Category: Luar Negara

  • Pemandu treler dihukum penjara 110 tahun sebabkan empat kematian dalam nahas ngeri

    Pemandu treler dihukum penjara 110 tahun sebabkan empat kematian dalam nahas ngeri

    SEORANG pemandu treler dijatuhi hukuman penjara 110 tahun semalam kerana menyebabkan kematian dalam nahas jalan raya di Colorado pada 2019.

    Rogel Aguilera-Mederos didapati bersalah pada Oktober atas lebih 20 pertuduhan, termasuk menyebabkan kematian dan cuai ketika memandu sehingga menyebabkan nahas ngeri itu.

    Aguilera-Mederos memberitahu penyiasat brek trak itu terputus dan tidak dapat berbuat apa-apa untuk mengelak kejadian daripada berlaku.

    Nahas itu berlaku di Interstate 70, Lakewood, Colorado, di barat Denver, lapor United Press International (UPI).

    KCNC-TV di Denver melaporkan, menerusi rakaman video kemalangan menunjukkan Aguilera-Mederos boleh menggunakan laluan treler untuk mengelak melanggar kenderaan lain, tetapi tidak melakukannya.

    Treler dipandunya merempuh kenderaan yang sedang berhenti, menyebabkan kebakaran besar dan membunuh empat orang – Doyle Harrison, William Bailey, Miguel Angel Lamas Arellano dan Stanley Politano.

    Hakim A. Bruce Jones berkata di bawah undang-undang negeri, beliau perlu menjatuhkan hukuman bagi setiap kesalahan dan atas faktor itu hakim mengenakan hukuman minimum bagi setiap pertuduhan.

    Aguilera-Mederos memohon pengampunan sebelum hukuman dijatuhkan dan meminta maaf kepada keluarga mangsa kerana ia adalah kemalangan dan bukan disengajakan. – Bernama

  • Hanya 20 saat, dua lelaki berjaya larikan jam tangan bernilai jutaan dolar

    Hanya 20 saat, dua lelaki berjaya larikan jam tangan bernilai jutaan dolar

    BAGAI babak dalam sebuah filem aksi, dua lelaki yang memecah masuk ke ruang pameran kereta mewah di Chicago, Amerika Syarikat berjaya mencuri sekurang-kurangnya lapan utas jam tangan berjenama mewah yang bernilai jutaan dolar dalam masa hanya 20 saat.

    Rompakan tersebut berlaku di ruang pameran Gold Coast Auto Gallery yang mempamerkan kereta Bentley, Lamborghini dan Rolls-Royce.

    Menerusi video berdurasi 21 saat yang dikongsikan MailOnline, dapat dilihat seorang daripada mereka berdiri di hadapan pintu sambil memegang sepucuk pistol, manakala seorang lagi memecahkan bekas pameran yang menempatkan jam tangan jenama mewah dan berjaya membawa lari sekurang-kurangnya lapan daripadanya.

    Seramai 10 pelanggan termasuk kanak-kanak dilaporkan berada di dalam premis itu semasa kejadian pada petang Sabtu.

    Pekerja-pekerja premis itu dilaporkan cuba mengejar dua perompak tersebut namun gagal menangkap mereka.

    “Kami mengejar mereka di sepanjang jalan, namun mereka kemudiannya berpecah,” kata pemilik bersama bilik pameran tersebut, Joe Abbas.

    Menurut laporan media tempatan, pemilik ruang pameran Gold Coast, Joe Perillo berkata, pemerintah dan pihak berkuasa perlu mengambil tindakan atau perniagaan tersebut akan meninggalkan bandar itu.

    “Jika mereka tidak melakukan apa-apa mengenai perkara ini, mereka akan kehilangan banyak perniagaan.

    “Mereka kehilangan Macy, Neiman Marcus dan mereka mungkin akan kehilangan ruang pameran ini,” katanya.

    Perillo turut mengambil langkah berjaga-jaga dengan meningkatkan keselamatan di ruang pameran tersebut dan merancang untuk memastikan pintu sentiasa berkunci walaupun semasa waktu perniagaan.

    Tambahnya, perkhidmatan juga akan dilakukan melalui temu janji sahaja mulai sekarang.

    Nilai dan model jam tangan yang dirompak bagaimanapun tidak didedahkan meskipun barangan tersebut adalah berkaitan kereta mewah yang dipamerkan.

    Bagaimanapun, tiada sebarang kecederaan dilaporkan dalam kejadian tersebut. 

  • Nenek berusia 104 tahun lulus ujian membaca

    Nenek berusia 104 tahun lulus ujian membaca

    SEORANG nenek yang berusia 104 tahun di Kerala, India lulus ujian membaca dan menulis dalam peperiksaan celik huruf peringkat negeri baru- baru ini.

    Kuttiyama, berkesempatan belajar membaca dan menulis apabila dia menyertai program celik huruf yang ditaja oleh kerajaan selepas tidak bersekolah semasa kecil kerana keluarganya miskin.

    warga emas tersebut yang berkahwin ketika berusia 16 tahun dan mempunyai lima anak berjaya mendapat markah 89 peratus dalam ujian celik huruf selain 100 peratus untuk ujian Matematik pada bulan lalu.

    Menurut akhbar The Guardian pada minggu lalu, dia akan mengambil peperiksaan darjah empat yang pada kebiasaannya diduduki oleh murid-murid berusia sembilan tahun.

    Dia yang berkahwin dengan seorang peniaga herba akan mengambil peperiksaan dalam bahasa Malayalam, Inggeris, Matematik dan Alam Sekitar.

    Nenek yang mempunyai masalah pendengaran dan penglihatan mendapat bimbingan seorang jirannya, Rehana John yang membantunya melakukan persediaan untuk mengambil peperiksaan celik huruf itu.

    Sejak dibimbing oleh Rehana, Kuttiyama boleh membaca keseluruhan perenggan berbanding hanya beberapa ayat mudah sebelum ini. – Agensi

  • Korban nahas treler di Mexico meningkat kepada 55 orang

    Korban nahas treler di Mexico meningkat kepada 55 orang

    JUMLAH migran Amerika Tengah yang maut dalam nahas treler di Chiapas, Mexico meningkat kepada 55 orang, kata Gabenor Rutilio Escandon pada Jumaat, lapor Xinhua.

    Treler membawa lebih 150 pendatang tanpa izin itu terbalik kira-kira 3.30 petang waktu tempatan pada Khamis dalam satu kejadian di lebuh raya yang menghubungkan Tuxtla Gutierrez dengan bandar Chiapa de Corzo.

    “Seorang lagi mangsa meninggal dunia hari ini,” kata gabenor itu di Twitter.

    Penyelaras Perlindungan Awam Mexico, Laura Velazquez Alzua yang berada di lokasi kejadian  memberitahu akhbar tempatan, daripada 152 migran, seramai 73 cedera dan 24 lagi tidak mengalami sebarang kecederaan.  

    Presiden Mexico Andres Manuel Lopez Obrador yang dukacita dengan kejadian itu berkata perlunya usaha untuk menangani punca penghijrahan besar-besaran untuk mengelakkan lebih banyak tragedi sama berulang. 

    Sementara itu, Menteri Luar Mexico,Marcelo Ebrard, berkata kementerian sedang berhubung dengan kerajaan negara asal migran tersebut termasuk Guatemala dan Ecuador serta beberapa lagi negara lain.

    Pihak berkuasa berkata nahas itu dipercayai berpunca daripada masalah teknikal menyebabkan trak terbabas dan melanggar tembok penghadang sebelum merempuh jambatan pejalan kaki.- Bernama

  • 49 pendatang haram dalam trak maut kemalangan ketika cuba masuk AS

    49 pendatang haram dalam trak maut kemalangan ketika cuba masuk AS

    SEKURANG-KURANGYA 49 pendatang haram maut selepas trak yang mereka naiki melanggar tembok penahan dan terbalik di negeri Chiapas, Mexico, dipercayai mahu menuju ke Amerika Syarikat (AS).

    Selain itu, 40 orang lagi cedera dengan tiga daripadanya serius, menurut laporan awal daripada pendakwa raya di Chiapas, negeri Mexico yang bersempadan dengan Guatemala dan tempat transit utama pendatang tanpa izin yang cuba memasuki AS.

    Pemandu itu dipercayai memandu laju sebelum dia hilang kawalan ke atas kenderaan tersebut di sebuah lebuh raya yang menghubungkan bandar Chiapa de Corzo dengan ibu negeri, Tuxtla Gutierrez.

    Warganegara mangsa-mangsa yang terbunuh masih belum didedahkan dan pendatang haram itu dilaporkan bersembunyi dalam trak tersebut.

    Gabenor negeri, Rutilio Escandón menyatakan solidaritinya dengan mangsa-mangsa kejadian itu.

    “Saya telah memberi arahan untuk mereka yang cedera mendapat perhatian dan bantuan segera,” katanya menerusi Twitter seperti dilaporkan oleh AFP.

    “Penguatkuasaan undang-undang akan menentukan siapa yang bertanggungjawab,” katanya. – Agensi

  • Penggal kakak sebelum berswafoto, berarak dengan kepala wanita itu

    Penggal kakak sebelum berswafoto, berarak dengan kepala wanita itu

    SEORANG remaja bertindak kejam apabila memenggal kepala kakaknya itu sebelum berswafoto dan berarak dengannya selepas berang mengetahui wanita itu hamil kerana kahwin lari.

    Remaja tersebut melakukan perbuatan itu dikatakan demi menjaga maruah keluarga selepas kakaknya, Kirti Thore, 19, berkahwin lari dengan lelaki dicintainya apabila mendapat tentangan.

    Polis menahan remaja berusia 17 atau 18 tahun itu dan ibunya, Shobhabai Mote selepas kejadian di perkampungan Ladgaon, Aurangabad.

    Mereka sebelum itu melawat Kirti yang tinggal di kampung berkenaan bersama keluarga suaminya, menurut One India.

    Penolong Pesuruhjaya Polis Kailash Prajapati berkata, adik Kirti menyerangnya dari belakang dengan sabit sementara ibu memegang kakinya.

    Katanya, remaja itu kemudian memenggal kepala mangsa dan membawanya keluar.

    Prajapati berkata, ketika kejadian suami Kirti sakit dan berbaring di dalam rumah, hanya tersedar apabila mendengar bunyi pinggan mangkuk jatuh.

  • Profesor bunuh isteri, anak sebab takutkan Omicron

    Profesor bunuh isteri, anak sebab takutkan Omicron

    SEORANG profesor perubatan di India membunuh isteri dan dua anaknya di Apartmen Divinity di Indiranagar, timur Bangalore.

    Suspek yang dikenali Dr. Sushil Kumar memberi alasan melakukan demikian kerana mahu ‘membebaskan’ mereka daripada kesakitan.

    Profesor perubatan forensik bertugas di Kolej Perubatan Rama itu turut menghubungi adik lelakinya selepas insiden dan memintanya memaklumkan kejadian kepada pihak polis.

    India Times melaporkan mangsa adalah isteri Sushil, Chandraprabha, 48, anak lelaki, Shikhar, 18, dan anak perempuan mereka yang berusia 10 tahun.

    Polis menemui nota dipercayai ditulis Sushil yang berbunyi, “saya sudah bosan mengira jumlah mayat dan tiada yang terlepas daripada Omicron.”

    Sushil juga memaklumkan yang tindakannya semata-mata ‘membebaskan semua orang daripada kesakitan’.

    Apabila adiknya yang bekerja di pusat kesihatan awam tiba, dia menemui kakak ipar, anak saudara lelaki dan perempuan terbaring dengan tukul yang dipercayai digunakan membunuh mereka terletak berhampiran.

    Omicron adalah varian baharu Covid-19 yang menjadi ancaman terbesar kerana dikatakan lebih berbahaya daripada varian sedia ada.

    Sekurang-kurangnya lima kes varian itu dikesan di India dan tiada kematian dilaporkan.

  • Portland Selatan lantik Datuk Bandar wanita Islam kulit hitam pertama

    Portland Selatan lantik Datuk Bandar wanita Islam kulit hitam pertama

    PERSPEKTIF negatif yang tinggi dan tanggapan ekstrem yang menebal dalam kalangan masyarakat di barat terhadap Islam semakin hari semakin menipis.

    Jika dahulu sebut saja mengenai umat Islam lebih-lebih lagi jika anda berketurunan kulit hitam mahu pun dari timur tengah, pasti penduduk di barat akan menggeletar ketakutan dan mula berfikir mengenai keganasan.

    Namun kini senario itu telah berubah.

    Umat Islam tidak lagi dipandang serong dan mula diterima baik oleh masyarakat barat sepertimana yang dapat dilihat dengan pelantikan Deqa Dhalac, 53, sebagai Datuk Bandar di sebuah bandar di Maine, Amerika Syarikat (AS) yang 90 peratus penduduknya merupakan warga kulit putih.

    Dhalac mencipta sejarah di bandar itu dengan menjadi wanita Islam kulit hitam pertama dilantik Datuk Bandar Portland Selatan, bandar keempat terbesar di Maine, pada Selasa.

    Ahli Majlis Perbandaran Portland Selatan yang lain – semuanya berkulit putih – sebulat suara mengundi memilih Dhalac, yang datang ke AS pada 1992 selepas perang saudara meletus di Mogadishu, Somalia.

    Menurut New American Leaders – kumpulan yang melatih dan menyokong pendatang, pelarian, dan pelbagai calon lain untuk jawatan kerajaan – Dhalac ialah Datuk Bandar Somalia-Amerika yang pertama di AS.

    “Sebagai individu kulit hitam, pendatang, dan wanita Islam yang sebelum ini merupakan orang kulit hitam pertama dan Muslim pertama yang dipilih ke Majlis Bandaraya Portland Selatan, Datuk Bandar Dhalac adalah kuasa untuk perubahan positif dalam komunitinya.

    “Kami berbangga memilikinya dalam rangkaian pegawai terpilih Amerika Baru dan memandang ke hadapan terhadap semua perkara menakjubkan yang akan beliau capai sebagai Datuk Bandar Portland Selatan,” kata kumpulan itu di Instagram,

    “Orang ramai akan sentiasa mempunyai beberapa jenis kehendak, tetapi kami mahu mengetahui mengenai anda, mendengar anda dan melihat siapa anda,” kata Dhalac pada majlis meraikannya.

    Sambil menyatakan bahawa beliau memutuskan untuk menceburi politik menentang dasar Islamofobia bekas Presiden AS Donald Trump, Dhalac berkata, dia berharap pemilihannya akan menjadi contoh kepada kumpulan minoriti lain dan generasi baharu di negara itu.

    Ketika beliau bertanding untuk pilihan raya Majlis Bandaraya pada 2018, orang ramai takut untuk membuka pintu kepadanya apabila dia mengetuk untuk meminta undi mereka, katanya, sambil menambah ada yang menyangka dia tidak tahu berbahasa Inggeris.

    Beliau melahirkan rasa bangga kerana menunjukkan contoh kepada generasi akan datang yang berada dalam kedudukan yang sama seperti sekarang. – Agensi

  • Ketua turus tentera India, isteri maut dalam nahas helikopter

    Ketua turus tentera India, isteri maut dalam nahas helikopter

    KETUA Turus Tentera India Jeneral Bipin Rawat dan 12 yang lain disahkan terkorban dalam satu nahas udara di Tamil Nadu pada Rabu.

    Helikopter Mi-17V5 Tentera Udara India yang membawa 14 penumpang termasuk isteri Rawat dan pegawainya itu terhempas berhampiran Coonoor.

    “Dengan penuh dukacita, kini disahkan Jeneral Bipin Rawat, Madhulika Rawat dan 11 lagi penumpang yang berada di dalam helikopter itu disahkan terbunuh,” menurut Tentera Udara India.

    Seorang mangsa yang cedera sedang menerima rawatan di hospital tentera.

    Helikopter malang itu berlepas dari pangkalan tentera udara Sulur di daerah Coimbatore dan dalam perjalanan ke Kolej Perkhidmatan Pertahanan di Wellington di daerah Nilgiris, lapor media India.

    Wellington terletak kira-kira 80 kilometer dari Coimbatore.

    Selepas bersara sebagai ketua tentera Rawat, 63, menjadi Ketua Turus Pertahanan (CDS) pertama India sejak jawatan itu diwujudkan pada 2019.

    Selaku CDS, beliau juga mengetuai Jabatan Hal Ehwal Ketenteraan (DMA), sebuah badan yang baharu diwujudkan untuk menyelaraskan hal ehwal tentera darat, laut dan udara.

    “Jeneral Rawat mengusahakan pelbagai aspek berkaitan angkatan tentera kita termasuk melaksanakan pembaharuan pertahanan. Beliau mempunyai pengalaman yang sangat luas dalam tentera darat. India tidak akan melupakan jasanya,” kata Perdana Menteri Narendra Modi.

    Menteri Pertahanan Rajnath Singh menyifatkan pemergian Rawat satu “kehilangan yang tiada galang gantinya” bagi angkatan tentera dan negara India. – Bernama

  • Tujuh pengaman PBB, tiga yang lain cedera dalam letupan di Mali

    Tujuh pengaman PBB, tiga yang lain cedera dalam letupan di Mali

    TUJUH anggota pengaman Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) maut dalam satu letupan yang berlaku di wilayah tengah Mali pada Rabu.

    Serangan di wilayah Bandiagara yang menggunakan alat letupan diubah suai itu juga telah menyebabkan 3 anggota pengaman yang lain cedera.

    Jurucakap Misi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Mali (MINUSMA), Olivier Salgado, kesemua mereka merupakan ahli sebuah konvoi logistik yang sedang dalam perjalanan dari Douentza ke Sevare.

    Ketua MINUSMA, El-Ghassim Wane, dalam respons beliau terhadap insiden itu menyifatkan serangan tersebut dilakukan oleh pengecut yang menyerang hendap anggota pengaman PBB, lapor agensi berita Anadolu Agency (AA).

    “Tragedi ini boleh dianggap sebagai satu jenayah perang dan merupakan satu dari ratusan serangan yang dilakukan terhadap anggota pengaman di Mali,” katanya.

    Dari itu menurut Setiausaha Bagi Operasi Keamanan PBB, Jean-Pierre Lacroix, kumpulan penyerang dikenalpasti sebagai rakyat Togo.

    Bagaimanapun sehingga setakat ini tiada kumpulan yang mengaku bertanggungjawab melakukan serangan tersebut.

    Sejak ditempatkan di Mali pada 2013 MINUSMA telah merekodkan 230 kematian anggota akibat serangan serangan yang disasarkan terhadapnya.

    Mali pada ketika ini sedang berhadapan dengan pemberontakan yang dikaitkan dengan kumpulan militan al-Qaeda dan Daesh/ISIS yang bermula pada tahun 2012. – Bernama