SEORANG pemuda Palestin maut selepas ditembak pasukan keselamatan rejim Zionis pada bahagian kepala dalam satu kejadian di bandar Kafr Aqab di utara Baitulmuqaddis hari ini.

Agensi berita Palestin, WAFA melaporkan, Mohammad Ibrahim al-Hasham, 21, meninggal dunia akibat luka tembakan selepas polis menceroboh kediamannya kira-kira pukul 3 pagi.

Bapa mangsa, Ibrahim berkata, pasukan tentera khas rejim memecah masuk rumah mereka selepas pukul 3 pagi dan terus menembak anaknya semasa dia keluar dari bilik untuk melihat kekecohan yang berlaku.

Katanya, dia terus berlari ke biliknya ketika anaknya ditembak pada bahagian kepala dari jarak dekat.

“Tentera membiarkan anak saya berdarah selama 40 minit sebelum membawanya pergi.

“Kami tidak tahu ke mana mereka membawa Hasham dan keadaannya selepas itu,” katanya.

Tentera Israel kemudian menyatakan Shaham telah meninggal dunia akibat luka dialaminya.

Sementara itu, polis Israel mendakwa rakyat Palestin itu cuba menyerang seorang pegawainya sebelum dia ditembak.

Polis Israel melancarkan operasi mengesan di bandar Kafr Aqab dan menyerbu sebuah rumah kerana penghuninya disyaki memiliki senjata.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here