Category: Luar Negara

  • Korea Selatan rekod kes pertama ‘amoeba pemakan otak’

    Korea Selatan rekod kes pertama ‘amoeba pemakan otak’

    KOREA Selatan melaporkan kes pertama jangkitan Naegleria fowleri yang biasanya dirujuk sebagai ‘amoeba pemakan otak’, menurut pihak berkuasa kesihatan semalam.

    Agensi Kawalan dan Pencegahan Penyakit Korea (KDCA) mengesahkan kematian warga tempatan yang berusia dalam lingkungan 50-an selepas mangsa kembali dari Thailand pada 10 Disember lalu setelah menetap selama empat bulan di sana.

    “Dia dimasukkan ke hospital pada keesokan harinya dan meninggal dunia pada Rabu lalu. Kami telah melakukan ujian genetik ke atas tiga jenis patogen yang menyebabkan Naegleria fowleri untuk mengesahkan punca kematiannya.

    “Keputusan ujian itu menunjukkan gen dalam tubuh lelaki itu adalah 99.6 peratus sama dengan yang ditemui pada pesakit meningitis di luar negara,” jelas KDCA.

    Difahamkan, ia adalah kes pertama jangkitan itu yang dilaporkan di Seoul selepas Naegleria fowleri muncul di Virginia pada 1937.

    Naegleria fowleri ialah amoeba atau organisma sel tunggal yang hidup di dalam tanah dan air tawar hangat seperti mata air panas, tasik dan sungai di seluruh dunia.

    Ia memasuki tubuh manusia melalui hidung dan menuju ke otak.

    Antara simptom awal termasuk sakit kepala yang teruk, demam, loya atau muntah dan tempoh inkubasi Naegleria fowleri biasanya dua hingga tiga hari atau boleh mencecah sehingga 15 hari.

    Sebagai langkah berjaga-jaga, KDCA telah menasihatkan orang ramai supaya tidak melakukan aktiviti berenang di kawasan di mana penyakit itu dikesan walaupun penyebaran antara manusia adalah mustahil.

    Sehingga 2018, sebanyak 381 kes Naegleria fowleri telah dilaporkan di seluruh dunai termasuk India, Thailand, Amerika Syarikat (AS), China dan Jepun.

    Menurut data Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) di AS, sebanyak 154 kes jangkitan ‘amoeba pemakan otak’ dilaporkan dari 1962 hingga 2021 dan hanya empat pesakit terselamat dengan kadar kematian lebih 97 peratus, lapor Sinar Harian.

  • Sekurang-kurangnya dua maut gempa bumi di California

    Sekurang-kurangnya dua maut gempa bumi di California

    GEMPA bumi berukuran 6.4 pada skala Richter menyebabkan sekurang-kurangnya dua orang maut dan hampir sedozen lagi cedera di California, Amerika Syarikat (AS), lapor Agensi Anadolu. 

    Gempa bumi itu berlaku berhampiran Ferndale, kira-kira 338 kilometer (km) barat laut San Francisco pada Selasa, merosakkan bangunan dan jalan serta menyebabkan bekalan elektrik lebih 70,000 rumah terjejas.

    “Dua orang meninggal dunia manakala 11 yang lain cedera,” memetik kenyataan Pejabat Perkhidmatan Kecemasan Daerah Humboldt.

    Dalam satu hantaran di Twitter, pejabat daerah itu memaklumkan banyak jalan raya dan rumah di seluruh Humboldt Kaunti mengalami kerosakan dan penduduk diminta siap siaga kemungkinan gempa susulan. 

    Sekurang-kurangnya 80 gegaran susulan dilaporkan berlaku dengan satu gempa bermagnitud 4.6, menurut Pejabat Perkhidmatan Kecemasan California (Cal OES).

    Pegawai negeri menggesa penduduk bersiap sedia berikutan satu lagi gempa bumi diramal berlaku dalam masa terdekat.

  • Pelakon veteran Bollywood, Veena Kapoor dibunuh anak sendiri kerana harta

    Pelakon veteran Bollywood, Veena Kapoor dibunuh anak sendiri kerana harta

    PELAKON televisyen veteran Bollywood, Veena Kapoor dibunuh anak lelakinya sendiri dalam satu pergaduhan akibat harta.

    Veena, 74, dilapor dipukul dengan teruk menggunakan kayu besbol selepas bergaduh dengan anak lelakinya yang sebelum ini menetap di Amerika Syarikat (AS).

    Menurut Berita Harian yang memetik laporan Agensi, pihak berkuasa di sana memakumkan, anak lelakinya mengaku membunuh ibunya sendiri hanya disebabkan perselisihan faham membabitkan hartanah bernilai RM6.4 juta.

    Polis telah menahan tertuduh, Sachin Kapoor, 43, dan individu yang didakwa bersubahat dengannya, Chhotu atau nama sebenarnya Lalu Kumar Mandal, 25.

    Terdahulu, kehilangan aktres itu mulai dihidu oleh pengawal keselamatan kediaman Kapoor yang bertindak memaklumkan kepada polis Juhu.

    Difahamkan, selepas membunuh ibunya, Sachin telah membuang mayat Veena ke dalam sungai berhampiran Matheran di daerah Raigad, Mumbai.

    Veena pernah terbabit dalam drama ‘Bhabhi’ yang disiarkan sekitar tahun 2002 hingga 2008.

    Selain itu, antara filem lain lakonan Veena ialah ‘Mitter Pyare Nu Haal Mureedan Da Kehna’, ‘Dal: The Gang’ dan ‘Bandhan Pheron Ke’.

  • Penduduk gempar dua ekor buaya air masin masuk kampung

    Penduduk gempar dua ekor buaya air masin masuk kampung

    PENDUDUK perkampungan Surat Thani, Selatan Thailand digemparkan dengan kehadiran dua ekor buaya air masin sepanjang empat dan hampir dua meter malam tadi.

    Memetik laporan The Thaiger, kedua-dua ekor reptilia itu ditemui di dalam parit yang hanya terletak kira-kira 100 meter sahaja dari kawasan kampung.

    Menurut Ketua Kampung, Samnuan Thongsri, beliau telah meminta penduduk kampung mengawasi kedudukan buaya sementara menunggu pasukan penangkap buaya tiba ke lokasi.

    Jurucakap Jabatan Perikanan Thailand, Pilaiporn Thongmak berkata, beliau menganggarkan berat buaya sepanjang empat meter itu melebihi 150 kilogram.

    “Sementara seekor buaya kecil itu mungkin tersesat ketika cuba memasuki Terusan Kanthuli, yang sepatutnya membawa ia ke laut,” katanya.

    Difahamkan, para penangkap buaya mengambil langkah berhati-hati ketika menangkap reptilia itu kerana diketahui ia lebih agresif daripada buaya air tawar.

    “Kedua-dua diikat dan buaya lebih besar itu ditutup mata bagi memastikan ia kekal tenang”.

    Jelasnya, kedua-dua buaya itu dibawa ke Pusat Penyelidikan dan Pembangunan Perikanan Surat Thani di daerah Phun Phin untuk dijaga.

    Katanya, buaya tersebut berkemungkinan datang daripada kawasan ladang yang mengalami banjir di tempat berdekatan.

    “Ini satu-satunya penjelasan yang realistik bagi buaya air masin yang ditemui dalam jarak 10 kilometer dari pantai,” katanya, lapor Utusan TV.

  • Gabenor wanita Islam pertama Thailand tekad banteras dadah

    Gabenor wanita Islam pertama Thailand tekad banteras dadah

    GABENOR wanita Islam pertama Thailand, Pateemoh Sadeeyamu komited dalam membanteras penyalahgunaan dan penagihan dadah sekaligus meningkatkan taraf hidup penduduk tempatan.

    Pateemoh, Gabenor Pattani yang baharu mahu bekerjasama dengan jabatan dan agensi berkaitan untuk membasmi penyalahgunaan dadah khususnya di kalangan belia.

    “Kajian mendapati dadah adalah masalah utama mengancam keselamatan negara dan merosakkan masa depan para belia di empat wilayah di selatan Thailand.

    “Statistik daripada pihak penjara mendapati 80 peratus banduan terlibat dalam kes penyalahgunaan dadah di selatan Thailand. Sehubungan itu, membasmi penyalahgunaan dadah merupakan salah satu fokus saya,” katanya kepada Bernama.

    Sehubungan itu, Pateemoh berkata beliau akan mengadakan pertemuan dengan pihak berkaitan termasuk Komander Tentera Bahagian Ke-4 Leftenan Jeneral Santi Sakuntanark untuk mengkaji semula peraturan dan polisi kerajaan dalam usaha memerangi gejala penagihan dan penyalahgunaan dadah.

    Selain itu, beliau berikrar untuk meningkatkan sosio-ekonomi dan taraf hidup penduduk tempatan. 

    Pateemoh, 57, adalah antara 37 pegawai tinggi dari Kementerian Dalam Negeri (Interior Ministry) dilantik untuk mengisi kekosongan jawatan gabenor pada bulan lepas.

    Bekas timbalan gabenor Phatthalung, Narathiwat dan Yala itu mempunyai pengalaman luas dan pemahanan mendalam akan empat wilayah di selatan itu.

    Selain itu, beliau pernah berkhidmat di Pusat Pentadbiran Wilayah Sempadan Selatan (SBPAC), sebuah agensi kerajaan tempatan yang menyelaraskan pentadbiran wilayah sempadan selatan.

    Pateemoh turut berterima kasih dengan lantikannya sebagai gabenor di Pattani.

    “Ini merupakan satu pengiktirafan kerajaan terhadap golongan wanita dalam menerajui kerajaan tempatan khususnya di selatan Thailand.

    “Saya berharap lantikan ini akan memberi inspirasi dan motivasi kepada golongan wanita bukan sahaja di selatan Thailand tetapi seluruh negara untuk membina kerjaya dan profesion dan sekaligus membukti wanita setanding dengan lelaki dalam setiap aspek,” katanya.

    Sementara itu, Pengarah Deep South Watch, satu kumpulan pemikir yang memantau keganasan di selatan,  Dr Srisompob Jitpiromsri berkata lantikan Pateemoh merupakan petanda positif bahawa kerajaan prihatin dan komited untuk membawa pembangunan ke wilayah paling selatan di Thailand.

    “Ini merupakan satu titik permulaan yang baik. Pateemoh akan memainkan peranan yang penting untuk membangun Pattani dan juga membawa kedamaian di wilayah selatan,” katanya. – BERNAMA 

  • Gempa bumi kuat landa Jawa Barat

    Gempa bumi kuat landa Jawa Barat

    GEMPA bumi berukuran 6.1 pada skala Richter menggegarkan bandar Sukabumi di Jawa Barat hari ini, menurut Agensi Geofizik Indonesia (BMKG).

    Gempa berlaku pada 7.50 pagi waktu tempatan dengan pusat gempa dilaporkan di 22 kilometer (km) tenggara bandar pada kedalaman 104 km.

    Gegaran turut dirasai di Jakarta Selatan iaitu kira-kira 92 km dari pusat gempa menurut laporan Sinar Harian.

    Tiada amaran tsunami dikeluarkan dan kerosakan harta benda atau kecederaan dilaporkan setakat ini.

  • Serangan pengebom bunuh diri di balai polis Bandung, 2 maut 8 cedera

    Serangan pengebom bunuh diri di balai polis Bandung, 2 maut 8 cedera

    DUA termasuk seorang anggota polis terbunuh manakala lapan yang lain cedera selepas seorang lelaki meletupkan diri di sebuah balai polis di Bandung, Indonesia pagi ini.

    Lapor CNN, kejadian berlaku selepas seorang lelaki memasuki Balai Polis Astana Anyar ketika sekumpulan pegawai polis sedang beratur untuk satu perhimpunan pada pukul 8.20 pagi.

    Suspek kemudian bertindak mengacukan senjata tajam ke arah pegawai polis, sebelum bertindak meletupkan diri yang membunuh dirinya dan seorang anggota polis.

    Akibat letupan itu juga, tiga anggota polis cedera parah manakala empat yang lain cedera ringan ketika seorang awam juga dilaporkan cedera.

    Lapor Kompas memetik kenyataan polis, pasukan unit pemusnah bom dari Polis Daerah Jawa Barat dikerahkan ke lokasi kejadian susulan insiden berkenaan.

    Polis turut menutup kawasan sekitar sehingga radius 200 meter di sekeliling balai polis tersebut manakala jalan menuju ke balai polis itu ditutup untuk tujuan pemeriksaan.

    Polis masih menyiasat motif serangan serta sama ada lelaki tersebut mempunyai kaitan dengan kumpulan pengganas.

    Namun, kata Ibnu Suhendra daripada Badan Nasional Penanggulangan Terorisme kepada Metro TV, kumpulan Jamaah Ansharut Daulah (JAD) bermungkinan dalang di sebalik serangan itu.

    Sementara itu, jurucakap polis Indonesia, Ibrahim Tompo berkata, polis masih menyiasat serangan itu dan meminta orang ramai bertenang dan tidak cemas dengan kejadian tersebut.

  • Rasuah: Naib Presiden Argentina dipenjara enam tahun

    Rasuah: Naib Presiden Argentina dipenjara enam tahun

    MAHKAMAH persekutuan di Argentina menjatuhkan hukuman penjara enam tahun ke atas Naib Presiden Cristina Fernandez de Kirchner pada Selasa dan melarangnya memegang jawatan awam.

    Panel tiga hakim mendapati Fernandez de Kirchner bersalah melakukan penipuan berhubung pemberian kontrak kerja awam di wilayah selatan Santa Cruz, lapor Agensi Anadolu (AA).

    Hakim Jorge Gorini membacakan keputusan itu melalui sidang video yang turut dihadiri dua hakim lain, Rodrigo Gimenez Uriburu dan Andres Basso.

    Gorini berkata “gerakan penipuan yang luar biasa berlaku” merujuk kepada hukuman itu yang diputuskan selepas tiga tahun.

    Fernandez de Kirchner tidak perlu menjalani hukuman serta-merta kerana keputusan itu perlu disahkan Mahkamah Agung.

    Menurut keputusan itu, Fernandez de Kirchner dihalang memegang jawatan awam, namun sebagai ketua Senat dan penggubal undang-undang, beliau dilindungi daripada pendakwaan.

    Sebelum ini, naib presiden itu mendakwa beliau menjadi sasaran seteru politiknya.

    Pendakwa raya persekutuan menuduh Fernandez de Kirchner memberi kontrak kerja awam palsu dan terlalu mahal di Santa Cruz semasa tempoh dua penggalnya sebagai presiden dari 2007-2015 dan mendesak hukuman penjara 12 tahun dan larangan seumur hidup daripada memegang jawatan awam.

    Banyak kontrak yang dikatakan menguntungkan sekutu rapat keluarga Kirchner dengan beberapa telah disabitkan dengan rasuah. – BERNAMA

    Argentina, Cristina Fernandez de Kirchner, hukuman, rasuah, kes mahkamah, pedakwaan

  • Gunung berapi Semeru meletus, hampir 2,000 penduduk dipindahkan

    Gunung berapi Semeru meletus, hampir 2,000 penduduk dipindahkan

    GUNUNG berapi Semeru di Lumajang, Jawa Timur meletus pada Ahad dengan kepulan abu panas meluap sehingga 1,500 meter, menurut agensi vulkanologi Indonesia.

    Aliran abu panas bergerak sehingga 13 kilometer (km) ke tenggara, menyelubungi kawasan berpenduduk di bawah zon letusan dan menyekat cahaya matahari.

    Pihak Berkuasa Pengurusan Bencana Negara memindahkan hampir 1,979 penduduk yang tinggal di kampung berdekatan di daerah Lumanjang dan Malang ke 11 pusat perlindungan sementara.

    Tiada kerosakan atau kemalangan jiwa dilaporkan setakat ini.

    Menurut Pusat Vulkanologi dan Mitigasi Bahaya Geologi gunung berapi itu meletus sebanyak 13 kali antara 2.46 pagi dan 12 tengah hari waktu tempatan pada Ahad.

    Agensi itu menaikkan status amaran gunung berapi kepada tahap IV.

    Penduduk dinasihatkan berada 17 km dari puncak dan harus mengetahui akan bahaya potensi aliran lava dan awan panas sehingga 19 km. 

    Gunung Semeru adalah antara gunung berapi paling aktif di Indonesia dan puncak tertinggi di Pulau Jawa dengan ketinggian 3,676 meter.

    Kali terakhir gunung itu meletus pada Disember 2021, mengorbankan 69 orang manakala 104 lagi cedera. – BERNAMA

  • Ahli perniagaan Malaysia diekstradisi ke China bulan ini – Polis Thailand

    Ahli perniagaan Malaysia diekstradisi ke China bulan ini – Polis Thailand

    AHLI perniagaan Malaysia dalam buruan Teow Wooi Huat dijangka dihantar ke China sebelum akhir bulan ini, kata penolong ketua polis Thailand Lt Jen Surachate Hakparn.

    Walaupun polis Malaysia juga meminta Teow dihantar pulang, Surachate berkata “tiada waran tangkap dikeluarkan terhadap Teow di Malaysia”.

    Beliau berkata polis Thailand menerima permintaan ekstradisi daripada kerajaan China.

    “Kami berusaha (ekstradisi Teow) selama lebih sebulan. Kami mengemukakan permintaan kepada Peguam Negara. Sebaik selesai, Teow akan dihantar pulang ke China sebelum akhir tahun ini,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

    Usahawan kelahiran Pulau Pinang berusia 55 tahun itu digelar Jho Low 2, merujuk kepada seorang lagi ahli perniagaan yang diburu Malaysia Low Taek Jho yang dikaitkan dengan skandal 1MDB, berada dalam senarai Notis Merah Interpol untuk disoal siasat.

    Pada 22 Julai, Teow pengasas Kumpulan MBI ditahan Polis Imigresen Thailand selepas visanya dibatalkan dan sejak itu dia menunggu pengusiran pihak berkuasa Thailand.

    Malaysia dan China memburu Teow. China difahamkan merupakan negara pertama yang meminta Teow diekstradisi.

    Polis Beijing juga dilaporkan mahu dia disoal siasat berikutan saman yang difailkan kira-kira 400 pelabur dari China untuk mendapatkan semula pelaburan bernilai hampir RM100 juta.

    Pada 25 Julai lepas, Polis Diraja Malaysia (PDRM) memaklumkan pasukan itu dalam proses memohon Teow dihantar pulang ke Malaysia bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

    Teow menjadi tajuk utama di Thailand. Pada 2011, dia dijatuhi hukuman penjara sehari dan denda RM160,000 atas dua pertuduhan menipu lebih RM1 juta dalam skim pelaburan – Island Red Café.

    Pada 2017, pihak berkuasa Malaysia membekukan sejumlah 91 akaun bank dengan RM177 juta yang dikaitkan dengan MBI International.

    Pada 2019, ratusan warga China mengadakan bantahan secara aman di luar Kedutaan China di Kuala Lumpur mendakwa mereka ditipu skim piramid dalam talian yang dikendalikan MBI.

    Tahun lepas, polis berkata Teow dan dua anak lelakinya terlibat dalam skim penipuan Macau melibatkan RM336 juta. Bagaimanapun, polis percaya Teow telah melarikan diri ke negara itu dan bersembunyi di Dannok, Sadao, selatan Thailand. – BERNAMA