Category: Luar Negara

  • Lima maut, enam cedera dalam dua kebakaran

    Lima maut, enam cedera dalam dua kebakaran

    LIMA maut dan enam lagi cedera dalam dua kejadian kebakaran berasingan di Metro Manila pagi Ahad, menurut anggota bomba Filipina.

    Biro Perlindungan Kebakaran berkata, empat maut dan lima lagi cedera dalam kebakaran yang tercetus pada 9.48 pagi waktu tempatan di daerah padat di Bandar Manila, lapor Xinhua.

    Anggota bomba berjaya memadam kebakaran 45 minit kemudian.

    Sementara itu, kebakaran di pasar basah Bandaraya Makati sekitar 4 pagi turut mengorbankan seorang wanita berusia 76 tahun.

    Anggota bomba berjaya menyelamatkan seorang gadis yang pengsan di lokasi kejadian.

    Punca kebakaran masih disiasat. – BERNAMA

  • Lima anggota polis cedera letupan bom

    Lima anggota polis cedera letupan bom

    LIMA anggota polis cedera dalam satu insiden letupan bom di Yala, selatan Thailand pada Jumaat.

    Ketua Polis Wilayah Yala, Mejar Jeneral Tinnakorn Rangmat berkata, kejadian berlaku ketika pasukan polis itu yang menaiki dua buah kenderaan berasingan sedang membuat rondaan di Pekan Raman.

    Dalam insiden kira-kira 8.45 malam (waktu tempatan), beliau berkata sebutir bom buatan sendiri seberat 15 hingga 20 kilogram itu dipercayai dipasang dalam sebuah tong gas di tepi jalan dan diletupkan dengan menggunakan walkie-talkie.

    “Letupan itu menyebabkan lima anggota polis yang sedang bertugas cedera. Mereka digegaskan ke hospital untuk menerima rawatan lanjut,” katanya.

    Kelima-lima anggota polis itu dilaporkan berada dalam keadaan stabil.

    Sementara itu, seorang penolong ketua kampung maut ditembak di depan rumah di Pattani, malam tadi.

    Dalam insiden kira-kira 10 malam (waktu tempatan) semalam, lelaki berusia 45 tahun itu ditemukan maut di depan rumahnya di Kampung Thale, daerah Mai Kaen.

    Ketua Polis Mai Kaen Kol. Pol. Thalap Lengha berkata siasatan awal mendapati empat suspek lelaki menaiki dua buah motosikal tiba di depan rumah mangsa dan melepaskan tembakan ke arah mangsa sebelum melarikan diri.

    Motif kejadian masih disiasat, katanya. – Bernama

  • 13 wanita,kanak-kanak perempuan maut terjatuh ke dalam perigi

    13 wanita,kanak-kanak perempuan maut terjatuh ke dalam perigi

    SERAMAI 13 wanita dan kanak-kanak perempuan maut selepas terjatuh ke dalam sebuah perigi ketika meraikan majlis perkahwinan di utara India.

    Pegawai polis kanan, Akhil Kumar, berkata kejadian berlaku ketika mangsa sedang duduk di atas kepingan besi yang digunakan untuk menutup perigi berkenaan.

    Majistret daerah, S Rajalingam, pula berkata penutup perigi terbabit tidak mampu menahan beban semua mangsa yang duduk diatasnya.

    “Mangsa terjatuh dan ditimpa sisa runtuhan,” katanya. Sementara itu, Perdana Menteri, Narendra Modi, menyifatkan kejadian itu sebagai satu tragedi. Pihak berkuasa tempatan terbabit untuk menyalurkan segala bantuan,” ciapnya di Twitter.

    Acara perkahwinan di India sering diadakan secara besar-besaran dengan kehadiran tetamu yang ramai dan berlangsung selama beberapa hari.

    Pada 2017, seramai 24 orang yang meraikan majlis perkahwinan terbunuh di barat laut Rajasthan apabila sebuah tembok runtuh dan menimpa mereka susulan kejadian ribut yang melanda kawasan berkenaan.

  • Sheikh Ali Al-Qaradaghi, Khairuddin bincang isu umat Islam

    Sheikh Ali Al-Qaradaghi, Khairuddin bincang isu umat Islam

    UMAT Islam sering kali silap menggunakan neraca timbangan yang betul dalam menyelesaikan masalah yang berlaku, kata Setiausaha Kesatuan Ulama Islam Sedunia, Sheikh Dr Ali Al-Qaradaghi.

    Beliau berkata, akibat kesilapan pertimbangan itu menyebabkan berlaku perselisihan dalam kalangan umat Islam.

    “Neraca timbangan emas tentunya tidak sama untuk besi manakala neraca timbangan akhirat tidak sama dengan neraca untuk dunia.

    “Maka yang penting ialah menggunakan neraca yang betul dalam mempertimbangkan sesuatu,” katanya semasa pertemuan dengan Pengerusi Sidang Kemuncak Ulama Sedunia 2022, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali di Doha, Qatar semalam.

    Dalam pertemuan lebih sejam itu, kedua-kedua pemimpin berkenaan turut berbincang mengenai isu-isu semasa termasuk yang berlaku di dunia Islam serta Malaysia.

    Pertemuan berkenaan turut dikongsi oleh Sheikh Ali dalam ciapan Twitter beliau.

    Dalam pada itu, Sheikh Ali turut menasihatkan golongan muda dari Malaysia yang turut hadir bersama Mohd Khairuddin yang bekerja di Qatar mendalami, mempelajari dan menguasai bahasa Arab.

    Katanya, dengan menguasai bahasa itu sekali gus mereka akan mudah bergaul dengan orang Arab dan memahami bahasa al-Quran.

    “Menjadi kerugian jika mereka tidak berbuat demikian kerana sudah berada di negara Arab kerana Rasulullah SAW menggalakkan belajar bahasa asing untuk mengelakkan sekurang-kurangnya mereka terhindar dari tipu daya sesuatu kaum.

    “Saya bersedia membantu menyediakan seorang guru dalam kalangan anak murid saya untuk mengajar rakyat Malaysia bahasa Arab secara bersistematik,” katanya.

  • Kapal karam di laut bergelora, 10 nelayan maut, 11 hilang

    Kapal karam di laut bergelora, 10 nelayan maut, 11 hilang

    SEKURANG-kurangnya 10 nelayan maut dan 11 lagi dilaporkan hilang apabila sebuah kapal pukat tunda dari Sepanyol karam dalam laut bergelora di timur Kanada, semalam.

    Keadaan cuaca yang buruk menyebabkan peluang dilihat semakin tipis untuk menemui mangsa terselamat dalam insiden berkenaan.

    Menurut pegawai, ada 24 kru di atas kapal terbabit ketika ia karam kira-kira 250 batu nautika timur Newfoundland, dan usaha diteruskan untuk mencari serta menyelamat baki mangsa meskipun berdepan kekangan cuaca buruk sekaligus akan memungkinkan usaha tersebut menemui kegagalan.

    Setakat ini Pusat Koordinasi Penyelamatan Bersama Kanada (JRCC) memaklumkan tujuh mayat telah ditemui, manakala tiga mangsa berjaya diselamatkan – dari sebuah bot kecemasan di Atlantik.

    ” JRCC Hfx mengesahkan tiga lagi mayat ditemui dalam insiden kapal nelayan yang karam berkenaan,” kata pusat itu.

    Usaha menyelamatkan berhadapan kesukaran memandang cuaca buruk meliputi laut yang sangat bergelora disertai angin kencang serta jarak penglihatan terhad.

    Keadaan menjadi bertambah buruk apabila hari beransur gelap dengan suhu menurun dan boleh mengurangkan peluang menyelamatkan mangsa terselamat.

    Sementara itu, Kementerian Pengangkutan Sepanyol memaklumkan kru kapal berkenaan terdiri daripada 16 warga Sepanyol, lima rakyat Peru dan tiga warganegara Ghana.

    Kapal nelayan dikenali sebagai Villa de Pitanxo itu yang berukuran 50 meter dan berpangkalan di sebuah pelabuhan di Galicia membuat dua panggilan kecemasan pada jam 5.24 pagi di Madrid.

    Lima jam kemudian, sebuah lagi kapal nelayan Sepanyol yang berada di kawasan terbabit mengesan dua bot kecemasan dengan sebuah daripadanya membawa tiga mangsa terselamat dan beberapa mayat.

    Anggota penyelamat kemudian menemuikan empat lagi mayat.

    “Tiga mangsa terselamat berada dalam keadaan kejutan hipotermia berikutan suhu air laut yang sangat dahsyat,” kata wakil kerajaan pusat Sepanyol di wilayah Galicia, Maica Larriba.

    Mangsa yang terselamat dibawa keluar menggunakan sebuah helikopter pengawal pantai Kanada, sementara anggota penyelamat turut menemui dua lagi bot kecemasan yang kosong.

    “Kejayaan tiga mangsa ditemui terselamat dalam sebuah bot kecemasan, memberi sinar harapan berkemungkinan mangsa lain dapat mengambil langkah sama ketika kapal itu karam,” kata Brian Owens daripada JRCC kepada agensi berita antarabangsa.


  • Guru rogol 13 pelajarnya dihukum penjara seumur hidup

    Guru rogol 13 pelajarnya dihukum penjara seumur hidup

    SEBUAH mahkamah di Bandung hari ini menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup kepada seorang guru kerana merogol 13 pelajarnya.

    Hukuman itu dijatuhkan ketika kes penderaan seksual di sekolah berasrama penuh agama menjadi perhatian.

    Mahkamah Daerah Bandung di Jawa Barat mendapati Herry Wirawan bersalah merogol 13 pelajar perempuan, yang kesemuanya di bawah umur, malah sekurang-kurangnya lapan daripada mereka, mengandung.

    Semasa perbicaraan itu, terbongkar kisah dia merogol kanak-kanak itu yang kebanyakannya terdiri daripada keluarga miskin yang bersekolah sejak lima tahun itu.

    Ia terbongkar apabila keluarga seorang pelajar perempuan melaporkan Wirawan kepada polis kerana merogol dan menghamilkan anak perempuan remaja mereka tahun lalu.

    Pendedahan itu turut mencetuskan kemarahan negara, dengan seorang pegawai kanan kerajaan berkata, Presiden Joko Widodo sendiri memberi perhatian khusus terhadap kes itu.
    Wirawan, 36, tiba di mahkamah dalam keadaan bergari dan menundukkan kepalanya ketika hakim Yohannes Purnomo Suryo Adi menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup.

    Dia bagaimanapun meminta hakim meringankan hukuman kerana mahu membesarkan anak-anaknya.

    Mahkamah juga berkata, pampasan untuk mangsa akan dibayar oleh kerajaan.

    Hari ini terdapat lebih 25,000 pondok agama dikenali pesantren di seluruh Indonesia, dengan hampir lima juta pelajar tinggal dan belajar di asrama.

  • Wanita 79 tahun berlatih Unit Khas hadapi serangan Rusia

    Wanita 79 tahun berlatih Unit Khas hadapi serangan Rusia

    DI MARIUPOL, Ukraine, seorang wanita berumur 79 tahun bersedia untuk mempertahankan negaranya daripada pencerobohan Rusia dengan menjalani latihan bersama Unit Khas Ukraine.

    Valentyna Konstantynovska diberikan latihan penggunaan senapang AK-47 oleh pegawal negaranya, Unit Khas Azov.

    Ia merupakan salah satu daripada tujuh latihan yang dijalani untuk mempertahankan negara mereka daripada serangan Rusia yang dikatakan semakin dekat.

    Rakyat Ukraine berkata, Kostantynovska merupakan seorang ‘hero’ kerana mengambil bahagian dalam latihan-latihan tersebut.

    Wanita 79 tahun tersebut berkata kepada NBCNews, “Ibu kamu pun akan melakukan perkara yang sama.”

    “Saya bersedia untuk menembak jika apa-apa berlaku. Saya akan mempertahankan rumah saya, ibu negara saya, anak-anak saya. Saya melakukan semua ini kerana saya tidak mahu kehilangan negara saya,” katanya.

    Kostantynovska juga berkata, beliau menjalani  latihan tersebut namun mungkin ‘tidak akan menjadi seorang askar yang kuat’ kerana keadaan fizikalnya.

    Beliau tidak keseorangan, penembak hendap Ukraine, Olena Bilozerska, 42 ‘turut bersedia’ menghadapi pencerobohan Rusia.

    Bilozerska telah melakukan  10 pembunuhan sepanjang berkhidmat dalam Kor Marin Ukraine.

    “Jika musuh menyerang saya, adakah mereka terfikir saya ada suami, ibu bapa atau anak-anak? Semestinya tidak,” kata penembak hendap berumur 42 tahun itu.

    Rusia dikatakan mempunyai keinginan untuk mencerobohi Ukraine walaupun menafikan akan berbuat demikian namun, isu ini di pandang serius selepas negara dipimpin Vladimir Putin tersebut menyerang Ukraine pada 2014.

  • Bas terjunam masuk gaung, 4 mangsa maut 22 cedera

    Bas terjunam masuk gaung, 4 mangsa maut 22 cedera

    SEKURANG-KURANGNYA empat orang maut dan 22 cedera selepas sebuah bas yang dinaiki terjunam ke dalam gaung awal pagi Ahad di Chuquisaca selatan Bolivia, lapor Xinhua, memetik pihak berkuasa tempatan.

    Bas berkenaan dipandu laju sehingga mengakibatkan kemalangan di bandar Monteagudo, kata Pendakwa Raya Chuquisaca Mauricio Nava kepada akhbar tempatan.

    Menurut laporan awal, bas itu menggunakan laluan Sucre-Monteagudo dan jatuh ke dalam gaung ketika melalui selekoh.

    Nava berkata, anggota polis dan kakitangan Kementerian Awam dihantar ke lokasi kejadian bagi membantu mangsa yang cedera. – BERNAMA

  • Gara-gara cinta ditolak, pembantu wad tembak mati jururawat

    Gara-gara cinta ditolak, pembantu wad tembak mati jururawat

    SEORANG jururawat wanita berusia 26 tahun mati ditembak oleh seorang pembantu wad hospital yang sering menghendapnya pada malam Khamis lalu.

    Memetik laporan PTI , kejadian berlaku di dalam unit rawatan rapi (ICU) hospital daerah Bhind di Madhya Pradesh, India.

    Pesuruhjaya Polis Bhind, Shalendra Singh Chauhan berkata, mangsa, Neha Chandel ditembak di kepala menggunakan sepucuk pistol pada jarak dekat oleh suspek yang merupakan bapa kepada empat anak.

    Difahamkan, jururawat terbabit menolak cinta suspek yang berusia sekitar 40-an.

    Suspek mahu mengahwini Neha namun perkahwinan mangsa dengan lelaki lain telah ditetapkan.

    Keluarga Neha mendakwa, suspek telah mendesak mangsa untuk mengahwini sejak berbulan-bulan lalu.

    Namun, Neha menolak lamaran suspek.

    Lelaki itu menyerah diri kepada polis selepas insiden tembakan berlaku.

    Mayat mangsa telah dihantar untuk bedah siasat.

    Ekoran kejadian menyayat hati itu, kira-kira 100 jururawat hospital terbabit melancarkan protes bagi menuntut tahap keselamatan yang lebih tinggi di fasiliti kesihatan berkenaan.

    Ketua Pegawai Perubatan dan Kesihatan Bhind, Dr Ajit Mishra berkata, pihaknya berusaha memastikan para pesakit tidak terganggu dengan protes berkenaan.

  • Penumpang mengamuk, pesawat mendarat cemas

    Penumpang mengamuk, pesawat mendarat cemas

    SEORANG penumpang lelaki dalam sebuah pesawat yang dalam perjalanan dari New York ke Orlando, Florida dikatakan mengamuk dan mengugut mahu membunuh semua penumpang dan menyebabkan pesawat tersebut terpaksa membuat pendaratan cemas di Carolina Utara.

    Pesawat Frontier Airlines dengan nombor penerbangan 1335 itu berlepas dari Lapangan Terbang LaGuardia di Bandar Raya New York dan menuju ke Orlando pada malam Rabu lalu.

    Lelaki terbabit difahamkan secara tiba-tiba mengamuk dan menjerit sebelum dia dikelilingi oleh penumpang lain yang cuba mengikatnya pada kerusi.

    Menurut seorang penumpang lain dalam pesawat tersebut, dia memberitahu stesen televisyen WTVD bahawa lelaki yang identitinya tidak diketahui itu mengancam untuk mencederakan seorang bayi dan mengaku mahu membunuh semua penumpang di dalam pesawat tersebut.

    Lelaki tersebut juga dilaporkan menuduh seorang wanita sebagai cuba untuk mencuri asid deoksiribonukleik (DNA) miliknya dengan menggunakan picagari.

    “Jangan, lepaskan saya. Tidak!” jerit lelaki berkenaan seperti yang dapat didengari menerusi sebuah rakaman video kejadian yang tular di Twitter.

    Selain itu, dapat didengari seorang penumpang lain yang turut menjerit meminta orang ramai untuk mengikat lelaki tersebut.

    Bagaimanapun, penerbangan Frontier Airlines itu akhirnya terpaksa membuat pendaratan cemas di Lapangan Terbang Antarabangsa Raleigh-Durham di Carolina Utara, di mana lelaki berkenaan dibawa pasukan keselamatan untuk disoal siasat.

    Pesawat tersebut juga dikatakan ditahan seketika selama dua jam sebelum dibenarkan meneruskan perjalanan ke Orlando.