Author: Admin

  • Wang RM260,000 milik peguam lesap ditipu ‘pegawai’ LHDN

    Wang RM260,000 milik peguam lesap ditipu ‘pegawai’ LHDN

    SEORANG peguam di Bukit Mertajam, Pulau Pinang kerugian hampir RM260,000 selepas dipercayai diperdaya sindiket Macau Scam yang menyamar sebagai pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

    Dalam kejadian Rabu lalu, mangsa berusia 40 tahun itu dikatakan mula terjerat dalam sindiket berkenaan selepas menerima panggilan telefon ketika berada di rumahnya di Sungai Petani, Kedah.

    Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial negeri, Asisten Komisioner Mohd. Rosni Mohd. Lazim, menerusi panggilan telefon itu, suspek mendakwa kononnya mangsa mempunyai tunggakan cukai berjumlah RM32,000 susulan pembukaan sebuah syarikat di Melaka.

    Tambahnya, mangsa bagaimanapun menafikan perkara itu sebelum panggilannya disambungkan kononnya kepada dua pegawai polis yang kemudiannya mendakwa pula dia terlibat dalam kes dadah.

    “Suspek ketiga yang memperkenalkan diri sebagai Asisten Komisioner Koh Fei Chew memaklumkan nama mangsa boleh dibersihkan namun perlu membuat pemindahan wang berjumlah RM259,900.

    “Mangsa yang terpedaya dengan kata-kata suspek itu telah membuat transaksi pindahan wang secara berperingkat ke dalam tiga akaun bank berbeza sebelum menyedari ditipu dan membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah semalam,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

    Menurut Mohd. Rosni, semakan polis ke atas nombor akaun sebuah bank yang diberikan oleh suspek kepada mangsa dipercayai milik keldai akaun namun tiada laporan polis dibuat setakat ini.

    Jelasnya, nombor telefon yang digunakan sindiket pula pernah dilaporkan bersangkut tiga laporan sebelum ini iaitu masing-masing di Bukit Mertajam; Dato Keramat dan di Nilai, Negeri Sembilan.

    “Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseskaan iaitu menipu,” katanya.

  • KKM: 80 peratus kes BID tidak didiagnos mempunyai Covid-19

    KKM: 80 peratus kes BID tidak didiagnos mempunyai Covid-19

    Oleh:Bernama

    KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) hari ini mendedahkan bahawa 80 peratus daripada kes kematian sebelum tiba di hospital (BID) akibat COVID-19, didapati mangsa tidak pernah didiagnos dengan penyakit tersebut.

    Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam) Datuk Dr Chong Chee Kheong berkata mereka ini sama ada tidak mempunyai akses untuk melakukan diagnos atau tidak pernah tampil untuk membuat ujian.

    “Kami dapati sebahagian besar mereka adalah bukan warga Malaysia,” katanya pada sidang akhbar mengenai perkembangan COVID-19 di sini hari ini.

    Chong berkata daripada 1,000 kematian dilaporkan setiap minggu, 80 hingga 100 adalah kes BID.

    Beliau berkata BID meningkat secara konsisten beberapa minggu lalu dan bagi menangani situasi ini Pusat Penilaian COVID-19 secara Maya (VCAC) telah diaktifkan seminggu lalu untuk memastikan tindak balas pengurusan yang efektif.

    Beliau berkata, VCAC membolehkan orang ramai yang diuji positif tetapi tidak bergejala atau mempunyai gejala ringan menjalani pengasingan di rumah dan dipantau melalui kit penilaian di rumah (HAT) dan bukannya datang ke Pusat Penilaian COVID-19 (CAC) fizikal.

    “Sebanyak 60 peratus (daripada mereka yang dijangkiti) biasanya tidak bergejala dan kira-kira 30 peratus mempunyai gejala ringan. Hanya lima hingga 10 peratus perlu dinilai secara fizikal, mereka ini yang perlu datang ke CAC fizikal,” katanya.

    Beliau berkata, VCAC adalah kaedah bagi memastikan kes tidak bergejala tidak memenuhi hospital dan CAC fizikal.

    Sementara itu Chong yang juga Komander Pasukan Bertindak Khas Greater Klang Valley, berkata pemain industri bersetuju mematuhi peraturan bagi mencegah wabak di tempat kerja.

    Beliau berkata walaupun kunci bagi mencegah wabak adalah vaksinasi, majikan perlu membawa pekerja yang bergejala menjalani ujian dan memberi akses ke klinik panel.

    “Sekiranya berlaku kes positif, majikan mesti mengasingkan mereka yang kontak rapat dan menjaga kebajikan mereka dengan menyediakan makanan dan memberi bantuan sepanjang tempoh pengasingan,” katanya.

    Chong juga menggesa majikan mendaftar dengan Safe@Work inisiatif oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) bagi memastikan persekitaran kerja yang selamat.

    Hadir sama pada sidang akhbar tersebut Ketua Setiausaha KKM Datuk Mohd Shafiq Abdullah, Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Penyelidikan dan Sokongan Teknikal) Datuk Dr Hishamshah Mohd Ibrahim dan Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) Datuk Dr Sha’ari Ngadiman.- BERNAMA

  • PM sampai Amanat Perdana sempena pelancaran Bulan Kebangsaan esok

    PM sampai Amanat Perdana sempena pelancaran Bulan Kebangsaan esok

    Oleh Abu Ubaidillah Rahman

    Perdana Menteri akan menyampaikan Amanat Perdana sempena Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang pada pukul 10.30 pagi esok.

    Jabatan Penerangan Malaysia dalam satu kenyataan memberitahu, amanat itu akan disiarkan menerusi semua stesen penyiar dan menerusi Facebook Merdeka360, Jabatan Penerangan Malaysia dan RTM Klik.

    “Pelancaran itu akan dilaksanakan dengan konsep baharu iaitu melalui penyampaian Amanat Perdana oleh Perdana Menteri secara maya selaras sambutan dalam suasana norma baharu.

    “Tema sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia tahun ini, Malaysia Prihatin, kekal seperti tahun lalu bagi menghargai keprihatinan, kesungguhan dan ketabahan rakyat dan kerajaan dalam menangani pandemik Covid-19,” jelas kenyataan itu.

    Tambah kenyataan tersebut, rakyat Malaysia disaran mengibarkan Jalur Gemilang sebagai budaya semangat merdeka sepanjang masa.

    Sambutan itu juga sebahagian usaha murni bagi memaparkan solidariti masyarakat di negara ini.

    Maklumat lanjut Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia dengan sub tema, Demi Negara itu boleh diperoleh dengan melayari portal rasmi sambutan tahun ini di pautan www.merdeka360.my.

  • Semua warga pengajian tinggi divaksin menjelang Oktober

    Semua warga pengajian tinggi divaksin menjelang Oktober

    Oleh Abu Ubaidillah Rahman

    SEMUA warga pengajian tinggi menjelang Oktober depan yang akan dilakukan secara berperingkat-peringkat dalam usaha mewujudkan gelembung kampus di institusi pengajian tinggi (IPT).

    Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad berkata, perkara itu dipersetui kementeriannya dan Pasukan Petugas Khas Imunisasi Covid-19 (CITF).

    “Pemberian vaksin itu adalah sebagai usaha untuk mewujudkan gelembung kampus di IPT.

    “Dengan usaha ini, lebih ramai pelajar dapat kembali ke kampus secara berfasa dan menjalani Pembelajaran dan Pengajaran (PdP) secara hibrid,” katanya menerusi hantaran dalam Facebook beliau, hari ini.

    Noraini berkata, langkah itu merupakan sebahagian daripada Pelan Pemulihan IPT (Pemulih IPT) yang sedang dirangka oleh kementerian itu.

    “Dalam Pemulih IPT, beberapa strategi dan prosedur operasi standard (SOP) sedang diperincikan bagi menentukan keadaan mereka yang sudah divaksin selamat untuk berinteraksi sesama sendiri, dalam kelompok yang telah divaksin,” katanya.

    Noraini berkata, kementerian tersebut juga sedang memperhalusi langkah-langkah kawalan dalam mengekang penularan virus Covid-19 di IPT.

  • Dr. Noraini letak jawatan Menteri Pengajian Tinggi

    Dr. Noraini letak jawatan Menteri Pengajian Tinggi

    Oleh Abu Ubaidillah Rahman

    AHLI Parlimen Parit Sulong, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad hari ini meletakkan jawatan sebagai Menteri Pengajian Tinggi.

    Beliau menzahirkan menzahirkan ucapan terima kasih kepada Perdana Menteri kerana telah memberi peluang kepadanya untuk berkhidmat sebagai Menteri Pengajian Tinggi dalam kerajaan Persekutuan.

    “Namun, berdasarkan keputusan Majlis Kerja Tertinggi UMNO pada 3 Ogos 2021, saya sebagai Ketua Wanita UMNO, akur dengan keputusan parti dan meletak jawatan sebagai Menteri Pengajian Tinggi, Ahli Jemaah Menteri Kerajaan Persekutuan berkuatkuasa serta-merta.

    “Keputusan parti akan dilaksanakan ketika Parlimen bersidang,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Dalam pada itu, beliau percaya kerajaan sudah berusaha melakukan yang terbaik dalam menguruskan negara mendepani pandemik Covid-19.

    Usaha itu katanya, akan tetap diteruskan walaupun tidak lagi menjadi Menteri Pengajian Tinggi.

  • Kes Covid-19 melambung disebabkan kelonggaran PKP

    Kes Covid-19 melambung disebabkan kelonggaran PKP

    Oleh Abu Ubaidillah Rahman

    PUNCA peningkatan kes Covid-19 di Malaysia sehingga mencecah paras 20,000 adalah kesan kumulatif untuk tempoh sebulan lalu.

    Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam), Datuk Dr. Chong Chee Kheong berkata, kesan terkumpul itu antara lain merangkumi keputusan melonggarkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 dan pembukaan lebih banyak sektor ekonomi.

    “Ini juga termasuk sambutan perayaan dan pergerakan segelintir masyarakat merentas daerah serta negeri dikenal pasti antara penyumbang kepada peningkatan kes sejak kebelakangan ini.

    “Memang ramai yang bimbang dengan peningkatan kes. Tapi ini daripada kesan kumulatif sebulan lalu, selepas tempoh dua hingga empat minggu daripada kelonggaran ketika PKP 3.0, majlis sambutan perayaan, pembukaan ekonomi dan pergerakan masyarakat.

    “Sekarang kita lihat peningkatan kes. Malah, keadaan ini berpunca daripada varian Delta yang lebih dominan di Malaysia,” katanya dalam sidang akhbar di Putrajaya, hari ini.

    Katanya, berikutan kebimbangan peningkatan kes yang berpusat di Selangor dan Kuala Lumpur, Pasukan Bertindak Khas Greater Klang Valley (GKV STF) ditubuhkan bagi memastikan sistem perkhidmatan kesihatan tidak terus terbeban.

    Beliau yang juga Komander Pusat Arahan GKV STF berkata, Lembah Klang pada awalnya dikenal pasti menjadi penyumbang di antara 60 hingga 70 peratus daripada kes yang dicatatkan di seluruh negara.

    “Bagaimanapun, sekarang kes di Lembah Klang menyusut sedikit apabila menyumbang sekitar 50 hingga 60 peratus daripada kes di seluruh negara.

    “Peningkatan kes sekarang bukan hanya berlaku di Lembah Klang, iaitu Selangor dan Kuala Lumpur, tetapi di seluruh negara,” katanya.

  • Pendapatan purata isi rumah merosot akibat Covid-19

    Pendapatan purata isi rumah merosot akibat Covid-19

    Oleh Abu Ubaidillah Rahman

    LAPORAN Anggaran Pendapatan Isi Rumah dan Insiden Kemiskinan Malaysia 2020 mendapati pendapatan isi rumah sepanjang tahun lalu mengalami kemerosotan akibat pandemik Covid-19.

    Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, laporan itu yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia mendapati pendapatan isi rumah kasar bulanan purata menurun 10.3 peratus untuk merekodkan RM7,089 berbanding RM7,901 pada 2019.

    Menurutnya, penurunan tersebut disumbangkan oleh isi rumah atau individu yang mengalami kehilangan atau pengurangan pendapatan terutama mereka yang berstatus pekerja, bekerja sendiri dan lain-lain.

    “Bukan sahaja akibat kehilangan pekerjaan, malah turut disumbangkan oleh pengurangan jam bekerja dan peningkatan guna tenaga tidak penuh berkaitan dengan kemahiran.

    “Pendapatan isi rumah kasar bulanan penengah yang mencatatkan penurunan 11.3 peratus berbanding pada tahun 2019 dan nilai pendapatan isi rumah kasar bulanan penengah pada tahun 2020 ialah RM5,209 (2019: RM5,873),” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Mohd. Uzir berkata, semua negeri mencatatkan penurunan pendapat isi rumah kasar bulanan purata dan penengah.

    Menurutnya, Wilayah Persekutuan Putrajaya merekodkan penurunan paling rendah serta kekal merekodkan pendapatan isi rumah kasar bulanan purata dan penengah paling tinggi berbanding negeri lain masing-masing sebanyak RM12,322 dan RM9,743.

    Berdasarkan kajian tersebut katanya, dianggarkan bilangan isi rumah miskin meningkat kepada 639,800 isi rumah pada 2020 berbanding 405,400 isi rumah kepada 8.4 peratus.

  • Polis berkas lelaki warga asing curi pakaian dalam wanita

    Polis berkas lelaki warga asing curi pakaian dalam wanita

    Oleh MOHD LAZIM ENDUT

    TINDAKAN seorang lelaki warga asing mencuri sejumlah pakaian dalam wanita membawa padah, apabila dia diberkas polis dalam satu kejadian di Bentong, Pahang semalam.

    Suspek berusia 36 tahun itu berjaya ditahan dalam serbuan yang dilakukan di rumah sewanya di Kampung Kemasur, Bentong, semalam

    Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu daripada seorang lelaki tempatan berusia 54 tahun.

    “Ketika lelaki berkenaan berada di rumahnya, dia dimaklumkan jiran bahawa ada melihat seorang lelaki tidak dikenali dalam keadaan mencurigakan berlegar-legar di kawasan rumahnya pukul 3 petang.

    “Tidak lama kemudian, anak perempuan kepada lelaki tersebut berusia 20-an memberitahu, beberapa pakaian dalam miliknya didapati hilang dari ampaian di belakang rumah,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

    Zaiham memberitahu, susulan laporan itu, polis bertindak menahan seorang lelaki warga asing yang juga penganggur berusia 36 tahun di rumahnya di Kampung Kemasur, di sini, pada pukul 11.30 malam.

    “Lelaki itu berjaya dikesan hasil daripada rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di rumah jiran mangsa,”ujarnya.

    Menurut Zaiham, hasil serbuan yang dilakukan di rumah suspek, polis telah menemui sejumlah besar pakaian dalam wanita yang dikumpul dan disimpan di beberapa bahagian di dalam biliknya.

    Bagaimanapun katanya, pihak polis hanya menerima satu laporan berhubung kejadian seumpama itu.

    “Siasatan lanjut akan dijalankan bagi mengenal pasti sama ada suspek juga melakukan perkara tersebut di kawasan lain dalam daerah ini,” katanya.

    Menurut beliau, suspek kini direman selama 14 hari mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

  • Tidak wajar melabel Ismail Sabri sebagai pengkhianat

    Tidak wajar melabel Ismail Sabri sebagai pengkhianat

    Oleh Abu Ubaidillah Rahman

    PRESIDEN UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi tidak boleh melabel Naib Presiden parti itu, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai pengkhianat hanya kerana menentang keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO dan tampil berdiri bersama Perdana Menteri dalam sidang akhbar baru-baru ini.

    Penganalisis politik dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr Kartini Aboo Talib berkata, Presiden UMNO itu juga tidak wajar mahu mengenakan tindakan ke atas Ismail Sabri atas tuduhan melanggar mana-mana peraturan yang terdapat dalam UMNO.

    “Tindakan Ismail Sabri adalah kerana kepatuhan kepada tugas dan tanggungjawab yang diberikan kerajaan dan adalah tepat sebagai Timbalan Perdana. Ahmad Zahid harus membezakan antara keperluan tugas-tugas Jemaah Menteri berbanding parti.

    “Jika beliau sendiri tidak berupaya membezakan tanggungjawab ini, itu petanda Ahmad Zahid harus meletakkan jawatan kerana tidak lagi peka dan tidak sihat dalam membuat keputusan kerana dipengaruhi emosi.

    “Dalam hal ini, isunya bukan Ismail Sabri khianati parti, sebaliknya Ahmad Zahid yang jelas mengkhianati parti dan membelakangkan ahli UMNO apabila bersekongkol dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan PKR,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Sementara itu, Kartini berkata, Ahmad Zahid kini seolah-olah menjadi diktator yang cuba mengarah apa yang perlu ahli buat dan turuti.

    Justeru katanya, taat setia dan rasa hormat ahli UMNO kepada Presiden tidak perlu membuta-tuli.

    Jelasnya, ini kerana dalam situasi politik ketika ini, kepimpinan Presiden dipertikai daripada segi dedikasi dan kewibawaan setelah beberapa siri kesalahan melibatkan integriti terhadap UMNO dan ahli-ahli UMNO.

  • Kontrak rapat punca kes Covid-19 di Kedah

    Kontrak rapat punca kes Covid-19 di Kedah

    Oleh RIZQI ZABIDI

    Jangkitan Covid-19 di Kedah dikesan telah berlegar dalam kalangan masyarakat sehingga menyukarkan petugas kesihatan untuk mengenal pasti hubungan antara kes-kes baharu dengan kluster mahu pun kes dikesan lebih awal sebelum ini.

    Menurut Pengarah Kesihatan Negeri, Dr. Othman Warijo, keadaan itu seharusnya menjadi amaran kepada semua pihak untuk terus mematuhi prosedur operasi standard ditetapkan selain tidak berada di luar rumah melainkan jika mempunyai hal-hal mustahak.

    “Berdasarkan peningkatan kes di Kedah kebelakangan ini, majoritinya adalah disebabkan kontak rapat, diikuti saringan bergejala. Daripada situ, kita mendapat gambaran bahawa jangkitan Covid-19 telah berada dalam masyarakat dan itu bermakna, kita tak dapat mengenal pasti sama ada kes baharu itu ada hubungan dengan kluster mahu pun kes lain.

    “Maknanya jangkitan itu ada di mana-mana dan yang membezakannya hanyalah, sama ada kita dapat kesan atau tidak kewujudannya. Jadi, itu memang amat membimbangkan,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mengiringi Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md. Nor melawat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Mega di Amanjaya Sports Arena, Sungai Petani, hari ini.

    Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Dr. Mohd. Hayati Othman, Ketua Polis Kedah, Datuk Kamarul Zaman Mamat serta Pegawai Daerah Kuala Muda, Abdullah Hashim.

    Othman menambah, ketika ini katil-katil hospital yang disediakan untuk pesakit Covid-19 termasuk di ICU dalam negeri ini didapati penuh iaitu melebihi 90 peratus daripada keseluruhan kapasiti.

    “Namun keadaannya masih boleh diuruskan. Di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) misalnya, jika ada mana-mana kes yang tak dapat ditampung, kita akan bawa ke hospital berdekatan seperti Hospital Yan.

    “Kita juga ada perancangan untuk mengubah beberapa wad menjadi wad Covid seperti di HSAH, Hospital Sultanah Bahiyah dan Hospital Kulim yang memang ramai pesakit Covid sekarang ini,” katanya.

    Dalam pada itu beliau memaklumkan, setakat ini terdapat tiga kontena sejuk beku untuk menempatkan jenazah Covid-19 digunakan di Kedah yang ditempatkan di HSB, HSAH di Sungai Petani.

    “Selepas ini ada beberapa pihak lagi yang setuju untuk menyumbangkan kontena tersebut antaranya Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) serta Tenaga Nasional Berhad (TNB).

    “Kontena yang sampai selepas ini akan diagihkan mengikut keperluan antaranya di Hospital Baling dan Hospital Sultanah Maliha di Langkawi,” katanya.