Author: Admin

  • Iring anak ahli Parlimen: 2 anggota trafik dikenakan tatatertib

    Iring anak ahli Parlimen: 2 anggota trafik dikenakan tatatertib

    DUA anggota trafik dikenakan tindakan tatatertib selepas mengiringi individu dipercayai anak lelaki kepada Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) dengan menggunakan motosikal Polis Diraja Malaysia (PDRM).

    Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin yang dipetik Berita Harian sebagai berkata, tindakan itu diambil di bawah Peraturan 36 Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993.

    Menurutnya, Polis Pulau Pinang sebelum ini membuka Kertas Siasatan Tatatertib (KST) ke atas dua anggota trafik kerana mengiringi individu dipercayai anak lelaki kepada Ahli Parlimen BN menggunakan motosikal PDRM di Jalan Bukit Gambir, Georgetown.

    “PDRM juga sudah menjalankan siasatan terperinci berhubung kejadian itu selepas rakaman video berdurasi 20 saat tular di media sosial sejak 7 Mei 2022,” katanya dalam jawapan bertulis menjawab soalan Sim Chee Keong (PH-Bukit Mertajam) di Dewan Rakyat.

    Mei lalu, polis Pulau Pinang membuka kertas siasatan tatatertib terhadap dua anggota polis trafik berhubung kejadian mengiringi kenderaan awam.

    Polis memaklumkan kes itu juga disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998 kerana ia membabitkan kesalahan menggunakan media sosial.

    Klip video mengenai kejadian yang tular di media sosial sejak 7 Mei lalu itu menunjukkan kedua-dua anggota polis berkenaan sedang mengiringi sebuah kenderaan yang dimiliki oleh orang awam.

  • Animasi Mechamato terus ‘mendunia’, bakal disiar TV Portugal

    Animasi Mechamato terus ‘mendunia’, bakal disiar TV Portugal

    SIRI animasi tempatan yang semakin popular, Mechamato The Animated Series semakin mengorak langkah apabila bakal disiarkan stesen televisyen (TV) popular Portugal, bulan depan.

    Selepas disiarkan di lebih 20 negara Asia Pasifik, siri animasi terbitan Monsta itu akan ditayangkan Sociedade Independente de Comunicacao atau SIC K dalam bahasa Portugal.

    Menurut Ketua Penjenamaan dan Pemasaran Monsta, Faiz Zainal Abidin, pihaknya teruja dapat menghiburkan kanak-kanak dari seluruh pelosok dunia melalui bahasa ibunda masing-masing melalui siri animasi terbitan Monsta.

    “Kekuatan siri Mechamato terletak pada jalan cerita yang memfokuskan kepada nilai murni, persahabatan dan budaya. Mechamato terkenal dengan persembahannya yang menggunakan teknologi moden tanpa mengabaikan unsur tradisi tempatan.

    “Dengan menggunakan Bandar Hilir Melaka sebagai sumber inspirasi, siri Mechamato mempamerkan kawasan bersejarah sebagai tema lokasi.

    “Kami harap dengan cara itu, penonton muda di Portugal dan seluruh dunia yang berpeluang menonton Mechamato sedikit sebanyak dapat mempelajari mengenai sejarah dan budaya yang ada di negara kita,” katanya sebagaimana lapor Berita Harian.

    Siri animasi Mechamato hasil sentuhan anak tempatan itu kini menembusi saluran Cartoon Network Asia Pasifik termasuk Jepun, Korea Selatan, Hong Kong, Taiwan, Australia dan New Zealand.

    Mechamato The Animated Series juga dialih suara ke bahasa Inggeris, Mandarin, Kantonis, Korea, Jepun, Thailand dan Vietnam.

    Sambutan luar biasa khasnya di laman sosial terutama Twitter juga diraih siri animasi berkenaan apabila pengguna berkongsi pendapat dan reaksi mereka mengenai siri itu dengan menggunakan tanda pagar #Mechamato.

    Siri animasi Mechamato boleh ditonton menerusi saluran tempatan Astro Prima setiap Sabtu dan Ahad, pukul 7 malam selain Cartoon Network, HBO GO dan Astro GO.

    Sementara itu, Mechamato juga bakal muncul di beberapa platform penstriman lain, tidak lama lagi.

    Malah Mechamato Movie dijangka ditayangkan di pawagam Malaysia, Indonesia dan Brunei, Disember depan.

  • Kakitangan TNB dikhuatiri lemas belum ditemukan

    Kakitangan TNB dikhuatiri lemas belum ditemukan

    SEORANG kakitangan Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang hilang semasa memancing di loji Empangan Semantan dekat Karak semalam, masih belum ditemui setakat pukul 6 petang tadi.

    Mangsa, Amiruddin Asyraf Mat Saman, 26, ketika kejadian sedang memancing bersama rakannya berusia 32 tahun sebelum dipercayai dihanyutkan arus deras dan dikhuatiri lemas.

    Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd. Kahar berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) akan disambung esok.

    “Pihak polis menerima panggilan kecemasan pada pukul 7 malam semalam. Difahamkan ketika mangsa sedang memancing, tiba-tiba aras air loji naik meningkat dan mengalir deras.

    “Kedua-dua mangsa cuba menyelamatkan diri dengan memanjat ke atas batu yang lebih tinggi tetapi tidak berjaya dan terus dihanyutkan air deras.

    “Rakan mangsa berjaya berdiri di atas sebuah batu besar di tengah sungai sebelum diselamatkan oleh anggota bomba,” katanya dalam kenyataan hari ini, lapor Sinar Harian.

    Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia JBPM Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, pihak bomba menerima panggilan mengenai kejadian itu pada pukul 6.22 petang.

    Menurutnya, seramai lima anggota dan dua pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Karak bersama tiga jentera bergegas ke lokasi kejadian.

  • Lapan ditahan termasuk CEO disyaki terima suapan urusan pekerja asing

    Lapan ditahan termasuk CEO disyaki terima suapan urusan pekerja asing

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah (SPRM) menahan lapan individu termasuk seorang ketua pegawai eksekutif sebuah syarikat teknologi maklumat kerana disyaki menerima rasuah berjumlah RM800 hingga RM1,500.

    Free Malaysia Today (FMT) melaporkan, wang itu sebagai balasan membantu majikan atau ejen dalam proses mendapatkan kuota pekerja asing.

    Daripada jumlah itu, seramai enam suspek termasuk dua wanita direman tiga hari manakala dua lagi suspek masing-masing seorang lelaki dan wanita dilepaskan dengan jaminan SPRM selepas keterangan diambil.

  • Bapa campak 3 anak dari jejambat alami masalah mental

    Bapa campak 3 anak dari jejambat alami masalah mental

    POLIS percaya masalah mental merupakan punca seorang lelaki Myanmar tergamak mencampak tiga anaknya dari jejambat setinggi 20 meter di Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) sebelum terjun di tempat sama, semalam.

    Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, dua anaknya yang berusia enam dan tujuh tahun maut di tempat kejadian manakala seorang lagi mangsa yang dianggarkan berusia lima tahun kritikal.

    Susulan itu katanya, ibu kanak-kanak berkenaan, warga Myanmar juga pemegang kad pelarian Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) telah dirakam keterangan semalam.

    “Hasil siasatan awal kita percaya suspek mengalami masalah mental menyebabkan dia melakukan perkara itu.

    “Mangsa yang terselamat berada dalam keadaan kritikal dan diberikan ubat pelali oleh pasukan perubatan di Hospital Selayang,” katanya memetik laporan Sinar Harian, hari ini.

    Semalam Warta Rakyat melaporkan, dua kanak-kanak warga Myanmar maut akibat dicampak bapa mereka dari jejambat di Jalan MRR2 di Kuala Lumpur.

    Berdasarkan kenyataan saksi, lelaki berusia 38 tahun itu dilihat berjalan sambil menggendong seorang kanak-kanak manakala dua lagi kanak-kanak dipegang di tangan kanan dan kirinya.

    Polis dalam kenyataan berkata, kesemua kanak-kanak dan suspek terbabit ditemui berhampiran lampu isyarat di Desa Jaya di Kuala Lumpur.

    Kesemua mangsa dipercayai warga Myanmar kerana pemeriksaan di lokasi menemui dua kad UNHCR untuk orang pelarian milik suspek dan kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun.

    Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

  • Angkara bunyikan hon, pemandu kancil tetak pacuan empat roda dengan parang

    Angkara bunyikan hon, pemandu kancil tetak pacuan empat roda dengan parang

    HANYA kerana membunyikan hon, seorang lelaki bertindak di luar dugaan apabila menetak sebuah kenderaan menggunakan parang dalam kejadian di Jalan Upper Lanang, Sibu, pagi semalam.

    Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner Zulkipli Suhaili berkata, pihaknya menerima aduan daripada mangsa berusia 37 tahun pada pukul 10.09 pagi.

    “Suspek berjaya ditahan bersama barang rampasan pada pukul 1 petang, hari yang sama.

    “Suspek berusia 27 tahun direman hari ini di Mahkamah Sibu bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan, lapor Utusan TV.

    Jelasnya, kes kini disiasat di bawah Seksyen 506 dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan.

    Terdahulu, tular satu klip video memaparkan pemandu kereta Perodua Kancil merah bertindak memandu secara melulu sebelum berhenti di hadapan pacuan empat roda mangsa.

    Suspek kemudian bertindak agresif dengan mengeluarkan sebilah parang dari tingkap kereta dan menetak kenderaan dipandu mangsa.

  • Nahas pesawat: Mangsa cedera dipindah ke hospital di Damansara

    Nahas pesawat: Mangsa cedera dipindah ke hospital di Damansara

    JURULATIH penerbangan yang terselamat dalam insiden pesawat terhempas di Jalan Dr Nazrin Shah, Sungai Rokam, Medan Gopeng di Ipoh, malam kelmarin, telah dipindahkan ke sebuah hospital swasta di Damansara, Selangor hari ini.

    Ketua Polis Perak Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata Muhammad Din Fikri Zainal Abidin, 62, yang mengalami kecederaan dan kini berada dalam keadaan stabil, dipindahkan dari Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh ke hospital lain untuk menerima rawatan lanjut atas permintaan keluarga mangsa.

    “Difahamkan mangsa akan menjalani pembedahan pada hari ini,” katanya ringkas ketika dihubungi Bernama hari ini.

    Dalam insiden kira-kira 8 malam kelmarin, jurulatih penerbangan Fajim Juffa Mustafa Kamal, 52, dari Semenyih, Selangor maut manakala Muhammad Din dari Bukit Damansara, Kuala Lumpur cedera, dengan kedua-dua jurulatih penerbangan tersebut dilaporkan berlepas dari sekolah latihan kapal terbang yang terletak berhampiran sebelum kejadian berlaku.

    Jenazah Allahyarham Fajim Juffa Mustafa Kamal selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bandar Tasik Kesuma di Semenyih semalam. – Bernama

  • Fat Full dilantik Ketua Sayap Bersekutu Bersatu yang baharu

    Fat Full dilantik Ketua Sayap Bersekutu Bersatu yang baharu

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    KETUA Sayap Bersekutu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Dr. Chong Fat Full menyasarkan untuk menarik lebih banyak penyertaan bukan Melayu ke dalam parti itu.

    “Saya akan segera merangka strategi bagi merealisasikan rancangan itu sebagai persediaan berdepan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) yang boleh diadakan pada bila-bila masa sahaja.

    “Sebaik sahaja dilantik sebagai Ketua Sayap Bersekutu Bersatu, saya mahu menarik lebih ramai dalam kalangan orang bukan Melayu sertai Bersatu,” katanya memetik laporan Sinar Harian, hari ini.

    Beliau terharu dan berbesar hati dengan kepercayaan pucuk pimpinan Bersatu sekali gus berazam akan menggalas tanggungjawab yang diberikan sebaik mungkin dengan membantu parti.

    “Saya akan segera mengadakan mesyuarat bersama pimpinan sayap termasuk di negeri bagi merangka pelan serta strategi bagi menarik sokongan kaum bukan Melayu terhadap parti,” katanya.

    Sementara itu, Fat Full berkata, Ahli Parlimen Segamat, Datuk Seri Dr. Santhara yang juga bekas ketua sayap berkenaan turut memberi jaminan akan memberi bantuan sewajarnya.

    “Santhara adalah pemimpin berpengalaman dan sudah pasti kami akan memanfaatkan pengalamannya bagi mengukuhkan sayap ini,” katanya.

    Menurut beliau, Sayap Bersekutu Bersatu perlu bekerja keras bagi menangkis salah faham masyarakat bukan Melayu terhadap parti selain menangkis kritikan parti lawan.

    Pada Rabu, Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin, dilaporkan mengumumkan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Fat Full dilantik sebagai Ketua Sayap Bersekutu Bersatu.

    Pelantikan itu bagi menggantikan Santhara, yang dilapor menghantar surat peletakan jawatan pada 22 Julai lalu.

  • Warga emas maut jatuh tingkat 4 pusat beli-belah

    Warga emas maut jatuh tingkat 4 pusat beli-belah

    SEORANG lelaki warga emas ditemui maut dipercayai terjatuh dari tingkat empat sebuah pusat beli-belah di Alor Setar, hari ini.

    Mangsa berusia 65 tahun yang juga pemegang kad rawatan psikiatri ditemui dalam keadaan berlumuran darah dekat ruang legar pusat beli-belah akibat kecederaan parah di kepala.

    Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri berkata, kejadian dipercayai berlaku antara pukul 10 hingga 10.30 pagi.

    “Maklumat awal mendapati pengawal keselamatan sebelum itu telah melihat mangsa dalam keadaan mencurigakan di tingkat empat bangunan tersebut.

    “Pengawal keselamatan terbabit cuba membantu tapi tidak sempat apabila lelaki itu terjun.

    “Setakat ini siasatan awal polis menjurus kepada mati mengejut tetapi bergantung pada hasil bedah siasat terhadap mayat berkenaan,” katanya memetik laporan Harian Metro.

    Sementara itu, Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah, Superintendan Mohd. Naim Asnawi turut hadir ke lokasi.

    Mengulas lanjut, Ahmad Shukir berkata hasil soal siasat terhadap keluarga mangsa mendapati mangsa mempunyai kad rawatan psikiatri Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) .

    Difahamkan, mangsa baru selesai menjalani rawatan susulan pada Isnin lalu.

    “Dia yang tidak berkahwin dikatakan sering datang ke lokasi kejadian seorang diri. Mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik HSB untuk proses bedah siasat,” katanya.

  • PBM tidak gugurkan Paul Yong, masih lagi ADUN Tronoh

    PBM tidak gugurkan Paul Yong, masih lagi ADUN Tronoh

    KEPUTUSAN Parti Bangsa Malaysia (PBM) terhadap Paul Yong Choo Kiong yang disabit bersalah atas tuduhan merogol untuk ‘berehat’ daripada aktiviti dan pengurusan parti tidak akan mempengaruhi statusnya untuk digugurkan sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh.

    Menurut Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, Datuk Mohamad Zahir Abdul Khalid, selagi penangguhan hukuman mahkamah terhadap ADUN itu berjalan memandangkan beliau dibenar merayu ke Mahkamah Rayuan, maka Yong masih kekal sebagai wakil rakyat.

    “Merehatkan daripada pengurusan dan aktiviti politik, itu keputusan di peringkat parti yang tiada kena-mengena dengan Dewan Negeri, tiada kena-mengena dengan Peraturan Dewan,” katanya memetik laporan Harian Metro.

    Beliau berkata demikian ketika program Pra Pelancaran Kempen Kibar Jalur Gemilang 2022 Negeri Perak di Dataran Warisan di Taiping, hari ini yang turut menyaksikan sambutan kedatangan Jelajah Konvoi Kembara Merdeka Keluarga Malaysia.

    Sebelum ini, Mohamad Zahir dilaporkan berkata, pihaknya akan merujuk kepada Penasihat Undang-undang Negeri (LA) berhubung status ADUN Tronoh itu selepas diputuskan bersalah merogol pembantu rumah warga Indonesia oleh Mahkamah Tinggi Ipoh pada 27 Julai lalu.

    Ditanya perkembangan mengenainya, Mohamad Zahir berkata, setakat ini pihaknya belum memperoleh maklumat rasmi daripada Pejabat LA negeri yang turut merujuk perkara itu kepada Pejabat Peguam Negara.

    “Namun, secara makluman dan perbincangan (tidak rasmi), kita dapati Paul Yong sudah memfailkan rayuanya di Mahkamah Rayuan yang bermakna proses undang-undang (kes) itu masih berjalan, dengan dia juga mendapat penangguhan hukuman.

    “Dengan demikian, beliau masih kekal sebagai ADUN kerana proses perundangan kes dia masih belum tamat. Saya pun tidak tahu bila jangkaan keputusan dari LA kerana ia berkaitan urusan mahkamah,” katanya.

    Sebelum ini dilaporkan Ketua Penerangan PBM Zakaria Abdul Hamid berkata, Paul Yong direhatkan daripada aktiviti dan pengurusan parti itu.

    Ia termasuk jawatannya sebagai Bendahari Agung dan Pengerusi PBM Perak serta akan digantikan dengan indvidu lain dalam masa terdekat dengan berkuat kuasa sehingga proses rayuan di mahkamah selesai.

    Pada 27 Julai lalu, Paul Yong dijatuhkan hukuman penjara 13 tahun dan dua sebatan selepas didapati bersalah merogol pembantu rumah warga Indonesia, tiga tahun lalu selepas Hakim Datuk Abdul Wahab Mohamed membuat keputusan itu kerana berpuas hati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah.