Category: Luar Negara

  • India haramkan organisasi terkemuka Islam

    India haramkan organisasi terkemuka Islam

    KERAJAAN India mengharamkan sebuah pertubuhan Islam terkemuka kerana didakwa melakukan “aktiviti menyalahi undang-undang.”

    The Popular Front of India (PFI) dan sekutunya telah diharamkan selama lima tahun, menurut kenyataan yang dikeluarkan Kementerian Dalam Negeri bertarikh 27 Sept.

    PFI dan sekutunya atau kumpulan yang mempunyai kaitan dengan pertubuhan itu telah terlibat dalam aktiviti menyalahi undang-undang, yang memudaratkan integriti, kedaulatan dan keselamatan negara serta berpotensi mengganggu ketenteraman awam dan keharmonian masyarakat serta menyokong militan di negara ini,” menurut kerajaan India.

    Kumpulan berkaitan PFI termasuk Rehab India Foundation, Campus Front of India, All India Imams Council, National Confederation of Human Rights Organisation (NCHRO) dan National Women’s Front.

    Keputusan itu dibuat selepas penahanan pemimpin dan anggotanya di kebanyakan negeri termasuk Kerala, Maharashtra, Tamil Nadu, Karnataka, Andhra Pradesh, Rajasthan, Uttar Pradesh dan Telangana sejak beberapa hari kebelakangan ini.

    PFI, memaklumkan bahawa pertubuhannya berfungsi untuk menyuarakan hak orang Islam dan masyarakat kurang bernasib baik di negara ini.

    Kumpulan nasionalis Hindu bertahun-tahun berkempen untuk mengharamkan PFI yang kini berusia 15 tahun.

    Pada Selasa, kumpulan itu mendakwa “penahanan besar-besaran” sedang berlaku di negeri yang diperintah Parti Bharatiya Janata (BJP).

    “Ini tidak lain bertujuan menghalang hak untuk mengadakan protes demokratik terhadap kerajaan yang menyasarkan PFI,” menurut PFI.- BERNAMA

  • Raja Arab Saudi lantik Putera Mahkota sebagai Perdana Menteri

    Raja Arab Saudi lantik Putera Mahkota sebagai Perdana Menteri

    RAJA Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al-Saud semalam melantik Putera Mahkota Mohammed Salman sebagai Perdana Menteri negara itu.

    Pelantikan Mohammed Salman dibuat menerusi satu Dekri Diraja dikeluarkan Raja Salman.

    Dekri itu pada masa sama memperuntukkan mesyuarat Kabinet mingguan yang dihadiri Raja Salman, akan dipengerusikan baginda.

    Pelantikan Putera Mahkota itu dilaksanakan dengan membuat pengecualian terhadap peruntukan Perkara 56 Undang-Undang Asas Pentadbiran Arab Saudi dan peruntukan berkaitan dalam Undang-Undang Majlis Menteri.

    Dekri itu turut mengarahkan rombakan Kabinet dengan melantik Putera Khalid sebagai menteri pertahanan.

    Bagaimanapun, kedudukan menteri-menteri lain tidak berubah termasuk Menteri Tenaga, Menteri Pelaburan, Menteri Dalam Negeri dan Menteri Kewangan.

  • Selamatkan bumi: Kapal angkasa NASA berjaya hentam asteroid

    Selamatkan bumi: Kapal angkasa NASA berjaya hentam asteroid

    KAPAL angkasa milik NASA berjaya menghentam sebuah asteroid pada malam Isnin dalam usaha menyelamatkan Bumi satu hari nanti, lapor Agensi Anadolu.

    Ujian Pengalihan Asteroid Berganda (DART) disiarkan secara langsung oleh agensi angkasa lepas Amerika Syarikat (AS) untuk menunjukkan kepada dunia ujian pertahanan planet sekiranya Bumi berdepan ancaman pelanggaran asteroid pada masa hadapan.

    Pelanggaran dua objek yang disengajakan itu adalah hasil tujuh tahun penelitian, NASA membuat penyelidikan sama ada pertembungan kapal angkasa dengan asteroid secara manual mampu memesongkan trajektorinya bagi mengelakkan bencana kepada Bumi.

    “Wah, itu menakjubkan, bukan?” kata ketua saintis DART Nancy Chabot sejurus selepas kapal angkasa itu berjaya menghentam asteroid terbabit.

    Misi DART dilancarkan November lalu dari Pangkalan Angkatan Angkasa Vandenberg di California.

    Pada malam Isnin, sebuah kapal angkasa dihantar ke angkasa lepas dan mensasarkan asteroid yang dipanggil Dimorphos iaitu 6.5 juta batu (10.5 juta kilometer) dari Bumi.

    Kapal angkasa itu berjaya menghentam asteroid pada kelajuan 15,000 batu sejam (24,140 km sejam) dan kesan kosmik itu berjaya dirakam kamera khas dari probe angkasa Itali.

    “Ini adalah demonstrasi teknologi yang sangat sukar melibatkan asteroid kecil, kami tidak pernah lihat kejadian seperti itu sebelum ini, dan melakukannya dengan cara yang begitu hebat,” kata Chabot.

    NASA memaklumkan matlamatnya bukan untuk memusnahkan asteroid tetapi untuk melihat sama ada laluan asteroid mampu dipesongkan secara manual supaya tidak menghentam Bumi.

    Para saintis merekodkan data daripada kesan rakaman teleskop untuk melihat perbezaan dan kesan terhadap trajektori asteroid.

    Menurut NASA, setakat ini tiada asteroid yang diketahui lebih besar daripada 450 kaki (137 meter) mempunyai peluang besar menghentam Bumi dalam tempoh 100 tahun akan datang.- BERNAMA

  • Ulama terkemuka  Yusuf al-Qaradawi meninggal dunia pada usia 96 tahun

    Ulama terkemuka Yusuf al-Qaradawi meninggal dunia pada usia 96 tahun

    ULAMA terkemuka dunia kelahiran Mesir, Prof Yusuf al-Qaradawi meninggal dunia pada usia 96 tahun di Qatar hari ini.

    Khabar sedih tersebut diumumkan dalam akaun media sosial Ketua Kesatuan Ulama Islam Antarabangsa (IUMS) itu.

    Dilahirkan pada pada 9 September 1926, Allahyarham dikenali sebagai seorang Mujtahid di era moden ini.

    Allahyarham dilaporkan menghembuskan nafas terakhir di Qatar, tempat beliau tinggal dalam buangan berikutan penggulingan tentera kerajaan pimpinan Ikhwanul Muslimin di Mesir pada 2013.

    Allahyarham Yusuf telah dibicarakan dan dijatuhkan hukuman mati tanpa hadir di Mesir.

    Sepanjang hayatnya, Allahyarham telah menghasilkan lebih 120 buah buku termasuk naskhah perundangan Islam serta menerima pelbagai pengiktirafan antarabangsa.

    Allahyarham sangat masyhur menerusi program Sharia and Life terbitan saluran berita antarabangsa, Al-Jazeera yang dianggarkan ditonton oleh 40 hingga 60 juta penonton di seluruh dunia.

    Atas jasa baktinya dalam dunia Islam, kerajaan Malaysia telah menganugerahkan Allahyarham Tokoh Maal Hijrah Antarabangsa pada 2009.

  • Harga minyak dunia terus turun

    Harga minyak dunia terus turun

    HARGA minyak global merosot lebih satu peratus, dengan minyak mentah Brent jatuh di bawah US$84 setong buat kali pertama sejak 14 Januari, lapor Xinhua berdasarkan data dagangan pada Isnin.

    Sehingga 06:13 GMT, harga niaga hadapan Disember untuk minyak mentah Brent diniagakan turun sebanyak 1.22 peratus pada US$83.99 setong, dan niaga hadapan November untuk WTI susut 1.22 peratus dan didagangkan pada US$77.78. -BERNAMA

  • Planet Marikh dicemari sampah lebih 7,000kg

    Planet Marikh dicemari sampah lebih 7,000kg

    MANUSIA meninggalkan lebih 7,000 kilogram (kg) sampah sejak 50 tahun lalu di Marikh ketika tidak ada seorang individu pun pernah menjejakkan kaki ke planet merah itu.

    Felo penyelidik pasca kedoktoran bidang robotik di Universiti West Virginia, Amerika Syarikat, Cagri Kilic, yang menganalisis jisim semua kenderaan robotik dan pengorbit yang dihantar ke Marikh, tanpa mengambil kira berat daripada kenderaan sedang beroperasi ketika ini mendapati, sebanyak 7,118kg serpihan bersepah di planet Marikh.

    Antara serpihan itu adalah perkakasan yang dibuang, kapal angkasa tidak aktif atau yang terhempas di permukaan planet termasuk pengorbit Marikh 2 Kesatuan Soviet yang terhempas ketika melakukan pendaratan pada 1971.

    Bukan hanya manusia melakukan pencemaran di bumi, saintis juga bimbang serpihan itu boleh mencemarkan sampel yang dikumpulkan kenderaan robotik, Perseverance yang ketika ini dalam misi mencari bukti kehidupan lampau di planet Marikh.

    Lapor Mail Online, kebanyakan serpihan itu tidak dapat dielakkan memandangkan banyak bahagian perlu dibuang untuk melindungi kenderaan angkasa ketika ia meluncur melalui atmosfera planet merah.

    Ia termasuk kenderaan Perseverance dilancarkan Agensi Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) yang terpaksa mengharungi tujuh minit kesukaran ketika mendarat pada Februari 2021.

    Kenderaan robotik itu didapati merakam beberapa imej serpihan ketika dalam misinya dan ia turut dirakam robot helikopter, Ingenuity.

    Jun lalu, pasukan NASA mengesan cahaya dalam sekeping imej dihantar oleh kenderaan Perseverance yang kemudian diarahkan untuk meneliti semula.

    Secara keseluruhannya, terdapat sembilan kapal angkasa tidak aktif berada di Marikh termasuk pendarat Mars 3 dan pendarat Viking 1 dan 6.

    Menurut Kilic, kebanyakan robot itu masih dalam keadaan baik dan agensi angkasa menganggapnya sebagai monumen bersejarah berbanding sampah.

  • 101 buku jadi mas kahwin pasangan ini

    101 buku jadi mas kahwin pasangan ini

    PASANGAN pengantin baharu, Nikhil Naushad dan Shantana Khatun menjadi topik perbualan masyarakat tempatan di pekan Bogra, Bagladesh apabila memutuskan untuk menjadikan 101 buku sebagai mas kahwin mereka.

    Dhaka Tribune melaporkan, ini setelah Shantana berhasrat mewujudkan sebuah perpustakaan keluarga dengan buku-buku berkenaan.

    Mereka disatukan di rumah nenek Nikhil di daerah Chikashi baru-baru ini.

    Mas kahwin itu menjadi perbualan tetamu dan penduduk kampung kerana kebiasaannya ia melibatkan emas, wang atau keperluan wanita.

    Selain buku, Shantana turut menerima pin hidung, cincin dan 70 buah buku bernilai 11,000 taka (RM485).

    Namun setiap buku yang dihadiahkan itu ditetapkan pada harga maksimum 2,000 taka (RM87.60) sebuah.

    Baki 31 buku lagi akan dibayar dan diserahkan secara berperingkat.

    Nikhil dan Shantanan jatuh cinta menerusi penulisan puisi semasa mereka menuntut di sebuah kolej.

    Dalam pada itu, Nikhil memberitahu pemberita bahawa Shantana hanya mahukan 101 buku sebagai mas kahwin dan berharap kisah mereka akan menjadi inspirasi kepada pasangan lain ke arah perkahwinan tanpa mahar.

    Bagi mereka yang akan memulakan hidup baharu di bandar Khandar, nilai dan kemuliaan buku adalah lebih daripada wang.

  • Tindakan susulan kes MH17 dibuat selepas keputusan mahkamah Belanda – PM

    Tindakan susulan kes MH17 dibuat selepas keputusan mahkamah Belanda – PM

    SEBARANG tindakan susulan Malaysia berhubung kes penembakan jatuh pesawat MH17 hanya akan dibuat selepas mahkamah di Belanda membuat keputusan mengenainya pada 17 Nov depan.

    Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata dalam pertemuan dengan rakan sejawatannya dari Belanda Mark Rutte di New York pada Jumaat, beliau menyuarakan pendirian negara yang mahu bersikap adil kepada semua pihak yang dikaitkan dengan insiden itu.

    “Kes ini telahpun berada di peringkat mahkamah dan keputusan November ini, kita akan sama-sama tunggu keputusan. Apa-apa tindakan akan kita buat selepas keputusan mahkamah. Sebab MH17 ini libatkan ramai rakyat Belanda dan Malaysia,” katanya pada sidang media di New York, pada Sabtu.

    Kedua-dua pemimpin itu yang berada di bandar raya itu untuk menghadiri Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu ke-77, bertemu di ibu pejabat PBB.

    Mahkamah Daerah The Hague akan memutuskan perbicaraan kes MH17 pada 17 Nov depan. Ia melibatkan empat individu yang menghadapi 298 pertuduhan membunuh kerana didakwa menembak jatuh pesawat yang sedang dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur pada 17 Julai 2014.

    Perdana Menteri mengakui terdapat tekanan terhadap Malaysia untuk menyertai beberapa negara mengambil tindakan terhadap Rusia yang dituduh terlibat dengan kejadian penembakan jatuh pesawat milik Malaysia Airlines itu, namun ia tetap dengan pendirian untuk menunggu keputusan mahkamah.

    Ismail Sabri juga berkata kedua-dua negara bersetuju meningkatkan jalinan hubungan dua hala, termasuk perdagangan dan bantuan teknikal untuk menangani isu banjir di Malaysia.

    “Kita mendapat nasihat daripada pakar-pakar Belanda yang datang ke Malaysia tahun ini untuk membantu kita susulan banjir besar tahun lepas. Belanda walaupun kebanyakan tanahnya berada di bawah paras laut, namun mereka mampu kawal banjir,” katanya.

    Dari segi perdagangan, Belanda merupakan pembeli minyak kelapa sawit terbesar di Eropah manakala Malaysia banyak mengimport produk-produk pertanian daripada negara itu, katanya.

  • Tulang manusia berusia 1.4 juta tahun ditemui di Burgos

    Tulang manusia berusia 1.4 juta tahun ditemui di Burgos

    TENGKORAK berusia 1.4 juta tahun, fosil manusia tertua pernah ditemukan di benua Eropah dan dipercayai mampu mengubah pengetahuan mengenai prasejarah manusia, menurut saintis yang terlibat dalam penemuan itu.

    “Kami masih belum mengetahui spesies manusia pertama berdasarkan penemuan itu,” ahli arkeologi Aurora Martin, yang juga penyelaras am Muzium Evolusi Manusia di Burgos, utara Sepanyol, memberitahu Agensi Anadolu.

    Tulang-tulang itu, ditemukan di dalam gua di tapak penggalian Sierra de Atapuerca berhampiran Burgos pada akhir Jun, dianggap “satu kejayaan yang akan membantu menulis kembali sejarah evolusi manusia.”

    “Sehingga 1994, diketahui bahawa tiada spesies manusia purba di Eropah sehingga 500,000 tahun dahulu. 

    “Sekarang terdapat bukti kewujudan manusia pada 1.4 juta tahun dahulu. Dalam erti kata lain, kita menolak evolusi manusia di Eropah pada satu juta tahun lepas.

    “Penemuan baharu itu,  merupakan tengkorak satu spesies, yang digali pada musim panas 2022, dan dipercayai berusia 1.4 juta tahun. 

    “Hal ini membuka lembaran baharu untuk pelbagai persoalan.

    “Kami akan cuba mencari jawapan kepada persoalan ini, tetapi semuanya akan dilakukan selepas penyelidikan. Kami tidak boleh memberikan jawapan sekarang,” katanya.

    Tapak Atapuerca dijumpai semasa pembinaan kereta api pada akhir abad ke-19, dan penggalian pertama bermula pada 1976.

    Fosil manusia tertua pernah ditemukan di benua Eropah sebelum ini ialah pada 2007, yang berusia 1.2 juta tahun.

    Menurut laporan fosil manusia dan haiwan Zaman Batu Purba yang ditemukan di Atapuerca, Tapak Warisan Dunia itu kini dipamerkan di Muzium Evolusi Manusia di Burgos.

  • Skandal rasuah: Hakim Mahkamah Agung Indonesia ditahan

    Skandal rasuah: Hakim Mahkamah Agung Indonesia ditahan

    BADAN antirasuah Indonesia semalam menahan seorang hakim Mahkamah Agung negara ini setelah didakwa terbabit dalam skandal rasuah, seorang daripada majistret paling berprofil tinggi berdepan siasatan itu.

    Agensi berita Reuters melaporkan, Timbalan Ketua Suruhanjaya Pembasmian Rasuah (KPK) dalam satu sidang media, berkata Hakim Sudrajad Dimyati ditahan selepas melaporkan diri kepada agensi itu secara sukarela pada hari sama.

    KPK turut menahan enam suspek lain yang disyaki terbabit dalam kes rasuah membabitkan nilai 2.2 bilion rupiah (RM666,532) untuk mendapatkan keputusan yang memihak bagi kes rayuan oleh koperasi pemberi pinjaman yang berdepan masalah insolvensi.

    Pengerusi KPK, Firli Bahuri sebelum itu secara terbuka menggesa Sudrajad dan tiga yang lain supaya menyerah diri.

    Bagaimanapun, Sudrajad tidak segera memberi reaksi kepada permintaan untuk mengulas dakwaan tersebut.

    Pegawai Jabatan Pengawasan Mahkamah Agung, Zahrul Rabain berkata,
    Sudrajad akan digantung tugas, namun tidak menyatakan berapa lama tempohnya.

    Menurut Firli, KPK melakukan serbuan di Jakarta dan Semarang pada minggu ini dan menahan enam individu serta merampas wang tunai hampir AS$148,000 (RM677,618) di rumah seorang pegawai Mahkamah Agung, majoritinya dalam mata wang dolar Singapura dengan sebahagiannya disembunyikan dalam ruang kosong dalam kamus.

    Media melaporkan, seorang peguam dari koperasi pemberi pinjaman semalam memberitahu pemberita di KPK, beliau bersedia ‘untuk dihukum seberat mungkin’.

    KPK ditubuhkan pada 2002 selepas kejatuhan Presiden Suharto, yang mana pemerintahannya didakwa pengkritik sebagai kleptokrasi.