SEORANG kakitangan Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang hilang semasa memancing di loji Empangan Semantan dekat Karak semalam, masih belum ditemui setakat pukul 6 petang tadi.

Mangsa, Amiruddin Asyraf Mat Saman, 26, ketika kejadian sedang memancing bersama rakannya berusia 32 tahun sebelum dipercayai dihanyutkan arus deras dan dikhuatiri lemas.

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd. Kahar berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) akan disambung esok.

“Pihak polis menerima panggilan kecemasan pada pukul 7 malam semalam. Difahamkan ketika mangsa sedang memancing, tiba-tiba aras air loji naik meningkat dan mengalir deras.

“Kedua-dua mangsa cuba menyelamatkan diri dengan memanjat ke atas batu yang lebih tinggi tetapi tidak berjaya dan terus dihanyutkan air deras.

“Rakan mangsa berjaya berdiri di atas sebuah batu besar di tengah sungai sebelum diselamatkan oleh anggota bomba,” katanya dalam kenyataan hari ini, lapor Sinar Harian.

Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia JBPM Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, pihak bomba menerima panggilan mengenai kejadian itu pada pukul 6.22 petang.

Menurutnya, seramai lima anggota dan dua pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Karak bersama tiga jentera bergegas ke lokasi kejadian.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here