Author: Zaid Adnan

  • Pelancong lengkap divaksin dibenar memasuki Arab Saudi 1 Ogos

    Pelancong lengkap divaksin dibenar memasuki Arab Saudi 1 Ogos

    WARGA asing yang lengkap dua dos vaksin Covid-19 dibenarkan mengunjungi Arab Saudi bermula 1 Ogos ini.

    Agensi berita Sputnik memetik pengumuman Kementerian Pelancongan Arab Saudi bagaimanapun berkata, pelancong asing masih perlu mengambil ujian PCR, 72 jam sebelum tiba di Arab Saudi.

    “Bermula 1 Ogos 2021, tiada lagi larangan masuk ke Arab Saudi kepada pemegang visa pelancong yang lengkap divaksin.

    “Tiada kuarantin diperlukan bagi mereka yang mempunyai sijil vaksinasi,” kata kementerian itu di Twitter, hari ini.

    Buat masa ini, Arab Saudi hanya membenarkan pengunjung yang menerima empat vaksin Covid-19 iaitu Moderna, Johnson & Johnson, AstraZeneca dan Pfizer.

    Secara keseluruhan, Arab Saudi mencatatkansebanyak 523,397 kes Covid-19 dengan 8,212 kematian.

    Arab Saudi memperkenalkan visa pelancong pada September 2019.

    Pada Mac 2020, pihak berkuasa menggantung sementara pengeluaran visa itu berikutan pandemik Covid-19.

  • Keselamatan, ketenteraman awam negara terkawal – KPN

    Keselamatan, ketenteraman awam negara terkawal – KPN

    KETUA Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani memberi jaminan situasi keselamatan dan ketenteraman awam negara berada dalam keadaan terkawal.

    Beliau menegaskan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga akan meningkatkan pemantauan bagi menjamin kesejahteraan masyarakat.

    Sehubungan itu beliau meminta orang ramai untuk tidak gusar kerana pihaknya akan memastikan tahap keselamatan kekal berada pada tahap selamat.

    “Orang ramai juga dinasihatkan supaya sentiasa mematuhi semua prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam menjalani kehidupan harian sebagai usaha bersama untuk membendung penularan wabak Covid-19,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Semalam, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah menzahirkan dukacita dengan pengumuman kerajaan berkenaan pembatalan semua Ordinan Darurat kerana ia belum diperkenankan baginda.

    Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin dipetik berkata, baginda turut menzahirkan dukacita kerana yang diperkenan dan dititahkan kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan Takiyuddin Hassan dan Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun, ketika majlis menghadap secara maya 24 Julai lalu, cadangan pembatalan semua Ordinan Darurat dibentang dan dibahaskan di Parlimen bagi tujuan diungkaikan sudah tidak dilaksanakan.

  • Parlimen: 11 individu positif Covid-19 semalam, Dr Noor Hisham saran jalani saringan sebelum sesi minggu depan

    Parlimen: 11 individu positif Covid-19 semalam, Dr Noor Hisham saran jalani saringan sebelum sesi minggu depan

    SEMUA individu yang akan hadir ke sidang Mesyuarat Khas Parlimen minggu hadapan dinasihatkan agar menjalani ujian saringan Covid-19 terlebih dahulu.

    Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ini selepas ujian saringan yang dilakukan di Parlimen semalam mengesan sebanyak 11 kes positif Covid-19.

    Menurutnya, 10 kes positif itu dikesan melalui RTK Ag saliva test kit manakala satu lagi melalui RT PCR.

    “Sehubungan itu semua yang akan hadir ke sesi Sidang Mesyuarat Khas Parlimen minggu hadapan dinasihatkan untuk menjalankan ujian saringan Covid-19 terlebih dahulu.

    “Mereka yang bergejala disaran membuat pemeriksaan dan tidak hadir ke Parlimen,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Mengulas lanjut, Dr Noor Hisham berkata, sehingga pukul 8 malam, seramai 1,183 individu telah menjalani ujian saringan pengesanan Covid-19 menggunakan ujian kendiri RTK Ag saliva test kit.

    Ujarnya, dripada jumlah yang disaring tersebut, sebanyak sembilan lagi kes dikesan positif Covid-19 menjadikan secara keseluruhan 10 kes yang dikesan melalui RTK Ag saliva test kit (satu kes tengah hari, sembilan kes petang).

    “Sebanyak dua daripada 10 kes positif tersebut mengalami gejala ringan tetapi stabil, manakala lapan kes tidak bergejala,” katanya.

    Beliau menambah, pasukan kesihatan akan menjalankan siasatan, penilaian risiko, pengesanan kontak, langkah-langkah pencegahan dan kawalan termasuk pembersihan dan disinfeksi di bangunan Parlimen.

  • Vaksin Covid-19: Lebih 500,000 dos 4 hari berturut-turut

    Vaksin Covid-19: Lebih 500,000 dos 4 hari berturut-turut

    BUAT empat hari berturut-turut, jumlah vaksinasi harian Covid-19 di negara ini mencatat angka melebihi 500,000 dos apabila sebanyak 556,404 dos suntikan diberikan semalam.

    Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, jumlah pemberian vaksin itu adalah yang tertinggi sejak Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) dimulakan pada 24 Februari lalu.

    Menerusi perkongsian infografik di Twitternya, beliau berkata, daripada jumlah yang diberikan semalam, sebanyak 343,530 adalah dos pertama manakala 212,874 lagi dos kedua.

    Sementara itu, Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) melalui laman Twitter memaklumkan secara kumulatifnya, sebanyak 19,502,452 dos sudah diberikan kepada penduduk di negara ini setakat semalam.

    Jumlah itu meliputi 13,184,724 untuk dos pertama dan 6,317,710 bagi dos kedua.

  • Niat beli kucing RM500 tapi rugi RM30,050 ditipu

    Niat beli kucing RM500 tapi rugi RM30,050 ditipu

    SEORANG suri rumah mendakwa kerugian RM30,050 gara-gara ingin membeli seekor kucing berharga RM500 menerusi media sosial, Isnin lalu.

    Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Negeri Sembilan Supt Aibee Abd Ghani berkata, wanita berusia 56 tahun dari Senawang itu berminat untuk membeli kucing jenis Munchkin yang diiklankan menerusi Facebook atas nama akaun ‘Suhair Rahman’ pada 26 Julai lalu.

    “Setelah berbincang melalui Facebook Messenger dengan persetujuan harga sebanyak RM500, wanita berkenaan telah memberikan butiran peribadi untuk diposkan kucing itu ke alamat rumahnya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Mengulas lanjut Aibee berkata, pada hari sama, wanita itu membayar wang pendahuluan sebanyak RM150 ke dalam akaun atas nama Leny Yohanis melalui pemindahan wang secara dalam talian.

    Ujarnya, wanita itu telah berurusan dengan beberapa individu dan dia diminta membuat beberapa bayaran lagi sebagai wang jaminan semasa kucing berkenaan berada di kastam dan setelah tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, insurans pembelian haiwan, lesen pemilikan daripada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara serta upah menghantar kucing tersebut.

    “Suspek memberitahu kesemua wang tersebut akan dipulangkan semula kepada wanita itu jika proses selesai dilakukan.

    “Justeru, mangsa memasukkan kesemua wang tersebut ke dalam 10 akaun berbeza,” katanya.

    Beliau berkata, wanita itu turut diugut jika tidak membuat pembayaran, kucing tersebut akan dirampas dan wangnya tidak akan dikembalikan.

    Sementara itu, Aibee berkata, mangsa membuat laporan polis semalam setelah menyedari ditipu apabila nombor telefonnya disekat sehingga dia tidak dapat menghubungi individu tersebut.

    Tambah beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebatan serta denda, jika sabit kesalahan.

  • Perencah pembinaan LRT3 di Klang runtuh: 1 maut 4 cedera

    Perencah pembinaan LRT3 di Klang runtuh: 1 maut 4 cedera

    SEORANG pekerja binaan warga Bangladesh maut selepas tertimbus dalam insiden runtuhan perencah pembinaan laluan Transit Aliran Ringan 3 (LRT 3) di Bandar Bukit Tinggi, Klang, hari ini.

    Menurut Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Norazam Khamis, pihaknya menerima panggilan berkenaan kemalangan itu pada pukul 2.41 petang dan sampai di lokasi kejadian 17 minit kemudian.

    Mangsa katanya berjaya dikeluarkan daripada runtuhan tersebut pada pukul 4.20 petang.

    Pada masa sama, terdapat empat mangsa cedera ringan masing-masing adalah tiga warga Bangladesh dan seorang warga Indonesia dan kesemuanyaadalah lelaki berusia dalam lingkungan 30-

    Norazam memberitahu, operasi itu membabitkan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Pelabuhan Klang dan Shah Alam.

    “Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Andalas, Penolong Pengarah Operasi Negeri dan pegawai dari bahagian operasi negeri kini berada di lokasi,” katanya satu dalam kenyataan.

  • Dos ketiga vaksin Pfizer berkesan beri perlindungan terhadap varian Delta

    Dos ketiga vaksin Pfizer berkesan beri perlindungan terhadap varian Delta

    PENGELUAR vaksin Covid-19 Pfizer menyatakan dos ketiga vaksin itu lebih berkesan meningkatkan tahap perlindungan antibodi terhadap varian Delta jika dibandingkan dengan hanya dua dos.

    Agensi berita Xinhua melaporkan, tahap antibodi terhadap varian Delta pada individu berusia 18 hingga 55 tahun yang menerima dos ketiga vaksin Pfizer/BioNTech lima kali ganda lebih tinggi berbanding suntikan dos kedua.

    Data Pfizer menunjukkan bahawa, tahap antibodi terhadap varian Delta dalam kalangan individu berusia 65 hingga 85 tahun selepas menerima dos ketiga adalah 11 kali ganda lebih tinggi berbanding dos kedua.

    “Pfizer menjangkakan permohonan kebenaran penggunaan kecemasan untuk dos ketiga vaksinnya dibuat seawal bulan depan,” kata ketua penyelidikan, pembangunan dan perubatan Pfizer global, Mikael Dolsten, memetik CNN. –

    Pfizer pada awal bulan ini bertemu dengan pegawai kesihatan persekutuan untuk membincangkan keperluan penambahan vaksin Covid-19 dan bersedia untuk mendapatkan kebenaran bagi membekalkannya.

    Ketua penasihat perubatan White House, Dr Anthony Fauci sebelum ini memaklumkan kemungkinan rakyat Amerika Syarikat (AS) memerlukan suntikan penggalak (booster) walaupun lebih banyak data diperlukan sebelum pegawai kesihatan mengesyorkannya.

    Katanya, terdapat kajian yang sedang dilakukan ketika ini membincangkan kemungkinan apakah dan bila suntikan penggalak harus diberikan kerana ada banyak kerja sedang dilakukan untuk memeriksa perkara itu.

    “Sebelum kamu mendapatkan data itu, akan selalu ada individu dan syarikat berkata, ‘Kamu tahu, cara kita melihat keadaan, nampaknya kamu mungkin memerlukan penggalak, jadi mari kita teruskan (beri penggalak).

    “Namun, itu bukan cadangan rasmi, ” tambahnya.

    Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) menyatakan varian Delta yang pertama kali muncul di India pada bulan Disember kini menyumbang 82 peratus kes baharu Covid-19 di AS.

  • Warga emas seks luar tabii dengan kambing direman 7 hari

    Warga emas seks luar tabii dengan kambing direman 7 hari

    LELAKI warga emas yang dipercayai melakukan persetubuhan luar tabii dengan seekor kambing betina sehingga menyebabkan haiwan itu mati di Serendah, Selangor, kelmarin direman selama tujuh hari.

    Perintah reman itu dibenarkan oleh Penolong Pendaftar Mohamad Azrul Muhd Sabri di Mahkamah Majistret Kuala Kubu Bharu, hari ini.

    Lelaki berusia 60 tahun itu yang memakai t-shirt dibawa dengan trak diiringi dua anggota polis dari Balai Polis Sentosa.

    Suspek dirakam memasuki perkarangan mahkmah pada pukul 9.20 pagi.

    Mohamad Azrul membenarkan suspek direman bermula hari ini hingga 4 Ogos bagi membantu siasatan kes mengikut Seksyen 377/289 Kanun Keseksaan.

    Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Arsad Kamaruddin berkata, pihaknya akan melengkapkan kertas siasatan kes terbabit untuk dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya bagi arahan lanjut.

    Tindakan jijik lelaki warga emas itu melakukan persetubuhan luar tabii dengan seekor kambing betina dalam kejadian di Kampung Sungai Buaya, Serendah dekat Hulu Selangor, mendapat liputan meluas media semalam.

    Insiden itu hanya diketahui pemilik kambing terbabit setelah dia mendengar kambingnya yang berada di belakang rumah mengeluarkan bunyi pelik kira-kira pukul 1.30 tengah hari, kelmarin.

    Wanita yang juga pemilik kambing itu kemudiannya keluar memeriksa haiwan peliharaannya sebelum mendapati seorang lelaki yang dikenalinya bangun daripada sebelah haiwan berkenaan dalam keadaan separuh bogel.

    Lelaki itu kemudiannya melarikan diri dan hasil pemeriksaan wanita berusia 45 tahun tersebut mendapati haiwan peliharaannya sudah mati dan membuat laporan polis, tidak lama kemudian.

  • Tentera Israel tembak mati kanak-kanak 11 tahun Palestin

    Tentera Israel tembak mati kanak-kanak 11 tahun Palestin

    SEORANG kanak-kanak Palestin berusia 11 tahun yang cedera parah ditembak tentera pengganas Israel di pintu masuk pekan Beit Ummar, dekat bandar Hebron, Tebing Barat meninggal dunia akibat luka dialaminya, semalam.

    Agensi berita Palestin, WAFA yang mememtik kenyataan kenyataan Kementerian Kesihatan Palestin melaporkan, kanak-kanak malang itu, Mohammad Mouayyad Allamy, cedera pada bahagian dada setelah askar Israel melepaskan tembakan ke arah sebuah kenderaan dipandu bapanya di lokasi kejadian.

    Dia kemudiannya dikejarkan ke Hospital Ahli di Hebron dan keadaannya dilaporkan kritikal.

    Mouayyad bagaimanapun disahkan meninggal dunia tidak lama kemudian akibat kecederaan yang dialaminya.

    Tentera Israel melancarkan serangan terhadap penduduk dan hartanah Palestin di Tebing Barat yang dijajah mereka pada setiap hari.

    Pihak Berkuasa Palestin sementara itu terus menuntut masyarakat antarabangsa untuk melindungi rakyat Palestin, yang menderita selama puluhan tahun di bawah ancaman askar pengganas Israel.

  • 552,701 dos harian vaksin Covid-19 semalam, 1.5 juta dalam tiga hari

    552,701 dos harian vaksin Covid-19 semalam, 1.5 juta dalam tiga hari

    PELAKSANAAN vaksinasi harian Covid-19 negara terus mencatatkan perkembangan memberangsangkan apabila sebanyak 552,701 dos suntikan vaksin dilaporkan diberikan di seluruh negara setakat semalam.

    Ini sekali gus menjadikan pelaksanaan vaksin di seluruh negara merekodkan pemberian vaksin harian melebihi 500,000 dos buat hari ketiga berturut-turut.

    Menurut Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba menerusi perkongsian infografik data pemberian vaksin dalam laman Twitternya, daripada jumlah itu, seramai 353,771 individu menerima dos pertama dan 198,930 lagi melengkapkan dos kedua.

    Jumlah pemberian vaksin Covid-19 harian tertinggi menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) yang dilaksanakan sejak 24 Februari lalu adalah pada Selasa dengan 553,871 dos suntikan, manakala Isnin mencatatkan 521,923 dos.

    Sementara itu, Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV) melalui laman Twitter memaklumkan secara kumulatifnya, sebanyak 18,946,048 dos vaksin sudah diberikan kepada penduduk di negara ini setakat semalam.

    Ia meliputi 12,841,212 orang untuk dos pertama dan 6,104,836 bagi dos kedua.

    Operasi lonjakan kapasiti di Lembah Klang pula merekodkan 239,874 dos diberikan secara keseluruhan, pada Rabu.