Category: Luar Negara

  • Rusuhan bola sepak: Angka korban meningkat kepada 174

    Rusuhan bola sepak: Angka korban meningkat kepada 174

    KEMATIAN akibat rempuhan di Stadium Kanjuruhan di Malang, Jawa Timur, meningkat kepada 174 mangsa, menurut Ketua Polis Jawa Timur, Nico Afinta.

    Selepas penyokong kepada pasukan tuan rumah yang kalah meluru ke padang, pasukan keselamatan melepaskan tembakan gas pemedih mata untuk menyuraikan mereka.

    Ia menyebabkan ada individu yang dipijak dan sesak nafas.

    Timbalan Gabenor Jawa Timur Emil Dardak memberitahu Kompas TV bahawa lebih 100 orang dilaporkan cedera dan mereka dirawat di lapan hospital.

    Satu video yang dikongsi di media sosial menunjukkan peminat, memakai pakaian berwarna merah dan biru menyerbu padang selepas pasukan Arema FC tewas 3-2 kepada Persebaya Surabaya, dan bertempur dengan pasukan keselamatan.

    Menteri Sukan Zainudin Amali berkata, pihak berkuasa akan menilai semula keselamatan pada perlawanan bola sepak dan mempertimbang untuk tidak membenarkan penonton pada perlawanan selepas insiden berkenaan.

    Persatuan Bola Sepak Indonesia (PSSI) sudah menunda perlawanan yang dijadualkan pada minggu depan kerana insiden itu, dan mengharamkan Arema FC daripada menjadi tuan rumah untuk sepanjang musim ini.

    Dalam pada itu, Menteri Penyelaras untuk Politik, Undang-Undang dan Hal Ehwal Keselamatan, Mohammad Mahfud Mahmodin berkata: “Saya perlu tegaskan bahawa tragedi ini bukan pertempuran antara penyokong Persebaya dan Arema. Ini kerana penyokong Persebaya tidak dibenarkan untuk menonton perlawanan berkenaan.”

  • Badan bergelimpangan, teriakan, tangisan wanita – Penyokong Arema FC

    Badan bergelimpangan, teriakan, tangisan wanita – Penyokong Arema FC

    DETIK terendah sebagai penyokong, begitulah luahan hati seorang pengikut tegar kelab bola sepak Liga 1 Indonesia, Arema FC.

    Semalam, berlakunya rusuhan penyokong ketika perlawanan Liga 1 Indonesia antara Arema FC dan Persebaya Surabaya di Stadium Kanjuruhan, Malang mengakibatkan 127 nyawa terkorban.

    Dalam perlawanan ‘derbi’ hangat itu, Arema FC tewas 3-2 menyebabkan penyokong kedua-dua kelab berkenaan bertempur di tengah padang.

    Dalam perkongsian @RezqiWahyu_05 di Twitter, beliau sangat terkesan dengan perkara yang disaksikannya secara langsung.

    “Penyokong tempang bergelimpangan, menjerit dan wanita menangis. Orang berlumuran darah, kereta musnah, caci-cacian… batu bata, besi berterbangan,” ciapnya.

    Menurut Rezqi, ketegangan berlaku apabila tiupan wisel akhir berkumandang, menyebabkan sesetengah penyokong tidak dapat menerima kekalahan.

    “Kelihatan seorang penyokong dari arah selatan nekad masuk ke padang untuk mendekati permain Sergio Silva dan Maringa, kemudian ada beberapa penyokong lagi berjaya masuk untuk berkongsi kekecewaan kepada pemain.

    “Semakin ramai penyokong berkumpul, keadaan tidak terkawal. Serta objek dilempar ke dalam padang dan peminat hilang kawalan, akhirnya pemain diiring masuk ke dalam bilik persalinan,” katanya.

    Selain itu, keadaan yang tidak terkawal membuatkan pihak polis menembak gas pemedih mata kepada penyokong di dalam padang.

    “Keadaan semakin kecoh kerana gas pemedih mata, penyokong panik dan berlari keluar mencari pintu namun pintu sudah sesak.

    “Ramai ibu mempunyai anak kecil yang kelihatan pasrah, tidak berdaya, tidak dapat menyertai orang ramai untuk keluar dari stadium,” ujarnya.

    Tambahnya, tersekat di dalam stadium bersama gas pemedih mata menjadi punca kepada keganasan antara penyokong dan pihak polis.

  • Indonesia siasat tragedi 129 terkorban dalam rusuhan bola sepak, Liga digantung seminggu

    Indonesia siasat tragedi 129 terkorban dalam rusuhan bola sepak, Liga digantung seminggu

    PRESIDEN Indonesia Joko Widodo hari ini mahu siasatan penuh dijalankan berhubung tragedi rusuhan yang mengorbankan 129 orang termasuk dua anggota polis dalam rusuhan yang tercetus selepas perlawanan bola sepak di Stadium Kanjuruhan, Malang, Jawa Timur, Sabtu malam.

    Kementerian Belia dan Sukan, Persatuan Bolasepak Seluruh Indonesia (PSSI) dan polis juga diminta melakukan penilaian menyeluruh terhadap pelaksanaan pertandingan dan juga prosedur keselamatan.

    “Saya kesal dengan berlakunya tragedi ini dan berharap ini adalah tragedi terakhir bola sepak di tanah air. Jangan ada lagi tragedi kemanusiaan seperti ini di masa hadapan,” katanya dalam satu kenyataan.

    Rusuhan selepas perlawanan antara Arema FC dengan Persebaya Surabaya turut menyebabkan 180 lagi cedera, menurut Polis Jawa Timur.

    Ketua Polis Daerah Jawa Timur Inspektor Jenderal Nico Afinta berkata penyokong Arema yang berang setelah pasukan mereka tewas 3-2 dalam pertembungan ‘derby Jawa Timur’ memasuki kawasan padang untuk menyerang pemain dan pegawai.

    Anggota keselamatan cuba memujuk penyokong kembali ke tempat duduk, tetapi mereka semakin ganas menyebabkan gas pemedih mata digunakan dan seterusnya berlaku rempuhan semasa mereka cuba lari keluar.

    “Mereka berhimpit-himpit di salah satu pintu keluar, kalau tidak salah Pintu 10 atau Pintu 12 hingga menyebabkan ada yang sesak nafas dan kekurangan oksigen dan pasukan perubatan mencuba sedia upaya menjalankan usaha menyelamat,” kata Nico.

    Gas pemedih mata turut digunakan di luar stadium ke arah perusuh yang menghalang jalan keluar dan melempar objek ke kenderaan kereta perisai rombongan kelab Persebaya Surabaya.

    Insiden itu turut menyebabkan beberapa penyokong Arema FC dan anggota keselamatan mengalami kecederaan serta 13 unit kenderaan polis rosak dan dibakar.

    Sementara itu, Ketua Umum PSSI Mochamad Iriawan mengumumkan Liga 1 musim 2022-2023 digantung selama seminggu, manakala Arema FC dilarang menjadi tuan rumah untuk baki perlawanan.

    “Kami memohon maaf kepada keluarga mangsa dan semua pihak atas kejadian ini,” katanya.

    Beliau berkata pasukan penyiasat PSSI dihantar ke Malang dan akan memberi kerjasama penuh kepada pihak polis untuk menyiasat kes yang mencalarkan imej bola sepak Indonesia.

    Arema FC pula telah membentuk Pusat Pengurusan Krisis untuk menyalurkan maklumat dan sedia memberi pampasan kepada mangsa.

    Kelab-kelab di Liga 1 Indonesia mengucapkan takziah atas tragedi yang berlaku, manakala di KUALA LUMPUR, ucapan sama dirakamkan Persatuan Bola Sepak Malaysia dan Kelab Bola Sepak Johor Darul Ta’zim (JDT FC) kepada keluarga mangsa-mangsa yang terkorban.

    “Doa dan ingatan kami sentiasa bersama anda. Tiada tempat dalam bola sepak untuk insiden sebegini sehingga melibatkan kehilangan nyawa,” menurut JDT FC menerusi hantaran di Facebook rasmi kelab.

    Rusuhan Sabtu malam merupakan antara tragedi paling tragis dalam dunia bola sepak.

    Pada 1964, 318 orang terbunuh dan 500 cedera semasa perlawanan kelayakan Olimpik antara Peru dan Argentina di Stadium Nasional di Lima, Peru.

    Pada 2001, polis melepaskan gas pemedih mata ke arah penyokong liar semasa perlawanan antara Hearts of Oak dan Asante Kotoko di Ghana, Afrika menyebabkan 70,000 orang bergegas keluar dari stadium sekaligus berlaku rempuhan hingga 126 orang terbunuh.

  • Traktor terbalik, 27 maut jatuh dalam kolam

    Traktor terbalik, 27 maut jatuh dalam kolam

    SERAMAI 27 penganut agama Hindu maut semasa dalam perjalanan pulang dari sebuah kuil di India selepas traktor yang menarik troli dinaiki mereka terbalik dan terjunam ke dalam sebuah kolam.

    Kejadian itu berlaku semalam di bandar Kanpur, di negeri utara Uttar Pradesh, India yang turut menyebabkan 22 lagi cedera, menurut Astro Awani yang memetik laporan The Times of India.

    Menurut laporan, troli ditarik traktor itu membawa pulang jemaah beragama Hindu dari kuil Chandrika Devi.

    Media India melaporkan kebanyakan mangsa maut merupakan wanita dan kanak-kanak.

    Perdana Menteri India, Narendra Modi mengucapkan takziah dalam tweet terbaharunya sejurus selepas kejadian.

    “Tertekan dengan nahas traktor-troli yang berlaku di Kanpur.

    “Ingatan saya dituju kepada mereka yang kehilangan orang terdekat dan tersayang serta doa buat mereka yang cedera,” tulis Modi.

    Sementara itu, Ketua Menteri Uttar Pradesh Yogi Adityanath berkata, kenderaan sebegitu sepatutnya hanya digunakan untuk mengangkut barangan ladang dan pengangkutan, bukan manusia.

    Difahamkan operasi mencari dan menyelamat telahpun selesai dan siasatan akan punca kejadian sedang dijalankan.

  • [VIDEO]Rusuhan penyokong bola sepak, 127 orang maut di Malang, Indonesia

    [VIDEO]Rusuhan penyokong bola sepak, 127 orang maut di Malang, Indonesia

    SERAMAI 127 orang maut dalam rusuhan di Stadion Kanjuruhan, Malang di Jawa Timur Indonesia malam tadi.


    Rusuhan berlaku selepas perlawanan ‘derbi’ Jawa Timur antara Arema FC dan Persebaya Surabaya

    Mangsa yang terbunuh terdiri daripada penyokong Arema FC dan dua anggota polis.

    “Telah meninggal 127 orang, dua di antaranya anggota polis Indonesia,” kata Ketua Polis Daerah Malang, Nico Afinta kepada media seperti dilapor portal Detik.com hari ini.

    Nico memberitahu, seramai 34 orang meninggal di stadium manakala selebihnya di hospital semasa mendapatkan rawatan.Kekecohan berlaku selepas penyokong Arema menyerbu padang selepas pasukan mereka kalah 2-3 kepada Persebaya.

    Polis dalam reaksi mereka menggunakan gas pemedih mata bagi menyuraikan penyokong berkenaan.

    Tembakan gas pemedih mata itu bagaimanapun membuatkan penyokong panik melarikan diri dan berlaku pijak memijak.

    Sementara itu, sebanyak lapan kenderaan polis rosak dengan tiga daripadanya dibakar akibat amukan penyokong.

    Kenderaan itu terdiri daripada kereta K9, trak Brimob dan kenderaan polis trafik.

  • Gempa bumi ‘goncang’ Sumatera: Seorang maut, puluhan lagi cedera

    Gempa bumi ‘goncang’ Sumatera: Seorang maut, puluhan lagi cedera

    SATU gempa bumi dengan magnitud 5.9 melanda kepulauan Sumatera, Indonesia awal pagi tadi, mengakibatkan sekurang-kurangnya seorang maut manakala puluhan penduduk lagi cedera.

    Menurut Pemantau Geologi Amerika Syarikat (USGS), gempa berpusat pada kedalaman 13 kilometer (km) berlaku kira-kira 40km dari bandar Sibolga di Sumatera Utara kira-kira pukul 2.30 pagi.

    Gempa itu turut dirasai beberapa kawasan di pantai barat Semenanjung Malaysia.

    Lapor agensi berita AFP, jurucakap agensi mitigasi bencana wilayah, Febrina Tampubolon berkata, seorang lelaki berusia 50an maut akibat serangan jantung yang dicetuskan oleh gempa bumi itu, dan sekurang-kurangnya 25 individu cedera.

    Menurutnya, pihak berkuasa masih mengumpul maklumat berhubung kerosakan, namun tiang elektrik dan menara telekomunikasi yang tumbang akibat bencana terbabit menjejaskan perkhidmatan berkenaan.

    Agensi Meteorologi dan Geofizik Indonesia (BMKG) merekodkan lebih 50 gempa susulan, dengan Ketua BMKG, Dwikorita Karnawati, menasihatkan penduduk berwaspada dengan gempa susulan dan berlindung di tempat selamat.

    “Bagi mereka yang mengalami kerosakan pada kediaman dinasihatkan untuk tidak berada di dalam rumah kerana gempa susulan boleh memburukkan keadaan.

    “Gempa susulan juga berisiko mengakibatkan tanah runtuh,” katanya.

    Indonesia kerap dilanda gempa bumi kerana kedudukannya di atas Lingkaran Api Pasifik, iaitu lingkaran aktiviti seismik di mana plet tektonik bertembung.

  • 19 terbunuh, 28 cedera dalam kejadian letupan bom

    19 terbunuh, 28 cedera dalam kejadian letupan bom

    SEKURANG-kurangnya 19 orang terbunuh dan 28 lagi cedera dalam satu kejadian pengeboman bunuh diri di sebuah pusat pendidikan di ibu negara Afghanistan, Kabul, pada pagi Jumaat, lapor Agensi Anadolu.

    Pengebom berkenaan mensasarkan pelajar di institusi pendidikan Kaaj di kejiranan Dasht e Barchi, di Presint 13 Kabul pada 7.30 pagi waktu tempatan (0300GMT), semasa pemeriksaan masuk pelajar di instutusi itu, menurut Khalid Zadran, jurucakap polis ibu negara.

    Orang ramai di situ segera minta bantuan, dalam rakaman yang cepat dikongsi di media sosial.

    Minggu lepas, bom yang diletakkan di dalam sebuah kereta, meletup di luar sebuah masjid di bandar Kabul di Afghanistan ketika jemaah keluar selepas solat Jumaat, membunuh sekurang-kurangnya tujuh orang dan mencederakan 41 yang lain, termasuk kanak-kanak.

    Kumpulan pengganas Daesh mengaku bertanggungjawab atas serangan itu.

    Mulawai Mujeebur Rehman Ansari, seorang pendakwah Islam pro-Taliban, adalah antara 18 individu yang terbunuh pada 2 September apabila seorang pengebom bunuh diri meletupkan dirinya semasa solat Jumaat di bandar Herat barat.

  • Mahkamah putuskan Prayut boleh sambung tugas PM Thailand

    Mahkamah putuskan Prayut boleh sambung tugas PM Thailand

    PERDANA Menteri Thailand, Prayut Chan-O-Cha kekal mempertahankan jawatannya selepas Mahkamah Perlembagaan negara itu memutuskan tempoh pentadbiran beliau belum melebihi had lapan tahun.

    Ini setelah Mahkamah Perlembagaan hari ini memutuskan penggal Prayut belum tamat dan hanya akan berakhir pada 2025.

    Ini setelah mahkamah mengira tempoh penggal pentadbiran Prayut bermula dari tahun undang-undang berkenaan tempoh pentadbiran Perdana Menteri selama lapan tahun berkuat kuasa iaitu pada 2017.

    Kekecohan itu timbul susulan tindakan perundangan difailkan di mahkamah oleh pembangkang yang mempertikai tempoh pendtadbiran Perdana Menteri yang didakwa sudah melebihi had.

    Susulan itu, bekas ketua junta berkenaan digantung tugas oleh mahkamah sejak 24 Ogos lalu sementara mahkamah meneliti cabaran undang-undang difailkan.

    Sehubungan itu, Timbalan Perdana Menteri, Prawit Wongsuwan bertindak sebagai pemangku Perdana Menteri sejak arahan penggantungan tersebut.

    Mengikut Perlembagaan Thailand 2017, seorang Perdana Menteri tidak boleh berkhidmat lebih daripada lapan tahun, namun penyokong dan pengkritik Prayut tidak bersetuju mengenai tempoh sebenar pentadbirannya bermula.

    Bagaimanapun kedudukan Prayut masih belum selamat setelah pilihan raya nasional mesti diadakan dalam tempoh beberapa bulan ini.

    Sementara itu, susulan keputusan mahkamah, pihak berkuasa Bangkok kini sedang berjaga-jaga terhadap kemungkinan berlakunya demonstrasi selepas beberapa kumpulan penunjuk perasaan memberi amaran mahu turun ke jalan raya jika Prayut memenangi kes berkenaan.

  • Bayi 8 bulan nyaris maut tertelan pengetip kuku

    Bayi 8 bulan nyaris maut tertelan pengetip kuku

    SEORANG bayi lelaki di Nashik, India nyaris maut apabila dia tertelan pengetip kuku yang kemudiannya tersekat di dalam kerongkongnya.

    Metro Co UK melaporkan, bayi itu sebelum kejadian bermain dengan pengetip berukuran dua inci sebelum tertelan objek berkenaan.

    Ibu bapa kepada bayi itu yang melihat kejadian kemudiannya membawa anak mereka ke hospital.

    Imbasan sinar-X kemudiannya menunjukkan objek besi itu tersekat di bawah kerongkongnya, sehingga hampir menutup laluan pernafasannya.

    Ibu bapa itu bernasib baik kerana pengetip kuku berkenaan tidak memasuki perutnya yang boleh mendatangkan ancaman lebih serius.

    Sementara itu, pakar di Kolej Perubatan Dr Vasantrao Pawar berjaya mengeluarkan objek itu dalam pembedahan selama sejam.

    Menurut doktor, bayi itu kini dalam keadaan baik dan beransur pulis selepas melalui prosedur pembedahan.

  • Tujuh wanita jatuh lubang, turapan konkrit retak

    Tujuh wanita jatuh lubang, turapan konkrit retak

    Tujuh wanita terjatuh ke dalam lubang di halaman belakang rumah ketika menari dalam majlis hari lahir di bandar Alagoinhas di timur laut Brazil, baru-baru ini.

    Rakaman kemalangan yang menakutkan itu menunjukkan wanita-wanita tersebut membentuk bulatan kecil dengan tangan dilingkarkan antara satu sama lain ketika mereka menari mengikut lagu pada majlis itu pada Sabtu.

    Bagaimanapun, turapan konkrit tiba-tiba retak menyebabkan mereka terjatuh ke dalam lubang dan bernasib baik kerana hanya mengalami luka-luka kecil, menurut Sinar Harian yang memetik laporam Agensi.

    Satu rakaman video berasingan menunjukkan beberapa orang lelaki di parti itu membantu mangsa-mangsa keluar dari lubang tersebut.

    Salah seorang wanita yang terjatuh ke dalam lubang itu menunjukkan badannya penuh dengan serpihan konkrit.

    Kemalangan itu tidak melemahkan mood mereka kerana para penari membersihkan diri, menukar pakaian dan berkumpul untuk bergambar serta meneruskan pesta hari lahir.

    Turapan yang retak itu kemudian ditutup bagi memastikan kawasan itu cukup selamat untuk sambutan parti lain.