Category: Luar Negara

  • Ahli Parlimen Australia berucap guna bahasa Melayu, Mandarin

    Ahli Parlimen Australia berucap guna bahasa Melayu, Mandarin

    AHLI Parlimen Australia kelahiran Malaysia, Sam Lim menarik perhatian ramai apabila membuat ucapan sulungnya di Parlimen negara itu menggunakan bahasa Melayu dan Cina.

    Anak kelahiran Kampung Parit Zin, Muar, Johor, berusia 61 tahun itu mewakili Parti Buruh dilantik sebagai ahli Parlimen selepas memenangi kerusi Perth di Tangney pada pilihan raya umum Australia, baru-baru ini.

    Ketika berucap, Sam merakamkan ucapan terima kasih kepada rakyat Australia dan Malaysia yang menyokongnya sepanjang proses pilihan raya berlangsung.

    “Kepada semua saudara-saudara yang berada di Malaysia, Australia dan seluruh pelusuk dunia, terima kasih atas semua perhatian dan berkat yang telah anda sekalian berikan kepada saya.

    “Terima kasih atas semua dokongan dan bantuan anda semasa pilihan raya di Australia. Terima kasih semua,” kata beliau memetik laporan Sinar Harian, hari ini.

    Perkara itu dikongsikan Pembantu Menteri Hal Ehwal Luar Australia, Tim Watts menerusi video yang dimuat naik dalam Twitter hari ini.

    Pada pilihan raya umum Australia, Mei lalu, kemenangan Parti Buruh mendapat perhatian apabila dua calonnya, Sam Lim dan Penny Wong merupakan kelahiran Malaysia.

    Lim berhijrah ke negara itu pada 2002 manakala Penny Wong yang dilantik sebagai menteri luar berpindah ke negara itu pada 1976.

    Sebagai rekod, Sam merupakan bekas anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebelum berkhidmat sebagai pegawai polis di Australia Barat.

  • Duat maut, 10 hilang Taufan Hinnamnor badai Korea Selatan

    Duat maut, 10 hilang Taufan Hinnamnor badai Korea Selatan

    DUA orang ditemui mati, manakala 10 lagi hilang selepas Taufan Hinnamnor melanda Korea Selatan, menurut ibu pejabat pusat bencana dan keselamatan kebangsaan pada Selasa.

    Taufan Hinnamnor merupakan taufan yang ke-11 melanda negara itu pada tahun ini, dan kebanyakan mangsa dilaporkan berasal dari tenggara, lapor Xinhua.

    Seorang wanita berusia 70-an ditemui mati di Pohang, kira-kira 270 kilometer dari tenggara ibu kota Seoul, selepas dia dipercayai dihanyutkan air deras.

    Sementara itu, lapan orang dilaporkan hilang selepas cuba mengalihkan kenderaan mereka di tempat letak kereta bawah tanah di Pohang.

    Seorang lagi wanita berusia 80-an dijumpai mati tertimbus dalam runtuhan di Gyeongju, kira-kira 280 km tenggara Seoul.

    Di Ulsan, kira-kira 310 km tenggara Seoul, seorang lelaki berusia 25 tahun hilang selepas terjatuh ke dalam sungai.

    Setakat ini, lapan bangunan komersial dan 71 kediaman dinaiki air di seluruh negara, manakala empat rumah musnah. 

    Lapan kejadian tanah runtuh dilaporkan setakat ini, dan lebih 200 kemudahan awam rosak. 

    Lima bot nelayan karam, dan 1,320 hektar tanah ladang ditenggelami air selepas taufan itu.

    Lebih 66,000 kediaman mengalami gangguan bekalan elektrik, manakala lebih 2,900 orang, kebanyakannya tinggal di wilayah tenggara, telah dipindahkan buat sementara waktu.- BERNAMA

  • Diserang strok ketika baca berita secara langsung

    Diserang strok ketika baca berita secara langsung

    SEORANG pembaca berita dari Oklahoma, Amerika Syarikat (AS) mendedahkan dia diserang strok ringan ketika sedang bersiaran langsung di televisyen.

    Sebaik menyedari keadaannya itu, Julie Chin yang bekerja di stesen televisyen KJRH di Tulsa segera dikejarkan ke hospital berhampiran pada Sabtu lalu selepas berdepan kesukaran membaca berita menerusi telepanduan di hadapannya.

    Memetik laporan portal New York Post, Chin memberitahu, doktor memaklumkan dia mula diserang strok pada sebelah pagi Sabtu semasa sedang bersiaran langsung.

    “Sebahagian penonton mungkin perasan sedikit kejanggalan namun saya minta maaf ia berlaku.

    “Insiden itu nampaknya tidak menunjukkan sebarang petanda.Saya rasa bagus sebelum bersiaran.

    “Pada awalnya, saya kehilangan penglihatan sebelah mata yang mula kabur selain tangan dan lengan mula terasa kebas.

    “Saya mula sedar berada dalam masalah besar bila tiada perkataan dapat dilontarkan dari mulut,” katanya.

    Ketika kejadian, Chin sedang melaporkan berita kegagalan NASA melancarkan roketnyahingga dia keliru dan mula mengulangi ayat yang sama.

    Chin kini sedang dalam proses menerima rawatan memberitahu, dia bersyukur kerana kejadian itu disedari rakan sekerjanya yang pantas menghubungi ambulans.

  • Angka penduduk Pakistan terbunuh akibat banjir cecah 1,325

    Angka penduduk Pakistan terbunuh akibat banjir cecah 1,325

    ANGKA korban akibat banjir di Pakistan mencecah 1,325, dengan 11 lagi kematian direkodkan dalam tempoh 24 jam lalu, menurut agensi bencana negara itu pada Isnin.

    Kesemua 11 mangsa yang terkorban berasal dari wilayah selatan Sindh, dengan kejadian banjir terbaharu menenggelamkan lebih banyak kawasan dalam tempoh 48 jam, lapor Agensi Anadolu.

    Sejak 14 Jun, seramai 289 orang maut di Khyber Pakhtunkhwa, diikuti 260 terkorban di Balochistan, manakala 189 orang maut di wilayah timur laut Punjab, menurut Pihak Berkuasa Pengurusan Bencana Negara (NDMA).

    Seramai 12,703 orang dilaporkan cedera akibat hujan dan banjir melanda seluruh negara sejak 14 Jun. 

    Beribu-ribu lagi mangsa banjir telah dipindahkan dari pelbagai kawasan di daerah Jamshoro dan Dadu di Sindh.

    Rakaman oleh stesen penyiaran tempatan memaparkan rumah, masjid, sekolah, dan bangunan lain ditenggelami banjir lumpur.

    Perkhidmatan kereta api di kawasan dilanda banjir dan seluruh negara dihentikan selama 10 hari lagi kerana banjir telah menenggelamkan beberapa kawasan landasan kereta api.

    Lebuhraya Indus utama juga masih ditenggelami air di kebanyakan tempat, dengan ratusan kenderaan beratur menunggu jalan dibuka semula.

    Berpuluh ribu penduduk masih terkandas di berpuluh-puluh kawasan yang dilanda banjir di saat pesawat angkatan tentera terus membantu membawa mereka yang terperangkap di wilayah Sindh, Punjab dan Balochistan.

    Beratus-ratus ribu mangsa banjir turut bergelut dengan wabak besar-besaran seperti penyakit bawaan air, penyakit mata dan kulit, hingga mencetuskan kebimbangan lebih banyak mangsa yang terkorban kerana sistem penjagaan kesihatan negara sedang bergelut merawat pelbagai penyakit di keempat-empat wilayah.

    Terpaksa bersesak dalam khemah dan sekolah, beribu-ribu mangsa  terdedah kepada cirit-birit, gastrousus, denggi, malaria dan penyakit lain akibat air yang tercemar dan tahap kebersihan yang rendah.

    Banjir dicetuskan oleh hujan lebat telah menenggelamkan satu pertiga negara itu, mendorong kerajaan memohon bantuan antarabangsa.- BERNAMA

  • Jepun belanja lebih RM53 juta kos pengebumian negara Abe

    Jepun belanja lebih RM53 juta kos pengebumian negara Abe

    JEPUN dianggarkan membelanjakan sebanyak 1.65 billion yen (RM53 juta) akan dibelanjakan oleh kerajaan Jepun untuk istiadat pengebumian negara bekas Perdana Menteri, Shinzo Abe.

    Portal berita CNA dalam laporannya yang dipetik Astro Awani melaporkan, anggaran terbaharu yang dikeluarkan hari ini oleh kerajaan itu turut merangkumi kos kawalan keselamatan dan jamuan.

    Awal Ogos lalu, kerajaan Jepun meluluskan bajet sebanyak sebanyak 250 juta yen (RM8 juta) untuk kos istiadat pengebumian negara, namun, kelulusan itu mengundang kritikan dan dianggap tidak realistik.

    Dalam masa sama, kerajaan negara itu mengeluarkan perincian perbelanjaan merangkumi kos keselamatan mencecah 800 juta yen(RM25 juta).

    Selain itu kata Ketua Setiausaha Kabinet, Hirokazu Matsuno, jumlah pembiayaan untuk delegasi asing dianggarkan sebanyak 600 juta yen (RM19 juta).

    “Jika kami diperlukan merumuskan anggaran kos, saya fikir jumlah berkenaan menghampiri apa yang disebut oleh anda,” kata Hirokazu sebagai menjawab soalan media apakah kos pengebumian negara itu mencecah 1.7 bilion yen (RM54 juta).

    Meskipun mendiang memegang jawatan sebagai sebagai Perdana Menteri Jepun paling lama, istiadat ini mengundang kritikan daripada pembayar cukai berikutan pendedahan tentang kaitan mendiang dengan pemerintah lain dalam isu Gereja Penyatuan yang kontroversi.

    Dianggarkan sekitar 6,000 tetamu termasuk pemimpin dari seluruh dunia dijangka hadir pada ucapara pengebumian negara itu.
    Istiadat berkenaan dijangka diadakan di Dewan Budokan Nippon, Tokyo pada 27 September ini.

    Tinjauan oleh akhbar Yomiuri yang dijalankan awal bulan ini menunjukkan 56 peratus responden tidak bersetuju dengan istiadat ini manakala 38 peratus menyokong.

    Abe, 67, ditembak pada 8 Julai lalu di bandar Nara, Jepun semasa berucap dalam kempen pilihan raya.

    Pembunuhnya, Tetsuya Yamagami, mendekati ahli politik itu dari belakang dan melepaskan dua das tembakan dari jarak kira-kira 10 meter (33 kaki). Abe yang dikejarkan ke hospital dalam keadaan kritikal, disahkan meninggal dunia di Hospital Universiti Perubatan.

  • Kes rasuah kapal tentera laut AS: Ahli perniagaan Malaysia lari tahanan rumah

    Kes rasuah kapal tentera laut AS: Ahli perniagaan Malaysia lari tahanan rumah

    SEORANG ahli perniagaan Malaysia yang terlibat dengan skandal rasuah besar Tentera Laut Amerika Syarikat (AS) telah melarikan diri dari tahanan rumah menjelang keputusan mahkamah untuk memotong gelang kaki pemantauannya.

    San Diego Union-Tribune dalam laporannya yang dipetik Astro Awani melaporkan, Leonard Glenn Francis, lebih dikenali sebagai ‘Fat Leonard’, melarikan diri dengan memotong gelang kaki GPSnya pada Ahad tanpa kebenaran.

    Pemeriksan pihak polis turut mendapati rumahnya telah dikosongkan, laporan memetik Timbalan Penyelia Marsyal AS Omar Castillo, semalam.

    Francis didakwa apabila memberikan wang tunai kepada pegawai Tentera Laut, makanan gourmet, cerut mahal, arak mewah dan pesta seks liar di hotel mewah, sebagai ganjaran pertukaran kontrak.

    Penguatkuasaan undang-undang tempatan dan Perkhidmatan Penyiasatan Jenayah Tentera Laut AS sedang menggiatkan usaha memburu Francis.

    Jiran Francis melaporkan mereka ternampak trak bergerak masuk dan keluar dari rumahnya sejak beberapa hari lalu.

    Leonard, yang telah bekerjasama dengan penyiasat Ameriaka, dibebaskan dengan cuti perubatan dan telah berada di bawah tahanan rumah dan sepatutnya dijatuhkan hukuman pada 22 September.

    Pada 2015, Leonard mengaku bersalah merasuah pegawai Tentera Laut sebagai sebahagian daripada skim rasuah dan penipuan meluas yang melibatkan syarikatnya Glenn Defence Marine Asia yang berpangkalan di Singapura, yang memberi perkhidmatan kepada kapal di Armada Pasifik Tentera Laut.

    Jabatan Kehakiman Amerika menggelar skim itu sebagai penipuan besar melibatkan puluhan juta dolar yang merugikan Tentera Laut AS sekali gus melibatkan pertuduhan terhadap lebih 30 orang.

    Kebanyakannya mengaku bersalah atau disabitkan kesalahan ketika perbicaraan.

  • Penduduk tidak tidur lena, seorang suspek tikam di Kanada masih bebas

    Penduduk tidak tidur lena, seorang suspek tikam di Kanada masih bebas

    DAMIEN Sanderson, seorang daripada suspek dalam kejadian serangan tikam secara rambang yang mengakibatkan 10 penduduk maut manakala 18 lagi cedera di Saskatchewan, Kanada ditemukan mati semalam.

    Menurut polis, mayat suspek ditemukan di kawasan berumput tebal berdekatan sebuah rumah di James Smith Cree Nation.

    Jurucakap polis Kanada, Rhonda Blackmore berkata, Damien 31, ditemukan dengan kesan luka yang dipercayai bukan disebabkan diri sendiri.

    Katanya, beliau percaya adik suspek, Myles turut cedera dan dipercayai masih boleh mendatangkan bahaya kepada orang awam.

    Menurutnya, Myles mempunyai rekod jenayah lampau yang banyak melibatkan individu dan harta benda.

    Beliau menasihatkan orang ramai agar tidak mendekati suspek jika melihatnya.

    Damien dan Myles disyaki membunuh 10 mangsa dan mencederakan 18 yang lain dalam insiden tikaman di komuniti orang asli pada Ahad.

    Mangsa termasuk seorang ibu kepada dua anak, duda berusia 77 tahun dan pegawai perubatan.

    Dengan perkembangan terbaharu ini, jumlah kematian insiden itu meningkat kepada 11 dengan 19 cedera.

  • 46 maut, 16 hilang gempa 6.6 magnitud gegar China

    46 maut, 16 hilang gempa 6.6 magnitud gegar China

    SEKURANG-kurangnya 46 orang dilaporkan terbunuh manakala 16 lagi hilang dalam kejadian gempa bumi berukuran magnitud 6.6 yang melanda barat daya China, semalam.

    Menurut media tempatan, gempa pada pukul 1 petang waktu tempatan pada kedalaman 10 kilometer menggegarkan wilayah Sichuan.

    Impak kejadian turut menyebabkan batu dan tanah jatuh dari lereng gunung menyebabkan kerosakan pada rumah dan gangguan bekalan elektrik.

    Kira-kira 21 juta penduduk di bandar Chengdu Sichuan minggu lalu diletakan di bawah perintah berkurung COVID-19.

    Lapor BBC, gempa itu berpusat di Luding, sebuah pekan terpencil di kawasan pergunungan kira-kira 226 kilometer dari Chengdu.

    Media tempatan melaporkan 17 kematian dicatatkan di bandar Ya’an manakala 29 lagi di kawasan berhampiran wilayah Ganzi.

    “16 lagi penduduk hilang dan 50 lagi cedera,” kata stesen CCTV malam tadi.

    Sementara itu, khemah dibangunkan untuk lebih 50,000 orang yang dipindahkan dari kediaman masing-masing kerana didapati tidak selamat akibat gempa bumi.

    Gempa bumi dan penutupan susulan gelombang haba dan kemarau menyebabkan bekalan air dan elektrik terputus memandangkan Sichuan bergantung kepada kuasa hidro.

    Bencana gempa bumi terburuk dialami China adalah 7.9 magnitud pada 2008 yang mengorbankan hampir 90,000 orang di Sichuan.

    Gegaran itu memusnahkan bandar, sekolah dan komuniti luar bandar di luar Chengdu, yang membawa kepada usaha selama bertahun-tahun untuk membina semula dengan menggunakan bahan yang lebih tahan.

  • Liz Truss Perdana Menteri UK baharu, ganti Boris Johnson

    Liz Truss Perdana Menteri UK baharu, ganti Boris Johnson

    SETIAUSAHA Luar Britain Liz Truss dipilih menjadi Perdana Menteri baharu United Kingdom (UK), umum Jawatankuasa Parti Konservatif 1922 pada Isnin.

    Truss, 46, memperoleh 81,326 undi manakala pencabarnya Rishi Sunak sekadar mendapat 60,399 undi, menurut pengerusi jawatankuasa itu, Sir Graham Brady.

    Beliau akan menggantikan Boris Johnson sekali gus menjadi perdana menteri wanita ketiga UK selepas Margaret Thatcher dan Theresa May, lapor Agensi Anadolu.

    Truss dijangka menerima watikah untuk membentuk kerajaan baharu daripada Ratu Elizabeth II pada Selasa.- BERNAMA

  • Permainan gergasi terhempas, 16 cedera termasuk kanak-kanak

    Permainan gergasi terhempas, 16 cedera termasuk kanak-kanak

    SEKURANG-kurangnya 16 orang termasuk kanak-kanak cedera selepas permainan ‘Joyride’ gergasi dinaiki mereka terhempas dalam satu kejadian di sebuah taman tema di Fasa 8 Dusshera, Mohali dekat India semalam.

    Media melaporkan mangsa jatuh pada ketinggian kira-kira 50 meter dari menara berkenaan.

    Telegraph India melaporkan, polis segera bergegas ke lokasi kejadian sejurus dimaklumkan kejadian itu

    Menurut polis, mangsa yang cedera dimasukkan ke hospital awam di Fasa Enam, Mohali untuk rawatan.

    Kawasan taman tema itu padat pengunjung yang meraikan pesta ‘London Bridge’ yang sepatutnya berakhir pada 31 Ogos lalu, tetapi dilanjutkan sehingga 11 September.

    Menurut laporan Hindustan Times, penganjur pesta berkenaan, akan menyiasat punca kejadian dan akan bekerjasama dengan polis serta pihak berkuasa tempatan.

    Kejadian itu dipercayai berpunca daripada masalah teknikal kerana ia pertama kali berlaku selepas beberapa penganjuran serupa di beberapa pesta.