Beringat sebelum terkena. Itulah pendirian beberapa pemilik restoran dan kedai makan di sekitar negeri ini yang tetap tidak membenarkan pelanggan mereka makan di dalam premis, kerana bimbang akan penularan semula wabak COVID-19.
Tinjauan Bernama hari ini mendapati, peniaga kedai makan, restoran mahupun kafe masih tidak membenarkan pengunjung untuk makan di dalam premis mereka walaupun kelonggaran diberikan kepada individu yang lengkap vaksinasi, mulai hari ini.
Pemilik Lieniey Nasi Kerabu Tumis Zaini Ahmad, 51, berkata beliau masih berasa takut selain turut khuatir untuk membenarkan pelanggan makan di kedainya memandangkan kes harian COVID-19 di Kelantan masih tinggi dan membimbangkan.
“Walaupun kebenaran makan di restoran telah diberikan namun, saya memilih untuk menangguhkan terlebih dahulu kerana berasakan situasi semasa masih tidak bersesuaian lagi dengan kelonggaran itu.
“Malah, 10 pekerja saya juga masih belum diberikan suntikan vaksin COVID-19 sekali gus membuatkan saya enggan mengambil risiko, sekiranya dibenarkan (dine-in) ia akan mengundang penularan virus di premis dan seterusnya menjangkiti pekerja saya,” katanya kepada Bernama, di sini hari ini.
Sementara itu, Pengurus Kafe Drum & Desk Chew Li Mun, 30, berkata pihaknya merancang untuk membenarkan pengunjung makan di dalam premis mulai September.
Mengakui bahawa perniagaannya agak terjejas melebihi 50 peratus ekoran ketiadaan pelanggan makan di kedai, namun baginya keselamatan pelanggan tetap perlu diberi keutamaan.
“Tidak mengapa berlaku sedikit kerugian, kerana keselamatan dan kesihatan yang perlu diutamakan. Buat masa ini jualan banyak bergantung kepada pelanggan yang ‘walk-in’ selain juga pesanan menerusi (aplikasi) Grab Food.
“Saya merancang untuk membenarkan pengunjung makan di dalam kedai bermula September selepas 12 pekerja saya lengkap dua dos suntikan vaksin COVID-19,” katanya.
Sementara itu, tinjauan pada beberapa akaun Instagram milik kafe-kafe hipster sekitar Kota Bharu juga didapati pemilik kafe memuat naik kandungan dengan slogan #dineincanwait untuk memaklumkan mengenai penangguhan membenarkan pelanggan makan di kedai.
Pada Ahad, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan kerajaan memberi kemudahan kepada mereka yang lengkap menerima vaksin COVID-19 di negeri-negeri fasa 2 Pelan Pemulihan Negara untuk makan di restoran.- BERNAMA
PEMANGKU Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah bahawa bukan masa sesuai untuk berebut kuasa dan bersengketa semasa sendiri ketika negara bergelut dengan pandemik COVID-19.
Sebaliknya, baginda bertitah ini adalah masa untuk semua pihak bersatu padu tanpa mengira anutan agama, warna kulit mahupun fahaman politik serta mengamalkan sikap tolong menolong.
“Ini bukanlah masanya untuk merebut kuasa, bersengketa mahupun banyak berbicara tanpa berbuat apa-apa tindakan. Kita harus menang dalam peperangan dengan musuh yang tidak kelihatan ini,” titah baginda sempena majlis perasmian sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Pahang 2021 secara dalam talian hari ini.
Menerusi titah ucapan yang disiarkan secara langsung di Dewan Auditorium Kolej Universiti Yayasan Pahang itu, Tengku Hassanal turut menyeru semua pihak termasuk kerajaan negeri, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan swasta termasuk penghulu, ketua kampung serta jawatankuasa masjid dan surau agar sentiasa cakna kepada rakyat yang memerlukan bantuan ketika pandemik.
“Saya tidak mahu ada rakyat saya yang berada dalam kelaparan kerana tidak mempunyai makanan serta keperluan asas untuk meneruskan kehidupan. Satu bakul makanan yang berharga lebih kurang RM100 mungkin kecil pada kita, tetapi pada mereka yang susah, ia amat besar nilainya,” titah baginda.
Dalam pada itu, baginda bertitah semangat kejiranan yang tinggi juga dituntut ketika ini apabila anak-anak yang jauh tidak dapat pulang ke kampung manakala saudara-mara juga tidak dapat berziarah.
“Pepatah jangan jaga tepi kain orang mungkin tidak lagi relevan. Saya menasihatkan agar kita semua sentiasa prihatin kepada jiran masing-masing dan berikan bantuan bersesuaian kepada yang memerlukan,” titah Tengku Hassanal.
Pada majlis yang turut dihadiri Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail itu, bekas Kadi Besar Pahang Allahyarham Syed Abdul Rahman Syed Mohammad Benyahya dianugerah Tokoh Maal Hijrah Pahang 2021.
Sementara di Kota Kinabalu dalam majlis sambutan peringkat negeri, Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin menyeru umat Islam supaya bermuhasabah, bertaubat dan kembali menghayati bersungguh-sungguh ajaran Islam ketika negara berdepan pelbagai cabaran akibat pandemik COVID-19.
Ini kerana, katanya, ajaran Islam mengandungi pelbagai kaedah serta peraturan yang diturunkan Allah bagi menyejahterakan ummah kerana usaha secara fizikal semata-mata, tidak memadai untuk mengatasi cabaran itu.
“Penting untuk kita lakukan apa yang diperintahkan olehNYA dan tinggalkan apa yang dilarang…kelalaian manusia untuk terus akur dan tunduk kepada peraturan Allah merupakan antara sebab berlaku musibah dan bencana bersilih ganti sejak akhir-akhir ini,” katanya.
Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Sabah 2021/1443 juga diadakan secara dalam talian dengan turut dihadiri Ketua Menteri Sabah Datuk Hajiji Noor dan Menteri Tugas-Tugas Khas Sabah Datuk Arifin Mohd Arif.
Pada majlis itu, bekas Timbalan Yang Dipertua Pertubuhan Islam Seluruh Sabah Tan Sri Ampong Puyon dipilih sebagai Tokoh Maal Hijrah Negeri Sabah 2021/144, dan dianugerahkan sijil perhargaan serta wang tunai RM25,000.
Ampong, 82, menerusi interaksi secara sidang video pada majlis itu, berterima kasih atas penganugerahan itu dan menasihatkan semua terutama umat Islam supaya terus mengeratkan silaturrahim dengan semua orang tanpa mengira latar belakang.
Bekas Ahli Parlimen Labuk-Sugut dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sugut itu pernah memegang pelbagai jawatan dalam NGO dan sukan antaranya Pengerusi Dewan Perniagaan Bumiputera Sabah, Naib Presiden Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia, Presiden Persatuan Hoki Sabah dan Presiden Persatuan Tinju Amatur Sabah.- BERNAMA
Di sebalik peningkatan kes Covid-19 di Kedah, Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) negeri itu yakin betapa mereka berada di landasan tepat untuk mengawal pandemik berkenaan.
Pengarah Kesihatan Negeri, Dr. Othman Warijo berkata, trend lonjakan kes Covid-19 di negeri itu kebelakangan ini sebenarnya berpunca daripada peningkatan aktiviti pengesanan kes secara pasif dan aktif, serta penjejakan kontak dan saringan bergejala sejak Julai lalu.
Menurutnya, tujuan peningkatan aktiviti tersebut adalah untuk mengesan sebanyak mungkin kes positif dan mengasingkan mereka agar tidak menjangkiti orang lain, sekali gus membolehkan mereka diberi rawatan sejak dari peringkat awal.
Katanya, analisis data Jabatan kesihatan Negeri Kedah ketika ini menunjukkan jumlah peningkatan kes baharu pada minggu epidemiologi (ME) terbaharu, kian berkurang berbanding minggu-minggu sebelumnya.
“Analisis data JKN Kedah mendapati peningkatan jumlah kes pada ME 31 (1 Ogos hingga 7 Ogos) adalah sebanyak 12 peratus berbanding jumlah kes baharu sepanjang ME 30 (25 julai hingga 31 Julai). Peningkatan ini lebih rendah berbanding kadar 55 peratus dan 48 peratus untuk ditunjukkan pada dua minggu sebelumnya,” katanya.
Tambahnya, fakta itu disokong analisis Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang menunjukkan kadar kebolehjangkitan semasa (Rt) di Kedah sedang dalam trend menurun.
“Rt Kedah menurun secara konsisten daripada 1.26 pada 26 Julai lalu kepada 1.13 pada 8 Ogos lalu,” katanya.
Katanya, analisis selanjutnya mendapati 99.3 peratus daripada kes baharu di Kedah sepanjang 25 Julai hingga 7 Ogos terdiri daripada kategori 1 (Tanpa gejala) atau kategori 2 (bergejala ringan).
“Hampir semua kes baharu telah berjaya dikesan di peringkat awal. Berdasarkan pemerhatian tersebut, JKN Kedah yakin kita sedang berada di landasan betul untuk mengawal pandemik Covid-19 di Kedah.
“Ditambah dengan peningkatan liputan imunisasi Covid-19, kami percaya pandemik di negeri ini semakin terkawal,” katanya.
MELAKA yang terkenal sebagai negeri pelancongan boleh beralih ke Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN) dalam tempoh dua minggu lagi sekiranya melepasi indikator sekurang-kurangnya 50 peratus penduduk dewasa menerima suntikan vaksin
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Anti Dadah negeri, Datuk Rahmad Mariman, negeri itu kini sudah melepasi indikator baharu peralihan bagi jumlah kes pesakit dalam kategori 3, 4 dan 5.
Hanya indikator bagi kadar penilaian vaksinasi kedua membabitkan golongan dewasa masih berada di bawah paras, tetapi kerajaan negeri yakin kadar ditetapkan itu dijangka dapat dicapai tidak lama lagi.
Indikator kes bergejala kategori 3, 4 dan 5, bagi Melaka mencapai nilai ambang (6.1 per 100,000 penduduk) sehingga semalam dengan kes kategori 3 merekodkan 11 kes atau 3.1 peratus dan kategori 5 sebanyak dua kes atau 0.5 peratus.
“Bagaimanapun, Melaka masih berada pada Fasa 1 susulan kadar suntikan vaksin golongan dewasa hanya mencecah 35.3 peratus, namun kita yakin kadar itu akan mencecah 50 peratus selewat-lewatnya dua minggu lagi,” katanya seperti dilaporkan beberapa media hari ini.
Tambah Rahmad, penetapan indikator baharu itu sekaligus memberi peluang kepada rakyat Melaka untuk menikmati kemudahan sosial diberikan kerajaan pada hujung bulan ini termasuk merentas daerah dan makan di kedai.
Mengulas lanjut mengenai kadar peratusan suntikan dos kedua tersebut, Rahmad berkata, negeri-negeri lain di seluruh negara juga masih belum mencapai kadar peratusan tersebut.
“Untuk makluman, sebenarnya semua negeri masih belum mencapai 50 peratus dos kedua dan baru-baru ini Johor diberikan 2 juta dos kerana ingin menyeimbangkan jumlah peratusan kadar vaksinasi berbanding di negeri lain.
“Antara Melaka dengan Johor, negeri ini telah mengatasi dalam jumlah peratusan berbanding penduduk, manakala negeri-negeri lain yang telah berada di Fasa 2 sebelum ini juga belum mencapai 50 peratus,” jelasnya.
AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Kuala Perlis menahan sebuah bot pukat hanyut Kelas A yang disyaki menjalankan aktiviti penyeludupan minyak diesel pada jarak lebih kurang 0.5 batu nautika dari barat muara Kuala Perlis pada 1.15 pagi tadi.
Pengarah Zon Maritim Kuala Perlis Komander Maritim Mohd Shafie Paing berkata hasil maklumat risikan dan pemantauan yang dilakukan, APMM mendapati terdapat aktiviti penyeludupan minyak diesel yang didalangi bot nelayan tempatan dan beroperasi di sekitar muara sungai Kuala Perlis.
“Berikutan itu, Zon Maritim Kuala Perlis telah mengatur gerak pasukan operasi untuk melakukan serbuan ke lokasi yang dikenal pasti dan telah mengesan dua suspek mengemudi bot dalam keadaan mencurigakan dari jeti nelayan Kuala Perlis menuju ke arah sempadan Thailand sekitar 12.50 tengah malam tadi,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Mohd Shafie berkata setelah menyedari kehadiran bot penguat kuasa, suspek bertindak memecut laju namun berjaya dipintas.
“Pemeriksaan mendapati bot tersebut dikendalikan oleh seorang tekong warga tempatan berumur 58 tahun dan warga Thailand berumur 18 tahun tanpa sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.
“APMM menemukan satu ruang tangki memuatkan lebih kurang 4,000 liter diesel dengan nilai anggaran RM8,600 di bahagian hadapan bot yang telah diubah suai dan disyaki cuba diseleweng serta diseludup keluar ke negara jiran,” katanya.
Beliau berkata kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 8(b) Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat sah lesen, Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dibaca bersama Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 kerana memiliki barang kawalan berjadual minyak petrol dan diesel dengan niat untuk melakukan kesalahan untuk menjual barangan kawalan berjadual tanpa kebenaran bertulis daripada pengawal bekalan serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/1963 kerana memasuki negara Malaysia tanpa dokumen yang sah.
Katanya, bot serta hasil rampasan dibawa ke jeti Zon Maritim Kuala Perlis untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat bagi tindakan lanjut.
Suspek yang ditahan dibawa ke Hospital Tuanku Fauziah bagi menjalani saringan kesihatan COVID-19 sebagai langkah berjaga-jaga.- BERNAMA
SEMALAM Presiden UMNO, Datuk Seri Dr.Ahmad Zahid Hamidi yang dianggap sudah tidak sabar lagi menanti sidang Dewan Rakyat pada September mengesahkan menghantar dua warkah kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berhubung isu penarikan sokongan kepada Perdana Menteri, bertarikh 30 Julai dan 4 Ogos 2021.
Dalam warkah tersebut, Ahmad Zahid juga selaku Pengerusi Barisan Nasional (BN) turut menyertakan 14 nama ahli Parlimen daripada BN berserta surat akuan mereka.
Semalam juga kesemua 105 ahli Parlimen daripada Pejuang, DAP, PKR, Warisan, Parti Sarawak Bersatu, MUDA, Amanah dan Maslee Malik (Bebas) menghantar surat kepada Seri Paduka, maka mengikut dakwaan mereka ia bermakna jumlah ahli Parlimen tidak sokong Perdana Menteri sudah mencecah kepada 118 orang.
Berdasarkan perkembangan itu rasanya Ahmad Zahid sudah mendapat ‘kekuatan’ untuk bersikap telus dan terbuka untuk mendedahkan dengan siapakah UMNO akan bersekutu bagi menubuhkan kerajaan jika misi beliau menumbangkan Muhyiddin di Parlimen melalui undi percaya berhasil dan siapakah calon Perdana Menteri idaman beliau.
Ahmad Zahid tidak boleh berselindung di sebalik strategi kerana ia bukan soal hala tuju politik beliau secara peribadi tetapi ia melibatkan perjuangan sebuah parti induk orang Melayu. Kenapa takut untuk berterus-terang dengan siapa UMNO atau BN yang mempunyai 42 ahli Parlimen mahu bergabung dan siapa bakal menjadi Perdana Menteri mereka?
Ahli-ahli UMNO ‘blur’ mereka tidak tahu arah tuju parti. Ada macam-macam pemimpin dalam parti tu…ada yang jadi ‘batu api’, ada yang dok khayal pasal ‘kerajaan interim’ tak habis-habis dan ada yang cadang ‘kerajaan peperangan’ – pening ahli-ahli UMNO.
Sebagai seorang Presiden parti, Ahmad Zahid perlu ada keberanian berhadapan dengan apa juga reaksi pemimpin atau ahli UMNO terhadap hala tuju parti itu seterusnya jika berjaya menyingkirkan Muhyiddin dan menumbangkan Kerajaan Perikatan Nasional (PN).
Apakah beliau mahu mengamalkan sikap ‘tak apa jatuhkan dulu Muhyiddin, lepas tu kita fikir apa nak buat’ – kalau itulah yang ada dalam fikiran Ahli Parlimen Bagan Datuk – ia sekaligus membuktikan beliau tidak layak memimpin UMNO.
UMNO bukanlah parti picisan tetapi sebuah parti yang cukup besar. UMNO harus mempunyai hala tuju yang jelas, bukan boleh dilayan ibarat bangun pagi baru fikir nak sarapan apa!
Kalau Ahmad Zahid berhasrat membawa UMNO bergabung dengan parti ‘cikgunya’, silakan sahaja…tetapi pastikan ia mendapat restu daripada seluruh pemimpin dan ahli UMNO. Tindakan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) membuat keputusan menarik sokongan kepada Muhyiddin sebagai Perdana Menteri dan Kerajaan PN sudah cukup membuat UMNO berantakan.
Tak kanlah Ahmad Zahid mahu terus membiarkan parti itu berpecah belah hanya kerana agenda politik beliau? Kalau beliau kata apa yang dilakukan adalah kehendak akar umbi maka beliau harus berani memberitahu mereka dengan siapa UMNO akan bergabung bagi menubuhkan kerajaan.
Di sebelah pembangkang khususnya PKR, pemimpin mereka sudah tidak sembunyi-sembunyi lagi bercakap kemungkinan bekerjasama dengan UMNO. Adakah ia memberi isyarat ada sesuatu yang berlaku tanpa pengetahuan pemimpin dan ahli UMNO?
Kalau Ahmad Zahid yakin beliau berjuang atas nama kebenaran dan percaya akan mendapat sokongan pemimpin dan ahli UMNO maka maklumkan kepada mereka. Keputusan MKT menarik sokongan kepada Muhyiddin dan Kerajaan PN bukan isu kecil.
Sebaliknya ia akan membawa kepada kejatuhan kerajaan Melayu Islam dan akan membuka laluan kepada Pakatan Harapan (PH) kembali memerintah dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim berpeluang dilantik sebagai Perdana Menteri.
Kalau Ahmad Zahid mahu berpakat dengan Anwar jangan sembunyi-sembunyi lagi, pemimpin dan ahli UMNO perlu tahu, cukuplah sekali mereka keliru apabila tular surat Ahmad Zahid menyokong Anwar sebagai Perdana Menteri dan rakaman audio perbualan Ahmad Zahid dengan ‘cikgunya’ itu. Sedangkan di Dewan Merdeka bergegar Ahmad Zahid bercakap, ‘No Anwar,No DAP,No Bersatu’ – tapi di belakang lain pulak yang dibuat…Itupun sehingga ke hari ini Ahmad Zahid tidak mengaku secara terbuka kepada mereka.
Jika Ahmad Zahid mahu misinya menumbangkan Muhyiddin dan Kerajaan PN direstui oleh ahli-ahli UMNO maka berterus teranglah. Kenapa susah sangat? Adakah Ahmad Zahid sekadar mahu menjatuhkan Muhyiddin dan Kerajaan PN tetapi tidak peduli apa yang berlaku selepas itu? Itu boleh dianggap ‘kegilaan melampau’!
Di peringkat akar umbi mereka semakin tidak faham dengan ‘strategi yang tidak nampak strategi’ oleh Ahmad Zahid. Mereka keliru bila Ahmad Zahid mahu menjatuhkan Kerajaan PN ketika negara sedang diserang pandemik Covid-19. Apatah lagi empat menteri UMNO memainkan peranan dalam ‘peperangan’ berkenaan.
Ahmad Zahid tidak boleh bersandiwara apatah lagi bersikap hipokrit dalam soal kerjasama baharu itu. Kecualilah Ahmad Zahid dengan kerjasama sekutunya dalam MKT sudah membuat keputusan bahawa UMNO akan menjadi blok bebas yang menyokong kerajaan dan akan berjuang sendiri dalam PRU-15 asalkan impian menjatuhkan Muhyiddin dan Kerajaan PN terlaksana.
Apapun UMNO bukan hak Ahmad Zahid atau mana-mana pemimpin, UMNO bukan platform untuk agenda politik peribadi apatah lagi menjadi alat untuk ‘melepaskan tengkuk’ sesiapa, tetapi UMNO adalah parti perjuangan kepada orang Melayu.
Oleh itu hala tujunya mestilah jelas dan hala tuju itu bergantung kepada Presiden parti. Kalau beliau pun dok main rahsia-rahsia dengan alasan strategi…percaya parti tu menuju ke ‘pusara’ politik.
SEBANYAK 25,008,230 dos vaksin COVID-19 telah diberikan menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) setakat semalam, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba.
Menerusi perkongsian infografik di Twitternya, beliau memaklumkan jumlah yang terima dos pertama ialah 15,959,596 orang manakala 9,048,634 orang terima dos kedua.
“Mengikut peratusan, 68.2 peratus daripada populasi dewasa negara telah mendapat dos pertama, manakala 38.7 peratus telah melengkapkan dua dos suntikan vaksin COVID-19 mereka,” katanya.
Sementara itu, vaksinasi harian mencatatkan sebanyak 465,793 dos diberikan semalam dengan 187,495 adalah dos pertama manakala 278,298 adalah dos kedua.
PICK dilancarkan pada 24 Feb lepas bagi memberikan vaksinasi untuk membendung pandemik COVID-19 di seluruh negara.- BERNAMA
KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kelantan menggagalkan cubaan menyeludup keluar 17,000 kilogram (kg) minyak masak paket bersubsidi ke negara jiran selepas menahan sebuah lori di sebuah stor di Kampung Belukar, Pasir Mas, dekat sini, semalam.
Timbalan Pengarah Penguatkuasa (Operasi) KPDNHEP Putrajaya Shamsul Nizam Khalil berkata rampasan dilakukan pihaknya bersama Pasukan Marin Wilayah 3 Pengkalan Kubor dan Batalion 8 Pasukan Gerakan Am menerusi serbuan yang dilakukan pada 12.30 tengah hari.
Beliau berkata operasi itu dilaksanakan hasil daripada maklumat risikan daripada Seksyen Perisikan KPDNHEP Putrajaya ke atas sebuah premis pemborong dan pembungkus minyak masak di Melaka.
“Pasukan telah mengenal pasti sebuah lori yang mencurigakan dan disyaki digunakan oleh sindiket untuk mengangkut minyak masak bagi tujuan menjalankan aktiviti penyelewengan minyak masak bersubsidi. Hasil maklumat mendapati lori berkenaan digunakan untuk mengangkut minyak masak ke Kelantan.
“Pemeriksaan oleh pasukan serbuan telah menemukan 17,000 kg minyak masak paket bersubsidi satu kilogram berada di dalam lori dan sejumlahnya telah dipindahkan ke dalam stor tersebut. Hasil siasatan awal, stor tersebut disyaki digunakan sebagai tempat penyimpanan dan transit sebelum pihak sindiket menjalankan aktiviti penyeludupan ke negara jiran,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Shamsul Nizam berkata modus operandi sindiket ini adalah mendapatkan bekalan minyak masak bersubsidi daripada syarikat pembekal di Melaka dan sekitar Lembah Klang dengan menggunakan lesen daripada syarikat lain.
“Berdasarkan dokumen yang dijumpai, minyak masak ini sepatutnya dihantar ke sebuah pemborong di Melaka namun didapati ia telah diseleweng dan dibawa masuk ke Kelantan dan dipercayai untuk tujuan penyeludupan ke negara jiran,” katanya.
Beliau berkata selain rampasan minyak, anggotanya turut menahan dua lelaki yang dikenal pasti pemandu dan kelindan lori tersebut bagi membantu siasatan.
“Siasatan lanjut akan diteruskan untuk mengenal pasti pemilik premis dan suspek utama yang terlibat dalam kes ini. Kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961, Seksyen 20 (1) Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan 9 (2) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974,” katanya.- BERNAMA
SEBANYAK 36 kluster baharu COVID-19 dicatatkan hari ini dengan 19 daripadanya merupakan kluster tempat kerja, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.
Beliau berkata sejumlah 13 kluster lagi merupakan kluster komuniti, dua kluster pusat tahanan dan masing-masing satu kluster kumpulan berisiko dan keagamaan.
“Johor mencatatkan kluster tempat kerja paling tinggi iaitu lapan diikuti Selangor (empat) dan Kedah (dua) manakala lima negeri lain iaitu Kelantan, Perlis, Pulau Pinang, Sarawak dan Terengganu masing-masing melaporkan satu kluster tempat kerja,” katanya.
Dr Noor Hisham berkata bagi kluster komuniti, jumlah tertinggi dicatatkan di Kelantan iaitu lapan diikuti Pahang (tiga) serta masing-masing satu di Selangor dan Johor.
Katanya sebanyak 212 kematian akibat COVID-19 dilaporkan hari ini dengan 16 merupakan kes kematian di rumah atau ‘brought-in-dead’ (BID).
Beliau berkata jumlah kes aktif hari ini ialah 227,230 dan mereka yang dirawat di unit rawatan rapi ketika ini ialah 1,095 orang dengan 579 pesakit memerlukan bantuan pernafasan.
Katanya kes sembuh hari ini pula ialah 15,187 orang menjadikan jumlah kumulatif pesakit yang pulih mencecah 1.041 juta.
Dr Noor Hisham juga berkata daripada 17,236 kes baharu COVID-19 yang dilaporkan hari ini, sebanyak 372 atau 2.2 peratus adalah daripada kategori tiga, empat dan lima.
Beliau berkata sebanyak 16,864 kes atau 97.8 peratus lagi adalah terdiri daripada kategori satu dan dua.
Katanya secara keseluruhan, hanya 4,556 atau 26.4 peratus daripada kes baharu COVID-19 yang dilaporkan hari ini mempunyai sejarah imunisasi COVID-19.- BERNAMA
SULTAN Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar menzahirkan penghargaan baginda kepada kerajaan atas tambahan bekalan dua juta dos vaksin Covid-19 ke negeri ini bagi bulan Ogos.
Sumbangan tersebut dibuat menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).
Titah baginda, tambahan bekalan dos vaksin itu akan mempercepatkan lagi sasaran mencapai imuniti kelompok di negeri Johor.
“Keadaan penularan jangkitan Covid-19 dalam kalangan rakyat amat membimbangkan. Dengan penambahan dos vaksin ini, kita berupaya melindungi orang ramai serta mempercepat sasaran imuniti kelompok.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada kerajaan di atas tambahan dua juta dos vaksin kepada Johor,” titahnya kepada Royal Press Office (RPO) dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Semalam, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba memaklumkan tambahan bekalan dua juta dos vaksin Covid-19 itu meliputi semua jenis vaksin yang telah pun mendapat kelulusan Bahagian Regulatori Farmaseutikal Negara (NPRA).
Vaksin berkenaan akan diagihkan ke seluruh Pusat Pemberian Vaksin (PPV) yang terdapat di negeri Johor.
Dr. Adham dilaporkan berkata, sehingga semalam, seramai 1,362,398 orang telah menerima suntikan dos pertama vaksin Covid-19 di Johor, manakala 540,895 individu telah menerima suntikan dua dos vaksin.
Secara keseluruhan, sejumlah 50.2 peratus populasi dewasa di Johor sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin Covid-19.