Category: Luar Negara

  • Israel lancar serangan udara, 5 maut di Syria

    Israel lancar serangan udara, 5 maut di Syria

    ISRAEL melancarkan serangan udara ke atas tengah Syria menyebabkan lima maut, termasuk seorang penduduk awam, lapor media negara ini, pada Jumaat.

    “Israel melancarkan serangan udara dengan letupan sejumlah peluru berpandu, membabitkan beberapa sasaran di wilayah tengah.

    “Serangan itu mengakibatkan lima terkorban,” lapor agensi berita rasmi, SANA yang memetik sumber pihak tentera.

    Menurut laporan Berita Harian, sumber itu turut dipetik berkata, tujuh lagi mangsa cedera termasuk seorang kanak-kanak, selain kemusnahan material dalam kejadian berkenaan.

    Dalam pada itu pemantau perang, Syrian Observatory for Human Rights pula memaklumkan, empat kru pertahanan udara meliputi seorang leftenan maut, manakala tujuh lagi tentera cedera.

    “Pesawat tempur Israel melancarkan sekurang-kurang lapan peluru berpandu ke atas depoh senjata serta tapak Iran di kawasan Masyaf di wilayah Hama,” menurut badan pemantau itu yang berpangkalan di Britain dan bergantung pada rangkaian sumber meluas di Syria.

    Insiden terbaru itu menyusuli serangan pada 27 April lalu yang menurut pemantau berkenaan, mengorbankan 10 pejuang termasuk enam tentera Syria.

    Katanya, sebuah depoh peluru dan beberapa kedudukan berkait kehadiran tentera Iran di Syria merupakan antara sasaran serangan terbabit.

    Media kerajaan di Syria pula mengesahkan empat terkorban dalam serangan berkenaan.

    Sementara itu, tentera Israel memberitahu AFP, semalam, pihaknya tidak memberi komen atas laporan media asing. – AFP

  • Presiden UAE, Sheikh Khalifa Zayed Al Nahyan meninggal dunia

    Presiden UAE, Sheikh Khalifa Zayed Al Nahyan meninggal dunia

    PRESIDEN Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Pemerintah Abu Dhabi, Sheikh Khalifa Zayed Al Nahyan meninggal dunia hari ini.

    Memetik laporan Khaleej Times, berita itu diumumkan oleh Kementerian Hal Ehwal Presiden UAE.

    “Kementerian Hal Ehwal Presiden ingin menyampaikan kepada rakyat UAE, dunia Arab dan Islam serta seluruh dunia tentang pemergian Sheikh Khalifa Zayed Al Nahyan, Presiden UAE,” katanya dalam satu kenyataan.

    Allahyarham yang berusia 72 tahun memegang jawatan Presiden UAE dan Pemerintah Abu Dhabi sejak 3 November 2004.

    Baginda dilantik menggantikan ayahandanya, Sheikh Zayed Sultan Al Nahyan yang meninggal dunia pada 2 November 2004.

    Dilahirkan pada 1948, baginda merupakan Presiden UAE yang kedua dan Pemerintah Abu Dhabi yang ke-16.

    Baginda merupakan putera sulung Sheikh Zayed.

    Sejak menjadi Presiden UAE, Allahyarham menerajui penstrukturan semula kerajaan Persekutuan dan kerajaan Abu Dhabi secara besar-besaran.

  • Pasangan suami isteri tuntut RM2 juta jika anak, menantu tak lahirkan cucu

    Pasangan suami isteri tuntut RM2 juta jika anak, menantu tak lahirkan cucu

    GARA-gara mahukan cucu, suami isteri di India memfailkan tuntutan mahkamah terhadap anak dan menantu.

    Memetik laporan Harian Metro, pasangan itu menuntut jika anak dan menantu tidak melahirkan anak dalam tempoh setahun, mereka akan menuntut ganti rugi bernilai 50 juta rupee (RM2,842,992.47).

    Nilai itu sebagai ganti rugi bagi membiayai pendidikan anaknya sehingga bergelar juruterbang, majlis perkahwinan mewah di hotel serta bulan madu anak menantu mereka.

    Sanjeev dan Sadhana Prasad berkata, mereka kehabisan wang simpanan untuk membesarkan dan mendidik anak mereka sehingga menjadi juruterbang serta membayar kos majlis perkahwinannya.

    Dalam satu petisyen yang difailkan di mahkamah di Haridwar minggu lalu, pasangan itu mahukan bayaran balik kos berkenaan kerana anaknya masih belum dikurniakan anak.

  • [VIDEO] Bot karam: 11 pendatang haram maut

    [VIDEO] Bot karam: 11 pendatang haram maut

    SEBELAS orang maut dan 31 lagi diselamatkan dalam insiden bot karam di luar pantai Puerto Rico pada Khamis, menurut Pengawal Pantai AS.

    Menurut ciapan pegawai pantai di Twitter, setakat petang Khamis, kru yang bertindak pantas berjaya menyelamatkan 31 mangsa — 11 wanita dan 20 lelaki, manakala “11 mangsa yang maut sudah ditemui,” lapor Xinhua.

    Kapal yang karam kira-kira 12 batu (19 km) di utara Pulau Desecheo, Puerto Rico itu, dipercayai terlibat membawa “pendatang haram”, kata agensi itu, sambil menambah kebanyakan penumpang di dalam bot itu dilaporkan dari Haiti.

    Pengawal Pantai menerima laporan kira-kira tengah hari mengenai “sebuah kapal yang karam dengan orang di dalam air yang kelihatan tidak memakai jaket keselamatan”.

    Pengawal Pantai dan agensi rakan kongsinya segera bertindak meskipun tidak jelas akan jumlah mangsa berada di atas bot itu. – BERNAMA

  • [VIDEO] Pesawat kecil terhempas, 9 penumpang 2 kru maut

    [VIDEO] Pesawat kecil terhempas, 9 penumpang 2 kru maut

    TIADA mangsa terselamat ditemui selepas sebuah pesawat kecil yang membawa 11 orang terhempas di hutan di wilayah Pusat Cameroon pada Rabu, lapor Xinhua, memetik media rasmi CRTV.

    Menurut pegawai, Akbert Nagan dari Sanaga di wilayah tengah, tiada mangsa terselamat ditemui di bahagian Bibey, ciap CRTV di Twitter petang Khamis.

    Peta menunjukkan lokasi di mana pesawat yang membawa sembilan penumpang yang juga pekerja syarikat minyak dan dua kru terhempas. Mereka dilaporkan dalam perjalanan dari Yaounde ke sebuah stesen pam di Dompta yang terletak di utara Cameroon sebelum terhempas di kawasan hutan. (Gambar: Twitter)

    Pesawat kecil dengan 9 penumpang dan 2 anak kapal itu dalam perjalanan dari ibu kota Yaounde ke stesen pam di Dompta di wilayah Utara negara itu, apabila ia terputus hubungan dengan kawalan trafik udara, menurut kenyataan media Syarikat Pengangkutan Minyak Cameroon.

    Mangsa adalah pekerja syarikat minyak yang menyelenggara saluran paip hidrokarbon antara Cameroon dan Chad yang berjiran.

    Klip video yang memaparkan wajah-wajah mangsa yang terkorban dalam nahas udara yang mengorbankan seramai sembilan penumpang iaitu pekerja syarikat minyak dan dua kru pesawat kecil di kawasan hutan di wilayah Pusat Cameroon pada Rabu lalu. (Kredit video: Saluran YouTube Downtown Info)

    Media tempatan mengaitkan punca nahas itu berpunca daripada puting beliung. – BERNAMA

  • Sindiket antarabangsa seludup beratus tan kokain dalam gula tumpas

    Sindiket antarabangsa seludup beratus tan kokain dalam gula tumpas

    POLIS Dubai dan agensi penguatkuasa Perancis, Sepanyol dan Colombia berjaya membanteras satu sindiket jenayah terancang rentas negara yang menyeludup dadah melalui penghantaran gula dari Amerika Selatan ke Eropah.

    Melalui operasi yang dikenali sebagai ,  ‘Sugar Cane’ pada 5 Mei lalu, Polis Dubai menahan seorang ahli sindiket tersebut dalam serbuan yang turut dilakukan di Perancis, Sepanyol dan Colombia.

    Serbuan serentak tersebut berjaya merampas sebanyak 22 tan gula yang dicampur kokain diseludup dari Colombia melalui Pelabuhan Le Havre di Perancis. 18 penjenayah turut ditahan.

    Inspektor General dan Pengarah Anti-Narkotik di Perancis (Ofast), Stéphanie Cherbonnier memuji sikap profesional dan tindakan pantas polis di Dubai dalam menahan penjenayah tersebut.

    “Bahagian Narkotik pihak polis Dubai  telah memainkan peranan yang besar dalam operasi ini,” kata Cherbonnier, lapor portal berita Khaleej Times.

    Sementara itu Pegawai Memerintah Polis Dubai, Leftenan Jeneral Abdullah Khalifa Al Marri berkata, operasi itu merupakan satu lagi kejayaan cemerlang kerjasama antara pasukan dan agensi penguatkuasa undang-undang antarabangsa  dalam memastikan keselamatan dan ketenteraman dunia serta membanteras jenayah terancang antarabangsa.

    Pengarah Jabatan Anti Narkotik Dubai, Brigadier Eid Muhamad Hareb pula berkata, segalanya bermula pada Jun 2021 apabila pihak berkuasa Perancis menyiasat beberapa syarikat yang didapati melakukan kesalahan ketika krisis pandemik Covid-19.

    Katanya, siasatan mendapati syarikat-syarikat berkenaan dan pengurusan mereka menggunakan identiti palsu bagi menyembunyi aktiviti haram dan terlibat menyeludup dadah ke Eropah melalui penghantaran gula tercemar dari Colombia.

    ‘Melalui pemantauan yang dilakukan, 10 penjenayah ditahan di Perancis , tujuh lagi di Sepanyol dan seorang di Dubai.

    Beliau mengesahkan hampir 900 beg gula-kokain dirampas di Thiais, Perancis selepas penghantaran tersebut tiba di Pelabuhan Le Havre.

    Katanya, sindiket ini  turut terlibat dalam penyeludupan 12 tan tembakau yang berjaya digagalkan oleh polis Belgium pada Ogos 2021. Mereka juga menyeludup 600 kilogram kokain yang dirampas di Colombia pada September 2021 dan terbabit dalam kegiatan pengubahan wang haram berjuta-juta Euro.

  • Tiga termasuk anggota keselamatan maut dalam letupan bom

    Tiga termasuk anggota keselamatan maut dalam letupan bom

    SEKURANG-KURANGNYA tiga terbunuh dan beberapa lagi cedera dalam insiden letupan bom yang menyasarkan pusat pemeriksaan keselamatan di Mogadishu, Somalia pada Rabu, lapor Agensi Anadolu (AA).

    Jurucakap polis Somalia, Abdifatah Adan Hassan ketika dihubungi AA berkata, dua anggota keselamatan antara yang maut dalam serangan di pusat pemeriksaan keselamatan yang terletak berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Aden Adde di Mogadishu.

    Sehingga kini belum ada kumpulan mengaku bertanggungjawab ke atas serangan itu.

    Serangan itu berlaku ketika Somalia sedang bersiap sedia untuk mengadakan pemilihan presiden yang telah lama tertangguh.

    Somalia turut dibelenggu kemelut politik yang menyaksikan perebutan kuasa antara Presiden Mohamed Abdullahi Mohamed dan Perdana Menteri Mohamed Hussein Roble. – BERNAMA

  • Korea Utara sahkan kes pertama COVID-19

    Korea Utara sahkan kes pertama COVID-19

    KOREA Utara pada Khamis mengesahkan kes COVID-19 yang pertama dalam tempoh lebih dua tahun, lapor Xinhua memetik laporan rasmi Agensi Berita Pusat Korea (KCNA).

    Media kerajaan berkata, sampel telah dikumpul daripada sekumpulan pesakit pada Ahad dan mengesan terdapatnya jangkitan melibatkan subvarian Omicron dikenali BA.2.

    Menurut KCNA, ia sebagai “insiden kecemasan negara paling buruk.” – BERNAMA

  • [VIDEO] Pesawat penumpang terhempas dalam hutan

    [VIDEO] Pesawat penumpang terhempas dalam hutan

    SEBUAH pesawat membawa 11 penumpang dilaporkan terputus hubungan pada Rabu malam sebelum pesawat itu ditemukan di hutan berhampiran Nanga Eboko, di Cameroon, lapor Xinhua.

    Perkara itu dimaklumkan Menteri Pengangkutan Cameroon Jean Ernest Ngalle Bibehe dalam satu kenyataan.

    “Pasukan penyelamat kini dalam perjalanan ke lokasi pesawat ditemukan untuk memberikan bantuan,” kata Bibehe.

    Pesawat itu dalam perjalanan ke wilayah Belabo selepas berlepas dari Yaounde, ibu negara Cameroon.

    https://youtu.be/KBIRbtYvItQ

    Media tempatan melaporkan penumpang pesawat terdiri pekerja syarikat minyak.

    Sementara itu, di China, seramai 25 orang cedera selepas sebuah pesawat penumpang tergelincir dari landasan dan terbakar ketika hendak berlepas dari lapangan terbang di Chongqing kira-kira 8 pagi Khamis, lapor Xinhua.Menurut sumber lapangan terbang pesawat penumpang kendalian Tibet Airlines itu membawa 113 penumpang dan sembilan anak kapal. 

    Semua penumpang telah dipindahkan manakala mangsa cedera dihantar ke hospital.

    Dalam pada itu, di Brazil, sekurang-kurangnya dua maut manakala 14 lagi cedera pada Rabu selepas sebuah pesawat ringan terhempas di bandar Boituva, lapor pihak berkuasa.

    Pesawat itu terhempas selepas berlepas dari Pusat Payung Terjun Nasional di Boituva, lapor Xinhua.

    Menurut kenyataan pejabat Datuk Bandar Boituva, pesawat itu milik syarikat pelancongan Skydive4Fun dan membawa seorang juruterbang serta 15 penerjun.

    “Dalam sejarah 50 tahun aktiviti payung terjun Boituva ini merupakan nahas pesawat pertama di pusat itu. Ia hari yang sangat menyedihkan,” kata Datuk Bandar Boituva, Edson Marcusso.

    Jurucakap bomba berkata mangsa yang cedera dihantar ke hospital berdekatan.

    Sementara itu, Tentera Udara Brazil dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa pakar sedang menjalankan siasatan di lokasi nahas. – BERNAMA

  • Tentera Israel bunuh wartawan Al-Jazeera

    Tentera Israel bunuh wartawan Al-Jazeera

    SEORANG wartawan Al Jazeera, Shireen Abu Akleh mati ditembak tentera Israel, menurut kenyataan Kementerian Kesihatan Palestin.

    Shireen dilaporkan terkena peluru hidup pada Rabu ketika sedang membuat liputan serangan Israel di bandar Jenin dan dikejarkan ke hospital dalam keadaan kritikal, menurut kementerian dan laporan Al Jazeera.

    Dia disahkan meninggal dunia di hospital.

     Video kejadian menunjukkan Shireen ditembak di kepala, kata Nida Ibrahim dari Al Jazeera.

    “Apa yang kita tahu buat masa ini ialah Kementerian Kesihatan Palestin telah mengumumkan kematiannya. Shireen Abu Akleh sedang membuat liputan serangan yang berlaku di Jenin, yang terletak di utara Tebing Barat, apabila dia terkena tembakan di kepala,” kata Ibrahim, bercakap dari bandar Ramallah, Palestin.

     Ibrahim menggambarkan Shireen sebagai seorang wartawan yang sangat dihormati dan telah bekerja dengan Al Jazeera sejak permulaan perjuangan Intifada Palestin sekitar tahun 2000.

    Shireen juga dilaporkan memakai press vest ketika ditembak.

    Turut menjadi mangsa ialah seorang lagi wartawan Palestin, kata jurucakap Kementerian Kesihatan.

    Ali Samoudi, yang bekerja untuk akhbar Quds yang berpangkalan di Baitulmaqdis, dilaporkan dalam keadaan stabil.