Category: Luar Negara

  • MRA lancar projek Qurban Terbaik di Afghanistan

    MRA lancar projek Qurban Terbaik di Afghanistan

    WALAUPUN seluruh dunia masih lagi dibelenggu dengan pandemik Covid-19, namun Malaysian Relief Agency (MRA) terus memainkan peranan dalam menyemarakkan semangat kebersamaan dan kasih dengan melancarkan projek Qurban Terbaik di Afghanistan.

    Projek berkenaan tertumpu di Afghanistan bagi membantu golongan asnaf dan fakir miskin di negara berkenaan.

    MRA menerusi satu kenyataan, Satu Berita melaporkan, projek korban itu menyasarkan jumlah korban sebanyak 118 ekor lembu yang akan membantu 7080 buah keluarga di 33 buah negeri dan 12 daerah.

    Antara negeri yang terlibat di dalam projek berkenaan adalah ibu negara Afghanistan, Kabol, Samangan, Konduz, Takhar, Badakhshan, Konarha, Laghman, Kapisa, Khowst, Wardak, Nangarhar dan Helmand.

    Dalam pada itu, bagi misi kemanusiaan ke luar negara tahun ini, MRA telah menghantar tiga orang wakil MRA ke Afghanistan bagi menyempurnakan projek Qurban Terbaik.

  • 19 maut tembakan rambang di dua bar

    19 maut tembakan rambang di dua bar

    SEKURANG-kurangnya 19 orang terbunuh dalam dua insiden tembakan rambang di Afrika Selatan.

    Menurut Suruhanjaya Polis Wilayah Gauteng, Elias Mawela, dalam kejadian pertama, sekumpulan lelaki bersenjatakan senapang dan pistol melepaskan tembakan di sebuah bar di Orlando East, Soweto awal pagi Ahad menyebabkan 15 individu maut manakala sembilan lagi cedera.

    “Daripada kedudukan kelongsong peluru di tempat kejadian, boleh disumpulkan insiden ini merupakan tembakan rambang,” katanya, lapor Astro Awani.

    Polis turut mengesahkan kejadian kedua yang berlaku kira-kira pukul 8.30 malam pada Sabtu waktu tempatan, di sebuah bar di Pietermaritzburg, 500 kilometer di selatan Soweto, Afrika Selatan, yang mengorbankan empat nyawa dan mencederakan lapan lagi.

    Siasatan awal menunjukkan tiada kaitan antara kedua-dua kejadian dan kesemua suspek berjaya melarikan diri.

    Siasatan masih dijalankan bagi menentukan berapa suspek yang terlibat dalam kedua-dua insiden dan motif kejadian.

    Mangsa yang cedera turut dibawa ke Hospital Chris Hani Baragwanath untuk menerima rawatan.

    Menurut Mawela, terdapat kejadian ketiga dipercayai kejadian samun di sebuah bar di Katlehong, berdekatan Johannesburg yang berlaku pada Khamis.

    Dalam insiden itu dua pengunjung maut manakala dua lagi cedera.

  • Pembunuh Shinzo Abe uji senjata sebelum lakukan serangan

    Pembunuh Shinzo Abe uji senjata sebelum lakukan serangan

    PEMBUNUH Shinzo Abe menguji senjatanya sebelum dia menembak mati bekas perdana menteri Jepun itu, lapor Agensi Anadolu, memetik media tempatan.

    Penyerang dikenali sebagai Tetsuya Yamagami, 41, berkata dia telah menguji senjata api buatan sendiri di sebuah fasiliti sebagai persediaan sebelum serangan itu, menurut media tempatan NHK pada Ahad.

    Seorang detektif yang menyiasat kejadian itu berkata, Yamagami pada mulanya bercadang untuk menyerang ketua kumpulan keagamaan tertentu tetapi akhirnya menukar fikiran dan menyasarkan Abe.

    Abe ditembak pada Jumaat ketika sedang berkempen untuk pilihan raya di bandar Nara dan meninggal dunia tidak lama kemudian akibat kecederaan yang dialaminya. – Bernama

  • Rakyat Sri Lanka ceroboh masuk kediaman Presiden, ‘berpesta’ di dapur dan kolam renang

    Rakyat Sri Lanka ceroboh masuk kediaman Presiden, ‘berpesta’ di dapur dan kolam renang

    BERBULAN-bulan menuntut Presiden berundur, penunjuk perasaan di Sri Lanka ‘meraikan’ kemenangan mereka dengan bersuka ria, mengambil swafoto dan berenang di Istana Presiden selepas berjaya menceroboh masuk.

    Istana Presiden Sri Lanka di Colombo ‘diserang’ oleh ratusan orang awam pada Sabtu, dalam rusuhan terbaharu untuk menunjukkan kemarahan dan ketidakpuasan mereka selepas berbulan-bulan negara itu mengalami krisis yang melumpuhkan ekonomi mereka.

    Presiden Sri Lanka, Gotabaya Rajapaksa dilaporkan telah melarikan diri sebelum kumpulan perusuh tersebut memecah masuk ke dalam Istana Presiden. Dia dibantu oleh tentera yang melepaskan tembakan ke udara untuk membebaskannya.

     Suasana di pekarangan kediaman itu meriah, ketika orang ramai dilihat cuba melupakan seketika kekecewaan akibat krisis makanan dan bahan api yang berpanjangan serta konfrontasi tegang dengan pasukan keselamatan pada hari sebelumnya.

    “Kami berada di kamar Gotabaya, ini pakaian dalam yang ditinggalkannya,” kata seorang lelaki sambil memegang celana hitam di video secara langsung yang turut disiarkan di beberapa saluran media sosial.

     

    Di halaman kompleks kediaman itu, sekumpulan lelaki menanggalkan baju mereka dan melompat ke dalam kolam renang. Ratusan yang lainnya duduk berehat di halaman berumput selepas konfrontasi pada pagi itu dengan pihak berkuasa, lapor Astro AWANI.

    Pasukan keselamatan Sri Lanka telah melepaskan tembakan gas pemedih mata dan meriam air ke arah penunjuk perasaan.

    Orang ramai berjaya masuk ke dalam pekarangan selepas merobohkan penghadang dan memanjat pintu pagar menggunakan trak polis yang dirampas.

    Pegawai polis elit yang ditempatkan di dalam kediaman juga tidak berusaha untuk menghalau penceroboh yang terlalu ramai.

    Beberapa orang dilihat bergilir-gilir duduk di atas katil bersaiz ‘king’ milik Rajapaksa dan sofanya yang selesa. Penunjuk perasaan juga menjamu selera di dapur presiden, dengan makanan dan minuman ringan kelihatan berselerak di atas meja.

    Istana Presiden sebelum ini merupakan kediaman rasmi gabenor British sebelum menjadi kediaman presiden Sri Lanka selepas mencapai kemerdekaan pada tahun 1948.

  • Elon Musk batal beli Twitter

    Elon Musk batal beli Twitter

    KETUA Pegawai Eksekutif Tesla Inc Elon Musk mengumumkan beliau bakal membatalkan perjanjian AS$44 bilion bagi pembelian Twitter Inc semalam.

    Dalam satu kenyataan, Musk berkata langkah itu diambil selepas syarikat gergasi media sosial itu gagal mengemukakan maklumat tentang akaun palsu di platform itu.

    Susulan pengumuman itu, saham Twitter jatuh sebanyak tujuh peratus. April lalu Musk menawarkan AS$54.20 bagi setiap saham Twitter.

     Peguam Musk memberitahu, Twitter gagal atau enggan bertindak kepada beberapa permintaan anak guamnya berkenaan maklumat tentang akaun palsu atau ‘spam’ yang terdapat di platform tersebut.

    “Twitter telah memungkiri perjanjian dan dilihat membari maklumat palsu atau mengelirukan ketika membuat persetujuan penyatuan itu dibuat bersama Musk,” katanya, lapor Astro AWANI.

    Maklumat ini penting bagi mengukur prestasi sebenar kedudukan syarikat tersebut.

    Sementara itu, Twitter dalam reaksi segera memaklumkan akan saman Musk susulan tindakan membatalkan pembelian.

    Sebelum ini Musk memberi amaran akan membatalkan pembelian itu jika Twitter gagal mengemukakan bukti bahawa jumlah akaun ‘spam’ atau ‘bot’ merangkumi lebih rendah daripada lima peratus keseluruhan pengguna perkhidmatan media sosial itu.

    Bulan lalu Twitter memberikan Musk akses data ‘firehose’ syarikat itu yang mengandungi ratusan juta tweet harian pengguna.

  • Sejuta jemaah tiba untuk wukuf di Arafah hari ini

    Sejuta jemaah tiba untuk wukuf di Arafah hari ini

    KIRA-KIRA sejuta umat Islam berwukuf di Arafah pada hari ini, kemuncak kepada ibadah haji dengan jumlah jemaah terbesar sejak pandemik Covid-19, dua tahun lalu.

    Jumlah jemaah dihadkan kepada satu juta termasuk 850,000 dari luar negara, bermalam di kem yang terletak di Mina, tujuh kilometer dari Masjidilharam di Makkah, lokasi paling suci bagi umat Islam.

    Menurut Harian Metro yang memetik laporan AFP, pada awal hari ini, jemaah akan berkumpul di Arafah, tempat Nabi Muhammad SAW menyampaikan khutbah terakhirnya, yang menjadi peringkat paling penting dalam ibadah haji.

    Mereka akan tinggal sepanjang hari di tapak itu, berdoa dan membaca al-Quran.

    Selepas matahari terbenam, jemaah akan menuju ke Muzdalifah yang terletak antara Arafah dan Mina.

    Jemaah akan tidur di situ sebelum melakukan aktiviti melontar, simbolik ‘merejam syaitan’ pada esok.

    Ibadah haji tahun ini berlangsung selepas pemulihan Covid-19 di rantau ini dengan beberapa negara Teluk mengetatkan sekatan bagi mengawal penularan wabak.

    Semua jemaah dikehendaki mengemukakan bukti vaksinasi penuh dengan keputusan negatif ujian tindak balas berantai polimerase masa nyata (RT-PCR).

    Sebaik tiba di Mina pada Khamis, jemaah diserahkan beg kecil yang mengandungi pelitup muka dan pembasmi kuman.

    Ibadah haji adalah perhimpunan tahunan agama terbesar umat Islam di dunia, adalah antara lima rukun Islam dan mesti ditunaikan bagi mereka yang kemampuan sekurang-kurangnya sekali seumur hidup.

    Pada 2019, 2.5 juta umat Islam seluruh dunia menunaikan haji.

    Namun, Covid-19 memaksa pihak berkuasa Arab Saudi untuk mengecilkan jumlah jemaah haji secara mendadak.

    Hanya 60,000 rakyat tempatan yang diberi vaksin sepenuhnya mengambil bahagian pada 2021, meningkat daripada beberapa ribu berbanding 2020.

    Jemaah tahun ini perlu berdepan cuaca panas dengan suhu meningkat kepada 42 darjah Celsius.

  • Shinzo Abe prihatin keperluan komuniti Islam Jepun

    Shinzo Abe prihatin keperluan komuniti Islam Jepun

    BEKAS Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe meninggal dunia pada Jumaat, hanya beberapa jam selepas ditembak ketika beliau sedang berucap dalam satu kempen pilihan raya.

    Perdana Menteri Jepun, Fumio Kishida menyifatkan serangan itu sebagai “biadab, berniat jahat” yang “tidak boleh diterima sama sekali”, menurut Agensi Anadolu.

    Abe berada di bandar raya Nara bagi meraih sokongan untuk calon Parti Demokratik Liberal (LDP), parti yang memerintah, sempena pilihan raya Senat.

    Sekurang-kurangnya dua das tembakan kedengaran sebelum Abe rebah. Kejadian berlaku sejurus Abe mula berucap kira-kira 11.30 pagi waktu tempatan.

    Penyerang, Tetsuya Yamagami, 41, penduduk Nara, telah ditahan dan didakwa kerana cubaan membunuh. Senapang patah yang digunakan pelaku juga dirampas.

    Abe berundur daripada LDP pada musim gugur 2020 atas masalah kesihatan.

    Beliau adalah perdana menteri paling lama berkhidmat di Jepun mengatasi rekod sebelum ini iaitu 2,798 hari yang dipegang bapa saudaranya, Eisaku Sato (1901-1975).

    ‘Politik menuntut hasil yang berkesan’

    Moto politik yang menjadi pegangan Abe ialah ‘politik yang memberikan hasil yang berkesan’.

    Abe, menjadi Perdana Menteri termuda Jepun semasa pertama kali memegang jawatan itu pada 2006. Ketika itu beliau berusia 52 tahun.

    Lahir daripada keluarga politik, datuknya, Kishi Nobusuke, berkhidmat di Jepun sebagai Perdana Menteri antara 1957 dan 1960.

    Alumni Universiti Seikei itu menamatkan pengajian pada 1977, sebelum bertugas seketika di Kobe Steel antara 1979 dan 1982 sebelum memasuki arena politik.

    Beliau kemudian menyertai bapanya, Shintaro Abe dengan memegang jawatan sebagai setiausaha.

    Berikutan kematian bapanya, Abe bertanding dalam pilihan raya pada 1993 dan berjaya dipilih ke Dewan Rakyat yang dikenali Diet.

    Bagaimanapun, karier politiknya mengalami kejutan apabila terpaksa melepaskan jawatan disebabkan penyakit ‘ulcerative colitis’ yang dihidapinya.

    Beliau meletak jawatan sebagai perdana menteri pada 2007 setahun selepas dilantik.

    Pada tahun sama parti pimpinannya juga menghadapi kekalahan memalukan dalam Diet.

    Kembali berkhidmat

    Abe kembali berkuasa pada September 2012 dan merampas semula tampuk kepimpinan LDP dan berjaya membawa parti itu menang dengan majoriti besar pada Disember tahun yang sama.

    Moto beliau mula menunjukkan hasil apabila program rangsangan monetari Bank of Japan berjaya sekali gus meningkatkan pendapatan syarikat besar dan harga saham.

    Beliau dipilih semula dalam pilihan raya 2014 dan 2017. Bagaimanapun pentadbirannya gagal mencapai sasaran inflasi tahunan dua peratus.

    Semasa sidang akhbar terakhirnya sebagai Perdana Menteri pada Oktober 2020, Abe turut bercakap mengenai keselamatan Jepun.

    “Korea Utara mempunyai banyak keupayaan dalam peluru berpandu balistik dan Jepun perlu meningkatkan kapasiti keselamatannya,” katanya.

    Ketika pentadbirannya hubungan dua hala Jepun dengan Korea Selatan berada pada tahap terendah ekoran isu eksploitasi seksual semasa perang.

    Penganjuran Sukan Olimpik 2020 juga memberi tamparan hebat kepada pentadbiran Abe berikutan pandemik.

    Hubungan dengan komuniti Islam

    Seorang ahli perniagaan dari Osaka sebelum ini memberitahu Agensi Anadolu peristiwa tsunami Fukushima 2011 mengubah pandangan Abe terhadap komuniti Islam di negara itu.

    “Abe melawat banyak kem bantuan dan pusat operasi menyelamat, ramai yang beliau temui adalah orang Islam, terutama dari Pakistan,” kata ahli perniagaan itu yang enggan namanya disiarkan.

    Selepas Abe kembali sebagai Perdana Menteri pada 2012, “Pentadbirannya membina ruang solat di sepanjang kawasan rehat di lebuh raya dan di kebanyakan lapangan terbang.”

    “Abe sentiasa berhubung dengan masyarakat Islam,” katanya.

    Pentadbiran Abe juga memperuntukkan bilik khusus untuk komuniti Islam di Pusat Bahasa Jepun negara itu.

    “Di restoran utama, beliau meminta pemilik menyediakan makanan Halal,” kata ahli perniagaan itu. – BERNAMA

  • [VIDEO] Bekas PM Jepun, Shinzo Abe meninggal dunia akibat ditembak

    [VIDEO] Bekas PM Jepun, Shinzo Abe meninggal dunia akibat ditembak

    BEKAS Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe dilaporkan meninggal dunia selepas ditembak semasa menyampaikan ucapan dalam kempen di Nara, Jepun hari ini.

    Media Jepun dan antarabangsa sebelum itu melaporkan beliau dalam keadaan kritikal akibat insiden tersebut.

    “Menurut pegawai kanan LDP (Parti Demokratik Liberal), bekas Perdana Menteri, Shinzo Abe meninggal dunia di sebuah hospital di bandar Kashihara, wilayah Nara, tempat beliau menerima rawatan perubatan.

    “Beliau berusia 67 tahun,” kata NHK, memetik laporan BH.

    Terdahulu, mendiang dilaporkan mengalami masalah kegagalan jantung dan rakaman video NHK menunjukkan Abe rebah di atas jalan dengan beberapa pengawal keselamatan berlari ke arahnya.

    Saksi kejadian mendakwa mereka mendengar bunyi tembakan dalam insiden yang berlaku ketika Abe sedang berdiri ketika berucap untuk kempen pilihan raya Senat Jepun yang berlangsung Ahad ini.

    Polis telah menahan seorang lelaki berusia 40-an yang disyaki terlibat dalam cubaan membunuh Abe di lokasi kejadian.

    Suspek yang dikenali sebagai Tetsuya Yamagami dikatakan seorang bekas anggota tentera laut Jepun.

    Dia dilaporkan melepaskan dua tembakan terhadap Abe dalam insiden yang berlaku kira-kira pukul 11.30 pagi waktu tempatan itu.

    Suspek lelaki itu dikenali sebagai Tetsuya Yamagami dan dia merupakan bekas anggota Tentera Laut Jepun, lapor agensi berita tempatan Jepun.

    Dalam video yang dipaparkan agensi berita Jepun, NHK, sejurus melepaskan tembakan, lelaki berkenaan telah dirempuh dan dijatuhkan ke tanah oleh pihak keselamatan.

    Selain itu media tempatan melaporkan, suspek mengakui dia cuba membunuh Abe ekoran rasa ‘tidak puas hati’ terhadap bekas Perdana Menteri Jepun itu.

    Abe, Perdana Menteri Jepun paling lama berkhidmat dengan memegang jawatan itu bermula 2006 sebelum sekali lagi dipilih pada dari 2012 hingga 2020.

    Beliau bagaimanapun terpaksa berundur kerana mengalami masalah kesihatan berkaitan usus.

  • Suspek akui tembak Shinzo Abe kerana tidak berpuas hati

    Suspek akui tembak Shinzo Abe kerana tidak berpuas hati

    SEORANG lelaki berusia 40-an telah ditahan polis susulan insiden tembakan melibatkan bekas Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe.

    Suspek lelaki itu dikenali sebagai Tetsuya Yamagami, dan merupakan bekas anggota Tentera Laut atau Japan Maritime Self-Defense Force,
    menurut agensi berita tempatan Jepun.

    Agensi berita antarabangsa BBC pula melaporkan, Yamagami telah melepaskan dua tembakan terhadap bekas Perdana Menteri Jepun itu, mengakibatkan Abe rebah dan memegang dadanya yang jelas berlumuran darah.

    Difahamkan insiden tersebut berlaku pada 11.30 pagi Jumaat, waktu tempatan, ketika Abe sedang memberi ucapan di hadapan penduduk di bandar Nara, barat Jepun.

    Dalam video yang dipaparkan agensi berita Jepun, NHK, sejurus melepaskan tembakan, lelaki berkenaan telah dirempuh dan dijatuhkan ke tanah oleh pihak keselamatan.

    Selain itu media tempatan melaporkan, suspek mengakui dia cuba membunuh Abe ekoran rasa ‘tidak puas hati’ terhadap bekas Perdana Menteri Jepun itu.

    Bekas Gabenor Tokyo, Yoichi Masuzoe memberitahu media, Abe berada dalam keadaan penangkapan jantung atau ‘cardiopulmonary arrest’, satu terma perubatan yang sering digunakan di Jepun, sebelum kematian disahkan.

    Agensi Pengurusan Kebakaran dan Bencana tempatan mengesahkan Abe mempunyai luka tembakan di bahagian kanan tengkuk, selain pendarahan di bahagian kiri dadanya.

    Ketika berita ini ditulis, Abe dilaporkan berada dalam keadaan kritikal, dan tidak menunjukkan denyutan jantung sewaktu dirawat.

    14)

  • Bukit dan dataran Arafat mula dipenuhi jemaah haji

    Bukit dan dataran Arafat mula dipenuhi jemaah haji

    RATUSAN ribu jemaah haji dari seluruh dunia mulai memenuhi setiap ruang tersedia di Bukit Arafat dan datarannya, di Arafah, Arab Saudi hari ini.

    Pergerakan jemaah dari Mina menuju Arafah bermula sejak tengah malam tadi waktu Arab Saudi, bagi menunaikan rukun haji iaitu Wukuf (berhimpun) di Arafah, yang ditetapkan hari ini, Jumaat, lapor Saudi TV.

    Saudi TV adalah antara penyiar rasmi musim Haji 1443 Hijrah yang dilesenkan oleh Pihak Berkuasa Penyiaran Arab Saudi (SBA).

    Bukit Arafat berbatu granit terletak kira-kira 22 kilometer di timur Mekah dan merupakan satu-satunya lokasi rukun haji yang terletak di luar kawasan Tanah Haram.

    Menurut tradisi Islam, di puncak bukit inilah Nabi Muhammad SAW menyampaikan pesanan atau khutbah terakhir baginda.

    Meneruskan legasi baginda, tradisi bacaan khutbah ini diteruskan dan kini dikenali sebagai Khutbah Arafah.

    Khutbah Arafah bagi musim haji kali ini akan disampaikan Sheikh Dr Mohammad Abdul Karim Al-Issa, Setiausaha Agung Liga Dunia Islam (MWL) di Masjid Namirah.

    Khutbah yang akan dibacakan dalam bahasa Arab ini dijadual bersiaran secara langsung dari Arab Saudi pada 12.30 tengah hari waktu tempatan (kira-kira 5 petang waktu Malaysia) dengan terjemahan 14 bahasa lain, termasuk bahasa Melayu, Cina dan Tamil.

    Mereka yang ingin mengikutinya boleh berbuat demikian di pautan berikut: https://manaratalharamain.gov.sa/arafa/arafa_sermon

    Sementara itu, Kementerian Kesihatan Arab Saudi mengesahkan pihaknya memiliki sistem canggih pengesanan awal wabak yang telah diimplementasi pada musim haji kali ini.

    Timbalan Setiausaha (Kesihatan Awam), Ketua Jawatankuasa Persiapan Haji, Dr Hani Jokhdar dalam kenyataan kepada Agensi Berita Arab Saudi (SPA) menjelaskan sistem pemantauan teliti itu mampu mengesan penularan wabak dan penyakit berjangkit seterusnya memberi amaran kesihatan awal untuk respon pantas, bagi mengekang penularan penyakit dalam kalangan jemaah haji.

    Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi (MoHU) pula memaklumkan pelancaran semula program ‘Kun Aunan’ (Be a Helper), selepas terhenti selama dua tahun akibat pandemik COVID-19, menurut SPA.

    Seramai lebih kurang 3,000 sukarelawan lelaki dan wanita digerakkan dalam program ini bagi membantu kelancaran kerja-kerja menyantuni jemaah di Masyair (tapak suci). – Bernama