Author: Admin

  • Berhati-hati mereka yang masih guna gelaran palsu, kata Wan Junaidi

    Berhati-hati mereka yang masih guna gelaran palsu, kata Wan Junaidi

    KERAJAAN terutama pihak penguat kuasa tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan mengikut undang-undang yang sedia ada terhadap mereka yang masih menyalahgunakan gelaran palsu dan menjalankan aktiviti menipu.

    Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, pihak kerajaan sedang giat menguatkuasakan Akta 787 (Akta Kesalahan yang Berhubungan dengan Anugerah 2017).

    “Penguatkuasaan akta ini adalah bagi membendung penyalahgunaan gelaran dan darjah kebesaran yang tidak diiktiraf dan palsu.

    “Perlu diingatkan bahawa antara kesalahan di bawah Akta 787, pesalah boleh didenda sehingga maksimum RM500,000 dan juga hukuman penjara maksimum 20 tahun.

    “Saya berharap pihak penguat kuasa, terutamanya Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan lebih tegas dan menyeluruh bagi memastikan Akta 787 ini dapat dikuatkuasakan sepenuhnya di seluruh negara,” ujarnya pada Majlis Makan Malam dan Pelancaran Majlis Datuk Dato’ Malaysia (MDDM), di Shah Alam, malam tadi.

    Ucapan Wan Junaidi itu dibacakan oleh Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU), Jabatan Perdana Menteri, Datuk Abd Shukor Mahmood.

    Beliau mahu pihak media dan orang ramai juga memainkan peranan untuk mendedahkan kes-kes penyalahgunaan gelaran palsu.

    Menurut Wan Junaidi lagi, tindakan tegas ini juga penting bagi memelihara kedudukan dan kemurnian anugerah, gelaran dan darjah-darjah kebesaran yang dikurniakan oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja dan Tuan-Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri.

    “Inilah sebenarnya, intipati dan objektif utama Akta 787 ini dan pada pandangan saya, penubuhan MDDM adalah sangat bertepatan di kala pihak kerajaan sedang giat menguatkuasakan Akta 787 ini,” ujarnya.

    Beliau berharap, MDDM akan menjadi pertubuhan dan platform utama bagi mendaftar semua Datuk yang benar-benar diiktiraf dalam negara ini.

    “Saya gembira apabila dimaklumkan bahawa, MDDM akan melaksanakan proses saringan yang ketat bagi memastikan semua permohonan keahlian adalah betul-betul dari kalangan mereka yang menerima Darjah Kebesaran dan gelaran yang diiktiraf di negara kita,” kata beliau.

    Ini penting, katanya, kerana masyarakat umum dan pihak media terus menerus melahirkan kebimbangan terhadap kewujudan dan penggunaan gelaran Datuk yang tidak diiktiraf dan palsu.

    Bahkan tegas beliau, ada juga kes yang melibatkan penggunaan gelaran Tan Sri palsu.

    “Sesetengah mereka percaya dengan menggunakan gelaran tersebut akan dapat meyakinkan dan mengaburi mata orang ramai bahawa mereka ini mempunyai status dan kredibiliti tertentu di kalangan masyarakat.

    “Apa yang lebih membimbangkan adalah, mereka ini menyalahgunakan gelaran-gelaran ini untuk tujuan penipuan dan juga jenayah.

    “Begitu juga, masih ada pihak-pihak yang secara terang-terangan mengadakan majlis-majlis tertentu di mana mereka datang menghadiri majlis tersebut dengan mengenakan ‘Number 1 Dress’ atau ‘Mess Kit’ lengkap dengan pingat, selempang dan darjah kebesaran yang tidak diiktiraf dan palsu,” ujarnya lagi.

  • Konvensyen PN berlangsung 27 Ogos ini

    Konvensyen PN berlangsung 27 Ogos ini

    PERIKATAN Nasional (PN) bakal menganjurkan konvensyen gabungan tersebut pada 27 Ogos ini.

    Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, keputusan itu dipersetujui sebulat suara pada Mesyuarat Majlis Tertinggi PN yang diadakan pada malam tadi.

    “Mesyuarat pada malam tadi juga bersetuju untuk mengadakan Konvensyen PN pada 27 Ogos 2022 sempena sambutan ulang tahun kedua PN,” katanya menerusi satu hantaran di akaun Facebook rasmi beliau hari ini.

    Menurut beliau, mesyuarat berkenaan yang turut dihadiri presiden parti-parti komponen dan ahli Majlis Tertingginya, membincangkan persiapan penting bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

    “Saya telah melaporkan beberapa perkembangan terkini PN termasuk pelancaran PN Kelantan yang mendapat sambutan menggalakkan daripada rakyat di negeri Kelantan dan pelancaran PN Terengganu di Marang pada 30 Julai 2022,” ujarnya sebagaimana dilaporkan SatuBerita.

  • Wanita maut ketika jalani rawatan tradisional

    Wanita maut ketika jalani rawatan tradisional

    SEORANG wanita maut semasa menjalani rawatan secara tradisional di Pandan Perdana, di Ampang Jaya, semalam.

    Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, hasil siasatan awal mendapati mangsa dipercayai pergi ke rumah itu untuk mendapatkan rawatan tradisional sejak seminggu lalu.

    Beliau berkata, terdahulu polis menerima panggilan daripada seorang wanita pada pukul 6.35 petang memaklumkan bahawa anak perempuannya yang berusia 41 tahun meninggal dunia.

    “Mangsa kemudian ditemui dalam keadaan terbaring tidak sedarkan diri di ruang tamu rumah dan disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan yang hadir di tempat kejadian.

    “Siasatan di lokasi masih berjalan dan punca kejadian juga sedang disiasat,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Susulan itu, Mohamad Farouk berkata, polis menahan seorang wanita berusia 51 tahun yang bekerja sebagai pengamal perubatan tradisional, pukul 7.20 malam tadi.

    “Suspek akan ditahan reman di mahkamah Ampang Jaya, hari ini, bagi membantu siasatan kes mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, iaitu membunuh,” katanya memetik laporan Berita Harian.

    Difahamkan, mangsa mengalami serangan histeria sejak lapan tahun lalu, pernah mendapatkan rawatan pakar psikiatri di hospital, baru-baru ini.

  • 2 kanak-kanak maut tertimbus tanah runtuh

    2 kanak-kanak maut tertimbus tanah runtuh

    DUA kanak-kanak maut manakala dua lagi cedera dalam kejadian tanah runtuh di Jalan Bukit Nenas, Kota Kinabalu, malam tadi.

    Mangsa Isa Sabri, 2, dan Norain Jaziz, 11, disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth (HQE).

    Sementara Siti Nur, 28, patah tangan dan suaminya Sabri Botong, 28, cedera ringan di kaki menerima rawatan di hospital sama.

    Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Farhan Sufyan Borhan berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada pukul 8.26 malam.

    Katanya, pasukan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu membabitkan 10 anggota bersama BBP Lintas seramai 12 anggota dikejar ke lokasi kejadian yang terletak sejauh tujuh kilometer.

    “Kejadian membabitkan tanah runtuh yang menghempap sebuah rumah di bawah bukit yang didiami sembilan sekeluarga.

    “Lima penghuni sempat menyelamatkan diri tetapi empat lagi mangsa iaitu tiga termasuk dua beranak tertimbus dalam tanah dan pokok manakala seorang lagi cedera di bahagian kaki.

    “Kanak-kanak berusia dua tahun telah di hantar ke hospital sebelum pasukan bomba tiba di lokasi manakala dua mangsa perempuan dikeluarkan oleh pasukan bomba dengan bantuan orang awam kira-kira jam 9 malam,” katanya memetik laporan Sinar Harian, hari ini.

    Katanya lagi, anak kepada pasangan suami isteri terbabit bersama sepupu kanak-kanak berkenaan disahkan meninggal dunia di hospital.

    “Operasi kemudian ditamatkan pada jam 10 malam selepas kawasan dipastikan selamat,” katanya.

  • Myvi rempuh treler, 2 mangsa mati tersepit

    Myvi rempuh treler, 2 mangsa mati tersepit

    DUA maut dalam nahas membabitkan dua kenderaan di Kilometer 126 Lebuhraya Pantai Timur (LPT), di Temerloh, awal pagi ini.

    Mangsa, Tan Wee Li, 39 tahun, dan Nur Susilawati Che Deraman, 35 tahun, yang masing-masing beralamat di Cheras, Kuala Lumpur dan Sungai Lembing, Kuantan, maut dalam kemalangan pada pukul 2.47 pagi.

    Pegawai Perhubungan Awam, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, berdasarkan laporan, kemalangan tersebut melibatkan kereta jenis Perodua Myvi dan sebuah treler.

    Katanya, seramai enam anggota termasuk Pegawai Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Temerloh dihantar ke lokasi kemalangan.

    “Kedua-dua mangsa yang tersepit dalam kereta dikeluarkan oleh pasukan bomba menggunakan peralatan keselamatan.

    “Mayat diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya memetik laporan Astro Awani hari ini.

    Bagaimanapun, pemandu dan kelindan treler tidak mengalami sebarang kecederaan.

  • Perlukah Pas angkuh di Kedah?

    Perlukah Pas angkuh di Kedah?

    Oleh FUAD ABDUL RAHMAN

    APABILA Presiden Pas Abdul Hadi Awang menyatakan parti itu tidak mahu terus menumpang kuasa dengan parti dalam gabungan Perikatan Nasional (PN) iaitu Bersatu, ini bermakna Pas juga yakin untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti secara solo,  lebih kurang macam UMNO. Cepat sungguh Pas mahu meninggalkan Bersatu setelah gabungan dalam PN yang membolehkannya memerintah negeri Kedah.

    Perlu diingat yang memenangi negeri Kedah sebelum ini ialah Pakatan Harapan (PH) dan disebabkan Bersatu meninggalkan gabungan itu, Pas dapat memegang tampuk pemerintahan negeri.

    Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor sejak kebelakangan ini cuba melonjakkan kredibiliti Pas dalam mentadbir negeri jelapang padi itu.

    Dalam banyak situasi melalui isu-isu popular sama ada yang mempunyai elemen politik atau pentadbiran negeri, Sanusi meletakkan dirinya sebagai pemimpin berjiwa rakyat. Latar belakang hidup keluarga yang susah membantu menyerlahkan kepimpinannya yang membela rakyat. 

    Beliau sudah berjaya mengumpul markah hampir maksimum apabila mengambil sikap untuk tidak menuding jari kepada pemimpin terdahulu membabitkan isu Gunung Inas dan banjir lumpur di Kupang, Baling.

    Apabila beliau membentangkan bahawa kerajaannya dapat mengumpul rizab kewangan negeri kepada RM600 juta berbanding RM40 juta di zaman Mukhriz Mahathir, Sanusi menghantar mesej kepada Bersatu mereka boleh pergi bersendirian. Atau jika mahu gabungan ini terus hidup, Bersatu kena akur bahawa Pas yang akan “call the shot”.

    Realitinya jika Pas tidak berada dalam khemah PN, undi Melayu akan pecah lagi, kecuali mereka mengambil keputusan untuk hidupkan Muafakat Nasional (MN) untuk tentukan terus berkuasa di Kedah. Lebih teruk lagi jika strategi bersama MN memakan diri dengan memberi ruang kepada PKR untuk menang bersana rakan-rakannya dalam PH.

    Dalam keadaan politik sekarang tidak ada parti yang mampu bergerak bersendirian kecuali ada faktor-faktor yang boleh mempengaruhi trend pengudian itu sendiri seperti apa yang berlaku pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor.

    Sanusi jangan kerap dan terlalu memperagakan kejayaan Pas di Kedah sehingga rakyat meluat dan hilang rasa hormat kepada sikap kesederhanaannya sebelum ini. Kita faham strategi politiknya untuk memberitahu lawan Pas boleh mentadbir Kedah lebih baik berbanding dengan pimpinan kerajaan negeri sebelum ini.

    Jangan sampai ke tahap memperlekehkan orang lain di mata rakyat walaunpun ia laku di pentas-pentas ceramah politik.

    Walaupun dikritik keras oleh lawan politiknya, sama ada dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) atau di lapangan, kredibilitinya tidak tercalar pun. Tetapi Sanusi kena berhati-hati dengan momentum politik yang sarat dengan “good vibes” tetapi kecundang di medan perang akibat sabotaj dan maklum balas yang palsu.

    Dalam satu perbualan saya dengan kalangan ahli strategi Pas beberapa bulan lalu, mereka membawa idea bahawa parti Islam itu tidak mahu terus dilihat dalam kepompong yang sama.

    Mereka tidak mahu Pas dilihat berkokok di Kelantan dan Terengganu sahaja, tetapi Pas sepatutnya juga ada pengaruh di negeri lain dan bukan parti yang merancakkan PRU semata-mata.

    Jadi Pas Kelantan, Terengganu dan Kedah patut bersikap lebih terbuka kepada parti lain supaya ia menjadi perintis gabungan dengan kerajaan negeri lain, walaupun ia menjadi minoriti dalam pentadbiran.

    Pas dan kepimpinannya perlu selalu merujuk kepada tunjang perjuangan parti yang berlandaskan ajaran Islam dan jangan sekali-kali terlajak keluar daripada landasan itu. 

    *Fuad Abdul Rahman adalah wartawan veteran dan pernah berkhidmat dengan sebuah stesen televisyen swasta terkemuka. Artikel ini dipetik daripada portal MalaysiaNow.

    * Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis yang tidak semestinya mencerminkan pendirian WartaRakyat.

  • Pekerja maut dilanggar forklift

    Pekerja maut dilanggar forklift

    PEKERJA sebuah kilang besi di Bintulu maut selepas dilanggar forklift semasa bekerja pada pukul 6.30 pagi kelmarin.

    Pejabat Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Sarawak dalam kenyataan berkata, semasa kejadian, mangsa sedang menjalankan tugasan harian sebelum dilanggar forklift terbabit.

    “Semasa kejadian, mangsa dikatakan sedang dalam perjalanan menuju ke ‘billet casting’ sebelum dilanggar forklift dari arah belakang.

    “Insiden rempuhan turut menyebabkan mangsa terjatuh lalu badannya terperosok ke bawah trak angkat susun terbabit,” katanya memetik laporan Harian Metro, hari ini.

    Menurutnya, mangsa dihantar ke Pusat Perubatan Bintulu bagi diberikan rawatan lanjut tetapi disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan hospital berkenaan.

    Berikutan insiden terbabit, pegawai penyiasat dari JKKP Sarawak Cawangan Bintulu membuat siasatan di lokasi kejadian.

    “Operasi forklift dihentikan sementara menunggu siasatan lanjut dijalankan berhubung insiden yang meragut nyawa itu,” katanya.

    Kes disiasat mengikut Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 dan Akta Kilang dan jentera 1967.

  • Wartawan jadi ‘bidan terjun’ sambut kelahiran anak saudara

    Wartawan jadi ‘bidan terjun’ sambut kelahiran anak saudara

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEORANG wartawan daripada portal berita MalaysianGazzete berdepan detik cemas dan teruja membantu kakak iparnya melahirkan anak dalam kereta sebelum sempat memulakan perjalanan ke Hospital Sultan Ismail (HSI) di Johor Bahru, semalam.

    Ernalisa Othman, 36, berkata, kejadian itu berlaku pada jam 5.54 pagi semasa dia dan abangnya, Ezwan Othman, 42, bergegas mahu menghantar kakak iparnya, Nur Farahain Ali, 33, dari Taman Saujana, Plentong, Johor Bahru untuk bersalin di HSI.

    Menceritakan pengalaman pertama kalinya itu, dia berkata, semasa kejadian kakak iparnya sudah mula sakit kuat sebelum mereka mengambil keputusan menghantarnya ke HSI yang mengambil perjalanan kira-kira 30 minit.

    “Semasa kejadian cuma saya, kakak ipar dan abang berada di rumah manakala ibu kami berada di rumah saudara di Singapura. Saya melihat abang seperti kaku dan panik tidak tahu apa yang mahu dilakukan apabila kakak ipar semakin sakit dan menyatakan hampir nak bersalin.

    “Saya menghubungi talian kecemasan namun pegawai perubatan Hospital Sultan Ismail (HSI) menyatakan ambulans tiada dan perlu menunggu 45 minit,” katanya ketika ditemui hari ini.

    Dalam situasi cemas itu dia meminta abangnya membawa masuk kakak ipar ke dalam kereta untuk dibawa ke HSI ketika azan subuh berkumandang.

    “Bagaimanapun belum sempat kereta bergerak, kakak ipar semakin kuat sakit dan saya terpaksa memberanikan diri cuba menyambut kelahiran anak saudara. Saya sempat melakukan panggilan kepada pegawai perubatan HSI untuk panduan menyambut bayi,” ujarnya.

    Dia berjaya menyambut kelahiran bayi lelaki berkenaan yang merupakan anak kedua kepada pasangan tersebut dan pegawai perubatan kemudian terbabit memintanya mengambil tali kasut untuk mengikat tali pusat.

    “Selepas itu saya ambil kain batik, lap darah bayi dan bedung bayi yang masih bertali pusat. Saya cuma lakukan apa yang mampu dan cuba tenangkan fikiran, sekiranya saya panik, saya yakin ia lebih rumit. Alhamdulilah ibu dan anak kedua-duanya sihat,” katanya.

    Ernalisa berkata, anak saudara kelimanya itu dilahirkan dengan berat 2.56 kilogram sebenarkan diramalkan lahir pada 11 Ogos depan.

    “Saya yakin detik ini ada hikmahnya, saya sangat teruja dan terbayangkan besarnya pengorbanan seorang ibu dan kuasa tuhan. Anak saudara saya dinamakan sebagai Ean Esmael,” katanya yang menjadi wartawan sejak 2005.

    Dia sangat bersyukur dengan kelahiran anak saudaranya itu namun agak terkilan apabila pihak hospital memaklumkan tiada ambulans ketika waktu kecemasan dan diharap kekurangan ini dapat diatasi.

    “Ini adalah detik paling berharga memandangkan selalunya saya membuat liputan kejadian seumpama ini sebaliknya semalam saya sendiri menghadapinya apabila kakak ipar bersalin dalam kereta,” katanya.

  • Mengapa Hadi kata begitu?

    Mengapa Hadi kata begitu?

    Oleh BADLISHAH MAT

    KENYATAAN Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang bahawa parti itu mahu memerintah sendirian negeri Kedah tanpa kerajaan campuran boleh memberi isyarat tidak baik kepada Perikatan Nasional (PN).

    Meskipun tidak jelas apa yang dimaksudkan Abdul Hadi, namun ucapan ‘kalau boleh kita memerintah bersendirian di Kedah. Bukan kita menumpang kerajaan campuran. Orang tumpang kita, kita menguasai kerajaan, seboleh-bolehnya begitu’ telah ditafsir dengan pelbagai andaian.

    Jika beliau menyebut PN yang mahu mentadbir sendirian tanpa Barisan Nasional (BN), mungkin kenyataan itu agak jelas dan tidak akan menjadi pertikaian serta diambil kesempatan oleh musuh politik PN untuk mengkucar-kacirkan keadaan.

    Malah, Abdul Hadi dan Pas Kedah sendiri mungkin sedar bahawa kerajaan negeri Kedah kini bukan sahaja memiliki dua kerusi UMNO di pihak kerajaan, tetapi enam kerusi lagi yang disumbangkan oleh Bersatu.

    Sekiranya hanya bergantung 15 kerusi Pas daripada keseluruhan 36 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN), mustahil Pas boleh kembali menjadi kerajaan kali kedua di negeri itu.

    Ketika ini, musuh politik PN ibarat mendapat satu ‘kemenangan’ moral apabila Abdul Hadi bercakap perkara itu ketika menyampaikan amanat khas di Kompleks Pas Kedah di Kota Sarang Semut.

    Sehinggakan, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah, Datuk Seri Jamil Khir Baharom yang selama ini hilang entah ke mana pun tiba-tiba muncul membidas kenyataan Abdul Hadi itu.

    Maka, sewajarnya Pas atau Abdul Hadi sendiri perlu lebih berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan selepas ini kerana PN bukan hanya ada mereka tetapi Bersatu yang memberi impak besar kepada dunia politik tanah air.

    Suka diingatkan juga, politik Kedah bukan seperti di Kelantan atau Terengganu, rakyat negeri ini boleh tukar-tukar sahaja kerajaan negeri seperti yang diakui sendiri Timbalan Presiden UMNO bahawa Kedah sebagai ‘swing state’.

    Jika tidak berhati-hati sehingga membuka ruang kepada orang luar menyerang PN, sukar juga untuk Pas dan Bersatu mempertahankan Kedah. Sebaliknya kerjasama atau Ta’awun antara parti-parti dalam PN kena diperkukuh lagi.

  • JAS tak layan ‘Datuk’ minta lepaskan pengusaha tayar kitar semula

    JAS tak layan ‘Datuk’ minta lepaskan pengusaha tayar kitar semula

    CUBAAN seorang lelaki yang menggelar dirinya sebagai Datuk memujuk Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor supaya tidak mengambil tindakan terhadap pengusaha tayar kitar semula haram di Batu 13 Jalan Kluang di Kluang, gagal.

    Timbalan Pengarah JAS Johor, Mohd. Rashdan Topa berkata, pihaknya tidak melayan permintaan lelaki tersebut yang dibuat menerusi panggilan telefon.

    “Pihak JAS tetap menahan pengusaha tersebut yang berusia 70 tahun manakala premisnya disita selepas didapati beroperasi secara haram sejak sebulan lalu.

    “JAS menyita 300 tan tayar terpakai yang dilonggokkan di kebun kelapa sawit seluas kira-kira 0.8 hektar dan ia adalah sitaan terbesar bagi kes seumpamanya tahun ini.

    “Hasil siasatan mendapati pengusaha berkenaan memperoleh bekalan tayar terpakai dari serata negeri Johor,” memetik laporan Harian Metro hari ini.

    Katanya, tayar berkenaan dibakar sebelum dawainya diambil selain minyak yang terhasil dijual semula pada RM1 seliter.

    Minyak berkenaan digunakan sebagai bahan bakar bagi industri berat seperti perkapalan, katanya.

    “Pengusaha mendakwa dia membantu melupuskan tayar terpakai tetapi hakikatnya perbuatannya telah melanggar undang-undang mengikut Seksyen 37C Akta Kualiti Alam Sekitar 1974,” katanya.

    Beliau berkata, siasatan awal mendapati lelaki berkenaan adalah suspek sama yang pernah ditahan atas kesalahan sama sebelum ini di Paloh.

    “Pengusaha berkenaan juga didapati menggajikan seramai empat pendatang tanpa izin (PATI) warga Bangladesh, dua warga Pakistan, seorang warga India dan seorang warga tempatan.

    “Kita akan panjangkan kesalahan-kesalahan lain yang dibuat oleh pengusaha berkenaan kepada agensi dan jabatan berkaitan, termasuk Jabatan Imigresen, Pejabat Tanah Kluang, Majlis Perbandaran Kluang, Kementerian Kesihatan dan polis,” katanya.