Author: Admin

  • Polis siasat kes kanak-kanak autisme didera di pusat terapi

    Polis siasat kes kanak-kanak autisme didera di pusat terapi

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    KANAK-KANAK lelaki autisme yang didakwa ibunya didera seorang guru di pusat terapi di Skudai baru-baru ini sudah dirujuk ke Hospital Sultan Ismail (HSI) di Johor Bahru.

    Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Rupiah Abd. Wahid berkata, langkah tersebut bagi mendapatkan penilaian khusus oleh pakar kanak-kanak terhadap status kesihatannya.

    “Sebelum ini selepas mendapat aduan perkara tersebut kanak-kanak tersebut telah dirujuk di Hospital Kulai untuk mendapatkan rawatan dan pemeriksaan kesihatan,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

    Terdahulu pemilik akaun Facebook Cik Puan Zetty memuat naik hantaran berkenaan pengaduan polis oleh seorang ibu yang menyatakan anak lelaki autismenya didera di pusat berkenaan.

    Rupiah berkata, anggota di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Utara mengesan hantaran daripada Facebook berkenaan pada semalam.

    Pihaknya sudah memanggil semua pihak yang terlibat dalam kes dera tersebut untuk membantu siasatan sebelum kertas siasatan diserahkan kepada pihak pendakwaraya.

    “Di peringkat ini pihak polis akan mendapatkan laporan perubatan mangsa secara rasmi sebelum kertas siasatan dikemukakan kepada pihak timbalan pendakwaraya untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

    Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001, jika disabit kesalahan boleh dipenjara maksimum sehingga 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya sekali.

  • Skrin LED gergasi hempap penari ketika konsert Mirror

    Skrin LED gergasi hempap penari ketika konsert Mirror

    DUA penari cedera apabila skrin ‘light-emitting diode’ (LED) bersaiz besar digantung pada kerangka di siling pentas, jatuh, lalu menghempap mereka pada persembahan kumpulan Mirror di Hong Kong Coliseum di Hong Kong, malam tadi.

    Rakaman video yang tersebar memaparkan anggota band Cantopop itu, Anson Lo dan Edan Lui sedang beraksi dengan sekumpulan penari apabila skrin LED, tiba-tiba jatuh lalu menghempap dua penari.

    Mengikut rakaman video itu, skrin LED menghempap salah seorang penari lalu terkena kepala dan tubuhnya, sebelum melantun kepada seorang lagi penari. Penonton dilihat menjerit ketakutan melihat kejadian yang tidak disangka-sangka itu

    Menurut Satu Berita yang memetik laporan The Guardian.com, melalui rakaman video itu juga, semua penari dilihat membantu menyelamatkan dua mangsa terbabit.

    Persembahan di Hong Kong Coliseum itu adalah pertunjukan keempat daripada 12 siri konsert Mirror di bandaraya itu.

    Polis Hong Kong menerima laporan pada pukul 10.36 malam dan kedua-dua penari terbabit yang masih dalam keadaan sedar, dikejarkan ke Hospital Queen Elizabeth untuk diberi rawatan.

    Menurut polis, selain dua penari terbabit, tiga lagi penonton wanita dilaporkan cedera akibat kejadian itu.

    Seorang daripada mereka dihantar ke hospital sama manakala dua wanita lain, dilaporkan terkejut tetapi tidak memerlukan rawatan.

    Berikutan insiden itu, konsert berkenaan ditamatkan dan penonton diminta meninggalkan Hong Kong Coliseum.

    Sejurus insiden berlaku, peminat menggerakkan petisyen dalam talian menggesa penganjur konsert memastikan keselamatan anggota Mirror dan penari mereka.

    Peminat menggesa penganjur konsert mengelak daripada menggunakan ‘props’ atau platform yang dianggap tidak perlu demi keselamatan semua pihak.

    Setakat ini, petisyen berkenaan disokong lebih 13,000 peminat Mirror.

    Sementara itu, syarikat pengurusan Mirror, Viu, tidak membalas soalan yang dilayang melalui e-mel bagi mengulas insiden itu.

    Sebelum ini, melalui perkongsian video di media sosial, salah seorang anggota Mirror, Frankie Lui terjatuh di pentas ketika berucap di pentas, pada persembahan, Selasa lalu.

    Kumpulan Mirror yang dianggotai 12 jejaka, mencetuskan fenomena dengan revival genre muzik Cantopop di Hong Kong.

  • Tular buaya muncul lagi di perairan Port Dickson

    Tular buaya muncul lagi di perairan Port Dickson

    KELIBAT seekor buaya muncul lagi dan kelihatan berenang tidak jauh di perairan di bandar Port Dickson berhampiran Benteng Malam.

    Pengunjung Benteng Malam, Fauzi Ahmad, 46, berada tidak jauh dari Benteng Malam ketika terdengar seorang nelayan memberitahu ada buaya.

    “Memang saya pernah dengar wujudnya buaya air masin di kawasan Port Dickson tetapi ini kali pertama saya nampak buaya secara jelas sedang berenang di kawasan ini.

    “Buaya ini tidaklah besar tetapi rasanya ia sepanjang dua meter dan dipercayai sudah biasa dengan air masin. Pastinya kehadiran buaya ini membimbangkan nelayan serta pengunjung pantai,” katanya memetik laporan Harian Metro, hari ini.

    Dia berharap pihak berkuasa tempatan atau Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) dapat menangkap buaya itu segera.

    “Port Dickson adalah kawasan yang terkenal sebagai pantai peranginan yang disukai pengunjung dan pastinya kehadiran buaya di kawasan ini amat membimbangkan.

    “Kita berharap pihak berwajib dapat bertindak segera kerana bimbang kejadian yang tidak diingini berlaku yang membahayakan keselamatan orang ramai yang berkelah di sepanjang pantai ini dan juga nelayan di kawasan ini,” ujarnya.

    Fauzi berharap agar isu buaya berkeliaran di kawasan Pantai Port Dickson tidak diambil mudah pihak berwajib.

    Semalam, tular video seekor buaya sedang berenang sekitar pukul 5.30 petang semalam dan dimuat naik di Facebook (FB).

    Hantaran ini mendapat perhatian ramai warganet dan menimbulkan kebimbangan orang ramai kerana bimbang ada yang menjadi mangsa.

  • Dr Asyraf janganlah sombong!

    Dr Asyraf janganlah sombong!

    Oleh DR.AFIF BAHARDIN

    Perdana Menteri (PM) hari ini, berada di jawatan beliau kerana sokongan daripada parti terbesar Kerajaan pada hari ini iaitu parti Perikatan Nasional (PN). Ini adalah hakikat dan fakta yang harus diterima beliau sebagai Ketua Pemuda UMNO.

    Maka adalah tidak salah untuk Perikatan Nasional membangkitkan rasa kecewa mahupun keresahan atas apa jua persetujuan dan perjanjan yang telah dicapai oleh PM bersama pimpinan Perikatan Nasional.

    Sindirin Dr Asyraf Wajdi Dusuki seolah-olah agar Perikatan Nasional segera menarik sokongan adalah bukti betapa ketidakmatangan beliau dalam politik dan hanya mementingkan segelintir kelompok sendiri. Soal masalah rakyat tidak dipeduli, yang penting percaturan politik UMNO dapat dibuat dengan adanya pilihanraya.

    Amat menjengkelkan apabila sebagai seorang Ketua Pemuda sebuah parti ultra-Melayu; ratib dan zikir beliau saban minggu adalah menjurus ke arah memecahbelah kesepakatan yang dibentuk dalam Kerajaan hari ini antara parti-parti utama Bumiputera negara iaitu, Bersatu, Pas, UMNO, GPS, PBRS dan STAR.

    Kepentingan rakyat diketepikan, proses pemulihan ekonomi negara dianggap tidak perlu. Yang penting pada beliau adalah agenda untuk membolehkan Kluster Mahkamah menyegerakan pilihanraya wajib terlaksana!

    Saat rakyat mahukan ahli politik fokus pada soal dasar dan pemulihan ekonomi rakyat, yang beliau mahukan adalah perpecahan dan ketidakstabilan terus berlaku di dalam kesepakatan kerajaan hari ini. Amat menjengkelkan!

    Saya seru Dr Asyraf untuk fokus membantu Presiden dan mantan Presiden parti beliau untuk membersihkan diri daripada segala tuduhan salahguna kuasa dan rasuah menyeleweng dana rakyat dan negara sebelum ini.

    Serahkan soal mentadbir kepada Perdana Menteri dan barisan kabinet kerana saya yakin, mereka lebih maklum bagaiman untuk menyelesaikan apa jua isu yang berlaku di dalam kesepakatan ini tanpa perlunya Dr Asyraf mengugut kami untuk tekan butang itu dan ini.

    *Dr.Afif Bahardin adalah Ahli Dewan Undangan Negeri Seberang Jaya.

  • Penghantar barang dipenjara 14 hari, terima rasuah RM3,000

    Penghantar barang dipenjara 14 hari, terima rasuah RM3,000

    SEORANG penghantar barang dipenjara 14 hari dan didenda RM15,000 oleh Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur hari ini atas kesalahan menerima rasuah sebanyak RM3,000 sebagai upah untuk meluluskan invois cukai pada 2017

    Tertuduh, Habib Rahman Anwar Basha, 48, dikenakan hukuman itu selepas menukar pengakuan kepada bersalah dalam prosiding yang ditetapkan untuk sebutan pengurusan kes di hadapan Hakim Azura Alwi.

    Sinar Harian melaporkan, Mahkamah memerintahkan tertuduh dijel bermula hari ini dan jika gagal membayar denda, dia boleh dipenjara selama 10 bulan.

    Ketika prosiding, pendakwaan memaklumkan bahawa pihaknya telah menerima represtasi yang dihantar oleh tertuduh pada 24 Jun lalu, ekoran itu, pertuduhan dibaca semula dan dia mengaku bersalah.

    Pada 31 Mei 2021, Habib Rahman yang bertugas di sebuah syarikat sebagai bekas pembantu perkhidmatan bangunan telah menerima suapan sebanyak RM3,000 daripada seorang pengarah syarikat keselamatan (pengadu) berusia 44 tahun.

    Suapan itu sebagai upah untuk meluluskan invois cukai pembayaran perkhidmatan keselamatan bagi Disember 2016 yang telah dikemukakan oleh syarikat pengadu di Jalan Pandan Indah di Kuala Lumpur pada pukul 10.22 malam, 29 Mei 2017.

    Itu merupakan suatu kesalahan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama.

    Mengikut fakta kes, pada tahun 2016, tertuduh meminta komisen sebanyak RM4,000 bagi setiap tuntutan pembayaran daripada pengurus di syarikat keselamatan itu.

    Bagaimanapun, tuntutan bagi November dan Disember 2016 serta Januari 2017, tertuduh telah meminta pengurus itu membanyar sebanyak RM4,500.

    Pengadu akhirnya membuat laporan kepada SPRM dan hasil rakaman perbualan mendapati tertuduh mempunyai niat untuk mengambil rasuah.

    Semasa prosiding, peguam, Datuk Zailan Mohamed mewakili tertuduh merayu agar anak guamnya dikenakan hukuman ringan dengan alasan perlu menyara empat anak dan seorang isteri yang sakit.

    Katanya, tertuduh turut menjaga bapa yang menghidap penyakit jantung.

    “Jika dia dikenakan hukuman penjara dalam tempoh yang panjang, ia akan menjejaskan pendapatannya untuk menyara keluarga,” katanya.

    Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Nor Diana Nor Azwa berkata, kesalahan yang dilakukan oleh tertuduh adalah serius.

    “Mahkamah perlu mengambil kira kepentingan awam dengan mengenakan hukuman berbentuk pengajaran terhadap tertuduh sekali gus menjadi peringatan kepada orang awam agar tidak mengulangi kesalahan sama di masa depan.

    “Kami mohon mahkamah mengambil kira jenayah yang dilakukan adalah dirancang yang dilihat menerusi siri perbualan tertuduh dengan pengadu sebelum ini,” katanya.

  • Polis nafi terdapat usaha waris Sulu rekrut warga Lahad Datu

    Polis nafi terdapat usaha waris Sulu rekrut warga Lahad Datu

    POLIS Diraja Malaysia (PDRM) menafikan dakwaan waris Kesultanan Sulu sedang aktif merekrut warga tempatan di Daerah Lahad Datu.

    Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Idris Abdullah berkata, hasil siasatan dan risikan polis mengesahkan tidak wujud sebarang kumpulan yang merekrut rakyat warga Filipina berketurunan Sulu di Sabah.

    “Kita memandang serius isu tular dalam media sosial akhir-akhir ini berhubung dakwaan berkenaan.

    “Polis Sabah sedang menjalankan siasatan berkaitan satu kumpulan yang mengeluarkan dokumen diri Sulu Sultaniah Darul Islam (SSDI) dengan mengenakan bayaran tertentu.

    “Kumpulan ini adalah tindakan orang perseorangan yang mengambil kesempatan atas tujuan keuntungan peribadi,” katanya dalam kenyataan hari ini, lapor Harian Metro.

    Sehubungan itu, Idris berkata, PDRM Sabah meminta mana-mana pihak atau individu supaya tidak menyebarkan sebarang berita atau maklumat tidak sahih.

    Katanya, ia dibimbangi boleh menimbulkan kegusaran dalam kalangan orang awam di negeri ini.

    Sebelum ini, Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) mendakwa terdapat kegiatan aktif yang dilakukan oleh pihak tertentu untuk merekrut warga tempatan di Lahad Datu.

    Ia didakwa merekrut dengan memberikan dokumen pengenalan diri yang dipercayai bagi kesultanan Sulu.

    Menurut Setiausaha MHO, Datuk Hishamuddin Hashim, sukarelawan MHO di Sabah dimaklumkan berhubung perkara berkenaan menerusi aplikasi WhatsApp.

    “Gerakan berkenaan memberikan dokumen pengenalan diri yang dipercayai bagi kesultanan Sulu dan juga perakuan taat setia individu-individu penduduk Sabah kepada kesultanan Sulu.

    “Hantaran WhatsApp itu turut mengandungi gambar seakan-akan dokumen identiti diri bagi Kesultanan Sulu dan juga perakuan taat setia individu-individu penduduk Sabah kepada Kesultanan Sulu,” katanya.

  • Empat lelaki didakwa bakar remaja

    Empat lelaki didakwa bakar remaja

    EMPAT lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kemaman di Chukai hari ini, atas tuduhan membakar seorang remaja berusia 15 tahun sehingga melecur, 22 Julai lalu.

    Semua tertuduh membuat pengakuan tersebut selepas tuduhan dibacakan di hadapan Majistret Tengku Eliana Tuan Kamaruzaman.

    Shaikh Hilman Hakim Shaikh Anuar, 28, didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan parah menggunakan api terhadap Muhammad Fiqrie Adam Abdullah, 15.

    Dia didakwa melakukan perbuatan itu di simpang empat Kampung Perasing Jaya, Jabor, kira-kira 3 pagi 22 Julai lalu.

    Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan.

    Tiada sebarang pengakuan direkodkan kerana kes di bawah bidang kuasa Mahkamah Sesyen.

    Mahkamah menetapkan 1 Ogos ini untuk sebutan semula.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurhanisah SH Sahul Hamid dan tertuduh diwakili peguam, Nurul Farhana Shamsudin.

    Sementara itu di mahkamah sama, tiga lagi tertuduh mengaku tidak bersalah mendatangkan kecederaan kepada mangsa di lokasi, tarikh dan masa yang sama.

    Muhammad Imran Mohamad, 18, Mohamad Razif Mohammad dan Mohamad Razman Zalizan masing-masing berusia 20 tahun didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

    Mahkamah membenarkan ketiga-tiga tertuduh diikat jamin sebanyak RM1,800 seorang.

    Kesemua tertuduh juga dikenakan syarat tambahan iaitu tidak boleh mengganggu saksi mangsa dan saksi pendakwaan.

    Mahkamah juga menetapkan 8 September ini sebagai tarikh sebutan semula kes.

  • Polis tahan empat pengedar dadah anak beranak

    Polis tahan empat pengedar dadah anak beranak

    POLIS menahan empat beranak secara berasingan selepas disyaki terbabit dengan sindiket pengedaran dadah di Kuala Lumpur, pada Isnin.

    Pihak polis turut merampas pelbagai jenis dadah yang dianggarkan bernilai RM328,385.

    Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai memberitahu, menerusi serbuan pertama, pihaknya menahan seorang lelaki dan seorang wanita di sebuah unit kondominium di Jalan Kuching pukul 1.45 pagi.

    “Kami merampas 400 biji pil erimin 5, 140 biji ekstasi dan 5.9 gram ketamin selain merampas wang tunai berjumlah RM2,057 dipercayai hasil penjualan dadah.

    “Hasil soal siasat terhadap kedua-dua suspek, polis kemudian melakukan serbuan lagi di tempat letak kereta kondominium sama kira-kira pukul 4.30 petang, hari yang sama.

    “Kami menahan seorang lelaki berusia 47 tahun dan anak perempuan tirinya berusia 18 tahun dan pemeriksaan ke atas sebuah kereta, kami merampas 11,000 pil erimin 5, 200 pil ekstasi dan 250 gram ketamin,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul di Kuala Lumpur, hari ini.

    Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai ketika mengadakan sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul, hari ini. GAMBAR: Warta Rakyat

    Pihaknya turut merampas wang tunai RM7,000 dan hasil ujian air kencing mendapati suspek lelaki positif dadah.

    Eng Lai berkata, serbuan ketiga dilakukan di sebuah rumah di Taman Indah Perdana, Kepong pada pukul 6.30 petang.

    “Kami menahan seorang remaja lelaki berusia 19 tahun dan seorang wanita berusia 38 tahun yang juga isteri dan anak tiri suspek.

    “Kami turut merampas 200 gram ketamin dan 90 gram methylnedioxymethamphetamine (MDMA). Kami turut merampas wang tunai berjumlah RM40,000 yang dipercayai hasil jualan dadah,” katanya.

    Eng Lai berkata, siasatan awal mendapati empat beranak itu disyaki membekalkan dadah kepada suspek lelaki dan wanita yang ditahan dalam serbuan pertama.

    “Kesemua suspek direman tujuh hari bermula Rabu hingga Isnin bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya sebagaimana dilaporkan Sinar Harian.

  • Bidoglio bimbing JDT ganti Mora

    Bidoglio bimbing JDT ganti Mora

    KELAB bola sepak Johor Darul Ta’zim (JDT) mengesahkan Hector Pablo Bidoglio akan membimbing JDT bagi menggantikan Benjamin Mora yang melepaskan jawatan selaku ketua jurulatih skuad Harimau Selatan semalam.

    Menerusi kenyataan dalam laman rasmi Johor Southern Tigers, pengendali berusia 54 tahun yang pernah beraksi untuk pasukan kebangsaan Venelueza dilantik selaku ketua jurulatih skuad Harimau Selatan berkuat kuasa serta-merta.

    “Hector memulakan karier kejurulatihan dengan kelab Argentina, Newell’s Old Boys. Beliau sebelum ini pernah menjadi jurulatih dalam divisyen teratas di Argentina, Peru dan Ecuador.

    “Pengendali berusia 54 tahun ini pernah menimba ilmu di kelab Sepanyol seperti Real Madrid, Barcelona, Sevilla dan Real Betis. Beliau juga telah berguru dengan pengurus tersohor Marcelo Bielsa ketika bersama-sama pasukan kebangsaan Chile pada 2009,” kata kenyataan itu.

  • Kes dua remaja mati dalam Alphard tiada kaitan penghuni kondo-Polis

    Kes dua remaja mati dalam Alphard tiada kaitan penghuni kondo-Polis

    POLIS mendapati dua remaja yang ditemukan mati dalam Toyota Alphard di ruang parkir sebuah kondominium di Bandar Sri Permaisuri, Cheras pada 29 Mei lalu, tiada kaitan dengan mana-mana penghuni kondominium berkenaan.

    Menurut Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim, ini berdasarkan siasatan dan rakaman keterangan lebih 15 individu sepanjang tempoh siasatan dijalankan.

    Pihaknya setakat ini mendapati kedua-dua mangsa tiada kena-mengena dengan pemilik parkir atau penghuni di kondominium itu.

    “Kita sudah merakam keterangan ramai pihak termasuk ahli keluarga kedua-dua mangsa, kenalan mereka, pihak kondominium dan individu sekelilingnya yang dipercayai boleh membantu siasatan.

    “Semua keterangan itu perlu untuk kita mendapatkan kesimpulan kes bagi melengkapkan kertas siasatan sebelum diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR),” katanya pada sidang media selepas Istiadat Penganugerahan Pingat Jasa Pahlawan Negara (PJPN) Kontinjen Kuala Lumpur di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur di Kuala Lumpur, hari ini.

    Istiadat penganugerahan itu disempurnakan Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain.

    Mengulas lanjut, Azmi berkata, pihaknya juga masih menunggu laporan lengkap daripada Jabatan Kimia mengenai punca kematian dua remaja terbabit.

    Beliau berkata, laporan itu mengambil masa memandangkan ia membabitkan agensi berbeza.

    Sebelum ini media melaporkan, polis menerima laporan kehilangan dua remaja yang masing-masing dibuat ahli keluarga di Klang dan Shah Alam, Selangor pada 23 dan 24 Mei lalu.

    Dua remaja itu kemudian ditemukan meninggal dunia dalam Toyota Alphard hasil maklumat daripada orang awam pada pukul 8.26 malam.

    Siasatan di lokasi menemukan mayat remaja perempuan di bahagian penumpang hadapan, manakala lelaki terbabit berada di bahagian penumpang belakang kenderaan pelbagai guna (MPV).