Category: Analisis

  • PRN: Pas-PN mahu lakar sejarah ‘tawan’ DUN Seberang Takir

    PRN: Pas-PN mahu lakar sejarah ‘tawan’ DUN Seberang Takir

    Oleh MOHD LAZIM ENDUT

    KERUSI Dewan Undangan Negeri (DUN) Seberang Takir merupakan antara kubu kuat UMNO-Barisan Nasional (BN) di Terengganu yang sukar digugat mana-mana parti sejak sekian lama.

    UMNO dikatakan tidak pernah goyah mempertahankan kerusi tersebut kerana memiliki jumlah pengundi pos agak besar.

    Berdasarkan itulah ketika Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) lalu, Pas berusaha dengan meletakkan sasaran untuk ‘menawan’ seberang Takir daripada terus dikuasai musuh tradisinya itu.

    Justeru, pada Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti, Pas bersama Perikatan Nasional (PN) terus meletakkan sasaran untuk melakar kemenangan pertamanya di DUN berkenaan.

    Malah, penganalisis dan pemerhati politik di negeri ini berpendapat, melihat kepada perkembangan politik semasa, perkara itu tidak mustahil berjaya dilakukan PN.

    Banyak pihak berpendapat, apa yang penting ialah PN perlu meletakkan calon berwibawa dan diterima oleh pengundi di kawasan berkenaan.

    Sebelum ini Pas melalui Majlis Tindakan DUN (MTD) Seberang Takir telah melaksanakan pelbagai program termasuk Himpunan Fastaqim dalam usaha merapatkan hubungan dengan pengundi serta masyarakat setempat.

    Penganjuran program itu pernah dilakukan menjelang PRU14 dengan menghimpunkan para petugas, ahli dan penyokong PAS bagi menghadapi pilihan raya berkenaan.

    Sepertimana kata Pengerusi MTD Seberang Takir, Ustaz Zakaria Dagang sebelum ini, melalui himpunan itu para petugas parti akan menggempur masyarakat di Dun seberang Takir termasuk melakukan ziarah dari rumah ke rumah.

    Kini, penulis difahamkan bagi PRN kali ini PAS turut menaruh keyakinan tinggi bahawa PN mampu memenangi kerusi tersebut setelah gagal berbuat demikian sebelum ini.

    Kegagalan dalam PRU13 dan PRU14 telah meniup semangat baharu kepada PAS-PN dalam memastikan kerusi Seberang Takir kali ini menjadi milik mereka.

    Pada PRU13, kerusi DUN Seberang Takir dimenangi calon BN, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman dengan majoriti 1,510 undi.

    Ahmad Razif yang mendapat 7,731 undi berjaya menewaskan dua pencabarnya, iaitu calon PAS, Ustaz Zakaria Dagang yang mendapat 6,221 undi dan calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Ahmad Nazri Mohd Yusof yang hanya mendapat 73 undi sekaligus hilang wang pertaruhan.

    Pada PRU14 pula Ahmad Razif kekal pertahankan kerusi tersebut dengan majoriti 1,884 undi dalam persaingan tiga penjuru.

    Ahmad Razif yang ketika itu merupakan Menteri Besar Terengganu mendapat 9,340 undi mengalahkan Mohd. Fazil Wahab (PAS) yang mendapat 7,486 undi dan Lt Kol (B) ustaz Abu Bakar Abdulllah (Pejuang) yang hanya memperoleh 938 undi serta hilang wang pertaruhan.

    Bagaimanapun, berdasarkan prestasi PN Terengganu dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu bagi kerusi Parlimen termasuk Kuala Nerus, banyak pihak meramalkan kedudukan UMNO di Seberang Takir juga dijangka akan tergugat.

    Bagi kerusi Parlimen Kuala Nerus PN berjaya melakukan kejutan besar selepas calonnya, Datuk Dr. Alias Razak menang dengan majoriti 29, 765 undi.

    Dr. Alias yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri memperoleh 56,697 undi menewaskan ‘seteru’nya yang juga bekas rakan seperjuangan politik, iaitu Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali yang mendapat 26,930 undi.

    Dalam persaingan empat penjuru itu, dua lagi calon yang tersungkur ialah Datuk Seri Suhaimi Hashim (Pakatan Harapan) yang mendapat 3,708 undi dan Azaha Wahid (Pejuang) yang hanya memperoleh 291 undi serta hilang wang pertaruhan.

    Melihat kepada kebangkitan ‘gelombang hijau’ di kerusi Parlimen Kuala Nerus, apakah impian PN untuk melakar sejarah menawan kerusi Seberang Takir bakal menjadi realiti?

  • PRN: siapa calon Bersatu Terengganu wakili PN?

    PRN: siapa calon Bersatu Terengganu wakili PN?

    ANALISIS

    oleh MOHD LAZIM ENDUT

    Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Terengganu kini  semakin mendapat perhatian oleh msyarakat di negeri ini khususnya bagi mereka yang masih ‘fresh’ dalam dunia politik.

    Sejak diperkenalkan di negeri ini enam tahun lalu (2017), Bersatu Terengganu dikatakan semakin menarik perhatian rakyat.

    Bermula dengan  keahlian awal hanya 800 orang sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), kini Bersatu Terengganu sudah  memilikili jumlah keahlian amat mengujakan. Mereka adalah terdiri daripada pelbagai golongan termasuk berpengalaman dalam bidang politik, bekas Ahli Parlimen, bekas ADUN, bekas calon,  golongan profesional, ahli agama, peguam dan juga orang muda.

    Antara pemimpin berpengalaman berada dalam kepimpinan Bersatu Terengganu sekarang ialah Datuk Rosol Wahid, Datuk Razali Idris, Datuk Rosli Mat Hassan, Datuk Yusop Majid, Datuk Zulkifli Mohamad,  Ustaz Khazan Che Mat dan Zaidi Muda.

    Justeru, melihat kepada perkembangan ini  tidak mustahil mana-mana calon Bersatu yang bakal mewakili Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti mampu memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang bakal ditandingi.

    Hal ini kerana, gandingan kerjasama antara Bersatu dan Pas di bawah satu bumbung kelihatan semakin kuat dan utuh di negeri ini.

    Malah, apa yang menggerunkan pihak lawan iaitu Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) apabila aura ‘gelombang hijau’ kian beralun dengan kencang. Banyak pihak termasuk penganalisis dan pemerhati politik di negeri ini bercakap mengenai perkara itu. ‘Gelombang Hijau’ dikatakan mampu menenggelamkan impian PH-BN untuk merampas kembali pemerintahan di Terengganu.

    Namun, pelbagai isu yang memungkinkan kekalahan besar gabungan tersebut kerana rakyat sudah hilang kepercayaan kepada  pemerintahan kerajaan perpaduan dinaungi PH dan BN yang turut terkait dengan DAP.

    Bercakap mengenai siapakah calon-calon yang bakal terpilih mewakili Bersatu Terengganu pada PRN nanti, penulis percaya nama-nama berpengaruh seperti Rosli, Mohd Yusop,Razali, Khazan dan Zulkifli  bolehlah diangkat sebagai calon.

    Sebelum ini Razali pernah mencadangkan kepada pucuk pimpinan PN agar parti itu diberi peluang bertanding di 10 kerusi dimenangi BN pada PRU14.

    Kerusi tersebut ialah Seberang Takir, Kijal, Telemong, Hulu Besut, Bukit Besi, Jertih, Langkap, Batu Rakit, Kuala Besut dan Permaisuri. Bagaimanapun  sehingga ini perbincangan masih diadakan dan kata putus mengenai jumlah kerusi dan juga kawasan DUN  belum dimuktamadkan.

    Maka itu, banyak pihak mengharapkan agar nama-nama pemimpin berpengalaman Bersatu terutama mereka yang pernah menjadi pemimpin politik, bekas calon, bekas Ahli Parlimen dan bekas  ADUN perlu diberi peluang.

    Malah, sebagai Pengerusi Bersatu Terengganu yang juga Ketua Penerangan, Razali perlu diberi peluang bertanding sama ada di DUN Telemong atau Seberang Takir.

    Ini berdasarkan Razali pernah bertanding di Parlimen Hulu Terengganu dan pernah bergerak menerajui parti di Kuala Nerus. Namun, ada pihak berpendapat kalau  mahu merampas kerusi Telemong daripada BN, Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Rosol boleh dicalonkan di DUN tersebut.

    Ini memandangkan Rosol yang pernah menjadi ADUN Ajil mempunyai pengaruh dan jumlah pengundi yang besar di Hulu Terengganu. Begitu juga Rosli  yang sebelum ini memiliki aura sebagai Ahli  Parlimen Dungun boleh dicalonkan di DUN Bukit Besi yang merupakan antara kubu kuat BN.

    Selain itu, bekas calon Parlimen Setiu, Mohd Yusop boleh dicalonkan di Langkap atau Permaisuri dalam usaha merampas semula DUN berkenaan.Begitu juga dengan  bekas ADUN Batu Rakit, Khazan boleh dicalonkan semula  di kawasan tersebut yang pernah dimenangi pada tahun 2004 lalu.

    Sebelum ini, Pengerusi PN Terengganu, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar pernah mengatakan bahawa PN akan menampilkan calon berwibawa, berkaliber dalam pelbagai bidang serta boleh menang pada PRN nanti.

    Beliau yang juga Naib Presiden Pas berkata, keputusan mengenai pemilihan calon dibuat berdasarkan pertimbangan terhadap beberapa faktor.

    Malah, katanya begitu juga mengenai agihan  kerusi yang mengambil kira beberapa faktor termasuk  melibatkan status quo, dari segi jentera mana lebih kuat di sesuatu tempat di samping  calon-calon berpotensi serta berwibawa.

    Maka itu, apa yang penting ujar Samsuri ialah prioriti paling utama ialah mempunyai potensi besar untuk menang.

  • PRN : ‘Kerusi batu nesan’ menanti PH-BN di Terengganu?

    PRN : ‘Kerusi batu nesan’ menanti PH-BN di Terengganu?

    ANALISIS

    Oleh MOHD LAZIM ENDUT

    KEBELAKANGAN ini senario politik di Terengganu semakin hangat diperbualkan sama ada dalam kalangan penganalisis, pemerhati dan juga para penggiat politik itu sendiri.

    Selepas berakhirnya Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) pada 19 November tahun lalu, landskap politik di negeri ini tiba-tiba sahaja berubah. Kalau selama ini mentaliti rakyat mengenai politik Terengganu ialah melibatkan dua persaingan musuh tradisi antara Barisan Nasional (BN) dan Pas.

    Bagaimanapun, selepas berakhirnya PRU15, ‘tiang seri’ UMNO-BN mulai  ‘merekah’ akibat dimakan ‘anai-anai’. Ini gara-gara kekalahan kesemua lapan kerusi Parlimen parti itu kepada calon Pas – Perikatan Nasional (PN).

    Persoalannya, apakah fenomena kekalahan BN akan terus berulang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang dijangka diadakan serentak membabitkan enam negeri pada penghujung bulan depan?. Selain Terengganu, lain-lain negeri yang akan mengadakan PRN ialah Kedah, Kelantan, Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan.

    Berdasarkan prestasi BN ketika berhadapan dengan PRU15, ramai beranggapan tempiasnya akan terus dipercikan dalam PRN nanti. Selain  pertambahan pengundi baharu (muda), beberapa isu terkini yang gagal diatasi kepimpinan kerajaan perpaduan sekarang seperti Kalimah Allah dan UMDAP yang meminta ahli UMNO pangkah DAP bakal membawa kemudaratan besar kepada BN-PH nanti.

    Sepertimana yang  kita sedia maklum, dalam konteks politik Terengganu, penglibatan DAP dalam mana-mana parti Melayu amat sukar diterima oleh pengundi di negeri ini. Sebab itulah, sejak dari dahulu sehingga sekarang orang Melayu di negeri ini tidak akan berkompromi dengan mana-mana kempen melibatkan parti DAP. Justeru, banyak pihak percaya BN-PH dijangka kehilangan kerusi  yang sangat besar dalam PRN nanti.

    Malah, ada penganlisis dan pemerhati politik di negeri ini berpendapat, tidak mustahil PN dijangka menang kesemua 32 kerusi DUN di Terengganu. Ada pula mengatakan bahawa mungkin juga kerusi BN yang tinggal hanya  ‘dua batu nesan’ sahaja iaitu di DUN Seberang Takir dan Telemung. Andaian ini dibuat memandangkan kedua-dua DUN berkenaan adalah antara kerusi yang tidak pernah goyah bagi BN Terengganu sejak dahulu lagi.

    Dalam PRU 14 lalu, DUN Seberang Takir dimenangi oleh bekas Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman yang berjaya menewaskan calon Pas, Ustaz Mohd Fazil Wahab dan Ustaz Abu Bakar Abdullah (PKR) dengan majoriti 1,884 undi.

    Ahmad Razif memperoleh 9,340 undi, Ustaz Mohd Fazil (7,456 undi) dan Ustaz Abu Bakar (939 undi).Manakala DUN Telemong pula demenangi oleh Datuk Rozi Mamat yang berjaya menewaskan calon Pas, Ustaz Kamaruzaman  Abdullah dan Sharifah Morhayati Syed Omar (PKR) dengan majoriti 4,159 undi.

    Rozi yang kini merupakan Setiausaha Agong UMNO Terengganu memperoleh 9,407 undi, Ustaz Kamaruzzaman (5,248 undi) dan Sharifah Norhayati (455 undi).Namun, benarkah UMNO kini sudah tidak mempunyai kubu kuat di Terengganu?Itulah persoalan yang berlegar dalam fikiran rakyat di negeri ini sebaik sahaja parti itu tewas mengejut kepada PN dalam PRU15.

    Dalam PRU14 tahun 2018, Pas berjaya menumbangkan kerajaan BN Terengganu setelah  menang 22 daripada 32 kerusi yang dipertandingkan.

    Kerusi berkenaan ialah DUN Bandar, Ladang, Batu Burok, wakaf Mempelam, Rhu Rendang, Alor Limbat, Bukit Payong, Pengkalan Berangan, Rantau Abang, Sura, Paka, Bukit Tunggal, Manir, Tepoh, Buloh Gading, Kota Putera, Jabi, Chukai, Kuala Berang, Air Putih, Ajil dan Kemasik.

    Sementara BN pula hanya menang di 10  kerusi iaitu Seberang Takir, Kijal, Telemung, Hulu Besut, Bukit Besi, Jertih, Langkap, Batu Rakit, Kuala Besut dan Permaisuri.

  • Akui sajalah PH-BN sudah kalah di Kedah

    Akui sajalah PH-BN sudah kalah di Kedah

    Oleh RIZQI ZABIDI

    SEORANG teman baru-baru ini bersembang santai dengan seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang di Kedah.

    Berdasarkan kenyataan dan lenggok ‘YB’ itu, rakan tersebut membuat kesimpulan bahawa YB berkenaan sebenarnya sudah bersedia untuk menerima hakikat bahawa gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) yang didokongnya (termasuk dirinya sendiri), akan tewas dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi.

    Tidak berapa hari selepas mendengar cerita kawan saya itu, timbul pula laporan dari sebuah portal memetik kenyataan seorang pemimpin UMNO Bahagian di Kedah yang enggan dinamakan, menyatakan bahawa UMNO Kedah sudah kehilangan kira-kira 40 peratus sokongan akar umbi.

    Kenyataan itu kemudiannya disanggah kepimpinan UMNO negeri yang mempersoalkan mengenai bukti dakwaan tersebut.

    Ya betul, memang buktinya sukar ditunjukkan oleh sesiapa pun.

    Siapa yang boleh bertanya kepada seorang demi seorang ahli UMNO di Kedah yang mereka sememangnya sudah beralih hati memberi sokongan kepada Perikatan Nasional (PN) Kedah di bawah kepimpinan Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor?

    Tetapi petanda betapa sokongan rakyat Kedah sudah kian menurun kepada BN dan PH itu memang ada. Usahlah dinafikan perkara itu kerana petunjuknya cukup jelas terutamanya bersandarkan majlis mahu pun himpunan yang diadakan kedua-dua pihak.

    Bermula dengan Himpunan Madani yang menampilkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamid serta barisan menteri-menteri pada 28 April lalu di Stargate, Alor Setar.

    Berapa ramai saja yang hadir ke majlis tersebut biar pun himpunan berkenaan diserikan dengan kehadiran dua penyanyi terkenal, Datuk Seri Siti Nurhaliza dan Datuk Amy Search?

    Tidakkah PH dan BN malu dengan jumlah kehadiran ke majlis tersebut meskipun penganjurannya diuar-uarkan secara meluas di media perdana dan sosial, ketika penganjurannya juga hanya sehari sebelum Rumah Terbuka Aidilfitri Malaysia Madani yang turut dicanang secara meluas?

    Berbeza dengan kehadiran sempena Rumah Terbuka Aidilfitri Pas Pusat seminggu selepas itu puluhan ribu manusia memenuhi Kompleks Pas di Kota Sarang Semut.

    Selain itu sambutan menggalakkan turut diterima PN pada Majlis Pelancaran Himpunan Jentera Pilihan Raya PN di Padang Awam Guar Chempedak pada 13 Mei lalu. Lautan pejuang PN terutamanya kalangan anak muda pada masa itu hadir bagi mendengar amanat kepimpinan mereka tanpa dibayar walau satu sen pun.

    Dan kelmarin, berlangsung satu lagi majlis melibatkan pemimpin besar BN serta PH di Kedah.

    Konvensyen Perpaduan Negeri Kedah namanya dengan himpunan tersebut dicanangkan akan disertai kira-kira 1,300 perwakilan yang akan menjadi tonggak kepada usaha kedua-dua gabungan tersebut untuk merampas Kedah dari tangan PN.

    Asalnya majlis tersebut yang berlangsung di Ampang Business Centre (ABC), Alor Setar itu memang dihadiri oleh ramai orang. Almaklumlah, Presiden UMNO yang datang untuk merasmikannya kira-kira pukul 10 pagi.

    Namun setelah Ahmad Zahid berangkat pulang sebaik memberi ucapan berapi-api untuk merampas Kedah, separuh daripada isi dewan ‘hilang’ hingga menampakkan lompong di sana-sini termasuk ketika ucapan penggulungan oleh Pengerusi PH Kedah, Datuk Mahfuz Omar dan Pengerusi BN negeri, Datuk Seri Mahdzir Khalid kira-kira tiga jam selepas itu.

    Dari situ, maka dapatlah dirumuskan betapa semangat perjuangan jentera PH dan BN di Kedah ini tidaklah setara mana untuk merampas Kedah dari tangan PN.

    Tidaklah dapat dipastikan sama ada lunturnya semangat mereka itu disebabkan kekuatan PN terlalu ampuh di Kedah atau kerana mereka sudah tidak nampak harapan untuk PH dan BN dapat kembali bernyawa di negeri ini.

  • Pemimpin UMNO jangan malu suruh undi DAP

    Pemimpin UMNO jangan malu suruh undi DAP

    SEMALAM tersebar berita Ahmad Maslan minta pengundi UMNO taat kepada arahan supaya mengundi calon DAP dalam PRN di 6 negeri.

    Walaupun tajuk berita sebuah portal sudah ditukar daripada ‘mengundi calon DAP’ kepada ‘calon Kerajaan Perpaduan’ tetapi tidak mengapalah. Apa yang penting dalam kenyataannya Ahmad Maslan berkata,’’

    “Disiplin parti itu memastikan arahan parti dituruti. Memanglah undi itu rahsia tetapi gesaan saya adalah bukan (undi) atas nama parti atau DAP, tetapi atas nama Kerajaan Perpaduan. Kerajaan Perpaduan ini titah Yang di-Pertuan Agong apabila Parlimen tergantung, jadi kita akur, setia pada titah baginda.”

    Soal Kerajaan Perpaduan titah Agong itu, penulis tidak mahu ulas apa-apa sebab ‘modal’ ini sudah digunakan banyak kali oleh pemimpin UMNO untuk memberi pemahaman kepada ahli akar umbi kenapa parti itu bekerjasama dengan DAP.

    Sebenarnya, Ahmad Maslan dan pemimpin UMNO lain tidak perlu malu-malu untuk buat seruan terus terang supaya pengundi UMNO undi calon DAP. Tiada masalahpun sebab UMNO dan DAP sudah berada dalam satu kerajaan, kalau UMNO menang, DAP untung…kalau DAP menang, UMNO untung…kan begitu.

    Lagipun pemimpin-pemimpin UMNO sebelum ini sudahpun bertungkus lumus ‘membersihkan’ imej DAP apabila berada dalam satu kerajaan. Bukan kata Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi malah Ahmad Maslan juga sudah selesa berkawan dengan DAP. Jadi jangan malu-malu untuk menyeru pengundi UMNO mengundi DAP, tidak ada salah apapun.

    Tambahan pula UMNO sepatutnya berasa terhutang budi dengan DAP kerana bersedia menerima mereka dalam Kerajaan Perpaduan. Maklumlah, bukan senang nak terima parti yang kalah teruk dalam PRU menjadi kerajaan. Lebih daripada itu DAP sanggup untuk berada dalam satu Kabinet dengan pemimpin daripada parti yang mereka pernah anggap paling korup, pencuri dan penyangak.

    Namun itulah politik, tiada apa yang mustahil.Oleh itu kalau pemimpin UMNO minta undi calon DAP dalam PRN apa masalahnya? Tanpa DAP belum tentu UMNO kembali berkuasa dalam kerajaan biarpun dua kali berturut-turut ditolak rakyat dalam PRU.

    Tanpa persetujuan DAP, tidak mungkin Presiden UMNO kembali menjadi TPM walaupun ada 47 pertuduhan rasuah dan salah guna kuasa di mahkamah kerana DAP kan parti berintegriti tinggi. Tanpa persetujuan UMNO belum tentu pemimpin PH termasuk DAP menjejak kaki di Bangunan UMNO dan Dewan Merdeka.

    Malah atas semangat Kerajaan Perpaduan, pemimpin dan ahli UMNOpun sudah pakai seragam putih seperti DAP sebagai tanda solidariti. Jadi apa salahnya, kalau pemimpin UMNO minta undi DAP…mereka kan kawan?

    Lagi pula sejak berkawan dengan PH-DAP, UMNO banyak bertolak ansur dalam pembahagian kerusi khususnya menghadapi PRN. Sebab itulah dalam PRN di 6 negeri nanti tiada mana-mana negeri UMNO akan jadi Menteri Besar.

    Demi persahabatan dan Demi Keutuhan Kerajaan Perpaduan UMNO akan pastikan rakan-rakan komponen menang manakala UMNO akan akur saja. Ye la nak cakap banyak pun, di semua negeri tu boleh dikatakan rakyat tolak UMNO-BN. Mungkin dengan pertolongan DAP, UMNO akan mampu bernafas kembali.

    Jadi pemimpin UMNO jangan malu suruh undi DAP.Pedulilah apa orang nak kata sebab lagipun UMNO sekarang bukan UMNO dulu. UMNO sekarang pentingkan kemajmukan…betul tak?

    Cuma penulis harap pemimpin DAP turut mempunyai perasaan keterujaan bersahabat dengan UMNO seperti mana pemimpin keterujaan pemimpin UMNO terhadap DAP. Setakat ini penulis tidak nampak lagi keterujaan dan keghairahan itu dalam kalangan pemimpin DAP.

    Tetapi tidak mengapa yang penting pemimpin UMNO jangan malu suruh undi DAP…kan..kan

  • Samsuri dijangka kekal bertanding di Rhu Rendang

    Samsuri dijangka kekal bertanding di Rhu Rendang

    Oleh MOHD LAZIM ENDUT

    MENTERI Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar dijangka akan terus kekal bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rhu Rendang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Jun depan.

    Walaupun terdapat pelbagai andaian dan spekulasi berhubung lokasi kerusi yang bakal ditandingi oleh Dr. Ahmad Samsuri, namun banyak pihak percaya beliau akan terus kekal bertanding di kerusi tersebut.

    Malah, rata-rata ahli Pas dan juga pengundi di Rhu Rendang mahukan Naib Presiden Pas itu akan terus diberi kepercayaan mewakili parti Pas sebagai calon Perikatan Nasional (PN) di kawasan berkenaan.

    Selain pengundi di Marang, pucuk pimpinan Pas juga mengharapkan Dr. Ahmad Samsuri bakal menjadi ‘nahkoda perang’ dalam memastikan kemenangan besar PN pada PRN kali ini.

    Ketika bercakap kepada pemberita sempena sambutan Hari Raya Pas DUN Rhu Rendang di Pantai Peranginan Kelulut Marang, baru-baru ini, Dr. Ahmad Samsuri memberitahu, beliau belum mengetahui kerusi yang bakal ditandingi pada PRN kali ini.

    Sambil menyerahkan kepada kepimpinan tertinggi parti untuk menentukannya beliau menyatakan kesediaan untuk bertanding di mana-mana kerusi yang akan ditetapkan nanti.

    Justeru, beliau tidak dapat memastikan sama ada kekal bertanding di DUN Rhu Rendang atau berpindah di kerusi lain.

    Bagi pengundi Rhu Rendang mereka berpendapat, tiada sebab Dr. Ahmad Samsuri dipindahkan ke kerusi lain memandangkan khidmatnya sebagai wakil rakyat di kawasan itu amat memuaskan.

    Malah sebagai MB juga Dr. Ahmad Samsuri telah menjalankan tugasnya dengan cemerlang.

    Sepanjang tempoh lima tahun memerintah negeri, janji 20 perkara dalam manifesto Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) juga telah ditunaikan.

    Walaupun sebelum ini pelbagai isu turut dikaitkan dengan Dr Ahmad Samsuri, namun ia tidak menjadi barah dan juga tidak meninggalkan kesan parut kepada rakyat kerana ia dikatakan isu berkenaan lebih bersifat propaganda daripada pihak lawan.

    Ketika PRU15 lalu, nama Dr. Ahmad Samsuri pada awalnya turut dikaitkan sebagai calon bagi kerusi Parlimen Marang.

    Perkara itu hangat diperbualkan oleh kebanyakan pihak yang mengaitkan nama beliau dengan pihak istana disamping hubungan dingin dengan kepimpinan Pas kawasan Marang.

    Ekoran itu beberapa nama turut dikaitkan dengan calon DUN Rhu Rendang termasuk anak Presiden Pas yang juga ADUN Batu Burok, Muhammad Khalil Abdul Hadi bertanding di kerusi ini.

    Bagaimanapun, isu tersebut akhirnya lenyap begitu sahaja apabila nama Dr. Ahmad Samsuri tiada dalam senarai calon bagi bagi mana-mana kerusi Parlimen di Terengganu.

    Dalam PRU14 pada 9 Mei 2018 lalu, Dr. Ahmad Samsuri yang buat kali pertama dicalonkan bertanding mewakili Pas di DUN Rhu Rendang menang dengan majoriti 6,028 undi.

    Dalam pertandingan tiga penjuru itu beliau yang mendapat 13,851 undi berjaya menewaskan Datuk Nik Dir Nik Wan Ku (Barisan Nasional) yang mendapat 7,823 undi dan Zarawi Sulong (Parti Keadilan Rakyat) yang mendapat 729 undi, sekaligus hilang deposit.

    Pada PRN nanti, kerusi DUN Rhu Rendang dijangka hanya melibatkan pertandingan dua penjuru antara calon Pas-PN dan juga BN-PH.

    Berdasarkan perkembangan semasa, calon Pas-PN dilihat tidak berhadapan sebarang masalah untuk mengekalkan kerusi tradisi yang menjadi kubu kuat Pas sejak bertahun lamanya.

    Sekiranya Dr. Ahmad Samsuri kekal bertanding di Rhu Rendang banyak pihak percaya majoriti akan meningkat melebihi 10,000 undi.

  • PRN : BN-PH Terengganu bercakaran isu agihan kerusi?

    PRN : BN-PH Terengganu bercakaran isu agihan kerusi?

    Oleh MOHD LAZIM ENDUT

    ISU agihan kerusi untuk ditandingi calon Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) Terengganu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang dijangka diadakan Jun ini terus hangat diperbualkan.

    Walaupun kedua-dua pemimpin utama parti tersebut  mengeluarkan  kenyataan bagi meredakan keadaan, namun ia gagal ‘menterjemahkan’  realiti sebenar apa yang sedang  berlaku. Malah, permintaan awal PH yang menuntut sebanyak 12 kerusi bagi ditandingi oleh calon mewakili parti Amanah dan PKR bukan sahaja tidak disenangi oleh pemimpin BN, tetapi juga dalam kalangan jentera di peringkat akar umbi.

    Ini kerana, orang UMNO berpendapat PH bukan sahaja tidak memiliki jentera yang kuat, sebaliknya jumlah pengundi ‘sekutu’ baharunya itu juga tidak sampai 1,000 orang bagi setiap DUN. Berdasarkan pelbagai isu  sekarang, mereka percaya Pengerusi PH Terengganu, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad juga akan ditolak pengundi sekiranya beliau diletakkan sebagai calon di mana-mana kerusi DUN di negeri ini.

    Seorang ketua cawangan UMNO di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Rhu Rendang pernah  memberitahu bahawa jenteranya akan lumpuh sekiranya calon yang ditampilkan adalah mewakili PH, sekaligus seakan-akan mengesahkan kedua-dua parti tersebut sedang berhadapan dengan masalah calon dan protes agihan kerusi.

    Manakala seorang pemimpin UMNO peringkat Bahagian ketika ditemui pada Majlis  Rumah Terbuka Hari Raya  Aidilfitri minggu lalu berkata, sekiranya PH diberikan 12 kerusi, sudah tentu kesemua calon terbabit akan balik awal.

    “12 kerusi itu terlalu banyak bagi PH kalau diukur   berdasarkan kemampuan dan penerimaan parti  di Terengganu, cukuplah diberikan enam kerusi sahaja, itu sudah memadai,” ujar pemimpin berkenaan.

    Sambil menyifatkan  permintan itu tidak  sepadan dengan kemampuan dan kekuatan PH di Terengganu, pemimpin UMNO berkenaan mengatakan bahawa setakat ini masih belum ada kata putus mengenai agihan kerusi antara BN dan PH Terengganu.

    Seperti mana diketahui umum,  parti yang diterima rakyat dan pengundi di  Terengganu adalah UMNO dan Pas sahaja, lain-lain parti tidak diletakkan sebagai pilihan.

    Malah, Pas juga pernah tewas ketika bergabung bersama kedua-dua parti tersebut dalam Pakatan Rakyat (PR) sebelum ini.

    Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said ketika bercakap kepada pemberita pada Majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri Ketengah di  Bandar Al-Muktafi Billah Shah (AMBS), Dungun minggu lalu menafikan dakwaan parti itu akan memprotes calon PH yang akan  bertanding dalam PRN) nanti.

     Ahmad menyifatkan dakwaan itu sebagai tidak berasas, sebaliknya mengatakan semua jentera parti di Terengganu akan memberi sokongan dan bekerjasama dengan PH di semua peringkat.

    Beliau mengulas dakwaan kononnya terdapat jentera UMNO Terengganu dikatakan akan memprotes dan tidak mahu menerima calon PH.

    Beliau sebaliknya memberitahu,  perbincangan mengenai agihan kerusi sudah diadakan, namun keputusan belum dibuat.

    Manakala  Raja Kamarul Bahrin dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada Rabu lalu pula yakin isu agihan kerusi antara BN-PH dapat  diselesaikan secara  baik.

    Beliau berkata, setakat ini perbincangan yang diadakan sejak dua tahun lalu masih berjalan dan percaya sikap tolak ansur melalui budaya musyawarah dan kesabaran adalah jalan terbaik untuk mencapai kerjasamaa antara PH dan BN.

    Sehubungan itu, beliau berharap semua pihak dapat bersabar dan menghadapi dugaan dengan tenang supaya kebaikan bersama dapat dicapai demi kebaikan umum keseluruhan rakyat Terengganu.

    Sebelum ini, PH Terengganu dikatakan bakal bertanding di 12 kerusi DUN dalam PRN nanti di mana kesemua kerusi tersebut adalah kawasan yang dimenangi PAS pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu.

    Antara kerusi tersebut  ialah Chukai, Kemasik, Sura, Rantau Abang, Rhu Rendang, Alor Limbat,Bandar, Batu Burok, Manir, Buluh Gading, Kota Putera dan Jabi.

  • Bolehkah kerajaan PH di Selangor ditumbangkan

    Bolehkah kerajaan PH di Selangor ditumbangkan

    SEJAK pentadbiran Barisan Nasional (BN) di Selangor tumbang ke tangan Pakatan Rakyat (PR) pada 2008, usaha untuk kembali merampas negeri itu menerusi beberapa siri pilihan raya terus gagal sehingga ke hari ini.

    Selangor yang memiliki 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) itu terus menjadi sasaran utama semua parti politik ekoran keupayaannya untuk menyumbang Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tertinggi di Malaysia, sekali gus merupakan sebagai negeri terkaya di negara ini.

    Pada 2008, PR menerusi PKR, DAP dan Pas berjaya mengambil alih pentadbiran negeri selepas memperoleh 36 kerusi DUN, sebelum angka itu meningkat kepada 44 kerusi pada 2013.

    Pada 2018 PR dijenamakan semula menjadi Pakatan Harapan (PH) dengan Pas meninggalkan gabungan parti itu dan digantikan dengan Parti Amanah Negara (Amanah).

    PH mencatatkan jumlah kerusi DUN tertinggi dengan meraih 51 kerusi diikuti BN yang memiliki empat kerusi manakala Pas hanya meraih satu kerusi disebabkan gelombang anti Datuk Seri Najib Razak akibat skandal 1MDB terlalu kuat pada ketika itu.

    Bagaimanapun, selepas berlaku ketidaktentuan politik pada 2020 yang menyaksikan kerajaan Persekutuan ditadbir oleh PH tumbang, berlaku juga perubahan angka kerusi DUN di Selangor yang mana PH kini memiliki 41 kerusi, Perikatan Nasional (tujuh), BN (lima), manakala Pejuang mempunyai tiga kerusi.

    Ramai pemerhati politik menganggap Selangor sebagai ‘negeri selamat’ PH untuk kekal berkuasa selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

    Akan tetapi, penganalisis politik dari Universiti Sains Malaysia (USM) Ahmad Atory Hussain berkata, tanggapan itu mungkin lagi tidak tepat terutama selepas melihat apa yang berlaku pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

    Menurut beliau, usaha Perikatan Nasional (PN) untuk menawan Selangor dengan mensasarkan 33 daripada 56 kerusi DUN tidak dianggap sebagai misi mustahil, kerana keadaan tidak lagi sama seperti sebelum PRU15.

    Katanya, ini kerana penentu sama ada PN mampu membentuk kerajaan negeri di Selangor bukan sahaja akan ditentukan oleh pengundi luar bandar, yang merangkumi kira-kira 20 DUN, tetapi lebih kepada trend pengundian Melayu yang tidak menentu.

    “Pengundi Melayu di Selangor tidak boleh disamakan dengan trend pengundian Melayu di Pantai Timur atau Cina di Pulau Pinang yang mana mereka lebih konsisten mengundi satu parti,” katanya kepada MalaysiaNow.

    “Contohnya, kita boleh jangka Melayu di Pantai Timur akan mengundi PAS manakala Cina di Pulau Pinang akan pilih DAP.”

    “Tetapi Melayu di Selangor lebih fleksibel, menjadikan trend undian mereka sukar diramal yang mana situasi ini tidak semestinya akan memanfaatkan PH di negeri Selangor.”

    Kerusi majoriti Melayu beralih ke PN

    Menurut Atory, kejayaan PN menawan kerusi Parlimen di Selangor seperti Tanjung Karang dan Sungai Besar yang merupakan kubu BN serta beberapa kawasan dimiliki PH iaitu Hulu Selangor, Kapar dan Kuala Langat membuktikan penerimaan terhadap gabungan itu khususnya Pas tidak terhad di kawasan Pantai Timur sahaja.

    Untuk maklumat, semua Parlimen di Selangor yang ditawan gabungan baru itu pada PRU15 itu mempunyai 15 DUN, dan angka ini belum dicampur dengan yang masih dipegang wakil rakyat PN sedia ada seperti Bukit Antarabangsa, Gombak Setia, Selat Klang, dan Dengkil.

    “Ini juga belum diambil kira dengan perkembangan situasi semasa seperti kerjasama antara PH-BN, kemelut dalaman UMNO dan beberapa isu lain termasuk lantikan politik dalam jabatan dan agensi kerajaan, langkah yang ditentang oleh PH sendiri sebelum mereka menjadi kerajaan.

    “Semua perkara ini akan memainkan peranan. 

    “Jika PH tidak berhati-hati, jangan terkejut sekiranya momentum PN meluas ke Selangor dan tidak mustahil mereka akan bentuk kerajaan,” tambah penganalisis veteran itu.

    Tinjauan MalaysiaNow di beberapa kawasan luar bandar seperti di DUN Dusun Tua yang memiliki lebih 60% pengundi Melayu, menyaksikan ramai yang kurang yakin untuk mengundi parti mana pada PRN akan datang.

    Penduduk di Kampung Padang, Mohd. Akhir Dutan yang sudah menetap di kawasan itu selama 63 tahun, menceritakan bahawa DUN di situ sejak 1974 hingga 2013 menjadi kawasan kubu kuat UMNO, tetapi ia mula beralih kepada Pas sebelum jatuh ke tangan DAP pada 2018.

    Katanya, ramai dalam kalangan penduduk di situ dianggap sebagai penyokong UMNO, namun selepas parti Melayu itu kini bekerjasama dengan DAP, mereka ‘berat hati’ untuk pilih wakil rakyat daripada parti tersebut.

    “Saya pun tidak hairan sekiranya pengundi di sini enggan keluar mengundi atau bakal memilih parti selain UMNO seperti Pas atau Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu),” katanya kepada MalaysiaNow.

    “Keadaan politik sekarang pun sangat mengelirukan. Dulu (UMNO) cakap lain, sekarang jadi lain. 

    “Siapa sangka mereka akan kerjasama dengan PH, berkawan dengan parti yang sekian lama menjadi musuh mereka.”

    Sementara itu, penduduk di kerusi Parlimen Tanjung Karang, Farahin Adha mengakui pengaruh Tan Sri Noh Omar yang digugurkan oleh BN pada PRU15 masih kuat di kawasan itu.

    Katanya, kemungkinan peralihan undi yang berlaku pada PRU15 yang menyaksikan Parlimen Tanjung Karang beralih ke tangan PN juga mampu berulang pada dua DUN di bawahnya sekiranya desas-desus Noh menyertai atau membantu PN menjadi realiti.

    “Pengaruh Noh lebih kuat berbanding pengaruh BN di kawasan ini. 

    “Tetapi tengok juga keadaan, kerana kami akan perhatikan pelbagai pekara seperti isu kos sara hidup,” katanya yang juga seorang peniaga.

  • Anwar, Zahid sukar sekat gelombang hijau di Kedah

    Anwar, Zahid sukar sekat gelombang hijau di Kedah

    Oleh BADLISHAH MAT

    SESUDAH berhari raya, kini tiba pilihan raya. Antara enam negeri yang terlibat dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi, Kedah menjadi negeri paling hangat, jadi tumpuan dan popular ketika ini walaupun Kelantan dan Terengganu juga ditakrifkan sebagai negeri pembangkang.

    Dengan terarahnya semua ‘jentera’ dan ‘bala tentera’ kerajaan Madani ke Kedah kebelakangan ini, sudah pasti ada figura yang mereka perlu serang habis-habisan jika bercita-cita mahu rampas negeri Kedah daripada kerajaan Perikatan Nasional (PN).

    Misi mustahil itu dimulakan sejak Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) menaiki takhta Kerajaan Persekutuan pada tahun lalu, namun awal-awal lagi jatuh terkulai ketika Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bagi kawasan Parlimen Padang Serai yang diadakan berasingan.

    PN menambah kerusi Parlimen ke-14 di Kedah melalui Padang Serai setelah calon mereka menang dengan majoriti 16,260 undi, walaupun PH dan BN ketika itu sudah bergabung dan membantu antara satu sama lain termasuk calon BN menarik diri.

    Kini setelah ‘pilot test’ itu tidak berjaya, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi tahu bahawa mereka perlu melipatgandakan usaha pada PRN Kedah dan negeri-negeri lain jika mahu menghalang gelombang hijau yang membadai Kedah tahun lalu.

    Antara usaha yang dilakukan jentera mereka adalah menampakkan ‘Jeneral Perang’ PN, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor sebagai pemimpin yang tidak seharusnya dipertahankan rakyat Kedah pada PRN akan datang.

    Tetapi mereka silap kerana Menteri Besar Kedah ke-14 itu merupakan insan paling disayangi dan disenangi hampir keseluruhan rakyat Kedah termasuk golongan muda yang menjadi kumpulan penentu kemenangan pada pilihan raya.

    Kewibawaan dan kelantangan Muhammad Sanusi bukan sahaja menggerunkan pihak lawan tetapi pada masa sama menenggelamkan dua pemimpin tertinggi BN dan PH di Kedah iaitu Datuk Seri Mahdzir Khalid dan Datuk Mahfuz Omar yang kedua-duanya hilang kerusi Parlimen masing-masing pada PRU15 lalu.

    Atas sebab itu, Anwar dan Ahmad Zahid tahu mereka sendiri perlu ‘turun padang’ untuk memenangi hati rakyat dan pengundi Kedah walaupun memahami bukan senang untuk melakukan perkara itu ketika Muhammad Sanusi terus menjadi pilihan.

    Mahdzir dan Mahfuz serta pemimpin-pemimpin lain daripada UMNO, PKR, DAP dan Amanah Kedah pula kini ibarat tempelan apabila terpaksa mengeluarkan kenyataan yang menyerang Kerajaan Negeri Kedah pimpinan Sanusi selain menampakkan kononnya kerajaan Perpaduan stabil.

    Rumah Terbuka Malaysia Madani antara ‘menu rahmah’ yang dihidangkan kepada rakyat Kedah kononnya mahu memberi peluang rakyat bersemuka dan bermesra dengan Perdana Menteri serta jemaah Kabinet walhal umum mengetahui agenda di sebalik penganjuran majlis itu.

    Tetapi kini menjadi satu cabaran kepada ‘tuan rumah’ iaitu Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk memastikan rumah terbuka itu dihadiri ramai pengunjung seperti Rumah Terbuka Menteri Besar Kedah di Seri Mentaloon, pada Khamis yang dibanjiri kira-kira 50,000 pengunjung.

    Tidak ada bas percuma disediakan kepada rakyat Kedah untuk bersemuka dan beramah mesra dengan Muhammad Sanusi berbanding apa yang dilakukan oleh kerajaan Madani pada majlis di Hotel Raia.

    Dalam program Himpunan Madani yang diatur di Dataran Stargate pula, tidak terkejut jika puluhan ribu rakyat Kedah hadir tetapi bukan untuk mendengar pidato atau syarahan Anwar dan Ahmad Zahid serta rakan-rakan mereka sebaliknya mendengar persembahan artis popular.

    Kehadiran penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza dan penyanyi rock legenda tanah air, Datuk Amy Search sudah pasti menjadi tarikan utama pada program itu berbanding pengisian program yang lain.

    Kini menjelangnya pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah yang dijangka selepas pertengahan Jun, serangan demi serangan yang bertali arus akan terus dihalakan kepada Muhammad Sanusi secara khusus kerana individu itu merupakan tunjang kekuatan PN di Kedah di samping pemimpin lain.

  • Peniaga kedai makan turut tertekan, rakyat semakin ‘berkira’ ketika berbelanja

    Peniaga kedai makan turut tertekan, rakyat semakin ‘berkira’ ketika berbelanja

    Oleh MOHD LAZIM ENDUT

    PENINGKATAN kos sara hidup tinggi dihadapi rakyat ketika ini menyebabkan kedatangan bulan Ramadan pada tahun ini tidak semeriah dahulu.

    Memandangkan kebanyakan barangan keperluan harian mengalami kenaikan harga, maka rata-rata penduduk di Terengganu terpaksa berhati-hati dan ‘berkira’ ketika berbelanja.

    Malah, sejak bermula 1 Ramadan lagi, orang ramai dilihat tidak begitu ghairah untuk berbelanja sama ada di Bazar Ramadan atau pun jualan pakaian hari raya sempena Aidilfitri.

    Perkembangan ini menyebabkan suasana di kebanyakan Bazar Ramadan, Bazar Aidilfitri dan juga pasar raya di negeri ini kelihatan agak suram.

    Kalau pun ada pelanggan, mereka hanya menghabiskan masa dengan meninjau pelbagai menu kuih dan juga barangan yang dijual sementara menunggu masuk waktu berbuka puasa.

    Dalam keadaan ekonomi yang semakin mencabar ini, orang ramai bukan sahaja terpaksa ‘mencatukan’ pembelian makanan dan barangan, sebaliknya mereka kini lebih tertumpu memasak dan berbuka puasa di rumah berbanding di luar.

    Kalau dahulu boleh dikatakan kedai-kedai atau warung makan dinegeri ini terutama di lokasi pelancongan dan tumpuan ramai sentiasa dilimpahi pelanggan setiap kali tiba bulan Ramadan.

    Namun, penulis mendapati suasana tersebut sudah berubah apabila kebanyakan premis kedai makan kelihatan suram tanpa pelanggan tidak seperti dahulu.

    Apa yang menyedihkan ketika penulis ingin berbuka puasa bersama keluarga di Dataran Shahbandar Kuala Terengganu pada minggu lalu mendapati keadaan lot kedai makan di Taman Selera Tanjung yang selama ini merupakan sebuah lokasi popular dan dikunjungi ramai langsung tiada pelanggan.

    Pada mulanya penulis bersama keluarga ingin berbuka puasa dengan membentangkan tikar ditepi muara sungai Terengganu berlatarbelakangkan Jambatan Angkat.

    Bagaimanapun, sewaktu berjalan di pesisir sungai, penulis mendapati kebanyakan kedai makan di Taman selera tersebut masih kosong tanpa pelanggan dan banyak juga yang ditutup.

    Sementara lot-lot perniagaan lain seperti kedai pelbagai dan telefon bimbit juga ditutup sedangkan ia terletak di lokasi pelancongan bersebelahan jalan memasuki ke Jambatan Angkat. Lalu penulis tertanya sendiri kenapa perkara ini boleh berlaku?

    Adakah peniaga di sini mengenakan harga yang tinggi menyebabkan pelanggan berasa serik untuk menikmati hidangan di lokasi ini?

    Ketika membuat pembayaran, penulis mendapati harga yang dikenakan tidaklah mahal dan ia berpatutan di mana nasi goreng hanya RM6 dan kerang bakar RM13.

    Apabila penulis bertanya kepada pemilik kedai makan berkenaan adakah keadaan seperti ini sudah lama dialami.

    Peniaga yang dipanggil Kak Ta itu memberitahu, sejak bermula 1 Ramadan lagi, kedai-kedai di situ sudah ketiadaan pelanggan.

    Kebanyakan kedai di situ hanya dikunjungi dua atau tiga pelanggan sahaja datang berbuka puasa, ada juga yang langsung tiada pelanggan.

    Sebab itulah kata Kak Ta, banyak pemilik kedai makan di situ terpaksa ditutup kerana berada dalam keadaan tertekan.

    Begitulah fenomena baharu yang dialami oleh pemilik kedai makan sama ada restoran atau warung makan di Terengganu sepanjang bulan Ramadan pada tahun ini.

    Penulis mendapati bukan di Taman Selera Tanjung sahaja ketiadaan pelangggan, sebaliknya beberapa lokasi tumpuan lain termasuk di Batu Burok, Padang Negara, Hentian Bas Kuala Terengganu dan Taman Selera Kelulut di Marang juga berhadapan dengan kekurangan pelanggan.

    Ini menyebabkan kebanyakan peniaga, khususnya membabitkan kedai makan kini semakin tertekan manakala orang ramai pula terus berasa bimbang dengan kadar inflasi dan keadaan ekonomi negara sekarang ini.

    Selepas baharu sahaja berbelanja untuk persekolahan anak-anak pada awal Mac lalu, kini mereka terpaksa mencatur pula perbelanjaan untuk sambutan Ramadan dan Syawal.

    Maka itu, ramai menjangkakan Hari Raya Aidilfitri pada tahun ini bakal berlangsung dalam keadaan paling suram dan tidak semeriah sepertimana tahun-tahun sebelum ini
    termasuk ketika rakyat negara ini berada dalam perintah Kawalan Pergerakan (PKP) susulan Covid-19 melanda negara.

    Justeru, pemimpin negara sama ada Persekutuan mahupun negeri perlu berganding bahu mencari jalan membantu rakyat, bukan terus ‘berperang’ dengan isu-isu politik memualkan.