Category: Luar Negara

  • Anak PM Pakistan dipecat jawatan Ketua Menteri

    Anak PM Pakistan dipecat jawatan Ketua Menteri

    Oleh SHAKIR HUSAIN

    MAHKAMAH tertinggi Pakistan pada Selasa malam memecat anak Perdana Menteri Shehbaz Sharif, Hamza Shehbaz sebagai Ketua Menteri wilayah Punjab dalam satu keputusan yang mengejutkan.

    Mahkamah Agung memutuskan bahawa keputusan Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri Punjab, Dost Mohammad Mazari menolak 10 daripada 186 undian yang memihak kepada pesaing Hamza, Chaudhry Parvez Elahi, 76 adalah tidak sah.

    Hamza, 47, mengangkat sumpah sebagai ketua menteri pada 23 Julai, sehari selepas beliau diumumkan sebagai pemenang pengundian kontroversi di Dewan Punjab.

    Parvez dari Pakistan Muslim League-Quaid (PML-Q) disokong oleh parti bekas perdana menteri Imran Khan Pakistan Tehreek-e-Insaf (PTI), parti tunggal terbesar dalam dewan wilayah itu.

    Timbalan speaker, yang mempengerusikan sesi itu, menolak 10 undi ahli parlimen PML-Q, berkata beliau mempunyai surat daripada ketua parti mereka Chaudhry Shujaat Hussain menyokong Hamza.

    Shujaat, yang merupakan sepupu Parvez, adalah presiden parti tetapi bukan ahli dewan.

    Sajid Ahmed Khan Bhatti, ketua parlimen PML-Q dalam Dewan Punjab, dan rakan-rakannya secara rasmi menyokong Parvez dan memberikan undi yang memihak kepadanya.

    Parvez mencabar keputusan pemilihan Hamza itu di mahkamah.

    Mahkamah Agung yang terdiri daripada Ketua Hakim Negara, Umar Ata Bandial dan hakim Ijazul Ahsan dan Munib Akhtar pada Selasa menyelesaikan isu mengenai siapa yang diberi kuasa untuk memberi arahan kepada ahli dewan semasa undi dewan berlangsung.

    Seluruh negara meraikannya dan penyokong PTI menyambut baik keputusan itu yang membuktikan bahawa Liga Muslim Pakistan-Nawaz (PML-N) pimpinan Hamza tidak mempunyai majoriti untuk memerintah wilayah paling ramai penduduk dan penting dari segi politik di Pakistan.

    Menurut laporan media Pakistan, mahkamah mengisytiharkan semua pelantikan yang dibuat oleh Hamza tidak sah dan memerintahkan anggota kabinetnya untuk mengosongkan pejabat mereka, menurut laporan media Pakistan.

    Parvez hadir ke Islamabad dan mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Punjab di hadapan Presiden Arif Alvi pada awal pagi Rabu.

    Gabenor Punjab sebelum ini enggan menerima angkat sumpah itu, menurut media Pakistan.

    Perebutan kuasa di Punjab adalah sebahagian daripada perebutan politik antara PTI pimpinan Imran dan pakatan PML-N yang diketuai bekas perdana menteri Nawaz Sharif, yang kini hidup dalam buangan di London. – BERNAMA

  • Kerana penampilan ‘buruk’, ibu arah anak tinggalkan pengantin perempuan

    Kerana penampilan ‘buruk’, ibu arah anak tinggalkan pengantin perempuan

    SEORANG pengantin lelaki di Tunisia meninggalkan bakal isterinya pada hari majlis perkahwinan mereka selepas ibunya mengutuk penampilan pengantin perempuan tersebut.

    Lelaki yang tidak dinamakan itu dilaporkan lari selepas ibunya melihat bakal menantunya buat kali pertama pada majlis perkahwinan mereka.

    Sebelum ini, ibunya hanya sekadar melihat gambar calon isterinya namun selepas bersemuka, dia memberhentikan majlis tersebut kerana wanita itu terlampau  ‘pendek’ dan ‘buruk’.

    Pengantin perempuan, Lamia Al-Labawi dilihat tersenyum dalam sebuah gambar dengan berpakaian baju perkahwinannya sementara tunangnya dilihat gelisah.

    Selepas ditolak, Lamia mencurahkan isi hatinya dalam laman media sosial.

    Lamia menceritakan bahawa dia seorang anak yatim dan telah melaburkan banyak duit untuk majlis perkahwinannya.

    Dia berkata terkejut dengan penolakan tersebut dan malu dengan kejadian tersebut.

    Pengguna dalam media sosial menyokong Lamia dan mengutuk lelaki tersebut serta kerana menganggap dia bukan ‘lelaki sejati’.

    Artis teater, Hedi Mejri menyuarakan sokongannya kepada Lamia dengan berkata, “Kamu tidak kehilangan seorang lelaki, kamu telah mengelak seorang yang boleh menyumpah kamu seumur hidup. Kamu telah mendapat kasih sayang dan kebebasan yang tidak boleh digantikan.”

  • Banjir kilat: 5 penduduk terkorban, 10 cedera

    Banjir kilat: 5 penduduk terkorban, 10 cedera

    SEKURANG-KURANGNYA lima orang terkorban dan 10 lagi cedera dalam banjir kilat terbaharu di wilayah timur Nangarhar lewat Ahad, lapor Xinhua.

    Banjir itu turut menghanyutkan 320 rumah dan memusnahkan ratusan ekar tanah ladang di ibu kota wilayah Jalalabad dan beberapa daerah di wilayah itu, kata pejabat gabenor wilayah pada Isnin dalam satu kenyataan.

    Satu daripada jambatan utama di laluan yang menghubungkan ibu kota Kabul ke wilayah timur turut dihanyutkan banjir, kata kenyataan itu sambil menambah jalan itu kini ditutup.

    Dua hari lalu, hujan lebat dan banjir kilat turut melanda wilayah Panjshir dan Takhar yang mengakibatkan kerosakan harta benda yang besar di wilayah itu. Bagaimanapun, tiada korban dilaporkan. – BERNAMA

  • [VIDEO] Tembakan di taman: 2 maut, 5 cedera

    [VIDEO] Tembakan di taman: 2 maut, 5 cedera

    DUA maut manakala lima lagi cedera dalam kejadian tembakan di sebuah taman di Los Angeles pada petang Ahad, lapor Xinhua, memetik pihak berkuasa.

    Anggota polis menerima laporan mengenai kejadian tembakan berhampiran padang besbol di Peck Park, pada pukul 3.45 petang waktu tempatan, lapor Jabatan Polis Los Angeles.

    Tujuh mangsa dikejarkan ke hospital tempatan, dan dua daripadanya disahkan meninggal dunia, menurut Jabatan Bomba Los Angeles.

    Polis memaklumkan beberapa senjata api dijumpai di lokasi berkenaan dan dikategori sebagai bahan bukti.

    Bilangan suspek yang terlibat masih belum diketahui, atau insiden itu membabitkan pertempuran antara kumpulan masih disiasat, menurut polis.

    Jabatan Polis Los Angeles telah mengisytiharkan amaran taktikal seluruh bandar selepas kejadian itu.

    Saksi berkata, ratusan orang menghadiri pameran kereta dan melakukan pelbagai aktiviti lain di taman itu sebelum insiden tembakan tercetus, menyebabkan mereka bertempiaran lari menyelamatkan diri. – BERNAMA

  • [VIDEO] Tembakan di kampus, 3 mangsa maut, 2 cedera

    [VIDEO] Tembakan di kampus, 3 mangsa maut, 2 cedera

    INSIDEN tembakan di sebuah kampus universiti di Metro Manila pada Ahad, mengorbankan tiga individu, manakala dua lagi cedera, menurut polis Filipina.

    Pihak Berkuasa Pembangunan Metro Manila mengesahkan kejadian berlaku pada 14.55 tengah hari waktu tempatan di pintu masuk Universiti Ateneo de Manila di Quezon City, lapor Agensi Berita Xinhua.

    “Seorang pengawal keselamatan turut terbunuh,” kata Pengarah daerah Polis Quezon City, Remus Medina.

    Dalam kejadian itu, suspek cuba melarikan diri menggunakan kereta tetapi berjaya ditahan pihak polis.

    Ejen Biro Penyiasatan Kebangsaan juga telah dikerah ke lokasi kejadian “untuk menyiasat dan menghulurkan bantuan kepada mangsa dan pihak universiti.”

    Kampus “ditutup buat masa ini,” menurut universiti itu.

    Ketua Hakim Negara Mahkamah Tinggi, Alexander Gesmundo dijadual menghadiri majlis graduasi lulusan undang-undang pada petang Ahad.

    Jurucakap Mahkamah Agung, Brian Hosaka berkata, Gesmundo “yang dalam perjalanan ke lokasi itu dinasihatkan untuk berpatah balik”. – BERNAMA

  • WHO isytihar cacar monyet kecemasan kesihatan global

    WHO isytihar cacar monyet kecemasan kesihatan global

    PERTUBUHAN Kesihatan Sedunia (WHO) pada Sabtu mengisytiharkan cacar monyet sebagai kecemasan kesihatan global, iaitu tahap amaran tertinggi bagi sesuatu penyakit.

    Ketua pengarah WHO, Tedros Ghebreyesus berkata, keputusan itu dibuat meskipun badan penasihat tidak bersetuju dengan penilaian, lapor Agensi Anadolu.

    Dengan sembilan ahli jawatankuasa menentang manakala enam lagi menyokong, Tedros berkata keputusannya adalah sebagai “pemecah seri.”

    Beliau berkata, lebih 16,000 kes dan lima kematian telah dilaporkan di 75 negara dan wilayah.

    “Menurut penilaian WHO, risiko cacar monyet adalah sederhana di seluruh dunia, kecuali di rantau Eropah, penilaian risiko berada pada tahap tinggi.

    “Wabak telah merebak dengan cepat di seluruh dunia, melalui kaedah penyebaran baharu, dan kami mempunyai maklumat yang terhad mengenai hal itu.

    “Walaupun saya mengisytiharkan kecemasan kesihatan global, wabak itu setakat ini menjangkiti golongan lelaki yang melakukan hubungan seks dengan lelaki, terutama mereka yang mempunyai ramai pasangan seksual,” kata Tedros.

    Beliau menegaskan bahawa wabak itu boleh dihentikan menerusi kaedah dan strategi yang betul membabitkan kumpulan itu.

    “Oleh itu adalah penting untuk semua negara bekerjasama rapat dengan komuniti itu, untuk menyampaikan maklumat dan perkhidmatan secara berkesan, dan untuk menerima pakai langkah-langkah melindungi kesihatan,” katanya.

    Tedros turut menyeru masyarakat sivil, termasuk mereka yang berpengalaman bekerja dengan penghidap HIV, untuk bekerjasama dengan WHO memerangi stigma dan diskriminasi.

    “Dengan kaedah yang dimiliki sekarang, kita boleh menghentikan penularan dan mengawal wabak ini,” katanya. – BERNAMA

  • Ahli perniagaan Malaysia ‘Jho Low 2’ ditahan di Thailand terlibat pengubahan wang haram

    Ahli perniagaan Malaysia ‘Jho Low 2’ ditahan di Thailand terlibat pengubahan wang haram

    SEORANG ahli perniagaan warga Malaysia dalam buruan yang beroperasi di Thailand ditahan kerana didakwa melakukan pengubahan wang haram.

    Media tempatan melaporkan penahanan pengasas, MBI Group International, Teow Wooi Huat yang mendapat julukan ‘Jho Low 2’ dibuat di wilayah Songkhla pada awal pagi Jumaat di bawah operasi diketuai Penolong Ketua Polis Negara, Leftenan Jeneral Surachate Hakparn.

    Pihak berkuasa turut melakukan serbuan ke atas pejabat MBI Group di daerah Sadao yang terletak di sempadan Thailand-Malaysia.

      Bilionair tersebut diberkas selepas pihak berkuasa menahan beberapa ahli politik tempatan di wilayah Songkhla dan Si Thammarat.

    “Hasil siasatan dilakukan Surachate telah menemui kaitan antara mereka dan Wooi Huat. Taikun perniagaan itu didapati memegang peranan sebagai pembiaya utama sindiket perjudian dalam talian,” ujar jurucakap polis dalam satu kenyataan lapor media berkenaan

    Pihak berkuasa berkata, MBI Group International terlibat dalam perniagaan seperti perhotelan, rangkaian pusat hiburan, taman teman dan hartanah.

    Wooi Huat pernah ditahan pada 2017 atas tuduhan mengedar dadah, namun dia terlepas daripada pendakwaan selepas melarikan diri ke Songkhla.

    Setahun selepas itu, pihak berkuasa Malaysia mendakwa suspek terlibat dengan jenayah kewangan hingga menyebabkan aset miliknya dirampas selepas dipercayai terlibat dengan skim piramid.

    Wooi Huat kemudiannya melarikan diri ke Thailand pada tahun lalu.

    Pada Oktober 2019, MBI Group International pernah menjadi tajuk utama media di Malaysia setelah sekumpulan warga China berhimpun di luar kedutaan Beijing di Kuala Lumpur kerana mendakwa telah kehilangan wang simpanan mereka kepada syarikat miliknya.

    Ketika itu, kebanyakan mangsa mendakwa mereka ‘tertipu’ dengan skim piramid dalam talian yang dikendalikan MBI Group International.

    Difahamkan, Wooi Huat juga dikehendaki pihak berkuasa di Malaysia kerana dipercayai terlibat dengan kes pengubahan wang haram berjumlah AS$83 juta (RM336 juta) di Macau.

  • [VIDEO] Wartawan bukan Islam dari media Israel lolos masuk Mekah

    [VIDEO] Wartawan bukan Islam dari media Israel lolos masuk Mekah

    POLIS Mekah menahan seorang lelaki rakyat tempatan yang didakwa terlibat dalam membantu urusan seorang wartawan bukan Islam yang memegang kerakyatan Amerika Syarikat untuk memasuki tanah suci Mekah.

    Media antarabangsa melaporkan wartawan itu ialah Gil Tamary daripada saluran siaran bebas Israel, Channel 13.

    Laporan Agensi Berita Arab Saudi (SPA) pula memetik jurucakap Polis Mekah sebagai berkata; “Mereka menggunakan laluan yang dikhaskan kepada orang Islam, hal ini jelas melanggar undang-undang yang melarang kemasukan orang bukan Islam ke tanah suci Mekah”.

    Pihak polis Mekah menegaskan bahawa segala undang-undang yang telah ditetapkan kerajaan Arab Saudi perlu dihormati dan dipatuhi oleh setiap pengunjung tanah suci, khususnya di Masjidil Haram di Mekah dan Madinah.

    “Sebarang pelanggaran seperti ini dianggap sebagai jenayah yang tidak boleh diterima dan hukuman akan dikenakan terhadap pelaku jenayah berdasarkan peraturan yang ditetapkan,” katanya.

    Kes wartawan itu telah dirujuk kepada Pejabat Pendakwa Raya untuk tindakan selanjutnya. – BERNAMA

  • Makmal syabu: Bekas polis Malaysia diberkas polis Indonesia

    Makmal syabu: Bekas polis Malaysia diberkas polis Indonesia

    BADAN Narkotik Nasional Indonesia membongkar sebuah makmal mini memproses dadah jenis syabu selepas menahan tiga individu warga tempatan, termasuk seorang warganegara Malaysia di Kepulauan Riau pada Selasa (19 Julai).

    Ketua agensi itu, Inspektor General Petrus Golose berkata, warga Malaysia yang juga bekas anggota polis berpangkat koperal ditahan dalam serbuan di makmal yang beroperasi di rumah sewa di perumahan Sukajadi, Batam.

    Dalam satu kenyataan, beliau berkata, pihaknya menemui sejumlah bahan bukti termasuk alat memproses, cecair prekusor dan syabu seberat 5.1 kilogram.

    Menurut beliau, hasil pemeriksaan awal mendapati syabu itu telah diproses di Malaysia namun siasatan lanjut akan diteruskan.

    “Kalau mereka telah masuk (dan melakukan aktiviti seperti ini) kita bersama-sama harus berwaspada terhadap kegiatan-kegiatan clandestine laboratory (makmal rahsia),” kata Petrus. – BERNAMA

  • [VIDEO] Jatuhkan bayi baru lahir, jururawat dipenjara enam tahun

    [VIDEO] Jatuhkan bayi baru lahir, jururawat dipenjara enam tahun

    SEORANG jururawat dijatuhi hukuman penjara enam tahun pada Jumaat atas kesalahan menjatuhkan seorang bayi baru lahir pada 2019, yang mengakibatkan kerosakan kekal pada otak.

    Mahkamah Daerah Busan mendapati jururawat itu, yang identitinya dirahsiakan, bersalah kerana cuai ketika menjalankan tugas sehingga menyebabkan kecederaan kepada bayi perempuan berusia lima hari.

    Kejadian berlaku di unit neonatal sebuah hospital di Busan, menurut Agensi Berita Yonhap.

    Kemarahan orang ramai tercetus selepas rakaman kamera pengawasan menunjukkan jururawat itu secara fizikal mendera sejumlah 14 bayi baru lahir, termasuk bayi perempuan itu, dengan menggoncang dan memegang secara terbalik dan menjatuhkan mereka.

    Jururawat itu juga didapati bersalah mendera kanak-kanak.

    “Rakaman menunjukkan defendan memegang bayi yang baru lahir itu dalam keadaan terbalik, mengakibatkan bayi itu jatuh terlentang,” menurut mahkamah.

    Bukti turut menunjukkan bayi itu mengalami kecederaan semasa jururawat itu bertugas.

    Berikutan keputusan itu, jururawat tersebut yang sebelum ini dibebaskan dengan ikat jamin telah dipenjarakan. – BERNAMA