Category: Luar Negara

  • Sudah jatuh ditimpa ‘tanah’, cubaan rompak bank punah

    Sudah jatuh ditimpa ‘tanah’, cubaan rompak bank punah

    SEORANG lelaki warga Itali ditarik keluar dari terowong bawah tanah yang runtuh selepas mengesyaki terowong itu digunakan bagi cubaan merompak sebuah bank berhampiran Vatican City.

    Kejadian pada 13 Ogos itu menyaksikan berpuluh anggota bomba bertugas di tapak terowong sedalam enam meter sebelum berjaya membebaskan lelaki itu.

    Lelaki daripada Rom itu dimasukkan ke hospital akibat kecederaan kritikal ketika anggota penyelamat mengambil masa selama lapan jam untuk mengeluarkannya dari runtuhan.

    Selain itu, pihak polis mempercayai lelaki itu bekerjasama dengan tiga suspek lain untuk melakukan rompakan.

    Kesemua suspek disyaki menggali terowong di bahagian bawah tanah sebuah kedai selama beberapa hari untuk sampai ke bank.

    Menurut laporan, mereka merancang melakukan rompakan semasa cuti umum Ferragosto (Meraikan Augustus Caesar) apabila bank itu ditutup.

    Sementara itu, polis dilaporkan berjaya menahan dua suspek lain ketika cuba melarikan diri dari tapak kejadian dan telah mendakwa dua lelaki berkenaan kerana cubaan mengelak daripada diberkas.

    Seorang penduduk menetap di bangunan berhampiran, Michele berkata,mereka tidak mengetahui apa yang sedang berlaku kerana menyangka pengubahsuaian jalan sedang dilakukan. – Agensi

  • Freya, anjing laut dibunuh pihak berkuasa atas faktor keselamatan manusia

    Freya, anjing laut dibunuh pihak berkuasa atas faktor keselamatan manusia

    SEEKOR anjing laut (walrus) yang dinamakan Freya, yang menjadi tarikan popular di kalangan pengunjung ke pantai Norway, dibunuh oleh pihak berkuasa pada Ahad atas faktor keselamatan.

    “Keputusan untuk membunuh haiwan itu dibuat berdasarkan penilaian keseluruhan akan ancaman berterusan yang dibawanya terhadap keselamatan manusia,” lapor Agensi Anadolu memetik Ketua Pengarah Perikanan Frank Bakke-Jensen dalam satu kenyataan.

    “Kami telah mempertimbangkan semua penyelesaian yang mungkin dengan teliti. Kami merumuskan bahawa kami tidak dapat menjamin kebajikan haiwan itu melalui apa-apa cara yang ada,” tambahnya.

    Menyedari akan tindak balas yang mungkin timbul disebabkan keputusan itu, Bakke-Jensen berkata “nyawa dan keselamatan manusia mesti diutamakan.”

    Freya, yang dinamakan sempena nama dewi kecantikan dan cinta masyarakat Norse, sering dilihat di Oslo Fjord, dan pihak berkuasa telah beberapa kali memberi amaran kepada orang ramai untuk menjauhi anjing laut itu.

    Bagaimanapun, menurut kenyataan Direktorat Perikanan sebelum ini, orang ramai tidak mematuhi amaran itu.

    Freya mula dikenali selepas menaiki bot untuk berjemur dan kadangkala menenggelamkannya kerana berat badannya yang mencecah 600 kilogram. Dalam satu kejadian, polis terpaksa mengepung kawasan mandian selepas anjing laut itu mengejar seorang wanita ke dalam air.- BERNAMA

  • Gudang bunga api meletup:1 maut, 51 cedera

    Gudang bunga api meletup:1 maut, 51 cedera

    Sekurang-kurangnya seorang maut manakala 51 cedera akibat letupan di gudang penyimpanan bunga api di ibu negara Armenia, semalam.

    Letupan berlaku di Pasar Surmalu yang merupakan pasar popular dalam kalangan penduduk setempat, lapor Astro Awani.

    Anggota bomba bertungkus lumus memadamkan kebakaran yang berlaku selama beberapa jam selepas letupan pada sebelah petang.

    Misi mencari dan menyelamat mangsa yang mungkin terperangkap di bawah kepingan konkrit masih diteruskan.

    Kementerian Kesihatan Armenia setakat ini masih belum mengeluarkan laporan rasmi jumlah korban dan kecederaan.

    Pasar Surmalu yang terletak 2 kilometer di selatan pusat bandar terkenal dengan harga yang rendah dan mempunyai pelbagai barangan.

    Setakat ini punca letupan bunga api atau mercun itu masih dalam siasatan.

  • Pelajar Malaysia lemas ketika mandi sungai di Mesir

    Pelajar Malaysia lemas ketika mandi sungai di Mesir

    “SUKAR hendak menerima hakikat, namun ini semua adalah ketentuan Allah SWT yang lebih menyayanginya, jadi kami sekeluarga reda dengan takdir ini,” kata Siti Azlina Mohamad Asri, 46.

    Siti Azlina adalah ibu kepada Muhammad Firdaus Ab Raiz, 25, penuntut Universiti Al-Azhar di Mesir, yang meninggal dunia akibat lemas ketika mandi di sebuah sungai dalam daerah Al-Qanathir Al-Khairiyah.

    Beliau berkata, anak sulungnya itu yang juga penuntut Sarjana Muda Syariah, keluar berkelah bersama 10 rakan pada Jumaat lalu, sebelum ditemukan lemas jam 10 pagi waktu Malaysia semalam.

    “Sebelum itu, saya menerima panggilan daripada keluarga mentua pada jam 11 pagi kelmarin selepas isteri arwah memberitahu ibunya, yang Muhammad Firdaus lemas ketika berkelah bersama rakan yang turut mengorbankan seorang lagi pelajar dari Pattani, Thailand.

    “Kali terakhir saya berjumpa dengan arwah pada tahun lalu ketika majlis perkahwinannya. Selepas itu arwah bersama isteri, Siti Hajar Hassan, 22, kembali semula ke Mesir untuk menyambung pengajian mereka di Al-Azhar dan dijangka menamatkan pengajian pada Oktober depan.

    “Hati ini masih lagi berasa sayu dengan insiden yang menimpa arwah, namun saya tetap kena reda dengan takdir dan Allah SWT sudah pun menetapkan anak kami meninggal dunia dan perlu menerima kenyataan ini walaupun sukar.

    “Bagi memberi penghormatan terakhir kepada arwah, saya dan suami akan berlepas ke Mesir petang ini, namun jenazah akan dikebumikan hari ini.

    “Mungkin kami tidak sempat menatap wajah arwah buat kali terakhir tetapi akan menziarahi pusaranya,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kubang Kerian, di Kota Bharu, hari ini.

    Mengulas lanjut, Siti Azlina berkata, arwah yang juga anak sulung daripada tujuh beradik itu seorang anak yang baik serta peramah dan sentiasa memaklumkan kepada orang tua jika hendak pergi ke mana-mana.

    “Walau bagaimanapun, kali ini arwah tidak memberitahu saya ketika dia mahu pergi berkelah bersama rakan-rakannya sehingga mendapat perkhabaran duka apabila arwah disahkan lemas,” katanya lapor BH Online.

  • 9 terbunuh, 18 cedera nahas jalan raya

    9 terbunuh, 18 cedera nahas jalan raya

    SEMBILAN orang terbunuh manakala 18 lagi cedera pada Sabtu apabila sebuah bas mini terbalik di lebuh raya di wilayah Minya, menurut pihak berkuasa Mesir.

    “Kemalangan berlaku pada awal pagi Sabtu akibat memandu laju hingga tayar bas di bahagian depan pecah dan bas itu terbalik beberapa kali,” kata Gabenor Minya, Osama Al-Qady kepada Xinhua.

    Bas mini yang membawa 27 penumpang, termasuk 13 kanak-kanak itu dalam perjalanan dari wilayah Sohag menuju ke Kaherah.

    Sebanyak 15 ambulans dihantar ke lokasi kejadian manakala 10 daripada 18 penumpang yang cedera dibenarkan keluar hospital.

    Nahas jalan raya di Mesir meragut ribuan nyawa setiap tahun.

    Terdahulu pada Ogos, kemalangan membabitkan bas mini dan trak di Sohag menyebabkan 17 orang maut.

    Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, Mesir telah menaik taraf rangkaian jalan rayanya, membina jalan dan jambatan baharu, serta membaiki jalan lama untuk mengurangkan kadar nahas jalan raya.

    — BERNAMA

  • Salman Rushdie ditikam: Hezbollah enggan ulas

    Salman Rushdie ditikam: Hezbollah enggan ulas

    SEORANG pegawai dari kumpulan bersenjata Lubnan iaitu Hezbollah yang disokong Iran memaklumkan, mereka tiada maklumat tambahan mengenai serangan tikaman terhadap pengarang dan novelis, Salman Rushdie.

    Pegawai yang enggan dikenali itu tidak mahu mengulas sebarang perkembangan mengenai kes berkenaan atas alasan mereka tidak tahu apa-apa, lapor Astro Awani.

    Hezbollah disokong oleh Iran yang pemimpin tertinggi sebelumnya, Ayatollah Khomeini, pada 1988 mengeluarkan fatwa menggesa umat Islam untuk membunuh Rushdie kerana menghina Islam terutama Nabi Muhammad SAW.

    Sementara itu, Datuk Bandar Yaroun, Ali Tehfe, berkata penyerang yang dikenal pasti oleh polis sebagai Hadi Matar, 24, dari New Jersey, adalah warganegara asal Lubnan.

    Keluarga suspek juga berasal dari bandar Yaroun di selatan Lubnan.

    Tehfe berkata, ibu bapanya berhijrah ke Amerika Syarikat (AS) dan Matar dilahirkan serta dibesarkan di sana.

    Ketika ditanya sama ada Matar atau ibu bapanya bergabung dengan atau menyokong Hezbollah, Tehfe berkata dia tiada maklumat mengenai pegangan politik ibu bapa atau Matar kerana mereka tinggal di luar negara.

    Dalam pada itu, akhbar ultra konservatif Iran, Kayhan memuji suspek yang menyerang Rushdie memandangkan ia adalah sasaran fatwa Iran pada 1989.

    Rushdie kini menggunakan ventilator selepas ditikam dalam majlis sastera di New York pada Jumaat selepas lebih 30 tahun bersembunyi.

    Pengarang itu, kini berusia 75 tahun, menjadi tumpuan apabila novel keduanya ‘Midnight’s Children’ pada 1981 mendapat pujian antarabangsa dan hadiah Booker berprestij Britain yang menggambarkan India pasca kemerdekaan.

    Tetapi bukunya pada 1988, ‘The Satanic Verses’ mengubah hidupnya apabila Khomeini mengeluarkan arahan memerintahkan pembunuhannya.

    Pada 1998, kerajaan presiden reformis Iran, Mohammad Khatami, memberi jaminan kepada Britain bahawa Iran tidak akan melaksanakan fatwa itu.

    Tetapi, kata pemimpin tertinggi Ayatollah Ali Khamenei pada 2005, beliau masih percaya Rushdie sudah ‘murtad’, sekali gus pembunuhannya dibenarkan oleh Islam.

  • Cubaan bunuh Salman Rushdie:Suspek mengaku tidak bersalah

    Cubaan bunuh Salman Rushdie:Suspek mengaku tidak bersalah

    LELAKI yang dituduh melakukan serangan terhadap pengarang kontroversi, Salman Rushdie mengaku tidak bersalah di Mahkamah New York, pada Sabtu.

    Hadi Matar, 24, dituduh atas cubaan membunuh dan menyerang Salman di Institut Chautauqua, New York, lapor Astro Awani.

    Matar hadir ke mahkamah dengan memakai jumpsuit hitam putih dan pelitup muka dengan tangannya digari di hadapannya.

    Dalam serangan tersebut, Rushdie mengalami kecederaan serius dalam serangan itu dan masih dirawat di hospital.

    Ketika serangan, Rushdie, 75, bersedia untuk menyampaikan syarahan mengenai kebebasan artistik sebelum Matar bergegas ke atas pentas dan menikam penulis kelahiran India itu.

    Selepas beberapa jam pembedahan, Rushdie menggunakan ventilator dan tidak dapat bercakap dan penulis novel itu berkemungkinan kehilangan mata dan mengalami kerosakan saraf di lengan dan luka di hati.

    Polis berkata mereka masih belum mengetahui motif serangan setakat ini.

  • Penunggang motosikal maut dikelar tali layang-layang

    Penunggang motosikal maut dikelar tali layang-layang

    SEORANG penunggang motosikal di India maut selepas lehernya dikelar tali layang-layang ketika dalam perjalanan bersama isteri dan anaknya dalam perjalanan ke rumah kakaknya untuk menyambut perayaan Rakhi pada Khamis.

    Semasa dalam perjalanan itu, Vipin Kumar, 35, tali bersalut serbuk kaca tajam itu mengenai lehernya di atas jejambat Taman Shastri.

    Susulan kejadian, mangsa yang berlumuran darah dibawa ambulans ke pusat trauma di Civil Lines di mana doktor memaklumkan Vipin telah meninggal dunia.

    Mayat mangsa dibedah siasat dan kes itu sedang disiasat pihak berkuasa, lapor Astro Awani, hari ini.

    Kematian Vipin bukan satu-satunya kes melibatkan tali bersalut kaca di Delhi.

    Pada 2016, dua kanak-kanak dan seorang penunggang motosikal maut selepas leher mereka dikelar tali layang-layang jenis itu pada perayaan Hari Kemerdekaan negara.

    Menurut fakta kes, ketika kejadian, kedua-dua kanak-kanak itu dilapor berdiri dan menjengah keluar melalui bumbung kereta.

    Seorang lagi mangsa, Zafar Khan, 22, sedang menunggang motosikalnya apabila kerongkongnya dikelar, lapor BBC.

    Layang-layang ialah aktiviti popular ketika perayaan di India, namun penggunaan tali jenis itu amat berbahaya kerana ia disalut dengan serbuk kaca untuk menjadikannya lebih tajam dan kuat.

    Tali bersalut kaca yang digunakan untuk permainan layang-layang telah diharamkan di Delhi sejak 2016 susulan beberapa tragedi yang antaranya meragut nyawa.

    Namun, tali murah bersalut serbuk kaca dipercayai dari China itu masih digunakan secara meluas di seluruh negara.

  • Salman Rushdie mungkin buta sebelah mata

    Salman Rushdie mungkin buta sebelah mata

    PENGARANG Salman Rushdie yang cedera selepas diserang dalam satu kejadian di New York kini dilaporkan menggunakan mesin ventilator, tidak boleh bercakap dan berkemungkinan buta sebelah mata, lapor media.

    Pada Jumaat, Salman ditikam dua kali ketika hendak menyampaikan syarahan di Institusi Chautauqua di barat New York, lapor Sputnik.

    “Salman berkemungkinan akan buta sebelah mata; saraf di lengannya putus dan hatinya rosak selepas ditikam,” kata ejen Rushdie Andrew Wylie kepada The New York Times.

    Salman ialah penulis kelahiran India yang terkenal dan memenangi pelbagai hadiah sastera serta pernah mencetuskan kontroversi menerusi buku tulisannya “The Satanic Verses” yang dikatakan menghina Islam.- BERNAMA

  • Salman Rushdie ditikam 15 kali dipentas

    Salman Rushdie ditikam 15 kali dipentas

    PENULIS kontroversi Salman Rushdie, cedera selepas ditikam sebanyak 15 kali termasuk satu mengenai bahagian lehernya oleh seorang lelaki dalam kejadian di Institut Chautauqua, New York, semalam.

    Menurut jurucakap pihak berkuasa, suspek Hadi Matar,24, seorang rakyat tempatan dari Fairfield, New Jersey yang didakwa bersimpati dengan kerajaan Iran.

    Menurut jurucakap Polis New York, Mejar Eugene Staniszewski, suspek meluru ke atas pentas dan menyerang Rushdie serta seorang lagi individu di hadapan penonton.

    Berikutan serangan itu, dia telah mengalami kecederaan di bahagian leher akibat tikaman terbabit.

    Hadi kemudiannya berjaya ditahan orang ramai di lokasi.

    Rushdie, 75, dibawa ke hospital dengan sebuah helikopter sejurus sebelum 11:00 pagi (waktu tempatan), kata Mejar Eugene Staniszewski dari polis negeri New York kepada wartawan.

    Namun Staniszewski tidak memberikan butiran mengenai keadaan penulis kontroversi itu selain dia masih dalam pembedahan.

    Katanya, motif serangan masih tidak jelas.

    Polis berkata, Rushdie ditikam di leher serta perut.

    Rushdie sebelum ini pernah menerima ugutan bunuh kerana penulisan bukunya yang menghina kitab suci Al-Quran.

    Buku kontroversi itu telah diharamkan di beberapa buah negara, termasuk fatwa hukuman bunuh terhadapnya turut dikeluarkan pemimpin Iran, Ayatollah Khomeini pada 1998.