Category: Luar Negara

  • Ahli Parlimen dilempar tanah, selepas Presiden Perancis ikrar susahkan kelompok antivaksin

    Ahli Parlimen dilempar tanah, selepas Presiden Perancis ikrar susahkan kelompok antivaksin

    SEORANG ahli Parlimen Perancis dibaling tanah di luar rumahnya sehari selepas Presiden negara itu, Emmanuel Macron berikrar akan menyusahkan rakyat yang anti vaksin.

    Stephanie Claireaux, ahli parti pemerintah,  La République en Marche (LREM) disambut dengan lemparan lumpur, batu dan juga rumpai laut di Saint Pierre.

    Pada 17 Januari ini, Perancis akan memperkenalkan undang-undang baru  yang antara lain mewajibkan semua rakyat negara itu menunjukkan bukti bahawa mereka sudah divaksin sebelum dibenarkan memasuki tempat-tempat awam.

    Claireaux berkata, beliau akan membuat aduan berikutan serangan tersebut memandangkan ahli politik itu telah menerima ugutan bunuh melalui sepucuk surat pada Isnin lalu.

    “Jelas sekali saya akan membuat aduan. Sesetengah daripada mereka merasakan kami membuat keputusan yang salah,” kata Claireaux.

    Dalam satu sesi soal jawab, Marcon yang ditanya oleh seorang jururawat bagaimana kerajaan akan bertindak terhadap mereka yang tidak mahu divaksin, Presiden Perancis itu berkata;

    “Saya berpendapat orang yang tidak mengambil vaksin ialah orang yang tidak bertanggungjawab.’’

    Macron juga dikritik hebat oleh ahli politik pembangkang selepas menyatakan ‘warganegara yang tidak vaksin bukan lagi rakyat Perancis’.

  • Hukuman penjara Aung San Suu Kyi tambah 4 tahun lagi

    Hukuman penjara Aung San Suu Kyi tambah 4 tahun lagi

    PEMIMPIN Myanmar yang digulingkan, Aung San Suu Kyi pada Isnin dijatuhi hukuman penjara empat tahun lagi.

    Hukuman itu diumumkan oleh mahkamah junta tentera di ibu negara Naypyitaw atas tuduhan memiliki walkie-talkie “diimport secara haram” dan melanggar sekatan kesihatan awam COVID-19, lapor Agensi Anadolu memetik sebuah laman web berita tempatan, Myanmar Now.

    Ini hukuman kedua yang dikenakan mahkamah junta sejak kerajaan pimpinan Liga Demokrasi Kebangsaan (NLD) pimpinan Suu Kyi diguling dalam rampasan kuasa tentera tahun lalu.

    Pemenang Hadiah Nobel itu sebelum ini dijatuhi hukuman penjara dua tahun kerana melanggar Undang-undang Eksport-Import, satu tahun kerana melanggar Undang-undang Komunikasi dan satu tahun lagi kerana “melanggar sekatan kesihatan awam COVID-19 semasa tempoh kempen pilihan raya 2020.

    Beliau akan menjalani hukuman penjara secara serentak, menurut laporan itu.

    Disember lalu, Suu Kyi dijatuhi hukuman penjara empat tahun kerana melanggar sekatan kesihatan berkaitan pandemik. Hukuman beliau kemudiannya dikurangkan kepada dua tahun.

    Terdapat tujuh lagi kes pertuduhan terhadap pemimpin yang digulingkan itu.

    Tentera Myanmar, yang dikenali sebagai Tatmadaw, melancarkan rampasan kuasa tentera pada Februari tahun lalu dan menahan pemimpin utama parti pemerintah.

    Menurut Persatuan Bantuan untuk Tahanan Politik yang berpangkalan di Myanmar, kira-kira 1,447 orang terbunuh dan hampir 8,500 penunjuk perasaan ditangkap dalam tindakan keras tentera terhadap bantahan besar-besaran dan pemberontakan menentang pemerintahan mereka. – BERNAMA

  • Lelaki tikam kepala pemandu jentera sehingga mati dipenjara seumur hidup

    Lelaki tikam kepala pemandu jentera sehingga mati dipenjara seumur hidup

    SEORANG  lelaki berusia 19 tahun dipenjara seumur hidup pada Jumaat lalu selepas didapati bersalah pada Jun 2021 kerana menikam seorang pemandu jentera di bahagian kepala hingga mati.

    George Knights, 19 merancang berjumpa dengan mangsa, Stephen Chapman, 38 untuk membeli kokain bernilai  £2,500 (RM14,278) pada pukul 8 malam pada Oktober 2020 walaupun tidak mempunyai wang.

    Knights kemudiannya menikam Chapmanyang merupakan bapa kepada lima orang anak di bahagian kepala dengan pisau ‘rambo’ dan mencuba untuk melupuskan mayat tersebut dengan meletakkan ia di dalam sebuah tong dan menuang asid ke atasnya.

    Mangsa dikatakan mati akibat tikaman dari pisau bermata dua itu yang terbenam di  dalam kepalanya.

    Stephen Chapman

    Pendakwaraya Caroline Carberry QC memberitahu, berkata mahkamah, Knights mengambil inspirasi daripada drama dadah popular AS, ‘Breaking Bad’ di mana dua watak utamanya cuba untuk melarutkan mayat dengan satu tong asid.

    Mahkamah Maidstone Crown diberitahu Knights terdesak untuk mendapatkan wang  dan menyatakan kepada seorang kawan bahawa dia merancang ‘menyakitkan seseorang’ dan merompak barangan bernilai £2,500.

    Selepas membunuh Chapman, Knights menghadiri sebuah pesta dan ‘berselfie’ menunjukkan dadah tersebut di belakangnya.

    Para juri juga diberitahu Knights menjadikan rumahnya sebagai tempat untuk memproses dadah dan taksub dengan pelbagai jenis senjata tajam.

    Detektif Gavin Moss, penyiasat utama untuk kes tersebut menyatakan Knights tidak menunjukkan sebarang reaksi selepas dijatuhkan hukuman.

  • 19 termasuk 9 kanak-kanak terbunuh selepas bangunan di New York terbakar

    19 termasuk 9 kanak-kanak terbunuh selepas bangunan di New York terbakar

    SERAMAI 19 orang termasuk Sembilan kanak-kanak terbunuh dalam kebakaran di Twin Parks North West Complex, di The Brox, New York.

    Pesuruhjaya Jabatan Bomba New York (FDNY), Dan Nigro berkata api marak dan  merebak ke seluruh kompleks tersebut yang berpunca daripada alat pemanas mudah alih di bilik tidur.

    “Kami masih menyiasat punca kebakaran tersebut namun ia dikatakan bermula daripada alat pemanas tersebut yang rosak,” kata Nigro.

    Berdasarkan rekod, walaupun bangunan tersebut dibina pada  tahun 1972, namun dikatakan tidak mempunyai masalah struktur atau teknikal.

    “Kesemua penggera asap yang diletakkan di seluruh bangunan berfungsi dengan baik. Panggilan pertama kami terima adalah daripada seorang penghuni yang mendengar penggera berbunyi,” katanya.

    Namun, kata beliau sesetengah penghuni tidak mengendahkan kerana menganggap ia perkara biasa dan tiada apa-apa berlaku.

    “Pada awalnya kami dengar ia bunyi banyak kali, tapi kami tidak endah kerana kadang-kadang ia bunyi sebab ada orang merokok,” kata Michael Joseph, 32 yang tinggal bersama pak ciknya.

    Cristal Diaz, salah seorang penghuni di bangunan tersebut menyatakan anak buahnya melihat beberapa wanita pengsan manakala anak-anak mereka bertarung nyawa.

    FDNY berkata seramai 32 orang masih dalam keadaan kritikal dan ia merupakan kebakaran paling buruk di  New York.

    Datuk Bandar New York, Eric Adams berterima kasih kepada ahli bomba yang bertungkus lumus menyelamatkan mansag.

    ‘’Walaupun  tangki oksigen mereka kosong tapi mereka meneruskan usaha menyelamat. Kami terkesan dengan peristiwa ini, apatah lagi apabila 19 orang terbunuh termasuk kanak-kanak,’’katanya.

    Adams  juga berkata, pemimpin  agama yang tinggal di kawasan bangunan tersebut banyak memberi bantuan.

    “Ia penting untuk orang agama di sini untuk datang dan memberikan bantuan,” kata Adams ketika mengenai Sheikh Musa Drammeh, seorang pendakwah warga Gambia yang datang membantu.

    “Terdapat ramai orang Islam dari Gambia tinggal di sini,” kata Adams.

    Gabenor New York, Kathy Hochul berkata beliau sedang menguruskan pampasan untuk mangsa-mangsa yang terlibat.

  • Suspek mengaku Mossad arah bunuh Imam Fadi al-Batsh

    Suspek mengaku Mossad arah bunuh Imam Fadi al-Batsh

    SUSPEK yang ditahan di Gaza kerana disyaki terlibat dalam kes pembunuhan pensyarah Universiti Kuala Lumpur British Malaysian Institute (UniKL BMI), Dr Fadi M R Albatsh Fatma pada 2018, dikatakan mengaku jenayah itu dilakukan atas arahan agensi perisikan rejim Zionis Israel, Mossad.

    Maklumat itu dikeluarkan oleh jurucakap Kementerian Dalam Negeri dan Keselamatan Negara Palestin, Iyad Albizm dalam kenyataan media hari ini.

    “Sebagai sebahagian daripada tindakan susulan Agensi Keselamatan Palestin ke atas kes pembunuhan syahid Fadi Albatsh di Malaysia pada 21 April 2018 dan melalui siasatan berterusan yang dijalankan oleh Keselamatan Dalam Negeri, pengakuan seorang yang sedang dalam tahanan menunjukkan penglibatannya dalam pembunuhan asy-syahid Albatsh atas arahan agensi Mossad Israel.

    “Siasatan dalam kes itu masih diteruskan,” katanya.

    Terdahulu, aktivis kemanusiaan di Gaza, Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman memaklumkan tentang penahanan suspek tersebut dalam laman Facebook beliau hari ini.

    “Hangat dari Gaza: Berita tersebar pagi tadi bahawa pengintip dan pembunuh Imam Fadi Al-Batsh di KL tahun 2018 berjaya ditangkap di Gaza oleh pihak keselamatan,” katanya.

    Beliau menambah, pembunuh tersebut masuk ke Gaza dan menghubungi pihak penjajah untuk meminta duit.

    Walau bagaimanapun, kata Muhammad Nadir, perbualannya diintip pihak keselamatan Gaza dan ditangkap.

    “Dia memaklumkan membunuh Imam Fadi bersama lelaki lain di KL ketika itu. Itu saja berita yang ada setakat ini,” jelasnya.

    Sementara itu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata, pihaknya akan mendapatkan maklumat lanjut terlebih dahulu berhubung dakwaan suspek sudah ditahan.

    Sebelum ini, media melaporkan pembunuhan Imam, Fadi dipercayai didalangi Agensi Perkhidmatan Rahsia Israel iaitu Mossad.

    Ketua Jihad Islam Palestin, Khaled al-Batash, yang mengeluarkan kenyataan itu berkata, dua suspek menaiki motosikal jenis BMW yang melepaskan tembakan jarak dekat berkenaan dipercayai ejen Mossad yang berada di Malaysia.

    Pembunuhan Fadi mendapat liputan meluas berita di Asia Barat dan menjadi kecoh apabila Khaled mengeluarkan kenyataan mendakwa pembunuhan itu didalangi serta dirancang oleh Mossad.

    Malah, kebanyakan portal berita, termasuk milik Israel seperti Haaretz.com, The Times Of Israel dan The Jerusalem Post (jpost) turut menyiarkan kenyataan Khaled yang mendakwa dua lelaki berkenaan adalah ejen Mossad.

    Fadi yang juga imam dari Palestin ditembak mati di kawasan pejalan kaki di luar sebuah kondominium di Jalan Gombak, Setapak, di Kuala Lumpur, ketika berjalan menuju ke surau untuk menunaikan solat Subuh.

  • Suspek bunuh Imam Fadi Albatsh ditangkap

    Suspek bunuh Imam Fadi Albatsh ditangkap

    SUSPEK yang disyaki terlibat dalam kes pembunuhan pensyarah Universiti Kuala Lumpur British Malaysian Institute (UniKL BMI), Dr Fadi M R Albatsh Fatma pada 2018, dipercayai sudah ditahan di Gaza.

    Perkara itu dimaklumkan oleh aktivis kemanusiaan di Gaza, Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman dalam laman Facebook beliau hari ini.

    “Hangat dari Gaza: Berita tersebar pagi tadi bahawa pengintip dan pembunuh Imam Fadi Al-Batsh di KL tahun 2018 berjaya ditangkap di Gaza oleh pihak keselamatan,” katanya.

    Beliau menambah, pembunuh tersebut masuk ke Gaza dan menghubungi pihak penjajah untuk meminta duit.

    Walau bagaimanapun, kata Muhammad Nadir, perbualannya diintip pihak keselamatan Gaza dan ditangkap.

    “Dia memaklumkan membunuh Imam Fadi bersama lelaki lain di KL ketika itu. Itu saja berita yang ada setakat ini,” jelasnya.

    Sementara itu, memetik laporan BH, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata, pihaknya akan mendapatkan maklumat lanjut terlebih dahulu berhubung dakwaan suspek sudah ditahan.

    Sebelum ini, media melaporkan pembunuhan Imam, Fadi dipercayai didalangi Agensi Perkhidmatan Rahsia Israel iaitu Mossad.

    Ketua Jihad Islam Palestin, Khaled al-Batash, yang mengeluarkan kenyataan itu berkata, dua suspek menaiki motosikal jenis BMW yang melepaskan tembakan jarak dekat berkenaan dipercayai ejen Mossad yang berada di Malaysia.

    Pembunuhan Fadi mendapat liputan meluas berita di Asia Barat dan menjadi kecoh apabila Khaled mengeluarkan kenyataan mendakwa pembunuhan itu didalangi serta dirancang oleh Mossad.

    Malah, kebanyakan portal berita, termasuk milik Israel seperti Haaretz.com, The Times Of Israel dan The Jerusalem Post (jpost) turut menyiarkan kenyataan Khaled yang mendakwa dua lelaki berkenaan adalah ejen Mossad.

    Fadi yang juga imam dari Palestin ditembak mati di kawasan pejalan kaki di luar sebuah kondominium di Jalan Gombak, Setapak, di Kuala Lumpur, ketika berjalan menuju ke surau untuk menunaikan solat Subuh.

  • Bekas guru ‘kanibal’ dipenjara seumur hidup

    Bekas guru ‘kanibal’ dipenjara seumur hidup

    MAHKAMAH di Berlin, menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup selepas didapati bersalah membunuh seorang lelaki dan memotong mayat mangsa demi merealisasikan fantasi kanibalnya.

    Hakim Matthias Schertz ketika membacakan keputusan itu menyifatkan tindakan tertuduh, Stefan R, amat tidak berperikemanusiaan.

    Menurutnya, kes seperti itu tidak pernah didengarinya sepanjang berkhidmat sebagai hakim, selama 30 tahun.

    Ketika hakim membacakan keputusan, tertuduh hanya mendiamkan diri dan tidak menunjukkan sebarang reaksi.

    Menurut pendakwa raya, Stefan menghubungi mangsa melalui aplikasi temu janji sebelum ‘mengumpan’ lelaki itu untuk datang ke rumah

    Setibanya di sana, mangsa dibius dengan dadah sebelum kerongkongnya dikelar dan alat sulitnya dipotong untuk dimakan.

    Mayat mangsa kemudian dipotong dan dibuang di sekitar di daerah Pankow di timur laut Berlin.

    Kes itu terbongkar pada November 2020 selepas serpihan tulang manusia ditemui di sebuah taman di kawasan perumahan. – AFP

  • Enam mangsa maut akibat banjir, tanah runtuh

    Enam mangsa maut akibat banjir, tanah runtuh

    Oleh MOHD ISWANDI KASAN ANUAR

    SEKURANG-KURANGNYA enam orang maut dan lebih 500 penduduk terpaksa meninggalkan rumah mereka selepas banjir teruk dan tanah runtuh di Wilayah Papua, menurut Badan Nasional Penanggulangan Bencana (BNPB).

    Ibu kota wilayah itu, Bandar Jayapura, menjadi antara kawasan yang paling teruk dilanda banjir, termasuk daerah Jayapura Utara, Jayapura Selatan, Abepura, Heram dan Muara Tami.

    “Hujan renyai masih membasahi Abepura,” kata jurucakap BNPB Abdul Muhari dalam satu kenyataan, sambil menambah bahawa banjir yang disebabkan oleh hujan lebat turun selama berjam-jam mulai 10 malam pada Khamis.

    Beberapa rumah, hospital dan bangunan awam semuanya terjejas dan penduduk berpindah dengan sebuah trak dan tiga bot getah.

    Sementara itu, angin ribut membadai daerah Aceh Tenggara, Wilayah Aceh, merosakkan 29 rumah, kemudahan awam dan dua gereja.

    Ia melanda Kampung Lawe Sagu Hulu, Kampung Mbacang Racun di Daerah Lawe Bulan, dan Kampung Tenembak Lang-lang di Daerah Deleng Pokhkison.

    Terkini, banjir juga menenggelamkan kawasan di wilayah Aceh, Jambi dan Sumatera Utara menyebabkan kira-kira 20,000 orang kehilangan tempat tinggal mereka. – BERNAMA

  • Bayi menangis dalam perjalanan ke kubur selepas disahkan meninggal dunia

    Bayi menangis dalam perjalanan ke kubur selepas disahkan meninggal dunia

    SEPASANG suami isteri di Turki terkejut apabila bayi mereka menangis sebelum sempat dikebumikan selepas disahkan meninggal dunia oleh pihak hospital.

    Melek Sert, 32 dan suaminya, Hasan Sert, 34 dimaklumkan oleh pihak Hospital Yuregir State di Adana anak mereka tidak dapat diselamatkan setelah dilahirkan ketika kandungan mencapai 5 bulan pada 2 Januari lalu.

    Hasan  turut diberikan sijil kematian dan pihak hospital mendakwa  isterinya mengalami keguguran.

    Ketika dalam perjalanan ke kubur, Hasan terkejut apabila anak kecilnya itu mula menangis di dalam kereta ketika dalam perjalanan ke tanah perkuburan untuk dikebumikan.

    Berikutan itu Hasan segera menghantar bayi tersebut ke hospital dan kini berada dalam keadaan kritikal.

    Melek sebelum itu mengalami kesakitan yang teruk pada bahagian perut dan dihantar ke hospital pada 27 Disember lalu  namun kembali sihat tiga hari kemudian.

    Bagaimanapun Melek sakit semula pada 31 Disember dan  pada 2 Januari keadaannya semakin teruk. Ketika dirawat, pihak hospital memaklumkan dia mengalami keguguran dan bayinya sudah ‘meninggal dunia’ selepas dilahirkan melalui proses biasa.

    Kubur kecil juga sudah digali selepas Hasan diberikan satu beg untuk meletakkan jenazah anaknya bagi tujuan pengebumian.

    Melek berkata, “Masa mereka mengambil anak saya, saya dapat merasakan anak saya hidup. Saya tanya suami saya jika anak kami hidup, tetapi jururawat memberitahunya bahawa bayi kami sudah meninggal dunia .”

    Pihak berkuasa kini menjalankan siasatan untuk mengenal pasti sama ada berlaku kecuaian atau tidak dalam kes tersebut.

  • Lebih 2,000 pasar haram Rohingya dirobohkan

    Lebih 2,000 pasar haram Rohingya dirobohkan

    LEBIH 2,000 pasar haram yang dikendalikan oleh pelarian etnik Rohingya di Cox’s Bazar, Bangladesh ditutup oleh pihak berkuasa di negara berkenaan.

    Memetik laporan Arab News, tindakan tersebut dilaksanakan oleh pasukan penguat kuasa atas pelbagai sebab termasuk menjual produk haram.

    Selain itu, penjenayah dikatakan turut menggunakan premis-premis perniagaan di kawasan pasar haram Rohingya terbabit untuk mengedar dadah dan barangan terlarang yang lain.

    Menurut Pesuruhjaya Bantuan dan Penghantaran Pulang Pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Shamasud Douza, pelarian Rohingya tidak dibenarkan menjalankan sebarang kegiatan perniagaan di kawasan kem pelarian.

    “Kedai haram dirobohkan dari masa ke masa sejak 2018 kerana kita juga memerlukan lebih banyak ruang kosong bagi menampung pelarian baharu.

    “Kini kerja-kerja pembaikan sedang dijalankan di kawasan tanah kosong bagi membina penempatan baharu dan pusat rawatan pelarian Rohingya,” jelasnya.

    Ekoran tindakan tegas kerajaan Bangladesh itu, pelarian Rohingya mengeluh mereka kehilangan sumber pendapatan dan sumber keperluan harian di kem pelarian tersebut.

    Pada awal Disember lalu, kira-kira 1,000 kedai milik pelarian Rohingya telah dimusnahkan oleh pihak berkuasa Bangladesh.

    Walau bagaimanapun, banyak kedai dibina dan beroperasi kembali, sekali gus mendorong pihak berkuasa merobohkannya lagi.

    Bangladesh menerima kemasukan lebih 1.1 juta pelarian Rohingya dari Myanmar akibat tindakan zalim pihak tentera sejak 2017 dan jumlah itu dijangka semakin meningkat berikutan tidak banyak negara lain yang mahu menerima mereka.

    Pada masa ini, terdapat sekitar 34 kem pelarian Rohingya di seluruh Bangladesh, dan kerajaan cuba memindahkan mereka ke penempatan baharu di pulau buatan manusia, Bhashan Char, di Teluk Benggala.

    Namun, penghantaran ke kem pelarian di Teluk Benggala dibantah kerana kawasan itu terdedah kepada bahaya ancaman cuaca termasuk taufan dan banjir.

    Bangladesh setakat ini mengaturkan penempatan semula kira-kira 19,000 pelarian Rohingya di Bhashan Char.