Author: Admin

  • Tiada keperluan untuk PRK DUN Melor – SPR

    Tiada keperluan untuk PRK DUN Melor – SPR

    PERKARA 46(5) Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan menyebut, kekosongan sesuatu kerusi Dewan Negeri Kelantan perlu diisi dalam tempoh 60 hari dari tarikh kekosongan kerusi tersebut.

    Bagaimanapun, menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) seandainya kekosongan luar jangka itu dipastikan pada suatu tarikh dalam masa dua tahun dari tarikh Dewan Negeri akan terbubar, mengikut Fasal (3), maka tiada keperluan mengisi kekosongan itu melainkan Speaker secara bertulis memberitahu SPR sebaliknya.

    Justeru, kata Setiausaha SPR Datuk Ikmalrudin Ishak, berdasarkan undang-undang tersebut, tiada Pilihan Raya Kecil (PRK) akan diadakan bagi mengisi kekosongan luar jangka Dewan Undangan Negeri (DUN) Melor, susulan penyandangnya Dr. Md. Yusnan Yusof meninggal dunia pada 30 April lepas.

    “Sehubungan itu, Speaker DUN Kelantan Datuk Abdullah Ya’kub telah memaklumkan kepada SPR bahawa tiada keperluan bagi mengisi kekosongan luar jangka tersebut,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

    Md. Yusnan, 53, meninggal dunia di rumahnya di Melor, Kelantan pada 2.28 pagi akibat serangan jantung.
    Beliau memenangi kerusi DUN Melor bagi dua penggal berturut-turut iaitu pada Pilihan Raya Umum ke-13 dan ke-14.

  • 21 maut dalam kemalangan bas di barat Turki

    21 maut dalam kemalangan bas di barat Turki

    Oleh: Bernama

    SEKURANG-KURANGNYA 21 orang terbunuh dan 28 yang lain cedera dalam dua kemalangan jalan raya melibatkan bas penumpang di barat Turki pada Ahad.

    Di wilayah Izmir, enam maut dan 11 yang lain cedera selepas sebuah bas penumpang hilang kawalan di daerah Kemalpasa, tulis Gabenor Izmir Yavuz Selim Kosger di Twitter.

    Petugas kesihatan dan bomba Gendarmerie segera dikejarkan ke tempat kejadian, semua mangsa yang cedera dihantar ke hospital berdekatan, lapor Agensi Anadolu.

    Sementara itu, dalam satu lagi nahas yang berlaku awal pagi, sebuah bas penumpang terbalik di wilayah Balikesir menyebabkan sekurang-kurangnya 15 orang terbunuh.

    Bas malang itu dalam perjalanan ke daerah Edremit Balikesir dari wilayah Laut Hitam Zonguldak.

    Seramai 11 orang meninggal dunia di tempat kejadian, dan empat yang lain di hospital.

    Gabenor Balikesir Hasan Sildak yang melawat mangsa di hospital berkata tiga daripada 17 mangsa yang cedera sudah dibenarkan pulang selepas menerima rawatan.

    Siasatan mengenai punca nahas sedang dijalankan.- BERNAMA

  • Dakwaan ditawar wang, jawatan:SPRM sudah menemui tiga ahli Parlimen DAP

    Dakwaan ditawar wang, jawatan:SPRM sudah menemui tiga ahli Parlimen DAP

    Oleh Abu Ubaidillah Rahman

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sudah memanggil tiga ahli Parlimen DAP yang mendakwa ditawarkan rasuah seperti wang dan jawatan supaya mereka menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN).

    SPRM Putrajaya dalam satu kenyataan memberitahu, pihakanya memandang serisu dakwaan itu

    “Sehingga kini, SPRM sudah menemui tiga ahli Parlimen DAP berkenaan bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai tohmahan tersebut.

    “SPRM tidak dapat mengenal pasti identiti sebenar pemilik nombor telefon yang menghantar mesej menerusi aplikasi WhatsApp tersebut kepada ahli-ahli Parlimen berkenaan.

    Bagaimanapun, SPRM memberi jaminan akan terus menjalankan siasatan dan berharap orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi berhubung isu ini,” jelas kenyataan tersebut, hari ini.

  • MCA terus sokong PN kerana berpegang dengan keputusan kolektif BN

    MCA terus sokong PN kerana berpegang dengan keputusan kolektif BN

    Oleh Abu Ubaidillah Rahman

    MCA kekal menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) kerana berpegang dengan keputusan dibuat Barisan Nasional (BN) secara kolektif yang sudah dipersetjui sebelum ini.

    Presidennya, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong berkata, pendirian itu tidak bermaksud MCA sudah lupa sebaliknya sentiasa mengenang budi dan tidak lupa jasa bakti UMNO dan parti komponen serta rakan BN.

    Ahli Parlimen Ayer Hitam itu berkata, selagi ketetapan BN itu tidak diubah, MCA berpegang teguh kepada ketetapan yang telah diluluskan secara konsensus dalam BN sebagaimana diamalkan sejak sekian lama.

    Jelas beliau, MCA juga seperti diputuskan pada Perhimpunan Agung MCA, 7 Mac lalu bahawa parti kekal bersama BN, sebuah gabungan parti yang diasaskan bersama UMNO, MCA dan MIC sebelum kemerdekaan negara lagi.

    Beliau mendedahkan, pada 29 Julai lalu semua Ahli Parlimen BN diminta untuk hadir ke Bilik Mesyuarat Tingkat 3 Blok Ahli Parlimen untuk membincangkan pendirian bersama.

    “Majoriti Ahli Parlimen BN hadir termasuk Penasihat BN, Datuk Seri Najib Razak; Datuk Seri Ismail Sabri; Datuk Seri Hishammuddin Hussein, Datuk Arthur Kurup dan saya.

    “Saya turut menyokong keputusan bersama yang dibuat oleh Ahli Parlimen BN kerana ia selari dengan ketetapan yang dibuat oleh Dewan Tertinggi BN pada Mac 2020.

    “Ya betul, MCA adalah rakan setia UMNO dan MIC. Masa senang kita bersama dan ketika susah juga kita tetap bersama.

    “Kerana apa? Kerana kita berpegang kepada semangat BN serta mengamalkan konsep musyawarah dan saling hormat-menghormati antara satu sama lain,” katanya dalam satu hantaran menerusi Facebook miliknya, hari ini.

    Beliau menegaskan persahabatan itu berdasarkan prinsip dan nilai sejagat yang dipegang dan dipersetujui bersama.

  • PGA9 rampas 110 kambing boer seludup di Pasir Mas

    PGA9 rampas 110 kambing boer seludup di Pasir Mas

    Oleh: Bernama

    BATALION 9 Pasukan Gerakan Am (PGA9) berjaya merampas 110 ekor kambing baka Boer bernilai RM165,000 yang disyaki diseludup dari Thailand di Lubok Jong, di sini Sabtu lepas.

    Pegawai Pemerintah PGA9 Supt Nor Azizan Yusof berkata rampasan dilakukan hasil tindakan pantas sepasukan anggota Strike Force PGA9 ketika rondaan berkala yang mengesan sebuah lori dalam keadaan mencurigakan berdekatan lampu isyarat menghala ke Tanah Merah pada 11.30 malam.

    Beliau berkata lori berkenaan telah memintas kenderaan pasukan dalam keadaan tergesa-gesa sebelum diekori.

    “Tindakan penguat kuasa mengekori lori itu bagaimanapun disedari pemandu lori sebelum dia memberhentikan kenderaan itu di satu kawasan perumahan berhampiran.

    “Pemandu lori kemudiannya dilihat turun dari lori dan melarikan diri ke dalam hutan kecil berdekatan dan gagal dikesan kerana keadaan gelap. Pemeriksaan ke atas lori tersebut menemukan 110 ekor kambing baka Boer disyaki diseludup dari negara jiran,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Nor Azizan berkata susulan kejadian itu, satu laporan polis telah dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Pasir Mas dan kesemua hasil rampasan dianggarkan berjumlah RM295,000 termasuk sebuah lori bernilai RM130,000.

    “Kesemua rampasan akan diserahkan kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar Kelantan untuk siasatan di bawah Seksyen 36 (1) Akta Binatang 1953,” katanya.

    Difahamkan, kambing baka Boer itu bernilai tinggi dan turut mendapat permintaan termasuk dari luar Kelantan.- BERNAMA

  • Siti Sarah sempat korban seekor lembu di Gaza – Nadir Al Nuri

    Siti Sarah sempat korban seekor lembu di Gaza – Nadir Al Nuri

    PEMERGIAN penyanyi popular, Allahyarham Siti Sarah Raissuddin mengejutkan ramai termasuk Ketua Pegawai Eksekutif, Cinta Gaza Malaysia (CGM), Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman.

    Nadir Al-Nuri berkongsi amal kebaikan yang dibuat Allahyarham ketika mahu melakukan ibadah korban sempena sambutan Aidiladha, pada Julai lepas.

    Melalui perkongsian di Facebook, Nadir memaklumkan Siti Sarah ada menghubunginya menerusi kiriman mesej langsung (DM) di Instagram bagi menyatakan hasrat untuk mengorbankan seekor lembu di Wilayah bergolak itu.

    “Tersentap sekejap baca berita pemergian Siti Sarah. Saya dihubungi Siti Sarah sebelum Raya Haji lepas untuk dia ikuti program korban di Gaza.

    “Masa itu saya terkejut dia maklumkan untuk korbankan seekor lembu dengan harga belasan ribu ringgit.

    “Bukan satu bahagian sahaja, seolah-olah dia sedang mengejar memberatkan timbangan amal kebaikannya yang terakhir,” katanya.

    Nadir yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia menyifatkan Siti Sarah sebagai seorang yang prihatin apabila sering berhubung dengannya untuk mengetahui perkembangan umat Islam di Palestin.

    “Dia kerap berhubung bertanyakan tentang keadaan saudara kita di Palestin.

    “Rupanya Allah takdirkan nyawa beliau diambil dalam keadaan memikirkan umat, peduli dengan nasib mereka.

    “Malah didoakan ratusan penduduk di sini yang merasa daging pada tahun ini.

    “Beruntung lah dikau, diberi syahid sambil didoakan ratusan keluarga Syuhada akhirat di bumi berkat,” tulisnya di Facebook.

    Bagaimanapun, Nadir juga sempat meminta kebenaran untuk berkongsi kebaikan Siti Sarah itu bagi memberi manfaat kepada umat Islam yang lain.

    Walaupun pada awalnya Siti Sarah mahu merahsiakan amalnya itu, namun dia memberi kebenaran untuk Nadir membuat perkongsian kepada umum jika ia memberi kebaikan bersama.

    Siti Sarah Raissuddin, 37, menghembuskan nafas terakhirnya tepat pukul 5.13 pagi tadi di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM).

    Berita pemergian ibu kepada lima anak yang juga juga isteri kepada pelawak Shuib itu itu dimaklumkan syarikat pengurusan penyanyi bersuara emas itu, Indigital Music. 

  • Mayat penyelam ditemukan di Sungai Besar

    Mayat penyelam ditemukan di Sungai Besar

    Oleh Abu Ubaidillah Rahman

    MAYAT seorang penyelam ditemukan terapung oleh nelayan tempatan pada kedudukan 8.7 batu nautika barat daya Sungai Besar, Sabak Bernam semalam.

    Pengarah Maritim Negeri Selangor, Kepten Maritim Mohd. Rosli Kassim berkata, mayat lelaki itu yang lengkap berpakaian penyelam berserta balang oksigen, ditemukan kira-kira pukul 3 petang.

    Nelayan terbabit kemudian menghubungi Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) bagi memaklumkan penemuan tersebut.

    “Pasukan mencari dan menyelamat APPM, berserta bot Pasukan Polis Marin (PPM) bertindak ke lokasi kejadian bagi mengesan mayat berkenaan, dan telah ditemukan terapung sekitar pukul 6 petang.

    “Pasukan Polis Marin telah membawa mayat ke jeti Nelayan Sungai Besar pada jam 9 malam, sebelum dihantar ke Hospital Sabak Bernam untuk proses pengecaman,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Mohd. Rosli berkata, penemuan mayat berkenaan mempunyai kaitan dengan insiden kehilangan seorang penyelam di perairan Sungai Besar pada 3 Ogos lalu.

    Dalam kejadian itu, seorang penyelam, Calvin Patrick Lazaroo, 27, dipercayai telah melakukan selaman bersama tiga rakan yang lain, bagi tujuan mengikat tali pada bot karam sebelum mangsa hilang pukul 10.30 pagi, dan tidak timbul ke permukaan air di perairan Sungai Besar.

    Pencarian telah dilakukan sekitar perairan Sungai Besar dengan melibatkan dua aset APMM, satu aset dari Tentera Laut Diraja Malaysia, dua aset dari PPM serta komuniti nelayan, manakala pencarian melalui udara dilakukan oleh pesawat dari APMM dan polis. – SB

  • Nelayan dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke laut Kuantan

    Nelayan dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke laut Kuantan

    Oleh: Bernama

    SEORANG nelayan tempatan dikhuatiri lemas selepas dipercayai terjatuh ke laut semasa menangkap ikan pada kedudukan kira-kira 14 batu nautika timur Gebeng di sini, Sabtu lepas.

    Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Pahang Laksamana Pertama Maritim Datuk Amran Daud berkata kehilangan Ishak Muda, 60, hanya disedari selepas bot pukat jerut yang dinaikinya tiba di Jeti Kompleks Kemunting di sini, pagi semalam.

    “Tekong bot mendakwa mereka tidak melihat kelibat mangsa di jeti dan cubaan mencarinya di sekitar kawasan berhampiran juga tidak berjaya menyebabkan mereka berpendapat mangsa telah terjatuh ke laut.

    “Kali terakhir mangsa dilihat rakannya ialah semasa mereka berada di lokasi menangkap ikan pada sebelah malam,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

    Amran berkata operasi mencari dan menyelamat bermula pada 4 petang semalam namun ditangguhkan pada 7.30 malam ekoran cuaca gelap sebelum kembali bersambung pagi ini, melibatkan kawasan carian seluas 35 batu nautika persegi.- BERNAMA

  • Tindakan tegas jika jual minyak sawit melebihi harga maksimum

    Tindakan tegas jika jual minyak sawit melebihi harga maksimum

    Oleh Abu Ubaidillah Rahman

    TINDAKAN tegas kepada para peniaga yang menjual minyak sawit tulen (botol) di Selangor melebihi harga maksimum bermula hari ini.

    Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor, Muhamad Zikril Azan Abdullah berkata, tindakan itu dilaksanakan kerana terdapat segelintir peniaga yang masih meletakkan harga melebihi harga yang ditetapkan oleh kerajaan.

    “Antara alasan yang diberikan adalah tidak peka berkaitan harga kawalan yang ditetapkan dan peniaga berkenaan mengambil tindakan segera.

    “Sepanjang tempoh pemeriksaan yang dilakukan bermula 1 Ogos hingga 7 Ogos lalu, pejabat KPDNHEP Selangor telah mengeluarkan 21 amaran bertulis dan tiada tindakan kes diambil ketika ini,” katanya kepada Bernama hari ini.

    Bagaimanapun katanya, pemeriksaan dan pemantauan ulangan akan diambil ke atas premis-premis yang telah diberi amaran dan sekiranya masih berlaku pelanggaran oleh pihak peniaga, tindakan kes akan dikenakan bermula 9 Ogos.

    Tambah beliau, KPDNHEP telah mewartakan kawalan harga maksimum minyak masak sawit tulen pada 28 Julai dan menetapkan harga maksimum bagi minyak masak sawit tulen diperingkat runcit adalah mengikut pembungkusan iaitu Botol 1 kilogram (kg) RM6.70, botol 2kg RM12.70, botol 3kg RM18.70 dan botol 5kg RM29.70.

  • Dr. Noor Hisham ucap takziah pemergian Siti Sarah

    Dr. Noor Hisham ucap takziah pemergian Siti Sarah

    Oleh Abu Ubaidillah Rahman

    KETUA Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah merakamkan takziah kepada keluarga penyanyi terkenal Siti Sarah Raissuddin, 36, yang meninggal dunia akibat jangkitan Covid-19 pagi ini.

    Beliau turut mengucapkan takziah kepada semua ahli keluarga rakyat Malaysia yang terkorban akibat Covid-19.

    “Takziah kepada keluarga Siti Sarah Raissuddin dan kepada semua ahli keluarga rakyat Malaysia yang telah terkorban oleh Covid-19,” katanya,” katanya menerusi status dimuat naik dalam Facebook miliknya, hari ini.

    Isteri kepada pelawak dan usahawan Shuib itu menghembuskan nafas terakhir pada pukul 5.13 pagi di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) hari ini.

    Jumaat lalu Siti Sarah selamat melahirkan bayi lelaki yang merupakan anak keempat pasangan itu ketika menerima rawatan dan dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) selepas tahap oksigen semakin tidak stabil.

    Keluarga penyanyi berkenaan positif Covid-19 sejak 25 Julai lalu selepas pembantu rumah mereka dijangkiti wabak tersebut.