Category: Luar Negara

  • Menteri Ukraine anggap watak dalam drama ‘Emily in Paris’ menghina

    Menteri Ukraine anggap watak dalam drama ‘Emily in Paris’ menghina

    MENTERI Kebudayaan Ukraine, Oleksandr Tkachenko telah membuat bantahan kepada Netflix selepas salah satu watak dalam siri “Emily In Paris” memaparkan stereotaip buruk rakyat negara itu.

    Dalam siri terbaru Netflix itu watak ‘Petra’ yang dimainkan oleh pelakon berbangsa Ukraine, Daria Panchenko menunjukkan seorang perempuan daripada Kyiv yang tidak berfesyen, mencuri di Paris dan takut untuk dihantar pulang ke negara asalnya.

    Tkachenko berpendapat, watak tersebut “menghina” rakyat Ukraine.

    “Dalam ‘Emily in Paris’, ada watak imej seorang wanita Ukraine yang sama sekali tidak boleh diterima. Ia juga menghina,” tulis beliau di Telegram.

    Menurut media Ukraine, Tkachenko menghantar surat bantahan kepada Netflix berhubung watak tersebut.

    Seorang warga Ukraine yang menetap di Paris turut bersetuju setuju dengan Tkachenko.

    “Paparan imej orang Ukraine dalam episode keempat di musim kedua ini adalah helah murahan dan memalukan,” kata Yevheniya Havrylko dalam akaun Instagramnya yang mendapat lebih 75,000 tanda suka.

    Ini bukan kali pertama “Emily In Paris” mendapat kritikan tentang cara mereka menggambarkan rakyat negara lain.

    Pada musim pertama, rakyat Perancis kurang setuju dengan imej stereotaip ibu negara dan rakyat  mereka yang dipaparkan dalam siri tersebut.

    Drama tersebut memaparkan orang Perancis sebagai orang yang biadab dan tidak setia dengan pasangan mereka.

    Dalam musim baharu siri itu, ia memaparkan watak seorang warga Britain bernama Alfie yang menghabiskan masanya dengan minum di pub dan menonton bola sepak.

    Penulis siri Netflix tersebut, Darren Star menyatakan bahawa beliau tidak kecewa dengan kritikan negatif cerita tersebut pada musim pertamanya kerana ia berdasarkan pengalaman ketika di Paris.

  • Eropah catat lebih 100 juta kes COVID

    Eropah catat lebih 100 juta kes COVID

    EROPAH mencatatkan sehingga lebih 100 juta kes COVID, lebih satu pertiga daripada jangkitan keseluruhan dari awal permulaan pandemik tersebut.

    Ia telah menjadi titik tengah kepada jumlah kes-kes COVID sejak beberapa bulan ini tambahan pula dengan lonjakan kes varian Omicron di benua berkenaan.

    Agensi berita asing melaporkan, benua Eropah termasuk 52 negara dan kawasan dari persisiran Atlantik, Azerbaijan dan Rusia merekodkan sebanyak 100,074,753 jangkitan COVID-19 sejak dua tahun lepas.

    Jumlah tersebut adalah bersamaan satu pertiga daripada 288,279,803 kes keseluruhan yang dicatat sejak awal pandemik pada akhir 2019 di China.

    Dalam tempoh tujuh hari, Eropah telah mencatat 4.9 juta kes dengan 17  daripada 52 negara tersebut memecah rekod jumlah kes paling tinggi mereka yang pernah dicatatkan sebelum ini.

    Perancis sahaja terdapat lebih dari 1 juta kes baharu pada minggu lepas, 10 peratus daripada jumlah keseluruhan kes positif yang dicatatkan sejak awal gelombang pandemik.

    Negara-negara yang mempunyai kadar jangkitan paling tinggi dalam 100,000 penduduk kesemuanya daripada benua Eropah. Denmark mencatatkan jumlah paling buruk iaitu 2,045 kes, diikuti oleh Cyprus (1,969 kes) dan Ireland (1,964 kes). Bagaimanapun kematian berkiatan COVID-19 menurun di benua tersebut.

    Secara kesuluran, rakyat negara-negara Eropah mempunyai kadar vaksinasi yang paling tinggi di dunia. Menurut  “Our World is Data”, 65 peratus daripada rakyat-rakyat benua tersebut divaksinasi separa dan 61 peratus mempunyai vaksinasi  lengkap

  • [VIDEO] Penduduk terkejut besar lihat ikan turun dari langit

    [VIDEO] Penduduk terkejut besar lihat ikan turun dari langit

    FENOMENA ikan terdampar dalam jumlah yang besar di pinggir pantai merupakan perkara yang kadang-kadang dilihat sebelum berlaku bencana alam seperti tsunami.

    Namun lain pula halnya di bandar Texarkana, Texas, Amerika Syarikat.

    Penduduk di situ terkejut besar apabila mendapati kawasan mereka dihujani dengan ikan-ikan yang turun dari langit.

    Sumber: YouTube

    Pada mulanya mereka menyangka fenomena ganjil itu cuma satu imaginasi.

    Walau bagaimanapun, pihak berkuasa tempatan Texarkana dalam laman Facebook miliknya mengesahkan bahawa kejadian pada 30 Disember lalu itu benar-benar berlaku.

    “Tidak, ini bukan satu jenaka. Hujan haiwan adalah satu fenomena yang berlaku apabila hidupan air yang kecil seperti katak, ketam dan ikan disapu oleh aliran air atau angin di atas permukaan bumi.

    “Haiwan-haiwan tersebut akan gugur semula ke bumi bersama air hujan.

    “Walaupun ia jarang berlaku, fenomena itu memang benar, seperti yang dapat dilihat di beberapa lokasi di Texarkana,” jelas laman Facebook The City of Texarkana, Texas.

    Ramai penduduk Texarkana yang berkongsi gambar dan pengalaman mereka melihat hujan ikan dalam ruangan komen laman Facebook berkenaan.

    ikan langit Texarkana
    Sumber: Facebook City of Texarkana, Texas

    Sekurang-kurangnya mereka beruntung kerana tidak perlu ke pasar untuk membeli ikan dalam masa sehari dua ini.

    Memang sukar dipercayai jika kita tidak melihat sendiri fenomena hujan ikan yang berlaku di Texarkana itu.

    Namun, dengan kuasa dan izin Allah SWT, ia tidak mustahil seperti banyak perkara aneh dan ganjil yang pernah disaksikan di seluruh dunia sebelum ini.

  • Israel lancar serangan terhadap Gaza malam tadi

    Israel lancar serangan terhadap Gaza malam tadi

    Rejim Zionis Israel menyerang kedudukan pejuang pembebasan Hamas di selatan Gaza lewat malam tadi selepas tembakan roket dilancarkan dari kawasan Palestin, kata sumber keselamatan dan tentera.

    Memetik laporan AFP, tentera rejim Zionis Israel, dalam mesej ringkas kepada media memberitahu bahawa mereka ‘sedang melakukan serangan’ di Gaza, wilayah Palestin yang dikawal oleh pejuang pembebasan Hamas.

    Pesawat tentera rejim Zionis Israel menyasarkan lokasi yang dikatakan diduduki oleh Briged al-Qassam di barat Khan Yunis di selatan Gaza, kata sumber Palestin kepada AFP.

    Sumber itu turut melaporkan tembakan meriam ke atas pangkalan pemerhatian Hamas di utara Gaza.

    Serangan berlaku selepas dua roket dilancarkan dari Semenanjung Gaza pagi semalam dan jatuh di Laut Mediterranean, di luar pantai Tel Aviv.

    Tentera Rejim Zionis Israel dalam satu kenyataan berkata, tiada siren dibunyikan dan sistem pemintasan roket ‘Iron Dome’ atau Kubah Besi Israel tidak digunakan.

    Rejim Zionis Israel mengekalkan sekatan ke atas kawasan yang miskin itu sejak 2007 iaitu pada tahun Hamas mengambil alih kuasa.

    Tahun lalu, Hamas melancarkan serangan roket bertalu-talu ke arah Israel ketika konflik 11 hari tercetus akibat ketegangan di Baitulmuqaddis.

    Gencatan senjata yang longgar berkuat kuasa pada akhir Mei dan sejak itu hanya lima roket atau peluru mortar dilepaskan dari Gaza ke arah wilayah Israel.

  • 12 maut dalam kejadian rempuhan di Kashmir

    12 maut dalam kejadian rempuhan di Kashmir

    SEKURANG-KURANNGNYA 12 orang maut dan ramai lagi cedera dalam kejadian rempuhan berhampiran sebuah kuil di Jammu, Kashmir pada Sabtu, lapor agensi berita Xinhua memetik kenyataan seorang anggota kanan polis.

    Kejadian berlaku kira-kira 2.45 pagi waktu tempatan, selepas berlaku pertengkaran antara dua kumpulan lalu mengakibatkan orang ramai tolak-menolak dan kemudian berlaku kejadian rempuhan.

    Kebanyakan mangsa yang terkorban dikatakan penduduk Delhi, Haryana, Punjab, dan seorang dari Kashmir, manakala mereka yang cedera telah dihantar ke hospital berhampiran.

    Orang ramai melawat kuil Mata Vaishno untuk upacara sembahyang pada hari pertama setiap tahun. – Bernama

    13) 1,080 mangsa banjir dipindahkan di Segamat, Tangkak

  • Seramnya, nampak bayang hantu dalam gambar selfie

    Seramnya, nampak bayang hantu dalam gambar selfie

    HATI-HATI apabila berswafoto di hadapan cermin kerana anda mungkin merakam imej hantu yang bergentayangan secara tidak sengaja.

    Pengalaman yang menakutkan dan menyeramkan itu berlaku terhadap seorang wanita, Cayley Boshoff di sebuah hotel di Kerry, Ireland, baru-baru ini.

    Memetik laporan Mirror, ibu beranak tiga yang berusia 33 tahun itu berkata, dia sedang bersiap untuk keluar sebelum mengambil swafoto menggunakan telefon pintarnya.

    Dia menyangka hanya bersendirian di dalam bilik hotel tersebut sebelum dia membelek semula gambar-gambar swafoto yang diambil keesokannya.

    Ireland
    Imej hantu menyerupai budak perempuan di dalam bulatan merah. (Gambar – Mirror)

    Boshoff yang berasal dari Galway, Ireland mengesan satu imej ganjil dalam cermin di belakang tubuhnya.

    Imej itu kelihatan seperti muka putih pucat dan bermata hitam merenung dari belakangnya.

    “Saya pergi ke sebuah hotel di Kerry, Ireland, malam itu saya bersendirian. Saya sedang bersiap untuk menyaksikan konsert sebuah kugiran.

    “Saya mengambil gambar dengan menggunakan fungsi pemasa. Apabila saya pulang ke rumah keesokannya dan melihat gambar-gambar tersebut, saya nampak sesuatu,” jelasnya.

    hantu
    CAYLEY BOSHOFF (Gambar: Mirror)

    Ketika itu, Boshoff tidak menyedari kewujudan ‘hantu’ tersebut di dalam bilik hotel.

    Insiden itu menyebabkan dia berasa seram dan wanita berkenaan seterusnya berkongsi gambar-gambar yang diambilnya dalam Facebook.

    Beberapa netizen mendakwa mereka dapat melihat seorang kanak-kanak dalam gambar berkenaan.

    “Kelihatan seperti wajah seorang budak perempuan di sisi anda dalam cermin,” kata salah seorang daripada mereka.

    “Nampak seperti budak kecil dalam cermin,” kata seorang lagi netizen.

    Walau bagaimanapun, insiden itu bukan kali pertama Boshoff ternampak hantu.

    Sebelum ini, dia pernah mengalami insiden serupa menjelang Krismas dua tahun lalu.

    Boshoff tidak mempercayai hantu benar-benar wujud dan dia menganggap insiden yang berlaku terhadapnya itu sebagai satu kebetulan.

  • Gempar! Kambing lahirkan anak mirip wajah manusia

    Gempar! Kambing lahirkan anak mirip wajah manusia

    SEEKOR kambing betina telah melahirkan anak yang mempunyai wajah menyerupai manusia baru-baru ini, lantas menjadi bualan dan tarikan dalam kalangan penduduk di sebuah kampung di India.

    Memetik laporan Mirror, anak kambing tersebut dilahirkan di Kampung Gangapur.

    Pemiliknya, Shankar Das, 46, berkata, anak kambing itu mati tidak lama selepas ia dilahirkan.

    Haiwan yang kelihatan aneh itu dilahirkan dengan hanya sepasang kaki serta muka, hidung dan mulut yang dikatakan mirip manusia.

    Namun, ia tidak mempunyai ekor manakala telinganya juga tidak sempurna serta tidak mempunyai bulu pada kulitnya.

    Kejadian luar biasa itu amat mengejutkan bagi pemilik kambing terbabit yang kali pertama berdepan dengannya.

    “Jiran-jiran datang ke rumah kami. Semua orang terkejut kerana ia menyerupai seorang bayi.

    “Sebelum ini, kambing betina itu pernah bersalin. Kali ini yang kedua. Kejadian ini mengejutkan saya dan penduduk kampung juga,” kata Shakar.

    Kambing yang berwajah aneh itu mati tidak lama selepas ia dilahirkan, Gambar: Tahir Ibn Manzoor / SWNS.COM

    Dia menambah, penduduk kampung pada mulanya gembira apabila seekor anak kambing betina dilahirkan namun mereka kemudia kecewa apabila melihat apa yang berlaku.

    Di India, kelahiran haiwan yang cacat dianggap sebagai petanda malang kepada pemiliknya.

    Seorang penduduk, Rakesh Kumar berkata, di kebanyakan tempat, kejadian sedemikian dianggap sebagai amaran dari tuhan.

    Shakar memberitahu, keluarganya sedih dan keliru dengan insiden yang aneh itu.

    Sementara itu, seorang pakar veterinar, Fayyaz Ahmad berkata, anak kambing itu mungkin mengalami mutasi akibat jangkitan demam Lembah Rift.

    “Terdapat juga kemungkinan lain yang menyebabkan berlaku mutasi genetik.

    “Para petani dinasihatkan agar membawa haiwan milik mereka ke veterinar untuk pemeriksaan lanjut,” jelasnya.

  • 3 mangsa terbunuh dalam letupan gas rumah mandian

    3 mangsa terbunuh dalam letupan gas rumah mandian

    KEJADIAN letupan gas di sebuah rumah mandian di wilayah timur Fergana di Uzbekistan telah mengakibatkan tiga terbunuh dan mencederakan empat yang lain, menurut Kementerian Kecemasan Uzbek pada Jumaat.

    Letupan itu mengakibatkan bumbung rumah mandian runtuh dan pasukan kecemasan diarah menjalankan operasi menyelamat, Xinhua memetik kementerian sebagai berkata.

    Sementara itu, siasatan awal masih dijalankan berhubung kejadian, tambah kementerian itu. – BERNAMA

  • Arab Saudi wajibkan semula pemakaian pelitup muka, penjarakan fizikal

    Arab Saudi wajibkan semula pemakaian pelitup muka, penjarakan fizikal

    KERAJAAN Arab Saudi mewajibkan semula pemakaian pelitup muka dan penjarakan fizikal di kesemua tempat tertutup dan terbuka bermula Khamis.

    Agensi Berita Saudi (SPA) yang memetik sumber Kementerian Dalam Negeri (MoI) Saudi melaporkan keputusan itu dibuat selepas kes harian jangkitan Covid-19 di negara itu kembali melonjak.

    Sehingga semalam, Arab Saudi mencatatkan 602 kes jangkitan baharu, 147 kes sembuh dan satu kematian.

    Pada Okt lepas, Arab Saudi mengumumkan beberapa kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 antaranya individu yang sudah divaksin sepenuhnya tidak perlu lagi memakai pelitup muka di tempat awam terbuka.

    MoI menjelaskan semua prosedur dan arahan semasa tertakluk kepada penilaian berterusan oleh pihak berkuasa kesihatan, berdasarkan perkembangan situasi epidemiologi tempatan dan global.

    MoI turut mengulangi gesaan supaya orang ramai mematuhi langkah berjaga-jaga dan segera melengkapkan dos vaksinasi mereka. – BERNAMA

  • Kanak-kanak maut dilempar mercun ketika tidur

    Kanak-kanak maut dilempar mercun ketika tidur

    SEORANG kanak-kanak perempuan maut, kelmarin, selepas cedera di bahagian leher akibat terkena mercun yang dilempar oleh seorang remaja lelaki menerusi tingkap bilik tidurnya dalam satu kejadian di bandar Barrestos, Sao Paulo, Brazil.

    Mangsa, Aylla Manuella Ribeiro da Piedade,4, pada ketika itu sedang nyenyak tidur di dalam sebuah bilik di rumahnya sebelum remaja lelaki berusia 14 tahun berkenaan bertindak melempar mercun ke arah kawasan perumahan yang diduduki mangsa.

    Media tempatan melaporkan mangsa disahkan meninggal dunia sekitar jam 2.30 pagi kelmarin setelah dikejarkan ke hospital.

    Rakaman kamera litar tertutup memaparkan remaja lelaki berkenaan menyalakan mercun sambil diperhatikan beberapa kanak-kanak dan remaja lain dan melempar mercun berkenaan ke arah rumah mangsa.

    Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) memaparkan remaja lelaki berkenaan (rambut kuning) membaling mercun ke arah rumah mangsa.

    Ibu dan bapa tiri mangsa kemudiannya keluar dari rumah mereka sambil mendukung mangsa yang tercedera bagi mengenal pasti pelaku yang melempar mercun berkenaan.

    Ketua Polis Barrestos. Juliana da Silvana Paiva bekata, ibu mangsa sebelum itu telah meminta sekumpulan remaja dan kanak-kanak itu untuk berhenti bermain mercun di kawasan perumahan tersebut beberapa jam sebelum kejadian.

    “Remaja itu tahu ada sekurang-kurangnya tiga orang di dalam rumah tersebut. Namun, masih mengambil risiko untuk terus melempar mercun di kawasan itu sehingga telah menyebabkan kecederaan, malah kematian,” katanya.

    Remaja berkenaan kini sedang disoal siasat di atas sakwaan kecuaian sehingga menyebabkan kecederaan.