Category: Luar Negara

  • Masjid dibom: 30 maut ketika tunai solat berjemaah

    Masjid dibom: 30 maut ketika tunai solat berjemaah

    LETUPAN kuat di sebuah masjid Kabul, Afghanistan mengorbankan sekurang-kurangnya 30 orang umat Islam yang sedang menunaikan solat Isya’, dan angka kematian dijangka meningkat.

    Lapor Al Jazeera, puluhan jemaah lagi cedera dalam kejadian di Masjid Abu Bakr Siddique di kawasan Khair Khana, Kabul.

    Ulama sufi, Maulvi Amir Mohammad Kabuli dikatakan antara yang terbunuh.

    Namun jumlah rasmi jemaah terbunuh masih belum didedahkan pihak berkuasa.

    Menurut Reuters, sekurang-kurangnya 35 individu cedera atau maut dalam kejadian tersebut.

    Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Itali, Emergency yang mengendalikan sebuah hospital di Kabul berkata, pihaknya menerima 27 mangsa letupan itu, termasuk tiga yang maut.

    Menurut NGO itu, kebanyakan pesakit mengalami kecederaan akibat terkena serpihan dan mengalami lecur.

    Saksi memberitahu, letupan itu dapat didengar sehingga utara Kabul dan memecahkan tingkap beberapa bangunan.

    Insiden itu berlaku hampir seminggu selepas serangan berani mati terhadap ulama utama Taliban di madrasahnya.

    Militan Daish bertanggungjawab atas kejadian itu.

  • Wanita dipenjara 34 tahun kerana ciapan di Twitter

    Wanita dipenjara 34 tahun kerana ciapan di Twitter

    SEORANG wanita dijatuhkan hukuman penjara selama 34 tahun oleh mahkamah Arab Saudi berikutan aktiviti-aktivitinya di Twitternya, menurut dokumen mahkamah yang dilihat oleh AFP pada Rabu.

    Hukuman yang dikeluarkan terhadap wanita tersebut, Salma al-Shehab diputuskan kerana membantu para penentang yang cuba mengganggu ketenteraman awam di negara berkenaan.

    Menurut Sinar Harian yang memetik laporan Agensi,
    dia telah dijatuhkan hukuman oleh Mahkamah Rayuan Arab Saudi pada 9 Ogos lalu, menurut dokumen berkenaan.

    Shehab yang merupakan calon doktor falsafah di Universiti Leeds, Britain dan ibu kepada dua anak juga dilarang ke luar negara selama 34 tahun lagi sebagai sebahagian daripada hukuman itu.

    Dengan kira-kira 2,600 pengikut di Twitter, dia kerap membuat ciapan di Twitter mengenai hak-hak wanita di negara tersebut.

    Hukuman itu dibuat semasa tindakan keras terhadap aktivis hak-hak asasi manusia di negara Teluk yang kaya dengan minyak itu.

    Keputusan tersebut berlaku kurang daripada sebulan selepas Presiden Ametika Syarikat (AS), Joe Biden melawat Arab Saudi.

    Shehab telah ditangkap di Arab Saudi pada Januari 2021 ketika dia sedang bercuti daripada pengajiannya di United Kingdom.

  • Cacar monyet: WHO sahkan jangkitan pertama manusia ke haiwan

    Cacar monyet: WHO sahkan jangkitan pertama manusia ke haiwan

    PERTUBUHAN Kesihatan Sedunia (WHO) menggesa individu dijangkiti cacar monyet agar mengasingkan diri mereka daripada haiwan selepas mengesan jangkitan pertama antara manusia dan haiwan.

    Menurut jurnal perubatan Lancet, kes melibatkan dua lelaki dan anjing baka greyhound mereka di Paris yang dilaporkan minggu lalu.

    Lapor The Guardian, Ketua teknikal tindak balas cacar monyet di WHO, Dr Rosamund Lewis, perkara itu belum pernah dilaporkan sebelum ini dan pihaknya percaya ia adalah kejadian pertama.

    Pakar kesihatan berkata, ia merupakan kes pertama seumpamanya dan menegaskan adalah penting untuk mengasingkan diri daripada haiwan peliharaan yang dijangkiti.

    WHO juga memberi amaran tentang keperluan untuk membuang sampah dengan berhati-hati bagi mengurangkan risiko menjangkiti haiwan lain.

    Bagaimanapun, setakat ini tiada bukti bahawa anjing boleh menularkan penyakit itu kepada anjing lain atau manusia.

    Cacar monyet merebak melalui sentuhan kulit ke kulit dan juga apabila seseorang menyentuh kain seperti pakaian, cadar atau tuala, yang telah digunakan individu dijangkiti virus itu.

    Kira-kira 35,000 kes cacar monyet kini telah disahkan di seluruh dunia dengan kebanyakannya di Eropah dan Amerika Utara dan Selatan dengan 12 kematian yang dikaitkan dengan wabak itu.

    Cacar monyet diisytiharkan sebagai kecemasan kesihatan awam global oleh WHO pada Julai lalu.

    Bekalan vaksin untuk melindungi daripada cacar monyet kini terhad di seluruh dunia.

    Terdapat peningkatan 20 peratus dalam kes yang dilaporkan sepanjang minggu lalu yang juga 20 peratus lebih daripada minggu sebelumnya.

    Kebanyakan kes adalah pada lelaki homoseksual dan pakar kesihatan global menekankan kepentingan untuk semua negara memberi maklumat kepada komuniti ini untuk membantu melindungi kesihatan mereka.

    Isu haiwan yang dijangkiti virus itu perlu dipantau dengan teliti kerana virus ini telah wujud.

    Cacar monyet telah menunjukkan kebolehan untuk menjangkiti pelbagai jenis mamalia termasuk tupai, tikus, monyet dan manusia.

  • Mayat wartawan bebas Mexico ditemukan, petugas media ke-14 dibunuh tahun ini

    Mayat wartawan bebas Mexico ditemukan, petugas media ke-14 dibunuh tahun ini

    MAYAT Juan Arjon Lopez, seorang wartawan bebas,ditemukan di utara Mexico, menjadikan jumlah wartawan dan petugas media yang dibunuh setakat ini pada 2022, kepada 14 orang, kata pegawai pada Selasa.

    Semasa satu sidang media, Peguam Negeri Sonora, Claudia Indira Contreras Cordova berkata Lopez hilang sejak 9 Ogos, lapor Agensi Anadolu.

    “Kami baru menerima maklumat terdapat penemuan yang bertepatan dengan orang yang ditemukan mati dengan maklumat kami mengenai beberapa tatu di badan wartawan itu,” katanya.

    Menurut rakan sekerja dan ahli keluarga Lopez, wartawan portal maklumat A Qué Le Temes yang berusia 62 tahun itu kali terakhir dilihat pada 8 Ogos, dan mereka mula melaporkan kehilangannya melalui media sosial.

    Selepas berita mengenai kehilangan Lopez tersebar luas, pihak berkuasa di Sonora menganjurkan pasukan mencari. Bagaimanapun, pencarian itu tidak rasmi kerana tiada laporan rasmi dibuat.

    Pada 10 Jan, wartawan Jose Luis Gamboa ditemukan mati di negeri Veracruz. Sejak itu, berlaku gelombang pembunuhan yang menjadikan 2022 tahun paling banyak mencatat pembunuhan wartawan.

    Keganasan terhadap pengamal media telah berleluasa dan menjadi sumber kritikan terhadap Presiden Mexico Andres Manuel Lopez Obrador.- BERNAMA

  • Wong jangka ganti PM Singapura tidak lewat 2025

    Wong jangka ganti PM Singapura tidak lewat 2025

    TIMBALAN Perdana Menteri Singapura Lawrence Wong berkata walaupun tiada tarikh ditetapkan untuk beliau menggantikan Perdana Menteri Lee Hsien Loong, ia mungkin tidak lewat daripada 2025 atau lebih awal berdasarkan dua keadaan.

    Wong berkata demikian semasa satu temubual dengan Ketua Pengarang Berita Bloomberg John Micklethwait pada 15 Ogos dan disiarkan oleh media tempatan TODAY, pada Selasa.

    Wong, yang juga Menteri Kewangan, menjawab soalan mengenai jangkaan masa untuk beliau mengambil alih tugas itu daripada Lee.

    “Ia tidak lewat daripada 2025 – mungkin lebih awal,” Wong dipetik berkata demikian sebelum menjelaskan kemungkinan dua keadaan.

    Menurut laporan berita itu, senario pertama menjangkakan Wong mengambil alih jawatan perdana menteri sebelum Pilihan Raya Umum, yang dijadual diadakan selewat-lewatnya November 2025.

    Jika ini berlaku, Wong berkata beliau “pastinya akan mengetuai” People’s Action Party (PAP) dan generasi keempat pemimpin politik, atau pasukan 4G, dalam pilihan raya itu.

    Sebagai alternatif, beliau berkata Lee akan terus memimpin parti dalam pilihan raya akan datang sebagai perdana menteri, dan kemudian melepaskan jawatan kepadanya “jika PAP menang”.

    “Ini adalah pilihannya, tetapi kami masih belum membuat keputusan mengenai tempoh masa sebenar,” kata Wong mengenai peralihan itu.

    Laporan berita itu menyebut temu bual itu turut menyentuh mengenai geopolitik, ekonomi global dan prospek ekonomi Singapura.- BERNAMA

  • Wanita tular curi coklat, pekerja kedai pula kena minta maaf

    Wanita tular curi coklat, pekerja kedai pula kena minta maaf

    SEORANG pekerja wanita di sebuah kedai runcit di Indonesia terpaksa meminta maaf daripada wanita yang ditangkap mencuri coklat di premis perniagaan itu.

    Dalam video yang tular di media sosial baru-baru ini, pekerja kedai Alfamart itu dilihat membaca permohonan maaf sambil diperhatikan suspek bersama peguamnya, lapor Astro Awani.

    “Saya pekerja Alfamart, dan izinkan saya menjelaskan video yang telah tersebar di media sosial.

    “Wujud salah faham di antara kami berdua yang telah merosakkan reputasi Puan Mariana.

    “Saya memohon maaf kepada Puan Mariana kerana menyebarkan video itu,” kata pekerja itu ketika membacakan kenyataan dipercayai disediakan oleh peguam wanita berkenaan.

    Difahamkan suspek berang selepas video kejadian curi membabitkan dirinya tular di media sosial lantas mengupah peguam untuk mendapatkan permohonan maaf secara terbuka daripada pekerja berkenaan.

    Pekerja itu dipercayai bersetuju untuk membuat permohonan maaf selepas peguam suspek mengugutnya dengan Undang-Undang Maklumat Elektronik dan Transaksi kerana menyebarkan maklumat palsu.

    Video tular itu dipercayai dirakam di dalam kedai Alfamart di Cisauk, Tangerang Selatan, di wilayah Banten, pada Sabtu.

    Dalam kejadian yang dirakam CCTV itu, suspek dilihat cuba melarikan diri selepas dipercayai mencuri coklat dan masuk ke dalam kereta sebelum dihalang seorang pekerja kedai.

    Kedua-dua mereka kemudian terlibat dalam pertengkaran mengenai barang yang didakwa tidak dibayar.

    “Biar saya periksa barang-barang itu. Mengapa kamu tidak jujur kepada kami?” kedengaran pekerja itu menjerit kepada suspek.

    Suspek akhirnya bersetuju untuk kembali ke kedai namun tidak dapat dipastikan jika dia membayar harga barang tersebut.

    Susulan kejadian itu, netizen Indonesia tampil meluahkan kemarahan dan menularkan hashtag #Alfamart dan #Ngutil (pencuri) yang seterusnya menjadi trend.

    “Melampau, orang yang ditangkap mencuri boleh pula beri tekanan kepada pekerja Alfamart hanya kerana dia mampu mengupah peguam.

    “Dia tidak meminta maaf. Sebaliknya, pekerja wanita Alfamart itu pula terpaksa berbuat demikian,” kata wartawan kanan Zulfikar Akbar di akaun Twitter.

    Seorang lagi netizen menulis: “Dia boleh membayar peguam berjuta-juta (rupiah) tetapi tidak boleh membayar kurang daripada Rp100,000 untuk bar coklat di Alfamart.”

    Syarikat induk yang memiliki Alfamart, dalam satu kenyataan mengecam video permohonan maaf dipercayai dilakukan secara paksa itu.

    “Pihak pengurusan Alfamart menyokong penuh kakitangan kami yang mengikut siasatan awal telah menjalankan tugasnya mengikut prosedur sedia ada.

    “Kami menentang sebarang percubaan untuk menakut-nakutkan pekerja kami kerana menjalankan tugasnya dengan betul,” kata Solihin, pengarah hal ehwal korporat syarikat itu dalam satu kenyataan video yang disiarkan di akaun Twitter syarikat.

    Beliau berkata syarikat telah melantik peguam terkenal Hotman Paris Hutapea untuk mewakili pekerja itu.

    Polis Tangerang Selatan dalam pada itu mengesahkan menerima aduan kejadian berkenaan pada Isnin.

  • Lori tangki dan bas penumpang bertembung, 20 maut 6 lagi cedera

    Lori tangki dan bas penumpang bertembung, 20 maut 6 lagi cedera

    SEKURANG-kurangnya 20 orang maut dan enam lagi cedera selepas sebuah bas penumpang bertembung dengan sebuah lori tangki minyak berhampiran daerah Jalalpur Pirwala di wilayah Punjab timur Pakistan, lapor media tempatan.

    Menurut laporan, kemalangan di lebuh raya pada awal pagi Selasa itu berlaku apabila kedua-dua kenderaan bertembung dan terbakar, mengakibatkan 18 penumpang maut di tempat kejadian, lapor Xinhua.

    Polis lebuh raya dan pasukan penyelamat tiba di lokasi kejadian dan memulakan operasi menyelamat, kata media tempatan.

    Dalam operasi itu, lapan orang yang cedera dikejarkan ke hospital namun dua daripada mangsa meninggal dunia ketika menerima rawatan, menurut media tempatan, sambil menambah 18 mayat ditemui daripada rangka bas itu.

    Pekerja penyelamat memberitahu media bahawa 26 penumpang bas termasuk pemandu dan konduktor, sedang dalam perjalanan dari Lahore, Punjab ke bandar pelabuhan Karachi di selatan negara itu.

    Kemalangan jalan raya kerap berlaku di Pakistan, terutamanya disebabkan oleh kenderaan yang tidak diselenggara dengan baik, jalan yang rosak serta kecuaian dalam mematuhi amalan keselamatan jalan raya.- BERNAMA

  • Wanita kes kelima cacar monyet Thailand

    Wanita kes kelima cacar monyet Thailand

    SEORANG wanita tempatan berusia 25 tahun disahkan pesakit terbaharu cacar monyet di Thailand, menjadikan jumlah kes setakat ini mencecah lima orang.

    Ketua Pengarah Jabatan Kawalan Penyakit Dr. Opas Karnkawinpong berkata wanita itu mempunyai sejarah perjalanan ke Dubai, Emiriah Arab Bersatu dan dipercayai dijangkiti sebelum tiba di sini.

    “Wanita itu mengalami gejala sebelum tiba di Thailand.

    “Setibanya di Lapangan Terbang Suvarnabhumi, wanita itu dikesan mengalami simptom ketara dan ruam di badannya.

    “Dia kemudiannya dibawa ke hospital. 

    “Ujian makmal mengesahkan wanita itu positif cacar monyet,” katanya.

    Pihak berkuasa kesihatan telah mengenal pasti dua penumpang warga asing yang duduk bersebelahan wanita itu dan telah dikategori sebagai kontak rapat.

    “Pegawai kesihatan sedang mengesan para penumpang itu dalam usaha membendung penularan cacar monyet,” katanya.

    Thailand melaporkan kes pertama cacar monyet melibatkan seorang warga Nigeria berusia 27 tahun di Phuket, pada 18 Julai.

    Bagaimanapun, lelaki itu melarikan diri selepas dimaklumkan keputusan ujiannya. 

    Dia kemudiannya ditemui di Phnom Penh dan dirawat di hospital.- BERNAMA

  • Saman hospital, doktor atas kematian ibu diserang sakit jantung

    Saman hospital, doktor atas kematian ibu diserang sakit jantung

    ANAK lelaki kepada seorang wanita berusia 74 tahun yang meninggal dunia selepas mengalami serangan jantung di Hospital Tan Tock Seng (TTSH) di Singapura memfailkan tuntutan sebanyak S$800,000 dolar Singapura (RM2.59 juta) terhadap hospital itu dan tiga doktornya.

    Beritamediacorp melaporkan, perbicaraan di Mahkamah Tinggi yang bermula hari ini akan meneliti sama ada kecuaian dari segi perubatan menjadi punca kematian Tan Yaw Lan.

    Plaintif Chia Soo Kiang, 47 tahun, diwakili Clarence Lun dan Cheston Ow dari syarikat guaman Fervent Chambers.

    Menurut kes beliau, kecuaian pihak defendan semasa membuat diagnosis dan memberikan rawatan perubatan menyebabkan Cik Tan mengalami serangan jantung pada 23 April 2018.

    Tan rebah selepas dimandikan oleh seorang jururawat latihan amali pada hari itu. Mendiang kemudian koma.

    Keadaannya bertambah buruk dan mendiang meninggal dunia akibat penyakit jantung iskemik dan radang paru-paru pada 13 Mei 2018.

    Selain TTSH, tuntutan juga dibuat terhadap Dr Dorai Raj D Appadorai iaitu doktor tunggu sedia ketika Tan dimasukkan ke wad dan juga Dr Lee Wei Sheng serta Dr Ranjana Acharya yang memberikan maklum balas tentang keadaan Tan pada pagi selepas mendiang dimasukkan ke wad.

    Hospital dan para doktor tersebut diwakili oleh sepasukan peguam dari Dentons Rodyk & Davidson yang diketuai oleh Mar Seow Hwei.

    Seorang pegawai perkhidmatan awam, Chia adalah orang pertama memberi keterangan di mahkamah hari ini.

    Menurut laporan sejarah perubatan yang diperolehi daripada April 2018, Tan mengalami masalah kesihatan termasuk kencing manis, tekanan darah tinggi, kegagalan jantung, penyakit jantung iskemik, sakit buah pinggang kronik dan anemia.

    Perbicaraan itu diteruskan di hadapan Hakim Choo Han Teck esok.

  • Ditembak askar rejim di kepala, pemuda Palestin dibiarkan maut tanpa bantuan

    Ditembak askar rejim di kepala, pemuda Palestin dibiarkan maut tanpa bantuan

    SEORANG pemuda Palestin maut selepas ditembak pasukan keselamatan rejim Zionis pada bahagian kepala dalam satu kejadian di bandar Kafr Aqab di utara Baitulmuqaddis hari ini.

    Agensi berita Palestin, WAFA melaporkan, Mohammad Ibrahim al-Hasham, 21, meninggal dunia akibat luka tembakan selepas polis menceroboh kediamannya kira-kira pukul 3 pagi.

    Bapa mangsa, Ibrahim berkata, pasukan tentera khas rejim memecah masuk rumah mereka selepas pukul 3 pagi dan terus menembak anaknya semasa dia keluar dari bilik untuk melihat kekecohan yang berlaku.

    Katanya, dia terus berlari ke biliknya ketika anaknya ditembak pada bahagian kepala dari jarak dekat.

    “Tentera membiarkan anak saya berdarah selama 40 minit sebelum membawanya pergi.

    “Kami tidak tahu ke mana mereka membawa Hasham dan keadaannya selepas itu,” katanya.

    Tentera Israel kemudian menyatakan Shaham telah meninggal dunia akibat luka dialaminya.

    Sementara itu, polis Israel mendakwa rakyat Palestin itu cuba menyerang seorang pegawainya sebelum dia ditembak.

    Polis Israel melancarkan operasi mengesan di bandar Kafr Aqab dan menyerbu sebuah rumah kerana penghuninya disyaki memiliki senjata.