Author: Admin

  • Yadim, 130 NGO Islam gesa pemimpin henti berebut kuasa

    Yadim, 130 NGO Islam gesa pemimpin henti berebut kuasa

    Oleh Abu Ubaidillah Rahman

    YAYASAN Dakwah Islamiah (Yadim) dan 130 badan pertubuhan kerajaan (NGO) Islam menggesa semua pihak menghentikan agenda bertelagah dan berebut kuasa kerana tindakan itu boleh memecahbelahkan negara.

    Yang Dipertua Yadim, Nasrudin Hassan berkata, pihaknya dan semua NGO itu yang bersama-sama Majlis Amal Islami Malaysia (MAIM) mahukan pemimpin mengutamakan keselamatan dan kesihatan rakyat.

    Jelas beliau, ini bukan masanya untuk berebut kuasa dan bermusuhan sesama sendiri dan hanya merugikan rakyat.

    “Malah ini memalukan negara pada pandangan pihak luar. Pemimpin yang bercakaran hanya menghabiskan banyak masa dan tenaga untuk kepentingan diri sendiri sehingga mengabaikan tanggungjawab membela rakyat.

    “Yadim menjunjung titah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar yang menyeru kepada semua pemimpin di negara ini supaya menginsafi bahawa segala kuasa pemerintahan itu adalah hak Allah SWT,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Nasrudin berkata, Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah AlSultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, turut bertitah ketika negara sedang bergelut pandemik Covid-19, bukan masa sesuai untuk berebut kuasa dan bersengketa sesama sendiri.

    “Apabila Raja-Raja Melayu sendiri sudah bersuara kerana prihatin dan khuatir dengan keadaan semasa, maka amat wajarlah semua pihak di negara ini mendengar dan taat kepada titah baginda,” katanya.

  • Rayuan Dr Zakir Naik berhubung pemindahan kes saman ke Mahkamah Tinggi P.Pinang ditolak

    Rayuan Dr Zakir Naik berhubung pemindahan kes saman ke Mahkamah Tinggi P.Pinang ditolak

    MAHKAMAH Rayuan hari ini menolak rayuan Dr Zakir Naik terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan permohonan bekas Anggota Dewan Undangan Negeri Baru Uban S.Raveentharan memindahkan perbicaraan saman fitnah yang difailkan oleh penceramah bebas itu terhadapnya dari Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur ke Mahkamah Tinggi Pulau Pinang.

    Panel tiga anggota yang terdiri daripada Datuk Yaacob Md Sam, Datuk M.Gunalan dan Datuk Hashim Hamzah hari ini membenarkan bantahan awal yang dibangkitkan oleh peguam yang mewakili S.Raveentharan berhubung ketidakpatuhan peruntukan mandatori oleh peguam peguam Dr Zakir.

    Hakim Yaacob yang mengetuai panel itu berpendapat bahawa rayuan Dr Zakir tidak kompeten kerana tidak mematuhi Peraturan 18 (6) Peraturan Mahkamah Rayuan 1994.

    “Kami berpandangan bahawa Peraturan 18 (6) adalah bersifat mandatori. Ia harus dipatuhi oleh semua pihak. Tidak ada pengecualian terhadap pematuhan Peraturan ini,” katanya, sambil menambah bahawa ada merit dalam bantahan awal.

    Mahkamah juga menolak rayuan balas Raveentharan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang berkaitan dengan keabsahan afidavit Dr Zakir.

    Dalam prosiding pendengaran rayuan yang berlangsung secara maya, peguam Raveentharan, Kernail Singh berhujah bahawa rayuan itu telah menjadi batal kerana tidak ada rekod rayuan yang teratur difailkan, sebab peguam Dr Zakir tidak memberikan mereka indeks draf rekod rayuan.

    Kernail Singh berkata Peraturan 18 (6) adalah wajib, dan peruntukan mandatori yang perlu dipatuhi oleh peguamcara perayu. Turut mewakili Raveentharan adalah peguam Datuk Tharumarajah Thiagarajan.

    Peraturan 18 (6) menetapkan bahawa draf indeks dokumen mesti disertakan dalam rekod rayuan dan dihantar oleh peguam cara pemohon kepada peguam cara responden atau (jika lebih dari satu) salah seorang daripadanya, yang boleh dalam tempoh 48 jam membantah terhadap penyertaan atau pengecualian mana-mana dokumen.

    Peguam Datuk Sulaiman Abdullah yang mewakili Dr Zakir berkata pada waktu yang berkenaan, responden mempunyai salinan rekod rayuan, semuanya yang diperlukan telah dimasukkan ke dalam rekod rayuan.

    Pada 12 Dis 2019, Dr Zakir selaku plaintif memfailkan saman terhadap Raveentharan atas dakwaan memuat naik lima kenyataan fitnah di Facebook antara 13 dan 17 Okt tahun sama.

    Dalam pernyataan tuntutan, plaintif mendakwa lima kenyataan itu dilakukan dengan niat jahat tanpa membuat pengesahan daripadanya berhubung kebenaran dan kesahihan dakwaan dalam hantaran itu.

    Dr Zakir mendakwa lima kenyataan yang dimuat naik itu menggambarkan bahawa dirinya sebagai orang yang jahat dan merupakan ancaman kepada keselamatan negara, keamanan, dan keharmonian di Malaysia selain mendakwa kenyataan itu tidak berasas dan palsu.

    Oleh itu, plaintif memohon perintah daripada mahkamah supaya defendan mengeluarkan lima kenyataan fitnah itu daripada laman sesawang, media sosial atau mana-mana medium yang berkaitan selain menuntut ganti rugi am, teruk, teladan dan pampasan, serta relif lain yang dirasakan sesuai oleh mahkamah.

    Pada 23 Julai 2020, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan permohonan Raveentharan untuk memindahkan perbicaraan kes saman itu ke Mahkamah Tinggi Pulau Pinang.

    Sementara itu peguam Datuk Akberdin Abdul Kader yang turut mewakili Dr Zakir ketika dihubungi berkata beliau akan menfailkan penangguhan bagi merayu kepada Mahkamah Rayuan, memandangkan rayuan mereka ditolak atas alasan teknikal, dan merit rayuan itu tidak didengar.- BERNAMA

  • Filipina lanjutkan sekatan perjalanan terhadap India, sembilan negara lain

    Filipina lanjutkan sekatan perjalanan terhadap India, sembilan negara lain

    FILIPINA melanjutkan sekatan perjalanan terhadap semua pelancong dari India dan sembilan negara lain hingga 31 Ogos berikutan kebimbangan jangkitan kes varian Delta, kata jurucakap presiden Harry Roque pada Jumaat.

    Varian Delta telah menular di negara itu dengan 627 kes dilaporkan, termasuk 11 kematian.

    Selain India, Filipina turut menyekat kemasukan pelancong dari Malaysia, Thailand, Indonesia, Pakistan, Nepal, Bangladesh, Sri Lanka, Oman, dan Emiriah Arab Bersatu, menurut Xinhua.

    Bagaimanapun, rakyatnya di luar negara yang mengikuti program penghantaran balik dibenarkan pulang, tetapi harus menjalani kuarantin 14 hari selepas ketibaan.

    Kes jangkitan COVID-19 membabitkan varian Delta semakin meningkat, mendorong kerajaan melaksanakan kembali penutupan dan sekatan lebih ketat di Manila dan wilayah lain.

    Filipina kini merekodkan 1.7 juta kes jangkitan termasuk 29,539 kematian.- BERNAMA

  • PPV perlu maklum kepada polis jangkaan kehadiran orang ramai – Bukit Aman

    PPV perlu maklum kepada polis jangkaan kehadiran orang ramai – Bukit Aman

    PUSAT Pemberian Vaksin (PPV) perlu memaklumkan kepada polis mengenai jangkaan kehadiran orang awam untuk mengambil vaksin lebih awal, agar polis dapat membuat persediaan dan memastikan prosedur operasi standard (SOP) dipatuhi.

     Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman Datuk Zainal Abidin Kasim berkata makluman itu bagi mengelakkan sebarang ketidakpatuhan SOP berlaku di PPV sehingga kawasan itu menjadi sesak dengan orang ramai.

    “Sebagai contoh kejadian sebelum ini, di PPV KLCC yang tular dengan ketidakpatuhan SOP termasuklah kejadian terbaru Rumah Prihatin @ Grand Seasons, di sini, yang berlaku salah faham, (sehingga) orang ramai menganggapnya sebagai PPV.

    “Seelok-eloknya orang ramai yang nampak dengan kejadian seumpama ini terus melaporkan dan janganlah terlalu asyik merakam sesuatu kejadian itu hingga terlupa untuk memaklumkan kepada pihak berkuasa,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

    Beliau berkata demikian mengulas mengenai kejadian tular PPV KLCC dan Rumah Prihatin @ Grand Seasons berhubung ketidakpatuhan SOP.

    Selain itu, Zainal berkata orang ramai diminta untuk tidak menularkan sesuatu kejadian ketidakpatuhan SOP hingga menimbulkan ketidaktenteraman awam.

    Beliau berkata sekiranya orang ramai tidak mempunyai sebarang nombor telefon mana-mana bilik gerakan polis mereka boleh berbuat demikian dengan hanya menghubungi talian 999.

    “Setidak-tidaknya mereka boleh menghubungi talian 999, pihak saya kalau dapat maklumat, mustahil polis tidak ambil tindakan berhubung kejadian ketidakpatuhan SOP,” katanya

    Selain itu, Zainal juga menolak alasan ketidakpatuhan SOP di PVV disebabkan orang awam datang awal sebelum waktu janji temu vaksinasi.

    “Tidak mungkin juga, biasanya paling awal pun (orang awam) hadir dua jam sebelum waktu janji temu melainkan ‘jumpa terus (walk-in) . Bila sebut jumpa terus, kalau beri maklumat awal (jangkaan kehadiran) kepada polis, maka polis bersedia lebih awal untuk menjaga kawasan,” katanya.

    Pada 28 Julai lepas,  polis mengesahkan berlaku kesesakan warga asing di PPV KLCC seperti tular di media sosial, dan dua hari lepas kesesakan turut berlaku di Rumah Prihatin @ Grand Seasons, di sini berpunca daripada salah faham dan berita kononnya premis itu menyediakan perkhidmatan vaksinasi tanpa janji temu untuk bukan warganegara.- BERNAMA

  • Sultan Johor terima menghadap TPM

    Sultan Johor terima menghadap TPM

    Oleh Abu Ubaidillah Rahman

    SULTAN Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan menerima menghadap Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri

    Ismail Sabri Yaakob di Istana Pasir Pelangi di sini hari ini.

    Ismail Sabri tiba pada jam 10.45 pagi dan pertemuan bersama baginda berlangsung selama lebih sejam.

    Foto pertemuan tersebut turut dimuat naik dalam Facebook rasmi baginda, hari ini.

  • Polis kenal pasti identiti empat anggota TUDM maut dalam kes tembakan

    Polis kenal pasti identiti empat anggota TUDM maut dalam kes tembakan

    POLIS telah mengenal pasti identiti empat anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang maut dalam kejadian tembakan di kem TUDM di Kota Samarahan di sini, pagi tadi.

    Ketua Polis Daerah Samarahan, DSP Sudirman Kram berkata anggota yang maut terdiri daripada Kpl U Ho Swee Boon dari Lundu; Kpl U Mohamad Ehsan Sehamat dari Asajaya; Laskar Udara (LU) Luk Nesly anak Nabau dari Sibu dan Kpl U Sharif Mohd Siddiq Al-Attas Wan Sabli dari Kuching.

    Beliau berkata maklumat awal kejadian mendapati suspek dipercayai mengamuk dan masuk ke balai pengawal di kem Handau Skuadron 330 seterusnya mengambil senjata api.

    “Ketika itu penyelia bertugas adalah Kpl Julaihi. Turut berada di situ adalah Kpl Mohd Saiful Dania, Kpl Jas anak Munap, LU Hezerin Muhd dan LU Afiq Nazmi Rozaidi.

    “Suspek sempat bertanya nak hidup atau mati. Kpl U Sharif Mohd Siddiq cuba menenangkan suspek tetapi suspek telah melepaskan tembakan dan terkena perut Shariff. Mendengar bunyi tembakan, kesemua saksi bertempiaran lari menyelamatkan diri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Terdahulu, Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Aidi Ismail berkata pihaknya sedang menjalankan siasatan mengenai insiden itu.

    TUDM dalam satu kenyataan pagi ini memaklumkan berlaku satu insiden tembakan membabitkan empat warga TUDM pada pukul 7.15 pagi di Unit TUDM di Kota Samarahan, Kuching ketika waktu anggota bertugas.

    TUDM juga menggesa semua pihak agar tidak menyebarkan sebarang spekulasi sehingga proses siasatan oleh polis selesai dan satu lembaga penyiasatan ditubuhkan  bagi mengenal pasti punca kejadian.- BERNAMA

  • Abang Allahyarham Siti Sarah sudah sedar, masih di ICU

    Abang Allahyarham Siti Sarah sudah sedar, masih di ICU

    Oleh Abu Ubaidillah Rahman

    ABANG Allahyarham Siti Sarah Raissuddin, Ahmad Firdous yang ditidurkan di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Serdang sudah mula sedar pada pukul 9 pagi ini.

    Perkembangan tersebut disahkan isteri Ahmad Firdous kepada syarikat pengurusan, Indigital Music.

    Pengurus Indigital Music, Nana Mohamad Rom berkata, keadaan Ahmad Firdous semakin stabil dan dikehendaki menjalani senaman untuk menguatkan paru-paru.

    “Alhamdulillah, Ahmad Firdous sudah sedar. Isterinya memberitahu suami menghubunginya sendiri untuk memaklumkan keadaan perkembangannya terkini, pagi ini.

    “Ketika sedang bercakap dengan Ahmad Firdous, isteri terdengar jururawat memanggil suami untuk melakukan senaman paru-paru,” katanya.

    Pada majlis tahlil dan bacaan Yassin secara virtual, suami arwah, Shuib Sepahtu memaklumkan keadaan abang iparnya tidak berapa baik, semalam.

    Sebelum itu keadaan Ahmad Firdous dikongsi pelawak popular itu menerusi laman Instagram (IG), pagi semalam.

    Bagaimanapun, perkembangan terkini Ahmad Firdous turut dikongsi Shuib dalam IG, pagi ini dengan memaklumkan gembira berkenaan.

    “Allahuakbar. Allah Maha Besar. Syukur dah buka mata. Terima kasih kepada mereka yang mendoakan.

    “Tapi kita sambung lagi doa yang lain yang sedang bertarung nyawa. Kita nak semua orang kembali sihat.

    “Balik jumpa keluarga. Amin.. Syukur Ya Allah,” tulis Shuib.

  • Kanak-kanak terjatuh semasa memancing ditemukan lemas

    Kanak-kanak terjatuh semasa memancing ditemukan lemas

    SEORANG kanak-kanak lelaki yang dikatakan terjatuh semasa memancing berhampiran jeti Kampung Belit Seberang Guai di Bera semalam, ditemukan lemas pada 9.20 pagi tadi. 

    Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang menerusi kenyataan hari ini memaklumkan mayat Abtaham Baraq Mohd Khairuddin, 11, ditemukan oleh orang awam dalam keadaan tersangkut pada jaring di sungai tersebut.

    “Mangsa dijumpai pada jarak 200 meter dari lokasi dia dipercayai terjatuh, dengan anggaran kedalaman 1.5 meter sebelum berjaya dibawa naik oleh Pasukan Penyelamatan di Air (PPDA),” menurut kenyataan itu. 

    Mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya dan operasi mencari dan menyelamat yang bermula 7.06 malam semalam, dengan penglibatan 16 pegawai dan anggota dari Balai Bomba Triang, Bera serta Bukit Angin, Temerloh ditamatkan.

  • Ekonomi Malaysia melonjak pada suku kedua tahun ini

    Ekonomi Malaysia melonjak pada suku kedua tahun ini

    Oleh Abu Ubaidillah Rahman

    BANK Negara Malaysia (BNM) meramalkan ekonomi Malaysia berkembang sebanyak 16.1 peratus pada suku kedua 2021 berbanding -0.5 peratus pada suku pertama tahun ini.

    Gabenor BNM, Datuk Nor Shamsiah Mohd. Yunus berkata, perkembangan itu disokong terutamanya permintaan dalam negeri yang bertambah baik dan prestasi eksport yang terus mantap.

    Menurutnya, pertumbuhan yang kukuh itu juga mencerminkan asas yang rendah berikutan kemerosotan aktiviti yang ketara pada suku kedua tahun 2020.

    “Meskipun langkah-langkah pembendungan telah menjejaskan pertumbuhan, namun kemampuan yang tinggi untuk membuat penyesuaian terhadap sekatan dan sokongan dasar yang sedang dilaksanakan sebahagiannya telah mengurangkan kesan langkah-langkah berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Kegiatan ekonomi meningkat pada awal suku kedua, namun kemudian menurun berikutan pelaksanaan semula langkah-langkah pembendungan yang lebih ketat di seluruh negara di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh fasa satu.

    Semua sektor ekonomi mencatatkan peningkatan khususnya sektor perkilangan.

    Daripada segi perbelanjaan, pertumbuhan dipacu oleh perbelanjaan sektor swasta yang lebih tinggi dan aktiviti perdagangan yang kukuh.

    Pada asas suku tahunan terlaras secara bermusim, ekonomi mencatatkan penurunan sebanyak 2.0 peratus berbanding 2.7 peratus pada suku pertama tahun ini, terjejas akibat langkah-langkah pembendungan yang lebih ketat.

  • Reman bekas Datuk Bandar Johor Bahru disambung empat hari

    Reman bekas Datuk Bandar Johor Bahru disambung empat hari

    Oleh Abu Ubadillah Rahman

    REMAN terhadap bekas Datuk Bandar Johor Bahru yang berakhir hari ini, disambung semula selama empat hari.

    Perintah sambungan reman hingga 16 Ogos ini dikeluarkan Majistret Normadiana Mamat di Mahkamah Sesyen Johor Bahru selepas menerima permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini.

    Selasa lalu, media melaporkan SPRM Johor menahan seorang bekas datuk bandar kerana disyaki menerima rasuah.

    Penahanan suspek pada jam 3 petang Selasa itu dilakukan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 yang mana jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda lima kali nilai suapan atau RM10,000, mana yang lebih tinggi dan penjara maksimum 20 tahun.

    Hasil siasatan dijalankan mendapati suspek menerima wang rasuah daripada kontraktor bagi setiap kelulusan projek dilaksanakan di bawah kendalian majlis bandar raya yang dirinya menjadi datuk bandar di situ.