Category: Luar Negara

  • Remaja 13 tahun bunuh rakan kerana enggan belajar di madrasah

    Remaja 13 tahun bunuh rakan kerana enggan belajar di madrasah

    SEORANG remaja berusia 13 tahun ditahan polis selepas didakwa membunuh rakannya kerana enggan belajar di sebuah madrasah.

    Kejadian yang berlaku di sebuah madrasah di daerah Nuh, India dilaporkan selepas mangsa dikesan hilang selama dua hari.

    Menurut Astro Awani yang memetik laporan The Indian Express, mayat pelajar berusia 11 tahun itu ditemui ditanam di aras bawah masjid di sekolah pengajian agama berkenaan pada Isnin lalu.

    Pegawai polis Varun Singla memaklumkan, suspek bertindak demikian dengan harapan pusat pengajian itu ditutup dan semua pelajar dibenarkan pulang ke rumah.

    “Remaja itu berpendapat apabila jasad ditemui, semua pelajar diarah pulang agar tidak menganggu siasatan pihak polis… bahkan suspek juga sudah mengemas pakaian dan bersedia untuk pulang,” kata Singla.

    Namun begitu, sebaik bapanya tiba di madrasah itu selepas mendengar berita kematian tersebut, dia menolak untuk membawa pulang anaknya, sebaliknya, meminta anak lelakinya itu untuk terus tinggal dan memberi perhatian pada pembelajaran, kata Singla.

    Segalanya terbongkar sewaktu proses siasatan dijalankan, remaja berkenaan mula gementar dan mengaku kepada pihak polis dua hari kemudian.

    Difahamkan, ini bukan kali pertama cubaannya untuk lari dari madrasah itu.

    Sebelum ini, dia pernah melarikan diri sebanyak dua kali namun dihantar semula ke sana.

  • Wanita Malaysia diculik ‘kekasih’ dalam talian diselamatkan polis Filipina

    Wanita Malaysia diculik ‘kekasih’ dalam talian diselamatkan polis Filipina

    PERTEMUAN seorang wanita Malaysia dengan ‘kekasih’ dalam taliannya bertukar menjadi mimpi ngeri apabila lelaki itu sebaliknya menculik dan meminta wang tebusan lebih RM23,000 daripada keluarganya.

    Free Malaysia Today yang memetik laporan Manila Bulletin melaporkan, wanita itu yang identitinya tidak didedahkan, berkenalan dengan lelaki yang dikenali sebagai “Jerry” melalui aplikasi janji temu dan terbang ke Filipina pada Isnin lepas untuk menemuinya.

    Ketua Polis Filipina Rodolfo Azurin berkata, mangsa dibawa “Jerry” dari lapangan terbang ke Carmona di Cavite, sebuah wilayah di Luzon, di mana dia ditahan,

    Katanya, mangsa kemudian dipaksa menghantar mesej kepada keluarganya di Malaysia untuk meminta wang tebusan kira-kira 300,000 peso (RM23,760) agar dia dibebaskan.

    Tanpa disedari penculik, mangsa menghantar gambaran “Jerry” dan seorang lagi lelaki serta kenderaan yang mereka gunakan ketika menjemputnya di lapangan terbang.

    Berdasarkan maklumat itu, polis Filipina melancarkan operasi menyelamat bagi membebaskan mangsa dan menahan dua suspek, seorang daripadanya ialah rakyat Malaysia.

    Dua suspek itu dibawa ke Ibu Pejabat Polis Filipina di bandar Quezon.

  • Ular terperangkap dalam telinga wanita, enggan keluar tular

    Ular terperangkap dalam telinga wanita, enggan keluar tular

    SEBUAH video tular di internet merakamkan insiden seekor ular berwarna kuning terperangkap dalam telinga seorang wanita.

    Video yang tular di Facebook itu bagaimanapun tidak mendedahkan lokasi kejadian dan ia dipercayai berlaku di India.

    Berdasarkan rakaman, kelihatan ular berwarna kuning yang masih hidup beberapa kali membukakan mulutnya ketika tersekat pada lubang telinga wanita itu.

    Pada masa sama, seorang pengamal perubatan dirakam cuba mengeluarkan reptilia berkenaan ketika wanita berkenaan menunjukkan reaksi sedang menahan kesakitan.

    Namun usaha doktor itu menarik keluar ular terbabit dengan menggunakan sepit kecil berdepan kesukaran walaupun sudah menggunakan cecair kimia khas.

    Memburukkan keadaan, ular itu memilih untuk masuk semula badannya ke dalam telinga wanita malang itu.

    Bagaimanapun video itu berakhir tanpa memaklumkan dan menyatakan nasib wanita berkenaan.

  • Pemandu bas ditahan rogol kanak-kanak 3 tahun

    Pemandu bas ditahan rogol kanak-kanak 3 tahun

    SEORANG pemandu bas sekolah ditahan selepas didakwa merogol seorang kanak-kanak tiga tahun dalam sebuah bas sekolah di bandar Bhopal, India.

    Menurut Astro Awani yang memetik laporan NDTV, pemandu bas dan seorang lagi pembantu yang turut berada di dalam bas itu kini ditahan pihak berkuasa.

    Menteri Dalam Negeri Madhya Pradesh, Narottam Mishra memaklumkan siasatan terhadap pihak pengurusan sekolah kanak-kanak itu sedang dijalankan atas dakwaan cuba menyembunyikan kes ini.

    Perkara itu disedari ibu kanak-kanak berkenaan selepas berasa curiga pakaian anaknya bertukar manakala pakaian lama diletakkan dalam beg.

    Wanita itu kemudian bertanya guru sekolah dan pengurusan tadika tetapi mereka menafikan perkara itu.

    Segalanya terbongkar selepas kanak-kanak itu mengadu sakit pada bahagian kemaluan dan menceritakan apa yang berlaku kepadanya.

    Kes disiasat di bawah Kanun Keseksaan Seksyen 376-AB (rogol kanak-kanak perempuan di bawah umur 12 tahun) dan Akta Perlindungan Kanak-Kanak India daripada Kesalahan Seksual (POCSO).

  • Bangunan empat tingkat runtuh, 5 maut 14 cedera

    Bangunan empat tingkat runtuh, 5 maut 14 cedera

    SEBUAH bangunan empat tingkat di ibu negara Jordan, Amman runtuh membunuh lima orang manakala 14 lagi cedera, semalam.

    Jurucakap pasukan keselamatan, Amer al-Sartawi berkata, angka kematian dalam tragedi runtuhan bangunan di daerah Weibdeh meningkat kepada lima orang manakala 14 lagi cedera.

    Terdahulu beliau menyatakan bahawa usaha mencari menyelamat masih berlangsung melibatkan pasukan pertahanan awam disokong pasukan dari pusat pemerintah wilayah dan polis.

    Bangunan itu dikenali kerana kafe, bar dan venue kesenian serta terkenal dalam kalangan ekspatriat.

    Menurut sumber jabatan pertahanan awam, masih terdapat sejumlah individu terperangkap dalam runtuhan itu tanpa menyatakan angka sebenar.

    Bagaimanapun Menteri Hal Ehwal Media, Faisal Shuboul berkata, masih tidak jelas punca bangunan itu runtuh.

    “Perdana Menteri, Bisher al-Khasawneh sudah mengarahkan Datuk Bandar Amman dan pegawai mencari punca runtuhan bangunan itu,” katanya.

  • Lelaki dakwa buat umrah untuk Ratu Elizabeth II ditahan

    Lelaki dakwa buat umrah untuk Ratu Elizabeth II ditahan

    SEORANG lelaki yang mendakwa datang ke Mekah untuk menunaikan umrah bagi pihak mendian Ratu Elizabeth II ditahan oleh pihak berkuasa Arab Saudi.

    Media tempatan melaporkan pihak berkuasa Masjidil Haram menahan warga Yaman itu yang dalam klio video memaparkan dia memegang  kain rentang’ tertulis ‘Umrah untuk roh Ratu Elizabeth II, kami memohon Tuhan menerimanya ke dalam syurga dan dalam kalangan orang beriman’.

    Video itu tular dalam media sosial di Arab Saudi dan netizen mendesak pihak berkuasa bertindak ke atas lelaki itu yang dianggap melampau.

    Dalam satu kenyataan pihak berkuasa Arab Saudi memaklumkan, lelaki itu ditahan dan diserahkan kepada pendakwa raya untuk tindakan undang-undang.

    Arab Saudi melarang jemaah yang tiba ke Mekah membawa kain rentang atau melaungkan slogan.

    Meskipun amalan menunaikan umrah bagi pihak individu yang meninggal dunia ada dalam Islam, ia tidak merangkumi individu bukan Islam seperti mendiang Ratu, yang juga gabenor tertinggi Gereja England, gereja tertinggi bagi penganut Anglican seluruh dunia.

    Ratu Elizabeth II mangkat pada usia 96 tahun Khamis lalu, dan majlis pemakaman monarki Britain paling lama bertakhta dalam sejarah negara itu dijadualkan pada Isnin depan. – AFP

  • ‘Squid Game’ menang pengarah, pelakon drama bersiri terbaik di Emmys

    ‘Squid Game’ menang pengarah, pelakon drama bersiri terbaik di Emmys

    DRAMA survival yang menjadi fenomena di Korea Selatan “Squid Game” menjadi drama bukan bahasa Inggeris pertama memenangi anugerah pelakon dan pengarah terbaik bagi kategori drama bersiri di Anugerah Primetime Emmy, lapor Agensi Berita Yonhap.

    Penerbit, pengarah dan penulis skrip ‘Squid Game’ Hwang Dong Hyuk, membawa pulang hadiah Pengarah dan Penulisan Cemerlang untuk episod pertama siri Netflix, “Red Light, Green Light”, pada Edisi ke-74 anugerah berprestij di Teater Microsoft di Los Angeles pada Isnin.

    Beliau bersaing dengan Mark Mylod, Cathy Yan dan Lorene Scafaria dari “Succession”, Ben Stiller dari “Severance”, Jason Bateman dari “Ozark” dan Karyn Kusama dari “Yellowjackets.”

    Ini adalah kali pertama siri TV bukan Inggeris memenangi Emmy, penghormatan yang paling didambakan dalam industri TV Amerika Syarikat.

    Hwang mengucapkan terima kasih kepada platform penstriman global Netflix kerana memberi ruang terhadap siri rancangannya mengakses pasaran global.

    “Saya benar-benar berharap ‘Squid Game’ bukan siri bahasa Inggeris terakhir saya untuk dicalonkan di Emmys, dan saya juga berharap ini juga bukan kemenangan terakhir saya.”

    Pelakon utama Lee Jung Jae turut memenangi kategori Pelakon Utama Dalam Siri Drama, menewaskan Jason Bateman daripada “Ozark”, Brian Cox dan Jeremy Strong daripada “Succession”, Bob Odenkirk daripada “Better Call Saul” dan Adam Scott daripada “Severance.”

    Secara keseluruhan, “Squid Game” telah memperoleh enam gelaran Emmy: dua kemenangan pada Isnin dan empat di Emmy Seni Kreatif yang diadakan minggu lepas.

    Filem yang boleh diakses menggunakan platform Netflix itu memperoleh 14 pencalonan di Emmys tahun ini.

    Ia adalah siri asal paling popular Netflix pernah ditonton, dengan jumlah tontonan sebanyak 1.65 bilion jam dicatatkan pada empat minggu pertama. 

    Musim kedua ‘Squid Game’ kini dalam penggambaran.- BERNAMA

  • Lelaki Saudi dakwa sudah berkahwin 53 kali, ketenangan fikiran antara faktor

    Lelaki Saudi dakwa sudah berkahwin 53 kali, ketenangan fikiran antara faktor

    SEORANG lelaki Arab Saudi mendakwa dia sudah berkahwin sebanyak 53 kali dan penyatuan itu dibuat demi mencari kestabilan dan ketenangan fikiran bukan didorong oleh kepuasan peribadi.

    Lapor Gulf News, lelaki berusia 63 tahun itu semasa diwawancara televisyen tempatan MBC berkata, dia kini sudah berkahwin dengan seorang wanita dan tidak merancang untuk berumah tangga lagi.

    “Semasa saya pertama kali berkahwin, saya tidak merancang untuk berkahwin dengan lebih seorang wanita kerana saya berasa selesa dan mempunyai anak-anak.

    “Namun tidak lama kemudian, banyak masalah berlaku dan dia memutuskan untuk berkahwin lagi pada usia 23 tahun dan memaklumkannya kepada isteri pertama,” katanya mengimbau perkahwinan awalnya.

    Lelaki yang hanya dikenali sebagai Abu Abdullah itu berkata, masalah timbul lagi antara isteri pertama dan kedua mendorongnya berkahwin lagi untuk kali ketiga dan keempat.

    Katanya, dia kemudian menceraikan isteri pertama, kedua dan ketiganya.

    Abu Abdullah memberi alasan, dia berkahwin banyak kali bagi mencari isteri yang boleh membahagiakannya dan berusaha untuk berlaku adil kepada kesemua isterinya.

    “Saya berkahwin dengan 53 wanita bagi tempoh yang lama. Pertama sekali, ketika usia saya berusia 20 tahun dan wanita itu enam tahun tua daripada saya,” katanya.

    Malah lelaki mendakwa, tempoh perkahwinannya yang paling singkat adalah selama semalam sahaja.

    “Setiap lelaki di dunia ini mengimpikan untuk bersama seorang wanita dan kekal bersamanya sehingga selamanya.

    “Kestabilan tidak boleh didapati daripada wanita muda, tetapi wanita yang lebih berusia,” katanya.

    Abu Abdullah berkata, kebanyakan isterinya adalah warga tempatan dan dia turut menikahi wanita asing khasnya semasa berada di luar negara untuk lawatan perniagaan.

    “Saya kebiasaannya tinggal di luar negara antara tiga dan empat bulan. Jadi, saya berkahwin untuk mengelakkan maksiat,” tambahnya.

  • Peniaga mi parodi aksi Salt Bae ditahan kerana aktiviti antinegara

    Peniaga mi parodi aksi Salt Bae ditahan kerana aktiviti antinegara

    VIETNAM mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang mengkritik kerajaan termasuk seorang penjual mi dari bandar Danang yang ditahan berhubung video tular dianggap menyindir pegawai tertinggi kerajaan.

    Tindakan Bui Tuan Lam, 38, membuat parodi aksi chef selebriti Turkiye, Nusret Gokce atau lebih dikenali sebagai Salt Bae, membawa padah apabila dia ditangkap kerana propaganda antinegara.

    Menurut kenyataan polis, penahanan Tuan Lam Rabu lalu kerana dia memuat naik kandungan dalam talian yang mengganggu garis panduan dan dasar parti pemerintah.

    “Tuan Lam juga seorang ahli pertubuhan kemasyarakatan awam yang dianggap kumpulan antikerajaan,” kata polis mendakwa kerap kali memberi amaran kepada peniaga itu kerana menghina pemimpin dan mencemarkan reputasi mereka.

    Dalam keterangannya, Tuan Lam menafikan tindakannya menyindir menteri. Cubaan menghubungi peniaga berkenaan Khamis lalu juga gagal.

    Tahun lalu, dia dipanggil memberi keterangan polis susulan parodi Salt Bae yang dilihat sindiran kepada menteri kerajaan yang menikmati stik bersalut emas 24 karat berharga AS$1,725 (RM7,759).

    Harga menu itu bagaimanapun mencetuskan kritikan banyak pihak berikutan penduduk di Hanoi kebanyakannya hidup dalam kemiskinan.

    Selain itu, pengguna media sosial juga mempertikaikan harga stik terbabit yang didakwa jauh lebih mahal berbanding gaji bulanan yang diterima menteri antara AS$600 (RM2,698) dan AS$800 (RM3,598).

    Parodi ‘Green Onion Bae’ itu dimuat naik beberapa hari selepas Menteri Keselamatan Awam, Jeneral To Lam menjamu selera hidangan mewah terbabit di sebuah restoran di London.

    Isteri Tuan Lam mengesahkan suaminya diberkas pihak berkuasa minggu lalu, malah pihak berkuasa turut kembali semula untuk menggeledah rumah mereka.

    Sementara itu, sebuah badan pemantau Human Right Watch berpangkalan di New York menggesa polis membebaskan Tuan Lam segera dan berhenti mengambil tindakan terhadap orang ramai yang menzahirkan pandangan mereka.

  • Pengebumian negara Ratu Elizabeth II pada 19 Sept

    Pengebumian negara Ratu Elizabeth II pada 19 Sept

    UPACARA pengebumian negara Ratu Elizabeth II akan diadakan di Westminster Abbey pada 19 Sept, umum Istana Buckingham pada Sabtu.

    “Sebelum upacara Pengebumian Negara, jasad baginda akan ditempatkan di Westminster Hall selama empat hari, bagi membolehkan orang ramai memberi penghormatan terakhir,” menurut kenyataan itu.

    Keranda ratu kini berada di Istana Balmoral, Scotland sebelum dibawa ke Istana Holyroodhouse, Edinburgh.

    Pada 13 Sept, keranda ratu akan dibawa ke London menggunakan pesawat Tentera Udara Diraja, lapor Agensi Anadolu.

    Keranda ratu kemudiannya akan dibawa berarak menuju ke Westminster Hall. Turut serta dalam perarakan itu Raja Britain dan kerabat diraja.

    Jasad baginda akan disemadikan bersebelahan makam suaminya, mendiang Putera Philip.

    Ratu Elizabeth II, Raja Britain paling lama menduduki takhta, mangkat pada usia 96 tahun di Istana Balmoral di Scotland pada Khamis.- BERNAMA