SEORANG remaja lelaki ditemukan lemas selepas mandi-manda bersama lima rakan di sebuah kolam di Bandar Baru, Kuala Nerus, petang semalam.
Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Nerus, Azmi Omar, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 5.59 petang sebelum sebuah jentera bersama 11 anggota termasuk pegawai digerakkan ke lokasi kejadian.
Beliau berkata, mangsa, Muhammad Akif Danish Abdul Aziz, 13, ditemui pada pukul 5.50 petang di kedudukan dua meter dari lokasi terakhir dilihat, lapor Astro Awani.
Katanya, mangsa dijumpai di dasar kolam oleh anggota yang menjalankan selaman.
Bagaimanapun jelasnya, Muhammad Akif Danish telah disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan dan mayatnya diserahkan kepada pihak polis untuk dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk tindakan lanjut.
DATUK Seri Najib Tun Razak telah memberhentikan dengan serta- merta Tetuan Shafee & Co daripada bertindak sebagai peguam yang mewakilinya dalam rayuan-rayuan jenayah membabitkan penyelewengan RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd di Mahkamah Persekutuan.
Perkara itu dimaklumkan melalui surat yang dialamatkan kepada Timbalan Pendaftar Mahkamah Persekutuan hari ini, yang diperoleh pihak media.
Menurut surat yang ditandatangani peguam utama Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, memaklumkan bahawa pihaknya menerima sesalinan surat berhubung perkara itu daripada bekas perdana menteri itu, semalam (25 Julai) pukul 5 petang.
Katanya menerusi surat yang sama, Najib telah memaklumkan bahawa beliau telah melantik Tetuan Zaid Ibrahim Suffian TH Liew & Partners (ZIST) sebagai peguam cara baharu.
“Sehubungan dengan itu, pihak kami sedang berusaha melengkapkan proses penyerahan dokumen secara fizikal dan digital kepada ZIST yang dijangka dapat diselesaikan selewat-lewatnya hari ini.
“Untuk makluman mahkamah, salinan digital bagi kesemua rekod rayuan kertas kausa bagi permohonan untuk mengemukakan keterangan tambahan, dan kertas kausa bagi meminda notis usul telahpun diserahkan kepada ZIST pada 5 Julai lepas dan mereka juga telah dimaklumkan mengenai tarikh-tarikh yang berkaitan dengan rayuan-rayuan ini,” kata Muhammad Shafee dalam surat itu.
Tetuan Shafee & Co mewakili Najib dalam kes SRC sejak Ahli Parlimen Pekan itu dituduh di mahkamah pada 4 Julai 2018.
Pada Mei lepas, Mahkamah Persekutuan menetapkan 10 hari mulai 15 Ogos untuk mendengar rayuan akhir Najib bagi mengetepikan sabitan dan hukuman penjara dalam kes penyelewengan RM42 juta dana SRC International.
Pada 8 Dis 2021, Mahkamah Rayuan mengekalkan sabitan Najib dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta yang dijatuhkan ke atas Najib kerana menyeleweng RM42 juta dana SRC International.
Hakim Datuk Abdul Karim Abdul Jalil, yang bersidang bersama-sama Datuk Has Zanah Mehat dan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera, menolak rayuan Najib terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada 28 Julai 2020.
Mahkamah Persekutuan merupakan jalan terakhir bagi Ahli Parlimen Pekan itu untuk mengemukakan rayuan bagi mengetepikan sabitan dan hukuman penjara dalam kes penyelewengan dana SRC International.
KEPUTUSAN kes Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh, Paul Yong Choo Kiong sama ada didapati bersalah atau dibebaskan atas tuduhan merogol pembantu rumahnya seorang warga Indonesia, diketahui esok.
Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Abdul Wahab Mohamed dijadualkan menyampaikan keputusan pada akhir kes pembelaan pada pukul 10 pagi.
Jika sabit kesalahan, Paul Yong boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan, menurut Astro Awani yang memetik laporan Sinar Harian.
Pada 31 Mac lalu, pasukan pembelaan diketuai Datuk Rajpal Singh bersama Salim Bashir menutup kes dengan memanggil tiga saksi termasuk Paul Yong dan isteri, Too Choon Looi, 46, serta saksi terakhir yang merupakan bapa saudara mangsa, Muhammad Rusdi, 51.
Mahkamah Tinggi Ipoh sebelum ini menetapkan 29 Jun sebagai tarikh keputusan sama ada bekas Exco Kerajaan Negeri Perak itu didapati bersalah atau dibebaskan atas tuduhan berkenaan.
Tarikh itu ditunda ke 27 Julai berikutan kematian ibu kepada Paul Yong.
Paul Yong pada 7 Disember lalu telah diperintahkan membela diri terhadap tuduhan merogol selepas pihak pendakwaan berjaya menimbulkan prima facie terhadap pertuduhan berkenaan.
Sepanjang prosiding tersebut, pendakwaan dikendalikan Pengarah Pendakwaan Negeri Perak, Azlina Rasdi dibantu dua Timbalan Pendakwa Raya, Liyana Zawani Mohd. Radzi dan Mohd. Fitri.
Pada 23 Ogos 2019, Paul Yong ketika itu Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baharu negeri didakwa merogol seorang wanita di dalam sebuah bilik di tingkat atas sebuah rumah di Meru Desa Park, Bandar Meru Raya.
Perbuatan tersebut didakwa dilakukan antara pukul 8.15 hingga 9.15 malam, 7 Julai 2019.
Pertuduhan terhadap beliau dilakukan mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan.
Kes itu sebelum ini disebut di Mahkamah Sesyen, namun pada 15 Disember 2020, Mahkamah Persekutuan membenarkan permohonan pembelaan supaya ia dipindahkan ke Mahkamah Tinggi untuk perbicaraan.
TUNANG kepada Muhammad Iman Aqmar Dzulkarnain tidak sangka mimpinya bertemu dan bercakap dengan Allahyarham yang memberitahu akan ‘pulang’ hari ini menjadi ‘kenyataan.’
Bagaimanapun kata Nurfaizah Mahadi, 25, tunangnya itu pulang dalam keadaan yang berbeza dan tidak menyangka itu merupakan petanda jasadnya yang hilang ditemukan serta disemadikan hari ini.
“Saya sudah dua kali bermimpi bertemu dan satu lagi bercakap dengan Allahyarham pada awal tahun ini dalam tempoh kira-kira 10 bulan Allahyarham menghilangkan diri.
“Saya tidak ingat tarikh kedua-dua mimpi itu tetapi dalam mimpi pertama, saya hanya sempat bertanyakan ke mana dia pergi tetapi dibalas dengan senyuman arwah.
“Dia senyum tunjuk ke satu arah dan hilang, sebelum saya terjaga dari tidur,” katanya ketika ditemui pemberita selepas pengkebumian Muhammad Iman Aqmar di Tanah Perkuburan Islam Kampung Pasir Putih di Pasir Gudang, pukul 1 pagi tadi.
Nurfaizah Mahadi ketika ditemui pemberita selepas pengkebumian Muhammad Iman Aqmar di Tanah Perkuburan Islam Kampung Pasir Putih, Pasir Gudang, awal pagi ini
Kisah kehilangan Muhammad Iman Aqmar, 25, pernah tular dalam media sosial pada tahun lalu selepas Adik Allahyarham, Nurul Izz Anisah, 21, meminta bantuan orang ramai berkenaan kehilangan abangnya itu.
Lelaki itu bergerak dari Pasir Gudang pada jam 1.30 pagi, 29 Oktober tahun lalu ke Terengganu dengan memandu kenderaan pelbagai guna (MPV) Nissan Grand Livina.
Bagaimanapun, dia selepas itu gagal dihubungi keluarga, majikan dan Nurfaizah.
Berkenaan mimpi keduanya, Nurfaizah yang bekerja sebagai kerani berkata, dia ‘berjaya’ menghubungi Allahyarham menerusi telefon bimbitnya.
“Saya bertanya dalam mimpi itu, awak di mana? semua orang mencari awak. Arwah cakap saya ada sini dalam 26 hari bulan (Selasa) nanti saya balik la. Saya bersyukur Iman ditemui,” katanya.
Dia melahirkan rasa syukur kerana jawapan kepada persoalan hampir 10 bulan di mana tunangnya pergi telah terjawab kerana sebelum ini sering risau keadaan Allahyarham sejak kehilangannya 29 Oktober lalu.
“Selama hampir 10 bulan kami menunggu jawapannya, sekarang sudah terjawab di mana dia berada.
Ada kuburnya, Saya rasa bersyukur sangat kerana ini jawapan yang saya tunggu, selama 10 bulan ini saya selalu fikir dia di mana. Dia makan ke atau tidak?,” katanya.
Allahyarham Muhammad Iman Aqmar dan Nurfaizah sepatutnya melangsungkan pernikahan ketika ulang tahun kelahiran tunangnya itu pada Disember lalu namun hajat mereka tidak kesampaian.
Perkahwinan mereka sepatutnya diadakan pada Ogos tahun lalu, namun ditangguhkan pada Disember lalu kerana Ayah Norfaizah meninggal dunia.
Hampir 100 orang hadir upacara pengkebumian Allahyarham Muhammad Iman Aqmar di Tanah Perkuburan Islam Kampung Pasir Putih, Pasir Gudang, pada awal pagi tadi
Sementara itu, ibu kepada Allahyarham, Azmawati Ab Kadir, 55, lega dan tenang selepas jasad anaknya itu dapat disemadikan seperti orang lain sekali gus menamatkan persoalan dan penantian keluarganya.
Dia menyatakan rasa syukur tanpa henti kerana jasad Allahyarham dapat dikuburkan termasuk semua proses berjalan lancar dan mereka juga sekeluarga reda dengan apa yang berlaku.
“Alhamdulillah, reda….saya rasa lega, kepala rasa ringan, saya tahu dia ke mana, Sang Pencipta telah ambil. Sudah selesai Ya Allah, terima kasih Ya Allah, 24 tahun Allah pinjamkan dia untuk saya.
“Ya Allah syukur alhamdulillah, dia (arwah) anak yang terbaik untuk saya. Semua sudah selesai perjalanan ini,” katanya.
Azmawati berkata, dalam tempoh hampir 10 bulan kehilangannya, setiap masa dia teringat kepada arwah.
Dia sering tertanya-tanya dan terfikir di manakah anaknya pergi ketika itu kerana tiada khabar berita diterima dalam tempoh tersebut.
“Tempoh yang lama, tetapi sekarang hati saya lapang sangat, sebelum ini beban kerana terfikir-fikir mana anak aku?.
“Kalau hujan macam sekarang ini, saya akan fikir abang di mana ye?. Sekarang ini saya sudah tahu dia ada di sini, Sang Pencipta dia sudah ambil, saya reda,” katanya.
ALLAHYARHAM Muhammad Iman Aqmar Dzulkarnain yang ditemukan selepas hilang kira-kira 10 bulan lalu selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Pasir Putih, Pasir Gudang pada pukul 1 pagi tadi.
Hujan lebat selama 20 minit melanda selepas jasad Allahyarham disemadikan dan hampir 100 ahli keluarga, saudara, rakan, kenalan dan penduduk hadir memberikan penghormatan terakhir kepadanya.
Terdahulu jenazah dibedah siasat di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan dan kemudian dibawa ke masjid berkenaan pada jam 2.30 petang untuk dimandikan.
Seterusnya jenazah dikafan dan disembahyangkan di masjid yang sama sebelum dibawa pulang ke tanah perkuburan itu pada pukul 12.25 tengah malam tadi untuk dikebumikan.
Kisah kehilangan Muhammad Iman Aqmar, 25, pernah tular dalam media sosial pada tahun lalu selepas Adik Allahyarham, Nurul Izz Anisah, 21, meminta bantuan orang ramai berkenaan kehilangan abangnya itu.
Lelaki itu bergerak dari Pasir Gudang pada jam 1.30 pagi, 29 Oktober tahun lalu ke Terengganu dengan memandu kenderaan pelbagai guna (MPV) Nissan Grand Livina.
Bagaimanapun, dia selepas itu gagal dihubungi keluarga, majikan dan tunangnya, Nurfaizah Mahadi, 25 tahun.
Pada Sabtu, polis dilaporkan menemukan satu rangka manusia dalam sebuah kereta yang ditarik keluar dari Sungai Api-Api sebelum dikenal pasti sebagai Allahyarham yang hilang sejak hampir 10 bulan lalu.
Ketua Polis Daerah Pekan, Superintendan Mohd Zaidi Mat Zin dilaporkan berkata, mayat ditemukan dalam kenderaan Nissan Grand Livina yang dijumpai seorang lelaki warga emas ketika dia mengalihkan besi dari jalan ke tepi sungai berkenaan pada 11.40 pagi.
Kenderaan itu mempunyai kerosakan pada bahagian hadapan, kiri dan kanan, selain pemeriksaan di dalamnya menemukan mayat diselaputi lumpur serta pas pekerja yang didaftarkan atas nama Muhammad Iman Aqmar.
Siasatan awal polis terhadap nombor pendaftaran kenderaan mendapatinya dikaitkan dengan laporan kehilangan Allahyarham yang dibuat ahli keluarganya di Pasir Gudang.
Rangka mayat itu kemudian dilaporkan dihantar ke HTAA untuk bedah siasat manakala kenderaan ditarik ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pekan bagi siasatan lanjut.
DATUK Seri Dr Edmund Santhara Kumar mahu meletak jawatan sebagai Ketua Sayap Bersekutu Bersatu kerana mahu memberi tumpuan terhadap kawasan Parlimen Segamat menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Memetik laporan FMT, Naib Ketua sayap berkenaan, Dr Chong Fatt Full berkata, perkara itu pernah dimaklumkan sendiri oleh Santhara kepadanya.
“Apa yang saya dimaklumkan bahawa beliau (Santhara) nak fokus kepada kawasan Segamat, beliau Ahli Parlimen di sana dan sekarang PRU sudah nak dekat, jadi beliau nak lebih masa kepada kawasan.
“Beliau pemimpin hebat, cara beliau menerajui sayap bersekutu Bersatu sangat baik dan beliau banyak berjasa sehingga tubuhkan sayap bersekutu, tentunya beliau ada alasan sendiri nak letak jawatan, nak fokus kawasan itu satu perkara mustahak,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Perikatan Nasional (PN) hari ini.
Fatt Full juga menolak dakwaan kononnya Santhara akan keluar Bersatu dan menyifatkan ia sebagai tuduhan tidak benar.
“Dia hanya nak letak jawatan ketua sayap bersekutu Bersatu sahaja, tidak keluar parti,” katanya.
Mengulas dakwaan bahawa Santhara akan menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM), Chong berkata sepanjang penjelasan diberikan, Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Kebudayaan itu tidak menyatakan hasrat akan menyertai parti lain.
“Tapi apa-apa pengesahan tentang perkara itu baik tanya YB Santhara sendiri,” katanya.
Fatt Full yang juga juga bekas ADUN Pemanis memaklumkan pucuk pimpinan Bersatu, yang diketuai Presiden parti, Tan Sri Muhyiddin Yassin masih lagi belum membuat keputusan sama ada menerima atau menolak hasrat Santhara meletakkan jawatan.
“Perjumpaan Presiden dengan YB Santhara masih berjalan sejak jam 2.30 petang tadi. Saya boleh maklumkan buat masa ini pucuk pimpinan dan sayap Bersekutu masih lagi kukuh termasuk di peringkat negeri dan akar umbi, di mana keahlian kita sudah melebihi 50,000 seluruh negara,” katanya sambil menolak tuduhan kononnya sayap bersekutu Bersatu tiada masa depan.
POLIS sedang memburu seorang lelaki yang melakukan samun di sebuah gerai makan di Jalan Arung Tampoi, Johor Bahru selepas video kejadian itu tular dalam media sosial.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Rupiah Abd Wahid berkata, kejadian pada kira-kira pukul 6 petang Khamis lalu itu telah dirakam oleh orang awam.
Menurutnya, semasa kejadian mangsa, seorang wanita berusia 18 tahun sedang berseorangan membantu menguruskan gerai makan kerana ibunya sedang berehat.
“Suspek seorang lelaki dipercayai warga tempatan berpura-pura ingin membeli makanan di gerai mangsa namun telah melarikan wang jualan milik mangsa.
“Suspek telah melarikan diri bersama dua lagi rakannya dengan menaiki sebuah kereta Perodua Axia yang dipercayai menggunakan nombor pendaftaran palsu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, ketika kejadian orang awam membantu mangsa dengan mengejar suspek namun tidak berjaya menahannya.
Akibat kejadian itu katanya, mangsa mengalami kerugian wang tunai sebanyak RM300.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes ini boleh salurkan maklumat ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Utara di talian 07-5563122.
POLIS akan melakukan siasatan terperinci berhubung satu kenyataan yang didakwa menghina agama dan nabi dalam satu hantaran tular dalam Facebook sejak kelmarin.
Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, siasatan di bawah Akta 506 dan Akta Hasutan 1948 boleh dijalankan sekiranya terdapat kesalahan seperti dinyatakan.
“Setakat ini kita belum terima laporan secara rasmi lagi, tetapi saya akan semak sama ada laporan itu ada dibuat di negeri lain.
“Kesalahan dilakukan akan disiasat sama ada di bawah Akta 506, atau jika sampai menghina agama, siasatan boleh dibuat di bawah Akta Hasutan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui dalam Program High Profile Policing (HPP) di Pulau Pangkor di Lumut, hari ini.
Sinar Harian melaporkan, hantaran berkenaan dipercayai dilakukan seorang lelaki berwatakan wanita dari Sitiawan.
Hantaran itu turut menarik perhatian warganet yang meminta pihak berkuasa menyiasat dan mengambil tindakan sewajarnya ke atas individu berkenaan.
DAKWAAN seorang penganalisis politik bahawa parti Bersatu sedang menuju ‘kematian’ adalah satu analisis berat sebelah yang sarat agenda peribadi.
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Dr. Muhammad Faiz Naaman berkata, bagaimanapun beliau tidak terkejut dengan analisis berkenaan lebih-lebih lagi penganalisis politik terbabit diketahui seorang ahli UMNO yang pernah cuba bertanding bagi jawatan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) parti berkenaan pada 2013.
“Ini bermakna, analisis yang diberikan oleh individu yang kononnya penganalisis politik ini tidak boleh disifatkan neutral malah berkepentingan politik. Mungkin beliau jenis ahli UMNO yang tidak gemar kepada penyatuan sesama parti yang berasaskan parti Melayu.
“Menerusi kritikan beliau terhadap Bersatu kita sudah boleh nampak analisis yang berat sebelah,” katanya ketika dihubungi SatuBerita hari ini.
Beliau berkata demikian mengulas kenyataan penganalisis politik Prof. Datuk Dr. Mohd. Zainul Fithri Othman dalam artikel bertajuk ‘Kematian’ Bersatu sudah terserlah’.
Foto FB umnobahagiangombak
Muhammad Faiz berkata, kenyataan Zainul Fithri sangat jelas seorang ahli UMNO yang bertopengkan penganalisis politik.
“Memang jelas ia satu tindakan yang tidak profesional. Dia sepatutnya lebih runsing dengan keadaan parti sendiri, penuh konflik dalaman serta dengan keputusan RoS yang masih belum diketahui berhubung pemilihan parti,” ujarnya.
Mengulas dakwaan Zainul Fithri bahawa Bersatu parti pengkhianat, Muhammad Faiz berkata, Zainul Fithri terperangkap dalam permainan istilah oleh musuh Bersatu.
“Dia kata dia penganalisis tetapi gagal melihat makna lebih besar disebalik penarikan dari Bersatu bersama Pakatan Harapan (PH), di mana keputusan itu banyak menyelamatkan nasib Melayu Islam yang ditindas sepanjang pentadbiran PH.
“Mungkin Zainul Fithri lupa pemimpin parti dia juga pengkhianat kerana senyap-senyap mengadakan kerjasama dengan Anwar Ibrahin sehingga membelakangkan keputusan Perhimpunan Agung parti itu. Bukan ini satu tindakan khianat,” ujarnya.
Membidas dakwaan mengatakan Bersatu semakin berpecah, Muhammad Faiz berkata, itu pandangan yang tidak menyemak fakta.
“Isu Edmund Santhara Kumar keluar Bersatu diputarbelit fakta. Malah tuan badan sendiri sudah menafikan perkara itu.
“Dikatakan ahli Bersatu nak sertai UMNO kembali, juga dakwaan tanpa bukti.
“Untuk sesebuah parti yang mempunyai sokongan yang signifikan, yang mempunyai watak-watak yang kuat, ia tidak semudah itu jatuh,” ulasnya lagi.
Mengulas dakwaan Bersatu menumpang populariti Pas, Muhammad Faiz berkata, Zainul Fithri perlu melihat kembali jumlah undi yang diperoleh calon Pas di bawah Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di Melaka dan Johor.
“Pas tidak pernah popular di Johor dan Melaka. Namun, apabila bersama PN, ada peningkatan. Dalam erti kata lain Bersatu dan Pas memberi nilai tambah kepada satu sama lain,” katanya.
Tambahnya, membandingkan kekuatan jentera Pas dan Bersatu juga tidak adil kerana Pas sudah lama wujud.
BERANG dituduh menggoda isteri orang, seorang lelaki bertindak menumbuk suami kepada sepupunya.
Dalam kejadian pada pukul 6 petang di Tanah Merah, Kelantan, semalam, mangsa yang berusia 35 tahun mengalami bengkak pada pipi kanan, lapor Berita Harian.
Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata sebelum kejadian, mangsa pergi ke stesen teksi di bandar untuk berjumpa dengan suspek sebelum berlaku perselisihan faham.
“Perselisihan faham itu berpunca daripada tuduhan kepada suspek yang dikatakan menggoda isteri mangsa, namun suspek tidak mengaku berbuat demikian.
“Suspek bagaimanapun mengaku rapat dengan isteri mangsa disebabkan hubungan sepupu antara suspek dengan wanita terbabit,” katanya.
Muhamad Zaki berkata, suspek yang berusia 42 tahun hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tanah Merah untuk diambil keterangan untuk bagi siasatan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan (KK).