominasi angka tertinggi kes Covid-19 di Asia Tenggara dengan lebih 4.1 juta kes diikuti Filipina (lebih 2 juta kes), Malaysia (1.8 juta kes) dan Thailand (1.2 juta kes).

    Dalam perkembangan berkaitan, angka kematian akibat Covid-19 seluruh dunia kini melebihi 4.57 juta kes.

    Mengikut data dikeluarkan Johns Hopkins University, AS merupakan negara mencatatkan kadar kematian tertinggi dengan lebih 648,000 kes.

    Brazil di tempat kedua dengan lebih 582,000 kes, India (440,000 kes), Mexico (lebih 262,000 kes), United Kingdom (lebih 133,000 kematian).

    Rusia, Itali dan Perancis pula merekodkan lebih 100,000 kes kematian manakala Jerman lebih 92,000 kes dan Sepanyol 84,000 kematian.

    Sementara itu, Indonesia mendominasi angka kematian di Asia Tenggara dengan lebih 135,000 kes kematian diikuti Filipina (lebih 34,000), Malaysia (18,000 kes) dan Thailand (lebih 12,000 kematian).

  • Pelajar Malaysia kemalangan di Kaherah selamat jalani pembedahan

    Pelajar Malaysia kemalangan di Kaherah selamat jalani pembedahan

    MUHAMMAD Haikal Ahmad Kabir, pelajar yang mengalami patah tangan kiri dan kaki kanan dalam kemalangan jalan raya di Khaerah, Mesir telah selamat menjalani pembedahan yang menelan kos EGP100,000 (RM26,000).

    Menurut laporan Education Malaysia Egypt menerusi Facebook rasminya pada Ahad, Muhammad Haikal merupakan antara lima penuntut Malaysia di Universiti Al-Azhar yang cedera dilanggar motosikal semasa melintas jalan dalam kejadian pada Jumaat lepas. Rakan-rakannya yang lain cedera ringan.

    “Dia kini dalam proses sembuh dan keluarga kesemua mangsa telah dimaklumkan mengenai perkembangan masing-masing,” kata Atase Pendidikan Kedutaan Besar Malaysia Kaherah Mohd Yasser Abdul Ghani malam tadi yang dihubungi Bernama.

    Dalam kajadian pada sebelah malam itu motosikal itu dilaporkan tidak memasang lampu hadapan. Kesemua mangsa yang berasal dari Kedah dihantar ke Hospital Bedayat, Hayyu Tahmin, Kaherah untuk rawatan dengan hanya Muhammad Haikal yang cedera parah.

    Mohd Yasser turut menyampaikan penghargaan kepada orang awam di Malaysia yang menyumbang daripada segi kewangan sehingga urusan merawat kesemua mangsa berjalan dengan lancar.

    Kedutaan Besar Malaysia di Kaherah akan memastikan kebajikan dan apa sahaja bentuk bantuan yang diperlukan di pihak mangsa, dapat diberikan, kata Mohd Yasser.

    Sementara itu,  wakil Duta Besar Malaysia Ke Kaherah Zamani Ismail turut menziarah mangsa terbabit.-BERNAMA