Category: Luar Negara

  • Rakyat Palestin hargai pendirian tetap Malaysia: Duta

    Rakyat Palestin hargai pendirian tetap Malaysia: Duta

    DUTA Palestin ke Malaysia Walid Abu Ali merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang membela perjuangan serta nasib Palestin dan rakyatnya yang berjuang menentang kekejaman Israel.

    Dunia telah menutup mata terhadap penderitaan Palestin selama beberapa dekad, Malaysia sebaliknya, sentiasa konsisten dengan pendiriannya dalam konflik Israel-Palestin.

    “Kami rakyat Palestin menghargai dan mengagumi sokongan diberikan Malaysia dan Perdana Menteri, ketika pertemuan dengan (Presiden AS) Presiden Joe Biden, mengukuhkan lagi kedudukan dan pendirian Malaysia terhadap perjuangan Palestin,” katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini.

    Beliau berharap Malaysia akan mempengaruhi negara Asia lain ke arah menyokong perjuangan Palestin.

    “Isu Palestin sentiasa menyatukan jiwa dan menyentuh hati semua rakyat Malaysia,” tambahnya.

    Malaysia konsisten dengan pendiriannya serta lantang menyuarakan solidariti dan sokongan terhadap isu Palestin.

    Semasa mesyuarat pemimpin ASEAN dengan Presiden Joe Biden pada sidang kemuncak khas di Washington D.C. pada 13 Mei, Ismail Sabri telah meminta AS bersikap jujur menyelesaikan konflik Israel-Palestin.

    “Kekejaman Israel perlu dihentikan. Malaysia menekankan Amerika Syarikat perlu jujur selesai isu itu. Kalau di Ukraine, Amerika boleh mengambil tindakan cepat, kita nak Amerika Syarikat mengambil tindakan cepat bagi isu Palestin,” kata Perdana Menteri.

    Duta itu juga menghargai pendirian Malaysia untuk tidak menormalkan hubungan dengan Israel serta sokongan tidak berbelah bahagi kepada perjuangan Palestin mencapai kebebasan daripada penjajahan haram Israel.

    Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Al-Quds Malaysia Dr Sharif Amin Abu Shammalah berkata seruan Ismail Sabri pada Sidang Kemuncak Khas ASEAN-AS telah mendedahkan sikap hipokrit dan pilih kasih atau dwistandard Barat dalam menangani isu Palestin.

    Beliau berkata ia amat ketara apabila Barat dengan pantas mengecam pencerobohan Rusia ke atas Ukraine tetapi membisu mengenai kekejaman Israel di bumi Palestin dan rakyatnya sejak tujuh dekad lalu.

    Beliau berkata Israel tidak boleh melanggar mana-mana undang-undang antarabangsa dan perlu bertanggungjawab atas jenayahnya.

    “Rakyat Palestin amat menghargai pendirian rakyat dan kerajaan Malaysia berhubung isu Palestin.

    “Kami sentiasa melihat bagaimana Malaysia adalah antara negara paling lantang menyokong isu Palestin.

    “Saya percaya berdasarkan kedudukan Malaysia di wilayah serantau, ia mampu menyumbang kepada mengheret Israel ke muka pengadilan,” katanya kepada Bernama.

    Dalam perkembangan berkaitan, Menteri Luar Datuk Seri Saifuddin Abdullah mengulangi gesaan Malaysia supaya penamatan segera terhadap pemindahan paksa rakyat Palestin yang berlarutan oleh rejim tentera Israel.

    Beliau berkata Malaysia tidak akan menjalinkan hubungan dengan Israel.

    “Malaysia akan terus menzahirkan sokongan dan solidariti yang tidak berbelah bahagi kepada saudara-saudara kita di Palestin; dan tidak akan menjalinkan hubungan dengan Israel.

    “Komuniti antarabangsa harus bersatu untuk menamatkan rejim apartheid Israel,” katanya dalam laman sosial Facebook sempena memperingati ulang tahun ke-74 Al-Nakba pada Ahad.

    Sementara itu, Abu Ali turut menggesa masyarakat antarabangsa berlaku adil terhadap rakyat Palestin, yang telah menjadi mangsa pilih kasih selama lebih tujuh dekad.

    “Apa yang berlaku antara Rusia dan Ukraine, dunia Barat boleh bertindak mengenakan sekatan terhadap Rusia hanya dalam beberapa minggu.

    “Sedangkan nasib kami (rakyat Palestin) yang telah menderita selama lebih tujuh dekad terus dipinggirkan masyarakat antarabangsa dan boleh dikatakan tiada apa yang telah mereka lakukan. Jelas kami dapati kami menjadi mangsa pilih kasih,” katanya.

    Hari Nakba disambut pada 15 Mei setiap tahun, sebagai mengenang peristiwa pengusiran paksa hampir 800,000 rakyat Palestin pada 1948 dari kediaman mereka di Palestin. – Bernama

  • [VIDEO] Tembakan gereja: Seorang maut, 5 lagi cedera

    [VIDEO] Tembakan gereja: Seorang maut, 5 lagi cedera

    SEORANG maut dan lima lagi cedera dalam kejadian tembakan di sebuah gereja di California barat, Amerika Syarikat (AS), lapor Xinhua.

    Insiden berlaku di Bandar Laguna Woods di Orange County di California pada petang Ahad, menurut Jabatan Syerif Orange County.

    “Pihak polis menerima panggilan kecemasan pada 1.26 petang. Empat mangsa cedera parah, seorang cedera ringan. Seorang mangsa meninggal dunia di tempat kejadian,” menurut jabatan itu.

    Suspek melepaskan tembakan ke arah pengunjung yang menghadiri jamuan tengah hari di gereja Geneva Presbyterian.

    Motif kejadian masih dalam siasatan.

    Terdapat berpuluh-puluh orang di dalam gereja ketika kejadian berlaku.

    Beberapa pengunjung berjaya menangkap penembak itu, lapor akhbar tempatan The Orange County Register.

    Penyerang seorang lelaki Asia berusia 60-an dan bukan penduduk di kawasan itu. – BERNAMA

  • Bas langgar tiang plaza tol, 13 maut, 12 parah

    Bas langgar tiang plaza tol, 13 maut, 12 parah

    SERAMAI 13 penumpang maut manakala 12 lagi cedera parah dalam kemalangan sebuah bas pelancong melanggar tiang Plaza Tol Surabaya – Mojokerto, hari ini.

    Menurut jurucakap Polis Daerah Jawa Timur, Dwi Sumrahadi, tragedi berkenaan berlaku di Kilometer 712+400 jalur A Tol Sumo arah Surabaya sekitar pukul 6 pagi (waktu tempatan).

    Menurut Astro Awani yang memetik laporan portal berita Kompas, bas pesiaran yang dipandu Ade Firmansyah dilaporkan melanggar tiang papan tanda elektronik di plaza tol itu.

  • Omicron BA.4, BA.5 dikesan di Singapura

    Omicron BA.4, BA.5 dikesan di Singapura

    KEMENTERIAN Kesihatan di Singapura melaporkan bahawa negara itu telah mengesan dua kes Covid-19 varian BA.4 dan satu jangkitan varian BA.5, menurut laporan dikeluarkan Bernama.

    “Ini merupakan kes pertama yang melibatkan komuniti dalam negara yang dijangkiti varian BA.4 dan BA.5 Omicron,” kata kementerian itu menerusi laman sesawang mereka.

    Varian yang dikategorikan sebagai varian membimbangkan (VOC) oleh Pusat Pencegahan dan Kawalan Penyakit Eropah ini disahkan kementerian tersebut selepas menjalankan penjujukan genom keseluruhan (WGS) kepada sampel yang diperolehi.

    “Semua kes tersebut tidak mempunyai gejala ataupun bergejala ringan seperti batuk, demam, selsema dan sakit tekak, serta tidak perlu dimasukkan ke hospital.

    “Ketiga-tiga mereka sudah lengkap divaksin dan telah menerima dos penggalak sebelum ini,” katanya, lapor Satu Berita.

    Kementerian itu melaporkan bahawa kesemua yang terlibat sedang menjalani kuarantin kendiri sebaik saja diuji positif Covid-19.

    Sebelum ini, kedua-dua varian tersebut pertama kali dilaporkan di Afrika Selatan pada awal tahun 2022 yang mempunyai ketahanan lebih kuat terhadap sistem imunisasi dan lebih mudah menjangkiti berbanding varian Omicron yang lain.

    Memetik laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), kementerian itu berkata, terdapat sekurang-kurang 1,000 kes BA.4 dan BA.5 dikesan di sekurang-kurang 16 negara, setakat 11 Mei lalu.

    “Kami akan meningkatkan usaha pengawasan dan terus memantau penularan varian berkenaan di Singapura,” jelas kementerian itu.

  • [VIDEO] Tembakan pasar karat: 2 maut, 3 lagi cedera

    [VIDEO] Tembakan pasar karat: 2 maut, 3 lagi cedera

    DUA maut di tempat kejadian dan tiga lagi parah dalam insiden tembakan di pasar karat di Houston, Texas Amerika Syarikat (AS) pada Ahad, lapor Xinhua.

    Kejadian dipercayai akibat pertengkaran membabitkan lima lelaki, menurut Pejabat Syerif Harris County.

    Kesemua mangsa berusia awal dan pertengahan 20-an, berkemungkinan mengenali antara satu sama lain.

    Syerif Harris County, Ed Gonzalez berkata dianggarkan terdapat “ribuan” orang awam di pasarkarat itu ketika tembakan dilepaskan.

    Dua suspek telah ditahan dan suspek ketiga menerima rawatan di hospital, menurut ABC News.

    Sekurang-kurangnya dua pucuk pistol turut dijumpai. – BERNAMA

  • Mayat wanita tiba-tiba hidup semula sebelum dikebumi

    Mayat wanita tiba-tiba hidup semula sebelum dikebumi

    SEORANG wanita yang disahkan meninggal dunia oleh doktor tiba-tiba ‘hidup semula’ semasa majlis penghormatan terakhir sebelum pengebumiannya.

    Memetik laporan Mirror, Fagilyu Mukhametzyanov, 49, dari Kazan, Rusia sebelum itu pengsan di rumahnya setelah mengalami kesakitan pada bahagian dada.

    Suaminya yang berumur 51 tahun membuat keputusan untuk meletakkan mayat isterinya dalam keranda terbuka pada majlis penghormatan terakhirnya.

    Namun, dia menerima kejutan yang besar ketika memberi penghormatan terakhir terhadap isterinya di mana wanita itu tiba-tiba bangkit di hadapannya.

    Selepas mendengar hadirin berdoa untuk rohnya, Fagilyu membuka matanya dan mendapati dia berada dalam situasi yang pelik.

    Kemudian, dia mula menjerit sekuat-kuat hati sehingga menyebabkan semua yang hadir terkejut.

    Mereka kemudian segera membawanya ke hospital namun dia hanya sempat hidup selama 12 minit ketika menerima rawatan di unit rawatan rapi.

    Kali ini, Fagilyu pergi untuk selama-selamanya.

    “Saya sangat marah dan mahu penjelasan. Dia tidak mati pada mulanya dan mereka boleh menyelamatkannya,” kata suaminya.

    Sementara itu, jurucakap hospital, Minsalih Sahapov berkata, siasatan akan dijalankan terhadap insiden tersebut.

    Kejadian ‘mayat hidup semula’ semasa majlis penghormatan terakhir itu bukan yang kali pertama berlaku.

    Awal bulan ini, Mirror melaporkan seorang wanita di Lambayque, Peru mengetuk kerandanya pada majlis tersebut.

    Sebelum itu, Rosa Isabel Cespedes Callaca disahkan meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya.

  • Kanak-kanak 3 tahun mati diserang anjing liar

    Kanak-kanak 3 tahun mati diserang anjing liar

    SEORANG kanak-kanak lelaki berusia 3 tahun di Carr Lane, Milnrow dekat Rochdale, United Kingdom mati dipercayai akibat serangan anjing liar.

    Memetik laporan Mirror, polis Rochdale sedang menyiasat insiden yang berlaku semalam itu.

    Mangsa dibawa dengan ambulans ke sebuah hospital namun dia disahkan meninggal dunia sebaik sahaja tiba di sana.

    Tiada tangkapan dibuat setakat ini dan polis sedang mengesan punca sebenar kematian.

    Jurucakap polis, Detektif Superintendan Jamie Daniels menyifatkan kejadian itu sebagai sesuatu yang tragik dan pihaknya turut bersimpati dengan keluarga mangsa.

    “Kami sedang menyiasat insiden ini dan yang sebelumnya melibatkan anjing di lokasi yang sama.

    “Walaupun siasatan kami masih lagi dalam peringkat awal, kami mengesyaki kanak-kanak kecil ini mengalami kecederaan akibat serangan anjing.

    “Saya faham bahawa semua yang terbabit tertekan akibat insiden yang menggemparkan masyarakat ini.

    “Saya memberi jaminan bahawa kami akan bekerja keras untuk menyiasat punca kejadian dan siasatan pada masa ini menjurus kepada kes jenayah.

    “Anggota polis akan ditempatkan di kawasan ini untuk menjalankan siasatan serta menangani isu yang dibangkitkan oleh penduduk,” katanya.

    Beberapa bulan lalu, seorang nenek diserang oleh tiga ekor anjing jenis Stafforrdshire Bull Terrier di jalan berhampiran lokasi kanak-kanak tiga tahun itu diserang.

    Namun, pada masa ini, tiada petunjuk yang mengaitkan dua insiden tersebut.

    Wanita berumur 69 tahun itu mendakwa dia diserang oleh anjing-anjing liar terbabit ketika dia dan cucunya membawa anjing mereka bersiar-siar.

    Dua ekor anjing telah menggigitnya namun dia berjaya melepaskan diri.

  • Imran Khan dakwa ada konspirasi membunuhnya

    Imran Khan dakwa ada konspirasi membunuhnya

    BEKAS Perdana Menteri Pakistan, Imran Khan pada malam Sabtu mendakwa terdapat konspirasi untuk membunuhnya.

    Bercakap pada perhimpunan besar-besaran di bandar Sialkot, Imran berkata, beliau telah merakam video dan mendedahkan nama “dalang” agar ramai orang tahu siapa yang mahu membunuhnya sekiranya rancangan itu berjaya.

    “Konspirasi sedang dibuat secara tertutup di dalam dan di luar negara, dan konspirasinya ialah: mereka mahu mengambil nyawa Imran Khan,” kata bekas Perdana Menteri itu pada perhimpunan anjuran parti Pakistan Tehreek-e-Insaf (PTI).

    “Saya telah merakam video dan menyimpannya di tempat selamat. Jika sesuatu berlaku kepada saya, seluruh negara akan menonton video ini… Saya telah menamakan semua yang terlibat dalam konspirasi itu menerusi rakaman video,” kata Imran.

    Polis sebelum ini membubarkan perhimpunannya dan menahan beberapa penyokong, tetapi Imran meneruskan himpunan awam itu di lokasi lain.

    Perhimpunan Sialkot adalah siri terbaharu bagi perhimpunan besar-besaran Imran sejak kerajaannya digulingkan melalui usul undi tidak percaya yang diluluskan mahkamah di parlimen.

    Imran berkata, lawannya di Pakistan dan negara asing menganggapnya sebagai “halangan yang perlu disingkirkan.”

    Pada perhimpunan itu, Imran telah menyelar lawannya dan menggesa pilihan raya diadakan segera bagi menamatkan krisis politik negara.

    Imran menyeru penyokongnya menunggu sehingga akhir bulan ini sebelum berarak ke Islamabad, dan berharap dapat mengumpulkan 2.5 juta orang. – BERNAMA

  • [VIDEO] Tembakan pasar raya: 10 maut, tiga lagi cedera

    [VIDEO] Tembakan pasar raya: 10 maut, tiga lagi cedera

    SEKURANG-KURANGNYA 10 orang terbunuh dan tiga lagi cedera selepas seorang lelaki melepaskan tembakan di pasar raya di bandar Buffalo, New York pada Sabtu, menurut Jabatan Polis Buffalo.

    Kejadian tembakan itu berlaku di pasar raya Tops Markets di Jefferson Avenue, lapor Agensi Anadolu.

    Suspek lelaki berkulit putih berusia 18 tahun berjaya ditahan, kata Pesuruhjaya Polis Buffalo Joseph Gramaglia dalam sidang media.

    Gramaglia berkata 11 mangsa terdiri mereka yang berkulit hitam, manakala dua lagi berkulit putih.

    FBI menyiasat kejadian itu sebagai jenayah ekstremisme ganas bermotifkan perkauman.

    Penembak itu lengkap bersenjata serta memakai peralatan taktikal.

    “Suspek turut dilengkapi kamera yang menyiarkan segala tindakannya secara langsung,” kata Gramaglia.

    Senator New York Chuck Schumer, mengutuk serangan itu serta menzahirkan simpati kepada keluarga mangsa.

    “Saya bersedih bagi mangsa dan keluarga mereka. Sifat perkauman tidak mempunyai tempat di negara kita. Saya telah bercakap dengan Datuk Bandar Buffalo dan menawarkan sebarang bantuan yang boleh dihulurkan,” menerusi ciapannya di Twitter.

    Sementara itu, Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden mengecam insiden tembakan  tersebut.

    “Jenayah kebencian bermotifkan perkauman adalah menjijikkan dalam struktur negara ini. 

    “Sebarang tindakan keganasan domestik, termasuk perbuatan yang dilakukan atas nama ideologi nasionalis kulit putih adalah menjijikkan, bertentangan dengan apa yang kami perjuangkan di Amerika.

    “Kita mesti melakukan segala-galanya untuk menamatkan keganasan domestik yang didorong kebencian,” lapor Xinhua memetik kenyataan Biden.

    Sepuluh terbunuh manakala tiga lagi cedera selepas seorang lelaki melepaskan tembakan di kedai Tops Friendly Markets di Buffalo pada petang Sabtu.

    Penyerang, seorang lelaki kulit putih berusia 18 tahun dikenali Payton Gendron, berjaya ditahan dan dilaporkan mengaku tidak bersalah atas pertuduhan melakukan pembunuhan peringkat pertama selepas dihadapkan ke mahkamah.

    Dia memakai pakaian ala-ala tentera serta baju kalis peluru  sambil menyiarkan secara langsung serangan itu di platform permainan.

    Seramai 11 mangsa merupakan warga Afrika Amerika manakala dua berkulit putih, menurut Pesuruhjaya Polis Buffalo Joseph Gramaglia.

    Suspek bertindak memandu selama berjam-jam ke pasar raya Tops, yang terletak di kawasan kejiranan kebanyakannya warga Afrika Amerika.

    Menurut Jabatan Kehakiman AS, kejadian itu disiasat “sebagai jenayah kebencian dan tindakan ekstremisme ganas bermotifkan perkauman,” menurut satu kenyataan.

    Biden turut menzahirkan simpati kepada keluarga mangsa, sambil berkata nyawa mereka “dirampas secara tidak masuk akal.”

    “Wanita Pertama dan saya berdoa untuk mangsa dan keluarga mereka, dan seluruh negara turut berduka bersama penduduk Buffalo,” katanya. – BERNAMA

  • Sheikh Mohammed dilantik Presiden baharu UAE

    Sheikh Mohammed dilantik Presiden baharu UAE

    PEMERINTAH de facto Emiriah Arab Bersatu (UAE), Sheikh Mohammed Zayed Al Nahyan dilantik secara rasmi sebagai presiden baharu negara itu hari ini iaitu sehari selepas kematian abangnya, Sheikh Khalifa pada usia 73 tahun.

    Menurut Sinar Harian yang memetik laporan Agensi berita WAM, pelantikan Putera Mahkota, Sheikh Mohammed, 61, atau juga dikenali sebagai MBZ sebagai pemerintah negara kaya minyak yang diasaskan bapanya pada 1971 itu dilakukan Majlis Tertinggi Persekutuan.

    Pengumuman itu dibuat selepas MBZ bertemu dengan anggota majlis tersebut yang terdiri daripada pemerintah tujuh emiriah di negara berkenaan yang kini berkabung selama 40 hari bermula semalam.

    Beliau dilihat sebagai calon terdekat dan paling layak memandangkan Sheikh Mohammed telah menjalankan tugas rasmi mewakili abangnya sebelum ini.

    Di bawah pentadbirannya, UAE yang berpopulasi 9.89 juta penduduk itu telah mencipta sejarah apabila berjaya menghantar angkasawan ke angkasa lepas dan kenderaan robotik ke planet Marikh selain membuka reaktor pertama serta menggunakan pengaruhnya untuk membangunkan dasar luar yang lebih tegas.

    MBZ yang bersekutu rapat dengan Arab Saudi telah muncul sebagai pemimpin Asia Barat yang disegani dan mengurangkan ‘campur tangan’ Amerika Syarikat (AS) serta menormalkan semula hubungan dengan Israel yang mengundang reaksi pelbagai pihak.