Category: Luar Negara

  • Gempa bumi kuat landa Filipina

    Gempa bumi kuat landa Filipina

    GEMPA bumi berukuran 6 pada skal Richter melanda Filipina pada pagi Khamis, menurut Institut Vulkanologi dan Seismologi Filipina, lapor Xinhua.

    Menurut institut itu gempa berlaku pada 2.10 pagi waktu tempatan pada kedalaman 10 kilometer (km) kira-kira 11 km barat daya bandar Batuan di wilayah Masbate di pulau Luzon.

    Gempa bumi turut dirasai di beberapa kawasan di Luzon dan tengah Filipina termasuk Bandar Legazpi di wilayah Albay, Sorsogon, Samar Utara, Negros Occidental dan Leyte Selatan, menurut institut itu.

    Tiada laporan kerosakan atau kemalangan jiwa.

    Filipina kerap mengalami aktiviti seismik kerana lokasinya terletak di sepanjang Lingkaran Api Pasifik.

  • Gempa bumi Turkiye, Syria: Angka korban kini lebih 41,000

    Gempa bumi Turkiye, Syria: Angka korban kini lebih 41,000

    LEBIH seminggu selepas gempa bumi kuat melanda Turkiye dan Syria, jumlah kematian kini meningkat kepada lebih 41,000 di kedua-dua negara.

    Sejumlah 35,418 mangsa terbunuh di Turkiye, manakala lebih 5,800 lagi di Syria, menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

    Tambahnya, lebih tujuh juta kanak-kanak terjejas akibat gempa bumi kuat dan gempa susulan besar yang memusnahkan Turkiye dan Syria minggu lalu.

    “Di Turkiye, jumlah keseluruhan kanak-kanak yang tinggal di 10 wilayah yang dilanda dua gempa bumi itu ialah 4.6 juta kanak-kanak.

    “Di Syria, 2.5 juta kanak-kanak terjejas. UNICEF bimbang beribu-ribu kanak-kanak telah terkorban,” kata jurucakap agensi kanak-kanak PBB UNICEF James Elder kepada pemberita di Geneva.

    Astro Awani yang memetik agensi berita asing melaporkan, Elder dalam pada itu tidak menolak jumlah kematian membabitkan kanak-kanak susulan tragedi itu akan terus bertambah.

    PBB menganggarkan sehingga 5.3 juta orang di Syria mungkin kehilangan tempat tinggal susulan gempa bumi yang meranapkan lebih 5,000 bangunan termasuk tempat kediaman.

  • ‘Hero Batang Kali’ tangkas beraksi dalam SAR gempa Turkiye

    ‘Hero Batang Kali’ tangkas beraksi dalam SAR gempa Turkiye

    DUA “hero Batang Kali” yang menyertai pasukan mencari dan menyelamat (SAR) negara ke Turkiye sentiasa bersedia mencurahkan tenaga mereka dan tidak gugup beraksi walaupun berada di negara ‘orang’.

    Aksi lincah anjing pengesan milik unit K9 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Denti dan Frankie ketika mengesan mangsa yang tertimbus di bawah runtuhan konkrit, memperlihatkan ketangkasan haiwan itu.

    Keadaan cuaca yang amat sejuk serta berdebu tebal seakan tidak memberi apa-apa kesan kepada anjing jenis Labrador dan English Springer Spaniel yang menghidu di setiap rekahan dan lubang-lubang pada runtuhan untuk mengesan jika terdapat mangsa terperangkap.

    Sambil mengibaskan ekor, kedua-dua anjing berkenaan terus fokus mendengar arahan pengendali masing-masing untuk ke kawasan mana yang perlu dihidu dan rekahan mana yang perlu dimasuki.

    Pengendali haiwan tersebut, pegawai bomba Tony Albert Mani dan Y. Thibagaran bagaimanapun melahirkan sedikit kebimbangan kerana terdapat banyak benda tajam dan besi konkrit yang boleh mencederakan kaki dua ‘hero” itu.

    Thibagaran yang mengendalikan Frankie berkata kedua-dua anjing berkenaan tidak menunjukkan sebarang masalah untuk menyesuaikan diri dengan cuaca di Nurdagi yang mencecah sehingga -10 Darjah Celsius, ketika waktu malam.

    Katanya anjing berkenaan merupakan baka yang berasal dari negara yang beriklim sejuk.

    “Setakat ini, kedua-dua ekor anjing ini tidak mempunyai masalah dari segi kesihatan dan pemakanan, malah kedua-duanya dalam keadaan terbaik dan bersedia untuk turun ke lokasi pada bila-bila masa jika diperlukan,” katanya kepada Bernama.

    Sejak awal operasi, Denti dan Frankie ditugaskan bersama pasukan MAS-01 SMART dan MAS-10 dalam operasi SAR di beberapa lokasi runtuhan bangunan kediaman dan hotel di sekitar bandar ini.

    Dalam pada itu, Ketua Komander Pasukan Khas Operasi, Taktikal dan Penyelamat Malaysia (STORM) JBPM Ismail Abd Ghani berkata selain dua ekor anjing pengesan berkenaan, JBPM turut membawa peralatan khas untuk digunakan dalam misi SAR di Nurdagi antaranya, alat pengesan, alat pemotong besi keluli, penyendal, penampung beban sementara dan alat pemecah konkrit.

    “Seramai 30 anggota JBPM dari seluruh negara terlibat dalam misi kali ini, melibatkan anggota STORM dan Pasukan Khas Pengurusan Bahan Berbahaya (HAZMAT) yang mempunyai kepakaran dalam melakukan kerja SAR dan EMRS,” katanya.

    Gempa bumi besar berukuran 7.8 pada skala Richter yang melanda selatan Turkiye dan barat laut Syria, Isnin lepas telah meragut puluhan ribu nyawa.

    Kesan gegaran turut dirasai di Cyprus dan Lubnan.

    Turkiye pada Selasa mengisytiharkan darurat selama tiga bulan di 10 wilayah iaitu Adana, Adiyaman, Diyarbakir, Gaziantep, Hatay, Kahramanmaras, Kilis, Malatya, Osmaniye dan Sanliurfa bagi memastikan misi SAR berjalan lancar. – BERNAMA

  • Gempa bumi Turkiye ragut lebih 31,600 nyawa

    Gempa bumi Turkiye ragut lebih 31,600 nyawa

    SEKURANG-kurangnya 31,643 orang terbunuh dalam tragedi gempa bumi kuat yang menggegarkan selatan Turkiye pada 6 Feb, lapor Agensi Anadolu.

    Lebih 238,459 anggota kini berada di lapangan untuk menjalankan misi mencari dan menyelamat (SAR), menurut Pengurusan Bencana dan Kecemasan Turki (AFAD) dalam satu kenyataan.

    Hampir 158,165 orang telah dipindahkan setakat ini.

    Kementerian Luar Turki pada hari Isnin memaklumkan bahawa sejumlah 9,793 kakitangan asing dari 74 negara terlibat dalam misi SAR itu. 

    Sebanyak 155,379 khemah telah didirikan untuk menempatkan mangsa yang terselamat, menurut AFAD.

    Selain itu, 170 helikopter, 76 pesawat dan 26 kapal turut dihantar ke lokasi terjejas bagi membantu misi SAR. -BERNAMA

  • Gempa bumi Turkiye: Pasukan penyelamat Malaysia temukan 2 lagi mangsa

    Gempa bumi Turkiye: Pasukan penyelamat Malaysia temukan 2 lagi mangsa

    PASUKAN MAS-01 SMART menemukan dua lagi mayat mangsa gempa bumi Turkiye di sebuah bangunan runtuh di Nurdagi, Gaziantep, hari ini.

    Perkara itu dimaklumkan oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara menerusi satu entri di Facebook.

    Katanya, mangsa dikeluarkan kira-kira pukul 1 tengah hari waktu tempatan.

    “Sekitar pukul 1 waktu tempatan (Turkiye), Pasukan MAS-01 dengan kerjasama penyelamat tempatan berjaya menemui dan mengeluarkan dua mangsa di bawah runtuhan bangunan.

    “Operasi itu menggunakan peralatan memecah dan memotong serta bantuan excavator (jengkaut),” kata kenyataan itu.

    Menurut kenyataan itu lagi, kesemua mangsa yang dijumpai telah meninggal dunia.

    “Kesemua mangsa yang dijumpai telah meninggal dunia. Salam Takziah,” katanya lagi.

    Gempa bumi besar berukuran 7.8 pada skala Richter yang melanda selatan Turkiye dan barat laut Syria pada Isnin lalu, telah meragut ribuan nyawa. Kesan gegaran turut dirasai di Cyprus dan Lubnan.

    Pasukan MAS-01 berlepas dari Malaysia pada minggu lalu, manakala pasukan kedua MAS-02 terdiri daripada JBPM, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan pasukan SMART.

  • Smart keluarkan 7 mayat mangsa gempa Turki

    Smart keluarkan 7 mayat mangsa gempa Turki

    MISI Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (Smart) berjaya mengeluarkan tujuh mayat mangsa gempa bumi di bandar Nurdagi, wilayah Gaziantep,Turki semalam.

    Menerusi perkongsian dalam Facebook, mayat-mayat itu berjaya dikeluarkan pasukan Smart yang terdiri daripada Charlie 01 dan Delta 01 pada pukul 5.55 petang waktu tempatan.

    “Pasukan Charlie 01 & Delta 01 (MAS-10) berjaya mengeluarkan tujuh mangsa gempa bumi dan kesemuanya meninggal dunia.

    “Atas faktor keselamatan pasukan, operasi mencari dan menyelamat ditangguhkan pada 7.50 petang (waktu tempatan), berikutan cuaca semakin sejuk,” menurut hantaran media sosial Smart, lapor Free Malaysia Today (FMT).

    Dilaporkan semalam Smart berjaya mengeluarkan lima mangsa, terdiri daripada dua lelaki dan tiga wanita, yang terperangkap bawah runtuhan sebuah apartment enam tingkat.

    Lima mangsa berkenaan adalah kumpulan mangsa yang pertama ditemukan selamat oleh pasukan SAR negara sejak ditempatkan di negara tersebut.

    Setakat ini, pasukan penyelamat negara sudah membawa keluar 25 mayat dan lima mangsa hidup.

    Gempa bumi bermagnitud 7.8 pada skala Richter melanda beberapa kawasan di Turki dan Syria pada Isnin lepas, meragut puluhan ribu nyawa. Kesan gegaran turut dirasai di Cyprus dan Lubnan.

    Minggu lepas, 75 anggota Smart digerakkan ke Turki untuk menyertai operasi mencari dan menyelamat susulan bencana tersebut.

  • Gempa bumi Turkiye: Pasukan penyelamat Malaysia temukan enam mayat

    Gempa bumi Turkiye: Pasukan penyelamat Malaysia temukan enam mayat

    PASUKAN MAS-01 SMART menemukan enam mayat mangsa gempa bumi di sebuah bangunan hotel dan kediaman tujuh tingkat yang runtuh sepenuhnya di Nurdagi di Gaziantep, pada Jumaat.

    Lima mayat terdiri daripada seorang wanita dan empat lelaki dipercayai sekeluarga itu dijumpai pada 9.30 pagi waktu tempatan (2.30 petang waktu Malaysia) manakala mayat keenam iaitu seorang wanita ditemukan pada 2.10 petang (7.10 malam waktu Malaysia).

    Pasukan MAS-01 SMART ialah pasukan mencari dan menyelamat (SAR) dari Malaysia yang pertama dihantar ke Turkiye, Isnin lepas.

    Pada Rabu, kerajaan Malaysia menghantar satu lagi pasukan SAR terdiri daripada 20 anggota Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART), 30 anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia dan 20 pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia.

    Turut menyertai pasukan berkenaan ialah dua petugas Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) dan seorang petugas Radio Televisyen Malaysia (RTM).

     Nurdagi adalah antara kawasan di Gaziantep yang teruk terjejas susulan gempa bumi kuat yang melanda selatan Turkiye, Isnin lepas.

    Pemerhatian Bernama yang tiba di Gaziantep pada pukul 3 pagi waktu tempatan (8 pagi waktu Malaysia) pada Jumaat, mendapati bandar Nurdagi mengalami kemusnahan teruk, apabila bangunan kediaman setinggi dua hingga tujuh tingkat runtuh sepenuhnya.

    Kawasan runtuhan ditugaskan kepada pasukan MAS-01 SMART ialah sebuah hotel dan kediaman setinggi tujuh tingkat yang runtuh sepenuhnya dan dipercayai terdapat lebih 100 mangsa terkorban dalam runtuhan bangunan itu.

    Lebih menyedihkan, ramai anggota keluarga yang terselamat berkumpul di sekitar kawasan runtuhan berkenaan melihat usaha SAR yang dilakukan oleh pasukan penyelamat tempatan dan Malaysia dengan harapan dapat melihat anggota keluarga mereka dijumpai dalam keadaan masih hidup.

    Namun, berdasarkan pengamatan Bernama, peluang untuk mangsa yang hidup dijumpai mungkin amat tipis berikutan sudah lama terperangkap serta cuaca sejuk melampau dengan bacaan kosong hingga tiga darjah Celcius pada waktu siang dan boleh menurun hingga -6 darjah Celcius pada waktu malam sehingga sebelum matahari terbit pada kira-kira 7.30 pagi.

     Mangsa yang terselamat kebanyakannya masih berada di sekitar sini dan tinggal di khemah-khemah yang disediakan oleh The Disaster and Emergency Management Presidency (AFAD), sebuah agensi pengurusan bencana kerajaan Turkiye.

    Berikutan cuaca sejuk yang melampau, ramai dalam kalangan mereka dilihat tidur atau berhimpun di depan unggun api untuk memanaskan badan.

    Difahamkan, ramai anggota pasukan MAS-01 SMART turut melakukan perkara sama, malah ramai antara mereka memberitahu hanya tidur dua atau tiga jam kerana cuaca yang amat sejuk.

    Gempa bumi kuat berukuran 7.8 pada skala Richter yang melanda selatan Turkiye dan barat laut Syria pada Isnin lepas, telah meragut ribuan nyawa.

    Kesan gegaran turut dirasai di Cyprus dan Lubnan.

    Jumlah korban dalam tragedi gempa bumi kuat di Turkiye terus meningkat dengan setakat ini seramai 20,318 orang dilaporkan terkorban manakala lebih 80,000 lagi cedera, lapor Agensi Anadolu (AA) memetik agensi bencana negara itu pada Jumaat.

    Pada Selasa, Turkiye mengisytiharkan darurat selama tiga bulan di 10 wilayah iaitu Adana, Adiyaman, Diyarbakir, Gaziantep, Hatay, Kahramanmaras, Kilis, Malatya, Osmaniye dan Sanliurfa bagi memastikan misi SAR berjalan lancar.

  • Arkitek ditahan cuba larikan diri selepas apartmen mewah runtuh

    Arkitek ditahan cuba larikan diri selepas apartmen mewah runtuh

    POLIS Turkiye semalam menahan seorang arkitek selepas apartmen mewah yang dibinanya runtuh dalam gempa bumi kuat di negara itu pada Isnin lalu.

    Mehmet Yasar Coskun ditahan di lapangan terbang Istanbul ketika cuba melarikan diri dari negara itu ke Montenegro, lapor agensi berita negara Anadolu.

    Dia juga didakwa membawa wang yang tidak diketahui jumlahnya ketika ditahan.

    Ronesans Residence, sebuah blok apartmen mewah di bandar Antakya, tumbang dalam insiden gempa pada Isnin sekali gus mencetuskan kemarahan orang ramai di media sosial.

    Ia merupakan antara apartmen paling eksklusif di pusat Antakya, menampilkan blok 12 tingkat seluas 10,500 meter persegi, dilengkapi 249 unit pangsapuri dengan antara dua dan lima bilik tidur setiap satu, kolam renang, gelanggang sukan, dan khidmat penyambut tetamu.

    Ia turut diiklankan sebagai bangunan yang dibuat mengikut ‘standard pembinaan tertinggi.’

    Dianggarkan 1,000 penghuni mendiami apartmen itu ketika ia tumbang. Kebanyakannya masih terperangkap di bawah runtuhan gempa bumi yang kini telah menyebabkan lebih 23,000 maut.

    Media Turkiye melaporkan ramai mangsa masih terperangkap di bawah runtuhan blok dan usaha menyelamat masih diteruskan.

    Bekas pemain bola sepak antarabangsa Ghana, Christian Atsu, bersama pengarah sukan kelab Hatayspor, Taner Savut dipercayai antara mangsa yang terperangkap di bawah runtuhan blok bangunan 12 tingkat itu.

    Turkiye memperkenalkan peraturan bangunan yang lebih ketat pada 2013 selepas gempa bumi pada 1999 di barat laut Turkiye mengorbankan lebih 17,000 orang.

    Gegaran 7.8 magnitud dan gegaran susulan pada Isnin memusnahkan sebahagian besar tenggara Turkiye dan negara jiran Syria, mengorbankan hampir 23,000 orang.

    Gempa bumi itu meranapkan ribuan bangunan dan telah mencetuskan kemarahan orang ramai di seluruh Turkiye berhubung kualiti pembinaan yang lemah.

  • Gempa bumi Turkiye, Syria: Angka korban kini lebih 23,000

    Gempa bumi Turkiye, Syria: Angka korban kini lebih 23,000

    JUMLAH kematian susulan gempa bumi kuat yang melanda Turkiye dan Syria minggu ini meningkat kepada 23,726, kata Menteri Kesihatan Turkiye Fahrettin Koca.

    Di Turkiye, angka korban meningkat kepada sekurang-kurangnya 20,213 dengan 80,052 yang lain dilaporkan cedera, menurut Astro Awani.

    Jumlah kematian di Syria setakat ini ialah 3,384 – termasuk 2,166 di kawasan yang dikuasai pemberontak di barat laut, menurut kumpulan pertahanan awam White Helmets.

    Sementara 1,347 kematian dicatat di bahagian yang dikawal kerajaan di Syria, menurut media kerajaan Syria.

    Jumlah mangsa yang cedera di Syria merentasi semua wilayah yang terjejas ialah 5,245, dengan 2,295 di kawasan dikawal kerajaan dan 2,950 di kawasan dikuasai pemberontak.

  • Gempa bumi Turkiye: ‘Saya minum air kencing’ – Mangsa terselamat selepas 4 hari

    Gempa bumi Turkiye: ‘Saya minum air kencing’ – Mangsa terselamat selepas 4 hari

    “SAYA minum air kencing sendiri…”

    Itu pengalaman yang terpaksa dilalui oleh salah seorang mangsa gempa bumi yang terperangkap di bawah runtuhan di bandar Gaziantep, Turkiye sejak 94 jam lalu.

    Mangsa, Adnan Muhammed Korkut, 17, berjaya dibawa keluar oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR) pada Jumaat.

    Remaja itu berkata, dia terselamat kerana meminum air kencingnya sendiri sepanjang empat hari berada di bawah runtuhan berkenaan sementara menunggu bantuan.

    Berkongsi detik sukar itu, Adnan menambah dia terperangkap di tingkat bawah tanah sebuah bangunan tetapi mempunyai ruang untuk bergerak.

    Wartawan: Kamu dalam keadaan okay?

    Adnan: Saya okay.

    Wartawan: Bagaimana kamu terselamat?

    Adnan: Saya pergi ke tandas dan saya minum air kencing sendiri. Saya dapat bertahan kerana cara itu, terima kasih kepada Tuhan.

    Wartawan: Apa perasaan kamu di bawah tanah?

    Adnan: Saya hanya menanti kamu semua untuk tiba, sendirian. Alhamdulillah kerana anda tiba… terima kasih kepada semua.

    Jelas remaja itu lagi, dia berasa cemas ketika pasukan SAR menggunakan jengkaut untuk mencari mangsa.

    Bagaimanapun, pekerja kemudian menghentikan penggalian selepas mendengar pergerakannya.

    Sementara itu, seorang anggota SAR, Yasemin, berkata dia tidak tidur dan berusaha menyelamat Adnan sejak empat hari lalu.

    “Saya mempunyai seorang anak lelaki seperti anda,” katanya kepadanya sambil memeluk anak itu semasa dia berbaring di atas pengusung.

    “Saya bersumpah dengan awak, saya sudah empat hari tidak tidur. Saya bersumpah saya tidak tidur, saya cuba untuk mengeluarkan awak. Saya sangat sayangkan awak,” ujar Yasemin seperti dilapor AP.

    Isnin lalu, gempa bumi melanda tenggara Turkiye pada jam 4.17 pagi waktu tempatan, diikuti dua gempa susulan yang melanda wilayah Gaziantep.

    Setakat ini dilaporkan kejadian itu meragut lebih 21,000 nyawa di Turkiye dan Syria. – Agensi lapor Astro Awani.