Author: Admin

  • Dua polis maut kemalangan ketika kejar suspek lumba haram

    Dua polis maut kemalangan ketika kejar suspek lumba haram

    Oleh Abu Ubaidillah Rahman

    DUA anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang maut dalam kemalangan semasa mengejar suspek lumba di Kilometer 24.4 Lebuhraya Sistem Lingkaran Kajang (SILK) dari arah Kajang menghala ke Putrajaya, awal pagi ini.

    Dalam kejadian pada pukul 1.30 pagi itu, kedua-dua mangsa yang berpangkat Sarjan dan Konstabel berusia 36 tahun dan 26 tahun, dilaporkan meninggal dunia di tempat kejadian.

    Mangsa yang berpangkat Sarjan bertugas di Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) manakala rakannya yang berpangkat Konstabel bertugas di Cawangan Jenayah (D4).
    .
    Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, ketika kejadian, mereka sedang bersama-sama melakukan tugas dalam Operasi Samseng Jalanan BSPT IPD Kajang di laluan terbabit yang sering digunakan samseng jalanan untuk berlumba.

    “Kedua-dua mangsa, masing-masing menunggang motosikal jenis Yamaha 115Z dan Yamaha RXZ mengejar suspek lumba haram dalam operasi itu.

    “Ketika sedang mengejar, mangsa yang menunggang Yamaha 115Z dari arah Kajang bertembung dengan motosikal rakannya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Mohd. Zaid berkata, akibat pelanggaran itu, kedua-dua mangsa mengalami kecederaan parah pada bahagian muka serta kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

    “Jenazah mereka dibawa ke Hospital Serdang untuk urusan bedah siasat dan siasatan lanjut sedang dibuat bagi mengenal pasti punca kemalangan,” katanya dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

  • Giliran Rosni pula letak jawatan sebagai Ahli Lembaga Pengurusan PTPTN

    Giliran Rosni pula letak jawatan sebagai Ahli Lembaga Pengurusan PTPTN

    Oleh Abu Ubaidillah Rahman

    AHLI Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Rosni Sohar meletak jawatan sebagai Ahli Lembaga Pengurusan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) bermula semalam.

    Beliau yang juga Setiausaha Wanita UMNO berkata, keputusan itu dibuat selaras dengan peletakan jawatan Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Noraini Ahmad sebagai Menteri Pengajian Tinggi kelmarin.

    Beliau merakamkan setinggi penghargaan kepada Noraini kerana memberi peluang untuknya berkhidmat sebagai Ahli Lembaga Pengurusan PTPTN.

    “Saya sebagai ahli MKT UMNO turut setia dan patuh atas ketetapan yang telah dibuat parti.

    “UMNO merupakan parti keramat yang memperjuang dan mendukung titah Yang di-Pertuan Agong sebagai Raja Berperlembagaan seperti yang termaktub dalam asas serta tujuan UMNO mengikut Fasal 3,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

    Rosni turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada seluruh kakitangan PTPTN atas kerjasama yang baik sepanjang perkhidmatan beliau.

    Kelmarin, Noraini melepaskan jawatannya sebagai Menteri Pengajian Tinggi serta-merta berdasarkan keputusan MKT UMNO pada 3 Ogos lalu yang menarik sokongan kepada Perikatan Nasional (PN) dan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

  • Pasangan suami isteri OKU, nyaris maut rumah terbakar

    Pasangan suami isteri OKU, nyaris maut rumah terbakar

    Oleh Abu Ubaidillah Rahman

    Sepasang suami isteri orang kurang upaya (OKU) yang bisu dan pekak nyaris maut dalam kebakaran di rumah mereka di Kota Kemuning, Shah Alam pada awal pagi ini.

    Kejadian pada jam 4.17 pagi itu melibatkan kebakaran rumah dua tingkat berkeluasan kira-kira 400 meter persegi yang terbakar sebanyak 50 peratus di tingkat bawah.

    Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis berkata, pasukan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Shah Alam yang tiba di lokasi kejadian sejurus selepas itu berjaya memadamkan api serta mengeluarkan mangsa terperangkap dalam rumah.

    “Ketika kejadian, suami isteri bisu dan pekak berusia 39 serta 31 tahun itu ditemui berlindung dalam tandas.

    “Isterinya yang mengalami sesak nafas telah diserahkan kepada pasukan perubatan untuk diberikan rawatan lanjut,” katanya hari ini.

  • 24 juta dos vaksin diberikan di Malaysia setakat semalam

    24 juta dos vaksin diberikan di Malaysia setakat semalam

    Oleh Abu Ubaidillah Rahman

    Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV) memaklumkan jumlah suntikan harian vaksin Covid-19 yang direkodkan semalam adalah 425,698 dos.

    JKJAV menerusi perkongsian dalam Twitter pagi ini memberitahu, daripada jumlah berkenaan, 186,035 adalah penerima dos pertama manakala 239,663 penerima dos kedua.

    Daripada jumlah itu 186,035 adalah penerima dos pertama, manakala 239,663 penerima dos kedua.

    Selangor merekodkan jumlah harian tertinggi dengan lebih 25,000 suntikan bagi dos pertama dan lebih 73,000 dos kedua.

    Ini diikuti Kuala Lumpur dengan lebih 4,000 dos pertama manakala dos kedua pula melibatkan angka lebih 39,000.

    Laporan harian vaksinasi itu sekali gus menjadikan jumlah kumulatif pemberian dos vaksinasi kini sebanyak 24,033,988 dos.

    Secara keseluruhannya, 66.4 peratus atau kira-kira 15.5 juta penduduk negara ini sudah menerima satu dos vaksin, manakala 36.3 peratus penduduk, atau 8.4 juta penduduk sudah lengkap menerima dua dos vaksin.

  • Kerajaan Arab Saudi buka permohonan umrah bermula 9 Ogos ini

    Kerajaan Arab Saudi buka permohonan umrah bermula 9 Ogos ini

    Susunan Abu Ubaidillah Rahman

    SELEPAS lebih setahun tidak menerima jemaah umrah dan haji dari luar negara kerana wabak Covid-19, kerajaan Arab Saudi akan mula menerima

    jemaah yang sudah divaksin mulai 9 Ogos ini.

    Agensi berita negara SPA awal pagi ini melaporkan, Mekah dan Madinah akan mula menyambut pengunjung dengan mengambil langkah-langkah

    pencegahan Covid-19 dengan kapasiti yang akan meningkat kepada dua juta jemaah dari 60,000 jemaah setiap bulan.

    Seorang pegawai daripada Kementerian Haji dan Umrah mengatakan bahawa jemaah haji dari dalam dan luar negara perlu menyertakan sijil

    vaksinasi Covid-19 yang disahkan bersama-sama dengan permohonan mereka.

    Tambah lapora itu, jemaah dari negara-negara yang termasuk dalam daftar larangan masuk Arab Saudi harus dikuarantin sebaik sahaja tiba.

    Umrah, yang boleh dilakukan pada bila-bila masa sepanjang tahun, dibuka semula pada bulan Oktober lalu untuk jemaah domestik.

    Buat tahun kedua, tanah suci bagi umat Islam itu hanya membuka pintunya untuk jemaah haji domestik sahaja susulan penularan Covid-19.

  • Dua Ketua UMNO Bahagian letak jawatan Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti

    Dua Ketua UMNO Bahagian letak jawatan Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti

    Oleh: Bernama

    AHLI Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan hari ini meletak jawatan sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Malaysia Sabah (UMS) berkuat kuasa serta-merta.

    Ketua UMNO Bahagian Tuaran itu berkata ia selaras dengan ketetapan yang telah diputuskan di dalam MKT UMNO pada 3 Ogos lepas dan sebagai Ahli MKT UMNO, beliau patuh dan setia dengan ketetapan parti.

    “Saya dengan ini meletakkan jawatan sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Malaysia Sabah dengan serta-merta,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada seluruh kakitangan UMS kerana telah memberikan kerjasama yang baik sepanjang perkhidmatannya di universiti itu.

    Abdul Rahman, bekas Ahli Parlimen Kota Belud, dilantik ke jawatan itu pada 3 Feb lepas.

    Di PULAU PINANG, Ketua UMNO Bahagian Balik Pulau Datuk Shah Headan Ayoob Hussain Shah turut mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Ahli Lembaga Pengarah Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Lembaga Pengarah UPM Holdings Sdn Bhd berkuat kuasa serta-merta.

    Shah Headan, yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri Teluk Bahang, berkata keputusan itu berikutan tindakan UMNO Pusat menarik balik sokongan terhadap Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan kerajaan Perikatan Nasional.

    “Saya mengambil tanggungjawab ini selaku ahli parti yang akan terus akur dan hormat dengan sebarang keputusan serta ketetapan parti. Keputusan ini dibuat atas kerelaan saya serta bukan paksaan,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

    Terdahulu, tular di laman sosial Facebook status terkini Shah Headan yang memuat naik surat peletakan jawatannya bertarikh semalam ditujukan kepada dan diterima oleh Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Dr Noraini Ahmad.

    Semalam, Noraini yang juga Ketua Wanita UMNO, turut mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Menteri Pengajian Tinggi berkuat kuasa serta-merta.- BERNAMA

  • PKPD dikenakan di 14 lokaliti melibatkan Pahang, Sabah

    PKPD dikenakan di 14 lokaliti melibatkan Pahang, Sabah

    OLeh:Bernama

    SEBANYAK lima lokaliti di Pahang dan sembilan di Sabah dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) berkuat kuasa Isnin ini hingga 22 Ogos depan.

    Menteri Kanan Luar Negeri (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata di Pahang, lokasi dikenakan PKPD iaitu FELDA Jengka 18 dan Kampung Paya Besar Kertau di Maran; Kampung Orang Asli Sungai Bot, Karak di Bentong; Felda Sungai Panching Selatan di Kuantan dan Jalan Feri Lama, Teluk Gading di Rompin.

    “PKPD di Sabah melibatkan empat perumahan di Semarak, Tawau, iaitu Taman Semarak Indah, Taman Semarak Jaya, Flat Sri Semarak dan Taman Sejati.

    “Selain itu di Penampang melibatkan lokaliti Kampung Koidupan dan Kampung Guunsing-Novunsu; Kampung Marau di Sipitang; Kampung Baru Kimanis, Papar serta Kampung Tanjong Kapor di Kudat,” katanya.

    Sementara itu, Hishammuddin berkata beberapa lokaliti di Perak, Pahang, Kedah dan Sabah yang dikenakan PKPD pada 26 Julai lepas, ditamatkan pada 8 Ogos seperti yang dijadualkan.

  • PGA rampas haiwan eksotik bernilai RM67,600

    PGA rampas haiwan eksotik bernilai RM67,600

    Oleh:Bernama

    BATALION 9 Pasukan Gerakan Am (PGA) merampas pelbagai haiwan eksotik bernilai RM67,600 di pangkalan haram Bilah Dollah dekat Rantau Panjang di sini, semalam.

    Difahamkan, kesemua haiwan yang diseludup masuk itu adalah untuk pasaran tempatan ekoran mempunyai permintaan tinggi khususnya dalam kalangan peminat dan pemelihara haiwan eksotik.

    Pegawai Pemerintah Batalion 9 PGA Supt Nor Azizan Yusof berkata rampasan dilakukan selepas sepasukan pegawai dan anggota pasukan itu terserempak dengan sekumpulan lelaki di tebing Sungai Golok berdekatan pangkalan haram berkenaan.

    Beliau berkata ketika itu kumpulan lelaki terbabit dilihat sedang memunggah kotak-kotak berwarna coklat dalam keadaan mencurigakan dari dalam perahu ke tebing sungai kira-kira 7 malam.

    “Menyedari kehadiran PGA, kumpulan lelaki itu melarikan diri menggunakan perahu ke negara jiran dan meninggalkan kotak-kotak di tebing sungai itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Nor Azizan berkata pemeriksaan di sekitar tebing sungai itu menemukan beberapa kotak pelbagai saiz berisi 206 katak, 50 labi-labi, 24 anak ular, tiga burung kakak tua dan seekor iguana.

    Beliau berkata kesemua haiwan eksotik itu diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kelantan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 60(1)(a) Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 kerana memburu atau menyimpan hidupan liar tanpa kebenaran.- BERNAMA

  • Pengurusan pemilikan rumah PPR diambil alih SPNB tahun ini – Zuraida

    Pengurusan pemilikan rumah PPR diambil alih SPNB tahun ini – Zuraida

    Oleh: Bernama

    PENGURUSAN pemilikan setiap unit rumah bagi Projek Perumahan Rakyat (PPR) yang baharu serta siap pada tahun ini akan diambil alih oleh Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB), kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Zuraida Kamaruddin.

    Beliau berkata perkara itu bagi mempercepatkan serta memudahkan proses pengurusan pemilikan kepada pemohon yang layak dan mereka boleh mendiami kekosongan unit dalam tempoh enam bulan melalui polisi berkenaan.

    Katanya, polisi itu juga bagi menambah baik proses pengurusan pemilikan yang sebelum ini diselia oleh agensi berkaitan di bawah kerajaan negeri.

    “SPNB juga akan memain peranan menguruskan penyelenggaraan serta pemantauan di PPR dan sebagainya untuk kita mengelakkan rumah-rumah ini (PPR) disalah guna oleh pembeli atau penyewa kerana kerajaan telah memberi subsidi bagi setiap unit rumah ini iaitu hampir RM140,000.

    “Jadi sudah tiba masanya, KPKT memastikan bahawa pemilik-pemilik yang layak untuk mendapatkan rumah ini menghargai subsidi yang telah diberikan oleh kerajaan,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan rasmi di PPR Bukit Belah, di sini hari ini.

    Mengulas lanjut, Zuraida berkata melalui kaedah itu, ia juga bagi mengelakkan PPR yang telah siap dibina daripada terbiar, tidak terurus, serta menjadi lokasi kegiatan vandalisme dan sebagainya.

    Beliau turut berkata setakat ini, sebanyak 11 PPR baharu telah siap dibina yang membabitkan lebih 40,000 unit rumah, iaitu di Pahang (empat), Kelantan (tiga), Langkawi (dua) dan Johor (dua).

    Sementara itu, mengulas mengenai penyalahgunaan pembeli unit PPR, Zuraida menjelaskan ia merangkumi tindakan pemilik menyewakan rumah mereka kepada orang lain termasuk warga asing.

    “Kebiasaannya perkara ini banyak berlaku di Lembah Klang. Namun, penguatkuasaan sentiasa dijalankan malah apabila adanya pemantauan daripada SPNB, sesiapa yang menyewakan, kita akan pantau dan akan suruh mereka keluar,” katanya.- BERNAMA

  • KPLB saran penduduk pedalaman tidak memilih vaksin Covid-19

    KPLB saran penduduk pedalaman tidak memilih vaksin Covid-19

    Oleh: Bernama

    KEMENTERIAN Pembangunan Luar Bandar (KPLB) menyarankan penduduk pedalaman agar tidak memilih jenis vaksin COVID-19 sama ada satu atau dua dos kerana kesemua vaksin mendapat kelulusan Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA).

    Menterinya Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad berkata apa yang menjadi keutamaan adalah mereka dapat menerima suntikan vaksin COVID-19 secepat mungkin bagi membantu negara mencapai imuniti kelompok.

    “Masyarakat jangan ambil kira jenis vaksin yang akan mereka ambil seperti CanSino atau vaksin dua dos, kerana yang penting adalah mereka dapat suntikan secepat mungkin.

    “Masyarakat pedalaman seperti Orang Asli saya lihat ketika kali pertama, mereka kata agak bimbang untuk ambil vaksin tetapi selepas kita mendekati mereka, penerimaan mereka amat bagus,” katanya kepada pemberita selepas meninjau program pemberian vaksin menerusi Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Bergerak di Pulau Sibu, di sini hari ini.

    Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai vaksin satu dos CanSino sekiranya ia akan diberikan kepada penduduk pedalaman.

    Program pemberian vaksin secara PPV Bergerak itu diadakan dua hari bermula semalam dengan seramai 1,000 penduduk dan pekerja sektor pelancongan di Pulau Aur, Pulau Pemanggil, Pulau Besar, Pulau Tinggi, Pulau Sibu, Pulau Rawa serta Pulau Tengah menerima suntikan dos pertama vaksin COVID-19.

    Abdul Latiff berkata pihaknya percaya pemberian vaksin COVID-19 kepada penduduk pedalaman tidak menjadi kesukaran memandangkan petugas kesihatan sudah mempunyai pengalaman dalam menyantuni mereka yang tinggal di kawasan itu.

    “Jabatan Kesihatan Negeri sejak dahulu lagi telah memasuki kampung-kampung pedalaman untuk memberi pelbagai suntikan vaksin. Jadi, pemberian vaksin ini bukan perkara baharu buat mereka kerana sudah ada pengalaman termasuk seluruh kawasan di Semenanjung, Sabah dan Sarawak,” katanya.

    Baru-baru ini, Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Khairy Jamaluddin dilaporkan berkata Sabah akan diberi keutamaan sebagai antara negeri terawal menerima vaksin dos tunggal CanSino apabila Malaysia menerima bekalan vaksin itu.

    Pemberian vaksin COVID-19 dos tunggal CanSino di Sabah bakal memudahkan proses vaksinasi penduduk negeri itu terutama di pedalaman yang sebelum ini dibelenggu dengan masalah logistik dan perhubungan.- BERNAMA