Category: Luar Negara

  • Tiga maut kejadian tembakan di pusat beli-belah

    Tiga maut kejadian tembakan di pusat beli-belah

    SEORANG pemuda bersenjata telah menembak mati tiga orang dan mencederakan yang laind i sebuah pusat beli-belah di Denmark pada Ahad.

    Tiga daripada mereka yang cedera didapati kritikal dan susulan itu seorang lelaki berusia 22 tahun telah ditangkap.

    Lelaki itu didakwa atas serangan itu yang mencetuskan panik dalam kalangan pembeli di pusat beli-belah Field di selatan Copenhagen.

    Ketua Polis Copenhagen, Soeren Thomassen berkata, motif kejadian tidak jelas dan beliau tidak menolak ia mempunyai kaitan dengan keganasan.

    “Lelaki yang disyaki sebagai penembak itu ialah lelaki Denmark, menurut Sinar Harian yang memetik laporan Agensi, hari ini.

    Sementara itu, Perdana Menteri, Mette Frederiksen berkata, Denmark telah mengalami serangan kejam.

    Pusat beli-belah Field yang menjadi lokasi tembakan tersebut mempunyai lebih 140 kedai dan restoran.

    Seorang saksi berkata, dalam kejadian itu, suasana panik berlaku dalam kalangan pembeli ketika tembakan kedengaran.

    Seorang lagi saksi, Mahdi Al-Wazni, memberitahu TV2 bahawa penembak itu membawa senapang memburu.

    Kali terakhir Denmark menyaksikan peristiwa keganasan ialah pada tahun 2015, apabila dua orang terbunuh dan enam pegawai polis cedera semasa serangan ke atas pusat kebudayaan dan rumah ibadat di Copenhagen.

    Lelaki bersenjata itu kemudiannya terbunuh dalam kejadian berbalas tembak dengan polis.

  • [VIDEO] Paderi kurung 77 tebusan dalam gereja

    [VIDEO] Paderi kurung 77 tebusan dalam gereja

    SERAMAI 77 orang yang dijadikan tebusan di sebuah gereja di barat daya Nigeria berjaya diselamatkan, lapor Agensi Anadolu, memetik media tempatan pada Sabtu.

    Seorang paderi bertindak mengurung tebusan termasuk 23 kanak-kanak di tingkat bawah sebuah gereja di daerah Valentino di Ondo State.

    Pegawai Perhubungan Awam Polis Ondo, Funmilayo Odunlami, berkata paderi itu telah ditahan dan siasatan berhubung kejadian sedang dijalankan. – BERNAMA

  • Kecoh di lapangan terbang, 65 penerbangan dibatalkan

    Kecoh di lapangan terbang, 65 penerbangan dibatalkan

    SEBANYAK 65 penerbangan di lapangan terbang Lisbon dibatalkan pada Sabtu, mengakibatkan ribuan penumpang terkandas dan terpaksa beratur panjang, lapor Xinhua.

    Menurut syarikat penerbangan TAP, pembatalan itu disebabkan insiden tayar jet peribadi pecah, memaksa landasan lapangan terbang ditutup.

    Sebaliknya, pengawal udara ANA (Aeroportos de Portugal), mendakwa ia disebabkan masalah yang lebih besar iaitu kekangan perkhidmatan di beberapa lapangan terbang Eropah.

    “Sebanyak 65 penerbangan dibatalkan pada hari ini – 40 ketibaan dan 25 pelepasan, akibat masalah perkhidmatan di beberapa lapangan terbang Eropah ” menurut ANA dalam satu kenyataan media.

    Lapangan terbang Lisbon telah mengambil langkah-langkah sewajarnya termasuk mewujudkan kaunter mudah alih tambahan untuk menjadualkan semula penerbangan.

    Kelewatan dan pembatalan penerbangan di lapangan terbang di Eropah juga susulan pekerja terminal dan syarikat penerbangan melancarkan mogok. – BERNAMA

  • Empat maut pesawat perubatan terhempas di Argentina

    Empat maut pesawat perubatan terhempas di Argentina

    EMPAT penumpang terbunuh selepas sebuat pesawat perubatan terhempas di lapangan terbang di bandar Rio Grande, selatan Argentina pada Jumaat, lapor Xinhua, memetik Agensi Berita Télam.

    Mereka yang maut terdiri dua juruterbang, seorang jururawat dan seorang doktor.

    Pesawat Learjet 35A, terhempas sejurus berlepas pada 2.36 petang waktu tempatan (1736 GMT), dalam perjalanan pulang selepas menghantar seorang pesakit ke Rio Grande.

    “Pesawat itu terhempas di kawasan Pangkalan Udara Tentera Laut, kira-kira 1,000 meter dari kawasan kediaman, sebelum terbakar,” lapor Telam.

    Siasatan sedang dijalankan untuk mengenal pasti punca sebenar nahas.

  • 14 maut, 30 hilang akibat tanah runtuh selepas hujan lebat

    14 maut, 30 hilang akibat tanah runtuh selepas hujan lebat

    HUJAN lebat selama beberapa minggu menjadi punca kepada kejadian tanah runtuh di timur laut India yang mengorbankan sekurang-kurangnya 14 orang dan menyebabkan 30 yang lain hilang.

    Anggota penyelamat dan pihak berkuasa kini dalam proses mencari dan menyelamat mereka yang tertimbus di bandar Noney, di negeri Manipur, India.

    Menurut Ketua Menteri Negeri Manipur, N. Biren Singh, tujuh daripada yang maut merupakan anggota tentera, lapor Astro Awani.

    Jelasnya, lima pegawai kereta api India adalah antara yang dikhuatiri hilang.

    Hujan berterusan sejak tiga minggu lalu telah mendatangkan malapetaka di seluruh timur laut India dan di negara jiran Bangladesh.

    Kira-kira 200 orang terbunuh dalam hujan lebat dan banjir lumpur di timur laut India beberapa minggu kebelakangan ini, manakala 42 orang maut di Bangladesh.

  • Penyerang bunuh wartawan, anak perempuan cedera

    Penyerang bunuh wartawan, anak perempuan cedera

    PENYERANG yang tidak dikenali bertindak membunuh wartawan Antonio de la Cruz dari akhbar tempatan Expreso dan mencederakan anak perempuannya di kediaman beliau di Ciudad Victoria, Tamaulipas, lapor Sputnik.

    “Pagi ini, de la Cruz, wartawan akhbar Expreso, dibunuh.

    “Menurut maklumat awal, beliau diserang di rumahnya sendiri di jalan Puerta de la Luna, di kawasan Puerta de Tamatán di Ciudad Victoria,” menurut akhbar itu dalam satu kenyataan pada Rabu.

    Anak perempuannya turut cedera dalam serangan itu.

    Pada 2021, tujuh wartawan Mexico dibunuh, disifatkan sebagai angka tertinggi di dunia, menurut pertubuhan hak asasi manusia Articulo 19.

    Dalam pada itu, seramai 35 wartawan terkorban dalam tempoh tiga tahun Presiden Andres Manuel Lopez Obrador memerintah.- BERNAMA

  • Arab Saudi sambut Aidiladha Sabtu 9 Julai

    Arab Saudi sambut Aidiladha Sabtu 9 Julai

    KERAJAAN Arab Saudi mengumumkan Hari Arafah, kemuncak ibadah Haji umat Islam, jatuh pada hari Jumaat 8 Julai ini dan Hari Raya Aidiladha di Arab Saudi akan disambut keesokannya pada Sabtu 9 Julai.

    Agensi Berita Saudi (SPA) yang memetik kenyataan Mahkamah Agung negara itu melaporkan, pengumuman itu dibuat selepas anak bulan Zulhijjah dilihat di balai cerap Tamir, Arab Saudi pada petang Rabu.

    Hari Arafah atau Hari Wukuf merupakan kemuncak ibadah haji dan pada tahun ini dianggarkan sejuta jemaah haji dari seluruh dunia akan berhimpun di kawasan bukit berbatu yang dikenali sebagai Bukit Arafah dan kawasan lapang sekitarnya, bermula terbit fajar 9 Zulhijjah sehingga terbit fajar hari berikutnya.

    Tahun ini menyaksikan seramai 14,306 jemaah haji Malaysia berhimpun untuk berdoa dan memohon keampunan Allah SWT di Bukit Arafah, kira-kira 22 kilometer dari Mekah.

    Umat Islam di Singapura, Indonesia dan Thailand akan menyambut Hari Raya Haji pada 10 Julai 2022.

    Mufti Singapura Dr Nazirudin Mohd Nasir berkata, menurut kiraan rukyah, anak bulan “tidak mungkin dapat dilihat di atas ufuk Singapura setelah terbenamnya matahari pada Rabu.”

    “Ini bererti 30 Jun genap 30 hari bagi bulan Zulkaedah,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan menerusi laman sesawang Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS).

    Oleh itu, Dr Nazirudin berkata “hari pertama bulan Zulhijjah 1443H di Singapura, jatuh pada Jumaat, 1 Julai 2022 dan Hari Raya Haji, jatuh pada Ahad, 10 Julai 2022.”

    Video pengumuman permulaan Zulhijjah 1443H/2022 untuk Singapura itu turut dimuatkan di laman Facebook MUIS.

    “Semoga segala amal ibadah kita pada bulan Zulhijjah ini diterima dan semoga mendapat Aidiladha yang diberkati, dengan menghayati maksud dan erti pengorbanan yang sebenar,” kata Dr Nazirudin.

    Sementara itu di Indonesia, Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama Zainut Tauhid berkata 1 Zulhijjah 1443H bersamaan 1 Julai, dan Hari Raya Haji akan disambut pada 10 Julai.

    Umat Islam mewakili hampir 90 peratus daripada 270 juta populasi negara itu.

    Di BANGKOK, Sheikhul Islam Thailand Aziz Phitakkumpon turut mengumumkan Hari Raya Haji jatuh pada 10 Julai.

    “Semua umat Islam di Thailand diminta laksanakan kewajipan agama pada tarikh itu,” katanya dalam satu kenyataan.

    Beliau berkata umat Islam Thailand sepatutnya dapat melihat anak bulan selepas matahari terbenam pada Rabu, bagaimanapun anak bulan itu tidak kelihatan. – BERNAMA

  • Pemberontakan dalam parti pemerintah, Ketua Menteri letak jawatan

    Pemberontakan dalam parti pemerintah, Ketua Menteri letak jawatan

    Oleh SHAKIR HUSAIN

    KETUA MENTERI Maharashtra, India meletak jawatan lewat Rabu berikutan pemberontakan dalam parti pemerintah.

    Kemelut politik di negeri terkaya dan kedua paling ramai penduduk itu tercetus selepas menteri, Eknath Shinde mengetuai pemberontakan terhadap Ketua Menteri Uddhav Thackeray.

    Parti Thackeray Shiv Sena memerintah negeri itu selama dua tahun setengah, dan bergabung dengan Parti Kongres Nasionalis (NCP) dan Kongres Kebangsaan India.

    Shinde dan sejumlah anggota dewan undangan negeri menuduh Shiv Sena bersikap lembut terhadap ideologi “Hindutva” dan baru-baru ini telah mereka telah berkumpul di Gujarat.

    Kumpulan itu kemudiannya bergerak dari Gujarat ke sebuah hotel di Assam, bagi mengumpul sokongan untuk menjatuhkan kerajaan pimpinan Thackeray.

    Kumpulan itu mendakwa mendapat sokongan puluhan ahli Parlimen, dan pada Rabu bergerak ke sebuah hotel di Goa di bawah kawalan keselamatan ketat.

    Thackeray meletak jawatan sebagai ketua menteri selepas Mahkamah Agung India membenarkan usul undi tidak percaya diteruskan, menolak hujah Shiv Sena bahawa usul itu harus ditangguhkan sehingga prosiding hilang kelayakan terhadap 16 ahli parlimen yang berpaling tadah selesai.

    Thackeray berkata beliau telah dikhianati oleh mereka yang ditawarkan jawatan penting.

    Sementara itu para pemimpin BJP, berharap dapat memerintah semula Maharashtra, dan mengedarkan gula-gula untuk meraikan kejatuhan kerajaan di Mumbai.

    Perkembangan di Maharashtra adalah episod terbaru “krisis politik” India di mana ahli parlimen berkumpul di hotel mewah yang dikawal ketat bagi mengatur strategi pembelotan atau menghalang mereka daripada “lompat parti”.

    “Hari yang menyedihkan untuk demokrasi di Maharashtra dan India. Mandat rakyat sekali lagi dipermainkan dengan godaan-habuan-ugutan dan rasuah politik,” kata ketua Kongres Kebangsaan India Randeep Singh Surjewala. – BERNAMA

  • 51 maut dalam kebakaran ketika rusuhan penjara di Colombia

    51 maut dalam kebakaran ketika rusuhan penjara di Colombia

    SEKURANG-kurangnya 51 orang maut dan 24 lagi cedera dalam rusuhan yang tercetus di sebuah penjara di bandar Tulua, barat daya Colombia pada Selasa.

    Dalam kejadian awal pagi, banduan bertindak membakar tilam, sehingga mengakibatkan kebakaran di penjara yang menempatkan 180 banduan dan beberapa pengawal cedera ketika cuba membantu banduan menyelamatkan diri, lapor Xinhua memetik kenyataan pihak berkuasa tempatan.

    Mereka yang cedera, termasuk dua pengawal telah dibawa ke hospital berdekatan.

    Menurut pihak berkuasa kesihatan, sembilan mangsa yang cedera telah ditempatkan di unit rawatan rapi akibat melecur teruk dan terhidu asap.

    Sebanyak 49 banduan maut di tempat kejadian dan dua lagi meninggal dunia ketika dikejarkan ke hospital.

    Tiada banduan melarikan diri semasa rusuhan yang dicetuskan akibat pergaduhan antara beberapa banduan, kata Castellanos.

    Presiden Colombia Ivan Duque dalam ciapannya berkata: “Kami kesal dengan peristiwa yang berlaku di penjara Tulua… Saya telah mengarahkan siasatan dijalankan.”

    Bakal Presiden Gustavo Petro turut kesal mengenai kejadian itu dan mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa. – Bernama

  • Bayi maut ditembak budak 8 tahun menggunakan pistol bapa

    Bayi maut ditembak budak 8 tahun menggunakan pistol bapa

    SEORANG kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun menembak mati seorang bayi dan mencederakan adik perempuannya ketika bermain dengan pistol bapanya di Florida, Amerika Syarikat, kata polis.

    Bapa kanak-kanak, Roderick Randall, 45, ditahan serta didakwa atas tuduhan cuai, bersalah memiliki senjata api yang menyalahi undang-undang serta menyembunyikan bukti, kata Syerif Daerah, Escambia Chip Simmons.

    Tragedi itu berlaku di sebuah motel di mana Randall yang mempunyai rekod jenayah lampau melarangnya daripada memiliki senjata api bertemu dengan teman wanitanya.

    Suspek membawa anaknya, manakala teman wanitanya membawa dua anak perempuannya, yang masing-masing berusia dua tahun dan setahun.

    “Pada satu ketika, Randall keluar dan meninggalkan senjata api miliknya di dalam almari.

    “Mengetahui di mana ia tersembunyi, anak suspek mengeluarkannya dan mula bermain dengan senjata itu ketika ibu kanak-kanak perempuan berkenaan sedang tidur.

    “Dia menarik pistol di sarung, mula bermain dengannya dan melepaskan tembakan ke arah kanak-kanak kecil berusia setahun dan akhirnya membunuhnya. Peluru itu kemudiannya mengenai kanak-kanak berusia dua tahun sehingga menyebabkan kecederaan,” kata Escambia dalam sidang media, mengikut laporan Astro Awani.

    Apabila Randall pulang, dia mengambil pistol dan bahan yang tidak dikenal pasti, dipercayai dadah dan keluar dari bilik berkenaan sebelum polis tiba.

    “Setiap tahun, beratus-ratus kanak-kanak di Amerika Syarikat (AS) mendapat akses kepada senjata tidak selamat, diletakkan di dalam almari dan laci meja, dalam beg galas atau hanya ditinggalkan, menurut laporan oleh organisasi Everytown For Gun Safety.

    Secara umumnya, senjata api menyebabkan kira-kira 40,000 kematian setahun di AS, termasuk bunuh diri, menurut laman web Arkib Keganasan Senjata. – AFP