KIRA-KIRA sejuta umat Islam berwukuf di Arafah pada hari ini, kemuncak kepada ibadah haji dengan jumlah jemaah terbesar sejak pandemik Covid-19, dua tahun lalu.

Jumlah jemaah dihadkan kepada satu juta termasuk 850,000 dari luar negara, bermalam di kem yang terletak di Mina, tujuh kilometer dari Masjidilharam di Makkah, lokasi paling suci bagi umat Islam.

Menurut Harian Metro yang memetik laporan AFP, pada awal hari ini, jemaah akan berkumpul di Arafah, tempat Nabi Muhammad SAW menyampaikan khutbah terakhirnya, yang menjadi peringkat paling penting dalam ibadah haji.

Mereka akan tinggal sepanjang hari di tapak itu, berdoa dan membaca al-Quran.

Selepas matahari terbenam, jemaah akan menuju ke Muzdalifah yang terletak antara Arafah dan Mina.

Jemaah akan tidur di situ sebelum melakukan aktiviti melontar, simbolik ‘merejam syaitan’ pada esok.

Ibadah haji tahun ini berlangsung selepas pemulihan Covid-19 di rantau ini dengan beberapa negara Teluk mengetatkan sekatan bagi mengawal penularan wabak.

Semua jemaah dikehendaki mengemukakan bukti vaksinasi penuh dengan keputusan negatif ujian tindak balas berantai polimerase masa nyata (RT-PCR).

Sebaik tiba di Mina pada Khamis, jemaah diserahkan beg kecil yang mengandungi pelitup muka dan pembasmi kuman.

Ibadah haji adalah perhimpunan tahunan agama terbesar umat Islam di dunia, adalah antara lima rukun Islam dan mesti ditunaikan bagi mereka yang kemampuan sekurang-kurangnya sekali seumur hidup.

Pada 2019, 2.5 juta umat Islam seluruh dunia menunaikan haji.

Namun, Covid-19 memaksa pihak berkuasa Arab Saudi untuk mengecilkan jumlah jemaah haji secara mendadak.

Hanya 60,000 rakyat tempatan yang diberi vaksin sepenuhnya mengambil bahagian pada 2021, meningkat daripada beberapa ribu berbanding 2020.

Jemaah tahun ini perlu berdepan cuaca panas dengan suhu meningkat kepada 42 darjah Celsius.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here