Category: Luar Negara

  • Tanah Suci ibarat rumah kedua

    Tanah Suci ibarat rumah kedua

    SETIAP jemaah haji mempunyai pelbagai kisah bagi menunjukkan tahap kecintaan mereka terhadap bumi yang penuh barokah ini.

    Walaupun sudah berkali-kali datang menunaikan umrah, hati mereka tetap mahu lagi menziarahi dua Kota Suci yang menjadi destinasi impian umat Islam serata dunia.

    Itulah yang dialami seorang pesara guru dari Machang, Kelantan, Yusoff Mohamad @ Abdul Samad, 89, dan isteri, Saedah Shamsudin, 87, yang tiba bersama tiga anak berumur 43 hingga 60 tahun.

    Mereka cukup gembira tidak terkata tatkala mengetahui mendapat tawaran untuk menunaikan haji pada tahun ini.

    Yusoff berkata, rasa cintanya terhadap Tanah Suci cukup tebal hinggakan ia menjadi destinasi wajib hampir setiap tahun.

    “Hampir setiap tahun selepas bersara, saya bersama isteri akan menunaikan umrah dan berada di Tanah Suci sepanjang Ramadan. Lazimnya, kami akan ke Tanah Suci lebih awal sedikit sebelum Ramadan dan hanya pulang ke Malaysia beberapa hari selepas Aidilfitri.

    “Kali terakhir kami mengerjakan umrah ialah pada 2019. Setelah pencen, tiga kali kami tidak dapat ke Tanah Suci ketika Ramadan, iaitu sekali berikutan masalah visa dan dua tahun lagi akibat pandemik Covid-19,” katanya yang mempunyai 25 cucu dan enam cicit.

    Pasangan itu yang kali pertama menjejakkan kaki di Tanah Suci pada 1981, juga bersyukur kerana kesemua tujuh anak mereka yang berumur 47 hingga 64 tahun akan membantu termasuk dari segi tenaga dan pembiayaan kewangan.

    “Jika datang umrah pada bulan puasa, anak-anak akan bergilir-gilir teman kami di sini. Waktu hari raya pun mereka dah faham akan sambut lewat sedikit apabila kami dah pulang ke kampung,” katanya, lapor Sinar Harian.

    Saedah pula mengaku sering menangis setiap kali mahu berangkat pulang meninggalkan Tanah Haram kerana baginya di Makkah hati amat terasa tenang tidak seperti berada di tempat lain.

    Sementara itu, seorang pesara kerajaan, Hairuddin Mohd. Sofian, 63, dari Parit Raja, Batu Pahat, Johor mempunyai kisah yang tidak kurang menariknya.

    Dia sebenarnya masih terkesan dengan musibah banjir pada Mac lalu yang menenggelamkan kediamannya hinggakan habis semua kelengkapan dan perkakasan rumah rosak.

    Hairuddin berkata, kesan banjir itu amat teruk hinggakan pada Aidilfitri lalu, dia masih belum selesai mengemas rumah dan membaiki kerosakan yang berlaku.

    Namun apa yang menyentuh hatinya, kelengkapan ketika menunaikan umrah pada 2018 yang berada di dalam almari tidak rosak dan boleh digunakan semula.

    “Almari itu sudah terbalik dan hancur akibat banjir. Namun Alhamdulillah, kelengkapan yang disimpan di dalamnya selepas ke Tanah Suci dulu tidak mengalami sebarang kerosakan,” katanya.

    Hairuddin berkata, ia mungkin salah satu petanda dia mendapat tawaran untuk menunaikan haji pada kali ini.

    “Alhamdulillah, seminggu sebelum raya saya dapat tawaran untuk menunaikan haji.. tak dapat gambarkan perasaan pada waktu itu amat seronok.

    “Walaupun saya ada ‘slip disc’ disebabkan insiden pada 1993 dan perlu memakai pendakap leher pada waktu tertentu, keadaan itu tidak mematahkan semangat saya untuk menjadi tetamu Allah.

    “Saya sudah menjalani pemeriksaan dan pakar sahkan saya boleh menunaikan ibadah haji,” katanya yang turut bersyukur atas kelancaran perjalanan dari Malaysia ke Tanah Suci.

    Beliau turut bersyukur kerana isterinya yang sebelum ini tidak dapat menunaikan haji pada tahun 2020 akibat Covid-19 dapat datang pada kali ini bersama-samanya.

  • Sumbat mayat anak saudara dalam mesin basuh

    Sumbat mayat anak saudara dalam mesin basuh

    MISTERI kehilangan seorang budak lelaki ketika berada di bawah pengawasan bapa saudaranya terjawab apabila mayatnya ditemui dalam sebuah mesin basuh.

    Insiden mengejutkan itu berlaku di Las Pinas, Filipina pada Jumaat lalu.

    Agensi yang memetik laporan media tempatan memberitahu, sebelum dilaporkan hilang, Prince Gray Monderno bermain dengan sepupunya.

    Bapa saudara mangsa, Patrick Sucgang mendakwa tidak mengetahui keberadaan mangsa sebelum keluarganya membuat laporan polis.

    Namun, dua hari selepas kehilangan mangsa, ibu Sucgang terhidu bau busuk dari bilik remaja itu.

    Wanita itu mengesan bau busuk tersebut datang dari mesin basuh yang sudah tidak digunakan.

    “Ibu suspek menemui mayat mangsa disumbat di dalam mesin basuh tersebut.

    “Suspek diserahkan kepada polis oleh ibunya sendiri dan mengaku membunuh mangsa,” kata Ketua Polis Las Pinas, Jaime Santos.

    Motif pembunuhan masih disiasat, namun polis diberitahu suspek merupakan peminat fanatik drama bersiri Netflix bertajuk Dahmer – Monster: The Jeffrey Dahmer Story yang menceritakan kisah pembunuh bersiri Amerika Syarikat (AS), Jeffrey Dahmer yang mengganas antara tahun 1978 dan 1991.

    Suspek didakwa membunuh di bawah Akta Antipenderaan dan Eksploitasi Kanak-kanak.

    Namun, disebabkan usianya, prosiding undang-undang terpaksa digantung sehingga umurnya mencapai 18 tahun.

  • Lebih 200 maut, ratusan cedera kereta api bertembung di India

    Lebih 200 maut, ratusan cedera kereta api bertembung di India

    SEKURANG-kurangnya 207 orang terbunuh manakala 900 lagi cedera akibat kemalangan kereta api di wilayah Odisha India pada petang Jumaat, menurut ciapan ketua setiausaha wilayah Pradeep Jena, di Twitter.

    Sebuah kereta api penumpang bertembung koc kereta api lain yang tergelincir di timur India, Xinhua memetik laporan media tempatan.

    Presiden India Draupadi Murmu melahirkan rasa dukacita dan berkongsi kesakitan dan kehilangan orang tersayang.

    “Semoga mangsa yang cedera segera pulih,” menurut ciapan Perdana Menteri Narendra Modi.

    Beliau memberi jaminan bahawa “semua bantuan yang sewajarnya” akan diberi kepada mereka yang terjejas.

  • Jemaah haji ceria dapat nikmati makanan citarasa Malaysia

    Jemaah haji ceria dapat nikmati makanan citarasa Malaysia

    JEMAAH haji Malaysia yang akan berada di bumi Makkah melebihi tempoh sebulan tidak perlu bimbang ‘merindui’ masakan citarasa Malaysia kerana Tabung Haji (TH) menyediakan kafeteria di bangunan penginapan masing-masing.

    Kafeteria berbayar berkenaan adalah nilai tambah disediakan TH untuk kemudahan jemaah selain daripada hidangan wajib makan tengah hari dan makan malam yang diperuntukkan khas kepada jemaah.

    Kafeteria yang diuruskan TH Travel beroperasi mulai pukul 4.30 pagi hingga 11.30 malam itu menyediakan makanan untuk sarapan pagi, makan tengah hari dan hidangan waktu petang serta makan malam.

    Petugas kafeteria di Abraj Al Janadriyah, Mohd. Haruji Mohd. Yahya berkata, antara menu yang dijual ialah nasi lemak, roti canai, mi goreng, nasi kerabu, laksam, kuih seperti seri muka, karipap, roti jala dan pulut kuning.

    “Minuman kegemaran rakyat Malaysia iaitu teh tarik, teh ais, minuman bercoklat dan pelbagai jenis minuman jus turut dijual.

    “Pihak kami membawa tukang masak dari Malaysia untuk menyediakan masakan di kafeteria berkenaan supaya rasa dan keunikan makanan tanah air kekal walaupun kebanyakan bahan mentah dibeli di Arab Saudi.

    “Produk-produk Industri Kecil dan Sederhana (IKS) seperti keropok, sos cili dan kicap serta sambal kita bawa terus dari Malaysia,” katanya kepada media Malaysia di Hotel Abraz Al Janadriyah, di Makkah, lapor Sinar Harian.

    Mohd. Haruji ketika ditanya hasil jualan harian di kafeteria itu berkata, anggaran yang diperolehi ialah sekitar 40,000 Saudi Riyal.

    Katanya, di kafeteria berkenaan pihaknya turut memudahkan urusan pembayaran jemaah apabila mereka boleh membayar dengan QR Pay kod dalam Ringgit Malaysia dan akan ditukar dalam Saudi Riyal untuk jumlah sebenar caj dikenakan.

    Sementara itu, seorang jemaah dari Kota Bharu Kelantan, Azizi Aliass, 49, berkata, nasi lemak dan mi goreng menjadi menu kegemarannya setiap kali berkunjung ke kafeteria itu.

    “Alhamdulilah banyak makanan dari Pantai Timur dijual di sini yang memberikan banyak pilihan kepada pelanggan,” katanya.

    Seorang lagi jemaah, Armiya Abdul Halim, 55, dari Sungai Petani Kedah berkata, semenjak tiba di Makkah, kafeteria itu menjadi tempat yang sering dikunjunginya.

    “Saya suka beli nasi lemak dan teh tarik. Harga di sini berpatutan jika nak dibandingkan dengan restoran di luar sana,” katanya.

    Dalam pada itu, ketika tinjauan di Safwa Tower semalam, rata-rata jemaah Malaysia mulai berkumpul di restoran D’Saji yang menyajikan makanan Malaysia.

    Seorang jemaah haji Malaysia, Zainodin Nor, 62, dari Pasir Puteh Kelantan berkata, restoran berkenaan menjadi lokasi wajib bersama rakan-rakan kerana menyediakan menu yang mempunyai rasa sama seperti di Malaysia.

    “Saya suka beli nasi goreng dan teh tarik, ini adalah lokasi kegemaran saya dan harga di sini sesuai dengan kedudukannya berdekatan Masjidil Haram,” katanya.

  • Jho Low bawah tahanan rumah di Shanghai

    Jho Low bawah tahanan rumah di Shanghai

    AHLI perniagaan dalam buruan Low Taek Jho, atau Jho Low, dipercayai berada bawah tahanan rumah di Shanghai, China, menurut pengarang bersama ‘Billion Dollar Whale’, Bradley Hope.

    “China mengawal Jho dengan ketat disebabkan rundingan dengan Malaysia, juga kerana penaungnya dalam perkhidmatan pengintipan ditangkap dan rakan kongsinya di CCCC (China Communications Construction Company) disingkirkan,” katanya memetik laporan FMT.

    Hope berkata, daripada aset risikan, Low kini menjadi liabiliti selepas Datuk Seri Najib Razak disingkirkan pada pilihan raya umum (PRU) 2018.

    Semalam, Al Jazeera melaporkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkata, Low dipercayai bersembunyi di Macau.

    Low didakwa di Malaysia dan Amerika Syarikat atas tuduhan mendalangi penyelewengan USD4.5 bilion dana 1MDB.

    Beijing sebelum ini menafikan melindungi Low.

    Malam tadi, dilaporkan bahawa sumber SPRM mengesahkan Kee Kok Thiam, bekas pembantu Low yang memaklumkan pihak berkuasa Malaysia tentang keberadaan Low di Macau, telah meninggal dunia.

    Kee kembali ke Malaysia pada 3 Mei lepas selepas lima tahun berada di luar negara.

  • Erdogan menang pilihan raya Presiden Turki

    Erdogan menang pilihan raya Presiden Turki

    RECEP Tayyip Erdogan menang pusingan kedua pilihan raya Presiden Turki, sekali gus melanjutkan lagi pemerintahannya selama lima tahun di negara itu menuju dua dekad.

    Pemimpin berusia 69 tahun itu mengatasi krisis ekonomi terburuk Turki dalam satu generasi dan pakatan pembangkang paling kuat yang pernah dihadapi parti berteraskan Islam pimpinannya untuk memenangi pilihan raya paling sukar itu.

    Jalan di negara itu meriah dengan sambutan penyokong yang membunyikan hon kenderaan dan penghormatan dari seluruh dunia, dengan pemimpin terpenting dalam sejarah Turki itu mengetuai lautan penyokongnya menyanyikan lagu kemenangan di luar istana Presiden di Ankara.

    Lokasi ikonik di Istanbul, Dataran Taksim, turut dibanjiri orang ramai yang bernyanyi dan mengibarkan bendera.

    Dalam ucapannya selepas kemenangan bersejarah itu, beliau meminta rakyat Turki untuk bersatu.

    “Kita harus bersatu dalam perpaduan dan solidariti. Kami menyeru dengan sepenuh hati kami,” kata Erdogan kepada orang ramai yang meraikan kemenangannya dan mengibarkan bendera.

    Keputusan pilihan raya itu menunjukkan Erdogan menewaskan pencabarnya dari parti pembangkang sekular, Kemal Kilicdaroglu dengan empat mata peratusan.

    “Saya berharap untuk terus bekerjasama sebagai Sekutu Nato (Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara) dalam isu dua hala dan berkongsi cabaran global,” kata Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden melalui Twitter.

    Presiden Russia, Vladimir Putin, berkata keputusan itu menunjukkan sokongan kepada ‘usaha Erdogan untuk mengukuhkan kedaulatan negara dan meneruskan dasar luar. yang bebas’.

    Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky, berkata beliau mahu terus bekerjasama dengan Erdogan ‘untuk keselamatan dan kestabilan Eropah’.

    Pemimpin di seluruh Eropah dan dunia Arab turut mengucapkan tahniah, selain bekas presiden AS, Donald Trump.

    Erdogan dilihat sebagai wira golongan miskin di pedalaman Turki kerana ketegasan dan ketaatan mematuhi ajaran Islam tetapi pada masa sama, menggalakkan kebebasan beragama serta usaha memodenkan negara itu.

    Pemulihan ekonomi Turki akan menjadi cabaran paling besar bagi Erdogan kerana mata wang lira kini merudum teruk dan ladar inflasi mencecah 85 peratus tahun lalu, lapor AFP.

  • 11 maut dalam runtuhan salji di utara Pakistan

    11 maut dalam runtuhan salji di utara Pakistan

    SEKURANG-KURANGNYA 11 maut manakala 13 lagi cedera selepas ditimpa runtuhan salji di utara Pakistan, lapor Agensi Anadolu (AA).

    Kejadian runtuhan salji berlaku berhampiran Shounter Valley Pass di Tapak Perkhemahan Bakarwal di wilayah Gilgit Baltistan, menurut kerajaan wilayah dalam satu kenyataan Sabtu.

    “Semasa kejadian itu, 25 orang daripada keluarga Gujjar termasuk haiwan ternakan … ditimpa runtuhan salji,” katanya.

    Lapan mayat ditemukan setakat ini, sementara usaha mencari mereka yang masih hilang diteruskan.

    Menurut kenyataan itu, mereka yang cedera telah dibawa ke Hospital Ibu Pejabat Daerah Astore, di mana sebahagiannya dilaporkan berada dalam keadaan kritikal.

    Disebabkan lokasi terpencil dan rupa bumi yang sukar, pasukan penyelamat juga berdepan cabaran untuk memindahkan jentera berat ke kawasan terjejas, menurut pegawai penyelamat tempatan.

    Perdana Menteri Shehbaz Sharif turut melahirkan rasa dukacita atas kehilangan nyawa dan mengarahkan pihak berkuasa tempatan menggerakkan pasukan penyelamat ke lokasi kejadian.

  • Arab Saudi keluar amaran hujan lebat berterusan, banjir landa Kota Makkah

    Arab Saudi keluar amaran hujan lebat berterusan, banjir landa Kota Makkah

    DIREKTORAT Pertahanan Awam Arab Saudi menasihatkan orang ramai agar berhati-hati dan mengambil langkah berjaga-jaga ekoran amaran hujan lebat berterusan selama lima hari selain ribut petir disertai ketulan air batu dan banjir kilat di kebanyakan wilayah di negara itu, mulai hari ini, hingga Selasa depan.

    Agensi Berita Arab Saudi (SPA) yang memetik kenyataan direktorat itu melaporkan Kota Makkah yang menempatkan masjid paling suci umat Islam iaitu Masjidil Haram akan turut terkesan berikutan fenomena itu.

    Menurut SPA, angin kencang berdebu turut diramal berlaku di beberapa tempat termasuk kawasan Masyair di Makkah dan Madinah selain Taif, Maysan, Adham, Al-Khurma, Al-Ardiyat dan beberapa kawasan berhampiran di wilayah sempadan utara.

    Direktorat itu menjelaskan jangkaan hujan sederhana hingga lebat dan angin kencang berdebu akan melanda wilayah Riyadh, Afif, Dawadmi, Al-Quwaiyah, Al-Majma’a, Al-Zulfi, Al-Ghat dan Ramah.

    “Kami menasihatkan orang ramai, termasuk jemaah haji dan umrah supaya berhati-hati semasa fenomena hujan lebat dan menjauhi lokasi air hujan terkumpul bagi mengelakkan insiden luar jangka”, menurut direktorat itu.

  • Tujuh termasuk 4 kanak-kanak maut selepas bumbung padang sekolah runtuh

    Tujuh termasuk 4 kanak-kanak maut selepas bumbung padang sekolah runtuh

    TUJUH termasuk empat kanak-kanak maut selepas bumbung di sebuah padang sekolah runtuh dalam kejadian ribut di Thailand semalam.

    Memetik SCMP, mangsa terdiri daripada kanak-kanak berumur di antara enam dan 13 tahun itu sedang berlindung ketika hujan selepas menyertai aktiviti di Sekolah Rendah Wat Nern Por di wilayah Phichit.

    Menurut media tempatan, keadaan hujan lebat dan angin kencang menyebabkan bumbung itu runtuh secara tiba-tiba.

    “Orang dewasa yang terkorban termasuk dua ibu bapa dan seorang penjaga, manakala 18 yang lagi cedera,” kata pejabat hubungan awam wilayah Phichit, lapor Agensi.

    Seorang saksi memberitahu ThaiPBS, dia terdengar bunyi seakan berada dalam zon perang sebelum dilanda ribut yang kuat.

    Datuk Bandar tempatan Kannika Intarakul memaklumkan banyak kediaman di kawasan itu turut mengalami kerosakan.

    Difahamkan, seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun telah dibawa ke hospital namun meninggal dunia akibat kecederaan parah.

    Sebelum ini, Jabatan Meteorologi Thailand mengeluarkan amaran mengenai hujan lebat di kawasan utara Thailand bermula minggu ini.

  • Berang telefon bimbit dirampas, pelajar perempuan bakar asrama

    Berang telefon bimbit dirampas, pelajar perempuan bakar asrama

    KEBAKARAN yang mengorbankan 19 kanak-kanak di sebuah asrama di Guyana dipercayai berlaku susulan tindakan pihak sekolah merampas telefon bimbit seorang pelajar.

    “Seorang pelajar perempuan disyaki menyebabkan kebakaran berlaku apabila telefon bimbitnya dirampas oleh ibu pengasuh dan seorang guru asrama,” kata polis dalam satu kenyataan.

    Memetik laporan Reuters, Datuk Bandar Mahdia, David Adams mengesahkan pelajar perempuan itu tidak mengalami kecederaan di dalam kejadian tersebut.

    Beliau juga tidak dapat mengesahkan sama ada pelajar itu ditahan dan kenyataan polis tidak menyebut mengenai sebarang penangkapan.

    Dalam pada itu, beberapa pelajar memberitahu penyiasat bahawa mereka terjaga apabila terdengar jeritan dan melihat api memenuhi ruangan bilik air asrama.

    Ahli patologi kerajaan yang melakukan bedah siasat post-mortem ke atas enam mayat menyenaraikan sebab kematian mereka sebagai keracunan asap dan luka terbakar.

    Tiga belas mayat telah dipindahkan ke ibu negara Georgetown untuk pengesanan DNA dan hampir 30 kanak-kanak lain dirawat di hospital.

    Menteri Pendidikan Priya Manickchand sebelum ini enggan membincangkan penglibatan pelajar tersebut.

    Ketika ditanya mengenai dakwaan bahawa asrama itu tidak dilengkapi dengan sistem amaran kebakaran moden dan pelajar tidak dilatih dalam latihan kebakaran, Manickchand berkata bahawa kejadian masih dalam siasatan.

    Presiden Irfaan Ali turut bertemu beberapa ibu bapa kanak-kanak mangsa selepas melawat hospital Mahdia dan mengisytiharkan tempoh tiga hari berkabung kebangsaan, lapor Agensi.