Author: Admin

  • Indonesia tahan dua rakyat Malaysia, disyaki pengintip

    Indonesia tahan dua rakyat Malaysia, disyaki pengintip

    PIHAK berkuasa Indonesia menahan dua rakyat Malaysia dan seorang warga China kerana disyaki mengintip di kawasan Nunukan, utara Kalimantan republik itu.

    Memetik laporan portal The Star, ketiga-tiga mereka disyaki sedang meninjau lokasi untuk membina jambatan menghubungkan Tawau ke Pulau Sebatik yang terbahagi dua antara Indonesia dan Malaysia.

    Portal yang memetik laporan media Indonesia itu memaklumkan, ketiga-tiga lelaki tersebut ditahan bersama tiga warga Indonesia selepas didapati memiliki gambar sensitif pangkalan tentera laut di pulau kongsi berkenaan.

    Antara rakyat Malaysia yang ditahan dikenal pasti sebagai seorang jurutera manakala warga China itu dilaporkan memasuki Nunukan menggunakan visa pelancong dan melintasi sempadan pada 20 Julai lalu.

    Sementara itu, seorang daripada warga Indonesia yang ditahan dilaporkan mempunyai dua dokumen pengenalan diri iaitu pasport Indonesia dan kad pengenalan Malaysia.

    Dalam pada itu, menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh pegawai imigresen Nunukan, Saut Dompak pada 22 Julai lalu, keenam-enam lelaki yang ditahan itu didakwa sedang mengkaji kemungkinan membina jambatan dari Sebatik ke Tawau.

    Saut dilaporkan berkata, bantuan daripada pejabat konsul jeneral Malaysia di Kota Pontianak (Kalimatan) telah diminta untuk mengesahkan kesahihan kad pengenalan Malaysia.

    Katanya, siasatan awal menunjukkan warga Indonesia yang mempunyai dua dokumen pengenalan diri itu telah menjemput warga China dan Malaysia yang terlibat untuk melihat kawasan kemungkinan bagi membina jambatan berkenaan pada 20 Julai lalu.

    Bagaimanapun hasil siasatan pegawai tentera laut Indonesia menemui gambar kawasan sensitif pos sempadan dan ibu pejabat marin di Sebatik sebelum menyerahkan kesemua lelaki terbabit kepada pegawai imigresen di Nunukan untuk siasatan lanjut pada 21 Julai.

    Kesemua lelaki terbabit ditahan selama 30 hari di Pusat Tahanan Imigresen di Nunukan dan akan menghadapi pertuduhan kerana melanggar permit visa pelancong mengikut undang-undang imigresen republik itu kerana mereka sepatutnya masuk menggunakan visa perniagaan untuk tujuan yang dinyatakan.

    Sementara itu, Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah enggan mengulas mengenai dua rakyat Malaysia yang ditahan pihak imigresen di sempadan Indonesia-Malaysia kerana disyaki menjadi pengintip.

    Sebaliknya, Ahli Parlimen Indera Mahkota itu berkata, menteri lain akan menjawab mengenai isu terbabit.

    “Yang ini biar menteri lain jawab,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

  • Jururawat ditahan selepas bayinya mati dengan kesan kecederaan

    Jururawat ditahan selepas bayinya mati dengan kesan kecederaan

    SEORANG bayi lelaki berusia lapan bulan meninggal dunia dengan kesan kecederaan di badan dalam kejadian di Sungai Siput, semalam.

    Menurut Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid, pihaknya menerima maklumat berkenaan pada pukul 7.10 pagi.

    “Mangsa yang tidak sedarkan diri menghembuskan nafas terakhir ketika dalam perjalanan ke Hospital Sungai Siput.

    “Susulan itu ibu kandung mangsa berusia 30 tahun yang bekerja sebagai jururawat ditahan bagi membantu siasatan lanjut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

    “Mangsa adalah anak tunggal dan tinggal bersama ibunya yang sudah bercerai sejak enam bulan lalu,” katanya ketika ditemui sempena lawatan kerja Ketua Polis Perak ke Pulau Pangkor, di Pangkor, hari ini.

    Katanya, proses bedah siasat yang dilakukan di Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh mendapati terdapat kesan kecederaan pada beberapa bahagian badan mangsa akibat objek tumpul.

    “Ibu mangsa direman selama tujuh hari sehingga Isnin depan dan kita akan menjalankan siasatan lanjut jika ada individu lain terbabit dalam kes ini,” katanya sebagaimana dilaporkan Harian Metro.

  • Mayat warga asing ditemukan berbungkus permaidani

    Mayat warga asing ditemukan berbungkus permaidani

    MAYAT lelaki yang ditemukan berbungkus dengan permaidani dan diikat dengan tali berdekatan kolam air panas di Gua Musang-Lojing di Gua Musang, kelmarin dipercayai warga asing.

    Ketua Polis Daerah Gua Musang Superintendan Sik Choon Foo berkata, ini berdasarkan hasil bedah siasat yang dijalankan selama tiga jam mendapati tiada tanda suntikan imunisasi BCG (Bacillus Calmette Guerin) ditemukan pada mayat berkenaan.

    “Mangsa dipercayai mati di tempat lain sebelum mayatnya ditinggalkan di lokasi mayatnya ditemui. Setakat ini kita belum mengetahui usia mangsa.

    “Mangsa dipercayai meninggal dunia lebih daripada 36 jam kerana sudah reput dan berulat.

    “Mangsa ditemui memakai baju biru lengan panjang dan kain sarung serta terdapat tatu burung pada lengan kanan,” katanya memetik laporan Harian Metro, hari ini.

    Beliau berkata, hasil bedah siasat juga menunjukkan tiada sebarang kecederaan dan perbuatan jenayah dikesan pada mayat mangsa.

    Lokasi mayat dijumpai katanya, adalah kawasan jauh dari kawasan kejiranan dan setakat ini tiada dokumen pengenalan diri ditemui bersama mangsa dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).

    Kata beliau, mayat ditemui seorang lelaki yang kemudiannya menghubungi Balai Polis Lojing pukul 8.30 malam kelmarin.

    Terdahulu, tular rakaman video berdurasi 29 saat di aplikasi Tik Tok mengenai penemuan mayat dalam keadaan berbungkus dan dipercayai sudah berulat berdekatan kolam air panas laluan Gua Musang-Lojing.

  • Dua sahabat didakwa bunuh lelaki Pakistan

    Dua sahabat didakwa bunuh lelaki Pakistan

    DUA lelaki tempatan dihadapkan ke Mahkamah Majistret di Petaling Jaya hari ini atas pertuduhan membunuh seorang lelaki warga Pakistan, dua minggu lalu.

    Tertuduh, S. Kumara Rao, 56, dan R. Remesh, 45, mengangguk faham selepas pertuduhan dibaca di hadapan Majistret Nurshahira Abdul Salim.

    Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh kerana kes itu berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi, lapor Sinar Harian.

    Mengikut pertuduhan, mereka didakwa membunuh Qadir Muhamad, 35, di sebuah unit kondominium di Kelana Jaya pada pukul 8.48 malam, 11 Julai lalu.

    Atas pertuduhan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati, jika sabit kesalahan.

    Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Norfarhanim Abdul Halim manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

    Tiada ikat jamin diberikan dan mahkamah kemudian menetapkan 26 Ogos depan untuk sebutan semula kes.

    Pada 13 Julai lalu, media melaporkan, polis menemui mayat seorang lelaki warga asing, dipercayai terjatuh dari tingkat 17 sebuah kondominium di Kelana Jaya, Petaling Jaya.

    Polis kemudian mengklasifikasikan kes itu sebagai kes bunuh.

    Dua suspek lelaki berusia 40-an ditahan reman bagi membantu siasatan kes itu.

    Pada 18 Julai, media melaporkan polis mengesahkan mangsa dan kedua-dua suspek berkenalan menerusi aplikasi media sosial untuk golongan gay.

    Polis dalam kenyataan berkata, mangsa dipercayai sudah beberapa kali datang bertemu kedua-dua suspek di lokasi kejadian yang juga merupakan rumah suspek.

  • Najib lantik Hisyam Teh Poh Teik peguam baharu untuk kes SRC

    Najib lantik Hisyam Teh Poh Teik peguam baharu untuk kes SRC

    DATUK Seri Najib Razak melantik Hisyam Teh Poh Teik sebagai peguam utama bagi mewakilinya dalam rayuan akhir kes penyelewengan dana SRC International Sdn. Bhd. yang akan didengar pada Ogos depan.

    Perkara itu disahkan Firma guaman Tetuan Zaid Ibrahim Suffian TH Liew & Partners (ZIST) yang baru dilantik bekas Perdana Menteri itu dalam suratnya dialamatkan kepada Pejabat Timbalan Pendaftar Mahkamah Persekutuan, memaklumkan Najib melantik Hisyam sebagai peguam utama dan Liew Teck Huat serta Rueben Mathiaravanam, sebagai peguam bersama.

    Surat berkenaan turut menyatakan barisan peguam diketuai Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah tidak lagi mewakili Najib dalam kes rayuan akhir berkenaan.

    “Dalam hal ini, kami dengan penuh hormatnya memohon supaya mahkamah merekodkan penukaran peguamcara dan kaunsel (peguam), sepertimana yang dinyatakan.

    “Selaras dengan penukaran ini, kami juga memohon mahkamah untuk menetapkan satu tarikh sebutan dan tarikh pengurusan baharu dengan segera mengikut keselesaan mahkamah, bagi membolehkan kaunsel mengemuka maklumat terkini dan mendapatkan arahan selanjutnya daripada mahkamah.

    “Oleh kerana pengurusan kes ditetapkan pada 29 Julai ini rayuan pada 15 hingga 26 Ogos ini, kami berharap bahawa perkara ini boleh diuruskan dengan kadar segera bagi membolehkan pihak mendapatkan arahan yang diperlukan daripada mahkamah,” kata surat itu, memetik laporan Berita Harian, hari ini.

    Pada 8 Disember tahun lalu, Mahkamah Rayuan mengekalkan sabitan salah serta hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta yang dikenakan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur ke atas Najib, selepas didapati bersalah atas tujuh pertuduhan membabitkan penyelewengan dana SRC International.

    Hisyam ialah peguam Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang berdepan 47 pertuduhan membabitkan 12 pertuduhan pecah amanah, lapan tuduhan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah jutaan ringgit milik Yayasan Akalbudi.

  • Polis tahan pemandu lori ugut, acu pisau

    Polis tahan pemandu lori ugut, acu pisau

    POLIS hari ini menahan seorang pemandu lori yang mengacu pisau terhadap pemandu lori lain di Jalan Parang, Bandar Sultan Suleiman.

    Lelaki berusia lingkungan 40-an itu ditahan pukul 12.25 tengah malam di Klang.

    Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S. Vijaya Rao berkata, penahanan itu susulan laporan polis dibuat seorang pemandu lori berusia 30-an pada pukul 5.15 petang semalam, mendakwa lori dipandunya telah dipintas dan ditahan suspek yang memandu sebuah lori.

    “Suspek dikatakan telah turun dari lori dengan membawa sebilah pisau dan terus mengugut mangsa dengan kata-kata ‘u tak kenal lagi siapa aku, kau tunggu aku cari kau’.

    “Siasatan awal mendapati motif kejadian lebih kepada buli jalan raya,” katanya dalam kenyataan hari ini, lapo Sinar Harian.

    Beliau berkata, suspek mempunyai satu rekod lampau berkaitan curi motosikal namun ujian air kencing mendapati suspek negatif dadah.

    Katanya, suspek kini direman selama tiga hari untuk siasatan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah.

    hari ini tular satu video berdurasi 31 saat memaparkan tindakan seorang lelaki mengacukan senjata dipercayai pisau terhadap pemandu lori.

  • Wanita dituduh curi Milo bebas selepas individu murah hati bayar ikat jamin

    Wanita dituduh curi Milo bebas selepas individu murah hati bayar ikat jamin

    SEORANG wanita, Suhaini Mohd. yang menunggu untuk dibicarakan semula kerana dituduh mencuri dua paket Milo bernilai RM74 diikat jamin atas kemurahan hati seorang individu.

    Peguam Suhaini, Naran Singh berkata, individu itu membayar ikat jamin RM3,000 semalam di Mahkamah Majistret Marang supaya ibu beranak empat itu dapat dibebaskan daripada penjara Pengkalan Chepa dekat Kota Bharu.

    “Dia dibebaskan petang semalam dan dapat bersatu semula dengan keluarganya,” kata peguam itu lapor FMT.

    Pada 5 Julai, Mahkamah Majistret Marang menjatuhkan hukuman penjara 14 bulan selepas Suhaini, 43, mengaku bersalah atas tuduhan mencuri.

    Bagaimanapun, pada 19 Julai, hakim Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu Hassan Abdul Ghani memerintahkan perbicaraan semula dijalankan selepas beliau mengetepikan sabitan dan hukuman penjara ke atas Suhaini.

    Hakim tersebut, yang memanggil kes itu atas kehendaknya sendiri selepas ia menarik perhatian umum, bersetuju dengan Naran bahawa prosedur perbicaraan adil tidak dipatuhi apabila Suhaini mengaku bersalah.

    Suhaini ketika itu diwakili peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan.

    Dia kemudian dihadapkan di hadapan majistret Engku Nurul Ain Engku Muda, selepas prosiding Mahkamah Tinggi, dan didakwa sekali lagi melakukan kesalahan itu di sebuah pasar raya di Marang pada 25 Mei.

    Kali ini, dia meminta dibicarakan dan dibenarkan diikat jamin RM3,000.

    Suhaini dibawa semula ke penjara Pengkalan Chepa memandangkan prosiding berlangsung hingga lewat petang dan kes ditetapkan untuk sebutan pada 6 Sept.

    Kejadian curi itu dirakam kamera keselamatan pasar raya terbabit dan pemiliknya mengekori Suhaini sebelum cuba menahannya.

    Dalam keadaan tergesa-gesa untuk melarikan diri, Suhaini meninggalkan motosikalnya di stesen bas Marang.

    Suhaini ditahan di rumahnya di Kampung Baru Kuala Abang, Dungun, selepas pihak berkuasa mengesannya menggunakan nombor pendaftaran motosikal itu.

    Kesnya menarik perhatian ramai termasuk bekas menteri kesihatan Dzulkefly Ahmad yang menggesa Jabatan Peguam Negara untuk menunjukkan belas kasihan.

  • Pesakit mental parah dibelasah rakan meninggal dunia

    Pesakit mental parah dibelasah rakan meninggal dunia

    Oleh BADLISHAH MAT

    PESAKIT mental yang sebelum ini cedera parah dipercayai akibat dipukul dan dipijak dua rakan sebiliknya di sebuah pusat penjagaan mental di Sungai Petani pada 11 Julai lalu telah meninggal dunia awal pagi semalam.

    Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, mangsa yang merupakan lelaki berusia 49 tahun itu disahkan meninggal dunia pada pukul 4.02 pagi di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), di Sungai Petani.

    Beliau berkata, sejak dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) selama 15 hari lalu, mangsa berada dalam keadaan koma.

    “Awal pagi semalam mangsa dilaporkan meninggal dunia dan laporan perubatan mendapati lelaki itu mengalami kecederaan parah di bahagian pinggul selain tulang tapak kaki kanannya yang patah,” katanya, hari ini.

    Zaidy berkata, kes terbabit yang sebelum ini disiasat mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan akan dipinda ke Seksyen 302 kanun sama kerana membunuh.

    “Kita masih menjalankan siasatan lanjut berkaitan kes ini dan suspek dijangka ditahan dalam masa terdekat untuk membantu siasatan,” katanya.

    Dalam kejadian pada pukul 12.40 tengah hari itu, mangsa didapati tidak sedarkan diri akibat cedera parah dibelasah dua rakan sebiliknya yang berumur 33 dan 21 tahun.

    Siasatan awal polis mendapati, kejadian itu berpunca daripada tindakan mangsa yang sengaja memijak dua penghuni terbabit semasa mereka sedang tidur di atas lantai salah sebuah asrama di situ.

    Kedua-dua penghuni itu yang berang kemudiannya dikatakan membalas perbuatan mangsa dengan memukul dan memijaknya kembali menyebabkan dia mengalami kecederaan.

    Sementara itu, mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar untuk proses bedah siasat.

  • Siasat ketirisan bayaran sewa Jonker Walk:KM Melaka

    Siasat ketirisan bayaran sewa Jonker Walk:KM Melaka

    KETUA Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali mengarahkan Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) membuat semakan sama ada wujud ketirisan membabitkan bayaran yuran peniaga di Jonker Walk di Bandar Raya Melaka.

    Menurut beliau, terdapat dakwaan bayarannya lebih RM30,000 sebulan atau sebaliknya, lapor Sinar Harian.

    “Perbincangan serta pembentangan laporan berkenaan perlu dilakukan bersama pihak berkaitan membabitkan MBMB, Jawatankuasa Jonker Walk, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan Melaka, Datuk Muhammad Jailani Khamis dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Laksamana, Low Chee Leong.

    “Untuk menjawab soalan berlaku ketirisan atau tidak, saya minta MBMB termasuk Kota Laksamana lihat benarkah ia melebihi RM30,000 sebulan.

    “Dalam dewan ini saya arahkan MBMB jumpa dengan Kota Laksamana dan pihak Jonker Walk duduk bersama untuk lihat perkara ini,” katanya.

    Sulaiman berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Laksamana, Low Chee Leong pada Persidangan Ketiga, Penggal Pertama, Dewan Undangan Negeri Melaka Yang Ke-15 di Seri Negeri, Ayer Keroh, hari ini.

    Beliau bingkas bangun mencelah selepas Chee Leong masih tidak berpuas hati dan mempersoalkan usaha dilakukan Jawatankuasa Jonker Street dalam mencegah kejadian kebakaran di lokasi pelancongan itu hingga mengorbankan nyawa penyewa baru-baru ini.

    Terdahulu, Muhammad Jailani (BN-Rembia) menjawab soalan itu dan memaklumkan beliau telah melihat audit daripada jawatankuasa berkenaan dan terdapat beberapa kos tersembunyi yang perlu ditanggung mereka menyebabkan keadaan dewan gamat seketika.

  • Banduan maut:Polis rakam keterangan 12 individu

    Banduan maut:Polis rakam keterangan 12 individu

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SERAMAI 12 individu sudah dirakam percakapan mereka bagi membantu siasatan susulan kematian banduan Penjara Kluang pada 28 Jun lalu.

    Menurut Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat, mereka yang dipanggil polis itu terdiri daripada ahli keluarga, banduan dalam sel sama dengan mangsa dan empat kakitangan penjara terbabit.

    “Seramai 12 orang saksi telah kita panggil untuk rakam percakapan. Mereka ini adalah tiga orang ahli keluarga, ‘cell mate’ mangsa seramai lima orang dan empat orang kakitangan penjara.

    “Keterangan mereka dirakam bagi membolehkan kita menjuruskan sebarang unsur yang menjadi sebab kematian mangsa,” katanya dalam sidang akhbar selepas Perhimpunan Bulanan Polis Kontinjen Johor di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, Johor Bahru, hari ini.

    Pada 28 Jun lalu, Kim Shih Keat, 36, dijadualkan dibebaskan dari Penjara Kluang pada 28 Jun lalu, selepas menjalani hukuman penjara tujuh hari dan denda sebanyak RM15,000 kerana didapati bersalah memandu dalam keadaan mabuk oleh Mahkamah Sesyen Johor Bahru pada 22 Jun lalu.

    Difahamkan, pada hari dibebaskan, mangsa terlebih dahulu dikejarkan ke hospital selepas didapati pengsan sebelum disahkan meninggal dunia.

    Kamarul Zaman berkata, pihaknya belum dapat menyimpulkan punca kematian mangsa memandangkan masih menunggu laporan penuh bedah siasat.

    “Bedah siasat sudah dijalankan, tetapi, buat masa ini, kita tidak boleh menyimpulkan lagi punca kematian kerana ada beberapa perkara di pihak makmal hospital yang tidak dapat keputusan lagi.

    “Kita akan maklumkan apabila semua laporan dan keputusan ini diperolehi. Kita tidak dapat jangka bila (laporan siap), tetapi kita sudah meminta pegawai penyiasat sentiasa berhubung dengan pihak hospital bagi menyegerakannya kerana kita juga tidak mahu siasatan kes ini berlanjutan lebih lama,” katanya.