Category: Luar Negara

  • Tanpa penyertaan Myanmar, ASEAN tetap perlu lakukan yang terbaik untuk Rohingya

    Tanpa penyertaan Myanmar, ASEAN tetap perlu lakukan yang terbaik untuk Rohingya

    MENGECUALIKAN Myanmar daripada menyertai Sidang Kemuncak ASEAN ke-38 dan ke-39 minggu depan – untuk memberi ruang kepada negara itu menguruskan isu dalaman – disambut baik banyak pihak. Namun, ia tidak membantu menyelesaikan isu Rohingya.

    Myanmar dikecualikan berikutan kurangnya kemajuan dalam Konsensus Lima Perkara yang disepakati ASEAN April lepas untuk membantu menyelesaikan isu yang dihadapi negara itu, selepas kerajaan pimpinan Aung San Suu Kyi digulingkan tentera.

    Bahkan sebelum rampasan kuasa, Rohingya di Myanmar, yang dinafikan hak kewarganegaraan mereka, telah dianiaya – dengan ribuan komuniti terpaksa menjadi pelarian di beberapa negara ASEAN.

    Walaupun Konsensus Lima Perkara tidak secara khusus menyentuh mengenai Rohingya, para pemerhati menyatakan blok serantau itu, perlu bekerja lebih keras berhubung perkara ini untuk membantu komuniti paling teraniaya di dunia itu.

    Presiden Pertubuhan Rohingya Burma United Kingdom yang berpangkalan di London, Tun Khin, berkata langkah ASEAN mengenai junta Myanmar sememangnya satu berita yang amat baik.

    “Ini adalah perkara yang boleh dilakukan. ASEAN tidak boleh mengundang tentera atau pihak dari kementerian yang dikuasai tentera menghadiri mana-mana mesyuarat ASEAN.

    “Tiada seorang pun di Myanmar berpendapat Konsensus Lima Perkara akan membawa hasil positif dan enam bulan kemudian, ia ternyata benar.

    “Langkah ASEAN itu belum pernah berlaku sebelum ini dan mengejutkan junta, tetapi ASEAN pasti boleh dan mampu pergi lebih jauh,” katanya ketika dihubungi Bernama baru-baru ini.

    Menteri luar negara ASEAN di mesyuarat tergempar Jumaat lalu (15 Oktober) sepakat mengecualikan Myanmar daripada menghadiri sidang kemuncak itu dan hanya mengundang wakil bukan politik.

    Mesyuarat itu juga menolak permintaan kerajaan bayangan Myanmar, Kerajaan Perpaduan Nasional (NUG), untuk menyertai sidang kemuncak berkenaan.

    Junta Myanmar ‘amat kecewa’ dengan keputusan mengecualikan pemimpinnya Jeneral Min Aung Hlaing, lapor media berita antarabangsa.

    Khin, yang dilahirkan dan dibesarkan di wilayah Rohingya (Arakan), berkata ASEAN sekurang-kurangnya perlu mengiktiraf NUG untuk membantu Rohingya, terutama mengenai hak kerakyatan.

    Memandangkan isu kerakyatan menjadi asas kepada Rohingya untuk kembali ke Myanmar, masyarakat antarabangsa, termasuk ASEAN, harus memberikan lebih perhatian mengenai perkara ini.

    “Pertama, masyarakat antarabangsa perlu sedaya yang mungkin membantu menjatuhkan tentera, dan kemudian mereka harus memberi bantuan dan sokongan kepada kerajaan awam untuk menggantikan tentera dengan syarat Rohingya diberikan hak dan kerakyatan. 

    “NUG telah melaksanakan komitmen positif untuk menyokong hak Rohingya tetapi kita harus memastikan komitmen ini dihormati,” tambah Khin, yang pernah menerima penghargaan daripada Refugees International, Washington D.C., pada April 2015 untuk kerja-kerjanya dalam isu Rohingya.

    NUG adalah kerajaan bayangan yang dibentuk pada April lepas oleh wakil dari Liga Demokrasi Kebangsaan yang diketuai Aung San Suu Kyi dan beberapa anggota yang lain. Sebahagian besar aktiviti NUG dijalankan secara dalam talian.

    Sejak kerajaan yang dipilih pimpinan Aung San Suu Kyi digulingkan junta Myanmar pimpinan Jeneral Min Aung Hlaing pada 1 Feb, rusuhan telah tercetus menyaksikan hampir 1,000 orang awam terbunuh akibat kekerasan pasukan keselamatan.

    ASEAN juga telah melantik Menteri Luar II Brunei Erywan Mohd Yusof sebagai duta khas ke Myanmar seperti disepakati dalam Konsensus Lima Perkara, tetapi beliau tidak dapat memainkan peranannya kerana keengganan junta untuk bekerjasama. – Bernama

  • Rangka tulang dinosaur ‘Big John’ dijual lebih RM31 juta

    Rangka tulang dinosaur ‘Big John’ dijual lebih RM31 juta

    RANGKA tulang dinosaur triceratops yang diberi gelaran ‘Big John’ ditemukan di South Dakota, Amerika Syarikat (AS) pada tahun 2014, dilelong pada harga euro 6.6 juta (RM31.91 juta) di Paris, semalam.

    Rangka tulang dinosaur berkenaan yang ditemui oleh seorang ahli paleontologi manakala tulang-tulangnya disusun di Itali.

    Itu merupakan rangka tulang dinosaur triceratops yang paling besar dijumpai di bumi setakat ini.

    Harga itu termasuk yuran lelongan dan ia dilelong di Firma Lelongan Drouot dan akan kembali ke AS iaitu negara yang menjadi tempat penemuan rangka tulang tersebut lebih 10 tahun lalu.

    Ahli paleontologi tersebut menemui 60 peratus tulang dinosaur yang hidup 66 juta tahun lalu itu.

    Pengumpul di AS tersebut akan mendapat sebanyak 200 tulang termasuk tengkorak selebar 2 meter (m).

    Pembelinya menewaskan 10 lagi pembida dengan tiga daripadanya bertindak menaikkan harga tawaran pada saat-saat akhir.

    Seorang ahli paleontologi yang memantau lelongan itu, Lacopo Briano berkata, dia tidak menyangka harga lelongan tersebut boleh mencecah setinggi itu.

    Bagaimanapun, lelongan itu jauh lebih rendah berbanding harga rangka tulang dinosaur Tyrannosaurus rex yang dilelong pada harga AS$31.6 juta (RM131.39 juta) di New York. – Agensi

  • 99 mangsa maut dalam insiden banjir, tanah runtuh

    99 mangsa maut dalam insiden banjir, tanah runtuh

    SEKURANG-KURANGNYA 99 terbunuh dalam kejadian banjir di Nepal akibat banjir buruk selain kejadian tanah runtuh.

    Pihak berkuasa Nepal memaklumkan, kejadian tersebut berpunda daripada hujan lebat yang berterusan.

    Ketika ini juga, pihak berkuasa sedang giat mengesan sekurang-kurangnya 40 mangsa yang dilaporkan hilang.

    Ini turut menyumbang kepada jangkaan pertambahan angka korban daripada bencana itu.

    Rata-rata kematian yang dilaporkan melibatkan wilayah timur dan barat, manakala mangsa yang cedera dihantar ke hospital.

  • Lelaki ditahan buat panggilan 180 kali sehari terhadap bekas kekasih

    Lelaki ditahan buat panggilan 180 kali sehari terhadap bekas kekasih

    POLIS Itali menahan seorang pengintai maya yang didakwa membuat panggilan telefon kepada bekas kekasihnya sebanyak 180 kali sehari dan mengancam mahu membunuhnya.

    Polis pada Selasa memaklumkan, lelaki berusia 56 tahun itu sering mengekori bekas kekasihnya selain turut merosakkan kereta wanita berkenaan, lapor Agensi Berita ANSA.

    Dia ditahan di Bari, Puglia.

    Antara ancaman terakhir lelaki itu kepada bekas kekasihnya adalah, “Kisah ini hanya akan tamat apabila saya bunuh awak.” – Bernama

  • 27 terbunuh akibat banjir, tanah runtuh di Kerala

    27 terbunuh akibat banjir, tanah runtuh di Kerala

    SEKURANG-KURANGNYA 27 orang terbunuh dan ramai yang hilang dalam banjir dan tanah runtuh selepas hujan lebat melanda selatan negeri Kerala, New Delhi, India.

    Banjir buruk itu menyebabkan kerosakan rumah, bangunan, jalan raya dan jambatan di negeri berkenaan.

    Daerah paling teruk terjejas ialah Idukki dan Kottayam, menurut media tempatan.

    Helikopter tentera India digunakan untuk menghantar bekalan bantuan dan menyelamat mangsa.

    Angka kematian dijangka meningkat kerana berpuluh-puluh penduduk dilaporkan masih hilang.

    “Kami sentiasa memantau keadaan di beberapa kawasan di Kerala berikutan hujan lebat dan banjir. Kerajaan pusat akan menyediakan semua sokongan yang mungkin untuk membantu mereka yang memerlukan,” kata Menteri Dalam Negeri India, Amit Shah pada Ahad.

    Agensi bencana India telah mengerahkan pasukan penyelamatnya di beberapa daerah di selatan dan tengah Kerala.

    Ketua Menteri Kerala, Datuk Pinarayi Vijayan meminta orang ramai bersedia untuk berpindah ke kem bantuan, kawasan tinggi atau lokasi yang lebih selamat jika diminta oleh pegawai kerajaan.

    Kira-kira 5,000 orang telah dipindahkan ke kem bantuan. – Bernama

  • Korea Utara lancar peluru berpandu balistik

    Korea Utara lancar peluru berpandu balistik

    KOREA Utara dilaporkan melancarkan peluru berpandu balistik ke perairan timur, kata Ketua Turus Bersama (JCS) Korea Selatan pada Selasa, lapor Agensi Berita Xinhua.

    Menurut JCS, tentera Korea Selatan mengesan satu peluru berpandu balistik yang tidak pasti jenisnya dilancarkan Korea Utara kira-kira 10.17 pagi waktu tempatan (0117 GMT) ke arah Laut Timur dari Sinpo, provinsi Hamgyong Selatan.

    Pihak berkuasa perisikan Korea Selatan dan Amerika Syarikat (AS) sedang menganalisis butiran lanjut mengenai perkara itu.

    Menurut pejabat presiden Korea Selatan, mesyuarat Majlis Keselamatan Negara akan diadakan susulan pelancaran peluru berpandu berkenaan.

    Pelancaran peluru berpandu itu adalah yang ke-8 dilakukan Korea Utara tahun ini.

    Sementara itu, Korea Utara dilaporkan berkata, pada 28 Sept pihaknya telah menguji peluru berpandu hipersonik Hwasong-8 yang baharu dibangunkan selepas melancarkan dua peluru berpandu balistik ke Laut Timur pada 15 Sept.

    Pada 30 Sept Korea Utara juga dilaporkan menguji peluru berpandu antipesawat yang baharu.

    Sementara itu, Menteri Pertahanan Jepun, Nobuo Kishi berkata, pelancaran peluru berpandu yang berterusan oleh Korea Utara menimbulkan ancaman serius kepada komuniti antarabangsa termasuk Jepun.

    “Sejak Mei 2019, Korea Utara sering melakukan ujian peluru berpandu. Tujuannya jelas iaitu untuk meningkatkan teknologi peluru berpandu.

    “Ia boleh menimbulkan ancaman serius kepada seluruh masyarakat antarabangsa termasuk Jepun,” kata Kishi pada sidang akhbar, lapor Sputnik.

    Beliau berkata Jepun membantah tindakan Korea Utara itu. – BERNAMA

  • Umur 100 tahun tidak halang jadi nelayan

    Umur 100 tahun tidak halang jadi nelayan

    FAKTOR usia 100 tahun tidak menghalang seorang warga emas dikenali sebagai Santos untuk mencari rezeki dan menjadi nelayan di Australia.

    Warga emas tersebut menangkap ikan bersama-sama seorang anak lelakinya, Robert, 71, di Teluk Broken, utara Sydney.

    Dia menangkap ikan hanya untuk dua malam bagi setiap satu seminggu dengan menggunakan sebuah bot.

    Jabatan Industri Utama-Perikanan, New South Wales (NSWDPIFisheries) menerusi Facebook rasminya memaklumkan, Santos akan menyambut ulang tahun kelahirannya yang 101 pada bulan depan.

    Kedua-dua mereka selalu patuh dengan peraturan dan sentiasa bersikap sopan ketika berhadapan dengan pegawai-pegawai perikanan.

    Cerita yang dikeluarkan jabatan berkenaan dalam akaun Facebook mereka semalam kemudian mendapat komen daripada pengguna-pengguna laman sosial itu yang memuji bapa dan anak tersebut sehingga menganggapnya sebagai khazanah negara.

    “Itu menakjubkan! Mesti ada sesuatu di dalam air yang menyebabkan mereka mempunyai hati seperti orang muda,” kata seorang nelayan di laman sosial itu.

    Seorang lagi pengguna Facebook menyatakan bahawa dia mengenali Robert dan menganggapnya sebagai seorang yang bersopan-santun dan lelaki yang amat istimewa.

    Dia juga seolah-olah tidak percaya bahawa Santos masih lagi sihat untuk keluar untuk menangkap ikan. – Agensi

  • Tiada lagi penjarakan sosial ketika solat di Masjidilharam, Masjid Nabawi

    Tiada lagi penjarakan sosial ketika solat di Masjidilharam, Masjid Nabawi

    SELEPAS lebih setahun pelbagai peraturan diperketatkan termasuk dari segi jumlah jemaah dan penjarakan sosial berikutan pandemik Covid-19, hari ini sejarah tercatat apabila Masjidilharam dan Masjid Nabawi kembali seperti biasa.

    Sejak malam tadi pekerja-pekerja dua masjid itu itu bertungkus lumus membuat persediaan memindahkan halangan di sekitar Kaabah dan menanggalkan pelekat penjarakkan sosial memandangkan jumlah jemaah kini dibenarkan mengikut kapasiti penuh.

    Siaran secara langsung solat Subuh melalui saluran Haramain di Mekah dan Madinah menarik perhatian umat Islam di seluruh dunia. Dalam media-media sosial seperti Facebook dan Twitter jutaan umat Islam melahirkan kesyukuran.

    Turut mendapat perhatian ialah pemberian air zam-zam kepada jemaah yang kembali dilakukan di sekitar Kaabah.

    Bagaimanapun kawalan keselamatan dan pemantauan ketat tetap dilakukan oleh pihak berkuasa Arab Saudi.

    Ia termasuklah melakukan pemeriksaan mengejut ke atas jemaah bagi memeriksa status vaksinasi mereka (lengkap dua dos) dan bukti telah melakukan tempahan untuk menunaikan umrah serta solat.

    Berikut gambar-gambar di Masjidilharam awal pagi ini:

    Pemeriksaan status vaksinasi jemaah oleh pihak keselamatan Masjidharam
    Pekerja memindahkan halangan.
    Seorang petugas memberikan air zam-zam kepada jemaah.
    Seorang petugas menanggalkan pelekat.
  • Pengebumian besar-besaran mangsa serangan masjid Afghanistan

    Pengebumian besar-besaran mangsa serangan masjid Afghanistan

    KUMPULAN minoriti syiah di Afghanistan mengebumikan rakan-rakan dan saudara-mara mereka yang terbunuh dalam letupan ketika solat Jumaat di sebuah masjid.

    Menurut ketua komuniti syiah yang hanya mahu dikenali sebagai Farhad, angka korban terkini adalah sebanyak 63 orang.

    “Namun jumlah itu mungkin bertambah susulan terdapat ramai mangsa kritikal di hospital. Angka rasmi kematian dikeluarkan pegawai kerajaan kekal 47 orang,” katanya.

    Keluarga mangsa meratapi pemergian saudara mereka dan menggesa Taliban melindungi mereka.

    Kumpulan penyokong Daesh mengaku bertanggungjawab terhadap kedua-dua serangan pengebom berani mati itu yang mengorbankan lebih 120 nyawa.

    Pembunuhan terbaru itu berlaku seminggu selepas satu lagi serangan terhadap penganut syiah di sebuah masjid di utara bandar Kunduz yang meragut lebih 60 nyawa dan turut didakwa didalangi Daesh.

    Kejadian itu mencetus kritikan pihak antarabangsa termasuk Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Antonio Guterres, yang mengutuk ‘serangan keji’ berkenaan.

    Beliau menuntut pihak yang menggunakan keganasan untuk menyekat kebebasan beragama di Afghanistan itu segera dibawa ke muka pengadilan.

  • Tiga terkorban dalam gempa di kepulauan Bali

    Tiga terkorban dalam gempa di kepulauan Bali

    TIGA orang terkorban dalam kejadian gempa di pulau Bali, Indonesia awal pagi tadi.

    Dua mangsa dilapor meninggal dunia di Kabupaten Bangli, manakala seorang lagi di Kabupaten Karangasem.

    CNN Indonesia melaporkan, tujuh yang lain dilaporkan mengalami patah tulang, lapor CNN Indonesia.

    Gempa dengan kekuatan 4.8 pada skala Richter pada kedalaman 10 kilometer itu bagaimanapun tidak mencetuskan tsunami.

    Gegaran yang kuat telah menyebabkan penduduk terjaga dari tidur dan bertempiaran lari.

    “Gempa sangat kuat sehingga banyak penduduk terbangun dari tidur mereka dan berlari keluar dari rumah mereka,” kata seorang penduduk.