Category: Luar Negara

  • Penembak tepat Taliban kini bergelar Datuk Bandar

    Penembak tepat Taliban kini bergelar Datuk Bandar

    PENEMBAK tepat Taliban, Damullah Mohibullah Mowaffaq dilantik sebagai Datuk Bandar Maymana di wilayah Faryab pada November lalu.

    Pelantikan itu memberi inspirasi kepada penduduk yang sudah letih dengan perang di ibu kota wilayah Afghanistan.

    Mohibullah memegang jawatan itu selepas tiga bulan Taliban mengambil alih tampuk pemerintahan.

    Beliau dibesarkan sebagai seorang pejuang namun kini jadualnya padat dengan pelbagai urusan kerajaan tempatan.

    Pertukaran ini mencerminkan transformasi yang lebih luas yang sedang dilaksanakan Taliban ketika kumpulan pejuang itu masih bergelut dengan pentadbiran di wilayah.

    “Ketika berperang, tujuan utama saya sangat spesifik iaitu menamatkan campur tangan, diskriminasi dan ketidakadilan kuasa luar,” kata lelaki berusia 25 tahun itu.

    Namun, sasarannya kini juga jelas dengan membersihkan jenayah rasuah dan meningkatkan kemakmuran kepada negara.

    Ketika sesi bertemu penduduk di Maymana, Damullah berbual dengan pekerja pembersihan majlis perbandaran.

    Penduduk di bandar itu mencecah 100,000 kini disantuni untuk mendapatkan pandangan bagi penambahbaikan.

    “Datuk bandar ini seorang yang masih muda, berpendidikan dan berasal dari bandar ini,” kata timbalannya, Sayed Ahmad Shah Gheyasi.

    Damullah berasal daripada keluarga peniaga kaya yang dibesarkan di Maymana serta seorang cemerlang di sekolah dan dalam bidang sukan.

    Pejabatnya dihiasi dengan sijil dan anugerah seni mempertahankan diri selain diploma.

    Beliau menyertai kumpulan itu ketika berusia 19 tahun sebelum dilantik menjadi ketua kepada satu unit yang dihantar ke wilayah Faryab.

    Damullah juga dianggap sebagai seorang penembak tepat Taliban paling mahir namun seorang yang enggan bercerita pembabitannya dalam perang.

    Ketika bertemu AFP, Damullah berhenti seketika di hadapan sebuah rumah yang mempunyai kesan peluru berhampiran kampung Doraye Khoija Qoshre, kawasan yang pernah dikuasai unitnya sebelum ini.

    Di rumah itu, dia bersembunyi daripada dikesan tentera Amerika Syarikat (AS) dengan bersenjatakan raifal.

    “Dia membunuh tentera AS menggunakan raifal yang ditembak dari dalam rumah ini.

    “Tidak lama selepas itu, pesawat pengebom dihantar untuk mengebom rumah ini,” kata petani Saifaddin.

  • Suami Naib Presiden AS, pelajar dipindah ekoran ancaman bom

    Suami Naib Presiden AS, pelajar dipindah ekoran ancaman bom

    EJEN Perkhidmatan Rahsia Amerika Syarikat (AS) bergegas memindahkan Douglas Emhoff, suami kepada Naib Presiden, Kamala Harris, pelajar dan pentadbir Sekolah Tinggi Dunbar ke tempat selamat ekoran ancaman bom.

    Menurut laman web institusi pendidikan itu, Emhoff menghadiri acara sempena bulan Black History di sekolah menengah pertama untuk rakyat berkulit hitam di AS.

    Bagaimanapun, tiada letupan ditemui di lokasi terbabit dan ancaman sedang disiasat oleh Biro Siasatan Persekutuan (FBI).

    Beberapa siri ancaman bom berlaku pada minggu lalu terhadap puluhan kolej dan universiti kulit hitam (HBCUs) bersejarah di seluruh negara, sehingga pentadbir institusi berkenaan terpaksa membatalkan kelas.

    Ia sekali gus meningkatkan ketakutan dalam kalangan masyarakat kulit hitam negara itu.

    Menurut pihak polis, berdasarkan maklumat awal diterima menunjukkan, ancaman bom itu tidak menjadikan Emhoff sebagai sasaran.

    “Begitu juga ia tiada kaitan dengan ancaman bom sebelum ini. Bagaimanapun, ini bukan bermakna ia (ancaman bom) boleh dibiarkan begitu saja,” kata jurucakap polis.

    Polis juga berkata, ancaman bom dibuat menerusi panggilan telefon yang sedang dikesan pihak berkuasa sebelum mengisytiharkan kawasan sekolah tinggi itu diklasifikasikan selamat .

    Terdahulu, kakitangan Emhoff memberitahu wartawan bahawa pihak sekolah ada melaporkan ancaman kepada Perkhidmatan Rahsia AS, yang melindungi pemimpin politik dan keluarga mereka.

    Jurucakapnya memaklumkan bahawa Emhoff dalam keadaan selamat.

    “Berlaku ancaman di lokasi Emhoff berada, jadi kita mengambil langkah berjaga-jaga memindahkan semua orang seperti yang anda boleh lihat. Kita rasa semua orang selamat. Bangunan juga selamat,” kata jurucakap Sekolah Awam Daerah Columbia (DCPS).

  • Bintang West Ham, Zouma dikecam selepas tular video menendang kucing

    Bintang West Ham, Zouma dikecam selepas tular video menendang kucing

    PEMINAT  bola sepak di seluruh dunia terkejut apabila pemain West Ham United, Kurt Zouma menendang dan menampar kucing Bengalnya  dalam video Snapchat yang ‘mengerikan’ di kediamannya di London.

    Pemain pertahanan West Ham itu kedengaran sedang ketawa ketika dia mengejar kucing tersebut dalam video yang diambil pada hari Ahad – sehari selepas kemenangan perlawanan Piala FA mereka ke atas Kidderminster Harriers.

    Rakaman itu dipercayai dirakam oleh abangnya Yoan, dan menunjukkan Zouma menjatuhkan kucing itu sebelum menendangnya di atas lantai dapur.

    Beliau juga mengejar kucing itu di sekitar dapur dan ruang makan di hadapan seorang kanak-kanak, sementara abangnya ketawa sambil merakam.

    Dalam klipp berasingan yang diperoleh The Sun, ia menunjukkan pemain antarabangsa Perancis itu membaling sepasang kasut ke arah kucing itu sebelum menamparnya dari tangan seorang kanak-kanak.

    Zouma dikatakan marah selepas kucing itu menyebabkan rumahnya bersepah.

    West Ham berkata kelab itu akan ‘menguruskan perkara itu secara dalaman’ manakala Zouma berkata dia ‘sangat menyesal’ atas kelakuannya.

    Dalam satu kenyataan, Zouma berkata: “Saya ingin memohon maaf atas tindakan saya. Tidak ada alasan untuk kelakuan saya dan saya benar-benar menyesalinya.”

    “Saya ingin memberi jaminan kepada semua bahawa kedua-kedua kucing kami berada dalam keadaan yang baik dan sihat. Mereka disayangi oleh keluarga kami,” kata Zouma.

    West Ham United berkata kepada The Sun, “Kami mengecam tindakan pemain kami, Kurt Zouma, dalam video yang tersebar. Kami sudah berbincang dengannya dan kami ingin menekankan bahawa kami tidak menyokong sebarang keganasan ke atas binatang.”

    Kumpulan-kumpulan kebajikan binatang mengutuk perbuatan Zouma dan boleh menyebabkan pemain Perancis tersebut didakwa.

    Seorang jurucakap Royal Society for the Prevention of Cruelty To Animals (RSPCA) berkata, “Ini amat mengecewakan. Perbuatan menendang, memukul atau menampar seekor binatang adalah tidak boleh diterima sama sekali.”

    Kesalahan keganasan ke atas binatang boleh membuatkan seseorang dipenjarakan dalam kadar maksima 6 bulan sehingga 5 tahun.

  • Rayan dikebumikan dalam suasana penuh kepiluan

    Rayan dikebumikan dalam suasana penuh kepiluan

    ORANG ramai menghadiri majlis pengebumian Rayan Oram, kanak-kanak lelaki berusia lima tahun yang terjatuh dan terperangkap selama lima hari di dalam perigi sedalam 32 meter.

    Ratusan hadirin meratapi pemergian kanak-kanak itu di tanah perkuburan yang terletak di lokasi terpencil di utara wilayah Chefchaouen, beberapa kilometer (km) dari lokasi tragedi ketika seorang imam membacakan doa pada Isnin.

    Keranda kecil menempatkan jenazah Rayan dilitupi kain hijau tertera ayat al-Quran. Jenazah dimasukkan ke dalam liang lahad sambil diiringi doa dan bacaan ayat suci al-Quran.

    Warga maya turut tidak terkecuali mengucapkan takziah atas pemergian kanak-kanak itu dengan media sosial dibanjiri ucapan dan mesej simpati serta doa dengan harapan Rayan dapat dikeluarkan bernyawa dari tempat kejadian.

    Pada malam Sabtu, penduduk kampung bersorak kegembiraan apabila pekerja penyelamat dapat mengeluarkan Rayan selepas operasi menggali untuk membuang tanah yang menghalang mereka daripada mencapai kanak-kanak tersebut namun, ia sudah terlambat.

    “Terdapat kesunyian yang menyedihkan pada pagi ini,” kata salah seorang saudara keluarga tersebut.

    Berita kematian Rayan diumumkan oleh Kabinet Diraja negara Afrika Utara itu selepas Raja Mohammed VI menghubungi ibu bapanya untuk menyampaikan ucapan takziah kepada mereka.

    “Kami berterima kasih kepada baginda Raja, pihak berkuasa dan semua orang yang telah membantu kami,” kata bapa Rayan Khaled Aourram.

    Operasi untuk menyelamatkan Rayan diikuti secara langsung di seluruh dunia, dan menerima penghormatan selepas pengumuman kematiannya.

    Pengguna media sosial dari serantau Algeria ke Perancis dan Amerika Syarikat membanjiri laman mereka dengan mesej sokongan dan kesedihan bersama dengan pujian untuk penyelamat yang berusaha untuk membawa Rayan pulang ke pangkuan ibu bapanya.

    “Dia telah menyatukan kita semua,” kata seorang netizen.

  • Kes rasuah 1MDB: Proses pemilihan juri perbicaraan Roger Ng bermula

    Kes rasuah 1MDB: Proses pemilihan juri perbicaraan Roger Ng bermula

    PERBICARAAN kes rasuah 1MDB membabitkan bekas ketua pelaburan perbankan Goldman Sachs Malaysia, Roger Ng kini bermula prises dengan pemilihan juri oleh mahkamah di New York, Amerika Syarikat pada Isnin lepas.

    Roger berhadapan dengan pertuduhan berkomplot dalam pengubahan wang haram melibatkan ratusan juta wang 1MDB dan merasuah pegawai kerajaan Malaysia.

    Dia bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap tiga pertuduhan berkomplot untuk mengubah wang haram dan melanggar undang-undang antirasuah.

    Bekas majikan Roger, Goldman Sachs membantu penjualan bon 1MDB bernilai AS$6.5 bilion, yang dilancarkan bekas perdana menteri Najib Razak untuk menggalakkan pembangunan ekonomi.

    Pihak berkuasa berkata, pegawai syarikat dan sekutu mereka menyelewengkan sebahagian wang tersebut untuk berbelanja mewah, manakala pegawai Goldman Sachs memberi rasuah lebih AS$1.6 bilion kepada pegawai di Malaysia dan Abu Dhabi untuk urus niaga 1MDB.

    Pada 2020, Goldman setuju untuk membayar penalti AS$2.9 bilion dan agar unitnya di Malaysia mengakui salah laku jenayah bagi menyelesaikan siasatan oleh Jabatan Kehakiman AS (DOJ) dan pihak berkuasa lain berhubung peranannya dalam 1MDB.

    Pada Isnin, Hakim Daerah AS, Margo Brodie menyoal sejumlah calon juri di mahkamah persekutuan Brooklyn berhubung kemungkinan perkaitan mereka dengan individu atau entiti yang mungkin disebut dalam perbicaraan, dan jika mereka boleh berlaku adil dan tidak berat sebelah.

    Beberapa calon juri berkata, mereka mempunyai tanggapan negatif yang kuat tentang bank, walaupun tiada yang disingkirkan serta-merta.

    Pernyataan pembukaan untuk perbicaraan ini dijadual bermula pada hari Isnin, 14 Februari.

    Roger telah ditangkap di Malaysia pada November 2018 dan diekstradisi enam bulan kemudian.

    Tim Leissner, seorang lagi bekas pegawai Goldman, mengaku bersalah pada 2018 atas peranannya dalam skandal itu. Dia dijadualkan dijatuhkan hukuman pada Mac. – Reuters

  • Wanita hamil maut selepas kulit kepala tercabut

    Wanita hamil maut selepas kulit kepala tercabut

    SEORANG wanita hamil mati dalam keadaan negeri apabila bahagian kulit kepalanya tercabut sebaik rambutnya tersangkut pada mesin.

    Menurut laporan New York Post, insiden itu berlaku ketika mangsa, Umida Nazarova, 21, hadir ke sesi temu duga kerja di sebuah kilang di Belarus.

    Nazarova yang hamil tujuh minggu memohon pekerjaan di kilang Svarmet di Borisov, yang menghasilkan wayar kimpalan dan elektrod, lapor East2West News.

    Menurut ibu mangsa, Olga, ketika dibawa meninjau ke sekitar kawasan kilang, rambut anaknya itu dikatakan tersangkut di salah satu mesin perindustrian.

    “Rambutnya melilit leher dan ‘tertarik’ ke dalam mesin itu. Seandainya kulit kepalanya tidak dicabut, dia akan ‘tercekik’ kerana rambutnya sendiri.

    “Walaupun dilepaskan daripada mesin itu, Nazarova dilaporkan tidak sedarkan diri dan meninggal dunia akibat kecederaan dialami,” katanya.

    Dia berkata, pihak kilang sepatutnya awal-awal lagi memberi sesuatu untuk menutup kepala anaknya memandangkan rambut mangsa yang panjang.

    Dalam pada itu, Jawatankuasa Penyiasatan Belarus berkata, ketika kejadian, seorang pekerja menunjukkan Nazarova bagaimana peralatan itu beroperasi.

    Katanya, individu itu berhenti seketika untuk membuat rekod dalam daftar.

    “Sebaik pekerja itu menoleh ke belakang, dia melihat mangsa sudah terbaring di atas lantai dan dalam keadaan tidak sedarkan diri. Rambutnya berpintal di dalam mesin,” kata jurucakap jawatankuasa itu.

    Susulan insiden itu, seorang pegawai kilang dijatuhi hukuman kerana gagal menjalankan tugas, tidak jujur dan cuai hingga menyebabkan kematian.

  • Taufan Batsirai ragut 10 nyawa, 48,000 hilang tempat tinggal

    Taufan Batsirai ragut 10 nyawa, 48,000 hilang tempat tinggal

    TAUFAN Batsirai yang melanda Madagascar telah mengakibatkan 10 penduduk terbunuh, manakala hampir 48,000 lagi hilang tempat tinggal seperti yang dilaporkan pejabat kebangsaan bagi pengurusan risiko dan bencana.

    Difahamkan, angin dan hujan lebat akibat Taufan Batsirai telah melanda Madagascar selepas membadai pantai timur pulau itu pada Ahad.

    Berpunca dari Lautan Hindi dengan angin ribut mencecah kemuncak 145 kilometer sejam, taufan itu mendarat berhampiran Mananjary, iaitu 500 kilometer dari timur ibu kota Antananarivo.

    Mangsa taufan Batsirai yang melanda Madagascar dipindahkan ke pusat pemindahan sementara yang mengakibatkan 10 terbunuh dan hampir 48,000 lagi hilang tempat tinggal 

    Akibatnya, pokok tumbang dan ia turut memusnahkan bangunan dan menerbangkan bumbung rumah penduduk, lapor wartawan AFP yang menjadi saksi kejadian.

    Selain itu, ombak laut tinggi pula menghakis bukit berpasir yang menjadi sebahagian daripada tanah perkuburan hingga mengeluarkan mayat dari kubur di bandar timur di pesisir pantai, Mahanoro.

    Menurut Jabatan Meteorologi pulau itu, Taufan Batsirai kini membawa bersama angin yang lebih perlahan apabila tiba di kepulauan berkenaan.

  • Lata Mangeshkar meninggal dunia pada usia 92 tahun

    Lata Mangeshkar meninggal dunia pada usia 92 tahun

    PENYANYI legenda India, Lata Mangeshkar meninggal dunia di Mumbai hari ini, kata Perdana Menteri, Narendra Modi.

    Seniwati legenda yang terkenal kerana merakamkan lagu-lagu latar dalam ribuan filem Bollywood menghembuskan nafas terakhir pada usia 92 tahun. Bagaimanapun, sebab kematian mendiang yang juga ikon seni India itu belum diumumkan.

     Penghibur itu dilaporkan dimasukkan ke hospital pada 11 Januari lalui selepas disahkan positif COVID-19.

    Kerajaan India turut mengumumkan seluruh negara akan berkabung selama dua hari selain bendera juga akan dikibar separuh tiang dan kesemua acara hiburan ditangguhkan sebagai menghormati pemergian ikon seni yang disegani itu.

    Modi merupakan antara personaliti yang begitu terkesan dengan pemergian penghibur yang telah menyumbangkan jasa yang sangat besar pada industri perfileman India selama tujuh dekad.

    Dalam hantaran di akaun Twitternya, beliau menterjemahkan perasaannya sebaik mendapat khabar pemergian mendiang Mangeshkar.

    “Peritnya sehingga saya kehilangan kata-kata,” tulis Modi yang berkata mendiang meninggalkan khazanah yang terlalu berharga kepada negara sepanjang penglibatannya sebagai anak seni.

     Dilahirkan pada 1929, mendiang Mangeshkar memulakan kerjaya seninya pada usia remaja dan sepanjang 73 tahun bergelar penyanyi, beliau telah merakamkan anggaran 15,000 buah lagu dalam 36 bahasa.

  • Presiden Turki, Wanita Pertama positif varian Omicron

    Presiden Turki, Wanita Pertama positif varian Omicron

    PRESIDEN Turki Recep Tayyip Erdogan dan wanita pertama Emine Erdogan didapati positif varian Omicron COVID-19, lapor Agensi Anadolu (AA).

    “Keputusan ujian COVID-19 yang saya lakukan bersama isteri, selepas mengalami simptom ringan hari ini, adalah positif. Syukurlah, kami hanya mengalami gejala ringan,” kata Erdogan menerusi ciapan Twitternya, sambil menambah bahawa mereka akan bekerja dari rumah.

    “Semoga kami berjaya sembuh dari penyakit ini secepat mungkin… Kami mengharapkan doa anda,” kata isterinya dalam ciapan berasingan.

    Pemimpin dari dalam dan luar Turki mendoakan agar Erdogan dan wanita pertama cepat sembuh.

    Pemimpin yang menghantar mesej termasuk Presiden Cyprus Utara Ersin Tatar, Perdana Menteri Pakistan Imran Khan dan Presiden Ukraine Volodymyr Zelensky.

    — BERNAMA

  • Selepas lima hari terperangkap, Rayyan akhirnya meninggal dunia

    Selepas lima hari terperangkap, Rayyan akhirnya meninggal dunia

    RAYAN  Awram, kanak-kanak lima tahun yang terperangkap di dalam perigi sempit selama lima hari akhirnya meninggal dunia sebelum penyelamat sempat sampai kepadanya hari ini.

    Perkara itu dimaklumkan oleh dua pegawai kerajaan kepada agensi berita itu.

    Media asing melaporkan, rakaman yang dimuat naik dalam media sosial menunjukkan suasana selepas mayatnya diangkat, dengan ratusan penyelamat dan penduduk memenuhi kawasan sekitar.

    Rayan jatuh ke dalam perigi sedalam 32 meter itu di kampungnya di Ighran, yang terletak di kawasan perbukitan dekat Chefchaouen, utara Maghribi, pada Selasa lalu.

    Penyelamat akhirnya sampai ke lokasinya semalam setelah menggali tanah di sebelah perigi berkenaan – memandangkan ia terlalu sempit untuk dimasuki penyelamat – sehingga selari dengan kedalaman tempat Rayan terperangkap.

    Penyelamat kemudian mengorek satu terowong secara melintang untuk menyelamatkan Rayan. Raja Maghribi, Raja Muhammad VI mengucapkan takziah kepada keluarganya.

    Seorang saudara lelakinya pada Jumaat lalu berkata, keluarga mula sedar kehilangan kanak-kanak itu setelah dia mendengar jeritan, sebelum mencarinya menggunakan lampu suluh di telefon.

    “Dia menjerit ‘angkat saya’,” katanya seperti dipetik. Saya begitu sedih lepas dapat tahu Rayan sudah meninggal dunia. Takziah buat keluarga,” kata penduduk Rabat, Abderrahim Sabihi, yang mengikuti usaha menyelamat kanak-kanak itu.

    Misi berbahaya di daerah Chefchaouen itu berdepan risiko tanah runtuh, selain berdepan cabaran campuran tanah berbatu dan berpasir untuk membina terowong di tempat yang diyakini beradanya Rayan.