Category: Luar Negara

  • [VIDEO] Jambatan runtuh: 4 termasuk seorang pelancong asing maut

    [VIDEO] Jambatan runtuh: 4 termasuk seorang pelancong asing maut

    SEORANG pelancong Austria dan tiga rakyat tempatan maut selepas jambatan berusia beberapa dekad runtuh di wilayah Bohol tengah Filipina pada petang Rabu, lapor Xinhua.

    Polis berkata, lelaki Austria berusia 30 tahun itu antara penumpang dalam 12 kenderaan yang terjunam ke dalam sungai sekitar 4 petang waktu tempatan (0800 GMT).

    Lebih 20 mangsa yang lain terselamat termasuk isteri pelancong Austria itu, rakyat tempatan.

    Jambatan itu, dibina pada 1970-an dan terletak di bandar Loay, pernah rosak akibat gempa bumi pada 2013 dan telah dibaiki, kata pegawai tempatan.

    Gabenor Bohol Arthur Yap dalam hantaran di media sosial mendakwa jambatan itu runtuh akibat lebihan muatan. – BERNAMA

  • Hukuman mati rakyat Malaysia edar dadah di Singapura ditangguh

    Hukuman mati rakyat Malaysia edar dadah di Singapura ditangguh

    Oleh MASSITA AHMAD

    MAHKAMAH Tinggi Singapura pada Khamis membenarkan penangguhan hukuman mati terhadap warga Malaysia, K Datchinamurthy, yang sepatutnya menjalani hukuman pada Jumaat, 29 April, dua hari selepas pelaksanaan hukuman Nagaentran Dharmalingam.

    Menurut peguam Singapura, M Ravi, kebenaran penangguhan itu diberikan berasaskan alasan “menunggu keputusan perbicaraan berhubung dakwaan pelanggaran peraturan penjara yang dijadual pada 20 Mei”.

    “Datch (Datchinamurthy) sepatutnya dihukum gantung esok,” kata M Ravi dalam hantaran terbaharunya di Facebook.

    Datchinamurthy, 36, didakwa mengedar 44.96 gram (g) diamorphine ke Singapura pada 2011 dan dihukum mati pada 2015, manakala Nagaentran dijatuhi hukuman mati pada 2010 kerana mengedar 42.72g heroin pada 2009.

    Permohonan penangguhan pelaksanaan hukuman difailkan sendiri oleh Datchinamurthy dan perbicaraan mengenai penangguhan itu dibuat secara tertutup pada 9.30 pagi Khamis.

    M Ravi sebelum ini menjadi peguam untuk Datchinamurthy berkata perbicaraan yang dijadual pada 20 Mei adalah berkait mengenai aduan terhadap peguam negara mengenai hak komunikasi antara banduan dengan peguamnya.

    “Isunya adalah apakah mereka boleh menggantungnya pada Jumaat 29 April ketika ada perbicaraan dijadualkan pada 20 Mei,” tulisnya. – BERNAMA

  • [VIDEO] 4 maut dalam kejadian tembakan di motel

    [VIDEO] 4 maut dalam kejadian tembakan di motel

    EMPAT maut dalam dua kejadian tembakan di sebuah motel di Mississippi, Amerika Syarikat (AS) pada Rabu, menurut polis.

    Dalam kejadian di sebuah motel, tiga mangsa terbunuh selepas ditembak oleh penyerang dikenali sebagai Alexander Reynolds.

    Suspek yang berusia 32 tahun itu turut dilaporkan terbunuh.

    Seorang saksi memberitahu WLOX-TV mangsa yang maut itu terdiri pemilik motel, pekerja dan tetamu.

    Menurut anak perempuan pekerja motel itu, kejadian berlaku akibat pertengkaran mengenai duit antara penyerang dengan mangsa.

    Koroner Brian Switzer berkata mangsa kejadian tembakan itu dikenal pasti sebagai pemilik motel dan pekerjanya serta tetamu motel.

    Penyerang kemudian melarikan diri dengan sebuah kenderaan dan menembak seorang lagi mangsa di Gulfport.

    William Waltman, kakitangan Gulfport berusia 52 tahun disahkan meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di hospital. – BERNAMA

  • Hukuman penjara terhadap Su Kyi cetus kebimbangan – Saifuddin

    Hukuman penjara terhadap Su Kyi cetus kebimbangan – Saifuddin

    Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah menyuarakan kebimbangannya terhadap perkembangan terbaharu berhubung hukuman yang dijatuhi ke atas pemimpin yang digulingkan, Aung San Suu Kyi, 76, atas pertuduhan rasuah.

    Menerusi ciapannya di twitter beliau berkata, prinsip asas hak asasi manusia dan keadilan perlu dikekalkan dan dipatuhi di Myanmar.

    Saifuddin turut berkongsi ciapan Nabila Massrali, jurucakap Kesatuan Eropah (EU) untuk Hal Ehwal Luar Negeri dan Dasar Keselamatan yang menulis: “Perbicaraan Aung San Suu Kyi bermotifkan politik, satu lagi tindakan yang menidakkan kedaulatan undang-undang dan betapa lemahnya demokrasi di Myanmar. EU menyeru agar semua pemimpin politik yang ditahan sewenang-wenangnya sejak rampasan kuasa dibebaskan”.

    Mahkamah junta di Myanmar pada Rabu menjatuhkan hukuman penjara lima tahun kepada Suu Kyi atas dakwaan rasuah.

    Beliau didapati bersalah menerima wang tunai dan emas daripada bekas Ketua Menteri Yangon, Phyo Min Thein, lapor Agensi Anadolu memetik laman sesawang Myanmar Now.

    Thein mendakwa memberi Suu Kyi wang tunai US$600,000 dan 11.4 kilogram emas “sebagai balasan untuk membantu perniagaannya.” Suu Kyi menyifatkan tuduhan itu sebagai ‘tidak berasas.’

    Sejak Disember lepas, pemenang Nobel itu telah dijatuhi hukuman penjara sebanyak 11 tahun melibatkan beberapa kes. Keputusan untuk 11 lagi pertuduhan masih belum selesai.

    Kerajaan Suu Kyi telah digulingkan dalam rampasan kuasa tentera pada tahun lepas, selepas memperoleh kemenangan besar pada pilihan raya November 2020.

    Rampasan kuasa itu disusuli dengan bantahan besar-besaran yang menyaksikan junta melakukan kekerasan terhadap penunjuk perasaan.

    Sejak itu lebih 1,500 orang terbunuh, menurut sebuah kumpulan pemantau tempatan. – Bernama

  • 11 mati termasuk 2 budak akibat renjatan elektrik

    11 mati termasuk 2 budak akibat renjatan elektrik

    SEKURANG-KURANGNYA 11 orang termasuk dua kanak-kanak meninggal dunia apabila kenderaan dinaiki mereka tersangkut pada talian penghantaran lalu terbakar akibat renjatan elektrik di selatan India.

    Berita Harian memetik laporan Reuters memaklumkan, kesemua mangsa dipercayai menaiki kenderaan perarakan keagamaan.

    Puluhan mangsa lain turut tercedera di daerah Thanjavur di wilayah Tamil Nadu selatan selepas kenderaan pedati setinggi 2.7 meter dan ditarik oleh pengikut, melanggar talian bervoltan tinggi.

    Perdana Menteri, Narendra Modi berharap mereka yang tercedera akan segera sembuh.

    Sesetengah mangsa cedera akibat terjatuh selepas renjatan elektrik, manakala yang lain lari bertempiaran bagi menyelamatkan diri daripada api.

    Kereta kuda itu yang sedang dalam perjalanan pulang dari kuil berhampiran, kemudian dibiarkan hangus.

    Jentera bomba dan pegawai tempatan turut menyertai usaha menyelamat.

  • Diskriminasi terhadap orang Islam di AS meningkat

    Diskriminasi terhadap orang Islam di AS meningkat

    DISKRIMINASI terhadap orang Islam di Amerika Syarikat (AS) meningkat sembilan peratus pada 2021 berbanding tahun sebelumnya, menurut laporan kumpulan hak sivil dan advokasi Islam pada Isnin.

    Laporan Badan Perhubungan Islam-Amerika (CAIR) mendapati sepanjang tahun lepas pihaknya menerima 6,720 aduan di seluruh negara membabitkan pelbagai isu antaranya imigresen, diskriminasi perjalanan, penguatkuasaan undang-undang, kebencian dan kebebasan bersuara.

    “Ini mewakili jumlah kes tertinggi yang pernah dilaporkan kepada CAIR dalam tempoh 27 tahun. Angka ini membimbangkan,” kata Pengarah Eksekutif CAIR Nihad Awad pada sidang media.

    Awad berkata, berdasarkan laporan itu jelas membuktikan “Islamofobia telah menular dalam masyarakat kita.” dan “menjadi arus perdana di Amerika”.

    Awad yakin kerajaan AS boleh menjadi sebahagian daripada penyelesaian bagi membendung Islamofobia.

    “Kami menggesa Kongres menerima pakai undang-undang membenarkan pendokumentasian dan laporan terhadap jenayah kebencian dalam pangkalan data FBI.

    “Ia sekali gus menjadikan penguatkuasa undang-undang tempatan mengambil serius ancaman Islamofobia,” katanya. – BERNAMA

  • Polis tembak kereta cuba rempuh anggota, dua maut

    Polis tembak kereta cuba rempuh anggota, dua maut

    SEBUAH kereta cuba melanggar anggota polis pada Isnin, memaksa polis Paris melepaskan tembakan hingga mengakibatkan dua maut.

    Menurut sumber polis, kereta itu dilaporkan cuba merempuh anggota yang sedang bertugas di jambatan Pont Neuf berhampiran Muzium Louvre.

    Polis mengarahkan pemandu supaya menghentikan kenderaan tetapi tidak diendahkan, memaksa pihak polis melepaskan tembakan, lapor Agensi Anadolu.

    Pemandu dan penumpang di kerusi hadapan maut manakala seorang lagi penumpang di bahagian belakang cedera.

    Punca kejadian masih disiasat.

    Pihak berkuasa mengadakan kawalan keselamatan yang ketat di Paris berikutan pilihan raya presiden pusingan kedua yang diadakan pada Ahad.

    Sementara itu, ratusan penunjuk perasaan anti-Macron yang menggelar diri mereka sebagai “anti-fasis,” bertempur dengan polis di Dataran Republik.

    Protes yang sama turut berlaku di bandar Rennes dan Nantes.

    Kira-kira 250 penunjuk perasaan membakar tong sampah di sepanjang jalan memaksa polis menggunakan gas pemedih mata untuk mengawal keadaan.

    Pilihan raya itu menyaksikan penyandang, Emmanuel Macron berjaya mempertahankan kedudukannya dengan menewaskan pemimpin parti sayap kanan Marine Le Pen dengan memperoleh 58.2 peratus undi berbanding pencabarnya yang sekadar mendapat 41.8 peratus. – BERNAMA

  • Bot bawa 60 pendatang karam, 1 maut, 27 hilang

    Bot bawa 60 pendatang karam, 1 maut, 27 hilang

    SEBUAH bot membawa 60 pendatang asing, karam di luar pantai bandar Tripoli, Lubnan, lapor Agensi Anadolu (AA) menurut Palang Merah Lubnan pada Sabtu.

    “Bot yang membawa 60 penumpang itu karam. Pasukan Palang Merah Lubnan menghantar tujuh ambulans ke pelabuhan Tripoli untuk bantuan,” ciapnya di Twitter.

    Agensi Berita Nasional Lubnan (NNA) melaporkan seorang remaja terbunuh dan 27 lagi mangsa hilang manakala yang lain diselamatkan tentera laut.

    Sementara itu di Jepun, empat penumpang bot pelancong KAZU 1 yang dilaporkan hilang di pantai Hokkaido Jepun ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri, lapor Sputnik memetik penyiar NHK.

    Dalam kemas kini pada Ahad, NHK melaporkan penyelamat menjumpai tiga lagi penumpang namun keadaan mereka masih tidak dapat dipastikan.

    Pada Sabtu, bot persiaran KAZU 1 menghantar isyarat kecemasan selepas belayar meninggalkan pelabuhan Utoro di Hokkaido.

    Bot itu membawa 24 penumpang, termasuk dua kanak-kanak serta dua anak kapal.

    Sebuah helikopter dan kapal peronda telah dihantar ke lokasi bot itu disyaki hilang tetapi penyelamat gagal menemukan kapal berkenaan. – BERNAMA

  • [VIDEO] Kilang tapis minyak haram meletup, lebih 100 mati rentung

    [VIDEO] Kilang tapis minyak haram meletup, lebih 100 mati rentung

    LEBIH 100 orang terbunuh berikutan letupan di loji penapisan minyak haram di Imo, selatan Nigeria, lapor Agensi Berita Xinhua memetik sumber rasmi dan tempatan pada Sabtu.

    Letupan berlaku lewat Jumaat di loji penapisan minyak haram di kawasan Egbema dekat sempadan antara Imo dan Rivers.

    “Berlaku kebakaran di tapak loji haram yang mengakibatkan lebih 100 rentung dan mangsa tidak dapat dikenal pasti,” kata pesuruhjaya sumber petroleum di Imo, Goodluck Opiah.

    Beliau berkata, kerajaan sedang memburu pengendali penapisan minyak haram itu yang dipercayai telah melarikan diri.

    Tapak penapisan minyak haram itu beroperasi dengan mencuri minyak mentah daripada saluran paip milik syarikat minyak.

    https://youtu.be/gq7UhZOzKP8

    Vandalisme saluran paip minyak dan kecurian minyak sering dilaporkan di Nigeria, menyebabkan ekonomi negara ini mengalami kerugian besar. – BERNAMA

  • Menakutkan… wanita terserempak Bigfoot mengganas di ladang

    Menakutkan… wanita terserempak Bigfoot mengganas di ladang

    SEORANG wanita mendakwa dia mempunyai pengalaman menakutkan berdepan dengan haiwan gergasi dipercayai Bigfoot di rumah ladang mereka pada waktu malam.

    Memetik laporan Mirror, Jacqueline Lange berkata, kejadian itu berlaku semasa dia bekerja di ladang berkenaan di Manitoba, Kanada pada 1981.

    Katanya, dia terdengar bunyi yang kuat ketika bekerja di dalam bangsal ot.

    Kemudian, Lange keluar dan melihat kuda-kuda bertempiaran lari dan seekor makhluk gergasi berdiri dan memandang ke arahnya.

    “Saya sangat takut, keluar dari bangsal dan kuda-kuda tiada lagi di situ. Kemudian saya terdengar bunyi sesuatu sedang bergerak dalam kawasan gelap di belakang bangsal.

    “Saya berundur sehingga dapat melihat sesuatu yang lebih tinggi daripada bangsal tersebut. Ia memandang ke kiri dan ke kanan sebelum berpusing merenung ke arah saya.

    “Ketika itu, saya tidak tahu apa benda itu dan ia menderam. Saya panik dan berlari ke bangsal serta memberitahu pembantu saya apa yang saya nampak.

    “Kami datang semula dengan membawa serampang peladang dan ia masih ada di situ, memandang ke arah kami sambil menderam.

    “Kami kemudian menjerit dan ia melompat ke padok dan terus lari,” jelasnya.

    Pemilik ladang kemudian datang membawa senapang patah namun haiwan itu tidak muncul semula.

    Kira-kira pukul 3 pagi, polis datang ke ladang itu dan memberitahu tentang kuda-kuda mereka yang ditemukan berkeliaran.

    Mereka mendapati kuda-kuda tersebut dalam keadaan ketakutan dan telah merempuh pagar dawai serta menumbangkan tiang ketika melarikan diri.

    Keesokannya, akhbar melaporkan, seorang anggota polis ternampak ‘haiwan yang tinggi dan berbulu melompat melepasi pagar setinggi 10 kaki’.

    “Kejadian itu berlaku lebih 40 tahun lalu dan saya masih mengingatinya seolah-olah ia baru terjadi semalam, memang menakutkan,” katanya.

    Sementara itu, Presiden Pertubuhan Penyelidik Lapangan Bigfoot (BFRO), Matt Moneymaker berkata, pihaknya menerima ribuan laporan setiap tahun daripada individu yang mendakwa telah melihat makhluk berkenaan.

    Malah, Moneymaker sendiri pernah terserempak dengan Bigfoot sebelum dia menubuhkan BFRO.

    “Saya percaya kisah itu bukan direka-reka. Setiap perkara yang dia gambarkan tentang haiwan itu adalah konsisten dengan pemahaman kami tentang Bigfoot.

    “Mereka wujud di Manitoba, biasanya datang ke ladang pada musim sejuk lebih-lebih lagi yang mempunyai haiwan ternakan yang dimakan mereka apabila lapar,” katanya.

    Dia menambah, Bigfoot dipercayai suka makan ot dan tidur atas jerami di dalam bangsal.