Category: Luar Negara

  • 14 pelajar, seorang guru maut dalam tembakan rambang di Texas

    14 pelajar, seorang guru maut dalam tembakan rambang di Texas

    KEJADIAN tembakan berulang lagi di Amerika Syarikat, kali ini melibatkan pelajar dan guru di sebuah sekolah rendah di Texas, semalam.

    Dalam ‘serangan’ itu, sekurang-kurangnya 14 pelajar dan seorang guru maut.

    Gabenor Greg Abbott memaklumkan, suspek yang dikenal pasti sebagai Salvador Ramos, 18, turut terkorban.

    Dua lagi mangsa, seorang pelajar berusia 10 tahun dan seorang wanita berusia 66 tahun cedera parah dan telah dihantar ke Hospital Universiti di San Antonio.

     Katanya, suspek yang membawa sebuah senapang patah dan sepucuk pistol, ditembak mati oleh anggota polis.

    “Suspek telah menembak mati 14 pelajar dan seorang guru.Suspek turut terkorban dalam I nsiden itu ditembak mati oleh anggota polis yang dikerah ke lokasi,” katanya.

    Ketika ini tiada maklumat lanjut dikeluarkan mengenai motif kejadian.

  • 2 juruterbang maut jet pejuang terhempas

    2 juruterbang maut jet pejuang terhempas

    DUA juruterbang Iran maut selepas jet pejuang F7 mereka terhempas hari ini berhampiran Anarak, 200 kilometer (km) timur bandar Isfahan, Iran.

    “Misi jet itu adalah untuk berlatih menembak tetapi berlaku kemalangan pada 8:30 pagi (waktu tempatan),” kata seorang pegawai dari wilayah Isfahan kepada IRNA, lapor Berita Harian memetik berita rasmi Iran.

    Pakar berkata, Iran mempunyai rekod keselamatan udara yang lemah, dengan kemalangan berulang, kebanyakannya membabitkan pesawat yang dibeli sebelum Revolusi Islam 1979 dan kekurangan alat ganti untuk penyelenggaraan.

    Pada Februari, sebuah jet F5 yang digunakan oleh tentera Iran terhempas ke dinding sebuah sekolah di bandar barat laut Tabriz, membunuh dua juruterbang dan seorang di atas tanah. 

  • [VIDEO] Feri penumpang terbakar, tujuh mangsa maut

    [VIDEO] Feri penumpang terbakar, tujuh mangsa maut

    SEBUAH feri membawa 124 penumpang dan 10 anak kapal terbakar pada Isnin ketika dalam perjalanan menuju ke wilayah Quezon di Pulau Luzon, menyebabkan sekurang-kurangnya tujuh orang maut, lapor Agensi Berita Xinhua memetik jurucakap Pengawal Pantai Filipina (PCG).

    Komodor Armand Balilo berkata, kapal Mercraft 2 itu berlepas pada 5 pagi waktu tempatan dari bandar Polillo, di wilayah itu, menuju ke pelabuhan Real sebelum terbakar kira-kira 900 meter dari pelabuhan.

    Kebakaran memaksa penumpang dan anak kapal terjun ke laut, 105 orang berjaya diselamatkan dan enam penumpang dihantar ke hospital.

    Punca kebakaran masih dalam siasatan. – BERNAMA

  • ‘Mulut ke neraka’ muncul, penduduk setempat ketakutan

    ‘Mulut ke neraka’ muncul, penduduk setempat ketakutan

    FENOMENA yang digelar sebagai ‘mulut ke neraka’ muncul di Siberia, Rusia sehingga mencetuskan kegusaran penduduk setempat yang mengaitkannya dengan alam ghaib.

    Memetik laporan Mirror, penduduk di Batagay, Yakutia mengesan pembukaan yang luas di atas tanah dan sebahagian mereka percaya ia adalah laluan ke alam ghaib.

    Kawah Batagaika dilihat semakin bertambah kedalamannya dari semasa ke semasa dan ‘menelan’ benda-benda yang berhampiran dengannya sehingga mengubah landskap di kawasan berkenaan.

    Kejadian itu dikatakan berlaku apabila permafrost (air yang terperangkap dalam lapisan bumi) mula cair di tanah yang menjadi beku pada Zaman Ais kira-kira 2.58 juta tahun lalu.

    Apabila kawasan hutan tersebut ditebang pada 1960-an, cahaya matahari mula memanaskan tanah di situ justeru menyebabkan ais yang terperangkap di dalamnya cair dan tanah menggelongsor sehingga membentuk kawah.

    Lebih banyak ‘mulut ke neraka’ dijangka muncul di seluruh dunia ekoran kesan pemanasan global yang mencairkan ais yang terperangkap di dalam tanah.

    mulut ke neraka Batagaika crater
    Imej satelit kawah Batagaika yang dirakam Google Maps. (Gambar: Mirror)

    Kawah Batagaika mula diukur sejak 1980-an dan ketika ini, ia adalah sepanjang 1 kilometer dan kedalamannya 86 meter.

    Lapisan tanah paling dalam di situ mungkin berusia setua 650,000 tahun dan pergerakan tanah masih belum berhenti.

    Kawah tersebut membesar antara 20 ke 30 meter setiap tahun.

    Penduduk bimbang ‘mulut ke neraka’ yang semakin membesar itu akan menelan semua benda di sekelilingnya.

    Lebih membimbangkan, etnik Yakut yang mendiami kawasan tersebut mendengar bunyi ‘letupan’ yang menggerunkan dari kawah Batagaika.

    Walau bagaimanapun, seorang penyelidik, Julian Murton telah mengkaji kawah berkenaan dan hanya menemukan batu-batan.

    Tiada laluan yang menuju ke dalam bumi seperti yang disangka penduduk selama ini.

  • [VIDEO] Sudah diberi tumpang, pelarian Ukraine rampas suami orang pula

    [VIDEO] Sudah diberi tumpang, pelarian Ukraine rampas suami orang pula

    PEREMPUAN yang sudah berumah tangga seharusnya berhati-hati sebelum menerima pelarian wanita dari Ukraine terutamanya mereka yang masih muda serta mempunyai wajah cantik dan menarik.

    Terdapat kemungkinan suami mereka lari mengikut wanita Ukraine yang menumpang di rumah mereka sekali gus menyebabkan rumah tangga yang dibina musnah.

    Pengalaman yang perit lagi pedih itu dialami Lorna Garrett, 28, dari Bradford, West Yorks, United Kingdom (UK) baru-baru ini.

    Mirror yang memetik The Sun melaporkan, teman lelakinya, Tony, 29, meninggalkannya dan anak-anak dalam masa 10 hari selepas pelarian Ukraine, Sofiia Karkadym, 22, tiba di rumah mereka.

    Tony yang bekerja sebagai pengawal keselamatan menawarkan diri untuk menumpangkan Sofiia di rumahnya seminggu selepas wanita itu melarikan diri dari Lviv yang diserang tentera Rusia.

    “Segala-galanya bermula apabila saya berhasrat untuk melakukan perkara yang betul dengan memberi perlindungan kepada mereka yang memerlukan, lelaki atau perempuan.

    “Sabtu lalu, dia memaki hamun Sofiia dengan kata-kata kesat sehingga menyebabkannya menangis.

    “Sofiia kata dia tidak dapat tinggal di rumah kami lagi dan sesuatu berdetik dalam diri saya.

    “Kami meminta maaf atas kesukaran yang ditimbulkan tetapi saya merasai sesuatu dengan Sofiia dan saya tidak pernah mengalaminya sebelum ini,” kata Tony.

    Sofiia pula menambah, “Perkara sebegini memang berlaku.”

    Lorna pula mula berasa bosan dengan hubungan antara Tony dan Sofiia yang dilihatnya semakin intim.

    Mereka dikatakan sering ke gimnasium bersama-sama dan dilihat duduk berbual-bual selama berjam-jam di tempat letak kereta.

    https://youtu.be/zGMRs–0PNU

    Akhirnya, Lorna mengusir Sofiia dari rumahnya namun dia terkejut besar apabila Tony juga ingin keluar dari situ.

    Kini, Tony membawa Sofiia menumpang di rumah orang tuanya dan mereka sedang mencari rumah baharu.

  • Dunia berdepan krisis kelaparan yang tidak pernah terjadi sebelum ini – Pakar

    Dunia berdepan krisis kelaparan yang tidak pernah terjadi sebelum ini – Pakar

    KETUA Persatuan Antarabangsa Pengilang Dalam Operasi Eurasia pada Jumaat berkata semua institusi, termasuk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Pertubuhan Makanan dan Pertanian PBB (FAO), Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) dan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) bersetuju dunia akan menghadapi krisis kelaparan yang tidak pernah berlaku sebelum ini.

    Eren Gunhan Ulusoy memetik laporan antarabangsa bahawa 811 juta orang kekurangan zat makanan dan 276 juta hidup dalam kedaifan ketika berucap pada persidangan antarabangsa melibatkan kumpulan itu di Istanbul, lapor Agensi Anadolu.

    “Setiap biji gandum berharga, kita mesti mengambil langkah mengurangkan kelaparan dengan mengelakkan pembaziran serta mencegah kerugian,” katanya.

    Acara empat hari bermula Khamis dengan pameran itu, akan memberi tumpuan kepada beberapa topik, termasuk pengeluaran bijirin peringkat global, isu perdagangan dan operasi pengilang.

    “Pengilang mesti berusaha untuk melindungi setiap gram bahan mentah.

    “Sekiranya gangguan rantaian bekalan disebabkan krisis di Ukraine gagal diselesaikan, 47 juta lagi orang akan berdepan ancaman kemiskinan, katanya.

    Ukraine antara pengeksport gandum utama dunia, menggantung eksportnya akibat operasi ketenteraan Rusia di negara itu.

    Menurut Jabatan Pertanian Amerika Syarikat, stok gandum dunia akan menurun sebanyak 12 juta tan metrik.

    Beliau berkata Ukraine menaikkan stok gandumnya daripada 1 juta kepada 6 juta tan tahun ini serta menegaskan India bersedia memenuhi defisit gandum tetapi selepas peningkatan suhu yang tidak dijangka, negara itu telah menghentikan eksport gandumnya buat masa ini.–Bernama

  • Pengikut Ustaz Abdul Somad spam akaun media sosial pemimpin Singapura

    Pengikut Ustaz Abdul Somad spam akaun media sosial pemimpin Singapura

    AKAUN media sosial beberapa pemimpin politik dan agensi kerajaan di Singapura telah dispam pengikut kepada seorang penceramah Indonesia yang tidak dibenarkan masuk ke Singapura pada Isnin, lapor CNA.

    Memetik jurucakap Kementerian Komunikasi dan Penerangan (MCI), CNA melaporkan adanya gesaan untuk melancarkan serangan siber ke atas akaun media sosial Kerajaan Singapura .

    Akaun Instagram Presiden Halimah Yacob, Perdana Menteri Lee Hsien Loong, Menteri Kanan Teo Chee Hean, dan Menteri Luar Vivian Balakrishnan adalah antara yang terjejas, termasuk akaun Twitter Lee.

    Akaun Instagram Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan dan Lembaga Pelancongan Singapura turut dispam.

    “Selain itu, laman sesawang dua syarikat pengurusan acara turut terjejas. Laman sesawang berkenaan dapat dipulihkan semula dan SingCERT akan menghubungi syarikat itu untuk membantu,” kata jurucakap MCI.

    SingCERT atau Pasukan Tindak Balas Kecemasan Komputer Singapura adalah agensi yang bertanggungjawab untuk respons terhadap insiden keselamatan siber di Singapura.

    Menurut MCI organisasi tempatan yang terjejas akibat serangan siber atau mempunyai bukti adanya aktiviti mencurigakan terhadap rangkaian mereka perlu melaporkan kepada SingCERT.

    Laporan boleh dibuat secara dalam talian.

    Terdahulu pada 17 Mei, Kementerian Dalam Negeri (MHA) Singapura mengesahkan pendakwah Indonesia, Abdul Somad Batubara bersama enam rakannya telah tiba di Terminal Feri Tanah Merah Singapura dari Batam pada 16 Mei.

    Abdul Somad telah disoal dan selepas itu rombongannya tidak dibenarkan masuk ke Singapura dan dihantar pulang semula ke Batam pada hari yang sama.

    Antara lain, kementerian itu mendakwa Abdul Somad dikenali sebagai “pelampau dan penyokong dasar segregasi”, yang tidak boleh diterima dalam masyarakat berbilang kaum dan agama Singapura.

    Menurut MHA kemasukan pelawat ke Singapura adalah berdasarkan kaedah “tidak secara automatik mahupun mempunyai hak” dan “setiap kes dinilai berdasarkan merit tersendiri.” – BERNAMA

  • [VIDEO] 12 pekerja kilang maut ditimpa tembok runtuh

    [VIDEO] 12 pekerja kilang maut ditimpa tembok runtuh

    SEKURANG-KURANGNYA 12 terbunuh dalam kejadian tembok runtuh di sebuah kilang pemprosesan garam di Gujarat, India.

    Insiden berlaku pada Rabu di estet Gujarat Industrial Development Corporation (GIDC) di daerah Morbi, lapor media India.

    “Sebahagian tembok setinggi 15 hingga 20 kaki runtuh, menyebabkan 13 pekerja terperangkap. Seramai 12 pekerja disahkan maut manakala seorang lagi cedera,” kata seorang pegawai polis.

    Perdana Menteri India, Narendra Modi turut bersedih dengan tragedi itu dan mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa. – BERNAMA

  • Insiden pesawat terhempas mungkin disengajakan – Laporan

    Insiden pesawat terhempas mungkin disengajakan – Laporan

    NAHAS pesawat China Eastern yang terhempas semasa penerbangan dari bandar Kumning, Guangzhou, Mac lalu, dipercayai mungkin disengajakan.

    Astro AWANI melaporkan bahawa penyiasat dari Amerika Syarikat (AS) percaya seseorang di dalam kokpit pesawat sengaja menyebabkan kapal terbang tersebut terhempas.

    Penerbangan China Eastern MU5375 yang secara tiba-tiba menjunam dari ketinggian 29,000 kaki ke lereng bukit di sekitar bandar Wuzhou, Guangxi itu mengorbankan 123 penumpang serta sembilan anak kapal, 21 Mac lalu.

    Memetik penilaian awal yang dikeluarkan, data menunjukkan bahawa seseorang – kemungkinan juruterbang ataupun penceroboh – telah memasuki kawasan kokpit dan memasukkan input sehingga menyebabkan pesawat jenis Boeing 737-800 itu menjunam.

    “Pesawat berkenaan melakukan apa yang diarah oleh seseorang dalam kokpit,” lapor pegawai penyiasat itu.

    Mereka turut percaya kesimpulan mereka disokong kerana penyiasat dari China tidak mendapati pesawat itu mempunyai sebarang masalah sehingga boleh menyebabkan nahas.

    Sementara itu, Lembaga Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan (NTSB) AS dan Boeing enggan mengulas mengenai laporan insiden itu.

    Boeing sebelum ini melaporkan bahawa pasukan penyiasat tidak menemui sebarang bukti perkara tidak normal berlaku terhadap pesawat itu.

    Tragedi itu disifatkan sebagai bencana udara paling dahsyat di China dalam beberapa dekad.

  • Penyokong Nottingham Forest serang ketua pasukan Sheffield United selepas kalah

    Penyokong Nottingham Forest serang ketua pasukan Sheffield United selepas kalah

    POLIS sedang menjalankan siasatan berhubung serangan ke atas Ketua pasukan Sheffield United, Billy Sharp oleh seorang penyokong Nottingham Forest selepas Sheffield United kalah sepakan penalti 3-2 dengan Nottingham Forest.

    Penyokong tersebut boleh dilihat masuk ke dalam padang dan menuju ke arah Sharp ketika ketua pasukan tersebut berdiri di tepi padang.

    Pengurus kelab, Paul Heckingbottom berkata Sharp cedera sehingga perlu dijahit di bahagian mukanya dan pasukannya ‘terkejut’ dengan kejadian tersebut.

    “Bill (Sharp) ketika itu sedang menarik rakan sepasukan yang lain keluar daripada padang semasa diserang. Ia tindakan pengecut. Dia jatuh di atas padang  dan perlu dijahit,” kata Heckingbottom.

    Penolong Ketua Polis Nottinghamshire, Rob Griffin berkata, “Kami telah memulakan  penyiasatan untuk mengenal pasti penyokong tersebut dan akan membuat tangkapan secepat mungkin.”

    Nottingham Forest mengeluarkan kenyataan mengecam kejadian tersebut dan menegaskan penyokong tersebut akan dilarang seumur hidup daripada sebarang penglibatan dengan kelab mereka.

    Mereka juga turut meminta maaf kepada Billy Sharp dan Sheffield United berikutan  kejadian itu.

    Heckingbottom memberitahu Sky Sports, beliau tidak faham bagaimana seseorang boleh ‘diserang di tempat kerja’.

    “Dah banyak kali kejadian seperti ini berlaku tetapi tiada apa perubahan yang dilakukan dan kami yang terpaksa menghadapinya,” katanya.

    Pada Januari lalu, penguatkuasa di United Kingdom melaporkan kepada BBC bahawa rekod tangkapan keseluruhan daripada 5 liga teratas Inggeris berada di tahap paling tinggi selepas kelakuan penyokong bola sepak “semakin teruk”.