Category: Luar Negara

  • [VIDEO] Bekas PM Jepun, Shinzo Abe ditembak

    [VIDEO] Bekas PM Jepun, Shinzo Abe ditembak

    BEKAS Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe ditembak semasa menyampaikan ucapan dalam kempen di Nara, Jepun hari ini.

    Washington Times yang memetik NHK melaporkan, beliau mengalami masalah kegagalan jantung.

    Stesen televisyen NHK menayangkan rakaman menunjukkan Abe rebah di atas jalan dengan beberapa pengawal keselamatan berlari ke arahnya.

    Shinzo Abe dilihat menekap dadanya ketika rebah manakala bajunya berlumuran darah.

    Menurut NHK, beliau seterusnya dibawa ke hospital.

    Saksi kejadian mendakwa mereka mendengar bunyi tembakan dalam insiden itu.

    Abe sedang berdiri ketika berucap untuk kempen pilihan raya Parlimen yang berlangsung Ahad ini.

    Polis menahan seorang lelaki yang disyaki terlibat dalam cubaan membunuh Abe di lokasi kejadian.

  • Boris Johnson letak jawatan dalam parti, kekal PM Britain

    Boris Johnson letak jawatan dalam parti, kekal PM Britain

    PERDANA MENTERI Britain, Boris Johnson dilaporkan akan meletak jawatan sebagai pemimpin Parti Konservatif hari ini.

    Memetik laporan BBC, beliau mengambil tindakan itu berikutan peletakan jawatan beberapa menteri Kabinetnya pagi tadi.

    Namun, beliau kekal menjadi Perdana Menteri sehingga musim luruh ini bagi membolehkan pemimpin Tory mengambil alih selepas pemilihan parti selesai musim panas depan.

    Beberapa Ahli Parlimen Tory mendesak Johnson meletak jawatan serta-merta selepas lebih 50 menteri dan pembantu mereka meletak jawatan.

    Pemimpin Parti Buruh, Keir Starmer mengalu-alukan perkara tersebut sambil berkata, Parti Konservatif telah mencetuskan huru-hara di Britain semasa krisis kos sara hidup.

    Setiausaha Luar Britain, Liz Truss memendekkan program lawatannya ke luar negara dan dalam perjalanan pulang ke London.

    Canselor Kewangan Britain, Nadhim Zahawi pula meminta Johnson “berundur sekarang”, dua hari selepas dilantik menyandang jawatan tersebut.

    Setiuasaha Pendidikan Baharu, Michelle Donela dan Setiausaha Ireland Utara, Brandon Lewis telah meletak jawatan masing-masing dalam Kabinet.

  • Ketika menanti ajal, pengantin terima jantung baharu sebagai hadiah perkahwinan

    Ketika menanti ajal, pengantin terima jantung baharu sebagai hadiah perkahwinan

    SEORANG warga Itali yang berkahwin atas katil hospital sebagai hajat terakhir diberikan hadiah perkahwinan yang sempurna ketika hujung nyawa.

    Maurizio Calorio, 47 ketika itu disambung kepada alat bantuan pernafasan dan dikatakan tidak mempunyai peluang untuk hidup selepas terkena serangan jantung bulan lepas.

    Semasa terbaring di hospital, dia membuat keputusan untuk berkahwin dengan tunangnya, Silva Duca, 42 sebagai permintaan terakhirnya.

    Duca berkata, “Kami sepatutnya berkahwin pada bulan September tetapi kami tidak tahu jika sempat.”

    Seorang wakil Dewan Bandar merasmikan ‘majlis’ kecil namun bermakna antara pasangan tersebut di kaki katil Calorio. Wadnya turut dihiasi belon.

    Calorio diletakkan dalam senarai menunggu untuk jantung yang baharu namun keadaannya semakin teruk.

    Beberapa jam selepas majlis perkahwinan mereka, Caloria diberikan berita bahawa terdapat satu jantung yang akan diterbangkan dari Naples dan pada malam tersebut, dia melalui pembedahan jantung yang berlangsung selama 7 jam.

    Duca memberitahu The Times, “Satu keajaiban berlaku pada malam itu. Selepas kami berkahwin, kami menerima hadiah yang sempurna – jantung baharu untuk Maurizio.”

    Calorio kini masih dibawah pemerhatian hospital namun pembedahannya berjaya dan doktor-doktor  berkata dia akan pulih dengan baik.

  • Syarikat khidmat haji dilarang letak ‘VIP’ pada bas Jemaah

    Syarikat khidmat haji dilarang letak ‘VIP’ pada bas Jemaah

    KEMENTERIAN Haji dan Umrah Arab Saudi mengeluarkan arahan supaya syarikat perkhidmatan haji tempatan tidak meletak pelekat ‘VIP’ (Orang Penting atau Kenamaan) pada bas yang digunakan bagi membawa jemaah.

    Ia juga mengarahkan kapasiti setiap bas tidak melebihi jumlah jemaah yang diperuntukkan, dan perlu ada sebuah bas rizab bagi setiap 500 jemaah.

    Arahan itu terkandung dalam manual prosedur kawal selia yang dikeluarkan kementerian itu kepada syarikat dan pertubuhan tempatan yang menyediakan khidmat haji tahun ini, lapor media Saudi Gazette.

    Penyedia perkhidmatan juga seharusnya mendapatkan permit bagi kemasukan bas berlesen ke Tanah Suci.

    Bas itu dikehendaki menjalani pemeriksaan berkala. Menyewa bas dari luar Arab Saudi tidak dibenarkan sama sekali dalam apa jua keadaan.

    Bas itu juga tidak boleh digunakan bagi pengangkutan domestik penumpang antara bandar atau dalam kawasan Tanah Suci, selain daripada pengangkutan jemaah yang sudah ditetapkan.

    Kementerian itu menarik perhatian bahawa semua bas lama dengan kadar pelepasan ekzos tinggi akan disita di pintu masuk ke Makkah.

    Polis trafik akan mengesahkan, melalui peranti mudah alih, nisbah pelepasan ekzos bas berkenaan dan berdasarkan itu, kenderaan akan disita atau didenda bagi pelanggaran yang dilakukan.

    Bagi bas yang terletak di dalam kota Makkah, ia akan disimpan di satu lokasi dan tidak dibenarkan bergerak keluar bagi mengelak ia menyebabkan pencemaran kepada alam sekitar.

    Arahan dalam manual itu juga termasuk mengenal pasti jemaah haji tempatan, yang akan dibawa oleh bas berlesen, dan menulis nama mereka dalam penyata pengangkutan yang mengandungi data peribadi jemaah, serta nombor permit haji, nama syarikat yang menyediakan perkhidmatan dan nombor lesennya.

    Ini demi memastikan jemaah dan bas berkenaan sahih dan dibenar menunaikan haji tahun ini.

    Sekitar sejuta orang, termasuk 850,000 dari luar negara, dibenarkan menunaikan haji tahun ini – rukun Islam kelima yang wajib dilakukan semua umat Islam berkemampuan sekurang-kurangnya sekali seumur hidup.

    Musim haji kembali seperti biasa selepas dua tahun bilangan jemaah dikurangkan akibat pandemik Covid-19.

    Sehingga Ahad lalu, sekurang-kurangnya 650,000 jemaah haji luar negara tiba di Arab Saudi, kata pihak berkuasa.

    Pada 2019, sebelum Covid-19 bermula, sekitar 2.5 juta orang menunaikan ibadah haji setiap tahun, termasuk tawaf mengelilingi Kaabah di Masjidil Haram, berkumpul di Padang Arafah dan melontar jamrah di Mina.

    Pada tahun berikutnya, rakyat asing dilarang dan jemaah haji tempatan dihadkan kepada hanya 10,000 orang akibat ancaman coronavirus.

    Tahun lalu, bilangan itu meningkat kepada 60,000 rakyat dan warga asing yang menetap di Arab Saudi yang sudah divaksin sepenuhnya.

    Pelitup tidak lagi diwajibkan di kebanyakan ruang tertutup di Arab Saudi, tetapi ia diwajibkan di Masjidil Haram.

    Jemaah haji dari luar negara perlu mengemukakan hasil ujian tindak balas rantaian polimerase (PCR) negatif. – AGENSI

  • [VIDEO] 2 pegawai polis ditembak ketika sambutan kemerdekaan

    [VIDEO] 2 pegawai polis ditembak ketika sambutan kemerdekaan

    DUA anggota polis di Philadelphia, Pennsylvania dilaporkan ditembak, ketika pertunjukan bunga api sempena Sambutan Hari Kemerdekaan pada Isnin malam, lapor Xinhua.

    Terdapat “insiden keselamatan” di Benjamin Franklin Parkway, menurut pejabat pengurusan kecemasan bandar itu.

    Suspek masih gagal dikesan.

    Rakaman di media sosial memaparkan orang ramai bertempiaran lari dari tempat kejadian ketika pertunjukan bunga api masih berlangsung.

    Insiden berlaku hanya beberapa jam selepas enam orang terbunuh dalam serangan di pusat bandar Highland Park, Illinois, pada 4 Julai (Ahad), dengan berpuluh-puluh yang lain cedera.

    Suspek dalam kejadian di Highland Park dikenali sebagai Robert Crimo III, 22, berjaya ditahan berhampiran Lake Forest, Illinois.

    Presiden AS Joe Biden pada Isnin berkata beliau ” amat terkejut dengan keganasan senjata api yang tidak masuk akal, sekali lagi mengecewakan masyarakat Amerika pada sambutan Hari Kemerdekaan ini”.

    Menurut data Arkib Keganasan Senjata, lebih 22,300 kematian direkodkan akibat keganasan senjata api dan 311 kejadian tembakan rambang di seluruh Amerika Syarikat sejak enam bulan lalu. – BERNAMA

  • Pejuang serang kampung, 34 terbunuh

    Pejuang serang kampung, 34 terbunuh

    SEKURANG-kurangnya 34 terbunuh dalam serangan ke atas kampung, dipercayai dilakukan pejuang jihad di utara Burkina Faso pada hujung minggu lalu, kata pegawai dan sumber, semalam.

    Di barat laut negara itu, Gabenor wilayah Boucle du Mouhoun, Babo Pierre Bassinga, berkata 22 orang dilaporkan terbunuh Ahad lalu, termasuk kanak-kanak di Bourasso, wilayah Kossi.

    “Lelaki bersenjata bergerak di sekitar kampung sekitar jam 5 petang, melepaskan tembakan ke udara. Mereka pulang pada waktu malam dan melepaskan tembakan secara membuta tuli ke arah orang ramai,” kata satu sumber keselamatan.

    Di utara Burkina Faso, 12 maut dalam serangan di Namissiguima di wilayah Yatenga Sabtu lalu, kata sumber keselamatan lain, yang juga tidak mahu dikenali.

    Tiga daripada yang maut adalah anggota militia awam, sukarelawan untuk Pertahanan Tanah Air (VDP) iaitu pasukan bantuan yang ditubuhkan pada Disember 2019 untuk menyokong tentera.

    Menurut laporan Berita Harian, Burkina Faso adalah salah satu negara termiskin di dunia, bergelut dengan pemberontakan jihad yang melanda dari negara jiran, Mali pada 2015.

    Kempen yang diketuai terutama kumpulan yang dikaitkan dengan Al-Qaeda dan Daesh, meragut ribuan nyawa dan memaksa kira-kira 1.9 juta orang meninggalkan rumah mereka.

    Berdasarkan angka rasmi, lebih 40 peratus negara itu berada di luar kawalan kerajaan.

    Terdahulu, Burkina Faso berdepan rampasan kuasa pada Januari lalu, selepas kolonel yang tidak berpuas hati menggulingkan presiden yang dipilih, Roch Marc Christian Kabore.

    Pemimpin baharu, Leftenan Kolonel Paul-Henri Sandaogo Damiba, mengisytiharkan keselamatan sebagai keutamaannya, namun selepas keadaan agak reda, serangan diteruskan, mengakibatkan ratusan nyawa terkorban.

  • [VIDEO] 6 maut tembakan rambang perarakan Hari Kemerdekaan AS

    [VIDEO] 6 maut tembakan rambang perarakan Hari Kemerdekaan AS

    SEORANG suspek yang melepaskan tembakan ke atas pengunjung semasa perarakan sempena Hari Kemerdekaan di Chicago, Amerika Syarikat (AS) telah berjaya ditahan.

    Polis mengesahkan penahanan seorang lelaki berusia 22 tahun, Robert E Crimo III, ketika dia cuba melarikan diri dalam sebuah kereta di kawasan berdekatan dengan tempat kejadian.

    Menurut laporan Astro AWANI, polis dilihat mengepung sebuah kereta sebelum Crimo ditahan.

    Dalam pada itu, punca kejadian dan motif suspek belum didedahkan.

    Dalam kejadian pada 4 Julai lalu, sekurang-kurangnya enam terkorban manakala 36 lagi cedera dalam kejadian tembakan rambang semasa perarakan sempena hari kemerdekaan AS di Highland Park.

    Siasatan awal mendapati suspek melepaskan tembakan dari bumbung sebuah bangunan.

    Polis turut menemui sepucuk senapang patah di bumbung sebuah bangunan di Highland Park.

  • Runtuhan glasier ragut tujuh nyawa, 14 masih hilang

    Runtuhan glasier ragut tujuh nyawa, 14 masih hilang

    SERAMAI tujuh individu disahkan maut sementara 14 lagi masih hilang selepas runtuhan besar glasier Alpine di Itali, pada Isnin.

    Runtuhan itu menyebabkan gelongsoran ais, salji dan batu yang menuruni cerun gunung tersebut, lapor Astro Awani.

    Usaha menyelamat dan pencarian semakin mencabar disebabkan keadaan cuaca yang tidak menentu.

    Di bandar peranginan Canazei, sebuah bilik mayat telah didirikan di gelanggang ais.

    Pihak berkuasa berkata, 14 individu yang masih tidak dapat dikesan merupakan 10 orang warga Itali, tiga dari Republik Czech manakala seorang lagi merupakan warga Austria.

  • Tanah runtuh ragut 42 nyawa, 20 masih hilang

    Tanah runtuh ragut 42 nyawa, 20 masih hilang

    JUMLAH kematian akibat tanah runtuh minggu lalu di Manipur, timur laut India mencecah 42 orang pada Isnin ketika operasi mencari dan menyelamat memasuki hari kelima.

    Menurut pegawai di daerah Noney, 20 orang masih hilang dalam tanah runtuh yang menjejaskan kem pembinaan landasan kereta api Tupul pada tengah malam Rabu lalu.

    “Operasi menyelamat masih diteruskan. Pada hari pertama, 18 orang mangsa yang masih hidup berjaya diselamatkan. Ketika ini, harapan untuk menemukan mangsa yang masih hidup semakin tipis,” kata pegawai kanan pentadbiran Solomon Fimate kepada Agensi Anadolu.

    Menurut laporan Berita Harian, 20 orang masih hilang dalam tanah runtuh yang menjejaskan kem pembinaan landasan kereta api Tupul pada tengah malam Rabu lalu.

    Solomon berkata, pengecaman mayat juga semakin sukar berikutan keadaan mayat yang semakin mereput.

    Dalam pada itu, antara terkorban ialah anggota Tentera India yang ditugaskan untuk mengawasi landasan kereta api sedang dalam pembinaan itu

  • Taufan Chaba: Kapal terbelah dua, puluhan kru hilang

    Taufan Chaba: Kapal terbelah dua, puluhan kru hilang

    SERAMAI 27 kru hilang dan dikhuatiri lemas selepas kapal dinaiki mereka terputus dua akibat dibadai ribut tropika Chaba yang melintasi Hong Kong dan selatan China, pada Ahad.

    Pihak berkuasa berkata, peluang untuk menemui 27 kru kapal itu dalam keadaan selamat adalah sangat tipis tetapi operasi pencarian mangsa masih diteruskan.

    Tiga daripada 30 kru kapal itu berjaya diselamatkan ketika angin kencang serta hujan membadai pantai dan perairan yang terletak kira-kira 300 kilometer barat daya daripada bandar itu, lapor Astro Awani.

    Lokasi kejadian itu dikelilingi oleh kira-kira 100 turbin angin yang ditambah dengan tiupan mencecah sehingga 140 kilometer sejam, telah menghalang usaha menyelamat.

    Hong Kong telah menghantar sembilan pesawat untuk bersama-sama menjalankan operasi mencari dan menyelamat dengan pasukan dari tanah besar.

    Beberapa anak kapal berkemungkinan telah meninggalkan kapal itu kerana ia terputus dua.

    Ribut tropika Chaba menyusuri Hong Kong dengan membawa hujan lebat dan angin kencang pada Jumaat dan Sabtu lalu dan telah menyebabkan pengangkutan awam terpaksa dihentikan sementara dan banyak perniagaan ditutup.

    Pihak berkuasa di Hong Kong menaikkan amaran taufan pada Khamis sebaik Presiden China, Xi Jinping tiba di bandar itu untuk memperingati ulang tahun ke-25 penyerahannya dari Britain kepada China.