Author: Admin

  • Covid-19:Kapasiti katil hospital di Greater Klang Valley ditingkatkan

    Covid-19:Kapasiti katil hospital di Greater Klang Valley ditingkatkan

    Oleh: Bernama

    KAPASITI katil di hospital awam dan swasta yang merawat pesakit COVID-19 di kawasan Greater Klang Valley (GKV) dipertingkatkan, termasuk menukarkan fungsi repurposed area dalam hospital sebagai wad pesakit.

    Komander Pasukan Bertindak Khas GKV (GKV STF) Datuk Dr Chong Chee Kheong berkata langkah berkenaan dibuat berikutan situasi terkini penularan wabak itu di GKV merangkumi kawasan Selangor, Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan.

    Beliau berkata inisiatif lain iaitu penyumberluaran pesakit bukan COVID-19 untuk mendapatkan rawatan ke hospital swasta turut dilakukan bagi membolehkan lebih banyak katil di hospital awam digunakan untuk pesakit COVID-19.

    “Perkhidmatan ambulan juga dipertingkatkan menerusi kerjasama pelbagai agensi termasuk Angkatan Pertahanan Awam, Jababatan Bomba dan Penyelamat dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti Persatuan Bulan Sabit Merah.

    “Selain itu, isolasi di rumah dan pemantauan Pusat Penilaian COVID-19 (CAC) secara maya dibuat bagi pesakit COVID-19 yang tidak bergejala dan bergejala ringan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau berkata GKV STF turut menjalinkan kerjasama dengan NGO dan sukarelawan bagi melaksanakan pengesanan kontak rapat.

    Sehingga kini, di GKV terdapat 29 hospital awam dan 51 hospital swasta serta dua Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) termasuk empat hospital penuh rawatan COVID-19 iaitu Hospital Ampang, Hospital Selayang, Hospital Sungai Buloh dan Hospital Serdang.

  • JKNK nafi beruk di Gua Musang positif Covid-19

    JKNK nafi beruk di Gua Musang positif Covid-19

    Oleh: Bernama

    JABATAN Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) menafikan dakwaan seekor beruk di Gua Musang, positif Covid-19.

    Pengarah JKNK Datuk Dr Zaini Hussin berkata, pihaknya tidak melakukan ujian saringan Covid-19 ke atas haiwan.

    “Tidak munasabah, kita tidak buat ujian calitan kepada beruk,” katanya ringkas ketika dihubungi, hari ini.

    Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai satu hantaran tular dalam Facebook yang memaparkan gambar seekor beruk memakai gelang merah jambu didakwa positif Covid-19. – BERNAMA

  • Mayat bayi perempuan ditemui di dalam longkang

    Mayat bayi perempuan ditemui di dalam longkang

    MAYAT bayi perempuan yang cukup sifat dan masih bertali pusat ditemui di dalam longkang berhampiran sebuah kebun durian di Mukim 6, Pondok Upeh, Balik Pulau, Pulau Pinang semalam.

    Mayat itu dijumpai polis kira-kira pukul 2.30 petang selepas seorang doktor membuat laporan mendakwa menerima pesakit warga asing dipercayai menyembunyikan kelahiran.

    Penemuan mayat bayi itu terbongkar selepas pegawai perubatan menemui uri di dalam rahim wanita berusia 35 tahun tersebut semasa melakukan pemeriksaan.

    Bagaimanapun, wanita berkenaan yang bekerja sebagai penjaga warga emas enggan memberikan kerjasama ketika ditanya mengenai kelahiran bayinya.

    Difahamkan, suspek sebelum itu dimasukkan ke hospital di sini selepas ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri serta berlumuran darah oleh majikannya petang semalam.

    Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintenden Kamarul Rizal Jenal berkata, siasatan awal mendapati suspek melahirkan bayi itu dalam keadaan tidak bernyawa di dalam bilik tidurnya sebelum bertindak membuang bayi itu di dalam longkang berdekatan rumah tempat dia bekerja.

    Jelasnya, suspek mendakwa mahu mengebumikan mayat bayi tersebut namun bayi itu tercampak ke dalam longkang selepas dia hampir pitam ketika tiba di lokasi kejadian.

    “Suspek mendakwa sempat kembali semula ke rumah majikannya yang berusia 54 tahun sebelum dia pengsan di bahagian dapur,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

    Menurut Kamarul Rizal, siasatan lanjut mendapati suspek mengaku mengandung hasil hubungan dengan seorang pekerja kebun berdekatan tempat dia bekerja.

    Tambahnya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan.

  • Kes global Covid-19 kini melebihi 200 juta

    Kes global Covid-19 kini melebihi 200 juta

    Oleh: Bernama

    KES Covid-19 di seluruh dunia kini melebihi 200 juta pada Rabu, menurut data Universiti Johns Hopkins.

    Sehingga 3.21 petang waktu tempatan, jumlah kes mencecah 200,014,602, dengan 4,252,873 kematian dicatatkan seluruh dunia.

    Menurut Xinhua, Amerika Syarikat merekodkan jumlah kes tertinggi dengan 35,292,721 dan 614,666 kematian, menyumbang kepada hampir 18 peratus kes global dan 15 peratus kematian.

    India di tangga kedua dengan 31,769,132 kes diikuti Brazil 19,985,817 kes serta jumlah kematian kedua tertinggi di dunia iaitu 558,432.

    Negara dengan jangkitan melebihi empat juta kes termasuk Rusia, Perancis, Britain, Turki, Argentina, Colombia, Sepanyol, Itali dan Iran.

    Sementara negara yang melebihi 100,000 kematian pula ialah India, Mexico, Peru, Rusia, Britain, Itali, Colombia, Perancis , Argentina dan Indonesia.

    Jumlah kes global mencecah 100 juta pada 26 Januari, telah meningkat dua kali ganda dalam tempoh enam bulan. – BERNAMA

  • Bom perang dunia kedua ditemukan Felda Triang 1

    Bom perang dunia kedua ditemukan Felda Triang 1

    Oleh Abu Ubaidillah Rahman

    SEORANG peneroka menemukan sebutir bom dipercayai tinggalan daripada perang dunia kedua di kawasan ladang kelapa sawit di Felda Triang 1 di Bera pada Isnin lalu.

    Ketua Polis Daerah Bera Deputi Superintendan Mansor Samsudin berkata, bom itu dijumpai pada 3.30 petang oleh peneroka terbabit semasa membersihkan tanah di belakang rumahnya sebelum menghubungi polis.

    “Bom dipercayai jenis UXO Arial Bomb seberat 226 kilogram, sepanjang lebih kurang 36 inci (91.44 sentimeter) dengan 32 inci (81.28 sentimeter) ukur lilit itu dijumpai dalam keadaan separuh terkeluar dari tanah.

    “Mengikut perancangan, bom itu dijangka dimusnahkan esok di lokasi dijumpai kerana penilaian mendapati bom tersebut berisiko jika dialihkan,” katanya semasa dihubungi di sini, hari ini.

    Mansor berkata, cabaran untuk memusnahkan bom itu ialah kedudukannya yang terlampau dekat dengan rumah peneroka iaitu sekitar 100 meter menyebabkan penduduk tersebut terpaksa dipindahkan terlebih dahulu ke bangunan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) berhampiran sebelum operasi memusnahkan bom dilakukan.

    Beliau berkata, Unit Pemusnah Bom Bukit Aman juga tiba di lokasi kejadian hari ini bagi melakukan kerja persediaan memusnahkan bom.

  • Hishammuddin akan bawa isu monopoli vaksin pada forum antarabangsa

    Hishammuddin akan bawa isu monopoli vaksin pada forum antarabangsa

    Oleh Abu Ubaidillah Rahman

    MALAYSIA akan membawa isu monopoli vaksin dan penekanan kepentingan pengagihan vaksin secara saksama dalam mesyuarat pertama Forum Antarabangsa Kerjasama Vaksin secara maya pada malam ini.

    Kementerian Luar dalam satu kenyataan hari ini memberitahu, Menteri Kanan Luar Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein akan menyertai forum antarabangsa itu yang dianjurkan Kementerian Luar Negeri China.

    Kenyataan itu menyebut, forum berkenaan akan dipengerusikan oleh Penasihat Negara dan Menteri Luar Negeri China, Wang Yi.

    Katanya, perbincangan semasa mesyuarat itu akan tertumpu kepada usaha peningkatan kapasiti pengeluaran vaksin dan kerjasama teknologi vaksin agar ia lebih mudah diperolehi pada harga yang berpatutan oleh negara membangun, bagi memerangi pandemik COVID-19.

    “Hishammuddin juga akan menegaskan mengenai keperluan segera semua negara mendapat akses bagi perolehan vaksin kerana ia adalah kaedah terbaik menangani pandemik ini.

    “Satu Kenyataan Bersama akan dikeluarkan sebagai hasil mesyuarat bagi mempamerkan kesatuan serta komitmen teguh negara peserta dalam memerangi pandemik COVID-19 melalui kerjasama vaksin antarabangsa,” katanya.

    Selain itu, Kementerian Luar memaklumkan, pada 18 November 2020, Malaysia dan China memeterai Perjanjian Kerjasama Pembangunan dan Akses Vaksin yang membolehkan Malaysia membeli vaksin buatan negara itu.

    Perjanjian itu juga membolehkan Malaysia memulakan kolaborasi teknikal dengan China dalam teknologi pembangunan vaksin, terutamanya bagi aspek persijilan halal.

    “Selain itu, kandungan Kenyataan Media Bersama semasa lawatan rasmi Wang Yi, ke Malaysia pada 13 Oktober 2020 menyenaraikan Malaysia sebagai antara penerima utama vaksin buatan China.

    “Pada Julai 2021, China menyumbang sebanyak 500,000 dos vaksin Sinovac kepada Malaysia sebagai menyokong Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK),” katanya.

  • Kes Covid-19 di Thailand lepasi angka 20,000

    Kes Covid-19 di Thailand lepasi angka 20,000

    Susunan Abu Ubaidillah Rahman

    KES baharu terus di Thailand mencatat rekod tertinggi pada Rabu dengan 20,200 jangkitan dan 188 kematian.

    Jumlah kes dan kematian baharu terus meningkat, meskipun sekatan lebih ketat dikenakan termasuk perintah berkurung pada waktu malam selama tujuh jam, penutupan perniagaan dan tempat sejak 12 Julai lalu.

    Sehingga kini, Thailand telah mencatat 672,385 kes dan 5,503 kematian sejak pandemik bermula di negara ini Januari tahun lalu.

    Berikutan lonjakan kes dan diburukkan lagi dengan varian Delta, Kementerian Kesihatan Awam Thailand dan pertubuhan bukan kerajaan Rural

    Doctor Society (RDS) telah menubuhkan 200 Pasukan Tindak Cepat Komprehensif Covid-19 (CCRT).

    Tujuannya untuk melakukan ujian saringan Covid-19 di Bangkok, pusat pandemik terbaharu.

    Setiausaha Tetap Kementerian Kesihatan Awam, Dr. Kiattiphum Wongrajit berkata, pasukan CCRT termasuk doktor, jururawat, ahli farmasi dan ahli teknologi perubatan telah melakukan ujian pengesanan kes aktif dalam komuniti yang padat di Bangkok mulai hari ini hingga 10 Ogos.

    “Kami menyasarkan untuk menyaring 250,000 orang dalam tujuh hari dan menjangkakan sekitar 15 peratus atau 32,500 mungkin positif Covid-19,” katanya pada sidang media.

    Dr. Kiattiphum berkata, CCRT akan melakukan ujian dan membantu mengasingkan individu yang dijangkiti daripada komuniti mereka secepatmungkin untuk menghalang virus daripada terus merebak.

    “Pasukan CCRT akan menghantar kes yang teruk ke hospital dan melakukan saringan terhadap kontak rapat,” katanya.

    Sementara itu, Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19 (CCSA) memaklumkan daripada 20,200 kes baharu, 3,708 dikesan melalui pengesanan kes aktif. Jumlah itu merangkumi 187 banduan dan 21 kes import.

    Mengenai kes kematian baharu, itu melibatkan 90 lelaki dan 98 wanita berusia antara 22 hingga 95 tahun, termasuk masing-masing seorang warga India dan Kemboja.

    “Empat daripadanya meninggal dunia di rumah atau dalam perjalanan ke hospital,” menurut CCSA.

    Bangkok kekal mencatatkan kes tertinggi dengan 4,118 kes baharu dan 92 kematian.

    Setakat ini, sebanyak 18.58 juta dos vaksin telah diberikan sejak kempen vaksinasi dimulakan pada 28 Februari.

  • Hampir 23 juta dos vaksin Covid-19 diberikan semalam

    Hampir 23 juta dos vaksin Covid-19 diberikan semalam

    Oleh:Bernama

    SEBANYAK 22,646,581 dos vaksin COVID-19 telah diberikan menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) setakat semalam.

    Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba menerusi perkongsian infografik di Twitternya memaklumkan daripada jumlah itu, seramai 14,941,585 orang menerima suntikan dos pertama manakala 7,704,996 orang menerima dos kedua.

    “Mengikut peratusan, 45.8 peratus daripada populasi negara telah mendapat dos pertama, manakala 23.6 peratus sudah melengkapkan suntikan vaksin COVID-19 mereka,” katanya.

    Sementara itu, vaksinasi harian pula mencatatkan sebanyak 494,214 dos diberikan semalam dengan 230,053 adalah pemberian dos pertama manakala 264,161 lagi adalah dos kedua. – BERNAMA

  • Sultan Johor kecewa kadar vaksinasi negeri Johor masih rendah

    Sultan Johor kecewa kadar vaksinasi negeri Johor masih rendah

    Oleh:Bernama

    SULTAN Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar menzahirkan kekecewaan baginda mengenai kadar vaksinasi di negeri Johor yang masih rendah.

    Mengikut statistik media sosial Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV), pemberian vaksin bagi Johor hingga 4 Ogos menunjukkan 33.3 peratus (1,260,049 orang) menerima vaksin dos pertama manakala 13.1 peratus (495,730 orang) telah menerima dos kedua.

    “Saya sebagai Sultan Johor bertanggungjawab dan diamanahkan untuk menjaga rakyat saya. Nyawa tidak boleh dijual beli. Saya selalu fikirkan penderitaan rakyat saya, terutamanya mereka yang jatuh sakit dengan COVID-19 dan telah meninggal dunia.

    “Keadaan penularan yang sememangnya membimbangkan kini menjadi lebih parah dengan merebaknya kes-kes varian Delta. Strateginya amat jelas iaitu kita mesti memvaksinasi seramai mungkin populasi negeri kita dengan kadar secepat mungkin,” titah baginda menerusi hantaran di laman Facebook rasmi baginda, malam tadi.

    Sultan Ibrahim bertitah baginda bersama anakandanya Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail sudah lama berbincang dengan pihak tertentu dan meminta vaksin yang lebih banyak untuk rakyat Johor.

    Sehubungan itu, baginda amat mengharapkan imuniti kelompok dapat dicapai secepat mungkin di Johor malah di seluruh negara supaya kesannya kepada kehidupan seharian semua lapisan rakyat dapat pulih.

    “Amat mengecewakan apabila kami seolah-olah perlu merayu untuk mempertingkatkan kadar vaksinasi untuk keselamatan rakyat kita sendiri,” titah baginda. – BERNAMA

  • Lelaki ditahan cuba sogok polis RM10,000

    Lelaki ditahan cuba sogok polis RM10,000

    Oleh: Bernama

    SEORANG lelaki ditahan selepas cuba menyogok wang tunai RM10,000 kepada pihak polis bagi membebaskan dua rakannya yang ditangkap kerana disyaki terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah di hadapan sebuah hotel di Jinjang, di sini, petang semalam.

    Ketua Polis Daerah Sentul ACP Beh Eng Lai berkata suspek berusia 28 tahun sebelum itu telah pun diberikan amaran untuk tidak berbuat demikian, namun tidak mengendahkannya menyebabkan dia ditahan dan diserahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bersama bahan bukti.

    Lelaki itu ditahan pada 7.45 malam hari sama di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta SPRM 2009).

    “Terdahulu, dua rakannya ditahan dalam serbuan pada 3.45 petang di hadapan sebuah hotel di Jinjang kerana disyaki terlibat dengan kegiatan pengedaran dadah dan hasil pemeriksaan polis menemukan 10 paket plastik berisi bahan, disyaki dadah jenis ganja seberat 130.5 gram, dianggarkan bernilai RM13,000.

    “Ujian saringan air kencing yang dijalankan juga mendapati suspek pertama positif dadah metaphetamine dan ganja selain mempunyai 25 rekod jenayah dan tujuh rekod jenayah berkaitan dadah, manakala suspek kedua negatif dan tidak memiliki rekod jenayah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beh berkata kedua-dua suspek direman selama tujuh hari hingga 10 Ogos depan dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya.- BERNAMA