Category: Luar Negara

  • Dua pengembara Afrika Selatan transit di Singapura positif varian Omicron

    Dua pengembara Afrika Selatan transit di Singapura positif varian Omicron

    DUA pengembara dari Afrika Selatan yang transit di Singapura sebelum meneruskan penerbangan ke Australia  disahkan positif varian Omicron COVID-19, menurut Kementerian Kesihatan Singapura (MOH).

    MOH berkata Kementerian Kesihatan New South Wales (NSW) mengesahkan bahawa kedua-dua pengembara yang tiba di Sydney dari selatan Afrika dengan penerbangan Singapore Airlines SQ211 pada 28 November disahkan positif bagi varian baharu itu.

    Kementerian berkata pengembara itu berlepas dari Johannesburg pada 27 November melalui Singapore Airlines SQ481 dan tiba di Lapangan Terbang Changi pada hari yang sama untuk penerbangan transit mereka.

    “Saringan COVID-19 yang dibuat sebelum mereka berlepas di Afrika Selatan pada 27 November adalah negatif,” katanya dalam kemas kini harian mengenai COVID-19 lewat malam tadi.

    MOH berkata kebanyakan pengembara kekal di kawasan transit di Lapangan Terbang Changi sehingga berlepas ke Sydney pada 28 November, dan tidak memasuki Singapura atau melawat kawasan lain di Lapangan Terbang Changi.

    “Enam daripada tujuh penumpang daripada penerbangan itu yang berada di Singapura pada masa ini melaksanakan Notis Duduk Rumah (SHN) 10 hari di kemudahan khas dan akan membuat ujian PCR. Seorang lagi adalah kontak rapat dengan individu yang dijangkiti dalam penerbangan dan sedang dikuarantin,” kata kementerian itu.

    Pengesanan kontak sedang dijalankan ke atas kakitangan lapangan terbang yang mungkin menjadi kontak sementara kes itu, kata MOH.- Bernama

  • 7 maut termasuk kanak-kanak selepas makan hidangan daging penyu

    7 maut termasuk kanak-kanak selepas makan hidangan daging penyu

    SERAMAI tujuh maut termasuk seorang kanak-kanak berusia tiga tahun selepas menikmati hidangan daging penyu dalam kejadian di Pulau Pemba, Tanzania, Khamis lalu.

    BBC melaporkan, tiga lagi dilaporkan masih dirawat di hospital.

    Hidangan itu sering dinikmati penduduk di kepulauan negara itu namun telah diharamkan selepas didapati mengandungi bahan toksik.

    Ketua Polis Pulau Pemba, Juma Said Hamis berkata, ketika kejadian, sekurang-kurangnya lima keluarga sedang menikmati hidangan penyu itu, memetik laporan BBC.

    Tiga mangsa dilaporkan meninggal dunia pada Jumaat dengan empat lagi pada Ahad.

    Seramai 38 individu dikejarkan ke hospital dan telah dibenarkan pulang, namun tiga lagi masih menerima rawatan dan dilaporkan dalam keadaan stabil.

    Pada Mac lalu, 19 individu termasuk sembilan kanak-kanak maut selepas menikmati hidangan daging penyu di Madagascar, menurut laporan agensi berita AFP.

    Insiden sama pernah dilaporkan di Indonesia, Micronesia dan kepulauan Lautan Hindi.

  • WHO belum jelas sama ada Omicron mudah berjangkit

    WHO belum jelas sama ada Omicron mudah berjangkit

    PERTUBUHAN Kesihatan Sedunia (WHO) pada Ahad berkata, masih belum jelas sama ada varian Omicron COVID-19 lebih mudah berjangkit, atau menyebabkan gejala penyakit yang lebih teruk berbanding varian lain termasuk Delta, lapor Xinhua.

    WHO berkata, kedua-dua perkara itu masih belum dipastikan meskipun data awal menujukkan terdapat peningkatan kadar kemasukan ke hospital di Afrika Selatan akibat varian itu.

    Pertubuhan itu turut mengesahkan pada masa ini tiada maklumat untuk mengesyorkan simptom yang dikaitkan dengan Omicron adalah berbeza daripada simptom varian lain, kerana ia mengambil masa beberapa hari hingga beberapa minggu untuk diketahui.

    Semua varian COVID-19, termasuk varian Delta yang kini dominan di seluruh dunia, boleh menyebabkan penyakit atau kematian yang teruk, khususnya bagi individu yang paling terdedah, dan oleh itu pencegahan adalah sangat penting.

    Bagaimanapun, WHO berkata bukti awal menunjukkan mungkin terdapat peningkatan risiko jangkitan semula dengan Omicron, tetapi maklumat adalah terhad. Maklumat terperinci mengenai perkara ini akan tersedia dalam beberapa hari dan minggu lagi.

    Kenyataan itu menyebut bahawa ujian PCR semasa dapat mengesan Omicron, sementara kajian lanjut masih diteruskan untuk memahami bagaimana varian Omicron akan memberi kesan kepada vaksin dan rawatan COVID-19 sedia ada.

    WHO pada Jumaat mengklasifikasikan varian terbaharu virus SARS-CoV-2 B.1.1.529, kini dengan nama Omicron, sebagai Variant of Concern (VOC).

    Ia juga mengesyorkan penyiasatan lapangan dan penilaian makmal untuk lebih memahami potensi varian baharu itu dan kesannya terhadap epidemiologi COVID-19, keberkesanan langkah kesihatan awam dan sosial serta peneutralan antibodi. – BERNAMA

  • 3 kanak-kanak maut selepas makan daging penyu

    3 kanak-kanak maut selepas makan daging penyu

    TIGA kanak-kanak maut selepas memakan daging penyu di Pulau Pemba di Zanzibar, Tanzania, lapor Agensi Berita Xinhua.

    Komander polis wilayah Pemba Utara, Juma Sadi, berkata 22 lagi yang lain dimasukkan ke hospital.

    “Mangsa yang maut itu adalah daripada satu keluarga. Dua daripada mangsa yang dimasukkan ke hospital juga kanak-kanak dan dilaporkan dalam keadaan kritikal,” kata Sadi sambil menambah daging penyu itu disyaki beracun.

    Pegawai polis itu berkata sampel daging penyu itu telah dihantar kepada pihak berkuasa berkaitan untuk dianalisis. – BERNAMA

  • Sempat bergelar isteri setengah jam sebelum mati dalam majlis perkahwinannya

    Sempat bergelar isteri setengah jam sebelum mati dalam majlis perkahwinannya

    SEORANG pengantin wanita meninggal dunia dalam pelukan suaminya selepas diserang sakit jantung ketika majlis perkahwinan mereka masih berlangsung di kampung Reda di selatan Mesir.

    Pengantin wanita, Nadia Taha Madhi, hanya sempat bergelar isteri selama setengah jam selepas dinikahkan.

    Nadia sebelum itu sempat menghubungi bapanya selepas kira-kira 25 minit majlis berlangsung, namun rebah dalam pelukan suaminya, ketika masih memakai gaun pengantin.

    Bapanya tidak percaya anaknya itu meninggal dunia selepas dia pulang seketika untuk berehat.

    “Anak saya sangat gembira apabila dia menari bersama adik-beradiknya dan menerima tetamu ketika majlisnya.

    “Saya terus ke rumah saya selepas majlis perkahwinan untuk berehat selepas melalui hari yang panjang.

    “Dia menghubungi saya sebaik sahaja saya tiba di rumah, 30 minit kemudian saya menerima berita mengejutkan mengenai kematiannya,” katanya seperti dilaporkan Gulf News.

    Katanya, dia masih terkejut dengan kejadian itu.

    “Saya masih terkejut kerana saya tidak faham apa yang berlaku, tetapi apa yang saya ada hanyalah doa untuknya.

    “Semoga Allah mempertemukan kita dengannya di syurga dan memberi kita ketabahan dan kesabaran untuk menanggung kehilangannya,” katanya.

  • 52 maut kemalangan lombong arang batu di Rusia

    52 maut kemalangan lombong arang batu di Rusia

    ANGKA kematian akibat kemalangan lombong arang batu di bandar Kemerovo, Rusia meningkat kepada 52 orang semalam, menurut pihak berkuasa.

    Mangsa yang maut termasuk anggota pasukan penyelamat, kata Kementerian Situasi Kecemasan.

    Setakat ini, 239 orang telah dipindahkan dari lombong itu selepas habuk arang batu yang terbakar menyebabkan asap tebal pada kedalaman 250 meter (820 kaki), manakala 45 orang yang cedera dimasukkan ke hospital, lapor Agensi Anadolu.

    Menurut pejabat gabenor Wilayah Kemerovo Oblast, ketika kejadian 285 pekerja berada di dalam lombong tersebut.

    Wilayah Kemerovo Oblast adalah antara kawasan perindustrian paling penting di Rusia di barat daya Siberia, dengan beberapa deposit arang batu terbesar di dunia.

    Asap tebal menghalang usaha pasukan kecemasan untuk menyelamatkan pelombong yang masih terperangkap.

    Pejabat pendakwa raya Wilayah Kemerovo Oblast sudah memulakan siasatan ke atas kemalangan itu.

    Presiden Rusia Vladimir Putin mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa yang terbunuh dan berharap mereka yang masih terperangkap segera diselamatkan. – Bernama

  • Konflik bersenjata di Ethiopia:12 terbunuh, 4 rakyat Malaysia selamat

    Konflik bersenjata di Ethiopia:12 terbunuh, 4 rakyat Malaysia selamat

    KEMENTERIAN Luar Negeri (KLN) hari ini mengesahkan empat rakyat Malaysia yang berada di Ethiopia dan berdaftar dengan Kedutaan Besar Malaysia di Khartoum, Sudan berada dalam keadaan selamat.

    KLN menerusi kenyataannya memberitahu, pegawai kedutaan sentiasa berhubung rapat dengan mereka susulan konflik bersenjata di negara itu.

    “Mereka dinasihatkan untuk sentiasa berwaspada dan mengutamakan keselamatan masing-masing serta menimbangkan untuk meninggalkan Ethiopia menerusi penerbangan komersial yang masih beroperasi,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    KLN berkata, rakyat Malaysia yang berhasrat untuk melakukan lawatan ke Ethiopia juga dinasihatkan untuk menangguhkan sebarang perjalanan yang tidak mustahak buat masa ini.

    “Kementerian sedang memantau rapat perkembangan terkini di Ethiopia berikutan konflik bersenjata antara Angkatan Pertahanan Nasional Ethiopia dan Gerakan Pembebasan Rakyat Tigray (TPLF),” katanya.

    Rakyat Malaysia yang memerlukan bantuan konsular di Ethiopia boleh menghubungi Kedutaan Besar Malaysia di Khartoum di talian +249 99 070 0350 atau e-mail [email protected].

    Memetik laporan EBC Ethiopia, sepanjang dua hari lalu, tentera negara telah membunuh 12 komander Barisan Pembebasan Rakyat Tigray (TPLF).

    Pada awal November, Parlimen Ethiopia mengisytiharkan darurat selama enam bulan di seluruh negara susulan TPLF bertindak memasuki ibu negara Addis Ababa.

    Perkembangan itu mendorong beberapa negara mula mengosongkan misi diplomatik mereka di Ethiopia.

  • Kawasan utara Arab Saudi dilanda salji, hujan ais

    Kawasan utara Arab Saudi dilanda salji, hujan ais

    HUJAN ais dan salji melanda sebahagian kawasan di utara Arab Saudi pada Ahad lalu dengan suhu mencatatkan kira-kira tujuh darjah Celsius sehingga menyebabkan beberapa kawasan kelihatan berwarna putih.

    Foto berkenaan disiarkan dalam media sosial menunjukkan landskap berwarna putih di bandar Qurayyat di wilayah Al Jawf yang terletak kira-kira 30 kilometer dari sempadan Jordan.

    Malah dalam satu video di media sosial, hujan ais dapat dilihat.

    Pusat Meteorologi Kebangsaan Arab Saudi sebelum ini dilaporkan menyatakan cuaca ribut petir, tiupan angin sederhana dan hujan ais akan melanda di seluruh Al Jawf di sempadan utara negara tersebut.

    Ini bukan kali pertama negara yang menggunakan sistem beraja itu dilanda salji.

    Pada Januari lalu, beberapa kawasan termasuk gurun dan di wilayah Asser yang terletak di selatan Mekah dilanda dengan salji. – Agensi

  • 31 PATI lemas, 2 selamat, 1 masih hilang semasa menyeberangi Selat Inggeris

    31 PATI lemas, 2 selamat, 1 masih hilang semasa menyeberangi Selat Inggeris

    SERAMAI 31 daripada 34 pendatang asing tanpa izin (PATI) yang ditempatkan dalam bot kecil lemas ketika cuba menyeberangi Selat Inggeris, semalam.

    Menteri Dalam Negeri Perancis, Gerald Darmanin memaklumkan, dua lagi berjaya diselamatkan dan ketika ini petugas keselamatan masih mencari seorang lagi mangsa yang masih hilang.

    “Dua mangsa berjaya diselamatkan namun mereka masih dalam bahaya kerana mengalami hipotermia selepas terdedah kepada cuaca sejuk.

    “Kejadian ini merupakan satu tragedi buat Perancis, seluruh Eropah dan terhadap manusia sejagat untuk melihat pendatang asing terkorban di lautan sebegini,” katanya.

    Kejadian berkenaan disifatkan sebagai yang terburuk melibatkan migran di perairan di antara Perancis dan Britain.

    Selat berkenaan merupakan laluan kapal paling sibuk di dunia selain arus di kawasan berkenaan dilaporkan sangat deras.

    Perdana Menteri Britain, Boris Johnson meluahkan rasa kecewa di atas kejadian tersebut.

    “Saya sangat bersimpati kepada mangsa yang terlibat serta keluarga mereka namun tragedi berkenaan menekankan ia sangat berbahaya untuk menyeberangi Selat Inggeris dengan cara begini,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Kabinet tergempar.

    Walaupun kedua-dua kerajaan menyalahkan sindiket penyeludupan, namun beberapa ahli politik Perancis berkata, keadaan ini boleh dielak jika Britain mengubah polisi imigresen melibatkan pendatang asing.

    Dalam insiden terdahulu, 14 migran ditemui lemas selepas cuba menyeberangi selat berkenaan untuk ke Britain.

    Tahun lepas, tujuh terkorban manakala dua lagi masih hilang sementara empat maut pada 2019.

  • Gempar ‘mayat’ hidup dalam peti sejuk

    Gempar ‘mayat’ hidup dalam peti sejuk

    SEORANG lelaki di New Delhi, India yang sudah disahkan meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya menjadi gempar apabila didapati masih bernafas walaupun semalaman diletakkan dalam peti sejuk di bilik mayat hospital.

    Srikesh Kumar yang berusia 45 tahun dikejarkan ke klinik kerana keadaannya kritikal akibat dilanggar sebuah motosikal di timur ibu negara, Moradabad.

    Lelaki itu kemudiannya dipindahkan ke sebuah pusat perubatan swasta sebelum disahkan doktor dia meninggal dunia.

    Menurut AFP, mangsa kemudian dipindahkan ke hospital kerajaan untuk bedah siasat pada Jumaat.

    Superintendan perubatan, Rajendra Kumar berkata, pegawai perubatan unit kecemasan menjalankan pemeriksaan ke atas tubuh badan lelaki.

    “Dia (pegawai itu) tidak menemui sebarang tanda (mangsa) bernyawa dan mengesahkan lelaki itu meninggal dunia,” katanya.

    Doktor itu berkata, maklumat itu diberikan kepada polis sebelum ‘mayat’ lelaki itu diletakkan di peti sejuk sehingga keluarganya menuntutnya enam jam kemudian.

    “Apabila pasukan polis dan keluarganya datang untuk memulakan proses dokumen bedah siasat, dia didapati masih bernyawa.

    “Lelaki itu menjalani rawatan lanjut tetapi masih lagi dalam keadaan koma. Ini satu keajaiban,” katanya.

    Dalam pada itu, siasatan masih dijalankan untuk menentukan bagaimana doktor berkenaan tersilap mengesahkan kematian lelaki itu.