Author: Admin

  • Kanak-kanak didera guna penyangkut baju, penyapu dan pencucuh api

    Kanak-kanak didera guna penyangkut baju, penyapu dan pencucuh api

    DIPUKUL menggunakan penyangkut baju, kayu penyapu selain dicucuh pemetik api.

    Itu tindakan kejam pasangan suami isteri yang mencederakan anak angkatnya yang berusia empat tahun hanya kerana enggan makan nasi.

    Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd. Zaid Hassan, berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian terbabit dari seorang lelaki pada pukul 12.40 tengah malam tadi.

    “Kejadian dipercayai berlaku pada 18 Julai lalu di sebuah rumah di Taman Perumahan di Beranang. Mangsa adalah anak angkat kepada pasangan suami isteri dicederakan atau didera oleh pasangan berkenaan.

    “Siasatan awal mendapati kejadian disebabkan mangsa tidak suka makan nasi dan suspek memaksa mangsa untuk menelan nasi sehingga termuntah serta kanak-kanak ini dikatakan hyper-aktif,” katanya dalam kenyataan, hari ini, lapor Berita Harian.

    Mohd. Zaid berkata, mangsa adalah kanak-kanak perempuan berusia empat tahun dan anak kepada warga Indonesia.

    “Kelahiran mangsa tidak pernah didaftarkan dan tiada apa-apa dokumen pengenalan diri. Mangsa kemudian diserahkan kepada suspek untuk dijaga sejak April lalu kerana ibu kandungnya tidak mampu menjaganya.

    “Mangsa dibawa ke Hospital Kajang untuk rawatan, doktor mengesahkan mangsa mengalami kecederaan di beberapa bahagian badan,” katanya.

    Menurutnya, susulan laporan polis yang dibuat, pihaknya kemudian menahan pasangan suami isteri berusia 28 dan 30-an hari ini.

    “Kedua-dua suspek direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak kanak 2001.

    “Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian boleh menghubungi mana-mana balai polis terdekat atau menghubungi pegawai penyiasat kes Inspektor K Suresh ditalian 017-433 3795,” katanya.

    Terdahulu, tular video berdurasi 27 saat memaparkan seorang wanita memukul kanak-kanak menggunakan kayu penyapu.

    Kanak-kanak terbabit juga didapati mengalami lebam di bahagian badan.

  • Pemilik akaun TikTok dakwa polis terima suapan dicari

    Pemilik akaun TikTok dakwa polis terima suapan dicari

    POLIS sedang mengesan seorang pemilik akaun TikTok yang memuat naik klip video mendakwa sebuah kereta peronda polis disyaki mengambil suapan berhampiran sebuah stesen minyak di Lebuhraya Kuala Lumpur–Seremban, Kuala Lumpur, semalam.

    Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor berkata, usaha mengesan serta mengambil keterangan pemilik akaun TikTok berkenaan sedang dijalankan bagi membantu siasatan.

    Menurut beliau, keterangan pemilik akaun TikTok berkenaan penting supaya siasatan dapat dijalankan melibatkan video tersebut.

    “Pemilik akaun TikTok atau orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan tarikh dan masa kejadian serta nombor pendaftaran kereta peronda polis berkenaan diminta untuk tampil ke hadapan.

    “Sebarang maklumat boleh disalurkan ke Hotline Polis Brickfields di 03-2297 9222, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana balai polis yang berdekatan,” katanya menurut laporan Sinar Harian, hari ini.

  • Pegawai KPDNHEP rebah ketika perbarisan sifatkan layanan bapa saudara seperti bapa sendiri

    Pegawai KPDNHEP rebah ketika perbarisan sifatkan layanan bapa saudara seperti bapa sendiri

    ANGGOTA penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) yang rebah ketika perbarisan Hari Penguat Kuasa semalam hingga kejadian itu tular, mengesahkan dia tidak sihat pada hari kejadian.

    Nik Mohamad Adhar, 22, berkata memberitahu, dia mengalami demam sejak tiga hari lalu.

    “Pagi tadi pun saya masih demam,” kata anggota penguat kuasa KPDNHEP yang bertugas di Tawau, Sabah ini, menurut Astro Awani yang memetik laporan Sinar Harian.

    Pemuda yang berasal dari Tumpat, Kelantan ini turut menjelaskan insan yang mengangkat dan memeluknya di tengah-tengah padang kawad itu merupakan bapa saudaranya, Abdul Aziz Ya’acob, 60, yang mesra dipanggilnya ‘abah’.

    “Abah, bapa saudara saya. Emak kandung saya meninggal dunia ketika saya berusia tiga bulan, manakala ayah pula meninggal sewaktu saya berumur tujuh tahun,” katanya lagi.

    Nik Mohamad Adhar dijaga oleh Abdul Aziz dan ibu saudara, Rosmawati Ismail, 53, yang dipanggilnya ’emak’ sejak usia tiga bulan.

    Menurutnya, meskipun berstatus anak saudara, layanan Abdul Aziz tidak pernah berbeza dengan enam anaknya yang lain.

    “Dari kecil sampai sekarang, layanannya sama seperti anak sendiri,” katanya lagi.

    Menceritakan peristiwa rebah itu, dia berkata itu bukan kali pertama insiden berkenaan berlaku.

    “Sebenarnya semasa abah datang melulu tu, itu kali kedua saya rebah. Kali pertama saya masih boleh bangun dan kedua, abah datang,” kata Nik Mohamad Adhar.

    Detik Nik Mohamad Adhar diangkat dan dipeluk selepas rebah ketika acara kawad sempat dirakam jurugambar dan dimuat naik dalam Facebook oleh Menteri KPDNHEP, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

    Menyifatkan gambar-gambar tersebut memaparkan kasih sayang seorang bapa yang tidak berbelah bahagi, Alexander berkata, beliau tidak mampu menahan air mata melihat apa yang berlaku di depan matanya.

    “Ketika terkujurnya anak tatkala berkawad, kerana menahan terik mentari, berlari si ayah menerpa dari arah khemah tetamu.

    “Sehingga terlucut selipar yang disarung, namun tidak diendahkan, asalkan beliau berada di sisi anak dalam sekelip mata,” katanya.

  • Bekas Ahli Parlimen Batu Pahat meninggal dunia

    Bekas Ahli Parlimen Batu Pahat meninggal dunia

    BEKAS Ahli Parlimen Batu Pahat, Datuk Mohd. Idris Jusi dilaporkan meninggal dunia semalam.

    Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan berita pemergian Mohd. Jusi
    melalui perkongsian dalam Facebook miliknya lewat malam tadi.

    Anwar dalam hantarannya semalam turut menyatakan rasa duka dan mengucapkan takziah di atas pemergian Allahyarham.

    “Menerima khabar duka, sahabat lama saya yang juga mantan Ahli Parlimen Batu Pahat dan pimpinan Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Datuk Mohd. Idris Jusi telah meninggal dunia.

    “Saya utuskan salam takziah kepada keluarga. Semoga mereka tabah menempuh dugaan ini.

    “Moga roh Allahyarham ditempatkan dalam kalangan orang beriman dan beramal soleh,” katanya seperti dilaporkan Astro Awani.

    Dalam kemas kini menerusi Facebook lewat malam tadi, Anwar dilihat bersama ahli keluarga Allahyarham menantikan persiapan jenazah.

    “Bersama keluarga Allahyarham Datuk Mohd. Idris Jusi tatkala menunggu jenazah diuruskan sebelum di bawa ke Kepong untuk dikebumikan,” tulis Anwar.

    Allahyarham yang juga calon PKR sebelum ini pernah bertanding di kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 dan menewaskan Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi.

  • 11 anggota polis di Perak positif dadah

    11 anggota polis di Perak positif dadah

    UJIAN awal saringan air kencing yang dijalankan secara rambang terhadap 11 anggota polis kelmarin mendapati positif dadah.

    Menurut Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid, menerusi ujian itu telah mengesan seramai sembilan daripadanya positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamine.

    “Sementara dua lagi positif dadah jenis Tetra Hydrocannibol (THC). Seramai 31 anggota dari ibu pejabat polis daerah (IPD) pertama diambil urin secara rambang dan sembilan orang daripadanya didapati positif dadah.

    “Seramai 25 sorang lagi anggota dari IPD kedua diambil urin secara rambang dan dua orang daripadanya didapati positif dadah,” katanya memetik laporan Harian Metro, hari ini.

    Terdahulu beliau melancarkan Kempen Anti Scam Polis Diraja Malaysia (PDRM) ‘Awie Tour’ 2022 Peringkat Kontinjen Perak di Aeon Kinta City, di Ipoh.

    Mengulas lanjut, Mior Faridalathrash berkata, mereka terdiri dari lans koperal hingga koperal yang berusia antara 35 hingga 51 tahun.

    “Kesemua tangkapan sudah disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 kerana memasukkan dadah ke dalam badan.

    “Hanya seorang daripada anggota yang ditangkap pernah ditangkap di bawah Sek 15(1)(a) ADB 1952,” katanya.

    Beliau berkata, bagaimanapun ia adalah ujian saringan awal terhadap anggota berkenaan.

    “Selepas kita hantar urin ini untuk ujian patalogi dan jika mereka disahkan masih lagi positif dengan dadah tertentu, kita bercadang untuk tuduh di mahkamah,” katanya.

  • Kerajaan tiada rancangan potong elaun menteri, pegawai atasan

    Kerajaan tiada rancangan potong elaun menteri, pegawai atasan

    KERAJAAN tidak mempunyai perancangan untuk memotong elaun menteri Kabinet dan pegawai atasan kerajaan ketika ini.

    Memetik laporan BH, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, perkara itu tidak dibangkitkan sebagai langkah menjimatkan perbelanjaan kerajaan.

    “Itu (pemotongan elaun) tak berbangkit setakat ini,” katanya selepas pelancaran Gemilang, sebuah konsortium majikan yang menghubungkan pencari kerja dengan bakal majikan diterajui Google, di Kuala Lumpur hari ini.

    Berhubung sama ada pengumuman penjimatan bakal memberi kesan domino sehingga mengganggu proses pemulihan ekonomi pasca COVID-19, Mustapa berkata apa yang dilakukan oleh kerajaan tidak sepatutnya timbul kegusaran kerana ia merangkumi sejumlah projek membabitkan kos tidak besar.

    Sehubungan itu, katanya segala kebimbangan berhubung pengumuman penjimatan oleh kerajaan adalah tidak berasas.

    “Setakat ini, cuma 30 daripada lebih 7,000 projek membabitkan RM100 juta sahaja peruntukan pembangunan daripada RM75 bilion. Angka ini kecil.

    “Jadi ini tidak harus membimbangkan. Projek yang sudah bermula, sudah ada reka bentuk dan sudah diiklankan tak ada masalah. Justeru, kerisauan yang timbul ini ialah tidak berasas.

    “Urusan mengurus perlu diutamakan. Ini baru perancangan sebelum dimuktamadkan dan libat urus sedang berjalan antara EPU (Unit Perancang Ekonomi), MOF (Kementerian Kewangan dan KSU (Ketua Setiausaha),” jelasnya.

    Walaupun kerajaan sudah mengumumkan langkah penjimatan seperti yang terkandung dalam pekeliling, Mustapa berkata kerajaan kekal mengambil langkah berwaspada supaya ia tidak mengganggu pelan pemulihan ekonomi negara.

    Beliau menegaskan pendekatan sebegitu penting ketika negara sedang dalam proses pemulihan ekonomi.

    “Kita harus menumpukan kepada pembangunan yang penting yang akan tetap diteruskan (oleh kerajaan). Insya-Allah ekonomi negara semakin pulih dan kita tak boleh rencatkan permulaan ini.

    “Yang penting penjimatan sudah pun digariskan dalam surat pekeliling bertarikh 14 Julai lalu membabitkan peruntukan mengurus untuk sepanjang tahun ini.

    “Isu utama, kerajaan perlu membelanja jumlah wang yang besar bagi menampung subsidi. Walaupun ekonomi negara terus berkembang, kita akan berhati-hati dalam melaksanakan surat pekeliling ini,” katanya.

    Baru-baru ini, MOF meminta semua kementerian, jabatan, agensi, Badan Berkanun Persekutuan dan Syarikat Terhad Dengan Jaminan (CLBG) untuk melaksanakan penjimatan dalam bagi menentukan semua perbelanjaan adalah selaras dengan prinsip serta peraturan pengurusan kewangan ditetapkan.

    Menerusi arahan terkandung dalam Garis Panduan Penjimatan Perbelanjaan Awam yang dikeluarkan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Seri Asri Hamidon pada 14 Julai 2022.

    Mengikut garis panduan itu, setiap kementerian, agensi dan jabatan terbabit perlu menyusun semula peruntukan dan mencadangkan penjimatan mengurus sehingga mencapai sasaran sekurang-kurangnya lima peratus daripada baki peruntukan mengurus pada tahun ini.

    Garis panduan itu juga menetapkan pelaksanaan program yang diluluskan juga hendaklah ditampung daripada peruntukan sedia ada, kecuali membabitkan kes tertentu membabitkan implikasi kos besar dan ia dianggap kritikal oleh Kabinet.

  • Bekas pengarah syarikat didakwa 64 pertuduhan babit kerugian RM10.56 juta

    Bekas pengarah syarikat didakwa 64 pertuduhan babit kerugian RM10.56 juta

    SEORANG bekas pengarah syarikat mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ipoh, hari ini, atas 64 pertuduhan menyalahgunakan, memalsukan dan menggunakan cek bank palsu berjumlah RM10.56 juta.

    Bekas pengarah dan pemegang saham Syarikat Amani Cergas Berhad, Ooi Yee Ling, 46, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Ainul Shahrin Mohamad.

    Harian Metro melaporikan, Yee Ling didakwa atas dua pertuduhan pertuduhan menyalahgunakan harta milik Chan Chee Seng iaitu dua keping cek RHB Bank Berhad berjumlah RM790,000 untuk kepentingan peribadi.

    Bagi perbuatan ini tertuduh didakwa mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun dengan sebat, dan boleh dihukum denda, jika sabit kesalahan.

    Wanita itu turut didakwa atas 31 pertuduhan memalsukan cek RHB Bank Berhad daripada akaun RHB Chan untuk dibayar di atas nama tertuduh dan beberapa pihak lain.

    Bagi perbuatan ini tertuduh didakwa mengikut Seksyen 467 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara 20 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

    Selain itu tertuduh didakwa atas 31 pertuduhan dengan curang menggunakan cek RHB Bank Berhad daripada akaun milik Chee Seng untuk dibayar atas namanya dan beberapa pihak lain di beberapa lokasi bank dalam daerah Kinta.

    Bagi perbuatan tersebut, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

    Kesemua kesalahan itu dilakukan tertuduh antara 17 November 2017 dan 8 Februari 2018 di beberapa bank dan premis Syarikat Amani Cergas Berhad di Ipoh.

    Di dalam mahkamah sama, Yee Ling turut didakwa bersama-sama dengan perunding syarikat Yee Yat Kai, 64, atas empat pertuduhan memalsukan dokumen di bawah Seksyen 467 dan 471/467 Kanun Keseksaan.

    Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Faten Hadni Khairuddin, manakala tertuduh diwakili peguam KenZaly Goik.

    Pihak pendakwaan menawarkan jaminan RM600,000 terhadap Yee Ling dan RM200,000 terhadap Yat Kai bagaimanapun KenZaly memohon jumlah jaminan dikurangkan.

    KenZaly berkata perniagaan Ooi terjejas ketika pandemik dan dia tidak mempunyai pendapatan tetap selain Yat Kai yang juga seorang ejen insurans, juga tidak mempunyai pendapatan tetap serta mengidap penyakit darah tinggi dan kolesterol.

    Mahkamah membenarkan ikat jamin RM60,000 untuk Yee Ling dan RM20,000 untuk Yee serta menetapkan 19 Ogos depan untuk sebutan semula kes.

  • Menyamar wanita perdaya lelaki sertai pelaburan Bitcoin palsu

    Menyamar wanita perdaya lelaki sertai pelaburan Bitcoin palsu

    POLIS mengesan taktik satu sindiket yang menyamar sebagai wanita dalam media sosial untuk memujuk mangsa terutama lelaki menyertai pelaburan Bitcoin dalam talian yang tidak wujud.

    Taktik itu digunakan satu sindiket penipuan pelaburan tersebut yang menjadikan seunit kondominium di Batu 9 Cheras, di Kajang sebagai pusat panggilan, sejak tiga bulan lalu.

    Bagaimanapun kkegiatan sindiket itu tumpas selepas pihak polis dibantu Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya menyerbu premis tersebut, 8 malam tadi.

    Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd. Zaid Hassan berkata, dalam serbuan itu, pihaknya menahan lima lelaki tempatan berusia antara 23 hingga 32 tahun.

    “Kita turut merampas lima komputer riba serta 16 telefon bimbit pelbagai jenama, disyaki digunakan untuk melakukan aktiviti penipuan.

    “Semua suspek didapati menyamar sebagai wanita di media sosial untuk menarik perhatian, sebelum mangsa dipujuk agar menyertai pelaburan Bitcoin dalam talian yang tidak wujud, menerusi platform Veltratrading.net.

    “Siasatan mendapati, sindiket menyasarkan mangsa lelaki tempatan dan dipercayai sudah beroperasi selama tiga bulan,” katanya dalam kenyataan, hari ini, lapor Harian Metro.

    Mohd Zaid berkata, semua suspek direman selama dua hari sehingga esok untuk siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

    “Orang ramai yang menjadi mangsa penipuan sindiket ini dinasihatkan tampil membuat laporan di balai polis berhampiran atau menghubungi pegawai penyiasat kes, Inspektor Tanaseelan di talian 012-4416412,” katanya.

    Beliau turut menasihati semua pihak agar lebih berwaspada dengan sebarang pelaburan dalam talian yang berisiko palsu serta sering melakukan semakan dengan pihak berkuasa atau menerusi aplikasi semak mule mahupun melalui portal https://ccid.rmp.gov.my/semakmule/ untuk urusan membabitkan akaun bank dan nombor telefon.

  • Peniaga langgar polis didakwa enam pertuduhan

    Peniaga langgar polis didakwa enam pertuduhan

    Oleh BADLISHAH MAT

    SEORANG lelaki yang melanggar anggota polis Unit Rondaan Bermotosikal (URB) dengan kenderaan pacuan empat roda sehingga parah tidak mengaku bersalah terhadap enam pertuduhan dihadapinya di Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Majistret di Kulim, hari ini.

    Tertuduh, Chua Kai Choon, 46, yang juga peniaga kuih di pasar pagi membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Mirza Mohamad dan Majistret Noor Fazlina Musa.

    Mengikut pertuduhan pertama di Mahkamah Sesyen, dia didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas Koperal Muhamad Khairul Syafiq Ahmad, 31, dengan cara melanggar mangsa menggunakan kenderaan jenis Nissan Frontier yang mana ia boleh menyebabkan kematian.

    Kejadian didakwa berlaku berdekatan bangunan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Jalan Kulim-Serdang di sini kira-kira pukul 9.15 pagi, 16 Julai lalu. Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun.

    Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, S. Pavithra, manakala tertuduh diwakili peguam Chong Seng Meng dan Tengku Hezrul Anuar Tengku Abdul Samad.

    Mahkamah tidak menawarkan sebarang jaminan dengan mengambil kira beberapa faktor termasuk tidak memenuhi kriteria antaranya usia, jantina serta kesihatan tertuduh sebelum menetapkan 16 Ogos depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

    Sementara itu, di Mahkamah Majistret, tertuduh mengaku tidak bersalah terhadap lima pertuduhan berasingan, masing-masing tiga kes mengikut Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987, menghalang tugas penjawat awam dan kes dadah.

    Bagi pertuduhan pertama di bawah APJ 1987, tertuduh pada 16 Julai pukul 9.15 pagi di Jalan Kulim-Serdang berhampiran pejabat LHDN didakwa mengikut Seksyen 44(1A) APJ 1987 kerana memandu di bawah pengaruh dadah dan minuman memabukkan sehingga menyebabkan kecederaan parah mangsa.

    Bagi pertuduhan kedua, tertuduh pada tarikh, waktu dan lokasi yang sama didakwa mengikut Seksyen 42(1) kerana memandu secara melulu dan berbahaya kepada diri sendiri dan pengguna jalan raya yang lain.

    Mengikut pertuduhan ketiga pula, dia didakwa mengikut Seksyen 6(1) kerana mengubahsuai struktur serta peralatan pada kenderaannya juga pada tarikh, waktu dan lokasi yang sama.

    Bagi ketiga-tiga pertuduhan itu, Noor Fazlina menetapkan jaminan berjumlah RM5,000 dengan seorang penjamin.

    Bagi pertuduhan menghalang penjawat awam, tertuduh didakwa dengan sengaja melakukan kesalahan terhadap Koperal Muhamad Syafiq, manakala mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, dia didakwa memasukkan dadah dalam tubuhnya di tandas Balai Polis Kulim pada pukul 3.05 petang, 16 Julai.

    Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin masing-masing RM2,500 dan RM2,000 dengan seorang penjamin.

    Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, S. Arthini manakala tertuduh diwakili peguam yang sama.

    Kejadian berkenaan dikatakan berlaku ketika anggota polis terbabit bertindak mengejar suspek yang mengelak ketika pemeriksaan. Pemeriksaan mendapati kenderaan tersebut diubah suai dengan tangki minyak tambahan diletakkan di bahagian belakang kenderaan.

  • 10,000kg ketam sejuk beku dari Indonesia dirampas

    10,000kg ketam sejuk beku dari Indonesia dirampas

    JABATAN Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) merampas 10,000 kilogram (kg) ketam sejuk beku dari Indonesia di Pelabuhan Barat, Pelabuhan Klang pada pukul 4.10 petang Isnin lalu.

    Menurut Maqis Selangor, keseluruhan rampasan tersebut melibatkan 10,000 kg itu bernilai RM46,000.

    “Pemeriksaan mendapati kontena yang membawa ketam sejuk beku itu tidak mempunyai sebarang permit import sah yang dikeluarkan oleh Maqis.

    “Maqis telah menyita kontena tersebut untuk siasatan di bawah Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728),” katanya dalam kenyataan hari ini, lapor Sinar Harian.

    Beliau berkata, jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya sekali.

    Pihaknya akan sentiasa memastikan tindakan penguatkuasaaan undang-undang terus diperluaskan di semua pintu masuk negara.

    “Ini bagi memantau dan memeriksa setiap keluaran pertanian yang diimport ke negara ini bebas ancaman perosak, penyakit dan bahan cemar serta mematuhi syarat dan peraturan yang ditetapkan,” ujarnya.