GABENOR wanita Islam pertama Thailand, Pateemoh Sadeeyamu komited dalam membanteras penyalahgunaan dan penagihan dadah sekaligus meningkatkan taraf hidup penduduk tempatan.

Pateemoh, Gabenor Pattani yang baharu mahu bekerjasama dengan jabatan dan agensi berkaitan untuk membasmi penyalahgunaan dadah khususnya di kalangan belia.

“Kajian mendapati dadah adalah masalah utama mengancam keselamatan negara dan merosakkan masa depan para belia di empat wilayah di selatan Thailand.

“Statistik daripada pihak penjara mendapati 80 peratus banduan terlibat dalam kes penyalahgunaan dadah di selatan Thailand. Sehubungan itu, membasmi penyalahgunaan dadah merupakan salah satu fokus saya,” katanya kepada Bernama.

Sehubungan itu, Pateemoh berkata beliau akan mengadakan pertemuan dengan pihak berkaitan termasuk Komander Tentera Bahagian Ke-4 Leftenan Jeneral Santi Sakuntanark untuk mengkaji semula peraturan dan polisi kerajaan dalam usaha memerangi gejala penagihan dan penyalahgunaan dadah.

Selain itu, beliau berikrar untuk meningkatkan sosio-ekonomi dan taraf hidup penduduk tempatan. 

Pateemoh, 57, adalah antara 37 pegawai tinggi dari Kementerian Dalam Negeri (Interior Ministry) dilantik untuk mengisi kekosongan jawatan gabenor pada bulan lepas.

Bekas timbalan gabenor Phatthalung, Narathiwat dan Yala itu mempunyai pengalaman luas dan pemahanan mendalam akan empat wilayah di selatan itu.

Selain itu, beliau pernah berkhidmat di Pusat Pentadbiran Wilayah Sempadan Selatan (SBPAC), sebuah agensi kerajaan tempatan yang menyelaraskan pentadbiran wilayah sempadan selatan.

Pateemoh turut berterima kasih dengan lantikannya sebagai gabenor di Pattani.

“Ini merupakan satu pengiktirafan kerajaan terhadap golongan wanita dalam menerajui kerajaan tempatan khususnya di selatan Thailand.

“Saya berharap lantikan ini akan memberi inspirasi dan motivasi kepada golongan wanita bukan sahaja di selatan Thailand tetapi seluruh negara untuk membina kerjaya dan profesion dan sekaligus membukti wanita setanding dengan lelaki dalam setiap aspek,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Deep South Watch, satu kumpulan pemikir yang memantau keganasan di selatan,  Dr Srisompob Jitpiromsri berkata lantikan Pateemoh merupakan petanda positif bahawa kerajaan prihatin dan komited untuk membawa pembangunan ke wilayah paling selatan di Thailand.

“Ini merupakan satu titik permulaan yang baik. Pateemoh akan memainkan peranan yang penting untuk membangun Pattani dan juga membawa kedamaian di wilayah selatan,” katanya. – BERNAMA 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here