Category: Komentar

  • Siapa sebenar ‘gila’, ‘jumud’, ‘khianati prinsip federalisme?

    Siapa sebenar ‘gila’, ‘jumud’, ‘khianati prinsip federalisme?

    KERAS sekali kenyataan Ahmad Zahid Hamidi apabila mengulas cadangan Ketua Pemuda Perikatan Nasional (PN), Ahmad Fadhli Shaari supaya tiga negeri ditadbir gabungan itu menggunakan logo dan tema Hari Kebangsaan berbeza sebagai jumud.

    Kata Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri, ‘’ “Dia ni gila ke apa? Ini bukan soal politik, sebaliknya soal bendera dan perayaan Hari Kebangsaan adalah agenda nasional. Jadi, saya fikir jangan dipolitikkan perkara ini. Saya fikir dia tidak layak jadi Ahli Parlimen, kalau sikapnya yang jumud (berfikiran sempit) begitu.”

    Beliau mengulas cadangan PN untuk menggunakan logo berteraskan bunga raya dengan lima kelopak yang menjadi bunga kebangsaan digabungkan elemen warna pada Jalur Gemilang dengan tema “Teguh Muafakat Malaysia Sejahtera”. Ia berbeza dengan Kerajaan Pusat yang mengumumkan “Malaysia Madani: Tekad Perpaduan, Penuhi Harapan” sebagai tema Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia tahun ini dengan mengangkat Malaysia Madani sebagai logo rasmi.

    Tidak pasti sama ada Ahmad Zahid ketika menjawab soalan itu dalam keadaan emosi atau tidak, memandangkan beliau sememangnya tertekan selepas UMNO kalah teruk di tangan Perikatan Nasional (PN) pada PRN di 6 negeri baru-baru ini.

    Tetapi apa yang pasti Zahid terlupa bahawa pada tahun 2012 Pakatan Rakyat pernah membuat langkah yang sama apabila menolak menggunakan tema Hari Kebangsaan 2012 Kerajaan Barisan Nasional (BN) iaitu ‘Janji Ditepati, sebaliknya mahu menggunakan logo dan tema sendiri iaitu ‘’Sebangsa, Senegara, Sejiwa’’.

    Mungkin Zahid sudah lupa apa apa ‘cikgunya’ kata ketika mempertahankan tindakan Pakatan Rakyat itu.

    Berikut sedutan kenyataan Anwar semasa menjawab soalan wartawan berhubung tindakan pakatan berkenaan:

    ’Teman Hari Merdeka itu patut inklusif. Ia tidak tema propaganda UMNO-BN. Saya tidak fikir ia menjadi satu masalah kalau orang gunakan ‘Sebangsa, Senegara, Sejiwa’…apa yang boleh memecah belahkan?’’

    ‘’Ada orang kata ini nampak seolah-olah dekat (slogan) 1Malaysia…saya tidak ada masalah dengan slogan itu. Empat negeri itu (di bawah Pakatan Rakyat) kita akan kemukakan (cadangan) sebab kita akan ada mesyuarat Pakatan Rakyat.Kita belum putuskan sama ada kita akan cadangkan kerajaan negeri melaksanakan tema tersebut.

    ‘’Tetapi saya fikir wajar kalau kerajaan negeri (Pakatan Rakyat) menggunakan tema tersebut (Sebangsa,Senegara,Sejiwa)…sebab tema ini lebih mencakup semua kepentingan kaum dan semua aliran parti politik..ia slogan yang lebih inklusif..’’

    Berdasarkan kenyataan itu adakah tindakan Pakatan Rakyat pada 2012 itu juga boleh dianggap berada dalam kategori ‘’gila dan tidak layak jadi Ahli Parlimen, kalau sikapnya yang jumud’’.

    Apakah kerana Ahmad Zahid dan UMNO sudah ‘satu kelab’ dengan PKR dan DAP maka tindakan ‘gila dan jumud’ mereka ketika menjadi pembangkang pada 2012 harus dilupakan? Manakala apabila pembangkang hari ini iaitu PN ‘mengulangi’ tindakan sama atas hujah yang sama mereka dianggap ‘gila dan jumud’? Siapa sebenarnya ‘gila dan jumud’? Apakah tindakan Pakatan Rakyat pada 2012 itu tidak boleh dianggap mempolitikkan agenda Nasional?

    Ahmad Zahid tengoklah balik klip video sidang akhbar Anwar pada 2012 itu yang antara lain, Anwar turut menyifatkan penggunaan tema ‘Janji Ditepati’ adalah tindakan terdesak UMNO-BN .

    Tidak cukup dengan Ahmad Zahid, turut ‘galak’ mengkritik tindakan PN ialah penganalisis-penganalisi politik ‘hebat’ yang menganggap tindakan PN itu seolah-olah mengkhianati prinsip federalisme. Kata mereka, ia mampu merenggangkan hubungan antara kerajaan pusat dan negeri memandangkan sambutan Hari Kebangsaan bersifat nasional diraikan bagi mengenang perjuang kemerdekaan negara menerusi penyatuan kaum. Mereka menyifatkan, apa yang dilakukan oleh PN bermotifkan politik dan tidak patut berlaku atas keperluan untuk menghormati semangat berpersekutuan.

    Penulis ingin bertanya, apa pula pandangan mereka apabila Kerajaan Pusat menghalang peruntukan kepada Ahli Parlimen Pembangkang? Kalau Ahli Parlimen Pembangkang mahu peruntukan mesti berbincang dengan dua Timbalan Perdana Menteri iaitu Ahmad Zahid dan Fadillah Yusof?

    Bagaimana dengan kenyataan pemimpin PHBN bahawa peruntukan dan bantuan kepada sesebuah negeri lebih mudah jika pemerintahan kerajaan negeri dan kerajaan pusat adalah sama? Bagaimana pula dengan kenyataan bahawa peruntukan yang lebih akan diberikan kepada sebuah negeri jika rakyat memilih PHBN pada PRN lalu?

    Pertanyaan penulis, adakah apa yang dilakukan itu tidak mengkhianati prinsip federalisme? Tidakkan itu akan merenggangkan hubungan antara kerajaan pusat dan negeri? Tidakkan apa yang dilakukan oleh pemimpin PHBN itu tidak bermotif politik dan ‘’ tidak patut berlaku atas keperluan untuk menghormati semangat berpersekutuan?”

    Justeru sebelum Ahmad Zahid, penganalisis politik atau NGO mahu mengecam atau mengkritik tindakan PN itu adalah lebih baik mereka membuat kajian dahulu apa yang pernah dilakukan oleh Pakatan Rakyat yang kini sudah menjadi kerajaan bersama parti ‘anak murid’ Anwar iaitu UMNO-BN ketika sambutan merdeka 11 tahun lalu.Mereka juga patut mengkaji siapa sebenarnya mengkhianati prinsip Federalisme.

    Kepada Zahid dan pemimpin kerajaan, biarlah rakyat menilai apa yang dilakukan oleh PN itu benar-benar ‘gila’, ‘jumud’ dan ‘khianati prinsip federalisme atau tidak. Tak payah mahu mengkritik sesuatu yang sebenarnya PH sendiri pernah lakukan dahulu, bukan apa takut nanti orang kata jadi ayam jantan…kokok kuat ekor bergelumang taik!

  • Apa lagi mesej yang UMNO mahu?

    Apa lagi mesej yang UMNO mahu?

    “BIAR kita buat dulu cara kita, tetapi jika cara kita ni tidak langsung didengari, maka kita akan melakukan sesuatu. Ini amaran keras kita berikan kepada (kepimpinan).”

    Itulah penegasan Ketua Pemuda UMNO, Dr.Muhammad Akmal Saleh ketika berucap dalam perhimpunan ‘ Di mana Salah Kita’ – Post Mortem PR6N di Kuala Lumpur Khamis lalu.

    ‘Agak mengagumkan’ apabila Dr Muhammad  Akmal juga memberi amaran,”Jika kita terus lena dibuai mimpi, satu hari nanti pasti UMNO dikuburkan. Kita takkan benarkan benda itu terjadi”.

    Penulis tidak pasti sejauh manakah apa yang ditegaskan oleh Ketua Pemuda UMNO itu didengari oleh kepemimpinan parti. Kalau memberi reaksi pun sekadar mempersoalkan tindakan Pemuda – reaksi yang sudah diduga. Tiada reaksi daripada barisan kepemimpinan tertinggi.

    Sama ada mereka takut memberi maklumbalas atau beranggapan gertakan Pemuda UMNO itu sekadar luahan ‘kemarahan sementara’ selepas UMNO mencatatkan prestasi buruk dalam PRN di 6 negeri baru-baru ini.

    Mungkin juga pemimpin-pemimpin UMNO sudah selesa dengan sindrom masih jadi kerajaan biarpun kalah pilihan raya. Sebelum ini UMNO sudah kalah teruk dalam PRU-15, walaupun kalah parti itu dijemput berada dalam kerajaan di bawah dua pentadbiran berbeza. Kali pertama bersama Perikatan Nasional dan kini dengan Pakatan Harapan.  Maka mendabik dada lah pemimpin kanannya dengan menganggap apa yang berlaku takdir Allah SWT. 

    Oleh kerana sudah selesa dengan tanggapan itu maka apabila UMNO mencatatkan prestasi buruk dalam PRN barisan kepemimpinan  tidak berasa apa-apa ibarat ‘kebas satu badan’. UMNO ‘beroperasi’ seperti biasa yang bertanding kalah akan kata hormati keputusan rakyat, yang tak bertanding kata  akan buat post mortem.

    Tetapi apa hasilnya selepas post mortem? Tidak apa-apa, malah laungan amaran seperti Pemuda UMNO pun ibarat ‘gas pepsi cola’ – buih sekejap sahaja.

    Sebenarnya ramai tertanya-tanya apa lagi mesej yang UMNO mahu?  UMNO ditumbangkan dalam dua PRU, dapat ehsan’ PH untuk jadi kerajaan di Pahang dan Perak dan ‘dibungkus’ dalam PRN 6 negeri.  Tak kan kepemimpinan UMNO tidak faham mesej tersebut? UMNO kini hanya harap ‘bantuan oksigen’ PH untuk jadi kerajaan di peringkat pusat.

    UMNO hanya ada kuasa mutlak memerintah di Melaka dan Johor. Di Perlis, Kedah, Kelantan dan Terengganu dah jadi ‘lipat pisang’, di Pulau Pinang ‘nyawa-nyawa ikan’ (1 kerusi DUN), di Negeri Sembilan ‘menang hebat tapi kuasa orang lain yang rembat’. Di Pahang, Perak tanpa ehsan PH pasti UMNO tak jadi Menteri Besar. Kerusi Parlimen pun hanya tinggal 30 kerusi dan paling malang di beberapa negeri UMNO bukan kata tak ada ADUN malah Ahli Parlimen pun ‘ke laut’.

    Tidak cukup dengan itu, keputusan PRN di negeri 6 membuktikan UMNO kini sudah setaraf Parti Amanah biarpun mempunyai lebih 3 juta ahli dan 191 bahagian. Apa gunanya ada ramai ahli berjuta-juta, kalau ‘tertiarap’ setiap kali pilihan raya? Apa gunanya 191 bahagian, kalau kerusi Parlimen yang dikuasai pun’semakin pupus’?

    UMNO perjuang Melayu!UMNO bawa agenda Melayu! UMNO parti Melayu terbesar!…betulkah begitu? Lihatlah keputusan PRN 6 negeri ke mana orang Melayu? Bukankah lebih 80 peratus pengundi Melayu memihak kepada Perikatan Nasional (PN) yang dianggotai oleh Bersatu dan Pas.

    Jadi apa lagi mesej yang UMNO mahu? Benar UMNO belum tertiarap? Betul UMNO belum ‘berkubur’ tetapi dengan pencapaian setakat ini, jika sesuatu tidak dilakukan UMNO ‘akan diseret ke kuburan politik’. Justeru siapa akan selamatkan UMNO? Adakah Ahmad Zahid Hamid atau Mohamad Hasan? Dan adakah apa yang dilakukan oleh Pemuda UMNO akan mengubah wajah UMNO untuk kembali diterima oleh rakyat khususnya orang Melayu?

    Setakat ini penulis tidak nampak UMNO akan berubah, boleh diubah atau terpaksa berubah, apa yang penulis nampak UMNO menanti masa untuk rebah. Ia memandangkan UMNO masih dikuasai oleh orang-orang Presiden yang jumlahnya bukan sahaja ramai tetapi juga ada kuasa dan kedudukan untuk menentukan hala tuju UMNO.

    Bagaimana dengan Mohamad Hasan yang sebelum ini diharapkan oleh ahli UMNO melakukan sesuatu untuk memulihkan parti selepas kekalahan dalam PRU-15? Penulis tidak menaruh apa-apa harapan kepada Ahli Parlimen Rembau, ADUN Rantau dan Timbalan Presiden UMNO itu. 

    Mohamad Hasan dianggap oleh ahli-ahli UMNO memilih jalan selamat untuk mengelakkan konfrantasi dengan Ahmad Zahid. Mungkin juga bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu sudah melihat nasib yang menimpa rakan-rakannya apabila  ‘melawan tauke’.

    Ada antara mereka dipecat, digantung atau ada yang ibarat ‘ada pun macam tiada…senyap sunyi’. Jadi siapa yang akan menjadi penggerak untuk memastikan mesej-mesej yang diberikan oleh rakyat sehingga parti itu terpuruk difahami kepemimpinan UMNO?

    Secara jujur tidak nampak, cuma apabila Pemuda UMNO yang dipimpin oleh Dr.Muhammad Akmal kelihatan bersuara tegas, ia memberi sedikit harapan tetapi tidak tahu sejauhmanakah ia mampu mengubah UMNO. Kalau UMNO mahu  terus kekal dengan kedudukan sekarang, sekadar buat post mortem bila kalah pilihan raya, yakin kalau kalahpun boleh menjadi kerajaan, ‘’ini parti kami, ikut suka kamilah nak berkawan dengan siapa’…teruskanlah.

    Namun UMNO kena ingat, UMNO bukanlah satu-satu parti pilihan orang Melayu, UMNO bukan satu-satunya parti perjuangkan Melayu sebaliknya orang Melayu sudah ada alternatif iaitu Perikatan Nasional. Keputusan PRU-15 dan PRN di negeri ini sudah menjadi bukti. Oleh itu kalau UMNO masih leka dengan kedudukan kerajaan, masih seronok dapat ke hulu ke hilir dengan pemimpin PH, percayalah sikap tersebut ibarat sedang ‘menyusun ayat-ayat untuk ditalkinkan’ kepada parti Melayu berusia 77 tahun itu.

  • Hormatilah mandat rakyat, jangan amal ‘politik ala AS’

    Hormatilah mandat rakyat, jangan amal ‘politik ala AS’

     SALAH satu strategi politik  yang digunakan oleh Amerika Syarikat (AS) bagi melemahkan musuhnya ialah melakukan sekatan ekonomi. Negara yang tidak sehaluan dengan kuasa besar tersebut akan ditekan habis-habisan.

    Layanan berbeza akan diberikan kepada negara-negara yang sehaluan, sentiasa menjadi penyokongnya atau negara yang mengambil jalan tengah dengan tidak menyokong atau menentang apa juga tindak-tanduk AS.

    AS yang masyarakat Yahudi menjadi kelompok terbesar dan berkuasa melakukan strategi politik seumpama itu dengan matlamat, rakyat di negara yang ditekan tersebut akan bangkit menentang kerajaan dan ketika itulah AS akan ‘cucuk jarum’ untuk melenyapkan atau menjatuhkan kerajaan yang tidak sehaluan dengan mereka.

    Strategi politik AS ini terlintas di fikiran penulis apabila membaca kenyataan beberapa pemimpin kerajaan dan penyokong mereka yang dibuat selepas PRN berakhir Sabtu lalu. 

    Dalam PRN di 6 negeri tersebut, Pakatan Harapan-Barisan Nasional (BN) menang 3 negeri manakala Perikatan Nasional (PN) menang 3 negeri. Dari segi undi popular pun masing-masing boleh dikatakan mendapat sama banyak sahaja.

    Sudah tentulah keputusan itu adalah kehendak rakyat,  keputusan itu adalah hak demokrasi rakyat dan keputusan itu adalah mandat rakyat kepada parti yang mereka mahukan dengan menggunakan kuasa mutlak sebagai rakyat. Atas sebab itulah amalan demokrasi di negara ini membenarkan pilihan raya bukan sahaja boleh disertai oleh parti-parti politik tetapi juga individu tidak berparti yang dibenarkan bertanding atas tiket Bebas.  Semua itu bertujuan memberi ruang seluas-luasnya kepada rakyat untuk memilih siapa yang mereka mahu pilih menjadi kerajaan.

    Apabila pilihan raya berakhir dan rakyat sudahpun membuat keputusan maka keputusan rakyat serta mandat itu harus dihormati. Sesiapa juga yang menang harus dihormati tidak kiralah kalau sesebuah parti itu ‘dibenam’ 36-0 sekalipun atau seseorang calon itu menang 38 undi sekalipun.

    Oleh itu penulis mual dan bosan apabila ada pemimpin atau penyokong kerajaan melontarkan pandangan atau pendapat seolah-olah memberi bayangan, oleh kerana sesebuah negeri itu memilih pembangkang atau kerajaaan yang tidak sehaluan atau tidak sama parti  dengan parti kerajaan di peringkat pusat maka negeri terlibat perlu terima balasannya.

    Malah ada yang terlalu celupar dengan berkata biarlah negeri itu miskin kerana rakyatnya menolak tawaran kerajaan pusat untuk memajukan mereka. Paling malang ada pemimpin besar di peringkat pusat awal-awal lagi ketika kempen PRN berkata, jika sesebuah negeri itu mahu peruntukan lebih banyak, maka rakyatnya perlu mengundi parti kerajaan.

    Soalnya, adakah wajar amalan demokrasi yang memberi hak kepada rakyat memilih kerajaan atau wakil rakyat dicemari dengan strategi ‘politik ala AS’ ini?  Kenapa pula mahu mengertak atau membalas dendam dengan cara menghukum negeri yang rakyatnya mengundi pihak pembangkang? Adakah dengan melakukan tindakan demikian ia akan menakutkan rakyat di negeri-negeri terlibat supaya tidak lagi mengundi parti yang tidak sehaluan dengan kerajaan pusat. 

    Berhujah dengan mengatakan kalau kerajaan pusat dengan kerajaan negeri sehaluan akan memudahkan bantuan atau peruntukan disalurkan hanyalah hujah politik jahil. Kalau begitu apa gunanya agensi kerajaan persekutuan di negeri-negeri? Bukankah agensi-agensi tersebut boleh digunakan untuk bekerjasama dengan agensi kerajaan negeri bagi menyalurkan bantuan dan peruntukan berkenaan?

    Seperkara lagi, adakah ‘politik ala AS’ ini akan menguntungkan pihak kerajaan pusat atau mana-mana kerajaan negeri? Adakah politik ‘ala AS’ itu akan memungkinkan rakyat akan mengubah keputusan politik atau pilihan mereka dalam piihan raya akan datang?

    Tiada siapa pun boleh memberi jaminan tetapi yang pasti dalam keghairahan melakukan gertakan, ugutan atau operasi membalas dendam, jangan lupa…kemenangan sesebuah parti itu bukan bergantung kepada ahli parti semata-mata tetapi juga rakyat keseluruhan termasuklah kelompok ‘majoriti senyap’ atau atas pagar.

    Sejarah politik negara sudah membuktikan ‘politik ala AS’ ini tidak mendatangkan apa-apa hasil kepada kelompok yang mengamalkannya, sebaliknya ia hanya membangkitkan kemarahan rakyat di negeri-negeri yang terlibat. Kajilah keputusan PRN lalu, apa berlaku di Kedah, Terengganu dan Kelantan menjadi bukti klasik bagaimana rakyat negeri itu tetap bersama kerajaan negeri sedia ada biar apapun tekanan yang diterima oleh negeri berkenaan.

    Penulis berharap , ‘politik ala AS’ tidak berlaku di negara ini, biarpun bibit-bibitnya sudah ada. Hormatilah keputusan rakyat di ketiga-tiga negeri tersebut. Jangan amalkan ‘politik ala AS’ kerana ia menunjukkan kejahilan sesuatu pihak tidak mahu menghormati mandat rakyat.Bercakap soal demokrasi berdegar-degar, bercakap soal keadilan siang malam, bercakap soal kestabilan bagai ‘nak rak’ tetapi apabila rakyat membuat keputusan tidak menyokong kita…semua ucapan itu ‘ke laut’!

    Kesimpulannya, suka atau tidak, marah atau kecewa..rakyat sudah membuat keputusan ada menyokong, ada yang tidak. Selagi dunia tak kiamat, inshaallah, pilihan raya tetap akan diadakan lima tahun sekali, ketika itu berusahalah memenangi hati rakyat yang menolak kita.

    Hayatilah seruan Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md.Nor ketika berucap pada majlis mandat rakyat di Alor Setar selepas keputusan PRN diumumkan antaranya beliau berkata:

    ‘’Jangan buat-buat tak faham dengan mandat yang telah diberikan oleh rakyat Kedah kepada Perikatan Nasional. Jangan cuba nafikan. kangan cuba ketepikan, jangan cuba paksa. jangan cuba hukum atau denda rakyat negeri Kedah kerana menolak kamu kerana kita terlibat dalam politik negara ini, kita telah sama-sama menerima inilah sistem demokrasi, bila rakyat pilih 1 parti 1 pihak kita kena akur dan berlapang dada..jangan kamu cuba sempitkan dada kamu.’’

    Semoga kenyataan Sanusi itu akan memberi peringataan kepada kerajaan pusat supaya menghormati mandat rakyat di Kedah, Kelantan dan Terengganu bersesuaian  dengan konsep masyarakat MADANI, bukan MARAH DAH NI!

  • Akhirnya PH-BN ‘ditimbus REE’ fenomena Sanusi di Kedah

    Akhirnya PH-BN ‘ditimbus REE’ fenomena Sanusi di Kedah

    SELAMA berpuluh-puluh tahun dan berbelas-belas Pilihan Raya Umum (PRU), Pilihan Raya Negeri (PRN) mahupun Pilihan Raya Kecil (PRK), Kedah bukanlah sebuah negeri yang diberi perhatian khusus dalam arena politik. Negeri Mahsuri itu hanya diberi perhatian jika tercetus kontroversi pertukaran pentadbiran kerajaan negeri dan Menteri Besar.

    Malah ketika pilihan raya umum lalu apa berlaku di Kedah tidak lagi begitu menarik perhatian ramai biarpun bertukar MB daripada Mukhriz Mahathir kepada Muhamad Sanusi Md. Nor di pertengahan jalan berikutan perubahan pentadbiran kerajaan di peringkat pusat.

    Namun apabila enam DUN termasuk Kedah dibubarkan bagi memberi laluan kepada PRN,  negeri Jelapang Padi itu menjadi perhatian arena politik tanah air. Nama Sanusi jadi sebutan ramai  apabila ada gerakan untuk memastikan Kedah jatuh ke tangan gabungan PH-BN.

    Bermula daripada  DUN dibubarkan hinggalah memasuki tempoh 24 jam sebelum pengundian, situasi Kedah ibarat ‘sang kancil yang sedang diserang sekumpulan dubuk’.

    Sasaran utama PH-BN ialah Sanusi yang juga Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) – kelantangan beliau mempertahankan Kedah dan misi beliau untuk mewujudkan The Greater Kedah tidak disenangi oleh pemimpin-pemimpin PHBN.Mereka mencari jalan bagaimana mahu  memastikan Sanusi dan PN tumbang di negeri yang disahkan kaya dengan nadir bumi (REE).

    Dalam ketandusan isu untuk melemahkan Sanusi, pemimpin PH khususnya membangkitkan isu kecurian REE. Walaupun kes itu boleh dianggap selesai setelah mereka yang terlibat diheret mahkamah dan dijatuhi hukum, pemimpin PH-BN mencari celah mana  REE boleh dijadikan modal untuk merosakkan reputasi Sanusi. Mereka tahu jika Sanusi dilemahkan maka seluruh jentera PN di Kedah juga akan tergugat.

    Dua panglima PH-BN iaitu Mahdzir Khalid dan Mahfuz Omar berganding bahu untuk menumbangkan Sanusi dan mereka mendapat bantuan cukup hebat daripada Saifuddin Nasution yang tewas di Parlimen Kulim Bandar Bahru pada PRU-15. 

    Sepanjang kempen PRN berlangsung di Kedah, tugas Saifuddin yang juga Menteri Dalam Negeri itu hanyalah mencari segala ruang dalam isu kecurian REE untuk dikaitkan dengan Sanusi. Saifuddin begitu ghairah menyerang Sanusi dengan menggunakan isu berkenaan sehinggakan ia menimbulkan persoalan bukan sahaja dalam kalangan rakyat Kedah tetapi juga rakyat negeri lain.

    Mereka hairan dengan telatah Saifuddin yang dilihat cuba merosakkan imej Sanusi menggunakan isu REE. Ia bertambah menarik apabila  Sanusi bukan sahaja berjaya menepis secara fakta tuduhan Saifuddin tetapi juga mendedahkan kehadiran Ahli Perniagaan Indonesia, Reza Chalid ke Kedah.

    Dakwa Sanusi, Ahli Perniagaan itu menemani Anwar Ibrahim menghadap Sultan Kedah pada Oktober lalu dan ia ada kaitan dengan REE. Reza Chalid juga didakwa oleh Sanusi membuka syarikat berkaitan perlombongan REE pada hari Anwar dilantik sebagai Perdana Menteri.

    Bermula daripada detik itu, wujudlah persepsi yang menjawab kenapa Saifuddin begitu ghairah menyerang Sanusi. Namun keterujaan dan keghairahan Saifuddin dan PHBN untuk menjatuhkan Sanusi hanya memakan diri. Lebih parah apabila pendakwaan di bawah Akta Hasutan ke atas Sanusi mencetuskan fenomena yang dianggap oleh penganalisis politik dari luar negara amat jarang berlaku. Gaya Sanusi mengangkat tangan menjadi ikutan ramai dan ia juga dianggap satu intifadah (penentangan) oleh sebahagian besar rakyat Kedah.

    Kemuncaknya ialah pada Sabtu lalu apabila anak Kedah berpusu-pusu pulang bukan sahaja dari seluruh negara tetapi juga anak Kedah di luar negara.

    Hasilnya daripada 36 kerusi DUN, ‘badai’ fenomena Sanusi membolehkan PN menguasai 33 kerusi DUN, ‘menghanyutkan’ 3 pemimpin besar PH-BN iaitu Pengerusi Barisan Nasional Kedah Mahdzir Khalid (BN), Pengerusi Pakatan Harapan Kedah Mahfuz Omar (PH-Amanah) dan Pengerusi DAP Kedah, Tan Kok Yew. PH hanya menang tiga kerusi iaitu di Sidam (PKR), Bakar Arang(PKR) dan Kota Darul Aman (DAP.

    Keputusan tersebut adalah manifestasi kegagalan tiga pemimpin berkenaan untuk menasihatkan Saifuddin dan pemimpin PHBN lain supaya jangan terlalu ghairah menggunakan isu REE menyerang Sanusi. Akibat kegagalan itu PH-BN khususnya UMNO dan Amanah ‘ditimbus REE’ ‘Ranap Elok-Elok’ di Kedah. ‘Takziah’.

  • Pengajaran  keputusan PRN di enam negeri

    Pengajaran  keputusan PRN di enam negeri

    KALAU dilihat kepada keputusan PRN di enam negeri semalam, mungkin ada beranggapan tiada apa yang menarik memandangkan ia mengekalkan status quo.

    PH-BN atau lebih tepat lagi PH mempertahankan negeri dimenangi pada 2018 iaitu Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan manakala PN kekal di Kedah, Terengganu dan Kelantan.

    Namun jika dianalisis secara mendalam terdapat beberapa pengajaran kepada parti-parti yang bertanding iaitu:

    *BISANYA SANUSI MODH.NOR

    Walaupun PRN berlangsung di enam negeri, ia seolah-olah hanya berlaku di sebuah negeri sahaja iaitu Kedah Darul Aman. Ia berikutan serangan bertali arus ke atas Menteri Besar, Datuk Seri Sanusi Mohd.Nor.

    Isu nadir bumi (REE) dijadikan ‘peluru’ untuk PH-BN ‘ditaburkan’ ke tubuh Sanuri. Dan sudah tentulah individu paling ghairah menyerang ialah Datuk Seri Saifuddin Nasution.

    Saifuddin yang kalah dalam PRU-15 di Parlimen Kulim Bandar Bahru dan dilantik menjadi Menteri Dalam Negeri ‘atas tiket’ Senator, melemparkan pelbagai dakwaan kepada Sanusi berkaitan REE. Tetapi semuanya dijawab dengan berfakta oleh Sanusi.

    Ramai tertanya-tanya kenapa Saifuddin begitu beria-ia ‘menyerang’ Sanusi dalam isu REE malah dalaman kalangan pemimpin UMNO mereka tidak selesai dengan keadaan tersebut. Akhirnya ‘serangan’ bertali arus yang bertujuan menjejaskan kredibiliti Sanusi menjadi sebaliknya apabila tercetus fenomena Sanusi. 

    Pendakwaan ke atas beliau di bawah Akta Hasutan ‘gelombang tangan Sanusi’ -kata beliau,’’Saya angkat tangan ini lawan Anwar Ibrahim’’.

    Kesudahannya apabila keputusan PRN diumumkan, pemimpin-pemimpin PHBN ‘terduduk’ apabila Sanusi bukan sahaja berjaya mempertahankan DUN Jeneri dengan majoriti besar iaitu 16,050 undi tetapi juga mengepalai PN Kedah menang 33 daripada 36 kerusi di Kedah.

    *Kerjasama PH-BN bawa ‘petaka’ untuk UMNO

    Tindakan UMNO ‘melanggar sumpah’ ‘No Anwar No DAP’ ternyata membawa ‘petaka’ kepada parti itu dalam PRN apabila mencatat keputusan tercorot iaitu menang hanya 19 daripada 108 kerusi ditandingi.

    Keputusan itu jelas menunjukkan UMNO ditolak secara total di negeri-negeri Melayu iaitu Kedah, Kelantan, Terengganu dan di kawasan majoriti Melayu di Pulau Pinang.

    Sumber memberitahu penulis, jika dilihat protes senyap dalam kalangan ahli UMNO terhadap kerjasama itu sudah diterjemahkan berdasarkan keputusan buruk yang dicapai oleh UMNO.

    Bagaimanapun pemimpin UMNO belum menampakkan keinsafan, mereka menganggap keputusan parti itu lebih baik daripada Amanah. Malang sekali sebuah parti yang begitu gah dengan lebih 3 juta ahli hanya diletakkan setaraf dengan sebuah parti serpihan yang jumlah ahli tidak sampai pun 500,000 orang.

    *Rakyat tolak ‘politik gertak’

    Sepanjang kempen, rakyat di Kedah, Kelantan dan Terengganu dapat menyaksikan bagaimana hebatnya pemimpin pusat cuba ‘menggula-gulakan’ rakyat negeri itu supaya bersama kerajaan pusat.

    Hujah paling popular ialah pentadbiran kerajaan negeri mesti sama dengan kerajaan pusat supaya senang peruntukan disalurkan dan pembangunan dilaksanakan.

    Mungkin bagi pemimpin Pusat itu strategi bijak untuk pengaruhi rakyat tetapi bagi rakyat pula mereka berpendapat, apakah kerana berbeza parti antara pusat dengan negeri, maka negeri itu akan ‘dianaktirikan’?

    Berikutan itulah rakyat di tiga negeri itu menunjukkan solidariti kepada pentadbiran kerajaan negeri dengan memastikan kemenangan besar kepada PN.

    *UMNO bukan lagi parti pilihan utama orang Melayu

    Keputusan PRN juga menunjukkan UMNO sebagai parti pilihan utama orang Melayu sudah berakhir. Sebelum  PRN Ahmad Maslan’ mendabik dada’ PHBN akan menang keenam-enam negeri PRN.

    Tetapi keputusan sebaliknya dan lebih memalukan UMNO hanya menang 19 sahaja kerusi walaupun bertanding 108 kerusi. Ia pencapaian kedua terburuk selepas PRU-15. Malah apa yang berlaku juga membuktikan UMNO sudah dilihat tidak lagi relevan untuk mengatakan mereka pilihan terbaik orang Melayu sebaliknya orang Melayu sudah ada alternatif iaitu Perikatan Nasional yang dianggotai oleh Bersatu dan Pas.

    Kesimpulannya, PRN menunjukkan rakyat atau lebih tepat lagi pengundi sudah bijak menilai sebelum membuat keputusan dalam pilihan raya. Mereka tidak akan membuta tuli menerima apa yang ahli politik kata ketika kempen dan mereka juga tidak hairan jika parti kerajaan mahu ‘mengertak’. Sebabnya rakyat tahu ketika pilihan raya kuasa di tangan mereka bukannya di tangan ahli politik yang sering merasakan ‘rakyat boleh diperbodohkan’.

  • Bisanya politik insan bernama Sanusi Mohd Nor

    Bisanya politik insan bernama Sanusi Mohd Nor

    PENULIS tersenyum apabila membaca komen Presiden UMNO Datuk Seri Dr.Ahmad Zahid Hamidi yang menganggap Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor sebagai pelawak politik.

    Kata Timbalan Perdana Menteri itu, seorang pelawak mempunyai ramai pengikut bukan kerana aura tetapi kalau pelawak politik yang tidak mempunyai aura dianggap sangat terkenal dan popular maka beliau serahkan kepada kebijaksanaan pengundi di Kedah.

    “Yang kita cari ialah kerajaan yang boleh dipercayai, yang berwibawa serta pemimpin, yang serius yang menjaga soal-soal kepentingan dan kemakmuran rakyat bukan hanya menjadi pelawak politik,’’ kata Zahid.

    Hakikatnya kenyataan Ahmad Zahid boleh dianggap satu lagi ‘serangan’ yang membuktikan pemimpin PH-BN yang semakin ‘mati akal’ untuk ‘menghentikan’ gelombang Sanusi. Tetapi penulis percaya apapun yang Zahid kata dan apapun gelaran buruk yang diberikan kepada Menteri Besar Kedah itu, ia sama sekali tidak akan mampu menggugat populariti anak kelahiran Sik itu.

    Sebaliknya, ia hanya menampakkan betapa resahnya pemimpin PH-BN melihat gelombang Sanusi yang ‘semakin mengganas’ bukan sahaja di Kedah tetapi juga di negeri-negeri lain.

    Benar Sanusi bijak ‘menghiburkan’ mereka yang menghadiri ceramah beliau tetapi fikirkan kembali adakah ucapan beliau sekadar cakap kosong atau melakukan tingkah laku bodoh seperti ‘membaling mikrofon’ ketika berceramah? Sanusi bukanlah pelawak atau badut, sebaliknya beliau membalas serangan pemimpin PH-BN berdasarkan fakta dan menyerang kembali mereka juga melalui fakta. Paling penting beliau tidak berbohong apatah lagi bersandiwara supaya ‘nampak suci’.

    Seperti mana kata Sanusi dalam wawancara bersama Sinar Harian baru-baru ini, ‘’Kalau saya tidak betul, saya belajar. Saya tidak tahu, saya tanya. Kalau saya benar, saya akan berdiri dengan kebenaran dan akan mempertahankannya habis- habisan tidak kira siapa, saya lawan kalau saya di pihak benar.’’.

    Tidak kira siapapun yang ‘menyerang’ beliau, Sanusi akan membalas kembali dengan fakta. Inilah kelebihan yang ada kepada Sanusi sehingga memungkinkan pemimpin PH-BN semakin kepanasan. Apa yang beliau lakukan berbeza dengan sesetengah pemimpin PH-BN. Ada dalam kalangan mereka tidak habis-habis berbohong, ada dalam kalangan mereka cakap lain buat lain dan ada antara mereka di hadapan ahli janji lain, bersumpah lain di belakang buat lain.

    Sanusi tidak ada sikap itu. Sebaliknya seperti mana kata beliau dalam wawancara berkenaan;

    ‘’Saya hanya menjadi diri sendiri. Saya tidak pandai berlakon untuk menjadi orang lain. Apabila bergelar MB pun itulah diri saya sendiri. Kalau menjadi kontroversi, beban, liabiliti atau kelebihan untuk PN, terserahlah kepada penilaian orang.

    ‘’Pada peringkat awal memang ramai tidak faham saya. Lebih 80 peratus orang kecam namun lama-kelamaan mereka faham. Kita bawa cara kita tanpa meniru sesiapa. Saya harap rakyat boleh terima pendekatan saya. Saya akui pendekatan ini mungkin ada untung, ada rugi, bagi yang tidak dapat adaptasi sikap saya, dia ‘koyak’ lah.’’

    Mungkin disebabkan ‘koyaklah’ pemimpin PH-BN semakin ‘tenggelam punca’ untuk mencari modal bagi ‘meranapkan’ pengaruh Sanusi dan ‘akan berpesta’ jika Sanusi terlepas cakap.Ketika itu Sanusi akan berada dalam situasi bagaikan ‘seekor rusa yang diserang sekumpulan dubuk’. Lebih aneh lagi apabila ada pemimpin PH-BN bercakap soal tatasusila, adab dan akhlak politik sedangkan dalam kalangan mereka sendiri ada yang cukup tipis sikap itu.

    Oleh itu bagi penulis apa juga ‘serangan’ yang cuba dilakukan oleh pemimpin PH-BN terhadap Sanusi, ia hanya menjadi sia-sia kerana rakyat Kedah lebih mengenali siapa Menteri Besar mereka dan ‘serangan’ itu juga menunjukkan betapa bisanya politik insan bernama Muhammad Sanusi Md.Nor ini.

    Kalau setakat datang sekali sekala ke Kedah dan mahu memburukkan beliau, ia tidak akan mampu menggugat kewibawaan Sanusi. Katalah apapun, tuduhlah apapun, Sanusi tetap Sanusi dan sokongan majoriti rakyat Kedah terhadap beliau kekal utuh.

    Itulah maklumat yang penulis terima daripada sumber-sumber di Kedah waima dalam kalangan penyokong PH-BN sendiri. Mungkin atas faktor inilah, musuh-musuh politik Sanusi cuba menggali sehingga ke lubang cacing apa sahaja yang boleh dijadikan modal untuk memburukkannya.

    Dan ketika ada pemimpin PH-BN bercakap soal akhlak berpolitik, dalam kalangan mereka sendiri percaya kepada fitnah bahawa Sanusi memiliki banglo bernilai RM7.8 juta dan sekarang sidang mencari pula kalau-kalau ada ‘udang di sebalik batu’ dałam pemberian kontrak nadir bumi atau REE di Sik, Kedah.

    Tidak mengapalah kalau mereka merasakan mungkin di situ ada modal untuk menjatuhkan Sanusi cuma pesan penulis jangan sampai tindakan dilakukan untuk menjatuhkan Menteri Besar Kedah itu akhirnya menyebabkan pada PRN 12 Ogos di enam negeri nanti;

    *PH-BN ‘Ranap Elok-Elok’ (REE) di Kedah.
    *PH bagaikan ‘yang dikejar tak dapat yang dikendong berciciran’ di Pulau Pinang, Negeri Sembilan dan Selangor.

    *UMNO jadi ‘korban 3R’ – ‘Rosak’ ketika PRU-14, ‘Runtuh’ semasa PRU-15 dan ‘Ranap’ dalam PRN.

    Percayalah rakyat Kedah lebih bijak menilai Sanusi berbanding sesetengah pemimpin PH-BN yang memburukkan beliau sehingga terlupa untuk mencerminkan diri sendiri bagaikan ‘’ayam jantan berkokok kuat, ekor bergelumang dengan najis’.

  • PH-BN bertandinglah seperti anak jantan bukan jadi  ayam jantan…

    PH-BN bertandinglah seperti anak jantan bukan jadi  ayam jantan…

    SETAKAT artikel ini dihasilkan dan berdasarkan maklumat di lapangan ternyata gelombang Perikatan Nasional (PN) masih ‘bergelora’ di enam negeri yang akan berhadapan dengan Pilihan  Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi.

    Kelantan masih lagi menjadi kubu kuat PN diketuai Pas, di Kedah aura Menteri Besar Muhammad Sanusi Md Noor masih menjadi igauan ngeri kepada PH-BN manakala di Terengganu bayangan makin ketara bahawa negeri itu akan kekal di tangan PN dengan Pas menjadi terajunya.

    Di Selangor dan Negeri Sembilan, PH-BN ibarat ‘bernafas dalam lumpur’ untuk mempertahankan kerajaan yang diterajui. Di Pulau Pinang pula, DAP masih selesa namun majoriti dua pertiga mungkin terlepas dalam genggaman.

    Namun semua itu hanyalah analisis awal.Keadaan mungkin berubah apabila gelanggang PRN dijangka dibuka secara rasmi dengan penamaan calon pada penghujung Julai atau awal Ogos nanti. Tetapi apa yang pasti, gelombang PN makin meresahkan PH-BN sehingga mereka terpaksa mencari ‘muslihat politik’ bagi menahan gelombang itu yang bermula pada PRU-15 tidak terus bergelora dalam PRN di negeri-negeri tersebut.

    Oleh itu tidak hairanlah apabila beberapa pemimpin kanan atau tertinggi PH-BN mula menghala ‘muncung serangan’ mereka ke arah PN khususnya Pas. Penulis percaya ‘serangan’ itu akan dipertingkatkan dengan ‘tatakelola dan wewenang’ yang ‘ lebih mengganas’ apabila kempen PRN bermula.

    Namun itu bukanlah sesuatu yang luar biasa atau mengejutkan dalam keadaan analisis awal menunjukkan tahap sokongan terhadap PN khususnya dalam kalangan orang Melayu dan anak muda masih kukuh.

    Dalam berhadapan dengan situasi ini, pemimpin PH-BN tidak ada modal selain cuba mengaitkan amalan politik perkauman atau 3R iaitu kaum,agama dan raja-raja sebagai ‘peluru’ untuk memburukkan PN. Pada masa sama ia juga mahu dijadikan ‘pelepah’ untuk menutupi ‘bangkai’ kegagalan PH-BN menguruskan negara yang kini semakin ‘hanyir baunya’.

    Pelbagai isu yang melumuri negara seperti kejatuhan ringgit yang ‘menerima anugerah’ matawang paling rendah dalam kalangan negara Asia, kebuntuan kerajaan dalam menangani kos sara hidup rakyat dan ‘tatakelola’ ekonomi yang tidak tentu hala membimbangkan PH-BN.

    Mereka bimbang PRN di enam negeri itu akan menjadi referendum rakyat terhadap kegagalan kerajaan campuran diterajui Anwar Ibrahim sebagai PM menguruskan negara. Walaupun pemimpin kanan UMNO dan penganalisis politik pro-kerajaan tidak selesa dengan andaian ‘referendum’ tersebut tetapi ia adalah fakta yang tidak boleh dipinggirkan begitu saja.

    Atas sebab itulah ada pemimpin UMNO awal-awal lagi menegaskan, apapun berlaku dalam PRN tersebut ia tidak akan menggugat kedudukan Kerajaan Pusat yang dikuasai PH-BN kerana memiliki sokongan 148 ahli Parlimen. Fakta itu tidak boleh dinafikan malah pelajar sekolah menengah pun faham, apapun keputusan PRN ia tidak menjejaskan kedudukan kerajaan pusat sedia ada.

    Kalau itulah yang menjadi sandaran maka tak perlulah  pemimpin PH-BN ‘memerah otak’ mencari jalan bagaimana mahu memburukkan PN dalam usaha mereka menghakis sokongan rakyat khususnya orang Melayu terhadap PN. Tidak payahlah mahu memperbodohkan rakyat apatah lagi mahu menakutkan rakyat dengan istilah 3R atau minta rakyat jangan tertipu dengan politik muslihat Pas.

    Kenapa perlu takut? Kenapa bergoncang ‘tulang rusuk’ politik pemimpin PH-BN melihat ribuan orang terus membanjiri majis politik PN? Kenapa perlu menggunakan hujah  jahil dengan menganggap pemerintahan kerajaan negeri perlu dikuasai oleh parti yang sama memerintah pusat? Kenapa mahu ‘memesong’ fikiran pengundi dengan menyatakan masalah di negeri dikuasai PN boleh diselesaikan jika PH-BN memerintah? 

    Adakah dengan meminggirkan negeri diperintah PN  bertepatan dengan amalan politik dan keadilan yang acap kali menjadi laungan pemimpin PH-BN?

    Atas sebab itulah, penulis bersetuju dengan saranan Muhammad Sanusi bahawa PH-BN perlu bertanding seperti ‘anak jantan’.

    “Kempen atas kekuatan dan kapasiti parti masing-masing. Bertandinglah secara anak jantan. Jangan cakap lain, buat lain,” kata Sanusi.

    Kenyataan Sanusi itu tepat sekali kerana ‘pesta demokrasi’ tersebut perlu diraikan penuh berhemah dengan menghormati hak pengundi untuk membuat keputusan.

    Penulis percaya rakyat sudah bijak untuk menentukan parti mana yang diinginkan bagi menerajui negeri kesayangan mereka. Justeru  PH-BN perlu bertanding seperti anak jantan bukannya menjadi ayam jantan berkokok kuat tapi ekor bergelumang dengan tahi’ setelah ketika ini dianggap ‘cakap lain buat lain’.

  • Apa nasib UMNO dalam PRN di 6 negeri?

    Apa nasib UMNO dalam PRN di 6 negeri?

    BEBERAPA pemimpin UMNO ‘melenting’ apabila Annuar Musa dikatakan mendakwa seramai 2 juta AHLI UMNO sudah meninggalkan parti itu.

    Hakikatnya, mereka melompat salah tempat kerana Annuar Musa yang kini menyertai Pas tidak berkata demikian. Tontonlah kembali video ceramah beliau di Seremban, Annuar kata seramai 2 juta RAKYAT telah meninggalkan UMNO bukan AHLI. Tetapi entah macam mana pemimpin UMNO boleh komen berdasarkan laporan tidak tepat beberapa media.

    Kalau dikaji keputusan PRU-13,PRU-14 dan PRU-15, kenyataan Annuar 2 juta RAKYAT meninggalkan UMNO boleh diterima. Pada PRU-13 BN-UMNO mendapat undi keseluruhan 5,237,699, PRU-14 (4,080,797 undi) manakala PRU-15 3,462,231.

    Kalau lihat statistik ini bukankah sejak PRU-13 hingga PRU-15, UMNO sudah ditinggalkan kira-kira 2 juta RAKYAT khususnya pengundi Melayu? Tak mengapalah kalau mereka hendak jugak komen jika itu boleh dijadikan modal menyerang Annuar tetapi apa yang lebih penting diperkatakan apa nasib UMNO dalam PRN di 6 negeri nanti?

    Sama ada suka atau tidak, di atas kertas setakat hari ini UMNO diletakkan parti yang akan kalah teruk dalam PRN tersebut. Mana-mana agensi mahupun penganalisis (kecuali penganalisis totok sokong UMNO) tidak nampak bagaimana UMNO akan menang. Bukan kata akan menjadi dominan di salah sebuah negeri PRN itu malah nak menang kerusi pun ‘sakit’.

    Di Kedah, belum pasti siapa akan mengepalai gabungan PH-BN, di Selangor UMNO-BN mungkin  dapat tak lebih daripada 10 kerusi. Di Pulau Pinang dan Negeri Sembilan pun sama. Cuma mungkin di Kelantan dan Terengganu UMNO dapat kerusi lebih, itupun sebab harapan nak menang tipis.

    Maknanya, tugas UMNO sebagai ‘pelengkap’ kerajaan bukan sahaja berlaku di pusat malah akan ‘berjangkit’ di 6 negeri tersebut, itupun kalau menang kerusi. UMNO tidak boleh berada dalam sindrom penafian atau membuat hujah yang hanya bagi orang ketawa bila kata orang Melayu akan sokong parti itu.

    Percayalah orang Melayu waima sebahagian ahli UMNO sendiripun sudah ada alternatif jika tidak mahu beri undi kepada gabungan PH-BN. UMNO harus akui Gelombang PN sedang ‘bergelora’ di negeri-negeri tersebut manakala gelombang PH-BN boleh dikatakan tidak nampak langsung.

    Oleh itu pemimpin PH-BN boleh berkata apa sahaja kepada termasuklah ‘ratib’ siang malam burukkan pemimpin PN. Tetapi semua itu tidak ada apa-apa kesan.Lihatlah dengan mata hati bagaimana sambutan terhadap program PN.Rajin-rajin tinjau berapa jumlah tontotan program itu yang disiarkan secara live FB mahupun Tik Tok.

    Kalau mereka melihat dengan mata hati, maka mereka akan memahami bahawa Gelombang PN masih belum surut sejak PRU-15 dan akan berterusan meranapkan PH-BN di sekurang-kurangnya lima negeri dalam PRN.

    Keadaan itu tidak mustahil berlaku jika pemimpin PH-BN terus dengan strategi burukkan PN untuk meraihkan sokongan rakyat hingga mereka lupa, kita bukan lagi berada dalam tahun 90-an yang rakyat tidak boleh mengetahui kebenaran yang disembunyikan.

    Jadi kalaulah pemimpin PH-BN mahu meneruskan strategi tu silakan.. tetapi jangan kecewa jika tindakan itu akan memungkinkan  strategi 2R Kerajaan Perpaduan untuk PRN sepertimana diumumkan oleh Ahmad Zahid Hamidi iaitu retain and regain akan menjadi ‘RUNTUH dan RANAP’ untuk PH-BN.

  • Apa nasib UMNO selepas ini…’oksigen dicabut’ atau ‘bungkus’?

    Apa nasib UMNO selepas ini…’oksigen dicabut’ atau ‘bungkus’?

    HARI ini Perhimpunan Agung UMNO 2023 melabuhkan tirai dengan meninggalkan kenangan dan mungkin juga akan menjadi bahan sejarah.

    Sepanjang perhimpunan itu berlangsung pelbagai ‘drama’ dipertontonkan bermula dengan desakan Pemuda UMNO supaya DAP meminta maaf kemudian dimeriahkan dengan kehadiran pemimpin sahabat UMNO-BN dalam Kerajaan Persekutuan iaitu PKR, DAP dan Amanah serta lain-lain parti.

    Turut menjadi perhatian ialah desakan supaya keadilan diberikan kepada bekas Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak yang sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun dalam kes dana SRC International.

    Desakan itu dibuat oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr.Ahmad Zahid Hamidi di hadapan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang kata Presiden PKR itu, ”Saya hadir untuk sempurnakan tugas negara”.

    Seperti diduga pentas PAU juga menjadi medan untuk Ahmad Zahid ‘menabur peluru’ yang disasarkan kepada Perikatan Nasional – khususnya Bersatu dan Pas.

    Ahmad Zahid menyifatkan, kedua-dua parti itu pengkhianat dan mengkarung politik dengan menegaskan;
    ”Mereka (Pas) adalah mengkarung politik yang bukan sahaja berubah warna dan wajah tetapi lebih dahsyat, parti ini seolah-olah, menjadi pemegang neraca, di yaumul mahsyar.

    ”Tak sampai pun dua tahun di puncak kuasa, Bumiputera yang kononnya menjadi agenda perjuangan mereka, telah di JANAWIBAWA kan. Inilah ciri-ciri pengkhianat yang membalut dirinya dengan slogan Bersih dan Stabil.”

    Menarik juga bila Ahmad Zahid yang kekal jawatan Presiden menyifatkan pemilihan UMNO yang berlangsung baru-baru menunjukkan demokrasi tetap subur dalam parti.

    Bagaimanapun ‘babak’ tidak kurang menariknya apabila Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki mengumumkan keahlian UMNO kini 3,442,280 orang merangkumi 22,125 cawangan dari 191 bahagian di seluruh negara termasuk Sabah.

    Meneliti setiap babak tersebut, tidak salahnya jika penulis mengucapkan tahniah kepada UMNO. Tahniah kerana menjemput Anwar datang ke PAU. Sebelum ini pada tahun 2021 beliau hanya mengikuti perjalanannya melalui media dan dimaklumkan oleh Ahmad Zahid melalui rakaman sensasi perbualan antara ‘cikgu dan anak murid’.

    Tahniah kerana berusaha memperjuangkan nasib Najib walaupun ia mungkin berakhir di Dewan Merdeka sahaja. Ini kerana tidak mungkin Anwar yang sedang mencanang siang malam untuk membanteras rasuah, salahguna kuasa dan mewujudkan tatakelola baik akan mencadangkan pengampunan untuk Najib.

    Adakah Anwar berani mengambil risiko kehilangan sokongan daripada DAP yang merupakan ‘pemegang nyawa’ kerajaan perpaduan dengan menguasai 40 kerusi Parlimen memandangkan DAP pasti menentang pembebasan Najib?

    Seperkara lagi, adakah DAP bersedia kehilangan sokongan penyokong-penyokongnya yang diketahui amat tidak bersetuju Najib dibebaskan? Dan kalau desakan UMNO tidak dilayan adakah UMNO-BN akan tarik diri daripada Kerajaan Perpaduan?

    Selain itu, tahniah kepada Ahmad Zahid yang begitu seronok ‘menyerang’ Bersatu dan Pas walaupun ia tidak akan menjadi ‘kudis’kepada kedua-dua parti itu. Ia kerana pengundi Melayu memahami di mana lagi Ahmad Zahid dan UMNO mahu ‘menyerang’ Bersatu dan Pas yang terbukti sudah menjadi alternatif kepada orang Melayu.

    Tahniah juga kerana UMNO mempunyai 3.4 juta ahli di seluruh negara, walaupun hanya menang secara mutlak di dua negeri sahaja iaitu di Melaka dan Johor, mendapat ehsan PH untuk jadi MB di Perak dan Pahang, tiada ADUN di Perlis,menjadi pembangkang di Kelantan, Terengganu,Kedah menjadi pelengkap Kerajaan PH di Negeri Sembilan, Selangor dan Sabah serta tidak ada Ahli Parlimen di Perlis, Terengganu, Kelantan, Melaka, Pulau Pinang dan Kedah.

    Tahniah kepada Ahmad Zahid kerana ‘berani’ menyatakan demokrasi subur dalam UMNO ketika majoriti ahli UMNO akar umbi mahukan supaya dua jawatan tertinggi ditandingi bagi membolehkan mereka menentukan siapa pemimpin yang layak menerajui UMNO selepas kalah teruk dalam PRU-15.

    Apa yang diperkatakan ini adalah lanjutan apa yang dapat disaksikan ketika PAU tetapi persoalannya lebih besar ialah apakah nasib UMNO selepas ini?

    Ketika mengulas perkara ini, seorang sahabat berkata,”UMNO dalam Kerajaan Perpaduan sama macam duduk dalam ICU. Masih bernyawa tapi tunggu mati bila habis oksigen atau diberhentikan bekalan oksigen.”

    Mungkin perbandingan ini ‘menyakitkan’ pemimpin dan ahli UMNO tetapi itulah faktanya. UMNO kini hanya menumpang dalam kerajaan dan bukanlah parti dominan seperti sebelum PRU-14.

    Dalam PRU-14 kalah dan hilang kuasa manakala PRU-15 kalah lebih teruk, tetapi dalam kalangan pemimpin UMNO masih belum sedar-sedar. Mereka masih mendabik dada dengan mengatakan, walaupun hanya ada 30 kerusi tetapi BN ditakdirkan menjadi penentu penubuhan kerajaan.

    Betul, UMNO jadi penentu tetapi adakah ia akan menguntungkan parti itu dalam jangka panjang? Sampai bilakah pemimpin-pemimpin UMNO mahu kekal dengan perangai lama? Kalau sesiapa tegur, mereka dianggap pengkhianat, musuh dalam selimut dan mahu ranapkan parti.

    UMNO perlu terima hakikat bahawa biarpun berada dalam kerajaan, UMNO tidak ada apa-apa kekuatan dan setakat ini tidak nampak bagaimana UMNO mahu bangkit semula.

    Setakat laungan bersemangat di Dewan Merdeka atau membuat desakan itu dan ini, ia tidak menguntungkan UMNO. Mereka sepatutnya menerima realiti bahawa UMNO sudah ditolak oleh rakyat dan akan terus ditolak jika tiada keinsafan dan masih berseronok kerana berada dalam kerajaan.

    Apa gunanya bangga dengan 3.4 juta ahli kalau UMNO terus kalah teruk dalam pilihan raya dan mungkin akan menerima nasib yang sama dalam PRN di 6 negeri? Apa gunanya berada dalam kerajaan, kalau UMNO sekadar hanya mampu ‘merengek’ mahu itu dan ini tetapi tidak dipedulikan oleh parti-parti lain dalam kerajaan?

    Apa gunanya ‘menyerang’ Bersatu dan Pas jika ‘serangan’ itu hanya melemahkan lagi sokongan orang Melayu terhadap UMNO?

    Dalam bahasa mudahnya, UMNO tidak akan ke mana dan terus menjadi ‘penempel’ atau lebih buruk lagi ditolak oleh rakyat secara total dalam PRN dan PRU akan datang jika pemimpin-pemimpin parti masih ‘syok sendiri serta membuat andaian ‘aneh’ pengundi Melayu akan kembali menyokong parti itu.

    Kesimpulannya, UMNO tidak akan mencapai apa-apa jika berada dalam kedudukan sekarang sekadar menjadi ‘pelengkap’ dan pemimpin-pemimpin utamanya masih ‘angkuh tidak bertempat’. Jika ia masih berkekalan, percayalah ‘oksigen politik yang disalurkan akan terhenti atau dihentikan’ dan UMNO akan ‘bungkus.

  • Ahli UMNO pasti bangga pemimpin PKR,DAP hadir ke Dewan Merdeka

    Ahli UMNO pasti bangga pemimpin PKR,DAP hadir ke Dewan Merdeka

    PEMIMPIN dan ahli UMNO akan berkumpul lagi di Dewan Merdeka pada Jumaat dan Sabtu ini bagi menghadiri Perhimpunan Agung UMNO.

    Mereka pasti bangga kerana dewan dianggap keramat itu akan menyaksikan satu lagi peristiwa bersejarah apabila Anwar Ibrahim yang dipecat oleh UMNO pada 1998 akan kembali ke situ sebagai tetamu kehormat perhimpunan.

    Itu kali kedua, Presiden PKR yang kini menjadi Perdana Menteri menjejakkan kaki ke dalam dewan tersebut. Kali pertama pada 14 Mei lalu ketika berlangsungnya Konvensyen Kerajaan Perpaduan. 

    Tetapi kehadiran pada Jumaat ini lebih istimewa kerana beliau adalah tetamu kehormat dan akan datang bersama rakan karib PKR dan sahabat UMNO dalam kerajaan iaitu DAP.

    Kalau dahulu setiap kali perbahasan PKR dan DAP menjadi sasaran serangan tetapi kali ini tidak lagi, sebaliknya kita akan mendengar komitmen padu UMNO untuk terus bersama dengan PKR dan DAP.

    Pemimpin dan ahli UMNO berjiwa besar kerana bukan senang mahu menerima kehadiran dua parti yang suatu ketika dahulu pemimpinnya menganggap UMNO ‘parti korup, pemimpinnya pencuri,penyamun’.

    Janganlah berasa kecewa dengan sikap UMNO itu kerana kalau tanpa sokongan dua parti tersebut tidak mungkin UMNO berada dalam kerajaan sekarang. Tidak mungkin Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi dapat kembali menjadi Timbalan Perdana Menteri dan beberapa pemimpin UMNO  menduduki jawatan Menteri.

    Tidak mengapa UMNO kalah teruk dalam PRU-15, tidak mengapa UMNO ditolak rakyat itu tidak penting, apa yang penting ialah UMNO kini berada dalam kerajaan. Tak kisahlah dianggap penumpang, asalkan jadi kerajaan.

    Lagipun bukankah Ahmad Zahid sendiri sudah memberi komitmen akan terus bersama PKR dan DAP dalam kerajaan atas nama ‘perpaduan dan kestabilan politik’ sekaligus seolah-olah bermakna UMNO tidak berhasrat lagi menjadi peneraju memerintah negara. 

    Jadi ahli-ahli UMNO patut bangga kerana ada seorang Presiden yang bijak dalam bab ‘taktikal politik’ hingga mereka sendiri tidak dapat ‘menghidu’ atau membacanya. Memanglah susah duga sebab mana ahli UMNO nak sangka akan berada dalam kerajaan walaupun hanya menang 30 kerusi, hanya ada dua negeri diperintah UMNO dan tidak ada ahli Parlimen di empat negeri.

    Tambahan pula, DAP dan PKR beri penghormatan UMNO jadi MB di Perak dan Pahang selepas tak cukup kerusi untuk tubuh kerajaan bersendirian. Di Melaka pula, ahli UMNO perlu berasa gembira ADUN PKR dan DAP diberi kedudukan sebagai exco.

    Apa yang dinyatakan membuktikan betapa akrabnya hubungan pemimpin dan ahli UMNO dengan PKR dan DAP. Oleh itu sudah tentulah mereka bangga menyambut kehadiran tetamu daripada kedua-dua parti berkenaan ke Dewan Merdeka yang pada 14 September 2019 ‘dibanjiri’ titisan air mata ahli UMNO-Pas di Himpunan Perpaduan UMMAH selepas termeterainya Muafakat Nasional.

    Lagipun Ahmad Maslan pun sudah nasihatkan ahli-ahli UMNO terima kehadiran Anwar ke Dewan Merdeka dengan hati terbuka. Kedatangan tetamu-tetamu itu harus disambut dengan meriah dan penuh kebanggaan.

    Tetamu-tetamu ini pastinya jauh ‘lebih berjasa’ daripada pemimpin UMNO yang digantung atau dipecat. Sebabnya tanpa persetujuan mereka tidak mungkin UMNO masih gah berada dalam kerajaan walaupun kalah dua kali berturut-turut dalam PRU.

    Tetamu daripada PKR dan DAP pasti beruntung berbanding pemimpin UMNO tersebut tidak boleh masuk Dewan Merdeka sebaliknya perbetulkan sampin untuk melawat gerai-gerai seperti mana ‘seloroh’ Zahid dan Setiausaha Agung UMNO Asyraf Wajdi Dusuki.

    Kehadiran tetamu dari PKR,DAP,AMANAH itu juga penting untuk menunjukkan solidariti parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan khususnya bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) di Kedah, Kelantan, Terengganu,Negeri Sembilan, Selangor dan Pulau Pinang walaupun UMNO tidak akan jadi peneraju.

    Tetapi tidak mengapa, sebab UMNO kan sahabat yang setia dan akur dengan keputusan pucuk pimpinan biarpun sepatutnya UMNO jadi peneraju bukan sekadar menempel/menumpang. Tak apalah kalau UMNO sekadar menang dua tiga kerusi di negeri-negeri itu. Apa yang penting kalau PH menang, wakil rakyat UMNO dapat jadi exco.

    Melalui kedudukan itu bolehlah pemimpin UMNO terutamanya Ahmad Zahid akan terus dapat mencanangkan soal perpaduan, kestabilan politik dan mempertahankan masyarakat majmuk. 

    Kesimpulannya, Perhimpunan Agung UMNO di dewan bersejarah, memang bersejarah dan akan dikenang dalam sejarah, bagaimana dalam politik tiada yang mustahil dan segala kemungkinan boleh berlaku.

    Sama ada peristiwa bersejarah itu diterima oleh ahli UMNO di peringkat akar umbi atau tidak, adakah sejarah akan mencatatkan UMNO bangkit semula atau menempah  lot ‘di pusara’, sama-sama kita tunggu PRN nanti. Biarpun tanda-tanda apa akan berlaku kepada UMNO sudah ada.