ORANG ramai yang berhasrat membeli kit ujian kendiri COVID-19 disaran supaya membuat rujukan di laman sesawang rasmi Pihak Berkuasa Peranti Perubatan Malaysia (MDA) di pautan https://portal.mda.gov.my/ terlebih dahulu bagi mendapatkan senarai syarikat dan produk yang telah diluluskan oleh MDA bagi pengedaran dan penjualan kit berkenaan.
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) yang membuat saranan itu berkata baru-baru ini pihaknya telah menyiasat aduan seorang pengguna yang membeli kit ujian kendiri COVID-19 pada harga RM60 seunit di sebuah farmasi di Terengganu, dan siasatan mendapati bekalan kit itu diambil dari sebuah farmasi di Pahang.
Dalam satu kenyataan di sini KPDNHEP berkata farmasi di Pahang yang membekalkan kit berkenaan didapati bukanlah salah satu dari enam syarikat yang mendapat kelulusan pihak berkuasa untuk mengedar dan menjual kit itu kepada orang awam.
Menurutnya pemeriksaan di farmasi di Terengganu pula mendapati peniaga berkenaan mematuhi peraturan tanda harga ke atas barangan itu bagi membolehkan pengguna membuat keputusan pembelian berdasarkan harga yang dipaparkan, kerana hingga kini kit ujian kendiri COVID-19 belum disenaraikan dalam barangan kawalan.
“KPDNHEP akan mengemukakan dapatan siasatan ini kepada pihak yang bertanggungjawab iaitu MDA untuk tindakan selanjutnya memandangkan perkara ini bukan di bawah bidang kuasa KPDNHEP,” katanya.- BERNAMA
Ada pihak yang mencadangkan supaya Majlis Pemulihan Negara (MPN) hanya dianggotai oleh kumpulan professional. Ahli politik tak boleh jadi ahli.
Saya nak jelaskan sedikit bagaimana sistem kerajaan berfungsi.
Ahli politik yang menganggotai MPN adalah atas kapasiti mereka sebagai Menteri. Bukan Ketua Bahagian atau Ketua Cawangan parti politik.
Kenapa mereka mesti ada di situ? Sebab merekalah yang akan melaksanakan segala keputusan yang akan dibuat oleh MPN.
Ingat, kuasa Eksekutif Persekutuan terletak hak pada Yang di-Pertuan Agong dan boleh dilaksanakan oleh Baginda Tuanku atau oleh Jemaah Menteri menurut peruntukan undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan.
Perjalananan pentadbiran harian kerajaan (day to day running of the government) dilaksanakan oleh Jemaah Menteri.
Jadi apabila MPN membuat apa-apa keputusan, keputusan itu hendaklah dilaksanakan oleh menteri dan kementerian yang bertanggungjawab. Maka wajiblah menteri yang berkenaan menjadi anggota tetap MPN atau hadir atas jemputan dalam mana-mana mesyuarat MPN apabila perkara yang berkaitan dengan kementeriannya dibincang dalam mesyuarat MPN.
Dalam mesyuarat MPN yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri semalam, ada satu kertas yang dibentangkan oleh menteri dan dua kertas yang dibentangkan oleh wakil kumpulan professional. Ketiga-tiga kertas ini dibincang dan dibahas oleh semua anggota yang hadir, termasuk oleh kumpulan pakar dan profesional.
Perdana Menteri dan menteri-menteri banyak mendengar pandangan kumpulan pakar dari pelbagai bidang dalam membuat keputusan dan rumusan. Banyak idea yang disampaikan oleh mereka mengenai usaha menangani pandemik, vaksinasi, bantuan kepada golongan yang terjejas, pembukaan sektor ekonomi, sosial, dll.
Pandangan yang disampaikan ini menjadi sebahagian daripada keputusan untuk dilaksanakan oleh kerajaan.
Bayangkan jika MPN ini hanya dianggotai oleh kumpulan pakar dan professional sahaja tanpa melibatkan Perdana Menteri dan Menteri?
Siapa yang nak melaksanakan segala pandangan yang disampaikan dan keputusan yang dibuat?
Ya, majlis itu boleh berbincang dan berbahas mengenai macam-macam perkara, tetapi ke mana nak dibawa pandangan-pandangan itu untuk dilaksanakan? Bukankah kepada kerajaan juga akhirnya?
Pada saya, kita perlu jelas bagaimana sistem kerajaan berfungsi.
*Penulis adalah Ketua Setiausaha Sulit Kanan Perdana Menteri
ORANG ramai dinasihatkan supaya tidak menjalankan ujian antibodi untuk vaksin COVID-19 kerana masih tiada garis panduan klinikal dikeluarkan mengenai perkara itu, kata Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) Khairy Jamaluddin.
Beliau berkata seperti mana garis panduan dikeluarkan Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) dan Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan (FDA) Amerika Syarikat serta amalan di negara lain, ujian tersebut adalah tidak digalakkan.
“Kementerian Kesihatan (KKM) bakal keluarkan kenyataan dalam masa terdekat (mengenai perkara itu).
“Masih tidak ada garis panduan klinikal untuk ujian antibodi mana yang boleh hasilkan keputusan yang tepat,” katanya dalam sidang media selepas melawat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Integrasi Persada PLUS, hari ini.
Menurut Khairy, Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) bagaimanapun sedang menjalankan kajian mendalam mengenai kesan pengambilan vaksin COVID-19 ke atas sistem imun dan hasil kajian akan diumumkan kepada orang ramai.
Sementara itu, susulan kejayaan operasi lonjakan kapasiti di Lembah Klang dengan 98 peratus daripada penduduk dewasanya telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin COVID-19 setakat 1 Ogos, Khairy berkata tumpuan kini diberikan kepada negeri-negeri yang sedang menyaksikan peningkatan kes harian.
Khairy berkata esok beliau akan menghadap Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar serta memberi taklimat kepada kerajaan negeri Johor mengenai perancangan dalam memastikan peningkatan kes di negeri itu dapat dikawal melalui pelbagai strategi vaksinasi.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi itu berkata Malaysia kini mendahului senarai vaksinasi harian per kapita di seluruh dunia namun dengan bekalan vaksin yang masih terhad, pemberian optimum negara sukar untuk melepasi kadar semasa 400,000 hingga 500,000 dos vaksin sehari.
“Bukan semua bekalan vaksin kita telah sampai. Bila kita beli, bekalan vaksin akan tiba dari minggu ke minggu, penghantaran mingguan. Jadi, sangat sukar untuk melepasi itu,” katanya.- BERNAMA
SULTAN Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar hari ini bertitah menyarankan agar sektor swasta turut bersama-sama menyumbang bantuan dalam usaha menangani pandemik COVID-19 di negeri ini.
Baginda bertitah sumbangan wang tunai daripada sektor swasta penting untuk memastikan sistem kesihatan hospital-hospital di Johor terus dilengkapi dengan pelbagai peralatan perubatan untuk terus merawat pesakit COVID-19.
“Kita perlu menangani COVID-19 secara bersama dan tidak hanya bergantung kepada kerajaan, saya berharap sektor swasta turut tampil dalam menghulurkan bantuan kewangan supaya peralatan-peralatan perubatan dapat disampaikan kepada hospital.
“Sumbangan boleh disampaikan kepada Yayasan Raja Zarith Sofiah Negeri Johor untuk pembelian barangan perubatan, manakala sumbangan kepada Yayasan Sultan Ibrahim Johor akan digunakan untuk bantuan makanan kepada golongan memerlukan,” titah baginda menerusi hantaran di laman Facebook rasmi baginda, di sini.
Sultan Ibrahim turut menerima permohonan bantuan senarai peralatan perubatan daripada Jabatan Kesihatan Negeri Johor untuk menangani pandemik berkenaan termasuk katil, oxygen regulator (bull nose), oxygen regulator (pin index), oxygen flow meter, 10L cylinder medical oxygen gas/regulator/trolly, set tekanan darah tinggi dan sebagainya.
Baginda turut berkenan mengurniakan sumbangan peribadi RM5 juta bagi membeli peralatan untuk keperluan hospital-hospital di negeri ini.
Sektor swasta yang ingin menyampaikan sumbangan boleh menghubungi Yayasan Raja Zarith Sofiah Negeri Johor di talian 07-2355252 atau Yayasan Sultan Ibrahim Johor di talian 07-3564848.
Sultan Johor pada masa sama bertitah mana-mana rakyat di negeri ini yang memerlukan bantuan makanan boleh menghubungi Pejabat-Pejabat Daerah atau Pejabat Penghulu di kawasan masing-masing.- BERNAMA
PERDANA Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menyeru seluruh rakyat Malaysia menterjemahkan solidariti dalam melawan pandemik COVID-19 dengan mengibarkan Jalur Gemilang.
Dalam ucapannya semasa melancarkan program Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2021 hari ini, katanya beliau berharap orang ramai menyahut seruan itu dengan penuh rasa bangga, tertib serta rasa hormat, dan mengibarkan Jalur Gemilang di kediaman mahupun kenderaan masing-masing.
“Jalur Gemilang adalah lambang negara yang mampu membangkitkan semangat patriotisme dalam hati setiap rakyat Malaysia, yang mencetuskan solidariti dalam mendepani apa jua cabaran yang mendatang.
“Marilah kita bersama-sama melakukannya demi menzahirkan rasa cinta terhadap negara, diiringi doa dan harapan agar negara akan segera pulih dari wabak COVID-19, dan kita dapat kembali kehidupan normal dan mengecapi kemakmuran bersama,” katanya.
Majlis pelancaran yang disiarkan di Radio Televisyen Malaysia (RTM) hari ini, turut dihadiri Menteri Komunikasi Dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah merangkap Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2021.
Terengganu merupakan tuan rumah pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang pada tahun ini, namun disebabkan negara kini berada dalam Pelan Pemulihan Negara bagi mengawal penularan COVID-19, tiada acara sambutan secara fizikal diadakan.
Muhyiddin berkata tema sambutan tahun ini kekal seperti tahun lepas iaitu Malaysia Prihatin, seiring dengan iltizam dan aspirasi berterusan Kerajaan Perikatan Nasional dalam menyemai rasa cinta kepada negara, selain menyemarakkan semangat kebersamaan dalam kalangan rakyat ketika negara masih memerangi pandemik COVID-19.
“Saya yakin bahawa saudara dan saudari mempunyai semangat cintakan negara yang tinggi, dan dapat mengambil iktibar serta aspirasi daripada kepentingan meraikan bulan bersejarah ini, yang menyaksikan negara kita mencapai kemerdekaan,” katanya.
Beliau berkata melalui semangat cintakan negara yang sentiasa diperteguhkan, rakyat negara ini akan dapat mengekalkan kehidupan yang harmoni, saling mengasihi dan bersatu hati meskipun berlainan kaum, agama dan latar belakang.
Perdana Menteri berkata semangat juang tinggi pemimpin dan nenek moyang dalam menuntut kemerdekaan negara perlu dijadikan iktibar dan memberi inspirasi kepada rakyat negara ini yang sedang berperang dengan musuh yang sukar dilihat dan lebih berbahaya seperti COVID-19.
“Saya berdoa agar saudara dan saudari akan terus cekal dan dikurniakan kekuatan dalam usaha kita untuk menamatkan wabak COVID-19 ini,” katanya.- BERNAMA
POLIS menahan tiga remaja lelaki selepas tular rakaman video menunjukkan salah seorang daripadanya memegang senjata menyerupai pistol, ketika mereka berada di hadapan sebuah rumah di Ipoh, semalam.
Ketua Polis Perak Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, pihaknya mengesan rakaman video ketiga-tiga remaja berusia 20 hingga 22 tahun itu melalui aplikasi Whatsapp, pada kira-kira pukul 1.30 tengah hari tadi.
“Perbuatan tiga remaja tersebut telah mendatangkan kegusaran kepada masyarakat terhadap keselamatan awam.
“Bertindak atas maklumat, pihak Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak berjaya menangkap dua remaja yang terlibat, serta merampas satu senjata tiruan yang menyerupai senjata api jenis pistol semi-auto pada kira-kira pukul 2.30 petang.
“Ketika ditahan, kedua-dua remaja tersebut sedang berkeliaran menaiki motosikal di Jalan Kampung Paloh, manakala seorang lagi remaja yang terlibat telah ditahan pada kira-kira pukul 7 petang,” katanya dalam kenyataan di sini malam tadi.
Beliau berkata ketiga-tiga remaja itu mengaku telah membeli pistol tiruan berkenaan dan berkumpul di hadapan sebuah rumah semalam sambil meminum arak, dan salah seorang daripada mereka mempamerkan pistol tiruan yang dimiliki dengan dirakam oleh rakan yang lain sebelum video ditularkan.
Mior Faridalathrash berkata, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 36 Akta Senjatapi 1960 kerana memiliki senjata tiruan tanpa lesen yang sah, dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara tidak melebihi setahun atau dikenakan denda tidak melebihi RM5,000 atau kedua-duanya.
“Pihak polis menasihatkan orang ramai agar tidak menularkan sebarang aksi dan perbuatan yang boleh mengganggu gugat keselamatan awam, dan mendatangkan kegusaran kepada masyarakat,” katanya.
Katanya pihak polis turut berterima kasih kepada pihak masyarakat yang memberikan maklumat dan kerjasama, dalam memastikan keselamatan dan ketenteraman awam terpelihara.- BERNAMA
SEBANYAK 23,608,290 dos vaksin COVID-19 telah diberikan menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) setakat semalam.
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba menerusi perkongsian infografik di Twitternya memaklumkan daripada jumlah itu, seramai 15,350,180 orang menerima suntikan dos pertama manakala 8,258,110 orang menerima dos kedua.
“Mengikut peratusan, 47 peratus daripada populasi negara telah mendapat dos pertama, manakala 25.3 peratus telah melengkapkan dua dos suntikan vaksin COVID-19 mereka,” katanya.
Sementara itu, vaksinasi harian mencatatkan sebanyak 447,035 dos diberikan semalam dengan 187,756 adalah pemberian dos pertama manakala 259,279 lagi adalah dos kedua.
PICK dilancarkan pada 24 Feb lepas bagi memberikan vaksinasi untuk membendung pandemik COVID-19 di seluruh negara.- BERNAMA
PRESIDEN UMNO, Datuk Seri Dr.Ahmad Zahid Hamidi dan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) parti itu begitu ghairah bercakap soal keabsahan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, soal kegagalan Kerajaan Perikatan Nasional dan soal Kerajaan interim.
Malah MKT juga membuat dua keputusan yang menggegarkan negara iaitu menarik sokongan kepada Muhyiddin pada 7 Julai lalu disusuli penarikan daripada kerajaan PN pada 3 Ogos lalu.
Berikutan itu, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan telah menghantar surat kepada semua ahli Parlimen UMNO di dalam kerajaan dan GLC. Mereka diberi pilihan untuk sama ada terus menyokong kerajaan PN dengan berisiko untuk dipecat atau meletakkan jawatan.
Persoalannya, apakah segala tindakan, keputusan atau kedudukan kesemua ahli MKT termasuk Ahmad Zahid sah dari segi undang-undang? Dan adakah Ahmad Zahid mempunyai keabsahan sebagai Presiden parti? Adakah MKT UMNO yang wujud selepas 30 Jun adalah MKT interim?
Perkara ini ditimbulkan selepas Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) semalam, yang memaklumkan tindakan UMNO menangguhkan pemilihan parti itu adalah tidak sah.
Sebelum mengulas lebih lanjut berikut adalah pandangan satu sumber kepada penulis ketika diminta mengulas surat RoS itu;
Pada 6 Ogos 2021, Surat Ketua Pengarah RoS menyatakan keputusan Mesyuarat MKT UMNO mengenai penangguhan pemilihan parti itu adalah tidak sah.
Perlu difahami bahawa keputusan RoS ini adalah berdasarkan Surat SUA (Setiausaha Agung) UMNO kepada Ketua Pengarah ROS pada 30 Julai 2021 iaitu bersama Minit Mesyuarat MKT UMNO 7 Julai 2021 yang mengabsahkan keputusan (resolusi edaran / pekeliling 18 Jun 2021).
Surat ini adalah lanjutan tuntutan RoS terhadap UMNO seperti mana yang telah dinyatakan di dalam surat RoS pada 19 Julai 2021.
Jika diteliti daripada Surat RoS pada 19 Julai 2021, bukan hanya menyatakan bahawa RoS tiada halangan tentang penangguhan pemilihan mengikut Perkara 10.16 Perlembagaan UMNO, tetapi RoS juga memerlukan daripada pihak SUA UMNO mengemukakan maklumat terperinci mengenai keputusan MKT UMNO kepada RoS bagi tujuan dan pengesahan selanjutnya.
Pada pandangan RoS bahawa tempoh tamat MKT UMNO pada 30 JUN 2021 dan keputusan MKT UMNO untuk menangguhkan pemilihan jawatan selama 18 bulan pada 7 Julai 2021 adalah tidak sah. Ini kerana keputusan MKT bagi mengabsahkan keputusan Resolusi Edaran dibuat selepas tempoh akhir penggal iaitu 30 Jun 2021.
Walaupun secara teknikalnya Resolusi Edaran dibuat pada 18 Jun 2021, tetapi mengabsahkan keputusan ini dibuat selepas tempoh tamat 30 Jun 2021 iaitu pada 7 Julai 2021.
Menggunakan alasan MKN dan KKM adalah tidak relevan. Ini kerana perkara utama adalah kelemahan dalam mentadbir parti bagi menentukan tarikh akhir sepatutnya keabsahan keputusan Resolusi Edaran dibuat. Setiausa Agung UMNO sewajarnya mengambil tanggungjawab atas kelemahan ini.
Apa yang lebih menarik, jika keputusan MKT yang dibuat pada 7 Julai adalah tidak sah, bagaimana pula keputusan-keputusan MKT yang telah dibuat selepas 30 Jun 2021 khususnya berkaitan penarikan sokongan terhadap YAB Perdana Menteri dan Kerajaan Perikatan Nasional?
Perkara ini perlu diselesaikan dengan segera. Jika pemilihan parti adalah penyelesaiannya, Setiausaha UMNO perlu akur dan mengambil tanggungjawab ini tanpa menyalahkan keadaan semasa. Dengan kemudahan teknologi pada masa kini, UMNO mampu membawa perubahan dan meneruskan demokrasi dalam parti mengikut SOP Covid yang telah ditetapkan.
UMNO perlu menjadi contoh kepada rakyat bahawa UMNO pendokong kepada demokrasi. UMNO mampu membuat pemilihan parti berasaskan norma baru.
Berdasarkan hujah yang dinyatakan adalah jelas ketika Ahmad Zahid dan pemimpin-pemimpin begitu lantang mengkritik dan mengecam kerajaan dalam soal menguruskan pandemik Covid-19 kerana menganggap kerajaan gagal, rupa-rupanya mereka sendiri dilihat gagal menguruskan parti dengan baik.
Walaupun Ahmad Maslan menyatakan, UMNO akan menjawab surat RoS pada minggu depan namun ia tidak akan menutup persoalan mengenai keabsahan Ahmad Zahid sebagai Presiden dan ahli-ahli MT yang lain.
Manakala segala keputusan MT termasuk dalam soal menarik sokongan kepada Muhyiddin dan Kerajaan PN boleh dipersoalkan atau lebih tepat lagi boleh dianggap tidak sah sehinggalah RoS membuat keputusan baharu.
‘’Sebarang tindakan ke atas ahli-ahli Parlimen UMNO yang enggan meletakkan jawatan dalam kerajaan dan GLC jika dilakukan juga akan mencetuskan persoalan perundangan. Oleh itu lebih baik kepemimpinan UMNO tumpukan selesaikan masalah dengan RoS daripada mahu menumbangkan kerajaan PN,’’ kata satu sumber lain.
Pada masa masa kata sumber itu berkata, tidak perlulah membangkitkan soal kenapa parti lain boleh menangguhkan pemilihan, UMNO tidak boleh.
‘’Ini bukan soal parti lain boleh tangguh tapi UMNO tak boleh tangguh. Ini soal perundangan. Penangguhan dibuat selepas tamat tempoh yang dibenarkan mengikut Perlembagaan UMNO.
‘’Dan persoalan undang-undang seterusnya, apakah pertanyaan melalui WhatsApp boleh dianggap sebagai ‘circular resolution’ kerana tiada tandangan. Apakah keputusan yang dibuat dalam MT membayangkan penangguhan tanpa surat rasmi kepada ROS itu dianggap sebagai sah.
‘’Adakah keputusan meneruskan pemilihan yang dihantar kepada RoS juga membuktikan UMNO tidak berniat untuk menangguhkan pemilihan. Ini semua persoalan undang-undang yang perlu dijawab,’’ tegas sumber itu.
Kesimpulannya, kepemimpinan UMNO perlu menyelesaikan kelemahan pentadbiran tersebut yang mungkin boleh meletakkan parti di ambang pengharaman.
Pemimpin UMNO boleh berhujah apa sahaja dan cuba mengaitkan ia dengan usaha kerajaan melemahkan UMNO tetapi RoS sudah pasti tidak akan membuat tindakan membuta tuli atau sembrono tanpa berpandu kepada undang-undang.
Justeru UMNO perlu akur jika RoS mengarahkan parti itu mengadakan pemilihan pada September ini. Ia bagi menentukan KEABSAHAN Zahid sebagai Presiden berikutan KEGAGALAN parti itu dari segi pentadbiran dalaman dan perlu bersedia mewujudkan MKT INTERIM termasuk PRESIDEN INTERIM jika pemilihan tidak dapat diadakan berikutan pandemik Covid-19.
Apa yang berlaku adalah pengajaran kepada kepemimpinan UMNO untuk memahami dalam politik, berhati-hatilah,janganlah terlalu melihat kain orang lain terkoyak sedang kain sendiri sudah terlondeh.
CNN memecat tiga pekerjanya kerana hadir ke pejabat tanpa divaksinasi COVID-19 dan menangguhkan kehadiran petugas ke pejabat sehingga pertengahan Oktober, lapor Sputnik.
“(Presiden CNN) Jeff Zucker dalam memo kepada staf CNN berkata, pada minggu lalu kami dimaklumkan mengenai tiga pekerja yang datang ke pejabat tanpa divaksin.
Ketiga-tiganya telah diberhentikan. Saya tegaskan di sini – kami tidak akan bertoleransi mengenai hal ini,” tulis wartawan kanan Oliver Darcy di akaun Twitternya pada Khamis
Menurut memo itu, pejabat CNN sepatutnya dibuka semula pada 7 September namun berikutan insiden itu ia terpaksa ditangguhkan sehingga pertengahan Oktober.
Semua petugas diminta sentiasa mengikuti perkembangan terkini.- BERNAMA
KEABSAHAN Kerajaan Perikatan Nasional (PN) di Johor hanya akan ditentukan pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dijadualkan pada Khamis hadapan, kata Menteri Besar Johor Datuk Hasni Mohammad.
Beliau menyifatkan persidangan DUN yang dijadualkan pada 12 Ogos ini, sebagai platform yang sesuai untuk membincangkan sebarang perkara berbangkit dengan kehadiran 56 orang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).
“Macam kenyataan saya terdahulu, kita akan terus menjunjung demokrasi di Johor ini tetapi kita juga tahu bahawa Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri dan undang-undang di negeri ini, adalah menjadi asas kepada sebarang keputusan dan tindak tanduk kita.
Jadi melihat kepada perkembangan, Perdana Menteri (Tan Sri Muhyiddin Yassin) akan menentukan keabsahan beliau di Parlimen seperti mana yang dititahkan dan diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong.
Ahli-ahli Parlimen sudah diberi mandat untuk membuat keputusan, jadi saya tidak mahu menyentuh tentang pendirian Ahli-ahli Parlimen dan sebagainya tetapi sebagai ketua kerajaan (negeri), saya merasakan bahawa perkara-perkara yang dibangkitkan ini, boleh kita bincangkan di Dewan Negeri bila kita bersidang untuk menentukan juga keabsahan kerajaan negeri dengan keputusan yang dibuat,” kata beliau kepada pemberita selepas melawat program vaksinasi swasta di KPJ Abdul Samad, di sini, hari ini.
Justeru, Hasni yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Johor, berkata tiada keperluan bagi UMNO Johor ataupun Barisan Nasional Johor untuk membuat sebarang keputusan buat masa ini berhubung isu-isu berbangkit termasuk sokongan ke atas Perdana Menteri.
“Di situlah (sidang DUN) saya rasa platform yang sesuai untuk kita mengambil satu keputusan berkaitan dengan isu-isu berbangkit…jadi perkara yang disebutkan (kenyataan Bersatu Johor) kalau ia bersifat politik, buat masa ini, tidak ada keperluan untuk UMNO negeri ataupun BN Johor membuat sebarang keputusan.
Tentang kedudukan sokongan terhadap PM ke apa ke, itu semua akan kita akan (jelaskan) pada persidangan DUN nanti. Saya sendiri akan membuat pendirian terhadap perkara yang berbangkit itu,” kata Hasni, yang juga ADUN Benut itu. Setakat ini, Hasni mengesahkan kehadiran Muhyiddin, yang juga ADUN Gambir itu, ke sidang DUN.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Setiausaha Bersatu Johor Datuk Dr Sahruddin Jamal semalam yang mahukan UMNO Johor membuat pendirian mengenai isu sokongan kepada Perdana Menteri dan Kerajaan PN.
Johor kini dipimpin PN Johor dengan majoriti tipis 29 kerusi berbanding 27 kerusi di blok pembangkang. Kerajaan negeri diterajui UMNO Johor dengan 14 kerusi, Bersatu dengan 12 kerusi, MIC dua dan Pas satu kerusi manakala pembangkang dibarisi DAP dengan 14 kerusi, Parti Amanah Negara (sembilan) dan PKR empat kerusi.- BERNAMA