Category: Luar Negara

  • Singapura buka sempadan kepada semua pengembara lengkap divaksin pada 1 April

    Singapura buka sempadan kepada semua pengembara lengkap divaksin pada 1 April

    SINGAPURA akan membuka semula sempadannya kepada semua pengembara yang lengkap divaksin dari negara atau wilayah dalam Kategori Perjalanan Umumnya dan akan beralih kepada Rangka Kerja Perjalanan Bervaksin baharu mulai 1 April 2022.

    Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Singapura (CAAS) berkata, di bawah Rangka Kerja baharu itu, semua pengembara yang lengkap divaksin dari mana-mana negara atau wilayah akan dibenarkan memasuki Singapura tanpa kuarantin, selagi mereka tidak melawat mana-mana negara atau wilayah dalam Kategori Terhad republik itu dalam tujuh hari.

    “Pada masa ini tiada negara atau wilayah dalam Kategori Terhad,” kata CAAS dalam satu kenyataan hari ini.

    Dengan peralihan ke Rangka Kerja Perjalanan Bervaksin, CAAS berkata semua pengaturan Laluan Perjalanan Bervaksin (VTL) dan Pembukaan Sepihak (UO) sedia ada akan ditamatkan.

    Awal hari ini, Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong berkata, republik itu akan melonggarkan peraturan perjalanan rentas sempadan memandangkan keadaan Omicron kini terkawal.

    “Sebelum ini, kita berhati-hati kerana belum pasti mengenai kesan Omicron. Hampir semua kes kita adalah domestik, yang berpunca daripada komuniti,” kata Hsien Loong dalam kemas kininya mengenai situasi Covid-19 republik itu yang disiarkan secara langsung di Singapura.

    Hsien Loong berkata, kes jangkitan melibatkan ketibaan dari luar negara hanya sebahagian kecil daripada kes.


    “Oleh itu, kita boleh membuka sempadan dengan selamat dan akan memperkemas secara drastik keperluan ujian dan kuarantin untuk pengembara,” katanya.

    Antara lain, di bawah Rangka Kerja baharu, pengembara yang divaksin sepenuhnya tidak perlu lagi mengambil sebarang ujian COVID-19 di Singapura.

    Bagaimanapun, mereka mesti menjalani ujian pra-berlepas (PDT) dalam masa dua hari sebelum berlepas ke Singapura dan menunjukkan keputusan ujian negatif.

    PDT ini boleh dilakukan dengan ujian Reaksi Rantaian Polimerase, Ujian Pantas Antigen (ART) yang ditadbir secara profesional atau ART yang dilakukan sendiri yang diawasi dari jauh oleh penyedia ART di Singapura yang menyediakan perkhidmatan sedemikian.

    Syarikat penerbangan tidak lagi perlu mengendalikan penerbangan VTL yang ditetapkan ke Singapura, dan pengembara yang lengkap divaksin kini boleh memasuki Singapura mengikut mana-mana penerbangan.

    Seiring dengan itu, tiada lagi kuota ketibaan harian, kata CAAS.

    Bagi Status Pemvaksinan, semua sijil vaksinasi, tanpa mengira tempat ia keluarkan dan sama ada  boleh disahkan secara digital atau tidak, akan diterima sebagai bukti vaksinasi.

    CAAS menambah bahawa pengembara yang sudah menerima vaksin lengkap tidak memerlukan kelulusan kemasukan untuk memasuki Singapura.

    Ini bermakna pengembara tidak lagi perlu memohon Pas Perjalanan Bervaksin (VTP) atau Pas Perjalanan Udara (ATP) untuk masuk ke Singapura, kata kenyataan itu.

    Sementara itu, Kementerian Kesihatan republik itu menambah negara juga sedang berusaha ke arah penyambungan semula sepenuhnya perjalanan darat dengan Malaysia untuk pengembara yang lengkap divaksin.

    “Perincian mengenai langkah-langkah sempadan yang tepat bagi pengembara yang lengkap divaksin untuk memasuki Singapura melalui sempadan darat akan diumumkan bersama Malaysia,” kata kementerian itu. – Bernama
     

  • Arab Saudi mansuh semua sekatan COVID-19

    Arab Saudi mansuh semua sekatan COVID-19

    KEMENTERIAN Kesihatan Arab Saudi mengumumkan pemansuhan semua sekatan COVID-19, termasuk kuarantin wajib bagi semua pengunjung ke negara itu.

    Menerusi catatan di akaun Twitter rasminya pada Isnin, sekatan yang dimansuhkan termasuk penyerahan sijil vaksinasi COVID-19 dan ujian PCR, sebelum atau semasa ketibaan di Arab Saudi.

    Langkah itu diambil susulan penurunan kes dan kadar vaksinasi mencapai 99 peratus untuk semua penduduk berumur 12 tahun ke atas. – BERNAMA

  • Singapura bakal buka kedutaan di Tel Aviv

    Singapura bakal buka kedutaan di Tel Aviv

    SINGAPURA akan membuka kedutaan di Tel Aviv, Israel, bagi mengukuhkan hubungan inovasi antara kedua-dua negara, menurut Kementerian Luar (MFA) republik itu pada Isnin.

    MFA menerusi satu kenyataan memaklumkan, kedutaan itu akan menjadi pusat tumpuan dan menyokong syarikat Singapura yang ingin menjalin kerjasama dengan rakan kongsi Israel.

    Menteri Hal Ehwal Luar Singapura, Dr. Vivian Balakrishnan yang kini berada di Israel berkata kedua-dua negara harus memperkasa kerjasama dalam bidang baharu seperti teknologi pertanian makanan, teknologi kesihatan, Kecerdasan Buatan (AI), dan pendigitalan, setelah dunia pulih dari pandemik Covid-19.

    Pada Ahad, Singapura menzahirkan hasrat menubuhkan pejabat perwakilan di Ramallah bagi memudahkan kerja-kerja penyelarasan Pakej Bantuan Teknikal Dipertingkat (ETAP) bagi rakyat Palestin bernilai S$10 juta.

    Pejabat perwakilan itu bertanggungjawab menyelaras bantuan teknikal dan menyokong usaha wakil Singapura untuk pihak berkuasa tempatan.

    Hasrat itu disampaikan Menteri Hal Ehwal Luar Singapura Dr Vivian Balakrishnan ketika bertemu rakan sejawatannya Dr Riyad Al-Malki di Ramallah. – Bernama

  • 95 cedera, dua kereta api bertembung

    95 cedera, dua kereta api bertembung

    SEKURANG-KURANGNYA 95 penumpang cedera apabila dua kereta api bertembung di selatan ibu kota Tunisia, Tunis pada pagi Isnin, lapor Xinhua memetik seorang pegawai dari Jabatan Pertahanan Awam.

    Kemalangan berlaku di kawasan Jebel El Jloud berhampiran stesen utama Barcelona yang terletak di tengah-tengah Tunis apabila sebuah kereta api jarak jauh melanggar kereta api lain yang bergerak di landasan sama, kata Samir Oueslati, pemangku pengarah serantau Perlindungan Awam seperti dilapor stesen radio swasta Mosaique FM.

    Bagaimanapun kata jurucakap Pertahanan Awam, Moez Triaa, hanya satu kereta api yang membawa penumpang.

    Menurutnya, tiada kematian dilaporkan dan kebanyakan yang cedera mengalami patah tulang serta lebam.

    Sistem kereta api Tunisia telah menyaksikan beberapa kemalangan maut dalam beberapa tahun kebelakangan ini. – Bernama

  • Nahas pesawat Eastern Airlines:  Boeing sedia bantu siasatan, tiada yang terselamat setakat ini

    Nahas pesawat Eastern Airlines:  Boeing sedia bantu siasatan, tiada yang terselamat setakat ini

    PENGELUAR pesawat berpusat di Amerika Syarikat (AS), Boeing Co. sedia membantu siasatan nahas membabitkan pesawat China Eastern Airlines (MU 5735) yang terhempas di kawasan pergunungan di selatan China, semalam.

    Dalam kenyataannya di Twitter, Boeing memaklumkan pihaknya sedang berhubung dengan Lembaga Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan Amerika Syarikat (NTSB) dan pakar teknikalnya bersedia membantu siasatan yang diketuai Pentadbiran Penerbangan Awam China.

    Syarikat itu juga memaklumkan akan turut bekerjasama dengan pelanggan syarikat penerbangan China itu.

    Dalam pada itu, usaha mencari dan menyelamat (SAR) mangsa nahas pesawat itu setakat ini menunjukkan tiada yang terselamat.

    Media melaporkan, setakat ini tiada tanda-tanda menunjukkan mungkin ada antara 132 penumpang dan kru pesawat malang itu mungkin terselamat.

    Pada Isnin, pesawat jenis Boeing 737 yang membawa 132 penumpang dan kru terhempas di barat daya China.

    Ini adalah nahas pesawat pertama China sejak 2010 dan pasukan SAR masih meneruskan usaha mereka di kawasan hutan pergunungan di selatan Guangxi, dengan media China menggambarkan suasana di sana sebagai ‘suram’.

    Serpihan pesawat Boeing 737-800 ditemui semalam berselerakan di lereng gunung yang penuh tompokan kesan terbakar.

    Cuaca hujan yang diramal bagi minggu ini di lokasi nahas dijangka menyukarkan lagi kerja SAR di kawasan yang dikelilingi gunung pada tiga sisi dengan hanya satu denai sempit sebagai jalan masuk.

  • [VIDEO] Pesawat China Eastern Airlines bawa 132 penumpang terhempas

    [VIDEO] Pesawat China Eastern Airlines bawa 132 penumpang terhempas

    SEBUAH pesawat Boeing 737 milik China Eastern Airlines yang membawa 132 penumpang dan sembilan kru dalam penerbangan dari Kunming ke Guangzhou dilaporkan terhempas di kawasan pergunungan di China.

    Memetik laporan Mirror, asap tebal dilihat berkepul-kepul di lokasi kejadian.

    Stesen televisyen China melaporkan, pesawat Boeing 737 tersebut mengalami ‘nahas’ di ruang udara Guangxi.

    Setakat ini tidak diketahui berapa jumlah mangsa yang terkorban atau cedera manakala pasukan penyelamat dalam perjalanan ke kawasan pergunungan itu.

    Jabatan Pengurusan Kecemasan Guangxi dalam satu kenyataan berkata, pesawat tersebut terhepas di Mukim Teng, Wuzhou, Guangxi dan menyebabkan kebakaran di kawasan pergunungan.

    “Ketika ini, pasukan kecemasan telah dikumpul dan digerakkan manakala jumlah korban tidak diketahui,” jelasnya.

    Sementara itu, Rangkaian Keselamatan Penerbangan dalam ciapan Twitter menyatakan telah menerima beberapa laporan yang belum disahkan mengenai kemungkinan nahas melibat penerbangan China Eastern Airlines MU5735.

    Data penerbangan yang didakwa dari penerbangan itu menunjukkan pesawat berusia enam tahun itu jatuh dari ketinggian beribu-ribu kaki ke bumi dalam masa beberapa minit, menyebabkan kru tidak dapat bertindak menangani masalah yang dihadapi.

    MU5735 berlepas dari Kunming pada pukul 1.11 petang waktu tempatan, menurut data yang dikeluarkan oleh FlightRadar24.

    Penjejakan pesawat berakhir pada pukul 2.22 petang waktu tempatan pada ketinggian sekitar 30,000 kaki dengan kelajuan 376 knot sebelum ia tiba-tiba terjunam ke bumi.

  • Rusia akan bertindak jika Bosnia sertai NATO

    Rusia akan bertindak jika Bosnia sertai NATO

    BOSNIA dan Herzegovina mempunyai hak untuk memilih sama ada mahu menjadi anggota Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) atau sebaliknya, tetapi Moscow berhak bertindak berdasarkan kepentingan negaranya, lapor Agensi Anadolu, memetik perwakilan Rusia.

    “Jika Bosnia dan Herzegovina memutuskan untuk menjadi ahli sebarang pertubuhan, ia adalah perkara dalaman. Tetapi terdapat perkara lain boleh mencetuskan reaksi kami.

    “Dalam isu Ukraine, kami bertindak balas terhadap ancaman,” kata Duta Rusia ke Bosnia dan Herzegovina, Igor Kalabukhov kepada Persekutuan Televisyen Bosnia dan Herzegovina, pada Khamis.

    Kalabukhov berkata, rakyat Bosnia tidak perlu bimbang dengan Rusia.

    Beliau percaya keselamatan di Bosnia terjamin jika situasi politik berkembang menerusi dialog, tanpa sebarang tindakan radikal.

    Ahli Majlis Presiden Bosnia dan Herzegovina, Sefik Dzaferovic menyifatkan kenyataan Kalabukhov sebagai “serangan ke atas integriti wilayah Bosnia dan Herzegovina.”

    “Bosnia dan Herzegovina ialah sebuah negara berdaulat ia berhak membuat keputusan sendiri mengenai masa depannya berdasarkan rangka kerja Perlembagaan dan undang-undang, dan bertindak atas permintaan serta kepentingan rakyatnya. Kami tidak akan menurut kemahuan pihak lain dan Rusia tidak ada hak untuk memastikan masa depan Bosnia,” kata Dzaferovic.

    Dzaferovic sebelum ini berkata, Bosnia dan Herzegovina akan lebih selamat dan dilindungi jika menjadi sebahagian ahli Kesatuan Eropah dan NATO.

    Beliau menggesa EU dan NATO membuka pintu keanggotaan kepada Bosnia dan Herzegovina dan negara-negara barat Balkan yang lain, sambil berkata ia akan menghalang risiko, bahaya dan situasi sama seperti krisis di Ukraine. – BERNAMA

  • Pemilik Chicago Cubs, jutawan dana bergabung tawar beli Chelsea

    Pemilik Chicago Cubs, jutawan dana bergabung tawar beli Chelsea

    KELUARGA Ricketts, pemilik kelab besbol Chicago Cubs, mengesahkan mereka membuat tawaran untuk membeli Chelsea bersama dengan jutawan dana, Ken Griffin.

    Menurut Sky News, keluarga Ricketts akan memberi tawaran untuk kelab London tersebut pada Jumaat ini dan bank di Amerika Syarikat, Raine Group akan menguruskan perihal pembelian tersebut.

    Mereka akan menilai tawaran paling sesuai sebelum berbincang dengan kerajaan UK untuk menarik balik lesen khas yang diberikan kepada Chelsea untuk membenarkan pembelian itu diteruskan.

    Semalam, Football.london berkata bahawa kerajaan tidak akan mempertimbangkan tawaran membeli Chelsea sehingga mereka menerima kepastian bahawa pemilik asal, Roman Abramovich tidak menerima apa-apa keuntungan daripada transaksi tersebut.

    Griffin, 53 juga menguruskan Citadel, sebuah syarikat pelaburan dilaporkan sedang berbincang dengan pemaju hartanah, Nick Candy untuk membuat tawaran berasingan. Citadel tidak terlibat dengan tawaran pembelian tersebut.

    Keluarga Ricketts dikatakan mempunyai kekayaan bernilai £2 billion (RM11 billion) dan menguasai Chicago Cubs sejak 2009 namun pembelian Chelsea akan mencetus perasaan tidak puas hati dalam kalangan penyokong kelab besbol tersebut .

  • Gempa Jepun: Korban meningkat, 4 maut, 92 cedera

    Gempa Jepun: Korban meningkat, 4 maut, 92 cedera

    EMPAT maut, manakala 92 yang lain cedera selepas gempa bumi kuat melanda timur laut Jepun lewat malam Rabu, dengan ombak tsunami dilapor kelihatan selepas Agensi Meteorologi Jepun mengeluarkan amaran bencana itu.

    Agensi Agensi Pengurusan Bomba dan Bencana seperti dilapor Xinhua menyatakan angka maut dan mangsa yang tercedera direkodkan sehingga jam 6.30 pagi waktu tempatan Khamis, dengan semua yang cedera membabitkan tujuh wilayah termasuk Miyagi dan Fukushima, di mana gempa itu didaftarkan pada magnitud 7.4.

    Gegaran kuat dirasai di kawasan timur laut dan timur negara itu, terutamanya di Wilayah Miyagi dan Fukushima di mana gempa itu berlaku melepasi enam pada skala keamatan seismik Jepun, dengan tujuh adalah puncak.

    Gegaran dilapor berlaku kira-kira jam 11.36 malam waktu tempatan pada Rabu di utara garis lintang 37.7 dan timur garis bujur 141.7 pada kedalaman 60 kilometer (km).

    Amaran tsunami sehingga satu meter dikeluarkan ke kawasan pantai di Wilayah Miyagi dan Fukushima, dengan penduduk digesa menjauhi pantai.

    Xinhua melaporkan gelombang tsunami terawal dilapor tiba di bandar Ishinomaki di timur Prefektur Miyagi pada jam 11.50 malam waktu tempatan, dengan ketinggian satu meter, disusuli gelombang tsunami berganda setinggi satu meter sekitar 12.20 pagi Khamis di beberapa bandar di Wilayah Miyagi dan Fukushima.

    Sebahagian perkhidmatan kereta api laju Tohoku Shinkansen juga digantung pagi Khamis selepas gempa bumi menyebabkan kereta api tergelincir.

    Syarikat Lebuhraya East Nippon menutup sementara beberapa bahagian lebuh raya, termasuk Lebuhraya Tohoku di Osaki, Wilayah Miyagi dan Lebuhraya Joban di Soma, Fukushima.

    Gempa bumi juga menyebabkan Soma di Fukushima bergelap berdasarkan kepada pegawai di bandar itu.

    Menurut Xinhua lagi, bandar Tokyo turut merasai gegaran kuat dan bekalan elektrik terputus juga dilapor di beberapa bahagian bandar itu dan kawasan sekitarnya selepas gempa.

    Syarikat bekalan elektrik Tokyo (TEPCO) berkata, kira-kira dua juta kediaman terputus bekalan elektrik dan syarikat itu yang juga operator loji nuklear Fukushima Daiichi mengesahkan pekerjanya sedang memeriksa sama ada fasiliti itu terkesan akibat gempa.

    Pejabat Perdana Menteri Jepun sudah mewujudkan pusat kecemasan sebagai tindak balas kepada gempa bumi yang berlaku.

  • 11 maut, 486 cedera ketika sambutan Pesta Api

    11 maut, 486 cedera ketika sambutan Pesta Api

    SEKURANG-KURANGNYA 11 terbunuh, manakala 486 lagi cedera di Iran semasa sambutan Chaharshanbe Suri, atau Pesta Api, lapor Xinhua, memetik laporan TV negara Iran pada hari Selasa.

    Dalam kalangan yang tercedera, 49 orang terpaksa dipotong kaki akibat kecederaan parah, jurucakap Pertubuhan Kecemasan Iran, Mojtaba Khaledi, dipetik sebagai berkata.

    Kebanyakan mangsa, meningkat 47 peratus berbanding tahun lalu, berlaku dalam empat atau lima hari lalu, kata Khaledi.

    Pesta Api disambut rakyat Iran pada malam Rabu terakhir sebelum Nowruz, tahun baharu Iran, yang bermula 21 Mac tahun ini.

    Perayaan tahun ini bermula beberapa hari lalu dan mencapai kemuncaknya petang Selasa.

    Rakyat Iran meraikan Pesta Api dengan melompat ke atas unggun api dan menggunakan mercun di tempat awam, yang menjadi upacara dilakukan untuk mengucapkan selamat tinggal kepada tahun lama dan menyambut tahun baru. – Bernama