Author: Admin

  • Rakyat Malaysia dijangka tunai umrah dua bulan lagi

    Rakyat Malaysia dijangka tunai umrah dua bulan lagi

    Oleh Abu Ubaidillah Rahman

    UMAT Islam di Malaysia dijangka berpeluang mengerjakan ibadah umrah kira-kira dua bulan lagi sekiranya kes Covid-19 dalam negara menurun dan sasaran 80 peratus penduduk divaksin dicapai.

    Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, ini juga bergantung kepada prosedur operasi standard (SOP) Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) serta SOP ditetapkan kerajaan Arab Saudi.

    Menurut beliau, perbincangan sudah dilakukan dengan Duta Arab Saudi semalam mengenai isu berkenaan dan pihaknya sedang mendapatkan kepastian dari semasa ke semasa.

    “Apabila keadaan memungkinkan (untuk ke sana), kita akan buat SOP dahulu, kita melihat kepada dua situasi iaitu satu dalam negara dan satu lagi negara yang ingin dikunjungi iaitu Arab Saudi.

    “Setakat ini, kita harap isu berkaitan dengan penyebaran pandemik Covid-19 dapat diredakan dengan sebaik mungkin dan vaksinasi dapat diperbanyakkan.

    “Jadi, kalau hal ini dapat diselesaikan, Insya-Allah, saya yakin dalam satu atau dua bulan lagi (boleh ke sana), namun ia bergantung keadaan COVID-19 yang kita hadapi selain kebenaran daripada negara sana,” katanya yang ditemui pada majlis sumbangan di Maahad Darul Quran Rusila, Marang, hari ini.

    Media sebelum ini melaporkan Arab Saudi membuka kembali pintunya untuk pelancong dari 49 negara sejak 1 Ogos lalu dengan mempermudahkan prosedur mendapatkan visa masuk bagi tempoh setahun dan kebenaran tinggal hingga 90 hari di negara terbabit.

    Menurut laporan Saudi Gazette, syarat dan peraturan untuk mendapatkan visa pelancong dan memasuki Arab Saudi termasuk imunisasi penuh dengan vaksin yang diluluskan kerajaan itu.

    Pelancong dan pelawat dari 49 negara termasuk Malaysia, layak untuk memohon e-visa, yang membolehkan mereka menunaikan umrah dan mengikuti pelbagai aktiviti melancong di seluruh negara itu.

  • Kelonggaran aktiviti sukan, rekreasi hanya untuk PPN Fasa Tiga – KBS

    Kelonggaran aktiviti sukan, rekreasi hanya untuk PPN Fasa Tiga – KBS

    Oleh:Bernama

    KELONGGARAN bagi semua aktiviti sukan dan rekreasi secara individu yang tidak melibatkan sentuhan fizikal hanya diberikan kepada kawasan Fasa Tiga Pelan Pemulihan Negara (PPN), jelas Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

    Justeru menurut KBS hebahan infografik yang mendakwa semua aktiviti sukan individu dibenarkan seperti yang tular di media sosial adalah tidak benar.

    Setakat ini, hanya Perlis, Sarawak dan Labuan telah memasuki Fasa Tiga PPN.

    “KBS memandang serius tentang penularan infografik palsu dan mengelirukan orang awam ini.

    “Sila rujuk infografik tepat yang hanya dikeluarkan KBS atau layari http://www.kbs.gov.my/sopsukanrekreasi selain terus ke laman rasmi Majlis Keselamatan Negara www.mkn.gov.my,” menurut kenyataan dikeluarkan di Facebook KBS hari ini.

    Terdahulu, tular hebahan infografik di media sosial yang mengelirukan orang ramai berhubung prosedur operasi standard (SOP) am sektor sukan dan rekreasi yang hanya dibenarkan bagi Fasa Tiga PPN.

    Ia membabitkan aktiviti sukan dan rekreasi seperti jogging, senaman, badmiton, tenis, golf, permotoran, mendaki, renang, ski jet, taichi, berbasikal, skateboarding (papan selaju), ekuestrian, tenpin boling, memanah dan gimnasium dengan mematuhi penjarakan fizikal sekurang-kurangnya dua hingga tiga meter bermula 6 pagi hingga 12 tengah malam. – BERNAMA

  • Purata pendapatan dijangka meningkat tahun ini:Jabatan Perangkaan

    Purata pendapatan dijangka meningkat tahun ini:Jabatan Perangkaan

    Oleh Abu Ubaidillah Rahman

    JABATAN Perangkaan Malaysia (DOSM) menjangkakan purata pendapatan meningkat tahun ini tetapi bergantung kepada corak pemulihan ekonomi negara.

    Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, corak pemulihan bagi setiap sektor ekonomi negara dijangka tidak sekata dan akan mempengaruhi gaji dan upah.

    “Jika kita (negara) berjaya dalam usaha untuk mempertingkatkan ekonomi digital dan pembangunan teknologi dalam aktiviti ekonomi dalam jangka masa panjang, kita amat yakin purata pendapatan yang diukur daripada segi gaji dan upah pasti akan meningkat.

    “Tetapi ia bergantung bagaimana kita merealisasikannya dalam jangka masa sederhana.

    Dalam jangka masa pendek, keutamaan yang diberikan adalah kepada pekerja kembali bekerja dalam sektor-sektor perniagaan (yang terjejas),” katanya selepas mengumumkan laporan sosioekonomi negeri tahun 2020 secara maya, hari ini.

  • Kerajaan Terengganu berdiri teguh bersama Muhyiddin

    Kerajaan Terengganu berdiri teguh bersama Muhyiddin

    Oleh Mohd Lazim Endut

    KERAJAAN Pas Terengganu sentiasa teguh bersama kepimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan kerajaan Perikatan Nasional (PN).

    Malah Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar yakin kerajaan Pas negeri tidak tergugat dengan penarikan sokongan UMNO terhadap Perdana Menteri dan kerajaan PN.

    Menurutnya, walaupun terdapat segelintir pihak yang mendakwa mempunyai lebih sokongan untuk membentuk kerajaan, namun hakikatnya blok pimpinan Muhyiddin adalah terbesar buat masa ini.

    “Ia macam pasaran saham, pukul 10 pagi ada nilaian tertentu dan 30 minit kemudian nilainya menjadi lain, jadi kita kena tunggu dan lihat dari semasa ke semasa mengenai perkembangannya.

    “Blok yang dipimpin Perdana Menteri adalah blok terbesar berbanding yang lain walaupun mereka membuat pelbagai andaian,” katanya dalam hantaran di laman Facebook malam tadi.

    Dalam pada itu, Dr. Ahmad Samsuri yang juga Naib Presiden pas berkata, sekarang bukan masa sesuai untuk berpolitik, sebaliknya semua pihak perlu menggembleng tenaga untuk bersama-sama menyelesaikan masalah rakyat yang terkesan dengan pandemik Covid-19.

    “Saya tidak faham bagaimana ada pihak yang sanggup mengambil kesempatan daripada penderitaan rakyat dengan menambah lagi seksaan baharu demi kepentingan politik dan peribadi mereka hingga sanggup mengheret parti dan negara,” ujarnya.

  • Program SMART SBB tingkat tahap sara diri pesawah

    Program SMART SBB tingkat tahap sara diri pesawah

    Oleh Abu Ubaidillah Rahman

    TAHAP Sara Diri (SSL) beras negara akan dipertingkatkan sebanyak 75 peratus dalam tempoh Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) menerusi Program Smart Sawah Berskala Besar (SMART SBB).

    Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) dalam kenyataan memaklumkan, terdapat beberapa jabatan dan agensi di bawahnya yang akan bertindak sebagai pemantau program dan aktiviti dalam melaksanakan dasar kerajaan serta menyediakan khidmat pengembangan kepada pesawah.

    Menurut MAFI, antaranya, Jabatan Pertanian Malaysia (DOA), Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) dan Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA).

    “Pelaksanaan program SMART SBB ini melibatkan pesawah sebagai rakan kongsi utama kerajaan. Sehubungan itu, kepentingan dan kesejahteraan pesawah dalam sektor padi dan beras negara sentiasa menjadi keutamaan MAFI.

    “Dalam menjaga kepentingan semua pihak yang terlibat, MAFI sentiasa mengadakan sesi libat urus bersama pihak berkepentingan termasuk pesawah melalui jabatan dan agensi yang terlibat bagi memastikan inisiatif ini dapat dilaksanakan secara efektif dengan kerjasama padu bagi mencapai objektif yang dihasratkan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Dalam pada itu, MAFI berkata, program SMART SBB dan projek rintis ternakan udang galah dalam kawasan sawah padi di kawasan Felcra Seberang Perak merupakan dua inisiatif yang berbeza.

    Menurut MAFI, projek rintis itu merupakan kerjasama Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Seberang Perak dengan sebuah syarikat swasta bertujuan meningkatkan pendapatan pesawah selain menikmati hasil daripada penanaman padi.

    “Inisiatif ini bukan sebahagian daripada program SMART SBB,” ujarnya.

    Sementara itu, MAFI berkata, usahasama sektor awam dan swasta juga akan membolehkan pesawah menikmati peningkatan hasil padi per metrik tan setahun sehingga 191 peratus dengan nilai pendapatan tahunan sebanyak 47 peratus.

    Kata MAFI, pertambahan nilai pendapatan itu menerusi peningkatan purata hasil per hektar nasional daripada purata hasil semasa sebanyak 3.5 kepada 7.0 metrik tan.

  • PKP:Pas Kelantan ceramah ‘online’ kupas isu semasa

    PKP:Pas Kelantan ceramah ‘online’ kupas isu semasa

    Oleh Abu Ubaidillah Rahman

    PAS Kelantan akan meneruskan program penerangan secara atas talian bagi menjelaskan isu-isu dan perkembangan semasa dalam keadaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) masih dilaksanakan.

    Timbalan Pesuruhjaya Pas Kelantan, Datuk Mohd. Amar Abdullah berkata, walaupun tidak dapat menyampaikan ceramah secara fizikal, kemudahan media sosial akan dimanfaatkan bagi tujuan itu.

    Katanya, sekarang ceramah, konvesyen dan seminar diadakan menggunakan platform Facebook yang diikuti ramai peserta dan penonton.

    “Sesiapa yang ada Facebook semua boleh tengok ceramah tersebut. Alhamdulilah sambutannya amat menggalakkan. Lagipun apa yang kita bincangkan mengikut perkembangan semasa.

    “Program ceramah secara atas talian diadakan setiap dua minggu sekali bagi mengupas isu-isu semasa manakala program lain turut membabitkan kerjasama dengan Perikatan Nasional,” katanya ketika ditemui di Kota Bharu, hari ini.

    Mengenai persiapan bagi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15, beliau yang juga Naib Presiden Pas berkata, jentera Pas Kelantan sudah lama menyusun gerak kerja.

    Begitu juga katanya, kerjasama melalui Muafakat Nasional (MN) dan Perikatan Nasional (PN) terus berlangsung.

    “Secara umumnya 80 hingga 90 peratus penyokong Pas sudah boleh menerima UMNO. Ada pun yang tak suka pun hanya ada segelintir sahaja mungkin mereka masih terasa dengan ‘luka’ lama terutama golongan veteran,” ujarnya.

  • Pembangkang benar-benar terdesak sekarang

    Pembangkang benar-benar terdesak sekarang

    Oleh Abu Ubaidillah Rahman

    PEMBANGKANG kini dilihat semakin terdesak sehingga terpaksa memberi gambaran kerajaan Perikatan Nasional (PN) hilang majoriti.

    Naib Ketua Pemuda Pas Kelantan, Abdul Malik Abdul Karim berkata, dakwaan itu bukan baharu malah sudah diulang-ulang sehingga rakyat menjadi mual terhadap politik murahan pembangkang itu.

    Beliau berkata, pembangkang juga berlindung di sebalik pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dengan mengadakan himpunan di Kuala Lumpur.

    Katanya, himpunan anak muda yang berpakaian serba hitam di Kuala Lumpur, Sabtu lepas tidak mampu menyembunyikan dalang di sebaliknya.

    “Sekarang bukan masa yang sesuai untuk berhimpun semata-mata mahu melaungkan slogan hidup rakyat, bangkit rakyat dan kerajaan gagal.

    “Perhimpunan seumpama itu biarpun dibenarkan atas nama demokrasi, namun situasi sekarang dengan penularan wabak perlu diberi perhatian serius kerana boleh meragut nyawa.

    “Jika tiada pandemik Covid-19 mereka hendak berhimpun tiga hari tiga malam dengan kebenaran pihak berkuasa pun tiada masalah,” katanya kepada pemberita.

    Abdul Malik berkata, perhimpunan serupa diadakan di laluan masuk ke Parlimen Isnin lalu yang membabitkan ahli-ahli Parlimen pembangkang.

    “Siri himpunan itu tidak boleh dinafikan ada dalangnya di mana akhirnya pembangkang menampilkan wajah mereka.

    “Malangnya mereka tidak memanfaatkan sidang khas Dewan Rakyat minggu lepas bagi menyelesaikan rakyat yang kini hidup dalam tekanan ekoran penularan Covid-19,” katanya.

    Menurutnya, sidang khas Parlimen itu mendukacitakan kerana pembangkang tidak sabar merebut kuasa ketika wabak menular di Parlimen.

  • Daging kerbau India negatif Covid-19 – JPV

    Daging kerbau India negatif Covid-19 – JPV

    Oleh: Bernama

    JABATAN Perkhidmatan Veterinar (JPV) mengesahkan bahawa sampel daging kerbau yang diimport dari India dalam tempoh Januari hingga Julai tahun ini, didapati bebas daripada virus COVID-19.

    Menurut JPV, jabatan itu telah melaksanakan program pemantauan dan pengawasan sejak pandemik COVID-19 menular dalam negara, bermula tahun lepas.

    “Sejak Januari hingga Julai, sebanyak 455 sampel haiwan dan produk berasaskan haiwan keluaran tempatan dan import, termasuk daging kerbau dari India, telah dikumpul dan didapati negatif daripada virus itu.

    “Setelah tiada virus COVID-19 dikesan pada daging kerbau yang diimport dari India, JPV tidak akan mengenakan sekatan import untuk daging kerbau sejuk beku,” menurut JPV kepada Bernama menerusi e-mel, semalam.

    JPV juga mempunyai sistem yang teratur mengenai prosedur kelulusan pengimportan daging sejuk beku yang turut melibatkan daging kerbau India yang akan dibawa masuk ke negara ini.

    Justeru jabatan menasihatkan orang ramai agar tidak bimbang dengan keselamatan daging kerbau sejuk beku yang diimport, kerana daging tersebut diperoleh dari rumah sembelihan yang telah mendapat kelulusan kerajaan Malaysia selain pusat pengeluaran daging dipantau rapi oleh pihak berkuasa negara pengeksport produk tersebut. – BERNAMA

  • Pengarah sempat urus 19 jenazah Covid-19 sebelum meninggal dunia

    Pengarah sempat urus 19 jenazah Covid-19 sebelum meninggal dunia

    Oleh Abu Ubaidillah Rahman

    PENGARAH Jabatan Kesihatan dan Persekitaran Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang), Kuzaini Hamidon, meninggal dunia di Hospital Putrajaya, hari ini kerana kegagalan fungsi organ.

    Allahyarham yang juga pegawai khas mengendalikan pengurusan jenazah Covid-19 berpusat di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Baqi’, Cyberjaya 10, dimasukkan ke hospital selepas rebah di kediamannya di Puchong Perdana semalam.

    Bagaimanapun, Allahyarham disahkan meninggal dunia pada pukul 2.45 pagi tadi ketika menerima rawatan.

    Allahyarham yang berusia 47 tahun semas meninggal dunia meninggalkan isteri, Nor Azean Ahmad, 44, dan tiga anak.

    Yang Dipertua Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang), Datuk Abd Hamid Hussain berkata, Allahyarham seorang pegawai yang berdedikasi dan komited dengan kerjanya sejak mula bertugas di MPSepang sejak tahun 2012.

    Menurutnya, Allahyarham diberikan tugas khas untuk mengendalikan pengurusan Jenazah Covid-19 berpusat di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Baqi’ membabitkan jenazah pesakit Covid-19 daripada Hospital Kajang, Hospital Serdang dan Hospital Pengajar Universiti Putra Malaysia (HPUPM).

    “Sejak diberikan tugas khas itu, Allahyarham sempat menguruskan 19 jenazah bermula Sabtu lalu.

    “Pemergian Kuzaini adalah satu kehilangan besar kepada MPSepang dan seluruh warga pihak berkuasa tempatan (PBT) ini,” katanya.

  • Katil ICU rawat Covid-19 di Pulau Pinang hampir 100 peratus

    Katil ICU rawat Covid-19 di Pulau Pinang hampir 100 peratus

    PENGGUNAAN katil di unit rawatan rapi (ICU) di hospital-hospital di Pulau Pinang bagi merawat pesakit Covid-19 ketika ini hampir mencecah 100 peratus.

    Lebih membimbangkan, penambahan pesakit yang memerlukan rawatan di ICU itu dijangka bertambah dalam minggu-minggu mendatang disebabkan peningkatan mendadak kes positif Covid-19 di Pulau Pinang ketika ini.

    Semalam, Pulau Pinang mencatatkan sebanyak 867 kes positif Covid-19 iaitu jumlah kes harian tertinggi pernah direkodkan di negeri ini.

    Setakat ini juga, terdapat lebih 40 kluster aktif Covid-19 dicatatkan di Pulau Pinang dengan majoritinya melibatkan kluster tempat kerja selain peningkatan kes-kes sporadik atau jangkitan di dalam komuniti.

    Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, berikutan tekanan terhadap penggunaan kemudahan di ICU hospital itu, kerajaan negeri memohon tindakan segera diambil Kementerian Kesihatan dan Jabatan Kesihatan negeri.

    Ujar beliau, kerajaan negeri bersedia bekerjasama dengan KKM untuk menyusun serta mengubah suai ruang sedia ada di hospital untuk dijadikan ruang rawatan pesakit Covid-19.

    Dalam masa sama, beliau berharap Kerajaan Pusat dapat menyelesaikan isu pengagihan bekalan vaksin untuk negeri-negeri supaya program imunisasi yang sedang berjalan tidak terbantut.

    “Pada bulan lalu Pulau Pinang menerima bekalan vaksin yang baik sekali gus membolehkan kita memberi suntikan sebanyak 700,000 dos kepada rakyat.

    “Tetapi bulan ini, kita dapat maklumat daripada Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 yang mana mereka telah meminta masa untuk meneliti bekalan vaksin untuk negeri ini,” katanya.