Category: Luar Negara

  • Pekerja Indonesia bantah undang-undang Penciptaan Pekerjaan 2020

    Pekerja Indonesia bantah undang-undang Penciptaan Pekerjaan 2020

    PARTI Pekerja Indonesia mahu mencabar undang-undang Penciptaan Pekerjaan 2020 di Mahkamah Perlembagaan tidak lama lagi, bagi membantah pelaksanaan akta yang disifatkan pro majikan itu.

    Pengerusinya, Said Iqbal, pada satu sidang media, turut menggesa golongan pekerja Indonesia bersedia melancarkan mogok selepas perayaan Aidilfitri pada April secara besar-besaran, seperti yang berlaku di Perancis membantah rombakan sistem persaraan.

    “Kami akan menghentikan pengeluaran, akan membuat persiapan untuk melancarkan mogok selama lima hari seperti yang berlaku di Perancis,” katanya.

    Parti Pekerja, yang sekarang ini tidak memiliki sebarang kerusi di Parlimen tetapi merancang untuk bertanding pada pilihan raya umum 2024 nanti, membantah kelulusan undang-undang itu.

    Selasa lalu, Parlimen Indonesia meluluskan warta tergempar oleh Presiden Joko Widodo bagi mengukuhkan peraturan berhubung pelaburan dan pekerjaan dalam ekonomi terbesar Asia Tenggara itu, satu langkah yang dikatakan oleh beberapa pakar undang-undang melanggar keputusan mahkamah.

    Undang-undang itu, yang menyemak lebih 70 undang-undang lain, dipuji pelabur asing kerana memperkemas peraturan perniagaan, namun dikritik kumpulan buruh dan alam sekitar sebagai terlalu pro perniagaan.

    Timbalan Pengerusi Dewan Perniagaan dan Industri Indonesia, Shinta Kamdani berkata, kelulusan undang-undang itu memberi kejelasan yang penting kepada pelabur sedia ada dan yang berpotensi.

    “Walaupun ada beberapa perkara yang ditimbulkan berkaitan pengambilan pekerja, kelulusan ini sekurang-kurangnya dapat menyediakan jaminan undang-undang yang jelas bagi skim tertentu dan memudahkan peraturan pelaburan,” katanya, menurut Berita Harian yang memetik laporan Reuters.

    Perubahan di bawah undang-undang pada 2020 itu, termasuk pemotongan faedah pemberhentian, had gaji minimum baharu dan mengeluarkan beberapa cuti berbayar mandatori, selain melonggarkan peraturan mengenai pemeriksaan alam sekitar untuk pelaburan.

    Pada 2021, Mahkamah Perlembagaan memutuskan bahawa kelulusan undang-undang itu cacat kerana tidak cukup perundingan awam sebelum ia diluluskan dan mengarahkan Parlimen membahaskannya semula dalam masa dua tahun.

    Namun, kelulusan pada Selasa lalu itu bermakna sebahagian besar perubahannya akan dikekalkan dan beberapa perubahan kecil dibuat bagi peraturan pekerja.

    Beberapa pakar undang-undang mengkritik warta itu sebagai muslihat kerajaan untuk melangkaui perintah mahkamah, namun pegawai kerajaan berkata, ia diperlukan bagi menjamin kepastian undang-undang selepas keputusan mahkamah.

    Di bawah Perlembagaan Indonesia, seorang presiden sepatutnya hanya menggunakan warta seumpama itu untuk menangani kecemasan dan Parlimen sepatutnya mengundi warta itu pada sidang pertama selepas ia dikeluarkan.

    Jokowi mengeluarkan warta itu pada Disember, atas alasan ketidaktentuan ekonomi global yang berterusan memberinya asas undang-undang untuk melaksanakan kuasa eksekutif, namun Parlimen gagal membawanya kepada pengundian lebih luas sebelum memasuki fasa rehat pada Februari.

    Dua daripada sembilan parti di Parlimen menentang warta itu ketika sidang pleno, dengan anggota parti Islam pembangkang, Parti Keadilan Sejahtera, keluar dari dewan, sebelum Speaker Puan Maharani mengumumkan undian sudah diluluskan.

  • Roger Ng mesti lucut hak ASD35.1 juta berkait kes rasuah 1MDB, kata hakim

    Roger Ng mesti lucut hak ASD35.1 juta berkait kes rasuah 1MDB, kata hakim

    SEORANG hakim di Amerika Syarikat semalam memerintahkan bekas pegawai bank Goldman Sachs Roger Ng melucut hak ASD35.1 juta, selepas menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun terhadapnya kerana membantu menyeleweng berbilion dolar daripada 1MDB.

    Hakim daerah Amerika Syarikat, Margo Brodie menolak hujah Ng bahawa dia tidak lagi memiliki wang selepas kehilangan berpuluh juta dolar hasil daripada jenayahnya terhadap Malaysia.

    Peguam Ng, Marc Agnifilo berkata, anak guamnya, bekas ketua pelaburan perbankan Goldman di Malaysia, telah kehabisan sebahagian besar asetnya.

    Bagaimanapun Brodie berkata, rampasan ASD35.1 juta itu tidak berlebihan mengikut perlembagaan.

    Beliau juga berkata walaupun Ng kurang bersalah berbanding orang lain, “dia memainkan peranan dalam salah satu jenayah kewangan terbesar sepanjang masa”, satu skim yang menyebabkan “kemudaratan tidak ketara kepada keyakinan orang ramai terhadap demokrasi dan kerajaan”.

    Agnifilo tidak memberi maklum balas segera terhadap permintaan untuk ulasan, lapor FMT.

    Brodie menjatuhkan hukuman penjara Ng pada 9 Mac, 11 bulan selepas juri mendapati dia bersalah kerana membantu bekas ketuanya Tim Leissner menggelapkan wang daripada 1MDB, ‘mencuci’ hasil, dan merasuah pegawai kerajaan untuk mendapatkan perniagaan.

    Low Taek Jho, atau Jho Low, seorang ahli perniagaan Malaysia dan disyaki dalang skim itu, turut didakwa tetapi masih bebas.

    Leissner berdepan hukuman pada 6 September. Goldman membuat keputusan dengan pihak berkuasa pada Oktober 2020, bersetuju membayar ASD2.9 bilion dan meminta unit di Malaysia mengaku bersalah atas pertuduhan rasuah.

    Bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun selepas disabitkan di mahkamah Malaysia kerana menerima RM42 juta daripada bekas unit 1MDB, SRC International. Najib secara konsisten menafikan salah laku.

  • Meninggal dunia ketika sujud solat tarawih

    Meninggal dunia ketika sujud solat tarawih

    PENGERUSI sebuah masjid di Palembang, Indonesia dilaporkan meninggal dunia ketika menunaikan solat tarawih pada malam pertama Ramadan tahun ini.

    Pemergian allahyarham Purnomo Adjie, 61, semasa sedang sujud menunaikan solat berkenaan kini tular di media sosial Indonesia.

    Selain itu, ramai warganet mendoakan Purnomo meninggal dalam husnul khatimah atau pengakhiran yang baik.

    Menurut seorang jemaah lain, sebelum Pengerusi Masjid Jami An Nur Mata Merah itu menghembuskan nafas terakhir, dia mengadu sakit dada dan keadaannya kelihatan tidak sihat.

    “Selesai imam membaca surah Al-Fatihah, tiba-tiba Purnomo jatuh perlahan-lahan dengan keadaan sujud dan semasa rakaat kedua dia tidak bangun lagi,” katanya, lapor Sinar Harian.

    Sebelum meninggal dunia, Purnomo sempat memberikan ucapan ringkas mengenai sambutan Ramadan dan menggesa jemaah masjid melakukan lebih banyak kebaikan berbanding sebelum ini.

    Allahyarham juga sempat meminta maaf kepada semua yang datang menunaikan solat di masjid terletak di Kecamatan Sematang Borang itu.

  • Zakir Naik ‘selamat’ di hotel Oman, peguam nafi pendakwah ditahan

    Zakir Naik ‘selamat’ di hotel Oman, peguam nafi pendakwah ditahan

    PEGUAM mewakili Zakir Naik iaitu Akberdin Abdul Kader menafikan laporan berita mendakwa pendakwah itu akan ditahan di Oman untuk dihantar pulang ke India.

    Jelas beliau, Zakir sebaliknya diberikan sambutan kehormat di ibu negaranya.

    “Beliau menghantar pesanan memaklumkan beliau selamat dan berada di hotel,” kata Akberdin kepada FMT.

    Zakir juga memaklumkan, laporan mendakwa penahanannya sekadar ‘berita rekaan’media kawalan kerajaan Perdana Menteri India Narendra Modi.

    Beliau juga memuat naik video dalam akaun Facebook memberitahu pengikutnya, beliau selamat tiba di Oman pada awal pagi 22 Mac.

    Zakir turut menyatakan penghargaan kepada Sultan Oman atas sambutan mesra diterimanya.

    Malam tadi, saluran berita India berbahasa Inggeris News18 melaporkan Zakir akan ditangkap di Oman dan dihantar pulang ke India.

    Menurut laporan itu, perisikan India bekerjasama dengan pihak berkuasa Oman untuk menahan Zakir pada Khamis.

    Zakir memegang taraf penduduk tetap di Malaysia dan menetap di Putrajaya.

    Pendakwah kontroversi itu dikehendaki untuk disoal siasat di India atas dakwaan pengubahan wang dan kegiatan menyalahi undang-undang lain.

  • Umat Islam di India, Bangladesh dan Sri Lanka mula berpuasa esok

    Umat Islam di India, Bangladesh dan Sri Lanka mula berpuasa esok

    UMAT Islam di India kecuali di negeri Kerala akan mula berpuasa esok.

    Tarikh permulaan puasa itu ditetapkan pada Jumaat memandangkan anak bulan Ramadan tidak kelihatan pada Rabu kecuali di negeri yang terletak di bahagian selatan.

    Bangladesh dan Sri Lanka juga akan mula berpuasa pada esok.

    Sementara itu, Jawatankuasa Ruet-e-Hilal Pakistan (jawatankuasa melihat anak bulan) mengisytiharkan Khamis sebagai tarikh permulaan puasa di negara ini.

    Maldives turut mula berpuasa hari ini.

  • Arab Saudi, Qatar umum Ramadan bermula esok

    Arab Saudi, Qatar umum Ramadan bermula esok

    PIHAK berkuasa Arab Saudi dan Qatar mengumumkan Ramadan akan bermula esok berdasarkan jangkaan kemunculan anak bulan.

    Memetik laporan Saudi Press Agency, Mahkamah Agung Arab Saudi semalam mengumumkan Rabu sebagai hari terakhir bulan Syaban sekali gus menandakan bermulanya ibadah puasa, keesokan harinya.

    Lapor Al Jazeera, pihak berkuasa Palestin dan Mesir turut mengumumkan Ramadan akan bermula esok.

    Namun pihak berkuasa di Jordan, Algeria dan Morocco hanya akan mengumumkan tarikh permulaan puasa pada hari ini.

    Ramadan ditentukan oleh kalendar Islam yang bermula mengikut penglihatan anak bulan

  • Berang diajak jumpa psikiatri, polis mengamuk hampir 24 jam maut ditembak

    Berang diajak jumpa psikiatri, polis mengamuk hampir 24 jam maut ditembak

    SEORANG pegawai polis cawangan khas meninggal dunia ketika menerima rawatan selepas cedera ditembak skuad komando di Sat Mai, utara Bangkok kelmarin.

    Memetik laporan Khaosod, suspek yang dikenali sebagai Leftenan Kolonel Kitikarn Sangbun, 51, sebelum itu dilapor mengamuk hampir 24 jam dengan melepaskan beberapa das tembakan di kawasan tempat tinggalnya.

    Dia disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Bhumibol Adulyadej.

    Leftenan Kolonel Kitikarn Sangbun, 51, mempunyai rekod sejarah sakit mental.

    Difahamkan, kejadian bermula pada pagi Selasa selepas suspek melepaskan tembakan ke arah rakan sekerja yang cuba membawanya ke hospital bagi mendapatkan rawatan sakit mental yang dihidapi.

    Rakan sekerja telah datang ke rumah suspek bersama ambulans selepas beberapa hari Kitikarn tidak melaporkan diri di balai polis.

    Malah, Kitikarn juga bertindak menghalau rakannya sebelum mengurung diri di dalam rumah.

    Bukan itu sahaja, Kitikarn juga melepaskan beberapa das tembakan sepanjang proses rundingan bersama anggota polis.

    Dia disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Bhumibol Adulyadej.

    Ganja kering yang disimpan dalam balang dan dua pokok ganja ditemui di belakang rumah suspek

    Difahamkan, kejadian bermula pada pagi Selasa selepas suspek melepaskan tembakan ke arah rakan sekerja yang cuba membawanya ke hospital bagi mendapatkan rawatan sakit mental yang dihidapi.

    Rakan sekerja telah datang ke rumah suspek bersama ambulans selepas beberapa hari Kitikarn tidak melaporkan diri di balai polis.

    Malah, Kitikarn juga bertindak menghalau rakannya sebelum mengurung diri di dalam rumah.

    Bukan itu sahaja, Kitikarn juga melepaskan beberapa das tembakan sepanjang proses rundingan bersama anggota polis, lapor Utusan TV.

  • Remaja tembak ibu sendiri sebelum bunuh 2 anggota polis

    Remaja tembak ibu sendiri sebelum bunuh 2 anggota polis

    SEORANG remaja 16 tahun dilapor menembak ibunya sebelum membunuh dua anggota polis yang tiba di kediaman mereka di Edmonton, Kanada.

    Ketua Polis Edmonton, Dale McFee berkata, kedua-dua anggota polis itu ditembak ketika mereka tiba di sebuah bangunan pangsapuri selepas menerima panggilan berhubung pertelingkahan domestik pada pukul 12.47 tengah malam, awal Khamis.

    Pasukan polis yang dikerah ke apartmen itu kemudian menemukan mayat suspek remaja itu dengan kesan tembakan yang dipercayai dilakukannya sendiri.

    Suspek tidak dinamakan kerana masih berada di bawah umur.

    Ibu suspek dilapor dalam keadaan kritikal ketika dibawa ke hospital namun kini berada dalam keadaan stabil.

    Anggota polis yang terkorban dikenal pasti sebagai Travis Jordan, 35, yang telah berkhidmat dengan pasukan Edmonton selama lebih 8 tahun, dan Brett Ryan, 30, yang berkhidmat lebih 5 tahun.

    “Ini adalah hari yang sangat tragis bagi Perkhidmatan Polis Edmonton dan bandar ini.

    “Anggota polis ini berkorban nyawa ketika cuba melindungi komuniti di sini.

    “Pengorbanan mereka tidak akan dilupakan,” kata McFee dalam satu kenyataan, lapor Astro Awani.

    Tiada kenyataan lanjut berhubung tindakan dilakukan suspek dan polis masih menyiasat punca kejadian.

  • ‘El Chapito’ remaja 14 tahun bunuh lapan orang ditahan polis

    ‘El Chapito’ remaja 14 tahun bunuh lapan orang ditahan polis

    PIHAK berkuasa Mexico menahan seorang remaja lelaki berusia 14 tahun yang digelar El Chapito sempena nama raja dadah Mexico yang terkenal, atas pertuduhan terlibat dalam menembak mati lapan orang.

    Jabatan Keselamatan Awam Amerika Utara mengumumkan penahanan itu menerusi satu kenyataan pada Khamis, menurut United Press International (UPI).

    Pihak berkuasa berkata remaja lelaki yang tidak dikenali itu adalah seorang daripada dua orang yang melepaskan tembakan ke atas sebuah keluarga yang meraikan hari lahir di kejiranan Fundidores di Chimalhuacan, sebuah bandar di timur laut Mexico City, yang membunuh lapan orang dan mencederakan tujuh yang lain, termasuk seorang kanak-kanak berusia tiga tahun.

    Polis berkata remaja itu adalah antara sembilan orang yang ditahan semasa operasi 12 jam antara lewat 10 Mac dan awal Sabtu di Chimalhuacan dan bandar Nezahualcoyotl berdekatan.

    Seorang lagi didakwa berhubung kes tembakan itu manakala selebihnya didakwa dengan pertuduhan jenayah berkaitan dadah, kata jabatan itu.

    Tertuduh dewasa dibawa ke Pusat Reintegrasi Sosial dan Penjara Neza-Bordo manakala remaja itu diserahkan kepada hakim kawalan khusus dalam Sistem Keadilan Jenayah Komprehensif untuk Remaja, katanya.

    ‘El Chapo’, yang nama sebenarnya Joaquin Guzman, menjalani hukuman penjara seumur hidup di penjara Colorado setelah didapati bersalah atas pelbagai pertuduhan berkaitan kedudukannya sebagai ketua kartel Sinaloa yang terkenal.

    Jenayah kekerasan dalam kalangan remaja merupakan perkara biasa di negara ini.

    Pada awal 2010-an, seorang remaja lelaki berusia 14 tahun yang digelar El Ponchis ditangkap dan didakwa sebagai pembunuh upahan untuk kartel dadah Mexico, menurut laporan itu.

  • Roger Ng dakwa kerajaan Malaysia ambil semua wangnya

    Roger Ng dakwa kerajaan Malaysia ambil semua wangnya

    BEKAS pegawai bank Goldman Sachs, Roger Ng yang dihukum penjara 10 tahun pada minggu lalu kerana terbabit skandal penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB), mendakwa tidak mampu memenuhi tuntutan pendakwa raya Amerika Syarikat (AS) untuk dia turut membayar AS$35 juta (RM157.18 juta).

    Beliau mendakwa, ini kerana Kerajaan Malaysia sudah mengambil semua wangnya.

    Pendakwa raya persekutuan telah memohon Hakim Margo Brodie di Brooklyn, New York, supaya memerintahkan Ng dilucuthakkan jumlah itu berikutan wang diperoleh secara haram daripada konspirasi merompak dana kekayaan Malaysia, ketika dijatuhi hukuman pada 9 Mac lalu.

    Peguam Ng, Marc Agnifilo, berhujah bahawa tiada penalti lain diperlukan dan anak guamnya tidak mempunyai dana dalam sebarang kes, menurut laporan Bloomberg.

    Brodie tidak membuat keputusan berhubung isu pelucuthakan berkenaan pada minggu lalu.

    Rabu lalu, hakim berkenaan memerintahkan kedua-dua belah pihak terbabit untuk mengemukakan hujah sama ada jumlah diminta pendakwa raya itu melanggar Pindaan Kelapan yang melarang denda berlebihan berserta hukuman kejam atau luar biasa.

    Pihak Ng, 51, berhujah bahawa Kerajaan Malaysia sudah merampas lebih AS$35 juta (RM157.18 juta) dari 11 akaun yang dipegang keluarganya.
    Dalam satu pemfailan di mahkamah, Agnifilo menegaskan rampasan itu bertujuan sebagai hukuman dan bukannya pemulangan dana.

    “Pegawai polis di Malaysia amat jelas bahawa polis mahukan semua wang dalam akaun berlainan itu; bukan sekadar pemulangan dana 1MDB yang dikesan,” tulis Agnifilo, menurut Berita Harian yang memetik laporan Agensi.

    Walaupun mendakwa terdapat asas lain untuk menolak tuntutan AS berhubung pelucuthakan itu, Agnifilo turut berhujah bahawa ia melanggar Pindaan Kelapan.

    Brodie berkata, beliau percaya pelucuthakan ‘diperlukan mengikut undang-undang’ bagi jenayah yang disabitkan ke atas Ng, namun mahu kedua-dua pihak menangani hujah Ng bahawa tuntutan AS$35 juta itu adalah sangat tidak wajar.