Author: Admin

  • Covid-19: Rakyat Malaysia di Bangkok hulur bantuan kepada penduduk terjejas

    Covid-19: Rakyat Malaysia di Bangkok hulur bantuan kepada penduduk terjejas

    SEKUMPULAN 20 rakyat Malaysia yang tinggal di Bangkok melaksanakan inisiatif ‘Malaysians in Bangkok – Hands that Serve’ bertujuan membantu mereka yang terkesan akibat wabak COVID-19. 

    Diketuai Dr Silva Kumar, kumpulan itu membantu rakyat Malaysia dan Thailand dengan menghantar makanan ke pertubuhan amal iCare Thailand dan sebuah badan amal Islam, Satthachon Foundation for Education and Orphans (SFEO).

    Kumpulan itu turut menyediakan makanan percuma kepada petugas barisan hadapan dan golongan yang kurang bernasib baik. 

    Selain itu, sumbangan wang tunai turut disalurkan kepada Malaysia Independent Animal Rescue di Pulau Meranti, Puchong dan pertubuhan bukan kerajaan, Refuge For The Refugees.

     “Pada awalnya saya bermula dengan misi bantuan dikenali “White Flag Help. Kita Jaga Kita” dan kemudian menubuhkan kumpulan itu pada akhir Jun dan mula mengumpulkan dana,” katanya.

    Sementara itu, isteri kepada Duta Malaysia ke Thailand, Catherina Cherian Samuel, berkata kumpulan itu turut membantu komuniti Malaysia yang terjejas akibat COVID-19.

     “Kami juga bantu rakyat Thailand yang terjejas di saat sukar ini,” katanya.

    Ahli kumpulan itu Shankar Achuthan Kutty, berkata pandemik yang berlarutan itu telah mengakibatkan banyak penderitaan.

    “Ini menguji iman seseorang terhadap erti kemanusiaan. Jadi kita cuba membantu sedaya yang mampu untuk memberikan sedikit sinar dan harapan.

    “Kami harap bantuan ini dapat diteruskan sehingga kita dapat keluar daripada saat yang sukar ini,” katanya. – BERNAMA

  • Pegawai tugas khas timbalan menteri MOTAC meninggal dunia akibat COVID-19 – Sumber

    Pegawai tugas khas timbalan menteri MOTAC meninggal dunia akibat COVID-19 – Sumber

    PEGAWAI Tugas-Tugas Khas kepada Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Jaimin Samitah dilaporkan meninggal dunia dipercayai akibat COVID-19 pada Isnin.

    Perkara itu dimaklumkan oleh sumber Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dalam satu kenyataan tidak rasmi sebentar tadi ketika diminta mengulas mengenai perkara itu.

    Menurut kenyataan tidak rasmi itu, Jaimin yang juga Pengerusi Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Ranau, Sabah telah hadir ke Kompleks Parlimen sepanjang Mesyuarat Khas Dewan Rakyat pada 26 hingga 29 Julai lalu.

    “Semua ujian swab yang dibuat beliau iaitu saringan awal yang dibuat untuk hadir ke Parlimen dan saringan pada Khamis 29 Julai 2021 di Parlimen menunjukkan negatif,” demikian katanya kepada Astro AWANI, hari ini.

    Jelas sumber tersebut lagi, siasatan lanjut sedang dijalankan dan tindakan susulan akan diambil oleh Kementerian Kesihatan (KKM).

    Terbaharu, MOTAC dalam kemas kini di laman Facebook rasmi kementerian itu mengesahkan mengenai kematian Jaimin.
    Kementerian itu turut menzahirkan ucapan takziah atas pemergian Allajyarham.

    Sebelum ini, KKM memaklumkan sekurang-kurangnya 56 kes positif COVID-19 dikesan setakat 28 Julai hasil ujian saringan COVID-19 yang dijalankan antara 21 hingga 25 Julai lalu bagi sesi Mesyuarat Khas Parlimen.

    Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah tersebut, dua kes melibatkan Ahli Parlimen, pegawai pengiring (enam), manakala 48 kes lagi melibatkan pegawai dari pelbagai agensi kerajaan.

    Sebelum ini, KKM turut mencadangkan semua sesi mesyuarat termasuk Mesyuarat Jawatankuasa Pilihan dan Pilihan Khas Parlimen pada 26 Julai sehingga 29 Julai ditangguhkan untuk tempoh dua minggu bermula dari 29 Julai.

    Saranan tersebut dibuat setelah mengambil kira hasil penilaian risiko semasa dan bagi mencegah penularan jangkitan COVID-19 daripada berlaku di Parlimen.

  • Lebih 40 peratus penduduk dewasa Sabah terima vaksin Covid-19

    Lebih 40 peratus penduduk dewasa Sabah terima vaksin Covid-19

    LEBIH 1.12 juta atau 40.8 peratus penduduk dewasa di Sabah telah menerima suntikan pertama vaksin COVID-19 sehingga semalam, kata Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri Datuk Masidi Manjun.

    Beliau yang juga jurucakap COVID-19 Sabah berkata 485,880 atau 17.6 peratus penduduk dewasa Sabah telah melengkapkan dua dos suntikan vaksin tersebut, dan usaha sedang dilakukan bagi memastikan Sabah mencapai imuniti kelompok dengan 80 peratus sudah divaksin menjelang akhir tahun ini.

    Katanya usaha kini terus dibuat kerajaan untuk menambah kapasiti dan keupayaan pemberian suntikan vaksin COVID-19 melalui Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS), dan dalam masa sama memastikan bekalan vaksin sentiasa mencukupi.

    “Dalam keadaan virus COVID-19 sudah berada di tengah-tengah masyarakat, kita sedang mengejar masa untuk memberi vaksin kepada setiap orang yang layak untuk disuntik dengan kadar segera.

    “Ini bermakna kes baharu akan terus mencatat angka yang tinggi sehingga lebih ramai penduduk memperoleh vaksin. Kes hanya akan mula menurun apabila kita berjaya memberi suntikan vaksin kepada penduduk pada satu tahap peratusan yang signifikan,” katanya menerusi aplikasi WhatsApp hari ini.

    Sementara itu, Masidi berkata daripada 1,383 kes baharu COVID-19 dicatat hari ini sebanyak 1,064 kes dalam kategori satu dan kategori dua, manakala kategori tiga (19 kes), kategori empat (12 kes), kategori lima (6 kes), dan kes selebihnya masih dalam siasatan JKNS.

    “Daerah Kota Kinabalu mencatat kes tertinggi hari ini iaitu 326 kes atau hampir 24 peratus daripada kes keseluruhan Sabah, diikuti Tawau 168 kes dan Sandakan dengan 138 kes,” katanya.

    Beliau berkata saringan kontak rapat pula menjadi penyumbang utama kes harian Sabah iaitu 749 kes atau 54.2 peratus diikuti saringan bergejala (322 kes atau 23.3 peratus), saringan kluster (111 kes atau lapan peratus) dan selebihnya dikesan menerusi saringan bersasar.

    “Satu kluster baharu direkodkan di Kampung Timbua, Ranau melibatkan 49 kes. Kes tinggi yang melibatkan kontak rapat adalah satu petunjuk bahawa ada dalam kalangan kita yang masih lalai dalam pematuhan SOP (prosedur operasi standard).

    “Ia juga satu peringatan agar kita mengurangkan aktiviti bersosial agar tidak terdedah kepada risiko jangkitan virus COVID-19, kerana ada pembawa virus COVID yang tidak menunjukkan sebarang simptom atau gejala,” katanya.- BERNAMA

  • Sekolah kembali dibuka di luar Pulau Jawa dan Bali di Indonesia

    Sekolah kembali dibuka di luar Pulau Jawa dan Bali di Indonesia

    PEMERINTAH Indonesia kembali membenarkan kegiatan sosio-ekonomi di luar Pulau Jawa dan Bali yang berstatus Pemberlakuan Pembatasan Kegiatan Masyarakat (PPKM) level 3.

    Mengikut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), level 3 menunjukkan bagi setiap 100 ribu penduduk kawasan, zon atau wilayah tertentu pada setiap minggu, jumlah jangkitan COVID-19 adalah antara 50 hingga 150 orang selain angka kematian adalah dua hingga lima kes.

    Menteri Koordinator Bidang Perekonomian Indonesia, Airlangga Hartarto dalam sidang media menerusi webinar berkata sebanyak 302 kabupaten dan kota di luar Pulau Jawa dan Bali kini berstatus PPKM Level 3.

    “Menerusi PPKM Level 3 di luar Jawa-Bali, pemerintah membenarkan kembali sekolah dibuka dengan protokol kesihatan yang ketat dengan kuota maksima (kehadiran pelajar) di kelas hanya 50 peratus.

    “Selain itu, rumah-rumah ibadat boleh dibuka dengan maksima 20 orang, pusat-pusat membeli belah dibenarkan dibuka dengan jumlah pengunjung hanya maksima 50 peratus dan beroperasi hingga pukul 8 malam,” katanya.

    Bagaimanapun, PPKM level 4 dilanjutkan lagi di Pulau Jawa dan Bali bermula hari ini sehingga 16 Ogos ini.

    Mengikut WHO, level 4 menunjukkan angka kes positif COVID-19 setiap minggu bagi setiap 100 ribu penduduk lebih daripada 150 kes dan lebih daripada 5 kes kematian.

    Mengikut Badan Nasional Pengurusan Bencana Indonesia (BNPB), setakat semalam, jumlah kes positif keseluruhan di Indonesia kini melebihi 3.6 juta kes, dengan jumlah kematian sebanyak 108,571 orang, manakala lebih 440,000 pesakit aktif (sedang dirawat).- BERNAMA

  • Ratusan suami isteri di Labuan belum dapat bertemu pasangan di Sabah

    Ratusan suami isteri di Labuan belum dapat bertemu pasangan di Sabah

    RATUSAN suami isteri jarak jauh dari Sabah yang tinggal di Wilayah Persekutuan Labuan masih tidak dapat bertemu pasangan masing-masing tanah besar itu meskipun kelonggaran perjalanan rentas daerah serta negeri bagi golongan tersebut telah diumumkan dan berkuat kuasa hari ini.

    Kebanyakan mereka terdiri daripada penjawat awam yang berkhidmat di pelbagai agensi kerajaan di sini dan hanya sebilangan kecil bekerja dalam sektor swasta.

    Ahli Parlimen Labuan Datuk Rozman Isli berkata sudah tiba masanya Kerajaan Negeri Sabah melonggarkan prosedur operasi standard (SOP) sedia ada bagi perjalanan rentas daerah dan negeri untuk pengunjung dari Labuan.

    Beliau berkata Jawatankuasa Pengurusan Bencana Sabah juga perlu meneliti semula SOP bagi perjalanan rentas daerah dan negeri untuk pengunjung dari Labuan.

    Katanya Labuan telah pun mencapai imuniti kelompok apabila lebih 80 peratus penduduk dewasanya melengkapkan vaksinasi bagi COVID-19 dan Wilayah Persekutuan itu juga memiliki kadar kebolehjangkitan paling rendah dengan hanya satu kes baharu dilaporkan hari ini.

    “Memandangkan Labuan telah berjaya melandaikan keluk COVID-19, SOP perjalanan rentas daerah dan negeri Sabah (bagi pengunjung dari Labuan) hendaklah dilonggarkan… tiada keperluan mendapatkan kebenaran khas untuk perjalanan rentas daerah dan negeri (permohonan dibuat secara dalam talian) daripada jawatankuasa itu yang mengambil masa agak lama untuk mendapat kelulusan manakala syarat perlu menjalani ujian saringan Tindak Balas Rantaian Polimerase (PCR) (bagi memasuki Sabah) hendaklah digantikan dengan sekadar melakukan ujian RTK-Ag,” katanya kepada Bernama.

    Rozman berkata surat berhubung perkara itu akan dihantar kepada Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Mohd Noor secepat mungkin untuk pertimbangan.

    Beliau berkata meskipun Labuan adalah sebuah Wilayah Persekutuan di bawah pentadbiran Kerajaan Persekutuan, pulau bebas cukai itu masih banyak bergantung kepada sumber dari Sabah terutama dari segi bekalan makanan.

    “Labuan dan Sabah tidak boleh berpisah kerana ribuan penduduk Sabah masih tinggal di pulau ini sama ada untuk bekerja atau mempunyai sanak-saudara di sini… oleh itu, bagi pihak penduduk setempat dan pasangan suami isteri jarak jauh terbabit, kami memohon agar Kerajaan Negeri Sabah meneliti semula langkah melonggarkan SOP bagi perjalanan rentas daerah dan negeri,” katanya.

    Jeffrey Nian, penjawat awam yang berkhidmat di Jabatan Penerangan Labuan, berkata beliau tidak berjumpa dengan isteri dan anak-anaknya sejak empat bulan lepas.

    “Saya amat gembira apabila mendengar kelonggaran diberikan berhubung perjalanan rentas daerah dan negeri kepada pasangan suami isteri jarak jauh yang diumumkan oleh Perdana Menteri pada Ahad … malangnya, ia tidak terpakai di Sabah dan ini bermakna saya masih tidak dapat melakukan perjalanan untuk berjumpa isteri saya di tanah besar, oleh itu, saya berharap Kerajaan Negeri Sabah boleh mempertimbang nasib rakyat Sabah (seperti saya) di Labuan,” katanya.

    Khairul Idin, wartawan Wilayahku, pula berkata beliau terpaksa tinggal berjauhan daripada isterinya yang kini di Sandakan sejak April lepas.

    “Saya telah menghantar isteri balik ke Sandakan selepas dia melahirkan bayi sulung kami untuk berpantang dan ketika itu, terdapat sedikit kelonggaran dalam sekatan perjalanan rentas negeri di Sabah namun kini kami langsung tidak boleh berjumpa kerana SOP bagi perjalanan ke Sabah terlalu ketat untuk pengunjung dari Labuan.

    “… agak sedih juga apabila saya hanya mampu meluangkan masa selama beberapa hari untuk bersama dengan bayi saya sebelum menghantar mereka pulang ke Sandakan,” katanya.

    Pengerusi Jawatankuasa Bencana Labuan Rithuan Ismail berkata tidak ada sekatan bagi pengunjung dari Labuan untuk ke Sabah jika mereka memiliki permit polis, hasil ujian PCR mereka negatif dan mendapat kebenaran melakukan perjalanan rentas negeri daripada Kerajaan Negeri Sabah.- BERNAMA

  • Prosedur berkaitan visa bagi menunaikan umrah sedang diteliti – Dr Zulkifli

    Prosedur berkaitan visa bagi menunaikan umrah sedang diteliti – Dr Zulkifli

    KERAJAAN sedang meneliti beberapa prosedur termasuk berkaitan visa, sebelum membolehkan rakyat Malaysia menunaikan ibadah umrah, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

    “Berkenaan umrah kami sedang mengutip sebanyak mungkin maklumat, kita perlu lihat keseluruhannya antaranya berkaitan visa, kemungkinan kita akan tengok lebih dekat bagaimana boleh sekalikan sebagai contoh visa pelancongan bersama visa umrah.

    “Bila dapat maklumat lengkap dan tepat, kita akan war-war dari masa ke masa,” katanya kepada pemberita ketika ditanya mengenai perkembangan kebenaran menunaikan umrah selepas, menyampaikan bantuan di Program Bantuan Musaadah 2021 di Janda Baik, Bentong di sini hari ini.

    Zulkifli sebelum ini dilaporkan berkata, rakyat Malaysia dijangka dibenarkan mengunjungi Arab Saudi termasuk menunaikan ibadah umrah dalam tahun ini, bagaimanapun keputusan itu bergantung kepada situasi semasa COVID-19 di negara ini, termasuk kadar vaksinasi dan kebenaran daripada kerajaan Arab Saudi.

    Arab Saudi telah membuka kembali pintunya kepada pelancong dari 49 negara termasuk Malaysia sejak 1 Ogos lepas, dengan mempermudah prosedur mendapatkan visa bagi tempoh setahun dan kebenaran tinggal hingga 90 hari di negara itu.

    Mengulas mengenai program yang turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) Tuan Kamarul Arief Tuan Soh itu, Zulkifli berkata lebih 100 kotak barangan keperluan harian telah disalurkan kepada asnaf menerusi Yadim.

    “Yadim bergerak setiap hari hampir di seluruh negara kerana mereka ada sukarelawan di cawangan untuk sampaikan sumbangan, saya harap dengan usaha ini dapat meringankan beban penerima,” katanya.- BERNAMA

  • Lelaki ditahan pukul isteri anak

    Lelaki ditahan pukul isteri anak

    SEORANG lelaki ditahan polis petang semalam selepas disyaki memukul isteri dan anak lelakinya.

    Ketua Polis Daerah Wangsa Maju Supt Ashari Abu Samah berkata lelaki berusia 44 tahun itu ditahan di rumahnya di Taman Melati Utama di sini, kira-kira 3 petang selepas tular satu hantaran melalui media sosial mengenai pergaduhan suami isteri.

    Beliau berkata berdasarkan siasatan, dipercayai pergaduhan berkenaan berlaku pada 11.30 pagi semalam apabila lelaki itu memarahi serta menuduh isterinya yang berusia 44 tahun mengambil wang.

    “Mangsa (isteri) hanya mendiamkan diri kerana tidak mahu mengeruhkan keadaan namun menyebabkan suspek berang dan memukul mangsa serta anak lelakinya yang cuba untuk meleraikan pergelutan berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Ashari berkata bunyi bising daripada pergaduhan itu menyebabkan jiran datang ke kediaman mereka untuk meredakan keadaan.

    Beliau berkata anak mangsa memuat naik hantaran mengenai pergaduhan itu melalui laman sosial hingga tular dan kemudian disedari lelaki itu sekali gus menyebabkan dia sekali lagi menyerang anaknya yang berumur 14 tahun berkenaan.

    Katanya pihaknya akan memohon perintah reman ke atas lelaki itu hari ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana sengaja mendatangkan cedera.- BERNAMA

  • Mayat pemancing ditemukan tertiarap di tebing sungai

    Mayat pemancing ditemukan tertiarap di tebing sungai

    Oleh MOHD LAZIM ENDUT

    SEORANG pemancing yang tidak pulang ke rumah sejak Khamis lalu ditemukan dalam keadaan tidak bernyawa di tebing sungai, Kampung Sungai Rengas, Kuala Terengganu, semalam.

    Ketika ditemui, keadaan mayat lelaki berusia 39 tahun itu dalam keadaan tertiarap.

    Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Md. Din memberitahu, penemuan mayat lelaki berkenaan dimaklumkan orang awam pada pukul 9.57 malam.

    “Berdasarkan keadaan mayat yang telah berbau, kita percaya mangsa sudah meninggal dunia lebih tiga hari.

    “Sehingga ini proses pengecaman mayat mangsa sudah dilakukan keluarga dan kita difahamkan mangsa tidak pulang selepas keluar dari rumah pada petang Khamis lalu,”ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

    Menurut Abdul Rahim, ahli keluarga tidak membuat laporan polis memandangkan mangsa sering keluar memancing dalam tempoh yang agak lama.

    Beliau berkata, setakat ini punca kematian mangsa belum dapat dikenal pasti dan mayat dihantar ke unit forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk tindakan lanjut.

  • Pengecaman digital jenazah pesakit Covid-19 bantu ‘ubati’ duka waris

    Pengecaman digital jenazah pesakit Covid-19 bantu ‘ubati’ duka waris

    SAAT menerima perkhabaran kematian keluarga terdekat yang dijangkiti virus pembunuh Covid-19, pastinya akan menjadi detik paling memilukan tatkala terpaksa berhadapan hakikat kehilangan insan tersayang.

    Lebih menyedihkan, ahli keluarga juga tidak berkesempatan untuk menatap kali terakhir apatah lagi mencium jenazah berikutan prosedur operasi standard (SOP) ketat yang ditetapkan dalam pengurusan jenazah pesakit Covid-19 untuk mengelakkan penularan wabak itu.

    Menyedari kesedihan dan beban perasaan terpaksa ditanggung oleh keluarga mangsa, Pusat Sehenti Sementara Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (Pusara WPKL), Kompleks Sukan Institut Sukan Negara, Kampung Baru, di sini, mengambil inisiatif memperkenal kaedah terkini membolehkan waris membuat pengecaman secara digital.

    Pengarah Operasi Pusara WPKL Dr Ahmad Hafizam Hasmi berkata, pihaknya amat memahami pengendalian jenazah pesakit Covid-19 yang tidak boleh dilakukan seperti mana biasa, akan meninggalkan kesan perasaan mendalam terhadap waris apatah lagi anggota keluarga tidak boleh melawat pesakit Covid-19 ketika berada di hospital.

    “Menyedari hakikat itu, Pusara WPKL menyediakan kemudahan identifikasi jenazah dengan seorang waris yang lengkap dipakaikan PPE akan melakukan pengecaman secara fizikal di dalam khemah pengecaman, manakala dua orang waris lagi boleh melihat wajah si mati melalui skrin televisyen di satu tempat khas yang disediakan,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

    Menurutnya tempat khas itu dilengkapi dengan sistem pengecaman digital melalui paparan pada skrin televisyen yang disambung kepada kamera litar tertutup (CCTV) berdefinisi tinggi (HD), membolehkan waris merakam atau membuat panggilan video secara langsung untuk dikongsi kepada lebih ramai anggota keluarga lain yang tidak hadir.

    Pakar perubatan forensik daripada Institut Perubatan Forensik (IPFN) Hospital Kuala Lumpur (HKL) yang berpengalaman selama 14 tahun itu berkata, Pusara WPKL mula beroperasi sejak 20 Julai lalu dan sudah menguruskan 1,058 jenazah pesakit Covid-19 setakat ini.

    “Pusat yang beroperasi 24 jam ini menerima jenazah dari HKL, berkeupayaan menguruskan penyerahan maksimum 30 jenazah pesakit Covid-9 Muslim dan 20 mayat bukan Islam dalam satu-satu masa.

    “Kita dilengkapi lima kontena mayat yang mampu menampung 225 kapasiti simpanan jenazah dengan kadar penggunaan ketika ini hampir 70 peratus. Penyerahan jenazah Covid-19 kepada waris biasanya dilakukan dari 7 pagi hingga 6 petang,” katanya.

    Sementara itu, seorang sukarelawan Aliimran Nordin, 34, yang ditugaskan menyantuni anggota keluarga jenazah pesakit Covid-19 dapat merasakan kesedihan yang ditanggung oleh waris ketika melakukan proses pengecaman melalui kemudahan yang disediakan itu.

    “Ada anggota keluarga jatuh terduduk, emosi dan raut muka bertukar selepas melihat wajah insan tersayang di skrin komputer dan biasanya mereka akan meluahkan rasa ralat tidak dapat uruskan jenazah seperti biasa apatah lagi menciumnya.

    “Ada juga waris yang sedang dikuarantin kerana kontak rapat kepada jenazah pesakit Covid-19 membuat pengecaman itu menerusi panggilan video,” katanya sambil memaklumkan setiap keluarga hanya diberikan masa lima minit untuk melakukan pengecaman.

    Mudzakkir Mohd Zahidi, 30, yang kematian bapanya Mohd Zahidi Mohd Zain, 54, akibat Covid-19 berkata beliau menggunakan aplikasi Google Meet di telefon semasa proses pengecaman digital bagi membolehkan lebih ramai saudara mara menatap wajah jenazah bapanya terutama mereka yang tinggal di kampung.

    “Kita sedia maklum pengendalian jenazah pesakit Covid-19 berbeza dan tidak dapat bersua muka secara dekat dengan ahli keluarga lain kerana sekatan perjalanan, sekurang-kurang kaedah ini mengubat kerinduan dan tanda ingatan terakhir sebelum jenazah dikebumikan,” katanya yang tinggal di Shah Alam, Selangor. – BERNAMA

  • Dewan Rakyat:Had kehadiran individu termasuk ahli Parlimen diteliti – Timbalan Speaker

    Dewan Rakyat:Had kehadiran individu termasuk ahli Parlimen diteliti – Timbalan Speaker

    JUMLAH kapasiti individu termasuk bilangan Ahli Parlimen untuk menghadiri Mesyuarat Penggal Keempat Parlimen ke-14 yang dijadualkan bermula 6 Sept akan diteliti, kata Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Mohd Rashid Hasnon.

    Beliau berkata ia bagi memastikan kelancaran persidangan Parlimen dan mengelakkan kejadian penularan COVID-19 berlaku, seperti yang terjadi pada Mesyuarat Khas Penggal Ketiga Parlimen ke-14 bagi Dewan Rakyat hujung Julai lepas.

    Bagi tujuan itu, katanya Jawatankuasa Dewan Rakyat akan berbincang dengan ketua-ketua whip parti kerajaan dan pembangkang dalam tempoh terdekat berdasarkan nasihat yang akan dikemukakan Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

    “Seperti sebelum ini, Jawatankuasa Dewan Rakyat akan panggil semua ketua-ketua whip daripada parti kerajaan dan pembangkang untuk berbincang (jumlah kehadiran Ahli Parlimen).

    “Belajar daripada apa yang berlaku pada sidang khas Dewan Rakyat baru-baru ini, kita perlukan langkah pencegahan yang lebih mantap,” katanya kepada Bernama selepas program serahan Bantuan Bakul Makanan kepada 50 artis veteran anjuran Persatuan Kebajikan Artis Veteran Malaysia (PKAVM) di Desa Melawati, di sini hari ini.

    Mesyuarat Khas Penggal Ketiga Parlimen ke-14 bagi Dewan Rakyat yang sepatutnya berlangsung pada 26 hingga 29 Julai dan 2 Ogos, hanya bersidang selama empat hari dan terpaksa ditangguhkan berikutan berlaku penularan jangkitan COVID-19 di bangunan Parlimen.

    Sehingga 8 Ogos, sebanyak 88 kes positif wabak berkenaan dikesan melibatkan individu yang menghadiri sidang khas itu.

    Mengenai usul percaya terhadap Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang akan dibawa ke sidang Dewan Rakyat pada September, Mohd Rashid berkata pihak Parlimen belum menerima usul tersebut.

    “…kita belum terima lagi setakat hari ini. Bagi usul kerajaan tempoh penghantarannya tidak terlalu jauh dari tarikh persidangan berbanding usul peribadi yang perlu dihantar dalam tempoh 14 hari sebelum bersidang,” katanya.

    Sebelum ini, Muhyiddin menegaskan keabsahan beliau sebagai Perdana Menteri serta kedudukan kerajaan Perikatan Nasional (PN) akan ditentukan menerusi usul undi percaya yang akan dibentangkan di Dewan Rakyat, September ini.

    Dalam pada itu, Mohd Rashid berkata notis pemberitahuan kepada Ahli Parlimen dalam proses untuk diedarkan bagi membolehkan mereka menyediakan soalan untuk sesi soal jawab lisan dan lain-lain.

    Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen ke-14 akan berlangsung selama 15 hari bermula 6 hingga 30 Sept 2021, manakala Mesyuarat Kedua pula berlangsung selama 32 hari mulai 25 Okt hingga 16 Dis 2021.

    Istiadat pembukaan sidang Dewan Rakyat akan disempurnakan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada 6 Sept. – BERNAMA