Category: Luar Negara

  • Warga emas bunuh isteri, kanak-kanak jadi saksi

    Warga emas bunuh isteri, kanak-kanak jadi saksi

    SEORANG lelaki berusia 74 tahun didakwa membunuh isterinya berikutan insiden keganasan rumah tangga, pukul 6 petang semalam.

    Isteri kepada warga emas tersebut yang berusia 74 tahun ditemui cedera parah di kediaman mereka yang terletak di Timur Sydney.

    Menurut Astro Awani yang memetik laporan 9News, pihak berkuasa Sydney menerima panggilan kecemasan dari lokasi terbabit.

    Mangsa yang mendapat rawatan kecemasan kemudian disahkan meninggal dunia di Hospital St Vincent beberapa jam selepas itu.

    Dalam pada itu, suspek dikenali sebagai Steven Barker telah ditahan dah dibawa ke Balai Polis Waverly atas tuduhan membunuh.

    Difahamkan, seorang kanak-kanak turut berada di dalam rumah ketika kejadian akan menjadi saksi dalam proses siasatan.

    Permohonan Barker untuk diikat jamin telah ditolak dan akan dihadapkan ke Mahkamah Tempatan Waverley, hari ini.

    Sementara itu, seorang jiran di kawasan perumahan mangsa mengaku masih terkejut dengan kejadian itu kerana berjalan di depan lokasi ketika kejadian berlaku pada sebelah pagi.

  • Tragedi Stadium Kanjuruhan: Enam individu berdepan tuduhan jenayah

    Tragedi Stadium Kanjuruhan: Enam individu berdepan tuduhan jenayah

    Enam individu terdiri daripada tiga anggota jawatankuasa penganjur dan tiga anggota polis berdepan tuduhan jenayah berkaitan tragedi 1 Okt di Stadium Kanjuruhan, Malang, Jawa Timur yang meragut 125 nyawa termasuk kanak-kanak.

    Tiga anggota polis itu adalah mereka yang bertugas semasa pertembungan ‘derby Jawa Timur’ antara Arema FC dan Persebaya Surabaya, kata Ketua Polis Jenderal Listyo Sigit Prabowo dalam sidang media yang disiarkan stesen televisyen tempatan.

    Beliau berkata mereka akan didakwa di bawah Perkara 359 dan 360 Kanun Keseksaan iaitu kecuaian sehingga menyebabkan kematian dan Perkara 103 perenggan 1 Undang-Undang No 11 Tahun 2022 mengenai sukan.

    Listyo berkata ketua PT Liga Indonesia Baru, organisasi yang mentadbir pertandingan bola sepak profesional Indonesia disyaki gagal memastikan stadium memenuhi syarat untuk pensijilan operasi.

    Ketua jawatankuasa pengelola pertandingan Arema FC mencetak tiket melebihi kuota menjadi 42,000 tiket melampaui had 38,000 tiket dan pegawai keselamatan kelab tidak menyelaraskan penjaga pintu ketika kejadian.

    Seorang anggota polis didapati gagal mencegah penggunaan gas pemedih mata meskipun tahu ia dilarang Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa, manakala dua lagi memerintahkan anggota bawahan melepaskan gas pemedih mata.

    Jika sabit kesalahan keenam-enam mereka boleh dipenjara maksimum lima tahun, kata Listyo sambil menambah, pihaknya tidak menolak kemungkinan ada penambahan suspek memandangkan siasatan masih diteruskan.

    Kekalahan pertama Arema FC di tempat sendiri kepada Persebaya Surabaya dalam tempoh 23 tahun mencetuskan kemarahan penyokongnya yang memasuki padang untuk bersemuka dengan pemain dan pegawai pasukan itu sebaik tamat perlawanan.

    Situasi tegang memaksa pihak keselamatan melepaskan gas pemedih mata dan menyebabkan ribuan penyokong berasak-asak untuk keluar stadium melalui beberapa pintu sehingga berlaku rempuhan.

    Akibat insiden itu, Arema FC didenda 250 juta rupiah (RM76,124) oleh Persatuan Bola Sepak Indonesia, manakala Polis Indonesia memecat ketua polis Malang dan sembilan lagi anggota.

  • Amukan bekas pegawai polis: 31 termasuk kanak-kanak pusaat jagaan maut

    Amukan bekas pegawai polis: 31 termasuk kanak-kanak pusaat jagaan maut

    SEKURANG-kurangnya 31 orang terbunuh dalam satu kejadian tembak dan tikam beramai-ramai di sebuah pusat jagaan kanak-kanak di wilayah timur laut Thailand hari ini.

    Edaran gambar supek oleh pihak berkuasa Thailand

    Agensi berita Reuters melaporkan, jurucakap polis Thailand dalam satu kenyataan berkata, mangsa yang maut dalam kejadian di wilayah Nong Bua Lamphu itu termasuk 23 kanak-kanak dan orang dewasa.

    Katanya, suspek merupakan seorang bekas pegawai polis dan operasi memburu lelaki itu sudah digerakkan namun motif lelaki itu masih tidak diketahui.

    “Perdana Menteri telah memaklumkan semua agensi agar mengambil tindakan dan menangkap pelakunya,” kata jurucakap kerajaan.

    Menurut laporan BBC, suspek dipecat daripada badan beruniform itu baru-baru ini.

    Dia kali terakhir dilihat memandu sebuah trak pikap warna putih dengan nombor pendaftaran Thailand.

    Kadar pemilikan senjata api di Thailand adalah tinggi berbanding beberapa negara lain di rantau ini.

    Namun angka rasmi itu tidak termasuk sejumlah besar senjata api haram, kebanyakannya dibawa masuk merentasi sempadan negara.

    Insiden tembak beramai-ramai jarang berlaku di Thailand tetapi pada 2020, seorang askar yang berang dengan perjanjian hartanah membunuh sekurang-kurangnya 29 orang dan mencederakan 57 dalam amuk yang menjangkau empat lokasi.

  • Ada racun perosak: Singapura arah 2 produk Mie Sedaap ditarik balik

    Ada racun perosak: Singapura arah 2 produk Mie Sedaap ditarik balik

    SINGAPURA mengarahkan dua produk Mie Sedaap jenama Indonesia iaitu mi segera Korean Spicy Chicken dan mi segera Korean Spicy Soup ditarik balik susulan kehadiran etilena oksida iaitu sejenis racun perosak.

    Lapor The Straits Times, Agensi Makanan Singapura (SFA) berkata, etilena oksida dikesan dalam produk semasa tinjauan produk makanan.

    Ini selepas racun perosak yang sama dikesan dalam produk ais krim Haagen-Dazs pada Ogos lalu yang juga sudah ditarik balik.

    Produk Korean Spicy Chicken yang terjejas mempunyai tarikh luput pada 21 Mei 2023 manakala tarikh luput produk Korean Spicy Soup terlibat ialah pada 17 Mac tahun depan.

    Tinjauan The Straits Times menunjukkan bahawa dua perisa mi segera terbabit boleh didapati di pasar raya tempatan dan dalam talian.

    Menurut SFA, etilena oksida ialah racun perosak yang tidak dibenarkan untuk digunakan dalam makanan.

    Walaupun tidak menimbulkan risiko segera pada tahap penggunaan yang rendah, pendedahan jangka panjang boleh membawa kepada masalah kesihatan.

    Menurut laporan dari Agensi Perlindungan Alam Sekitar Amerika Syarikat, pendedahan jangka panjang kepada etilena oksida pada manusia boleh menyebabkan kerengsaan mata, kulit, hidung, tekak dan paru-paru serta kerosakan pada otak dan sistem saraf.

    Pada masa sama pendedahan kepada etilena oksida juga meningkatkan risiko kanser.

    Sementara itu, SFA sedang menguji produk mi segera Mie Sedaap yang lain dan bekerjasama dengan pengimport dan pihak berkuasa Indonesia untuk “menyiasat dan membetulkan punca pencemaran etilena oksida”.

    Kata SFA, pengguna yang telah membeli produk yang terjejas harus mendapatkan nasihat perubatan jika mereka telah memakan dan mempunyai masalah kesihatan.

  • Pintu terkunci,tangga curam dan panik punca tragedi Stadium Kanjuruhan-Jokowi

    Pintu terkunci,tangga curam dan panik punca tragedi Stadium Kanjuruhan-Jokowi

    TRAGEDI 1 Okt di Stadium Kanjuruhan, Malang, Jawa Timur dikenal pasti berpunca daripada pintu keluar terkunci, kata Presiden Indonesia Joko Widodo.

    Beliau yang lebih dikenali sebagai Jokowi berkata tinjauannya di stadium pada Khamis mendapati tangga ke pintu keluar juga terlalu curam dan ditambah dengan penyokong yang panik.

    “Hal itu perlu dilihat secara terperinci oleh jawatankuasa khas bebas dan yang paling penting ialah keseluruhan bangunan stadium akan diaudit oleh Kementerian Kerja Raya dan Perumahan Rakyat (PUPR),” katanya dalam satu kenyataan.

    Kementerian itu juga diarah mengaudit dan memperbaiki semua stadium yang menjadi venue perlawanan dalam liga bola sepak sesuai dengan standard yang ditetapkan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

    FIFA menyatakan kesediaan untuk membantu menambah baik pengurusan stadium semasa perbualan telefon dengan Presiden Gianni Infantino pada Isnin, kata Jokowi.

    Menurutnya, pentadbir, pengurusan stadium, penonton dan keselamatan memerlukan penilaian menyeluruh agar kejadian selepas perlawanan antara Arema FC dan Persebaya Surabaya tidak berulang.

    Beliau dan isteri Iriana Joko Widodo mengunjungi hospital di Malang untuk melawat mangsa dan memberikan pampasan 50 juta rupiah (sekitar RM15,000) kepada keluarga mangsa yang terkorban.

    Tragedi itu berlaku selepas pasukan Arema FC tewas, mencetuskan kemarahan penyokongnya yang memasuki padang untuk bersemuka dengan pemain dan pegawai pasukan itu selepas perlawanan tamat.

    Keadaan tegang memaksa pasukan keselamatan melepaskan gas pemedih mata yang menyebabkan ribuan penyokong berasak-asak untuk keluar stadium melalui beberapa pintu sehingga berlaku rempuhan.

    Sementara itu, Angkatan Darat Tentera Nasional Indonesia menyerahkan sepenuhnya kepada jawatankuasa khas bebas untuk menyiasat mengenai dakwaan beberapa anggotanya yang melakukan kekerasan semasa menyuraikan rusuhan.

    Bagaimanapun, Ketua Staf Jeneral Dudung Abdurachman berkata kekerasan yang dilakukan kemungkinan bersebab dan ramai anggotanya turut membantu menyelamatkan penyokong.

    Dalam video yang tular di media sosial, anggota tentera yang turut serta menjaga keselamatan di stadium bertindak kasar dengan menendang penyokong bola sepak hingga terjatuh.

  • 25 kubur diancam tanah runtuh hingga nampak kain kafan jenazah

    25 kubur diancam tanah runtuh hingga nampak kain kafan jenazah

    SEKURANG-kurangnya 25 kubur umat Islam di sebuah tapak perkuburan umum (TPU) di Kota Bandung Indonesia diancam tanah runtuh sehingga menampakkan kain kafan jenazah.

    Lapor Kompas.com, foto kejadian di TPU Sirnaraga, Jalan Citepus, Kota Bandung itu mula tular di media sosial sejak semalam.

    Pemilik akaun Twitter bernama @txtdaribandung dalam ciapannya berkata:”Runtuh akibat hujan lebat di TPU Sirnaraga, Jalan Citepus, Kota Bandung. Ada beberapa kain kafan yang terlihat”.

    Setakat hari ini, ciapan tersebut diulang kicau sebanyak 9,558 kali dan disukai lebih 46,200 pengguna Twitter lain.

    Sementara itu, Ketua Jabatan Cipta Karya, Bina Konstruksi dan Tata Ruang Kota Bandung, Bambang Suhari mengesahkan kejadian itu.

    “Betul di wilayah TPU Sirnaraga RT 04 RW 07, Kecamatan Cicendo, Bandung,” kata Bambang kepada Kompas.com, hari ini.

    Menurutnya, tanah runtuh di kawasan perkuburan tersebut diakibatkan hujan lebat yang berlaku sebelum itu.

    Katanya, terdapat 25 kubur yang terjejas dengan 10 daripadanya rosak akibat runtuhan tembok penahan tebing TPU berkenaan.

    “Dari 10 kubur yang rosak itu, ada tujuh yang kita rancang akan dipindahkan iaitu lima makam kanak-kanak dan dua kubur dewasa.

    “Pemindahan kubur sudah diselaraskan dan telah mendapat persetujuan dari waris,” katanya.

    Beliau menambah, masih ada tiga kubur rosak yang perlu diperbaiki, namun tidak perlu dipindahkan.

    Namun katanya, tidak ada jenazah yang jatuh dan dihanyutkan arus sungai berhampiran.

  • Digigit kemaluan hanya kerana curi barang tak sampai RM5

    Digigit kemaluan hanya kerana curi barang tak sampai RM5

    SEORANG lelaki dihukum kejam dengan kemaluannya digigit dan dibelasah teruk di hadapan orang ramai hanya kerana dituduh mencuri barangan bernilai kurang daripada RM5.

    Video insiden itu tular selepas dikongsi di Twitter oleh Parti Marxist Nigeria, yang mendakwa kejadian itu berlaku di Semenanjung Bakassi, Nigeria.

    Menurut dakwaan, lelaki itu dituduh mencuri barangan bernilai kurang satu dolar (RM4.65) sebelum hukuman itu dilakukan mengikut ‘jungle justice’.

    Rakaman video memaparkan, seorang daripada kumpulan orang ramai itu tiba-tiba melutut di sebelah lelaki yang sudah dibogelkan itu sebelum menggigit kemaluannya.

    Penderitaan lelaki itu tidak terhenti setakat itu apabila orang ramai merejamnya hingga menyebabkan dia tidak berdaya.

    Sejurus selepas penyerang yang tidak berperasaan itu memperlakukan mangsa dengan aib dan kejam, segelintir daripada mereka menghempas batu besar terhadap lelaki tersebut.

    Video itu membimbangkan netizen kerana tindakan penyerang itu keterlaluan, malah Parti Marxist Nigeria turut menggesa hukuman dikatakan ‘jungle justice’ diharamkan.

    “Inilah sebabnya kita harus mengharamkan ‘jungle justice’. Hanya kerana mencuri sesuatu yang kurang daripada satu dolar, kemaluannya digigit,” katanya dalam Twitter, menurut Harian Metro memetik laporan Agensi.

    “Tolonglah ini sangat jahat dan biadab. Pelakunya harus dihadapkan dengan hukum berat,” komen seorang netizen, Lugard Ekhator.

    Seorang ahli politik Nigeria, Dakuku Peterside berkata negaranya sedang mengalami ‘wabak’ ‘jungle justice’ iaitu melakukan pembunuhan di luar undang-undang.

    Katanya, seorang penjenayah yang didakwa dimalukan secara terbuka, dipukul dan kemudian dihukum bunuh oleh kumpulan orang ramai yang marah.

    Ahad lalu, polis di Lagos State juga mengesahkan, kumpulan penunjuk perasaan menjalankan ‘jungle justice’ ke atas dua lelaki yang didakwa merompak seorang juruwang di kawasan Igando.

    Orang ramai membakar mangsa sehingga tidak dapat dikenali.

  • Pasangan pengantin baharu mati sebab terlebih ‘ubat kuat’

    Pasangan pengantin baharu mati sebab terlebih ‘ubat kuat’

    SEPASANG suami isteri yang baru bernikah maut di sebuah hotel di Jawa Tengah, Indonesia selepas dipercayai makan ubat kuat atau ubat perangsang seks.

    Pasangan itu ditemukan tidak bernyawa dalam hotel di kawasan Karangpandan, Karanganyar, Jawa Tengah ketika kakitangan hotel membuat pemeriksaan selepas menyedari mereka terlewat mendaftar keluar, Isnin lalu.

    Ketua Subseksyen Unit Pendidikan dan Hubungan Masyarakat Polis Karanganyar, Bripka Aditya Prima Sakti mengesahkan, pasangan masing-masing berusia 30 dan 27 tahun yang berasal dari Mojosongo, Kota Solo itu baharu saja bernikah beberapa minggu lalu.

    Katanya, mereka membuat tempahan untuk menginap di hotel itu pada 4.30 petang, Sabtu lalu.

    “Mengikut maklumat kakitangan hotel, pasangan itu sempat memohon untuk memanjangkan tempoh masa penginapan mereka sehingga 4 petang, Ahad.

    “Namun, pada keesokannya, kedua mereka tiada khabar sehingga kakitangan hotel membuat pemeriksaan dan menemukan kedua-duanya sudah meninggal dunia,” katanya menurut Harian Metro yang memetik laporan Agensi hari ini.

    Katanya, bedah siasat mendapati tiada tanda-tanda kekerasan pada tubuh badan mangsa.

    “Kedua-duanya meninggal dunia kerana disyaki terlalu banyak mengambil ubat kuat sehingga mengakibatkan denyut jantung laju dan pembuluh darah pecah sebelum meninggal dunia.

    “Punca kematian ini diperkukuhkan lagi dengan barang bukti iaitu sisa ubat kuat yang diminum mereka yang ditemukan di bilik hotel itu.

    “Sebuah botol suplemen atau ‘ubat kuat’ ditemukan kosong serta satu satu strip ubat kelihatan terbuka dan sudah digunakan,” katanya.

  • Tragedi Kanjuruhan: Tindakan tegas menunggu anggota polis, tentera

    Tragedi Kanjuruhan: Tindakan tegas menunggu anggota polis, tentera

    TENTERA Nasional Indonesia memberi jaminan akan mendakwa anggotanya yang melakukan kekerasan semasa menyuraikan rusuhan dalam tragedi 1 Oktober di Stadium Kanjuruhan, Malang, Jawa Timur, yang meragut 125 nyawa.

    Menurut Panglima Tentera Jenderal Andika Perkasa, anggota yang didapati bersalah bukan lagi berhadapan dengan hukuman etika tatatertib tetapi hukuman jenayah.

    “Tindakan (anggota) dalam video yang tular kelmarin bukan dalam konteks mempertahankan diri. Ia perbuatan jenayah kerana orang awam mungkin tidak akan sesekali mahu berhadapan dengan tentera,” katanya seperti dipetik media tempatan.

    Andika turut menggesa orang ramai menghantar video tindakan anggota tentera yang melakukan kekerasan melampau semasa kejadian kepada pihak tentera.

    Dalam video yang tular di media sosial, anggota tentera yang turut serta menjaga keselamatan di stadium bertindak kasar dengan menendang penyokong bola sepak hingga terjatuh.

    Sementara itu, Polis Indonesia memecat ketua polis Malang dan sedang menyiasat lebih sembilan pegawai kerana didapati bertanggungjawab melepaskan gas pemedih mata di dalam stadium.

    Tragedi itu berlaku selepas pasukan Arema FC tewas 3-2 kepada Persebaya Surabaya, mencetuskan kemarahan penyokongnya yang memasuki padang untuk bersemuka dengan pemain dan pegawai pasukan itu selepas perlawanan tamat.

    Bagaimanapun, keadaan bertambah tegang dengan pasukan keselamatan melepaskan gas pemedih mata yang menyebabkan ribuan penyokong atas padang berasak-asak untuk keluar stadium melalui satu pintu sehingga berlaku rempuhan. Tidak kurang daripada 323 orang turut cedera.

    Pihak keselamatan berdepan tekanan susulan penggunaan gas pemedih mata di dalam kawasan tertutup sekaligus menyalahi garis panduan stadium yang ditetapkan oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA). – BERNAMA

  • Rusuhan di Kanjuruhan: Malaysia sedia hulur bantuan-Ahmad Faizal

    Rusuhan di Kanjuruhan: Malaysia sedia hulur bantuan-Ahmad Faizal

    MALAYSIA bersedia menghulurkan sebarang bentuk bantuan sekiranya diperlukan oleh kerajaan Republik Indonesia khususnya Kementerian Pemuda dan Olahraga negara berkenaan susulan daripada insiden rusuhan pada perlawanan bola sepak kelmarin.

    Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata ini kerana Indonesia bukan sekadar negara jiran kepada Malaysia bahkan merupakan sahabat serta saudara serumpun yang akan senantiasa ditemani ketika berdepan detik-detik sukar.

    “Semoga insiden ini menjadi teladan dan iktibar buat semua pihak agar ia tidak lagi berulang bukan sahaja di Indonesia malah, termasuk Malaysia serta lain-lain negara seluruh dunia.

    “Sukan seharusnya memupuk semangat kebersamaan dan perpaduan bukan sahaja dalam kalangan atlet malah, meliputi setiap daripada kita. Marilah kita semua senantiasa mendukung semangat kesukanan yang tinggi demi kemaslahatan bersama,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Pada kejadian berkenaan, seramai 125 orang dilaporkan terkorban, termasuk dua anggota polis, dalam insiden rusuhan selepas perlawanan Liga 1 Indonesia di antara Arema FC dan Persebaya Surabaya yang berlangsung di Stadium Kanjuruhan, Malang.

    Ahmad Faizal dalam masa sama turut menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga mangsa yang terkorban dalam insiden tersebut serta mendoakan kesembuhan kepada mangsa yang cedera.